Utama Blog Halaman 86

Hadis 76: Dua Tali Syirak Selipar Nabi

0

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin
December 17, 2018

76 – حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ، قَالَ: حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، عَنْ سُفْيَانَ، عَنْ خَالِدٍ الْحَذَّاءِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْحَارِثِ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: كَانَ لِنَعْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَالَانِ مَثْنِيٌّ شِرَاكَهُمَا.

76- Telah bercerita kepada kami Abu Kurayb Muhammad bin Al-`Ala’, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Waki`, daripada Sufyan, daripada Khalid Al-Hazza’, daripada `Abdi Llah bin Al-Haris, daripada Ibni `Abbas, dia berkata: Selipar Nabi mempunyaï dua tali qibal, dua tali syirak kedua-duanya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini diriwayatkan oleh `Abdi Llah Ibnu `Abbas yang menceritakan tentang selipar Nabi. Di samping mempunyaï dua tali qibal seperti yang disebutkan di dalam hadis ketujuh puluh lima, Ibnu `Abbas menambah satu lagi sifat selipar Nabi iaitu ia mempunyaï dua tali syirak. Adalah jelas bahawa kedua-dua hadis ini memberikan tumpuan kepada sistem tali pada selipar Nabi.

Kita telah menghuraikan tentang tali qibal sebagai tali yang naik dari tapak ke atas. Tali qibal ini berada di bahagian jari-jari kaki. Tali syirak pula ialah tali utama pada sesebuah selipar yang membolehkan ia digunakan untuk berjalan dan sebagainya. Ia tali yang mengikat atau memegang tali qibal.

Untuk menjelaskan tentang tali syirak ini, kita kembali kepada alas kaki yang biasa kita pakai hari ini. Selipar Jepun, biasanya ada satu tali qibal iaitu tali yang naik ke atas dari tapak. Untuk selipar Jepun, tali qibalnya biasanya pendek sahaja. Tali qibal ini kemudian bersambung dengan tali syirak iaitu tali yang melintang ke kiri dan ke kanan. Tali syirak ini kemudian dimasukkan ke tapak di bahagian belakang berdekatan tumit. Pada selipar Jepun, tali syirak ini adalah sama besar antara bahagian sebelah kiri dengan bahagian sebelah kanan. Walau bagaimanapun, kerana selipar Jepun menggunakan tali getah, jadi tali qibal dan tali syiraknya sudah bersambung terus.

Capal pula biasanya mempunyaï tali qibal yang lebih panjang sedikit daripada selipar Jepun. Tali qibal ini kemudian dicantumkan di tengah dan kemudian dibiarkan bercabang, satu ke kanan dan satu ke kiri. Cabangan tali qibal ini diletakkan di atas tali syirak yang lebih lebar yang merentang dari kiri ke kanan, yang menutupi bahagian atas kaki. Kita mungkin tidak akan memanggil tali syirak itu sebagai tali kerana ia terlalu lebar. Justeru, dapatlah diketahuï bahawa tali syirak selipar Nabi tidaklah selebar tali syirak capal Melayu.

Sebahagian sandal pula tidak mempunyaï tali qibal yang naik dari tapak ke atas, di bahagian jari. Yang ada hanyalah satu jalur kulit tali syirak yang lebar yang juga merentang dari kiri ke kanan dan menutupi bahagian atas kaki. Ia seperti alas kaki yang disediakan di hotel, atau alas kaki yang biasa digunakan di bilik tidur. Kadangkala, ia tidak lagi menjadi tali, kerana ia telah dijahit bersama-sama ke tapak sandal sehingga menutupi seluruh bahagian jari.

Secara am, kita dapat membayangkan bahawa sistem tali pada selipar Nabi menggunakan tali yang bersambung antara tali qibal dengan tali syirak. Walau bagaimanapun, tali syirak selipar Nabi tidaklah selebar sandal hotel yang kita gunakan atau capal Melayu yang kita kenal. Untuk memakai selipar ini, seseorang perlu memasukkan hujung tapak kakinya ke dalam tali syirak dahulu, kemudian barulah memasukkan jari-jarinya ke dalam tali qibal.

