Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Bolehkah lelaki memakai inai?

Bolehkah lelaki memakai inai?

5319
0
Iklan

Bolehkah orang lelaki memakai inai di jari selain dari rambut dan janggut mereka? Saya melibatkan diri dengan penjualan inai dan selalu berhadapan dengan pelanggan lelaki yang hendak berkahwin membeli inai untuk dipakai di jari mereka. Bolehkah saya menjualnya kepada mereka?

Lelaki diharuskan untuk menginaikan rambut tetapi dilarang ( haram ) menginaikan kuku mereka. Wanita boleh menginaikan kuku tangan dan kuku kaki. Mengenai inai corak di belakang dan tapak tangan diharuskan tetapi setakat pergelangan tangan tidak boleh melebihi pergelangan tangan. Corak pula tidak boleh berbentuk binatang, manusia dan lambang agama bukan Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

Imam Nawawi dari ulama mazhab Syafie telah berkata: Adapun mewarnakan tangan dan kaki dengan inai adalah disunatkan bagi wanita yang berkahwin berdasarkan hadis-hadis yang masyhur; dan diharamkan kepada lelaki melainkan kerana keperluan perubatan dan seumpamanya.

Pengharaman ini telah disokong oleh ulama dari mazhab lain seperti disebut dalam kitab Fatawa Hindiah, Fatawa hindiah, Fathul Bari dan lain-lain.

Dalil pengharaman adalah seperti berikut:

1. Perbuatan ini adalah menyerupai perbuatan wanita yang diharamkan syara’. Nabi SAW bersabda:

لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المتشبهين من الرجال بالنساء ، والمتشبهات من النساء بالرجال.

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki. (HR Bukhari)

2. Hadis berikut:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يتزعف الرجل.

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang lelaki untuk memakai wangian Za’faran. (HR Bukhari dan Muslim dan lain-lain).

Imam Nawawi berkata dalam kitabnya (Majmuk): Larangan ini adalah kerana warnanya bukan kerana bau wanginya. Bau wangi adalah disunatkan bagi lelaki. Hukum memakai inai bagi lelaki adalah sama dengan memakai za’faran.

4. Hadis dari Abu Hurairah:

أتى رسول الله صلى الله عليه وسلم بمخنث قد خضب يديه ورجليه بالحناء الله ، فقال رسول الله صلى الله: ما بال هذا؟ قالوا يتشبه بالنساء فأمر به فنفي إلى النقيع.

Maksudnya: Para sahabat Nabi telah membawa seorang lelaki yang menyerupai wanita, di mana dia telah menginai kaki dan tangannya. Rasulullah SAW bersabda: “Kenapa dengan lelaki ni?” Para sahabat menjawab: “Dia menyerupai wanita” Lalu Nabi memerintah supaya dihalau ke Naqie’.(HR Abu Daud). Sanad yang lemah.

Berkenaan dengan lelaki yang memakai inai di tangan dan kaki, ulama melarangnya. Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata, Imam asy-Syafi’e rahimahullah melarangnya kecuali bagi tujuan perubatan, sebagaimana Islam melarang seorang lelaki menyerupai wanita.

Dalilnya:

Ibnu Abbas r.a dia berkata: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, ad-Darimi, ibn Majah dan at-Tirmidzi).

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan