Utama Bilik (101) Fiqh Wanita 1 NOTA FIQH WANITA 1 – Januari 2017

NOTA FIQH WANITA 1 – Januari 2017

349
0
Iklan

SOALAN & JAWAPAN

FIQH WANITA

 

SOALAN

Assalamualaikum ustaz, mohon pencerahan  mengenai tiga contoh sikap isteri terhadap suami seperti dibawah dalam situasi melengahkan melayani suami (buat hubungan)

Situasi 1 : Isteri sedang sibuk membuat kerja rumah seperti membasuh baju, memasak dan membasuh pinggan. Suami datang berkehendak tetapi isteri melengahkan sebab mahu menyiapkan kerja di dapur terlebih dahulu. Selepas 3 jam baru selesai kemudian baru mandi dan melayani suami.

Situasi 2 : Isteri meminta suami belikan gelang emas untuk dirinya tetapi suami tidak belikan dengan alasan isteri bekerja. Hari ke tiga isteri masih tidak dapat gelang emas,manakala suami  mula meminta melayaninya. Isteri bersetuju dengan syarat  belikan gelang emas dan selepas dipenuhi, isteri melayani suami.

Situasi 3 : Azan zohor lagi 30 minit suami minta di layani tetapi isteri mahu menunaikan solat  dahulu. Selepas selesai solat baru melayani permintaan suami..

Dalam situasi diatas, adakah isteri berdosa bersikap demikian terhadap suami?

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Wajib melayani kehendak suami dalam tiga kes di atas.

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ أَنْ تَجِىءَ (فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا) لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur (untuk jima’/bersetubuh) dan si isteri menolaknya [sehingga (membuat) suaminya murka], maka si isteri akan dilaknat oleh malaikat hingga (waktu) Subuh.” sahih.

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّى الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّى حَقَّ زَوْجِهَا وَلَوْ سَأَلَهَا نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى قَتَبٍ لَمْ تَمْنَعْهُ

“Demi Allah, yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, seorang wanita tidak akan bisa menunaikan hak Allah sebelum ia menunaikan hak suaminya. Andaikan suami meminta dirinya padahal ia sedang berada di atas punggung unta, maka ia (isteri) tetap tidak boleh menolak.” sahih. Ibn Majah dan Ahmad.

Nota: Bukanlah maksud layan suami itu ‘diatas unta’. Maksudnya kalau isteri itu sudah naik unta hendak pergi keluar, tetapi suami panggil, waktu itu kena turun dan melayani suami.

Layanlah kehendak suami itu. Bila-bila masa sahaja. Bila dia sudah berkehendak, waktu itulah yang penting. Kalau tangguh, perasaan suami sudah terganggu.

Pernah sekali Nabi Muhammad ternampak perempuan cantik. Maka baginda terus masuk dalam rumah, mencari isteri baginda. Nabi mengajar perkara ini kerana penting. Kalau nafsunya naik waktu itu sebaiknya diselesaikan oleh isterinya sendiri, sebelum melalut.

b. Apa maksud ‘sebelum melalut’ ustaz?

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Maksudnya suami itu mencari wanita yang lain. Ada isteri tetapi isteri tidak melayaninya. Amat penting perkara ini. Mungkin ada yang kata, benda sekejap sahaja, bukan penting dan pelbagai alasan lagi. Nanti apabila kehilangan suami sebab hendak kahwin lain atau suami pergi ke pusat urut dan sebagainya, ketika itu kenanglah kembali sikap dalam melayani kehendak suami dahulu.

Allahu a’lam

 

 

SOALAN

a. Mohon pencerahan. Sekiranya meninggal secara tiba-tiba, ketika diri dalam keadaan haid yang panjang, terlepas melakukan ibadah seperti solat fardhu,solat sunat serta tidak berpeluang mengqadha puasa , adakah semua kewajiban itu ditandai oleh Allah sebagai orang yang beriman?

b. Adakah dengan mengeluh disebabkan tidak dapat melakukan ibadah kerana haid yang panjang jatuh kufur iaitu kufur nikmat? Sebab  yang kita fahami, haid itu fitrah wanita.

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Kalimah ibadah dari عبد (hamba). Iaitu hamba Allah akan melakukan ibadah kerana taat kepada suruhan Allah.
Seorang hamba juga kena menghambakan diri kepada Allah.
Maksud ‘hamba’ adalah luas. Umumnya buat suruhan dan tinggalkan perkara yang disuruh tinggalkan.