Ringkasnya, jika tali qibal ialah tali yang naik dari tapak ke atas, yang berada di bahagian jari-jari kaki, tali syirak ialah tali yang bersifat horizontal dari kiri ke kanan, yang melintang di bahagian atas kaki, yang lebih nyata dan menonjol apabila dilihat ketika selipar itu dipakai. Justeru, ada sesetengah orang yang menghias tali syirak ini dan berasa bangga dengan keindahan atau perhiasan pada tali syiraknya.

Membaca hadis ini seharusnya menginsafkan kita tentang satu perkara, iaitu bahasa Melayu kita kekurangan kosa kata dalam hal selipar ini. Justeru, kita boleh mula meniru bahasa `Arab, dengan memberi nama yang lebih spesifik untuk benda-benda di sekeliling kita. Kekurangan kosa kata bermakna kita tidak mengambil endah tentang hal itu di dalam budaya kita, dan kita selalu bercakap secara lebih kurang atau menggunakan penghampiran sahaja, tanpa perbendaharaan kata yang khusus. Di sinilah kekurangan yang nyata, iaitu dalam aspek bahasa, terutama apabila anak-anak muda mula meninggalkan bahasa Melayu dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Kekurangan kosa kata ini akan berterusan lebih lagi kerana orang-orang muda mula meninggalkan bahasa penulisan, dan hanya menggunakan bahasa percakapan yang terhad penggunaan kata-katanya.

Jika kita lihat manual barangan yang dihasilkan di kilang, contohnya mesin jahit atau kereta, setiap bahagian, setiap skru, setiap alat akan diberikan nama. Apabila kita mendalami sesuatu bahasa, ia bermakna kita dapat mengungkapkan perkara yang lebih abstrak dan lebih rumit dengan menggunakan bahasa itu. Untuk memahami bahasa `Arab yang begitu kaya dengan kosa kata, kita juga harus kukuh bahasa ibunda kita, iaitu bahasa Melayu, agar kita dapat menterjemah dan mengungkapkan idea yang ada ke dalam bahasa kita.

Dalam terjemahan hadis ini, istilah “tali qibal” dan “tali syirak” digunakan dengan meminjam perkataan `Arab, kerana bangsa `Arab mempunyaï perkataan untuk hal ini, sedangkan bahasa Melayu tiada. Yang ada hanya satu perkataan untuk kedua-duanya iaitu “tali”. Justeru, membaca hadis ini sebenarnya menambah kosa kata kita, dan menambah konsep ilmu yang baru kepada pengetahuan sedia ada kita.

Dengan itu, kita tahu bahawa untuk mempelajari ilmu, kita memerlukan penguasaan bahasa yang kukuh, yang kaya dengan kosa kata. Ketika mempelajari ilmu, kita akan menambah ilmu dengan menambah perbendaharaan kata. Setelah kita berilmu, jumlah perkataan yang kita tahu dan konsep ilmu yang kita ada akan bertambah melebihi orang lain. Kerana ilmu itu diungkap dengan bahasa, maka orang yang berilmu akan bertambah dalam bahasanya dan bertambah cintanya kepada bahasa.

Presuposisi 1: Map Is Not the Territory

0

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq

Presuposisi Yang Pertama:

1.THE MAP IS NOT THE TERRITORY

Peta Tidak Mewakili Daerah Yang Sebenarnya”.

Untuk memudahkan kita mencari jalan ke sesuatu tempat, tentu ada petanya. Tetapi peta ini adalah cerminan sahaja kepada realiti yang sebenar. Sesuatu peta biasanya berbeza di antara satu sama lain kerana tidaklah sama seorang membuat peta dengan orang yang lain. Ini perkara biasa kerana bila membuat peta, bukan semua maklumat kita boleh masukkan ke dalam peta itu. Kita hanya pilih tanda aras yang penting sahaja.

