Utama Bilik Khas Syirik dan Permulaan Syirik

Syirik dan Permulaan Syirik

404
0
Iklan

Syirik

Sesudah seseorang Muslim itu mentawhidkan Allah, wajiblah baginya mengenali lawannya, iaitu syirik. Tujuannya supaya ia dapat menghindari amalan syirik dan menyelamat keluarganya daripada fitnah syirik. Oleh itu dikatakan:

عَرَفْتُ الشَّرَّ لَا لِلشَّــــــــــــــــــــرِّ لَكِنْ لِتَوْقِيهِ

Aku mengenali kejahatan bukan kerana sukakan kejahatan, akan tetapi kerana ingin menjauhinya,

وَمَنْ لَا يَعْرِفُ الشَّــــــــــــرَّ مِنَ النَّاسِ يَقَعُ فِيهِ

Orang ramai yang tidak mengenali kejahatan berkemungkinan terjerumus ke dalamnya

Syirik itu ialah melakukan sesuatu ibadah kerana selain Allah. Ia adalah dosa besar kerana menyerupakan makhluk dengan Khāliq pada ciri-ciri Ilāhiyyah-Nya.

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar. Surah Luqman (31:13)

Bahkan ia adalah kezaliman yang sungguh dahsyat kerana meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Sesiapa tunduk mengabdikan diri kepada selain Allah, maka ia meletakkan ibadahnya pada bukan tempatnya dan menyerahkannya bukan kepada yang berhak ke atasnya. Justeru itu, syirik adalah dosa besar yang paling besar. Daripada Abū Bakrah, katanya: Rasulullah – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam – bersabda:

«أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الكَبَائِرِ؟». (ثَلاَثًا)

“Mahukah kamu aku beritahukan tentang dosa besar yang paling besar?” (Tiga kali)

Jawab para sahabat:

بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ.

“Tentu sekali wahai Rasulullah.”

Baginda bersabda:

«الإِشْرَاكُ بِاللهِ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ».[1]

“Mensyirikkan Allah dan derhakakan kedua ibu bapa.”

Kata Ibn Mas‘ūd:

أَكْبَرُ الكَبَائرِ أَنْ تَجْعَلَ للهِ نِدّاً وَهُوَ خَلَقَكَ.

“Dosa besar yang paling besar ialah engkau mengadakan sekutu bagi Allah, sedangkan Dia yang menciptakan engkau.”

 

 Permulaan Syirik

Manusia pada asalnya berada di atas tawhid kepada Allah. Kata Ibn ‘Abbās – raḍiyalLāhu ‘anhumā:

«كَانَ بَيْنَ آدَمَ وَنُوحٍ عَشَرَةُ قُرُونٍ كُلُّهُمْ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الْحَقِّ، فَلَمَّا اخْتَلَفُوا بَعَثَ اللهُ النَّبِيِّينَ وَالْمُرْسَلِينَ وَأَنْزَلَ كِتَابَهُ فَكَانُوا أُمَّةً وَاحِدَةً».[2]

“Adalah jarak masa di antara zaman Ᾱdam dan Nūḥ itu adalah sepuluh kurun. Kesemua mereka pada ketika itu berada di atas syariat yang benar. Tatkala mereka berselisih, Allah telah membangkitkan para nabi dan rasul dan menurunkan kitab-Nya, lalu mereka menjadi umat yang satu.”

Adalah Ᾱdam – ‘alayh al-salām – itu mempunyai beberapa orang anak, antaranya ialah: Wadd, Suwā‘, Yaghūth, Ya‘ūq dan Nasr. Kesemua mereka adalah ahli ibadat. Setelah salah seorang di antara mereka mati, kaumnya merasa amat sedih kerana kematiannya. Syaitan lalu membisikkan kepada mereka:

حَزِنْتُمْ عَلَى صَاحِبِكُمْ هَذَا؟

“Adakah kamu merasa sedih dengan kematian ahli ibadat kamu ini?”

Jawab mereka:

نَعَمْ.

“Ya.”