Maka, kalau tidak solat dan puasa semasa dalam haidh, itu pun termasuk dalam ubudiyah. Waktu itu anda di dalam taat kepada Allah meskipun tidak melakukan ibadah. Maka jangan mengeluh.

Kalau mengeluh, anda tidak redha dengan ketentuan Allah. Dan ini bahaya. Wanita dalam haidh masih lagi boleh buat ibadat. Membaca Qur’an, mengajar belajar dan sebagainya. Jangan jadikan haidh sebagai penghalang untuk buat ibadat yang boleh.

c. Perasaan di dalam hati sangat bimbang dan takut tidak dapat melakukan semua ibadah kerana fikirkan nyawa yang akan diambil kerana diuji dengan penyakit kronik. Diri berasa tidak berdaya memikirkan bagaimana hendak menebus dosa- dosa?

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Hendak menebus dosa dengan melakukan taubat. Taubat boleh bila-bila masa sahaja.

d. Bagaimana mahu menghadapi ujian, apabila diri berasa buntu memikirkan solat adalah cara yang paling dekat boleh mengenali Allah? Perasaan di hati semakin tidak tenteram apabila melihat orang lain menunaikan solat.

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Sepatutnya tidak bersikap begitu, sebab kita tidak solat itu atas arahan Allah juga. Maka kita tetap taat padaNya. Begitulah saidatina Aisyah menangis sebab sampai Mekah tidak boleh buat ibadah haji. Nabi mengajar dia buat ibadat lain.

Perbanyakkan zikir dan membaca quran. Lagipun ada ayat quran bila ingat Allah hati jadi tenteram.

Allahua’lam

 

 

SOALAN

Disaat kita ditimpa musibah, orang menasihati agar bersabar, lalu kita menjawab ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’. Adakah itu satu keluhan?

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Dalam surah al-asr, kita disuruh menasihati orang atas kesabaran. Nasihat mereka untuk bersabar.

Kadang-kadang memang rasa geram kalau orang nasihat suruh sabar: dalam hati (sabar, sabar… aku yang kena, asyik suruh sabar jer….). Ini adalah tidak bagus, orang nasihat, terima sahaja.

Pernah satu kejadian,seorang wanita kematian seseorang dan dia sedang murung. Nabi nampak dan nasihat dia untuk sabar. Dia kata lebih kurang: ‘aku yang kena, kau tidak rasa’ (dia tidak kenal Nabi Muhammad). Ada yg nampak dan tegur dia, ‘kenapa cakap macam itu dengan Rasulullah?’
Wanita itu kemudiannya telah berjumpa dengan Rasulullah dan dia kata: ‘aku sekarang sudah sabar’.
Rasulullah jawap: Sabar kena pada waktu itu (di waktu kena musibah itu). [saya riwayat makna sahaja, tidak sempat hendak mencari matan yer].

Maksudnya kalau sudah lama, memang semua akan sabar. Yang ada nilai sabar adalah di waktu kena musibah itu. Itulah saat yang kena sabar bersungguh-sungguh. Kena redha dengan apa yang terjadi. Ada ulama kata: Kena sabar dalam lingkungan tiga hari dari kejadian itu.

Allahua’lam

 

 

SOALAN

Ustaz, saya tidak berdaya untuk menasihati dan sedih melihat keluarga terutama ibu tercinta masih melakukan perkara ini dalam ibadah  seperti membuat kenduri arwah, masih mengaji di kubur dan meratap kesedihan.
Saya tahu perbuatan itu salah,adakah saya berdosa tidak menasihati keluarga? Apakah yang patut saya lakukan?

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Lemah iman. Kerana apabila lihat kemungkaran:
1. ubah dengan tangan.
2. tegur dengan lidah.
3. tidak setuju dengan hati. Dan ini adalah selemah iman.

Ini biasa terjadi, kadang-kadang kita tidak berkemampuan untuk mengubah. Sekurang-kurangnya kita tidak redha dengan hati kita dan tidak menyertai melakukannya. Namun tindakan itu akan menyebabkan kita berasa susah hati dan timbulkan masalah dalam keluarga.

Allahua’lam

 

 

SOALAN

Adakah berdosa seorang isteri tidak membenarkan suaminya menolong janda yang kesempitan wang untuk membayar yuran sekolah anaknya? Ini disebabkan sikap janda tu yang suka mengata dan memaki orang. Sebelum ini isterinya tidak pernah menghalang untuk membantu sesiapa dalam kesusahan.