Tetapi mana yang penting tidak sama bagi seseorang dengan seorang yang lain, bukan? Ada orang membuat peta berdasarkan jalan dan ada pula yang membuat peta berdasarkan bangunan.

Yang membuat peta berdasarkan jalan, akan berkata: “Apabila bertemu simpang, sila masuk kiri”. Yang membuat peta berdasarkan bangunan pula akan berkata: “Apabila sampai ke bangunan empat tingkat berwarna kelabu, sila masuk kiri.” Padahal kedua-duanya membuat peta untuk tempat yang sama.

Ini adalah kerana cara setiap individu melihat sesuatu keadaan mengikut pandangan matanya adalah tidak sama. Antara orang yang membuat peta berdasarkan jalan dan membuat peta berdasarkan bangunan, yang manakah salah? Tidak ada yang benar dan tidak ada yang salah kerana mereka hanya membuat peta mengikut pemahaman mereka sahaja.

Adakah apabila membuat peta, maka, tanah dan jalan itu berubah? Tentulah tidak. Tanah dan ruang tetap sama, cuma cerminan pada peta sahaja yang berbeza.

Jadi, realiti yang di luar ada kemungkinan tidak sama dengan peta. Ini kerana ada peta yang tidak tepat, ada peta yang ringkas sahaja dan ada peta yang kurang kemas. Maka peta boleh menjadi berbeza di antara satu sama lain.

Oleh itu, kita haruslah menghormati peta yang orang lain buat kerana itu adalah petanya. Kalau tidak mahu menggunakan petanya pun, tidak mengapa, cari sahaja peta yang lain.

Manakala yang membuat peta pula, kenalah bersedia untuk ditegur kalau ada orang berkata: “Peta kau ini salah. Bangunan itu bukannya di situ tetapi di sini.”

PETA ini adalah analogi sahaja. Analogi kepada cara kita berfikir, cara kita melihat dunia luar dan kita hanya membuat andaian kita sahaja. Sebagaimana peta itu berbeza kalau dilukis oleh orang lain, begitu juga andaian tentang sesuatu perkara. Ini kerana kita semua berbeza.

 

Maka ‘peta’ yang kita maksudkan adalah peta di dalam minda kita. Sesuatu perkara berlaku di hadapan mata kita, dan kita membuat petanya di dalam minda kita. Kalau kita ceritakan kembali kepada orang lain apa yang berlaku, ia bergantung kepada apa yang kita simpan di dalam otak kita, mengikut cara kita menilai sesuatu perkara itu terjadi.

Adakah kita cuba untuk memahami peta minda orang lain? Atau kita hanya ingin mempertahankan peta kita sahaja?

Kalaulah ramai orang mengetahui tentang presuposisi ini, tentu dunia akan menjadi lebih aman. Ahli politik tidaklah berkelahi sesama sendiri, para ustaz pula menghormati pandangan orang lain, ahli keluarga pun boleh duduk bersama walaupun berlainan pandangan, penduduk taman pun tidaklah sibuk marah sesama jiran sahaja.

Adakah kita bersedia untuk mengubah peta kita? Ini kerana kalau peta kita membuat jalan di KL 10 tahun yang dahulu sudah tentu tidak sama dengan sekarang, bukan? Maka sepertimana peta jalanan perlu dikemaskini, peta dalam minda kita pun hendaklah dikemaskini juga dari masa ke semasa.

Kerana itulah ada banyak sekali perbezaan pendapat tentang sesuatu fakta. Ada orang melihat fakta dari sudut geologi, ada yang melihat dari sudut psikologi, dari sudut budaya, dari sudut agama dan lain-lain lagi.

Tidak ada yang boleh menceritakan sesuatu fakta yang tepat dalam semua sudut. Sedangkan sesama adik beradik kembar pun boleh berbeza pandangan, apatah lagi dengan orang lain.

