Utama Blog Halaman 99

Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat Ke-22 hingga Ke-24

0

Tafsir Surah Al-Ahqaf

Tafsir Ayat ke-22

Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ telah ditolak dan ditentang, begitu juga dengan Nabi Hud عليه السلام dulu. Ayat ini sebagai tasliah (pujukan) kepada Nabi, kerana Nabi Muhammad ﷺ telah ditolak oleh kaumnya. Allah ﷻ hendak memujuk Nabi dengan memberitahu, bukan baginda sahaja yang kena tolak, tetapi Nabi Hud عليه السلام pun kena tolak juga.

قالوا أَجِئتَنا لِتَأفِكَنا عَن ءآلِهَتِنا فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

Mereka menjawab: “Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”

قالوا أَجِئتَنا لِتَأفِكَنا عَن ءآلِهَتِنا

Mereka menjawab: “Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah ilah-ilah kami?

Kaum Nabi Hud عليه السلام tidak dapat menerima ajaran tauhid yang disampaikan oleh Nabi Hud عليه السلام itu. Mereka marah kepada baginda dan menuduh baginda hendak memesongkan mereka dari ilah mereka.

Setakat yang kita telah sentuh dalam banyak tempat, ilah itu adalah tempat penyempurna hajat dan tempat kita letak harapan hati.

Ia hanya boleh diletakkan kepada Allah ﷻ sahaja tetapi kaum Aad itu sudah lama mengamalkan amalan syirik. Apabila perkara besar begitu dikatakan salah oleh Nabi Hud عليه السلام, tentulah mereka melenting.

Masyarakat memang takut kalau perkara yang telah lama mereka lakukan diganggu gugat dan dikatakan salah. Macam masyarakat kita sekaranglah juga, kalau ada yang kata amalan bid’ah mereka seperti talqin, Doa Selamat, Solat Hajat, Majlis Tahlil dan yang seumpamanya dengannya itu adalah salah, melenting sungguh mereka.

Kita yang memberi nasihat kepada mereka pula yang dimarah kerana dikatakan hendak menukar agama nenek moyang mereka. Mereka kata: “benda ni sudah lama orang kita telah amalkan, tiba-tiba kamu kata salah pulak? Siapa kau??”

فَأتِنا بِما تَعِدُنا

Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu

Mereka dengan beraninya telah mencabar Nabi Hud عليه السلام untuk membawakan azab yang telah dijanjikan kepada mereka. Nabi Hud عليه السلام telah berdakwah dan memberi amaran kepada mereka, kalau tetap meneruskan melakukan syirik, mereka akan ditimpa oleh azab.

Mereka tetap tidak mahu mendengar nasihat baginda, malah telah berani mencabar Nabi Hud عليه السلام untuk bawakan azab itu dengan segera.

إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”

Mereka tidak percaya yang Nabi Hud عليه السلام itu adalah Nabi yang sebenar. Maka, mereka cabar baginda tanpa usul periksa lagi, tanpa berfikir panjang. Mereka cabar supaya disegerakan azab yang dijanjikan itu.

Ini adalah permintaan yang amat bodoh sekali kerana sepatutnya kita minta elak dari musibah dan azab, tetapi mereka ini minta azab dipercepatkan pula.

Tafsir Ayat ke-23

Allah ﷻ ajar dalam ayat ini bahawa azab itu janji Allah ﷻ, bukan datang dari kehendak Nabi.

قالَ إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ وَأُبَلِّغُكُم مّا أُرسِلتُ بِهِ وَلٰكِنّي أَرٰكُم قَومًا تَجهَلونَ

Nabi Hud berkata: “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul)!”

قالَ إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ

(Nabi Hud) berkata: “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah,

Kuasa untuk menurunkan azab adalah dalam tangan Allah ﷻ; Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu bilakah ia akan dikenakan kepada mereka. Nabi Hud عليه السلام hendak turunkan azab yang dijanjikan itu pun tidak boleh kerana bukan baginda yang jaga azab.

Atau, ia bermaksud ilmu sama ada mereka layak dikenakan dengan azab atau tidak hanya ada pada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu. Nabi Hud عليه السلام boleh sampaikan sahaja.

Macam kita boleh sebut kriteria orang kafir begini dan begitu, tetapi kita tidak boleh label seseorang sebagai kafir. Kita tidak boleh kata: “kau kafir, pasti kena azab, pasti masuk neraka!”. Paling kuat kita boleh kata: “aku tengok engkau ni ada ciri-ciri orang kafir. Maka berhati-hatilah dan baikilah diri kamu.”

Kita tidak boleh kata seseorang itu akan dikenakan dengan azab atau seseorang itu pasti masuk neraka. Kena ingat yang kita tidak jaga neraka dan syurga.

وَأُبَلِّغُكُم مّا أُرسِلتُ بِهِ

dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya,

Bukan baginda boleh tentukan siapa masuk neraka dan siapa kena azab, kerana baginda boleh beri peringatan dan ancaman sahaja. Baginda telah menjalankan tugas baginda dalam menyampaikan.

Maka, yang selain darinya, terpulang kepada Allah ﷻ. Maka kita pun kenalah jalankan tugas kita menyampaikan ajaran wahyu kepada umat.

وَلٰكِنّي أَرٰكُم قَومًا تَجهَلونَ

tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil

Baginda kata mereka adalah kaum yang jahil atau ‘buat-buat jahil’. Buat-buat tidak faham dengan apa yang disampaikan.

Jahil itu adalah apabila ikut perasaan sahaja iaitu ikut kehendak nafsu sahaja, sudah tidak ikut akal. Ini kerana kadangkala akal boleh terima apa yang disampaikan, tetapi nafsu yang tidak boleh terima. Maka, mereka yang menolak akan menolak dengan berbagai-bagai cara.

Sebagai contoh Kaum Aad itu tahu yang azab itu bukan dari baginda tetapi minta juga dari baginda. Mereka sengaja hendak menyakitkan hati baginda dengan berkata begitu. Konon-kononnya apabila baginda tidak dapat turunkan azab, maka baginda tidak benarlah pada mereka.

Tafsir Ayat ke-24

Takhwif Duniawi. Mereka telah dikenakan dengan azab. Ini sebagai penguat kepada Maksud Surah ini – pujaan-pujan yang mereka sembah itu tidak dapat menolong mereka apabila mereka dikenakan dengan azab. Sama ada azab itu di dunia atau di akhirat kelak.

Salah satu rahmat Allah ﷻ yang kita mungkin tidak perasan adalah Allah ﷻ sudah tidak hancurkan umat setiap kali mereka menolak Nabi mereka.

Sejak kedatangan Nabi Muhammad ﷺ, Allah ﷻ sudah tidak buat begitu lagi. Malah semenjak Nabi Musa عليه السلام lagi sudah tidak ada azab yang menghancurkan kaum diberikan. Ini adalah kerana syariat perang sudah diberikan.

Allah ﷻ tidak hancurkan manusia secara keseluruhan lagi kerana kalau Allah ﷻ buat macam dulu, lagi teruklah manusia zaman ini kena azab, kerana penentangan kita lagi teruk dari kaum-kaum terdahulu.

Itulah sebabnya Nabi Muhammad ﷺ digelar sebagai ‘rahmat kepada sekelian alam’ – kerana selepas baginda, azab yang besar-besar sudah tiada – kita diberi peluang untuk bertaubat.

Kalau Allah ﷻ musnahkan ‘umat’ Nabi Muhammad ﷺ, maka tiada lagi manusia atas muka bumi, kerana semua kita adalah umat Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya. Sedangkan kalau dulu Allah ﷻ musnahkan satu kaum, ada lagi kaum lain. Macam Allah ﷻ musnah kaum Aad, ada lagi kaum lain.

فَلَمّا رَأَوهُ عارِضًا مُّستَقبِلَ أَودِيَتِهِم قالوا هٰذا عارِضٌ مُّمطِرُنا ۚ بَل هُوَ مَا استَعجَلتُم بِهِ ۖ ريحٌ فيها عَذابٌ أَليمٌ

Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

فَلَمّا رَأَوهُ عارِضًا مُّستَقبِلَ أَودِيَتِهِم

Maka apabila mereka melihat (azab itu sebagai) awan yang menghala ke lembah-lembah mereka,

Oleh kerana kedegilan mereka, Allah ﷻ telah hentikan hujan untuk mereka. Jadi mereka sudah lama dalam kemarau. Allah ﷻ jadikan begitu supaya mereka rasa rendah diri tidak sombong, supaya hilang ego mereka. Ini kerana selalunya orang jadi sombong apabila mereka senang dan apabila mereka susah, baru teringat kepada Allah ﷻ.

Sepatutnya bila kena musibah sebegitu, membuatkan mereka terfikir yang mungkin perkara itu terjadi akibat tidak beriman dan supaya mereka kenangkan dosa mereka dan kembali ke pangkal jalan.

Maka lamalah mereka tidak dapat hujan, maknanya sudah lama musim kemarau. Tiba-tiba satu hari mereka boleh nampak datangnya awan yang tebal menuju ke lembah tempat tinggal mereka. Mereka pun teruslah suka apabila nampak awan itu.

قالوا هٰذا عارِضٌ مُّمطِرُنا

mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!”

Mereka sudah melonjak kegembiraan, kerana mereka sangka itu adalah awan yang membawa hujan yang akan turun. Mereka tidak sangka yang ia adalah azab yang dibawa untuk mereka kerana ia datang dalam bentuk awan. Mereka memang gembira kerana mereka memang tunggu hujan pun.

✍🏻Siti Aisyah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ. apabila melihat mendung atau angin yang besar, maka terlihat ada perubahan pada roman muka beliau. Lalu Siti Aisyah bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang merasa gembira bila mereka melihat awan kerana adanya harapan akan turun hujan. Tetapi aku amati apabila engkau melihatnya, ada perasaan kurang senang di wajahmu.” Maka Rasulullah ﷺ menjawab:

“يَا عَائِشَةُ، مَا يُؤَمِّنُنِي أَنْ يَكُونَ فِيهِ عَذَابٌ، قَدْ عُذِّبَ قَوْمٌ بِالرِّيحِ، وَقَدْ رَأَى قَوْمٌ الْعَذَابَ فَقَالُوا: هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا”

Hai Aisyah, aku merasa khuatir bila di dalam awan itu terdapat azab, kerana ada suatu kaum yang telah diazab melalui angin yang besar (awan), kaum itu melihat kedatangan azab tersebut, lalu mereka mengatakan, ‘Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami.”

Dalam hadis yang lain:

✍🏻Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman, dari Sufyan, dari Al-Miqdam ibnu Syuraih, dan ayahnya, dari Aisyah r.a. yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ apabila melihat awan muncul di cakrawala langit dari arah mana pun, beliau meninggalkan pekerjaannya. Dan jika beliau berada di dalam salatnya, mengucapkan doa berikut:

“اللَّهُمَّ، إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيهِ”

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari keburukan yang terkandung di dalam awan ini.