Kata syaitan lagi:

هَلْ لَكُمْ أَنْ أُصَوِّرَ مِثْلَهُ فِي قِبْلَتِكُمْ إِذَا نَظَرْتُمْ إِلَيْهِ ذَكَرْتُمُوهُ؟

“Kenapa kamu tidak letakkan gambarnya di kiblat kamu supaya apabila kamu melihatnya, kamu dapat mengingatinya.”

Jawab mereka:

لَا نَكْرَهُ أَنْ تَجْعَلَ لَنَا فِي قِبْلَتِنَا شَيْئًا نُصَلِّي إِلَيْهِ.

“Kami tidak suka meletakkan di kiblat kami sesuatu yang kami sembah akannya.”

Kata syaitan:

فَأَفْعَلُهُ فِي مُؤَخَّرِ الْمَسْجِدِ.

“Kalau begitu, letakkanlah ia di sebelah belakang masjid.”

Jawab mereka:

نَعَمْ.

“Ya, betul.”

Lalu mereka membuat gambar orang yang salih itu. Sehingga apabila kelima-limanya meninggal dunia, dilukiskan gambar setiap orang daripada mereka lalu diletakkan di belakang masjid. Setelah berlalu masa yang panjang, berlaku perubahan sedikit demi sedikit sehinggalah mereka meninggalkan peribadatan kepada Allah dengan bertawassul memuja kelima-lima ahli ibadat yang sudah meninggal dunia itu. Allah kemudiannya mengutus Nabi Nūḥ – ‘alayh al-salām – bagi mengajak mereka kembali mentawhidkan Allah. Lalu ketua-ketua mereka menghasut:[3]

… ﮦ  ﮧ  ﮨ  ﮩ   ﮪ  ﮫ  ﮬ  ﮭ  ﮮ  ﮯ  ﮰ   ﮱ{.[4]

“Jangan sekali-kali kamu meninggalkan tuhan-tuhan kamu, dan jangan sekali-kali kamu meninggalkan Wadd, Suwaā‘, Yaghūth, Ya‘ūq dan Nasr.

Amalan syirik juga berlaku kerana terpesona dengan amalan yang dilakukan oleh orang lain atas sangkaan itu adalah kebaikan kerana kurangnya ilmu. Hal ini juga pernah berlaku kepada para sahabat Nabi – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam – di peringkat awal mereka memeluk Islam. Daripada Abū Wāqid al-Laythīy, katanya: Ketika tentera Islam dalam perjalanan ke Ḥunayn, mereka melintasi sebatang pokok yang dikenali di kalangan musyrikin sebagai Dhāt Anwāṭ, iaitu tempat mereka menggantung senjata atas kepercayaan bagi mengambil berkat. Sebahagian mereka berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ، اجْعَلْ لَنَا ذَاتَ أَنْوَاطٍ كَمَا لَهُمْ ذَاتُ أَنْوَاطٍ.

“Wahai Rasulullah, buatkan bagi kami Dhāt Anwāṭ sebagaimana orang musyrikin itu mempunyai Dhāt Anwāṭ.”

Jawab Nabi – ṣallalLahu ‘alayhi wa sallam:

«سُبْحَانَ اللهِ هَذَا كَمَا قَالَ قَوْمُ مُوسَى } ﭟ  ﭠ     ﭡ  ﭢ    ﭣ  ﭤ{,[5] وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَرْكَبُنَّ سُنَّةَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ».[6]

“SubḥānalLāh, ucapan kamu ini samalah seperti ucapan kaum Mūsā: “Buatlah untuk kami suatu berhala sebagaimana mereka mempunyai beberapa berhala.” Demi Allah yang diriku di tangan-Nya, kamu benar-benar mengikut jalan orang yang sebelum kamu.”

[1]     Ṣāḥīḥ al-Bukhārīy [2654].

[2]     Al-Mustadrak ‘alā al-Ṣaḥīḥayn [3654]. Kata al-Ḥākim: Ṣāḥīḥ menurut syarat al-Bukhārīy.

[3]     Sūrah Nūḥ, 71:23.

[4]     Al-‘Aẓamah, 5:1591.

[5]     Sūrah al-A‘rāf, 7:138.

[6]     Sunan al-Tirmidhīy [2180]. Taḥqīq al-Albānīy: Hadith Ṣaḥīḥ.

 

Komen dan Soalan