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Islam menganjurkan utk beri pertolongan kepada sesiapa sahaja. Kalau ada orang yg kita tidak suka, bukanlah alasan untuk tidak tolong dia. Allah berfirman dalam Ali Imran:134

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكاظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Infak dan tahan kemarahan kita terhadap orang itu. Allahu a’lam.

Juga ayat Nur:22

وَلا يَأتَلِ أُولُو الفَضلِ مِنكُم وَالسَّعَةِ أَن يُؤتوا أُولِي القُربىٰ وَالمَساكينَ وَالمُهاجِرينَ في سَبيلِ اللَّهِ ۖ وَليَعفوا وَليَصفَحوا ۗ أَلا تُحِبّونَ أَن يَغفِرَ اللَّهُ لَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ
Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,

Ayat ini tentang Abu Bakar yang bersumpah tidak mahu lagi menolong Mishtah kerana Mishtah ini yang membawa cerita Aisyah berzina. Marah dia sampai bersumpah tidak mahu menolong.
Allah tidak mahu kita jadi begitu. Walaupun dia telah buat kesalahan besar, tapi masih tetap layak menerima pertolongan kita.

Hadith galakan menolong janda dan orang miskin

“Orang yang membantu ibu tunggal dan orang miskin adalah ibarat orang yang berjihad dijalan Allah dan juga ibarat orang yang bangun solat malam hari serta puasa siang hari”
(Hr Al-Bukhari 5353)

Semoga dengan pertolongan dan bantuan itu, janda itu akan lembut hatinya.

Allahua’lam

 

 

SOALAN

Ustaz, boleh berikan tazkirah dikubur?

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Boleh.

HADITH daripada Huzaifah menuturkan Rasulullah SAW pernah mendatangi satu jenazah, ketika sampai di kubur, Baginda duduk di tepi liang kubur itu dan Rasulullah berkali-kali memandang ke dalam kubur itu, lalu Baginda SAW bersabda mafhumnya: “Di dalam kubur ini seorang mukmin dihimpit dengan himpitan kubur yang menghancurkan anggota tubuhnya. Sementara pada kubur orang kafir penuh dengan api neraka. Satu perkara yang perlu anda ingat di dalam hidup kita, apabila tiba saat liang lahad terbuka dan jasad kita diturunkan ke dalamnya, satu perkara yang perlu kamu ingat ialah dimana akan berlakunya himpitan kubur.”

Maknanya boleh berucap di kubur untuk memberi peringatan.

 

 

SOALAN

Bolehkah jual beli emas secara online?

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Saya tidak banyak mengkaji tentang perkara ini. Tapi setahu saya, fatwa mengharamkan. Kerana ini adalah komoditi emas dan ada hadis tentangnya.

الذَّهبُ بالذَّهبِ . والفضَّةُ بالفِضَّةِ . والبُرُّ بالبُرِّ . والشعِيرُ بالشعِيرِ . والتمْرُ بالتمْرِ . والمِلحُ بالمِلحِ . مِثْلًا بِمِثْلٍ . سوَاءً بِسَواءٍ . يدًا بِيَدٍ . فإذَا اخْتَلَفَت هذهِ الأصْنَافُ ، فبيعوا كيفَ شئْتُمْ ، إذَا كانَ يدًا بِيَدٍ

“emas dengan emas, perak dengan perak, burr dengan burr, sya’ir dengan sya’ir, tamr dengan tamr, garam dengan garam, kadarnya harus semisal dan sama, harus dari tangan ke tangan (kontan). Jika jenisnya berbeda, maka juallah sesuka kalian, selama dilakukan dari tangan ke tangan (kontan)”

(HR. Al Bukhari, Muslim no. 1587, dan ini adalah lafadz Muslim).

Maksudnya, ianya termasuk benda yang kena jual dalam satu majlis akad supaya dapat diperiksa emas tersebut. Kalau online, ianya adalah delayed transaction.

Allahu a’lam

 

 

SOALAN

Adakah benar apabila seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja selama hidupnya maka ia dihukumkan sebagai kafir? Adakah segala amalan kebaikan yang dikerjakan sepanjang hidupnya akan terluput kerana solat yang ditinggalkan selama ini? Tidak dikira langsung?

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Hukum meninggalkan solat dengan sengaja dan adakah kafir atau tidak, itu adalah perbahasan antara ulama. samada kafir terus atau tidak. Salah satu pendapat memang orang itu kafir kerana ada hadis yang mengatakan pembeza antara muslim dan tidak adalah solat.