Dan jika ternyata awan itu hilang, maka beliau memuji kepada Allah ﷻ. Jika hujan turun, maka beliau membaca doa:

“اللَّهُمَّ، صَيِّبًا نَافِعًا”

Ya Allah, (jadikanlah hujan ini) hujan yang bermanfaat.

ۚ بَل هُوَ مَا استَعجَلتُم بِهِ

“Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya,

Tetapi ia bukannya awan nikmat tetapi itulah dia azab yang dulu mereka minta disegerakan. Bukankah sebelum ini mereka telah cabar Nabi untuk bawakan azab yang dijanjikan? Sekarang ia sudah datang, hendak cakap apa pula?

ۖ ريحٌ فيها عَذابٌ أَليمٌ

iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

Ia adalah angin kencang yang ada azab di dalamnya bukan air hujan tetapi azab.

Dalam surah lain ada disebut yang angin taufan itu melanda mereka selama tujuh malam lapan hari. Kalau sekarang kita tengok tornado serang sesuatu kawasan tiga minit pun kita boleh tengok kehancuran yang dilakukannya. Memang tidak dapat dibayangkan kemusnahan itu.

Allahu a’lam.

Tanggungjawab Anak kepada kedua Ibu Bapa

0

Tanggungjawab Anak Kepada Kedua Ibu Bapa

SEORANG anak yang soleh dan bertanggungjawab tidak akan mengabaikan kebajikan kepada kedua ibu bapanya. Jika sianak mengorbankan seluruh harta dan tenaganya untuk membalas jasa yang telah diberikan oleh kedua ibu bapanya ke atas dirinya nescaya dia tidak akan mampu membalasnya.

Hadis Nabi SAW

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدًا إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

Dari Abu Hurairah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Seorang anak tidak akan mampu untuk membalas kebaikan orang tuanya, kecuali ia mendapatinya dalam keadaan hamba, lalu ia membeli dan memerdekakannya.”

[ HR Tirmizi No: 1829 ] Status: Hasan Sahih.)

Berkhidmatlah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa semampu yang boleh. Tidak ada alasan anak-anak tidak mahu menziarahi ibu bapanya dengan alasan sibuk dan tidak ada masa. Anak- anak yang melukakan hati ibu bapa tanpa alasan yang syarie termasuk dalam kalangan anak-anak yang derhaka. Anak derhaka tidak dapat mencium bau syurga.

Derhaka pada kedua ibu bapa merupakan dosa besar .

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Redha Allah pada redha orang tua dan murka Allah pada murka orang tua.”

[ HR. Al Baihaqi ]

Sebenarnya, banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu bukan sahaja berbentuk material semata-mata malah, ianya merangkumi elemen spiritual dan hubungan kasih sayang yang perlu ditunjukkan oleh setiap insan bernama anak. Ini lebih-lebih lagi bersesuaian jika keadaan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian. Bukannya, untuk melepaskan tanggungjawab kita, ibu bapa dihantar ke rumah orang tua, semata-mata kerana kita tiada masa dan tidak tahan dengan kerenah mereka. Nau zubillah hi min zaa lik.

Terdapat 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa mereka.

Perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Memberi Nafkah.

Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

2. Menyediakan Tempat Tinggal.

Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

3. Memberi Kasih Sayang.

Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.” [al-Isra: 24]

4. Memberi Perhatian

Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.

5. Memenuhi Permintaan.

Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya.

Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medan perang.

Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: “Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Apakah perbuatan disukai oleh Allah?” Lalu Baginda bersabda: “Sembahyang pada waktunya.” Kemudian apa?” tanya saya lagi. Baginda menjawab: “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” Saya bertanya: “Apa lagi.” Jawab Baginda: “Berjihad pada jalan Allah.”

6. Melakukan Apa Yang Disukai.

Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa.”

[ Hadis riwayat at-Tirmizi ]

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: “Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.”

7. Bercakap Dengan Lemah Lembut.

Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.”

[ al-Israk: 23 ]

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

8. Menghadiahkan Kejayaan.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

9. Meluangkan Masa Bersama-sama.

Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

10. Mendoakan Kebaikan Untuk Ibu Bapa.

Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.

Doa untuk ibu bapa
Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya.”

[ Hadis riwayat Muslim ]

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia.

Oleh itu bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup maka lakukanlah 10 perkara di atas semoga Allah SWT meredhai dan memberkati hidup kita kerana khidmat yang telah kita lakukan.

🥦 Wassalam 🥦

Makmum Sundari
23.1.2019

#MS#AB
#SuaraPrihatin

Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat ke-20 dan ke-21

0

Tafsir Surah Al-Ahqaf

Tafsir Ayat ke-20

Takhwif Ukhrawi

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ أَذهَبتُم طَيِّبٰتِكُم في حَياتِكُمُ الدُّنيا وَاستَمتَعتُم بِها فَاليَومَ تُجزَونَ عَذابَ الهونِ بِما كُنتُم تَستَكبِرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَبِما كُنتُم تَفسُقونَ

Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): “Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ

Dan hari orang-orang kafir didedahkan kepada api neraka

Allah ﷻ hendak menceritakan keadaan mereka yang kafir yang duduk dalam neraka. Mereka akan dipanggang dengan api neraka yang suhunya ribuan juta darjah. Sambil mereka dipanggang itu, mereka akan dihinakan dengan kata-kata para malaikat yang sedang menyeksa mereka.

أَذهَبتُم طَيِّبٰتِكُم في حَياتِكُمُ الدُّنيا وَاستَمتَعتُم بِها

“Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya;

Ada muqaddar dalam ayat ini: ‘dikatakan kepada mereka’. Semasa mereka sedang dipanggang itu, mereka diberi syarahan yang menyakitkan hati. Ini adalah takzib rohani – penyeksaan jiwa. Ini untuk menambah azab badan yang mereka sedang terima.

Sudahlah tubuh mereka sedang diazab, jiwa mereka juga diseksa dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Diingatkan kembali kehidupan mereka di dunia yang menyebabkan mereka jadi sesat dan tidak bersedia untuk menghadapi akhirat – mereka dulu bersuka ria dalam dunia, menghabiskan masa dengan nikmat kehidupan sahaja.

Dunia telah melalaikan mereka sampai mereka tidak sempat meluangkan masa untuk mencari kebenaran, tidak beramal dengan amal yang soleh.Tentang dunia mereka hebat, tetapi tentang agama mereka ambil mudah sahaja. Mereka tidak kisah kalau mereka jahil tentang agama, asalkan kehidupan mereka senang lenang.

Macam orang kita juga yang pakai ilmu agama yang mereka dapat di sekolah rendah sahaja. Tidak berubah sampailah mereka sudah dewasa dan sudah tua. Mereka tidak ‘upgrade’ ilmu agama mereka. Ini juga celaan kepada manusia yang makan segala rezeki pemberian Allah ﷻ, tetapi tidak taat kepada-Nya.

Sebenarnya segala nikmat yang kita gunakan ini adalah percuma kalau kita taat kepada Allah ﷻ tetapi kalau tidak taat, maka akan ditanya apakah yang mereka lakukan semasa di dunia. Hendak bayar macam mana segala oksigen dan segala makanan yang kita sudah makan?

Ada satu lagi maksud ayat ini: segala perbuatan baik orang kafir itu telah Allah ﷻ balas semasa di dunia. Mereka pun ada buat baik juga, tetapi perbuatan baik itu Allah ﷻ telah balas di dunia lagi. Jadi mereka tidak dapat hendak tuntut perbuatan baik mereka itu di akhirat kerana mereka tidak ada pahala.
فَاليَومَ تُجزَونَ عَذابَ الهونِ

maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina

Ini kerana mereka lalai dari agama dan leka dengan dunia, sekarang mereka akan merasai azab yang menghinakan di neraka. Dulu mereka di dunia, hebat sekali – semua orang kenal, semua orang takut dan hormat kepada mereka, apa sahaja yang mereka hendak, mereka boleh dapat.

Kalau ada sesiapa yang mereka tidak setuju, siaplah orang itu kerana akan susah kehidupannya. Namun, terbalik sekali dengan nasib mereka di neraka – mereka jadi orang yang hina sehina-hinanya.

Dulu semasa di dunia, mereka mungkin hina orang lain, tetapi di akhirat nanti mereka akan dihinakan sehina-hinanya.

بِما كُنتُم تَستَكبِرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ

kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar,

Kenapa mereka dihinakan dengan teruk sekali? Ini kerana mereka dulu sombong tidak mahu menerima kebenaran. Apabila kebenaran disampaikan kepada mereka, mereka sombong hendak terima.

Mereka juga sombong hendak belajar, macam tidak penting sahaja pelajaran agama itu sampaikan mereka hendak luangkan masa pun tidak layak. Kita ajaklah banyak kali ajak datang kelas, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja.

Mereka tolak kebenaran tanpa hak – tanpa beri dalil bukti pun kenapa mereka tidak terima. Mereka tolak mentah-mentah sahaja dan sombong pula untuk terima ajaran tauhid yang disampaikan kepada mereka. Mereka tolak itu kerana mereka degil sahaja, bukan sebab lain.

وَبِما كُنتُم تَفسُقونَ

dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik”

Dari segi perbuatan mereka pula, mereka berbuat fasik – fasik maksudnya keluar dari taat. Apa yang Allah ﷻ suruh mereka buat, mereka tidak mahu buat tetapi perbuatan dosa mereka selalu dan banyak pula dibuat.

Inilah apabila tidak ada ilmu agama. Mereka sudah tidak kisah halal haram lagi. Semuanya mereka redah sahaja. Maka, kerana sebab-sebab inilah mereka dimasukkan ke dalam neraka.

Tafsir Ayat ke-21

Sekarang masuk kepada kisah yang baru. Ini adalah Dalil Naqli Tafsili dari kisah Nabi Hud عليه السلام dan juga mengandungi Takhwif Duniawi.

Allah ﷻ hendak mengingatkan kepada Musyrikin Mekah dan kita juga, apakah kesan kalau tidak ikut ajaran Rasul.

وَاذكُر أَخا عادٍ إِذ أَنذَرَ قَومَهُ بِالأَحقافِ وَقَد خَلَتِ النُّذُرُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Dan ingatlah peristiwa (Nabi Hud) saudara kaum Aad, ketika dia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah “Al-Ahqaaf”, – sedang (amarannya itu samalah seperti) amaran-amaran yang telah diberikan oleh Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya – (dengan berkata): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya)”.

وَاذكُر أَخا عادٍ

Dan ingatlah peristiwa saudara kaum Aad,

‘Saudara’ Kaum Aad yang dimaksudkan adalah Nabi Hud عليه السلام. Baginda adalah seorang Nabi dari kalangan bangsa Arab. Jadi Musyrikin Mekah memang kenal baginda. Kaum Aad ini adalah kaum yang ada selepas Banjir Besar Nabi Nuh.

