Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Kelas #6 | Ulum Hadith

Kelas #6 | Ulum Hadith

374
0
Iklan

2 April 2015 @ 12 Jumada Thani 1436

Bismillah, Alhamdulillah, wa ba’d.

InsyaAllah pada malam ini kita akan menyambung kelas ulum hadith kita, telah kita berbincang beberapa istilah pada minggu lepas seperti sanad dan matan, juga athar, serta khabar. Baik, secara umumnya para ahli istilah telah membahagikan hadith kepada sifatnya, yang saya maksudkan di sini ialah mereka menyebut hadith fi’li, hadith qauli, hadith taqriri, hadith wasfi.

Ini hanyalah penamaan istilah, istilah..tidak penting sangat dalam amali. Namun ada baiknya kita mengetahuinya, yang dimaksudkan hadith qauli ialah hadith yang berkait percakapan Nabi SAW, iaitu sanadnya berakhir dengan berkata Nabi SAW berkata “…”.

Hadith fi’li pula ialah berkait perbuatan Nabi SAW, apa saja hadith yang menceritakan Nabi melakukan sekian, sekian, maka secara istilahnya ia dinamakan hadith fi’li.

Hadith taqriri pula, taqrir iaitu tacit approval, ia merupakan persetujuan Nabi SAW atas apa yang berlaku ketika hayatnya dan Baginda mengetahui dan menyaksikannya, namun beliau tidak membantah.

Hadith wasfi pula ialah hadith yang menceritakan sifat Baginda SAW, baik sifat kejadian ataupun sifat akhlak, misalnya hadith yang menceritakan bentuk tubuh Nabi SAW yang tidak terlalu tinggi dan tidak juga pendek, juga hadith yang menceritakan akhlaknya Baginda SAW.

Baik. Itu secara umumnya. Hari ini kita masuk istilah baru, iaitu istilah al-Musnad.

 

* al-Musnad:

Al-Musnad mempunyai banyak definisi, definisi yang paling masyhur ialah hadith yang mempunyai dua sifat, iaitu sifat ittisal (secara zahir isnad) serta sifat rafa’nya ia kepada Nabi SAW. Berkumpulnya ittisal sanad (secara zahir) serta ia adalah hadith marfu’, maka ia dinamakan hadith musnad di sisi jumhur ahli hadith. Jika hadith itu hanya muttasil namun mauquf, atau maqtu’ tidak marfu’, tidaklah ia dinamakan musnad.

Ittisal, maksudnya bersambung, yang dimaksudkan di sini ialah bersambungnya sanad secara zahir. Marfu’, maksudnya hadith itu dinisbahkan kepada Nabi, baik ia hadith qauli, taqriri, atau lainnya. Mauquf dan Maqtu, akan kita bincang kemudian. InsyaAllah.

Baik, yang telah saya sebutkan sebelum ini adalah definisi al-Musnad di sisi jumhur iaitu majoriti ahli hadith. Namun perlu diketahui, di sana terdapat maksud lain bagi al-Musnad. Antaranya sebahagian ahli hadith mutaqaddimin dan juga mutaalhkhirin menggunakan istilah al-Musnad dengan maksud Ittisal, tidak mengira sama ada ia marfu’ atau tidak. Iaitu sanad hadith itu muttasil (bersambung), tak mengira ia bersambung akhirnya kepada Nabi (disebut marfu’), ataupun selain Nabi. Maka mereka tetap menyebutnya sebagai hadith musnad.

Sebahagian lain ahli hadith pula menggunakan istilah musnad dengan maksud marfu’ sahaja! Tak mengira sama ada sanad itu muttasil (bersambung) atau munqathi’ (putus). Berapa definisi al-Musnad yang telah kita sebutkan? Tiga, tiga ya.

  • Pertama: al-Musnad dengan maksud muttasil marfu’
  • Kedua: al-Musnad dengan maksud muttasil saja.
  • Ketiga: al-Musnad dengan maksud marfu’ saja.

Apakah faedah kita mengetahui maksud yang berbeza-beza bagi satu istilah ini?

Kerana, sebagaimana yang saya pernah sebutkan dalam kelas yang lalu, agar kita tidak salah faham ketika membaca kalam para huffaz hadith. Apabila kita membaca kitab ulum hadith, dan kita menjumpai seseorang hafiz hadith berkata “hadith ini musnad”, maka dalam minta kita terus keluar tiga definisi, tiga definisi, dan kita melihat apakah musnad yang dimaksudkan oleh hafiz atau imam hadith itu. Agar kita tidak salah faham, dan tidak terburu-buru.