Adakah amalan dia yang lain langsung tidak kira? Seperti yang kita tahu, solat adalah perkara pertama yang akan ditanya. Kalau selamat, ada harapan, tapi kalau solat tidak selamat, terus masuk ke dalam neraka.

Perumpamaan begini: Ada seorang budak mengambil peperiksaan matematik, sains, geografi keputusannya lulus, tapi bahasa melayu tidak lulus. Dalam sijil, semua peperiksaan lain di isi markah dia, tapi keputusan dekat bahagian atas akan ditulis ‘gagal’ kerana perkara penting tidak lulus.

Allahua’lam

 

 

SOALAN

Ramai melihat bahawa mereka masih diberi masa untuk bertaubat walaupun di saat akhir hayat di muka bumi. Apakah benar orang yang bertaubat pada saat sakaratul maut menjemputnya masih diterima Tuhan taubatnya?

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Kalau bertaubat apabila sakaratul maut, tidak diterima. Dalilnya adalah kisah Firaun yang bertaubat apabila dia hampir mati. Dia bertaubat dan beriman waktu itu, tapi tidak dikira. Itu sudah terlambat.

Ini disokong dengan ayat lain dan hadis dari Nabi juga.

 

 

SOALAN

Assalamualaikum..
i. Apa pandangan panel berkenaan dengan ruqyah?

ii. Benarkah ada dua ruqyah dalam islam iaitu ruqyah syari’iyah dan ruqyah syirik’iyahn? Jika benar, apakah perbezaan di antara keduanya?

iii. Apakah benar ruqyah ini dapat membantu pesakit yang menghidapi penyakit jantung,katarak dan penyakit medis yang lain?

Mohon penjelasan panel akan hal ini.Syukran.

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Ruqyah adalah doa sebenarnya. Tapi jenis doa untuk minta kesembuhan. Kalau doa minta ampun, dipanggil istighfar. Tapi jenis doa juga.

Dalam doa telah diajar dalam Qur’an bahawa kena doa yang selari dengan tauhid. Jadi untuk selamat, kita pakai doa-doa yang diajar oleh Nabi.

Memang banyak sekali yang menggunakan ayat-ayat Qur’an tertentu untuk penyakit jantung, penyakit itu dan ini. Tapi itu semua tidak ada dalil. Dan kalau dilihat ayat-ayat yang dikatakan boleh menyembuhkan itu, tidak ada terkait dengan jantung pun. Malah tidak ada doa pun dalam ayat-ayat itu.

Memang ada disebut dalam Qur’an bahawa Qur’an itu adalah syifa (penyembuh) tapi bukanlah dengan cara yang diajar oleh kebanyakan ‘ustaz’ sekarang. Kita tidak tahu dari mana mereka dapat amalan itu. Kalau ada dalil, maka kita boleh terima. Tapi setakat ini, saya belum berjumpa lagi dalil melainkan dikatakan: amalan ulama-ulama dahulu.

Allahu a’lam

 

 

SOALAN

Bagaimana hendak menegur mereka dalam situasi dibawah? Berdasarkan dalil bahawa amalan membaca yasin dan mendapat duit daripada orang ramai adalah perbuatan yang salah.

Situasi : Ada sekumpulan budak-budak pondok di kampung berqasidah,baca yasin beramai-ramai dan mendapat sedekah hasil aktiviti mereka. Ketua kumpulan budak-budak ini merasakan perbuatan mereka adalah betul.
Apabila ditegur mereka meminta dalil yang sahih untuk buktikan perbuatan itu adalah salah.

JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:

Itu termasuk dalam ‘menjual agama’. Lihat Hud:15 & 16

مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ

Sesiapa yang usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batal apa yang mereka telah kerjakan.

Mengambil upah untuk amalan-amalan sebegitu adalah salah seperti yang disebut dalam ayat di atas dan ayat-ayat lain lagi.

Kalau hendak dunia dengan jual agama, jual ayat-ayat Qur’an, Allah benarkan sahaja. Tapi Allah akan azab di akhirat kelak. Dan apa yang mereka lakukan itu adalah batal sama sekali. Tidak ada pahala pun.

Amalan kena ikhlas, bukan? Bagaimana hendak ikhlas kalau ambil upah?

Nabi dan para sahabat amat rapat dengan Qur’an. Tapi mereka sendiri tidak buat amalan-amalan ini. Apakah kita lebih ‘pandai’ dari mereka?

Komen dan Soalan