Selepas banjir itu, semua manusia yang ada adalah beriman belaka. Melalui merekalah keturunan manusia bercambah membiak. Akan tetapi lama-kelamaan, manusia kembali melakukan syirik. Jadi, kaum Aad ini adalah antara kaum yang awal menolak tauhid.

إِذ أَنذَرَ قَومَهُ بِالأَحقافِ

ketika ia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah “Al-Ahqaaf”,

Nama surah ini diambil dari ayat ini: ahqaf (bukit-bukit pasir). Kaum Aad tinggal di daerah Ahqaf. Ia terletak antara kawasan Yaman dan Hadramawt.

Tempat itu dinamakan begitu kerana ada bukit-bukit pasir yang tinggi. Menurut Ikrimah, Al-Ahqaf ertinya bukit-bukit dan gua-gua. Musyrikin Mekah memang kenal dengan peninggalan mereka kerana telah melalui kawasan peninggalan kaum Aad itu dalam safar mereka.

وَقَد خَلَتِ النُّذُرُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ

dan telah berlalu Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya

Terdapat banyak rasul-rasul yang telah menyampaikan dakwah dan akan ada lagi rasul-rasul lain. Ada Rasul yang sezaman dengan Nabi Hud عليه السلام dan ada yang datang pada zaman sebelum.

Nanti akan ada Nabi lain yang akan datang sesudah baginda. Semua Nabi-nabi itu menyampaikan mesej tauhid yang sama.

Apakah mesej semua Nabi dan Rasul?

أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ

“Janganlah kamu menyembah melainkan Allah,

Mesej yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu sama sahaja pada dasarnya. Mereka mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah ﷻ sahaja dalam sembahan dan dalam seruan doa.

Jangan taat kepada selain dari Allah ﷻ dan meminta kepada selain Allah ﷻ. Selain itu jangan amalkan tawassul yang salah dan jangan minta kepada Nabi, wali dan malaikat.

Maknanya, semua Nabi-nabi dalam dunia ini menyampaikan mesej yang sama. Itulah yang hendak disampaikan kepada Musyrikin Mekah dan manusia seluruhnya.

إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

sesungguhnya aku bimbang ke atas kamu akan beroleh azab hari yang besar

Ini adalah jumlah ta’liliyah. Kenapa Nabi Hud عليه السلام sampaikan dakwah Tauhid itu? Ini kerana baginda takut mereka kena azab dan baginda sayang kepada kaumnya itu kerana baginda dalam kalangan mereka.

Begitulah kita juga bagi peringatan kepada keluarga dan kawan-kawan kita kerana kita sayang kepada mereka. Kita takut mereka dikenakan azab nanti kerana tidak tahu mereka ada melakukan perbuatan yang salah.

Sebagai contoh, ramai yang tidak tahu amalan doa bertawassul itu adalah syirik. Oleh kerana diajar oleh guru-guru yang salah, ramai yang melakukannya. Maka kitalah yang kena terangkan kepada mereka.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf ( Ayat ke-20 dan ke-21 )

📍 Adakah berjumpa bomoh dan minta buat rawatan untuk kita adalah tawassul?

🔵 Itu sudah termasuk khurafat.

📍Adakah banjir besar sewaktu zaman Nabi Nuh berlaku setempat atau satu dunia?

🔵 Banjir itu dialami satu dunia.

📍Boleh tunjukkan contoh doa yang bertawassul?

🔵 Dengan berkat Nabi Muhammad…

📍Bertawassul ini maksud yang meminta kepada Allah melalui perantaraan kubur wali-wali, Nabi-nabi dan malaikat? Adakah sebelum minum ubat kita berselawat juga adalah tawassul? Apakah lagi jenis tawassul yang masyarakat kita masih buat?

🔵Benar semua contoh-contoh itu. Terdapat banyak cara tawassul dan susah hendak disenaraikan. Salah satu antaranya memanggil tok imam surau membaca doa juga termasuk tawassul.

📍Adakah termasuk tawassul kalau di sekolah, ustaz akan membaca doa sebelum mesyuarat atau apa-apa majlis?

🔵 Ini adalah bid’ah jika dibiasakan. Zaman Nabi dan sahabat juga ada majlis, bukan? Apakah doa yang mereka baca? Sudah ada amalan membuka majlis iaitu memuji-muji Allah (Khutbah Hajah). Ini yang patut dilakukan, bukannya baca doa beramai-ramai. Kalau sekali sekala bolehlah dilakukan.

📍 Mengapa termasuk dalam contoh bid’ah?

🔵Ia adalah contoh bid’ah, sebab tidak diletakkan kelebihan pada pembaca doa itu. Namun, kalau panggil khusus ustaz sebab rasa doa dia makbul, ya itu tawassul. Ia tidak termasuk syirik.

📍Maksudnya jika panggil ustaz khusus untuk membaca doa adalah tawassul dan amalan ini bukan syirik?

🔵 Kalau panggil ustaz khusus atau tok guru yang dikatakan sebagai makbul doanya. Dalam hati mereka: kalau ustaz ini baca doa pasti Allah dengar dan terima. Maka ini sudah tawassul dengan dia. Selalunya kalau ada majlis, dipilih sahaja siapa yang nampak pandai baca doa. Ini tidaklah tawassul. Cuma jadi ketua (leaders) untuk baca doa.

📍Adakah termasuk syirik amalan membaca ayat kursi atau apa-apa ayat dalam al-Quran untuk penyembuh penyakit?

🔵 Al-Quran bukan penyembuh penyakit tetapi yang menyembuhkan adalah Allah SWT. Jadi, syirik jika ada yang iktikad ayat Al-Quran itu menyembuhkan. Ayat-ayat Al-Quran dibaca dalam ruqyah kerana bertawassul dengan amalan membaca Al-Quran itu dan kemudian doa kepada Allah SWT. Ini tawassul yang dibenarkan. Cuma kenalah ayat yang bersesuaian.

📍Kalau ketua (leader) yang disuruh bacakan doa setiap kali majlis dari bulan Januari sampai habis sekolah (November) ialah orang yang sama dan tidak pernah di gilirkan oleh orang lain, adakah boleh begitu? Tidak ke macam ada “rasa-rasa si fulan tu aje yg reti berdoa”?

🔵 Pertama, membaca doa sebegitu bukanlah sunnah kerana dibuat berterusan, malah ia jadi bid’ah. Namun, kalau sekali sekala boleh. Cuma kalau cakap nanti jadi viral pula sebab tidak bagi orang baca doa.

Kedua, selalunya yang disuruh jadi tekong itu sebab ala-ala ustaz. Hanya kerana itu sahaja sebab sudah dapat seorang ‘mangsa’ tukang baca doa, jadi sudah tidak ubah.

Alternatif lebih baik, dimulakan majlis itu dengan Khutbah Hajah. Siapa yang mula cakap, boleh baca khutbah hajah itu ataupun memang ustaz sekolah itu. Selalunya ustaz lah yang baca doa.

Allahu a’lam.

Bagaimana Sifat Insan Yang Mengenal Allah

0

UiTO Bilik (21) Aqidah Salaf:

Salam,

Apa itu rajul ‘aqidah?

Ustaz Baharudin jawab,

• Rajul ‘aqidah ialah rajul yang menerima Allah sebagai Rabb, [6:164] Ilāh, [7:140] Hakim, [6:114] dan Waliy [6:14]
• Rajul ‘aqidah ialah rajul yang menjadikan al-Qur’an itu satu-satunya panduan hidup. [29:51]
• Rajul ‘aqidah ialah rajul yang menjadikan Rasul sebagai contoh ikutan. [33:21]
• Rajul ‘aqidah ialah rajul yang menjadikan akhirat itu menjadi tujuan hidupnya. [29:64]
• Rajul ‘aqidah ialah rajul yang hidup matinya untuk Islam. (3:103)
• Rajul ‘aqidah ialah rajul yang bekerja bagi membina ummah. [3:104]

Sertai @BicaraCR

6:164, 7:140, 6:114, 6:14

قُلْ اَغَيْرَ اللّٰهِ اَبْغِيْ رَبًّا وَّهُوَ رَبُّ كُلِّ شَيْءٍ ؕ وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَـفْسٍ اِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِّزْرَ اُخْرٰى ۚ ثُمَّ اِلٰى رَبِّكُمْ مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْـتُمْ فِيْهِ تَخْتَلِفُوْنَ

Katakanlah: “(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.
[QS. Al-An’am: Ayat 164]

قَالَ اَغَيْرَ اللّٰهِ اَبْغِيْكُمْ اِلٰهًا وَّهُوَ فَضَّلَـكُمْ عَلَى الْعٰلَمِيْنَ

Nabi Musa berkata lagi: “Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Ia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?”
[QS. Al-A’raf: Ayat 140]

اَفَغَيْرَ اللّٰهِ اَبْتَغِيْ حَكَمًا وَّهُوَ الَّذِيْۤ اَنْزَلَ اِلَيْكُمُ الْـكِتٰبَ مُفَصَّلاً ؕ وَالَّذِيْنَ اٰتَيْنٰهُمُ الْـكِتٰبَ يَعْلَمُوْنَ اَنَّهٗ مُنَزَّلٌ مِّنْ رَّبِّكَ بِالْحَـقِّ فَلَا تَكُوْنَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِيْنَ

(Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?” Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu.
[QS. Al-An’am: Ayat 114]

قُلْ اَغَيْرَ اللّٰهِ اَتَّخِذُ وَلِيًّا فَاطِرِ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ وَهُوَ يُطْعِمُ وَلَا يُطْعَمُ ؕ قُلْ اِنِّيْۤ اُمِرْتُ اَنْ اَكُوْنَ اَوَّلَ مَنْ اَسْلَمَ وَلَا تَكُوْنَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah aku mengambil (memilih) pelindung yang lain dari Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Ia pula yang memberi makan dan bukan Ia yang diberi makan?” Katakanlah: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam), dan (aku diperintahkan dengan firmanNya): `Jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan orang-orang musyrik itu. ‘ “
[QS. Al-An’am: Ayat 14]

29:51, 33:21, 29:64, 3:103, 3:104

اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ اَنَّاۤ اَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتٰبَ يُتْلٰى عَلَيْهِمْ ؕ اِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَرَحْمَةً وَّذِكْرٰى لِقَوْمٍ يُّؤْمِنُوْنَ

(Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.
[QS. Al-‘Ankabut: Ayat 51]

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللّٰهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللّٰهَ وَالْيَوْمَ الْاٰخِرَ وَذَكَرَ اللّٰهَ كَثِيْرًا ؕ

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)
[QS. Al-Ahzab: Ayat 21]

وَمَا هٰذِهِ الْحَيٰوةُ الدُّنْيَاۤ اِلَّا لَهْوٌ وَّلَعِبٌ ؕ وَاِنَّ الدَّارَ الْاٰخِرَةَ لَهِيَ الْحَـيَوَانُ ۘ لَوْ كَانُوْا يَعْلَمُوْنَ

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).
[QS. Al-‘Ankabut: Ayat 64]

وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللّٰهِ جَمِيْعًا وَّلَا تَفَرَّقُوْا ۖ وَاذْكُرُوْا نِعْمَتَ اللّٰهِ عَلَيْكُمْ اِذْ كُنْتُمْ اَعْدَآءً فَاَ لَّفَ بَيْنَ قُلُوْبِكُمْ فَاَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهٖۤ اِخْوَانًا ۚ وَكُنْتُمْ عَلٰى شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَاَنْقَذَكُمْ مِّنْهَا ؕ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللّٰهُ لَـكُمْ اٰيٰتِهٖ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُوْنَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
[QS. Ali ‘Imran: Ayat 103]

وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ؕ وَاُولٰٓئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
[QS. Ali ‘Imran: Ayat 104]

Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat ke-16 hingga ke-19

0

Tafsir Surah Al-Ahqaf

Tafsir Ayat ke-16:

Tabshir Ukhrawi

أُولٰئِكَ الَّذينَ نَتَقَبَّلُ عَنهُم أَحسَنَ ما عَمِلوا وَنَتَجاوَزُ عَن سَيِّئَاتِهِم في أَصحٰبِ الجَنَّةِ ۖ وَعدَ الصِّدقِ الَّذي كانوا يوعَدونَ

Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.