Pesan guru saya Syaikhuna al-Muhaddith Abu Muaz Thariq Iwadullah, penting bagi seseorang penuntut ilmu mengetahui istilah yang dimaksudkan oleh seseorang hafiz atau imam itu, adakah musnad yang dia maksudkan ialah muttasil marfu’, atau marfu saja atau muttasil saja, mudahnya penting kita mengetahui manhaj para huffaz.

Satu lagi maksud al-Musnad yang saya lupa sebutkan ialah, al-Musnad dengan maksud kitab matan hadith yang disusun mengikut nama para Sahabat, misalnya Musnad al-Imam Ahmad, Musnad alHumaidi, serta Musnad Abi Daud al-Thayalisi. Baik. Demikian maksud istilah al-Musnad. Istilah seterusnya ialah al-Mutaqaddimin.

 

* al-Mutaqaddimin:

Yang dimaksudkan dengan al-Mutaqaddimin ialah para ahli hadith sehingga 300H, demikian kata alSyaikh Dr. Muhammad Abul Laiths Khair Abadi, misalnya Malik serta tabaqatnya, Syu’bah serta tabaqatnya, Waki’ dan tabaqahnya, Ibn Mahdi dan tabaqahnya, Ahmad bin Hanbal dan tabaqahnya, alBukhari dan tabaqahnya, al-Tirmizi dan tabaqahnya, serta al-Nasaei dan tabaqahnya. Atau disebut juga Salafus soleh. Seterusnya al-Mutaakhkhirin.

 

* al-Mutaakhkhirin:

Yang dimaksudkan dengan al-Mutaakhkhirin ialah mereka yang selepas 300H, demikian kata al-Syaikh Abul Laiths al-Khair Abadi. Misalnya al-Khatib al-Baghdadi serta tabaqahnya, al-Nawawi serta taqabahnya, Ibn al-Solah serta tabaqahnya, al-Iraqi dan tabaqahnya, Ibn Hajar dan tabaqahnya, alSuyuthi dan tabaqahnya, sehinggalah mereka di zaman ini. Pemisah antara Mutaqaddimin dan Mutaakhkhirin sebenarnya adalah lebih kepada manhaji, iaitu dari segi manhaj, bukanlah dari segi zaman, maka dimasukkan juga Ibn Abdul Hadi, Ibn Rajab, serta mereka yang berjalan atas manhaj mutaqaddimin pada zaman kita semisal al-Muallimi al-Yamani, Muqbil alWadie, al-Sa’d dan lainnya.

Boleh merujuk semula diskusi kita berkenaan perkembangan penulisan buku-buku ulum hadith dahulu, saya telah sebutkan dengan lebih rinci. Hanya saja di sini saya ulang, hanya saja saya ulang sebagai formaliti. Baik, seterusnya istilah al-Maqbul

Al-Maqbul dapat kita bahagikan kepada dua, iaitu al-Maqbul untuk perawi, serta al-Maqbul untuk hadith.

 

* al-Maqbul min al-Ruwah (Maqbul untuk perawi hadith)

Ini merangkumi para perawi yang ‘adil, serta sempurna dhabitnya, serta termasuk juga mereka yang rendah dhabitnya. Kita akan berbincang dengan lebih mendalam akan maksud ‘adil, serta dhabit kemudian apabila sampai babnya insyaAllah. Seterusnya al-Maqbul untuk hadith

Sekejap, berbalik kepada al-Maqbul untum perawi, al-Hafiz Ibn Hajar mempunyai definisi dalam kitabnya al-Taqrib, dalam buku ini al-Maqbul ialah para perawi yang majhul sekiranya dia dikuti, iaitu jika riwayatnya turut di bawa yang lain, maka Ibn Hajar menamakannya maqbul. Jika dia tidak diikuti, maka dia kekal majhul. Ini khas untuk maqbul yang disebut Ibn Hajar dalam kitabnya al-Taqrib. Baik. Seterusnya al-Maqbul untuk hadith.

 

* al-Hadith al-Maqbul

Istilah maqbul apabila digunakan untuk hadith pula, disebut hadith maqbul, ia bermaksud hadith yang mencukupi syarat qubul hadith, baik dari yang teratas atau yang bawah-bawah. Qabul iaitu penerimaan, diterima untuk dibuat hujah. Baik, seterusnya ialah istilah al-Sahih. Jika tadi kita telah melihat definisi al-Musnad yang pelbagai, sekarang kita akan lihat pula definisi Sahih
yang pelbagai. Saya tidak silap sebut, ya istilah Sahih juga mempunyai beberapa maksud juga, bukan hanya satu, bukan hanya satu. Pertama ialah definisi al-Sahih yang masyhur ialah, hadith yang bersambung-sambung sanadnya dengan para perawi yang thiqaat, serta tiada baginya ‘illah, ini definisi mudah. Ataupun sebahagian ahli istilah Mutaakhkhirin menyebut dengan lebih sistematik, iaitu hadith yang mencukupi 5 syarat, iaitu:

