Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 01.08.01 #110315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits: Permulaan Pemeliharaan Sunnah

01.08.01 #110315 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits: Permulaan Pemeliharaan Sunnah

433
0
Iklan
Allah-Muhammad-Black-Background_1
 
Nota 01.08.01 Permulaan Pemeliharaan Sunnah
 
Susunan: BroSyarief 
 
Pemeliharaan Sunnah dengan Kekuatan Ingatan
 
Komuniti Arab di zaman Rasulullah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, majoritinya buta huruf, kecuali sedikit sangat yang boleh membaca dan menulis. 
 
Sepertimana firman Allah subhanahu wa ta’ala, yang bermaksud, “Dia (Allah) yang telah mengutuskan kepada kaum yang buta huruf itu, seorang utusan, dari kalangan mereka (juga)..” (62:2)
 
Walaupun demikian, ini menjadikan mereka sangat kuat ingatan dan cepat menghafal. Ini terbukti melalui hafalan mereka terhadap nasab kekeluargaan mereka, ribuan syair-syair, kisah-kisah sejarah dan lain-lain. 
 
Oleh kerana itu, di zaman Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, para sahabat memelihara sunnah Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam dengan kekuatan ingatan dan hafazan yang cepat. Dan usaha ini juga didokong oleh beberapa perkara: 
 
1. Amal dan Praktis
 
Setiap apa yang mereka dengar dari kata-kata dan lihat dari perbuatan Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, akan diamalkan dengan segera tanpa banyak persoalan. 
 
2. Diskusi dan Ulang kaji. 
 
Anas ibn Malik menyebutkan: 
 
كنّا نكون عند النبي صلى الله عليه وسلم، فنسمع منه الحديث، فإذا قمنا تذاكرناه فيما بيننا حتى نحفظه
 
“Kami dahulu di sisi Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam. Maka, kami mendengarkan daripadanya hadits. Apabila kami bangun (setelah selesai), kami akan saling menyebutkannya di antara kami sehingga kami menghafalnya” [Riwayat al-Khaatib di dalam al-Jaami’ li Akhlaq ar-Raawi] 
 
Dan berterusan usaha pemeliharaan hadits dan sunnah melalui hafalan dan ingatan sehinggalah zaman pemerintahan khulafa ar-Rashidin, yang mana ianya berlaku di atas sebab-sebab ini: 
 
1. Orang Arab majoritinya buta huruf. 
2. Di zaman Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, mereka sibuk dengan penulisan al-Quran.
3. Larangan Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam dari menulis hadits (akan dibincangkan pada nota seterusnya).
4. Terhadnya sumber bahan-bahan untuk ditulis padanya, seperti kulit, daun dan kayu. 
 
walLaahu a’lam 
 
Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Muhammad Abullayts KhairAbaadi. 
 
#BroSyariefShares

 

Komen dan Soalan