أُولٰئِكَ الَّذينَ نَتَقَبَّلُ عَنهُم أَحسَنَ ما عَمِلوا

Mereka ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan,

Allah ﷻ akan terima segala amalan mereka dan akan balas segala perbuatan baik mereka. Namun, Allah ﷻ akan beri gandaan mengikut kiraan amalan ‘terbaik’ mereka.

Sebagai contoh, kita telah melakukan seratus solat tetapi tidaklah semua solat kita itu markah penuh belaka. Ada yang kita lakukan secara sambil lewa sahaja. Allah ﷻ, dengan segala rahmat-Nya, akan kira seratus solat itu dengan mengikut kiraan markah yang paling tinggi sekali.

وَنَتَجاوَزُ عَن سَيِّئَاتِهِم

dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya;

Kesalahan yang banyak kita lakukan itu akan diampunkan semuanya. Kalimah وَنَتَجاوَزُ dari ج و ز yang bermaksud ‘abaikan’. Macam kita lalu satu kawasan tetapi kita tidak beri perhatian. Maka kalau Allah ﷻ kata Dia abaikan, maknanya Dia tidak hukum kita. Memang ada kesalahan dan dosa kita, tetapi Allah ﷻ abaikan sahaja.

Inilah yang kita harapkan sangat kerana kita dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa kita. Kalau tidak ada dosa, maknanya kita akan masuk syurga. Asalkan kita tidak melakukan dosa syirik.

في أَصحٰبِ الجَنَّةِ ۖ

dalam kumpulan ahli Syurga,

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini, kerana ayat ini nampak macam tidak lengkap sahaja. Maksudnya, mereka akan dimasukkan menjadi ahli syurga dengan mendapat segala nikmatnya.

وَعدَ الصِّدقِ الَّذي كانوا يوعَدونَ

sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.

Semua itu Allah ﷻ beri kerana Allah ﷻ telah berjanji akan memberikannya kepada mereka yang taat, dan Allah ﷻ tidak memungkiri janji-Nya.

Ayat-ayat yang Allah ﷻ berikan kepada kita di atas adalah satu contoh keluarga yang baik. Inilah tauladan yang kita kena ikut. Ibu bapa yang mukmin, anak turut mukmin juga. Maka hendaklah kita berdoa semoga kita dimasukkan dalam kalangan mereka. Ameen.

Selepas ini Allah ﷻ akan beri contoh keluarga yang tidak baik pula. Maka dua-dua kita kena belajar. Satu kita kena ikut dan satu lagi kita kena tolak.

Tafsir Ayat ke-17

Ayat Syikayah

Sebelum ini telah disebut contoh ibu bapa dan anak yang baik. Sekarang diberikan contoh anak yang tidak baik pula. Ibu bapanya mengamalkan tauhid tetapi anaknya tidak beriman dengan tauhid dan mengamalkan syirik.

Jadi, ini adalah contoh seorang anak yang derhaka kepada ibu bapanya. Kita juga tahu teruknya orang begini kerana tidak mengenang jasa ibubapa sendiri. Allah ﷻ hendak mengajar kita, kalau degil dengan ibu bapa sudah teruk, maka degil dengan Allah ﷻ lagilah teruk kerana Allah ﷻ lebih banyak jasa-Nya kepada kita.

وَالَّذي قالَ لِوٰلِدَيهِ أُفٍّ لَّكُما أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ وَيلَكَ ءآمِن إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

Dan (sebaliknya amatlah derhakanya) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka mengajaknya beriman): “Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua! Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur, padahal berbagai umat sebelumku telah berlalu (masih lagi belum kembali)? ” Sambil mendengar kata-katanya itu – ibu bapanya merayu memohon pertolongan Allah (menyelamatkan anak mereka) serta berkata (kepada anaknya yang ingkar itu): “Selamatkanlah dirimu! Berimanlah (tentang hidup semula menerima balasan amal)! Sesungguhnya janji Allah tetap benar”. Lalu ia menjawab (dengan angkuhnya): “Semuanya itu hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!”

وَالَّذي قالَ لِوٰلِدَيهِ أُفٍّ لَّكُما

Dan orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya: “Ah! Bosan kamu berdua!

Kata-kata ini dikeluarkan oleh seorang anak kepada ibu bapanya. Dia kata dia sungguh bosan kerana dia rasa serabut mendengar nasihat agama daripada mereka berdua. Asyik-asyik kena nasihat, kena tegur apabila dia buat salah. Apabila dia tidak suka, keluarlah kata-kata kurang ajar itu.

Itu adalah kata permulaan bagi derhaka. Ibu bapa bagi nasihat tetapi dia tidak mahu terima. Sedangkan ibu bapa itu memberi nasihat kerana dia telah buat kesalahan dalam agama. Memanglah patut ibu bapa itu menasihatkan dia, tetapi dia pula yang tidak suka. Kalau ibu bapa pun tidak boleh nasihat, siapa lagi yang boleh nasihat?

Nota:
Tidak pasti siapakah individu yang dimaksudkan dalam ayat ini. Tafsir Ibn Kathir ada meriwayatkan beberapa riwayat yang menyebut salah satu pendapat yang mengatakan bahawa individu yang dimaksudkan adalah anak Saidina Abu Bakar رضي الله عنه, tetapi Ibn Kathir menolak hujah itu kerana ia tidak kuat. Jadi, kita gunakanlah ayat ini sebagai makna yang umum, tidak tertakluk kepada mana-mana individu. Tidak perlu kita kaitkan kepada mana-mana individu.

أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ

Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur,

Ini anak yang tidak percaya kepada kebangkitan semula. Walaupun ibubapa dia mengingatkan dia kepada hari akhirat, dia tidak percaya dan tidak suka diperingatkan. Ini adalah jenis ibu bapa yang baik, kerana mereka ingatkan anak tentang akhirat dan kepentingan agama.

Ibu bapa yang soleh tidak kisah hal lain, asalkan anak dia jadi baik dalam agama. Mereka tidak risaukan tentang kerja anaknya itu kerana tidak mengharapkan anaknya akan menanggungnya bila sudah tua nanti; atau jenis ibu bapa yang berbangga kalau anak mereka berjaya dalam kerjaya, kehidupan dan rupa kerana mereka hendak berbangga dengan anaknya itu.

Hanya yang mereka lebih pentingkan adalah agama anaknya itu. Biarlah tidak berjaya dalam kerjaya, asalkan berjaya dan faham dalam agama. Tentunya berlainan sekali dengan kebanyakan fahaman ibu bapa di dunia ini yang mahukan anak berjaya dalam dunia supaya mereka turut dapat hidup senang.

وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي

padahal berbagai generasi sebelumku telah berlalu?

Anak itu pun memberi alasan dan dia rasa pandai dengan hujahnya itu, tetapi bodoh sebenarnya. Dia kata orang sudah banyak yang lama mati, tetapi tidak ada pun yang hidup semula dan beritahu yang memang akhirat itu ada?

Ini adalah hujah yang bodoh kerana Allah ﷻ tidak pernah kata yang orang yang mati akan dihidupkan semula dalam dunia ini, tetapi kehidupan semula itu adalah selepas Hari Kiamat dan setelah alam bumi ini hancur.

وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ

ibu bapanya merayu memohon pertolongan Allah

Ibu bapanya berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberi taufiq untuk anak mereka. Mereka sudah tidak tahu hendak buat apa lagi dengan anak mereka itu.

Sudah nasihat banyak kali, tetapi kalau sudah jenis anak tidak mahu mendengar nasihat, memang tidak boleh buat apa. Maka mereka berharap kepada Allah ﷻ sahaja.

Ini mengajar kita, kita tidak boleh hendak mengubah pendirian seseorang. Kadang kala kita sudah berhujah dan banyak kali beri dalil, tetapi orang yang didakwah tidak dengar juga.

📍Maka waktu itu kita hanya berdoa kepada Allah ﷻ sahaja untuk membuka pintu hati mereka. Serahkan kepada Allah ﷻ sahaja.

وَيلَكَ ءآمِن إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

Bahaya kamu! Berimanlah! Sesungguhnya janji Allah tetap benar”.

Ibu bapa itu tetap memberi nasihat kepada anaknya itu di samping marah. Maksud وَيلَكَ – ‘bahaya kamu’. Ibu bapa mengingatkan anaknya itu berjaga-jaga dengan apa yang dia katakan. Kalau hendak selamat, berimanlah!

Maknanya, ibu bapa itu suruh anaknya itu perbetul akidahnya dahulu. Bahaya kalau anaknya itu berterusan dengan akidah itu kerana Allah ﷻ sudah janji hendak azab dan kekalkan pengamal syirik dalam neraka selama-lamanya. Allah ﷻ pasti akan tunaikan janji-Nya itu.

فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

Lalu dia menjawab: “Semuanya ini hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!”

Anaknya itu masih tidak percaya dengan apa yang disampaikan oleh ibu bapanya itu. Ini adalah alamat seorang ahli neraka. Dia kata semua yang diberitahu tentang agama itu adalah perkara dongeng orang dahulu kala sahaja.

Ini selalu terjadi kepada mereka yang rasa mereka pandai, terutama pandai dalam sains. Mereka kononnya mahu perkara-perkara yang dikatakan dalam agama itu kena ada bukti dalam sains, baru mereka hendak percaya. Kalau tidak ada bukti, pada mereka itu kisah dongeng sahaja.

Mereka tidak kisahkan agama kerana hendak hidup ikut nafsu mereka sahaja. Ini kerana kalau kena terima agama, mereka rasa susah sebab kena kekang nafsu mereka.