  1. Sanadnya bersambung (muttasil)
  2. Perawi yang ‘adil
  3. Perawi yang dhabit
  4. Bebas dari syaz
  5. Bebas dari ‘illah

Ini adalah definisi secara umumnya, ada kes penyecualian, dan kita akan berbincang hal itu kemudian bila tiba babnya. Definisi hadith Sahih dengan 5 syarat ini adalah definisi di sisi ahli hadith. Manakala definisi Sahih di sisi fuqaha’ dan ahli usul fiqh pula hanya 3 syarat, iaitu sanad bersambung, perawi ‘adil serta dhabit. Tidak dimasukkan syaz dan ‘illah. Definisi ini tidak tepat, tidak tepat, kerana apa? Kerana perawi yang ‘adil dan dhabit (kedua sifat ini disebut thiqah) juga boleh berbuat silap, kerana itu sesuatu hadith perlu bebeza dari syaz atau ‘illah.

Satu perkara yang perlu diketahui, para huffaz mutaqaddimin menggunakan istilah hadith Sahih untuk semua hadith yang mereka jadikan hujjah, ini merangkumi istilah Hasan dalam fahaman Mutaakhkhirin. Jika pening tidak mengapa, ia akan menjadi jelas apabila kita masuk bab hadith Hasan, ia satu bab yang amat besar.

Mudahnya Mutaakhkhirin membahagikan hadith kepada Sahih, Hasan, Dhaif. Mutaqaddimin hanya membahagikan hadith kepada Sahih dan Dhaif saja. Hadith Hasan dalam istilah Mutaakhkhirin termasuk dalam ketegori Sahih di sisi Mutaqaddimin. Adakah maksudnya di sini tiada istilah Hasan di sisi Mutaqaddimin? Jawabnya ada, cuma maksudnya berbeza, kita akan ulas kemudian apabila masuk bab hadith hasan. InsyaAllah.

Baik, itu definisi sahih yang masyhur. Iaitu yang mencakupi 5 syarat. Definisi yang lain pula untuk Sahih. Para huffaz Mutaqaddimin selain mereka menggunakan istilah Sahih bagi menunjukkan darjat hadith, iaitu hadith yang mencukupi 5 syarat yang telah saya sebutkan sebelum ini, mereka juga menggunakan istilah Sahih dengan maksud selain darjat hadith. Mereka menggunakan istilah Sahih dengan maksud Muttasil, atau Ittisal. Iaitu telah sahihya fulan mendengar dari fulan. Iaitu sanadnya fulan dari fulan bersambung.

Contohnya, kata para huffaz Mutaqaddimin “hadith-hadith fulan A dari fulan B adalah Sahih”, yang dimaksudkan di sini bukan Sahih dari segi darjat hadith (5 syarat tadi), tetapi yang dimaksudkan di sini ialah telah sahih fulan A mendengar dari fulan B. Atau juga ibarat yang semisal.

Contohnya ialah al-Imam Abu Daud pernah ditanya berkenaan ‘Ammar bin Abi ‘Ammar, maka kata Abu Daud “thiqah”, dia meriwayatkan dari Syu’bah satu hadith, dan berkata Syu’bah : لي يصح ال كان و – adalah dia tidak sahih dari ku” Maksud tidak sahih dalam ungkapan Syu’bah ini ialah, ‘Ammar tidak mendengar darinya, tidak Sahih bersambungnya ‘Ammar dari Syu’bah secara sama’

Contoh lain, berkata Yahya al-Qatthan : qatadah tidak sahih dari mu’azah. Maksdunya di sini qatadah tidak mendengar dari Mu’azah. Tidak thabit sama’nya Qatadah dari Mu’azah.

Baik, itu beberapa contoh penggunaan istilah Sahih di sisi Mutaqaddimin dengan maksud ittisal, atau sama’. Ada banyak lagi contoh, dan insyaAllah saya akan sebutkan dalam kelas akan datang. Satu lagi, saya terlupa, Istilah Sahih juga digunakan oleh huffaz Mutaqaddimin dengan maksud Sahih makna, iaitu Sahihnya intipati matan hadith, hadith itu sendiri boleh jadi Dhaif.

Baik, kesimpulannya terdapat 3 maksud Sahih.

  1. pertama: sahih dari segi istilah, iaitu hadith yang diriwayatkan secara bersambung-sambung, oleh
    mereka yang thiqah, serta tiada syaz dan illah
  2. kedua: sahih demgan maksud ittisal atau sama’
  3. ketiga: sahih dengan maksud benarnya makna matan hadith, walaupun hadith itu dhaif.

Komen dan Soalan