Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 01.08.02 #120315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits: Penulisan Hadits

01.08.02 #120315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits: Penulisan Hadits

179
0
Iklan
Manuskrip al Muwatta
 
Nota 01.08.02 Pemeliharaan Sunnah
 
Susunan: BroSyarief 
 
Pemeliharaan Sunnah melalui Penulisan  
 
Terdapat dua peringkat pada pemeliharaan Sunnah Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, pada zaman Baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat radhiyalLaahu ‘anhum ajma’in. 
 
Peringkat Pertama : Larangan Menulis Hadits 
 
Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan, bahawa Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam bersabda: 
 
“Jangan menulis dariku selain al-Quran. Sesiapa yang menulis dariku selain al-Quran, maka hapuskanlah ia” [HR Muslim] 
 
Walaupun jelas akan adanya larangan ini, masih terdapat segelintir sahabat yang menulis hadits, seperti Abdullah ibn Amr ibn al-‘As, Ibn ‘Abbas, Jabir dan lain-lain. 
 
Bagaimana mereka boleh melanggar larangan Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam? 
 
Mereka sebenarnya tidak melanggar larangan Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, tetapi mereka berinteraksi dengan larangan tersebut dengan memahami kenapa baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam melarangnya, iaitu: 
 
1. Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam ingin mengelakkan dari bercampur dengan al-Quran, 
2. Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam tidak mahu para sahabat sibuk dengan yang selain al-Quran. 
3. Dorongan Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam supaya menghafal, dan tidak bergantung kepada tulisan. 
 
Para sahabat yang menulis hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam memahami sebab-sebab ini, dan mereka menulis hadits dengan memastikan apa yang Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam risaukan itu tak berlaku. 
 
Kerana itu, kemudiannya terdapat riwayat di mana Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam menggalakkan pula ‘Abdullah ibn Amr ibn al-As untuk menulis: 
 
أُكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلاَّ حَقٌّ
 
“Tulislah! Demi (Allah) yang jiwaku berada di tanganNya, tidaklah keluar darinya (sambil jari ditunjuk ke mulutnya), kecuali al-Haq” [HR Abu Dawud. al-Arnauth: Sahih] 
 
Pada peringkat ini, para sahabat ada yang berpegang kepada larangan secara zahir, dan ada yang berpegang dengan bolehnya menulis dengan memahami sebab (illah) larangan tersebut. 
 
Peringkat Ke-2 : Penulisan Hadits Selepas Wafatnya Baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam. 
 
Oleh kerana wahyu telah lengkap, segala sebab-sebab yang asalnya dibimbangkan telah tiada. 
 
Ini menyebabkan mereka semua sepakat bahawa usaha penulisan hadits juga perlu dirancakkan. 
 
Dari sini, banyak riwayat yang menceritakan hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam ditulis di atas pelbagai bahan dan oleh ramai sahabat. 
 
walLaahu a’lam 
 
Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Muhammad Abullayts KhairAbaadi. 
 
#BroSyariefShares

 

Komen dan Soalan