Mereka tidak mahu kekang nasfu kerana mereka hendak segalanya dengan segera. Mereka telah terikat dengan nikmat dunia yang segera.

Tafsir Ayat ke-18

Takhwif Ukhrawi. Ini adalah natijah kalau tidak ikut nasihat.

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ إِنَّهُم كانوا خٰسِرينَ

Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi.

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ

Mereka yang bersifat seperti itu telah tetap keputusan ke atas mereka (azab)

Telah tsabit taqdir Allah ﷻ untuk penuhkan golongan seperti mereka dalam neraka. Mereka jenis macam itu adalah salah seorang dari mereka yang akan masuk neraka.

Allah ﷻ sudah membuat keputusan atas mereka. Mereka itu tunggu mati sahaja untuk dikenakan dengan azab.

في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ

bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia;

Mereka akan masuk neraka bersama dengan orang-orang yang terdahulu dari mereka yang juga telah ditakdirkan masuk neraka. Bukan mereka sahaja yang baru buat kerja tolak wahyu ini, tetapi sudah banyak lagi dari golongan terdahulu.

Semuanya nanti boleh berjumpa dalam neraka dan berkenalan. Bukan manusia sahaja yang tolak wahyu, ada kalangan jin juga termasuk yang tolak wahyu. Sama-sama akan masuk neraka.

إِنَّهُم كانوا خٰسِرينَ

sesungguhnya mereka telah menjadi orang-orang yang rugi.

Sungguh rugi sekali nasib mereka. Semua itu kerana kesalahan mereka juga, bukan kerana Allah ﷻ tidak memberi peluang kepada mereka.

Mereka rugi kerana tidak ambil peluang semasa hidup di dunia dahulu. Mereka rugi dengan sebenar-benar rugi.

Tafsir Ayat ke-19

Ahli neraka dan syurga ada darjat mereka dalam neraka dan dalam syurga. Tidak sama kedudukan semua orang.

Kedudukan itu bergantung kepada keburukan dan kebaikan mereka. Semakin teruk, maka semakin rendah darjat mereka dalam neraka dan an semakin baik seseorang itu dalam amal, maka semakin tinggi kedudukannya dalam syurga.

وَلِكُلٍّ دَرَجٰتٌ مِّمّا عَمِلوا ۖ وَلِيُوَفِّيَهُم أَعمٰلَهُم وَهُم لا يُظلَمونَ

Dan bagi mereka masing-masing (dari puak jin dan manusia – yang berbuat baik dan yang berbuat jahat) disediakan berbagai peringkat (balasan) yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, dan (ketetapan yang demikian ialah) supaya Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka, sedang mereka tidak dirugikan (sedikitpun).

وَلِكُلٍّ دَرَجاتٌ مِّمّا عَمِلوا ۖ

Dan bagi mereka masing-masing berbagai peringkat yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan,

Ada yang duduk di tingkatan rendah dalam syurga. Ada yang duduk di tingkatan tinggi. Bergantung kepada amalan mereka di dunia dahulu. Bagi yang beramal banyak, akan mendapat kedudukan yang lebih tinggi.

Begitu juga dalam neraka, ada tingkatan. Keburukan yang manusia lakukan tidak sama; ada yang lagi teruk dari orang lain.

Orang yang menyembah patung sekali, tidak sama dengan orang yang menyembah berhala sepanjang hidup dia.

Maka, yang paling teruk akan duduk di tingkatan yang paling rendah dan mereka mendapat azab yang paling teruk.

وَلِيُوَفِّيَهُم أَعمٰلَهُم

Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka,

Allah ﷻ akan balas dengan sempurna. Amalan yang baik dibalas dengan baik dan yang jahat akan dibalas dengan buruk.

Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim. Segala balasan yang Allah ﷻ berikan adalah adil dan sempurna.

وَهُم لا يُظلَمونَ

mereka tidak dizalimi

Allah ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan zalim dalam memberi balasan. Tidak ada yang rugi kerana tidak dibalas amal kebaikan mereka.

Tidak ada juga yang diberi balasan buruk pada perkara yang mereka tidak pernah buat. Kalau mahkamah dunia, ada juga manusia yang salah hukum – mereka tidak buat jenayah tetapi kena masuk penjara juga. Mahkamah Allah ﷻ tidak begitu.

Yang buat amal kebaikan, semuanya akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikit pun. Kalau kita buat kerja lebih di dunia, mungkin majikan kita tidak beri imbuhan lebih pun, kerana dia tidak tahu yang kita buat kerja lebih.

Namun, Allah ﷻ maha tahu segalanya, jadi Dia akan balas tanpa tertinggal satu pun. Malah Allah ﷻ akan balas lebih lagi dari apa yang dilakukan oleh manusia.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf ( Ayat ke-16 hingga ke-19 )

📍Adakah berdosa jika anak berasa marah terhadap ibubbapa yang suka mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya?

🔵 Tidak boleh. Anak kena sabar. Hormat anak kepada ibubapa bukan kerana mereka baik terhadapnya tetapi kerana mereka itu ibu bapa.

📍Jika ibu bapa itu suruh berbuat maksiat atau syirik baru kita boleh marah?

🔵 Kedudukan ibu bapa adalah istimewa. Andai disuruh buat salah pun tidak boleh marah cuma jangan ikut sahaja. Nabi Ibrahim tidak marah pun ayah dia.

📍Jin dan manusia yang ingkar itu akan bercampur sekali masuk neraka?

🔵 Tiada dalil pasti. Saya pakai pendapat yang katakan ada syurga lain. Maknanya ada dua jenis syurga. Allahu a’lam.

📍Adakah benar pendapat yang kata di akhirat nanti jin tidak nampak kita tetapi kita yang nampak dia?

🔵 Dulu ada dengar semasa kecil. Setakat ini tidak jumpa lagi dalilnya. Jadi tidak dapat saya pastikan.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-Ahqaf: Tafsir Ayat Ke-15

0

Tafsir Surah Al-Ahqaf

Tafsir Ayat ke-15

Ini adalah ayat Targhib (ajakan) untuk kembali kepada Allah ﷻ. Ini adalah sifat-sifat mereka yang sudah berpegang kepada ajaran Tauhid. Mereka akan jadi orang yang baik dalam kehidupan di dunia.

Allah ﷻ kenangkan jasa ibu bapa kepada kita kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita. Maka, kalau ibu bapa yang telah berjasa pun kita kena ingat dan balas budi mereka, bagaimana dengan Allah ﷻ yang lebih banyak jasa kepada mereka? Maka, kenalah taat kepada Allah ﷻ juga bukan? Malah, kena lebih taat kepada Allah ﷻ lebih dari taat kepada ibu bapa.

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ إِحسٰنًا ۖ حَمَلَتهُ أُمُّهُ كُرهًا وَوَضَعَتهُ كُرهًا ۖ وَحَملُهُ وَفِصٰلُهُ ثَلٰثونَ شَهرًا ۚ حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً قالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ وَأَصلِح لي في ذُرِّيَّتي ۖ إِنّي تُبتُ إِلَيكَ وَإِنّي مِنَ المُسلِمينَ

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ إِحسٰنًا

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;

Selepas Allah ﷻ mengajar tentang tauhid dan istiqamah dalam tauhid, Allah ﷻ mengajar kepada kita untuk berbuat baik kepada ibu bapa. Ini kerana jasa mereka yang banyak kepada kita.

Selalu anjuran perbuatan baik kepada ibubapa ini ada selepas disebut tentang tauhid kepada Allah ﷻ. Lihatlah Allah ﷻ gunakan kalimah وَوَصَّينَا seperti ‘wasiat’ yang menggambarkan ia adalah arahan yang amat penting dan bukan arahan biasa sahaja.

Itu menunjukkan betapa pentingnya perkara ini. Maknanya, ia jatuh nombor dua selepas tauhid kepada Allah ﷻ. Maka amat malang kalau anak-anak tidak menghargai ibu bapa mereka. Malangnya ramai yang tidak baca ayat-ayat Al-Quran ini.

Kalimah إِحسٰنًا yang digunakan bermaksud berbuat baik. Maksudnya kita kena berbuat baik kepada ibu bapa kita dalam percakapan, urusan, penjagaan dan sebagainya. Apa-apa sahaja urusan kita dengan mereka, hendaklah dijalankan dengan baik.

حَمَلَتهُ أُمُّهُ كُرهًا وَوَضَعَتهُ كُرهًا

ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.

Allah ﷻ kemudian menyebut kenapa anak kena berbuat baik kepada ibu bapanya. Ini kerana ibu itu telah bersusah payah untuk melahirkan anaknya. Seorang lelaki tidak dapat membayangkan kepayahan yang dialami oleh ibu yang mengandung.

Bukan sehari dua mereka kena menghadapi kesusahan mengandung itu tetapi selama 9 bulan. Kalau kita yang lelaki melihatnya juga sudah payah, apatah lagi mereka yang terpaksa melaluinya.

Kalimah كره bermaksud ‘susah’ dan juga ‘tidak suka’ (seperti makruh yang bermaksud Allah ﷻ tidak suka). Kalimah كُرُه seperti yang digunakan dalam ayat ini bermaksud kesusahan yang dialami kerana sesuatu perkara.

Oleh kerana seorang ibu mahukan anak, maka dia sanggup bersusah payah dan sakit. Namun, bandingkan dengan kalimah كَرُه dalam bentuk lagi pula. Ini adalah kepayahan kerana tekanan oleh orang lain. Tidak sama keadaannya.

Maka ibu yang sedang mengandung anak itu dalam keadaan susah dan tidak suka dengan kesusahan sewaktu mengandung itu. Sebenarnya mereka memang suka mengandung, tetapi tidak suka dengan sakit, mual, muntah dan segalanya itu.

Kalau mengandung sahaja, tentulah mereka suka. Kalau boleh mereka mahu mengandung tanpa ada sakit-sakit itu. Namun, mereka sanggup terima kesusahan itu kerana hendakkan kita membesar dalam perutnya dan dia tidak sabar-sabar hendak tengok kita lahir.

Bukan sahaja mereka payah semasa mengandung, kesakitan yang amat sangat perlu dilalui semasa melahirkan bayi itu. Begitulah juga, mereka tidak suka dengan sakit bersalin itu.

Mereka bukan tidak suka melahirkan, tetapi tidak suka dengan sakit hendak melahirkan itu. Sebelum melahirkan itu, mereka sudah tahu yang mereka akan sakit masa melahirkan – mungkin sakit hendak mati.

Namun, mereka sanggup menghadapinya kerana hendak melahirkan juga anak dalam kandungan itu dan dia hendak tengok anaknya yang dikandung selama 9 bulan itu. Kalau tidak sakit, tentu dia lagi suka. Kemudian selepas melahirkan, bukan terus sembuh kerana perlu mengambil masa untuk memulihkan kesihatan mereka.

📍Begitulah Allah ﷻ sebut tentang kepayahan seorang ibu dalam mengandung dan melahirkan anak. Itu menunjukkan betapa Allah ﷻ sayang kepada mereka dan menghargai susah payah itu. Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi.

Ayat ini menyebut ibu (tidak sebut bapa) sebab dia yang paling sukar dalam hal mengandung dan bersalin ini. Namun, tentu ayah juga ada kesukaran kerana kalau seorang ibu itu jadi sukar, ayah juga secara tidak langsung akan turut sukar.

Walaupun begitu tidak sama kesukaran seorang ayah dengan seorang ibu kerana ibu lebih banyak berjasa. Maka kerana itulah kita kena lebihkan ibu daripada bapa dalam banyak hal.
وَحَملُهُ وَفِصٰلُهُ ثَلٰثونَ شَهرًا

Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.

Selepas melahirkan anak itu, seorang ibu kena menjaga bayi itu untuk tempoh yang lama juga. Ini kerana seorang bayi yang baru lahir, amat memerlukan bantuan kehidupan dari ibunya. Mereka tidak dapat makan makanan yang biasa, tetapi banyak bergantung kepada susu ibunya.

Maka lihatlah bagaimana seorang ibu itu lalui semua ini. Sudahlah ibu itu susah mengandung selama 9 bulan, kemudian susah dan sakit semasa melahirkan anak itu pula. Tugas ibu tidak habis setakat itu sahaja kerana dia tetap kena menjaga dan menyusukan anak itu.

Susu ibunya itulah yang terbaik bagi seorang bayi. Oleh kerana itu, amat dititik beratkan oleh hospital kerajaan untuk seorang ibu menyusukan anaknya itu. Memang zaman sekarang, ada alternatif seperti susu tepung, susu formula dan sebagainya tetapi, susu ibu itu tetap paling baik.

Dikatakan ada perbezaan antara bayi yang disusukan ibu dengan bayi yang tidak disusukan oleh ibunya. Bayi yang disusu dengan ‘susu badan’ akan mempunyai tubuh badan yang lebih kuat dan lebih tahan dari kena penyakit.

Semua sekali tempoh itu dari masa mengandung sampai kepada habis menyusu (menyapih) mengambil masa lebih kurang 30 bulan seperti yang disebut dalam ayat ini. Ini ada masa yang terbaik untuk seorang ibu menyusukan anaknya itu.

Maka cubalah untuk kita susui anak-anak kita dengan susu badan. Kalau tidak boleh, carilah juga ibu susuan yang boleh ganti beri susu kepada anak kita.

Dalam ayat-ayat lain, disebut penyusuan anak itu adalah selama 2 tahun (24 bulan) dan sekarang disebut 30 bulan kerana dicampur dengan masa mengandung sekali. Jadi, masa paling pendek untuk mengandung sampai melahirkan anak adalah selama 6 bulan (6 bulan + 24 bulan = 30 bulan).

Sebab itu kalau anak lahir selepas 6 bulan sahaja nikah, boleh dinasabkan kepada ayah. Dan dalam negara kita, kalau anak lahir kurang dari enam bulan selepas menikah, pejabat pendaftaran tidak akan benarkan untuk dibinkan kepada suami ibu wanita itu kerana sudah dikira ‘anak luar nikah’ (kecuali kalau di Negeri Perlis).

Zaman Khalifah Saidina Uthman رضي الله عنه ada wanita yang melahirkan anaknya hanya 6 bulan selepas menikah. Oleh kerana awal dari kebiasaan (9 bulan atau 7 bulan), maka suami dia musykil anak siapakah itu dan dia telah mengadu kepada Khalifah Uthman رضي الله عنه.

Maka Saidina Uthman رضي الله عنه sudah buat arahan untuk wanita itu direjam. Waktu itu, Saidina Ali رضي الله عنه yang tegur Khalifah dan ingatkan beliau tentang ayat ini.

Oleh kerana itu jangka mengandung yang minima adalah 6 bulan dan tidak ada keputusan tentang jangka maksima. Ini adalah kerana tiada dalil tentang perkara ini. Abu Hanifah رحم الله mengatakan jangkamasa maksima adalah untuk mengandung adalah 2 tahun. Imam Malik رحم الله mengatakan boleh sampai 7 tahun. Sedangkan Imam Syafie رحم الله dan Imam Ahmad رحم الله mengatakan sampai 4 tahun.

Jangka maksima untuk menyusu adalah dua tahun. Tidak ada jangka minima kerana ada ibu yang tidak keluarkan susu, dan ada bayi yang tidak suka minum susu berterusan.

Memang seorang bayi tidak akan lahir kalau usianya dalam perut kurang dari 6 bulan. Kajian sains mendapati bahawa kalau kurang dari 6 bulan, paru-paru bayi itu tidak terbentuk lagi dan tidak akan mampu untuk dia bernafas sendiri. Jadi kandungan ayat ini disokong oleh sains moden dan ini adalah salah satu lagi mukjizat Al-Quran yang kita boleh lihat sendiri.

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً

Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun,

Seorang anak itu kemudian melalui masa-masa tumbesaran mereka. Bermula dari bayi menjadi kanak-kanak, masuk sekolah dan remaja (umur baligh). Kemudian mereka terus membesar sampailah menjadi semakin tua.

Sepanjang masa itu, hubungan mereka dengan ibu bapa itu tidaklah putus. Walaupun semakin lama mereka sudah tidak bergantung kepada ibubapa, hubungan itu tidak akan putus.

Jadi peringkat yang dicapai oleh manusia selepas mereka disusui oleh ibu adalah ‘baligh’. Ini terjadi selepas mimpi basah atau ada yang menetapkan pada umur 15 tahun. Kemudian tahap seterusnya adalah 40 tahun.

Umur 40 tahun disebut secara khusus dalam ayat ini kerana ada kepentingan tertentu kerana ini dikira sebagai masa seseorang itu sudah matang. Allah ﷻ sahaja yang tahu secara tepatnya tetapi kita dapat rasakan bahawa apabila umur seseorang itu sudah 40 tahun, dia sudah mencapai umur yang cukup matang.

Bila sampai waktu itu, mereka telah berkerjaya, telah mempunyai keluarga sendiri, ilmu juga sepatutnya sudah banyak, pengalaman hidup sudah lama. Maka mereka sepatutnya sudah matang dalam hidup dan sudah tahu manakah yang baik dan tidak, manakah ajaran agama yang benar dan tidak.

Mereka sudah sepatutnya tahu bagaimana menghargai kehidupan dan segala nikmat Allah ﷻ. Jadi Al-Quran letak kepentingan umur 40 tahun ini. Apabila sampai umur matang 40 tahun, seseorang itu sepatutnya telah kenal Allah ﷻ tetapi ada yang malang tidak kenal Allah ﷻ lagi, hidup masih terombang ambing.

Kalau dalam zaman moden inilah yang dipanggil ‘mid life crisis’. Waktu itu wang sudah mula banyak dan rasa banyak lagi benda tidak buat dan mulalah mereka mahu mencuba macam-macam. Ada yang kahwin wanita muda, ada yang sudah mula ada girlfriend di tepi, beli kereta mahal, motor mahal dan macam-macam lagi perkara yang buang masa.

📍Padahal dalam Islam, inilah masa untuk bersyukur kepada nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka dan mula memikirkan tentang kebaikan kepada anak-anak. Waktu inilah sepatutnya ilmu sudah banyak dan sampai masa untuk sampaikan ilmu kepada orang lain pula, bukannya hendak berpeleseran.

Umur 40 tahun juga dijadikan sebagai tanda aras kerana mereka itu sudah sampai kepada satu peringkat kehidupan yang lain. Waktu sudah umur 40 tahun, seseorang itu sudah ada anak isteri dan rumah sendiri.

Mereka tentunya sudah bekerja dan ada tanggung jawab lain yang banyak. Maka waktu itu, tawajuh (fokus) kepada emak dan ayah sudah kurang sebab mereka sudah sibuk dengan hal-hal kehidupan yang lain.

Maka Allah ﷻ ingatkan mereka supaya jangan lupa kepada emak dan ayah. Walaupun sudah sibuk dan ada hal masing-masing, tetapi masih ada tanggungjawab kepada ibu dan bapa juga. Kalau boleh, mereka kena jaga mereka, atau paling-paling tidak, kena berdoa untuk mereka.

Selain itu kena selalu melawat mereka. Kalau jarang dapat melawat, maka kena hubungi mereka selalu. Bukan susah pun hendak angkat telefon dan bertanya khabar kerana mereka cuma hendak mendengar suara kita sahaja. Ibu bapa hendak tahu kita ambil tahu hal mereka sahaja.

Janganlah lupa tanggungjawab kita kepada mereka. Mereka sudah keluarkan banyak belanja untuk besarkan kita, maka hulurlah sedikit wang untuk mereka. Mereka kadangnya bukan perlu duit kita pun, tetapi mereka suka kalau dapat pemberian daripada kita.

Namun, perkara ini banyak tidak diendahkan oleh anak-anak zaman sekarang kerana semua sibuk dengan hal masing-masing. Malah kalau ibu bapa telefon, mereka tidak suka kerana berasa panggilan telefon ibu bapa mengganggu semasa sedang bertugas. Ini amat-amat tidak patut dilakukan. Ini kurang ajar tahap tinggi!

قالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ

berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang engkau kurniakan kepadaku

Inilah doa yang patut dibaca oleh mereka yang telah masuk umur 40an. Mintalah taufiq kepada Allah ﷻ untuk menggerakkan hati kita untuk mensyukuri segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah ﷻ.

Kalau hendak kira segala nikmat itu, memang tidak terkira sebenarnya. Umur pun sudah 40 tahun, entahlah berapa banyak nikmat yang Allah ﷻ telah berikan.

Ayat ini mengajar kita, untuk menjadi orang bersyukur juga kena mendapat taufiq daripada Allah ﷻ, kena Allah ﷻ gerakkan hati kita untuk bersyukur. Kalau datang dari diri sendiri, mungkin tidak datang. Maka, jangan lupa minta taufiq dari Allah ﷻ.

Memang kita amat memerlukan taufiq dari Allah ﷻ. Kita mungkin tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi untuk menggerakkan kita melakukannya, memerlukan pimpinan dan gerak dari Allah ﷻ juga.

📍Itulah maksud taufiq. Ia berbeza dengan ‘hidayah’. Hidayah adalah petunjuk. Kadang-kadang kita sudah dapat petunjuk, sudah tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi kekuatan tidak ada. Kekuatan itulah ‘taufiq’.

Perkara yang paling penting adalah bersyukur atas nikmat tauhid yang Allah ﷻ berikan. Bayangkan kalau Allah ﷻ tidak beri iman kepada kita, lahir dalam keluarga kafir tetapi tidak jumpa langsung jalan Islam; bagaimana kita kalau begitu?

وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ

dan kepada ibu bapaku,

Bukan sahaja kita yang mendapat nikmat itu, tetapi ibu bapa kita juga. Sebagai contoh, ibu bapa kita telah dilahirkan dalam agama Islam dan kerana itu, sudah mudah untuk kita kenal agama Islam.

Itu adalah nikmat yang amat-amat besar. Bayangkan kalau kita lahir dalam keluarga kafir?

وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ

dan supaya aku mengerjakan amal soleh yang Engkau redhainya;

Ini adalah permohonan supaya Allah ﷻ memberi taufik kepada kita untuk terus melakukan amal soleh. Amal soleh adalah amal yang ada contoh dari Nabi dan para sahabat, bukan amal bid’ah yang tidak ada contoh dalam sunnah. Amal Sunnah lah amal yang Allah ﷻ redhai, sedangkan amal bid’ah, walau banyak mana pun, Allah ﷻ tidak redha.

Kita kena minta bantuan daripada Allah ﷻ untuk beri taufiq kerana kalau Allah ﷻ tidak beri, kita tidak mampu kerana kita insan yang lemah. Berapa banyak amalan kebaikan yang kita tahu, tetapi kita tidak lakukan kerana kita tidak ada daya?

📍Tahu sesuatu perkara itu perlu dilakukan dan diamalkan bukanlah kepastian yang kita akan melakukannya. Untuk melakukannya, kita perlu taufiq dari Allah ﷻ.
وَأَصلِح لي في ذُرِّيَّتي

dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.

Bukan sahaja kita berdoa kepada Allah ﷻ untuk kebaikan diri kita dan ibu bapa kita, tetapi kita doakan untuk keturunan kita juga. Ini penting supaya mereka pun akan doa untuk kita juga kerana anak-anak kita adalah ‘saham’ kita untuk dapat kebaikan di akhirat kelak.

Kalau mereka dapat darjat yang lebih tinggi di syurga, mereka boleh naikkan kita ke kedudukan mereka dan amal-amal kebaikan mereka akan menjadi pahala untuk kita juga. Ini kerana kita yang ajar mereka amalan-amalan itu.

Maka walaupun kita telah tiada, tetapi amalan kebaikan anak kita akan terus mengalirkan pahala kepada kita. Maka inilah maksud ‘saham’ pahala untuk kita.

Maka jangan lupa kepada anak. Jangan lupa doakan mereka agar menjadi insan yang soleh dan berikan ilmu agama kepada mereka. Ini kerana kita mahu mereka juga berada atas iman dan taqwa agar dapat bersama-sama di dalam syurga.

Begitulah harapan ibu bapa kita kepada kita dahulu dan beginilah juga harapan kita kepada anak-anak kita. Ini kerana doa merekalah menjadi asbab untuk Allah ﷻ menjadikan kebaikan untuk diri kita.

Kita kena ajar mereka untuk jadi baik dan soleh kerana kita tidak boleh paksa mereka berbuat baik kepada kita. Perkara yang menyebabkan seorang anak itu berbuat baik kepada ibu bapa dia adalah kerana arahan dari Allah ﷻ.

Allah ﷻ yang telah tetapkan perkara ini dalam agama. Maka kalau mereka taat kepada agama, maka mereka akan otomatik berbuat baik kepada ibubapa mereka.

إِنّي تُبتُ إِلَيكَ

Sesungguhnya aku kembali bertaubat kepadamu,

Kita juga hendaklah sentiasa bertaubat kepada Allah ﷻ kerana kita sebagai manusia, banyaklah kesalahan yang kita telah lakukan. Walaupun kita hendak melakukan kebaikan dan hendak taat kepada Allah ﷻ, tetapi selalunya kita akan terbabas.

📍Maka selalulah kita bertaubat dan mengucapkan istighfar kepada Allah ﷻ.

وَإِنّي مِنَ المُسلِمينَ

dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam

Dan kita kena mengaku kita seorang ‘muslim’. Apakah maksudnya?

Seorang muslim adalah seorang yang menyerahkan sepenuh dirinya kepada Allah 100%. Kita taat kepada kehendak Allah ﷻ yang disampaikan dalam A-Quran dan sunnah. Inilah maksud ‘Muslim’.

Allahu a’lam.

Tanda Allah Kasih kepada seorang Hamba

0
cof_vivid

Terdapat 5 tanda Allah SWT Kasih kepada deorang Hamba.

APABILA seorang bapa kasih kepada anaknya pasti ada tanda- tandanya. Tanda-tandanya adalah sibapa beri nafkah yang cukup, pendidikan, kasih sayang dan dijaga keselamatan anaknya.

Begitu juga Allah SWT apabila Dia kasih pada seorang hamba di dunia ini maka akan diberi Nya tanda- tandanya.

Tanda- tanda tersebut adalah seperti berikut :

beramal soleh sebelum kematian menjelang

Disebutkan dalam hadith yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad dan lainnya bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إذا أراد الله بعبد خيرا استعمله قيل : ما يستعمله ؟ قال : يفتح له عملا صالحا بين يدي موته حتى يرضي عليه من حوله

“Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada seorang hamba, Allah jadikan ia beramal.” Lalu para sahabat bertanya, “Apa yang dimaksud dijadikan dia beramal?” Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Dibukakan untuknya amalan soleh sebelum meninggalnya sehingga orang-orang yang berada di sekitarnya redha kepadanya.”

(Hadith Riwayat Imam Ahmad. Disahihkan oleh Syaikh Al-AlBani dalam shahih Jami’ no 304.)

2. Dipercepat sanksinya (seksaan/dugaan) di dunia

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إذا أراد الله بعبده الخير عجل له العقوبة في الدنيا و إذا أراد بعبده الشر أمسك عنه بذنبه حتى يوافي به يوم القيامة

“Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada hamba-Nya, Allah akan segerakan sanksi untuknya di dunia. Dan apabila Allah menginginkan keburukan kepada hamba-Nya, Allah akan menahan azab baginya akibat dosanya (di dunia), sampai Allah membalasnya (dengan sempurna) pada hari Kiamat.”

(HR. At-Tirmidzi dan Al Hakim dari Anas bin Malik. Disahihkan oleh Syaikh Al- AlBani dalam shahih Jami’ no 308.)

Namun kita tidak dibolehkan untuk meminta kepada Allah agar dipercepat sanksi (seksaan/ dugaan) kita di dunia, kerana kita belum tentu mampu menghadapinya.

3. Diberikan cubaan/ ujian

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

من يرد الله به خيرا يصب منه

“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan, Allah akan memberinya musibah.”

(HR. Al-Bukhari).

Cubaan pasti akan menerpa kehidupan mukmin, kerana itu merupakan janji Allah. Allah berfirman,

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ

“Sungguh, Kami akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira bagi orang-orang yang bersabar”

[ Al Baqarah: 155]

Bersabarlah ketika kita mendapat cubaan, kerana cubaan itu untuk menggugurkan dosa atau mengangkat derajat.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

لَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ أَوْ الْمُؤْمِنَةِ فِي جَسَدِهِ وَفِي مَالِهِ وَفِي وَلَدِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيئَةٍ

“Senantiasa ujian itu menerpa mukmin atau mukminah pada jasadnya, harta dan anaknya sampai ia bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak mempunyai dosa.”

(HR. Ahmad dan At-Tirmidzi, disahihkan oleh Al-Albani).

4. Dijadikan faham terhadap agama Islam

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, Allah akan faqihkan ia dalam masalah agama (ini).”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim).

Kefaqihan adalah pemahaman yang Allah berikan kepada seorang hamba. Pemahaman yang lurus tentang Al-Quran dan hadith didasari dengan kejernihan hati dan aqidah yang sahih kerana hati yang dipenuhi oleh hawa nafsu tidak akan dapat memahami Al-Quran dan hadith dengan benar.

5. Diberikan kesabaran

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

و ما أعطي أحد عطاء خيرا و أوسع من الصبر

“Tidaklah seseorang diberikan sesuatu yang lebih baik dan lebih luas dari kesabaran.”

(HR Al-Bukhari dan Muslim).

Kesabaran dalam keimanan bagaikan kepala untuk badan. Badan tidak akan hidup tanpa kepala, demikian pula iman tidak akan hidup tanpa kesabaran. Untuk menjalankan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya amat memerlukan kesabaran kerana iblis dan bala tenteranya tidak pernah diam dari menyesatkan manusia dari jalan Allah.

Allah berfirman,

وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

“Tidaklah diberikan (sifat-sifat yang terpuji ini) kecuali orang-orang yang sabar, dan tidaklah diberikannya kecuali orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.”

[ Fushshilat: 35 ]

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang Engkau inginkan kebaikan, beri kami kesabaran untuk menjalankan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu, beri kami kesabaran dalam menghadapi musibah yang menerpa, beri kami kefaqihan dalam agama dan bukakan untuk kami pintu amal soleh sebelum Engkau jemput kami bertemu dengan Mu.

Makmum Sundari
19.1.2019

#MS#AB
#SuaraPrihatin

Utamakan As-Sunnah Melebihi Nilai Masyarakat

0

Panel: Cikgu Rahim

Ayat pilihan hari ini.

يُنَزِّلُ الْمَلَائِكَةَ بِالرُّوحِ مِنْ أَمْرِهِ عَلَىٰ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ أَنْ أَنْذِرُوا أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاتَّقُونِ

Dia menurunkan para malaikat dengan (membawa) wahyu dengan perintah-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya, yaitu: Peringatkanlah olehmu sekalian, bahwasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku.
Surah An-Nahl (16:2)

Allah utus para nabi dan rasul setiap zaman. Untuk menyampaikan ajaranNya kepada manusia. Perintah dan laranganNya disampaikan kepada para Nabi dan Rasul melalui malaikat. Ajaran adalah peringatan kepada manusia.

Hidup ini bukan main-main, tetapi ada tujuan yang penting. Ajaran pokok dan sama sepanjang zaman.

Tidak ada yang berhak disembah kecuali Allah

Bertaqwalah kepada Allah, Rabb kamu..

Rabb itu master atau lord. Tuhan yang memiliki dan mengurus seluruh alam.Selain Allah, ia tidak layak disembah.

Tok guru-tok guru atau wali-wali juga tidak tahu untung nasib mereka; ke syurga atau neraka. Jadi kita kembali kepada Allah yang maha Esa. Berdoa kepadaNya dengan ikhlas. Moga Allah mengampunkan dosa kita

Moga Allah berikan kita petunjuk. Moga Allah berikan kita kefahaman tentang Al-Quran dan as-sunnah. Moga kita tidak tertipu dengan keindahan dunia yang sementara.

Moga kita tidak terperangkap dengan tipu helah iblis. Kebanyakan manusia tidak kembali kepada Al-Quran. Mereka hidup berpandukan nilai masyarakat ..

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).
Surah Al-An’am (6:116)

Sekian. Tangguh dengan tasbih kaffarah.

SnJ Fiqh Wanita: Dosa Tanggung Sendiri

0

📍Seorang isteri sudah ditegur oleh suaminya supaya menutup aurat apabila keluar dari rumah. Namun, isterinya masih tidak menutup aurat. Adakah dosa itu akan ditanggung oleh suaminya dan jika berterusan ingkar sebegitu apakah yang patut dilakukan oleh suaminya?

🔵Istilahkan dahulu kalimah “Mukalaf”.

“Mukalaf” maksudnya seorang yang telah sampai kepada usia baligh, beraqal dan sudah ditaklifkan bebanan agama atau taklif deeni. Seorang anak, apabila telah dewasa, maka dia sendiri yang akan menanggung dosanya. Begitu juga bagi seorang wanita, jika dia sudah dewasa, maka dia kena memikul dosa dia sendiri. Bagi anak yang “Mukalaf”, si ayah tidak memikul dosa-dosanya. Wanita yang “Mukalaf” dan bersuami, kena memikul dosanya sendiri bukan suaminya.

Dalil:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ

Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri [ Fathir: 18 ].

Maka, banyak orang tersilap bahawa dosa anak akan dipikul oleh bapa. Si isteri pulak bebas melakukan dosa disebabkan yang menanggung dosanya adalah suaminya (banyak cantik punya khayalan!). Ini semua hanya kerja syaitan sahaja. Maka kena faham istilah “Mukalaf” dalam agama. Tamat isu taklif.

Adapun masalah bapa terhadap anak, suami terhadap isteri adalah isu kepimpinan (leadership) dan pengurusan (management).

Dalilnya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka [ Tahrim: 06 ]

Si suami kena pimpin isteri, tunjuk kepimpinan (leadership) terbaik dan kena uruskan atau tadbir urus keluarganya. Maka, kalau isteri belum beres dalam aspek menjaga aurat ketika di luar rumah, maka dosa memang 100% isteri yang tanggung. Suami pula sejauh mana dia menunjukkan sikap kepimpinan (leadership) dan pengurusan (management) kepada isteri dia. Suami tidak pikul dosa isteri, tetapi dia kena menjawab di hadapan Allah SWT sejauh mana dia memimpin dan mengurus isterinya.

Jawapan dari Syeikh THTL
@FiqhWanitaUito

Tafsir Surah Al- Ahqaf – Tafsir Ayat Ke-13 dan Ke-14

0

Tafsir Surah Al- Ahqaf

Tafsir Ayat Ke-13:

Ayat Tabshir Ukhrawi. Ia adalah sebagai badal (penjelasan tambahan) kepada mereka yang dikatakan ‘muhsinin’ yang disebut dalam ayat sebelum ini.

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ استَقٰموا فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ

Sesungguhnya orang-orang yang berkata: “Tuhan kami ialah Allah”,

Mereka yang muhsinin akan berkata dengan iktikad hati mereka yang Allah ﷻ lah Tuhan mereka. Mereka terima bahawa Allah ﷻ yang mencipta mereka dan mengurus alam ini.

Mereka tidak berkata dengan mulut sahaja tetapi diimani dengan hati mereka juga. Ini kerana kalau setakat kata sahaja, orang munafik juga boleh berkata begitu.

ثُمَّ استَقٰموا

kemudian mereka tetap teguh

Selepas mereka berkata dengan mulut, mereka ikuti pula dengan amalan perbuatan dan tetap istiqamah dengan iman itu sampai mereka mati. Bukan cakap sehari dua sahaja, tetapi mereka akan tetap pegang sampai mati. Tidaklah mereka terkesan dengan amalan masyarakat luar yang mengamalkan amalan yang salah.

Kelebihan istiqamah dalam iman ini telah disebut dalam [ Fussilat: 30 ]. Ini memang dugaan yang besar sebenarnya. Macam sekarang, susah untuk kita melihat golongan muslim sendiri yang mengamalkan tauhid dalam berdoa. Ramai yang mengamalkan tawassul dalam doa. Mereka akan meminta-minta dan berdoa kepada Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ.

Kita mungkin tidak mahu buat perkara itu, tetapi kalau kita ada masalah, selalunya kita akan digesa untuk buat perkara yang sama. Ada yang berkata: “kenapa tidak minta pertolongan kepada wali sekian dan sekian, supaya masalah kita dapat selesai dengan segera?” Mereka pula ajar kita buat perkara yang syirik.

Orang yang istiqamah, akan tetap tidak berganjak dari iman mereka. Mana yang salah, mereka tidak akan lakukan walaupun ahli keluarga sendiri yang mendesak mereka.

فَلا خَوفٌ عَلَيهِم

maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Ini adalah Tabshir (berita gembira) sebagai balasan bagi mereka yang istiqamah dalam tauhid: Mereka yang bersifat seperti itu, tidak perlu takut apa yang akan jadi, kerana mereka akan menuju kepada balasan yang baik – syurga.

Jadi kalimah خوف ini digunakan untuk perkara masa hadapan.

وَلا هُم يَحزَنونَ

dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Dan kalimah حزن digunakan untuk perkara yang telah lalu. Maknanya, mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.

Ini adalah kerana tentu ada kesedihan untuk kita meninggalkan dunia ini dengan segala harta dan anak pinak kita. Namun, kalau kita pergi ke tempat yang lebih baik dari segala hal, maka tidaklah perlu kita bersedih. Dunia yang fana ini, tinggalkanlah sahaja.

Tafsir Ayat Ke-14

Tabshir lagi.

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ خٰلِدينَ فيها جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

Merekalah ahli Syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ

Merekalah ahli Syurga,

Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga – tempat untuk menikmati segala kenikmatan yang tidak terbayang oleh akal fikiran. Jika hendak mengetahui bagaimana keadaan dalam syurga itu, kena masuk dahulu baru dapat tahu.

Ini kerana tidak dapat digambarkan keindahan dan kehebatannya dengan kata-kata. Cuma diberi isyaratnya di dalam banyak ayat Al-Quran dan hadis.

Maka inilah balasan yang setimpal bagi mereka yang baik. Oleh kerana itu, tidaklah perlu takut dan bersedih meninggalkan dunia itu. Ini kerana yang menanti itu adalah syurga, tempat untuk bersenang lenang sahaja, tidak ada ketakutan dan kesusahan di dalamnya.

خٰلِدينَ فيها

tetap kekallah mereka di dalamnya

Mereka akan kekal abadi di sana. Ini adalah nikmat yang amat besar kerana kalau kita tahu kita akan duduk sekejap sahaja, tentu nikmat itu akan berkurangan. Macam kita duduk hotel yang mahal dan selesa, tetapi kita tahu kita tidak akan duduk lama di situ, untuk beberapa hari sahaja.

Maka kalau kita tahu kita tidak lama, tentu akan mengurangkan kesenangan hati di dalam hotel itu. Maka kepada ahli syurga, mereka diberitahu yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Maka ini menambah kenikmatan dalam syurga itu.

جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Allah ﷻ memberitahu kita akan dibalas dengan syurga atas amalan kebaikan yang kita lakukan semasa di dunia. Ini adalah balasan dari rahmat dari Allah ﷻ. Namun, bukankah kita pernah mendengar: kita tidak masuk syurga dengan amalan kita? Bagaimana pula hendak difahamkan dengan ayat sebegini?

Kita tidak boleh mengatakan bahawa amalan kita layak untuk memasuki ke dalam syurga kerana amalan kita itu, jika dikira-kira, tidaklah melayakkan kita masuk ke dalam syurga kerana amalan kita itu tidaklah bernilai sama dengan syurga yang amat hebat itu.

Bayangkan kita beberapa tahun sahaja buat amal kebaikan tetapi akan tinggal di syurga selama-lamanya. Jadi, kita tidak masuk syurga kerana amalan kita, tetapi kerana pemberian rahmat dari Allah ﷻ. Ini mafhum dari hadis-hadis yang ada.

Namun, Allah ﷻ sebagai tuanpunya syurga, dan juga tuan kita, Dia boleh berikan ketetapan atau syarat untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Kalau Dia kata dengan amal kita semasa di dunia itu membolehkan kita dimasukkan ke dalam syurga, itu adalah hak Dia untuk berkata begitu, kerana Dia yang tetapkan syarat.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf ( Ayat 13 -14 )

📍Puak Syiah kata imam-imam mereka tahu perkara ghaib secara mutlak. Maka mereka itu telah sesat dan syirik. Diayah mereka ini secara tidak langsung dan melalui pusat-pusat pendidikan kanak-kanak seperti tadika. Ini kerana yang menerima ini adalah peringkat umur yang masih kecil lagi.Mohon pencerahan dan pandangan kerana perkara ini tidak diketahui oleh pihak keluarga sendiri

🔵 Ya, golongan mereka semakin banyak sekarang dan semakin berani. Jangan kata di tadika, di universiti pun ada! Fakulti akidah pulak tu! Memang apa yang berlaku sekarang amat menyesakkan hati. Apa yang kita boleh buat adalah memberi penerangan supaya tidak bertambah yang ditipu oleh mereka. Mereka amat bahaya kerana amat licik sekali percaturan dan hujah-hujah mereka. Kalau jahil agama, memang akan mudah terpengaruh dengan diayah mereka.

📍Hujjah mereka hebat hingga di universiti sudah ada kitab versi bahasa Arab dan Melayu. Adakah ini benar?

🔵 Saya tidak tahu. Mereka memang sangat licik. Maka, berhati-hatilah dan kena kenalkan kepada semua tentang kesesatan mereka supaya tidak terpengaruh.

📍Apakah yang dimaksudkan dengan muhsinin?

🔵 Orang yang melakukan ihsan. Ihsan adalah perbaikan, perkara baik yang berterusan. Antaranya mereka ini kalau orang buat jahat kepada dia pun, dia akan buat baik kepada orang itu dan ini peringkat tinggi.

📍Adakah kalau kita selalu baca Al-Quran akan dilindungi dari penyakit nyanyuk dan lupa?

🔵Jika ‘baca’ saya tidak pasti tetapi kalau ‘hafal’, ya. Sebab hafal itu Al-Quran sudah ada dalam dada. Kemudian hendak hafal itu pun, otak sudah menjadi kuat daya ingatan. Otak juga sudah kembang dan otak yang kembang tidak kembali ke asal.

Nyanyuk ini memang satu fenomena biasa. Umur sudah 40 memang ada ‘chemical’ yang akan memecahkan neurons dalam otak dan saintis tengah cari ubat, cuma belum dapat buat ujian lagi. Oleh itu jika hendak elak nyanyuk kena buat neurons baru.

Teruskan belajar, rajin guna otak. Kalau baca Al-Quran dan memikirkan tentang ayat-ayat Quran, itu ‘make sense’ juga untuk kurangkan nyanyuk kerana menggunakan otak untuk berfikir. Kemuliaan orang yang menjaga (hafaz maksudnya ‘jaga’) Quran ada dalam dada dia.

Allahu a’lam.

Popular

Iklan

Iklan