Maka kita haruslah menghormati pandangan seseorang tentang sesuatu fakta kerana begitulah cara dia berfikir. Andaian itu berlainan kerana ilmu tidak sama, budaya tidak sama, cara pendidikan tidak sama, buku yang dibaca tidak sama, IQ tidak sama dan banyak lagi perkara yang tidak sama.

Manakala orang yang membuat andaian kepada sesuatu fakta itu kenalah bersedia untuk mengubah andaiannya sekiranya ada yang menegur. Yang menjadi masalah di dalam dunia sekarang adalah apabila ada yang berkata: “Peta aku lah yang betul, peta kau tak betul.” Kalau ada sikap begitu, tentu susah untuk bertukar-tukar pandangan.

Janganlah marah kalau ada orang tidak bersetuju dengan pandangan kita kerana belum tentu ‘peta’ kita itu benar. Dia cuma hendak menyampaikan pandangannya sahaja. Dengan membuka minda kita kepada pembaharuan dan pembetulan, ini lebih baik bagi kita.

Ini kerana kita mungkin nampak sesuatu perkara itu dari satu sudut sahaja, tetapi orang lain mungkin nampak lebih lagi. Tentu kita masih ingat kisah orang buta memegang gajah, bukan?

☝️ Dari gambar ini, ia mengingatkan kita, kalau kita ingin mempertahankan apa yang kita tahu sahaja, maka tentulah kita yang silap.

Tetapi ramai yang tidak boleh menerima apabila orang lain berlainan pendapat dengannya. Seolah-olah orang lain mesti mengikut pendapatnya juga. Ini boleh menimbulkan masalah dan akan menyebabkan konflik dalaman.

Hati kita tidak akan tenang, otak berpusing untuk melawan pendapat orang, masa terbuang untuk mencari jalan menjatuhkan pendapat orang lain. Jadi presuposisi ‘Peta Tidak Mewakili Derah Yang Sebenarnya’ memerlukan latihan untuk menenangkan hati dan redha dengan perbezaan pendapat dengan orang lain.

 

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-55 & Ke-56

0

Tafsir Ayat Ke-55

Dalil Wahyi. Ini ada syarat lagi yang perlu dipenuhi:

وَاتَّبِعوا أَحسَنَ ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ بَغتَةً وَأَنتُم لا تَشعُرونَ

“Dan turutlah – Al-Qur’an – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya”.

وَاتَّبِعُوا أَحْسَنَ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ

Dan kamu ikuti sahajalah yang terbaik dari apa yang diwahyukan kepada kamu

Yang dimaksudkan yang terbaik adalah: al-Qur’an dan Sunnah iaitu mengikut wahyu. Sama ada wahyu itu dari al-Qur’an atau dari hadith Nabi ﷺ yang sahih. Iaitu kita ikut yang wajib dan yang sunat. Selain dari itu tidak perlu ikut iaitu ibadat yang tidak ada dalil.

Dan yang terbaik dari wahyu itu semua adalah tentang Tauhid. Tauhid itu yang perlu dikemasi dahulu. Kena faham apakah tauhid dan apakah syirik. Oleh itu, kena belajar tafsir 30 juzuk al-Qur’an ini supaya faham apakah yang dimaksudkan dengan tauhid dan apakah syirik.

مِّنْ رَّبِّكُمْ

daripada Tuhan kamu

Dan kena pastikan bahawa dalil yang digunakan adalah daripada Allah ‎ﷻ – sama ada dalam bentuk ayat al-Qur’an atau dalam bentuk hadis Nabi ﷺ – wahyu yang disampaikan melalui lafaz Nabi Muhammad ﷺ.

Al-Qur’an dan hadith telah diberikan kepada kita untuk beramal. Paling terbaik dari al-Qur’an dan hadis itu adalah dua perkara. Daripada lima hukum yang ada (iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram), dua sahaja yang kita buat akan dapat pahala iaitu yang wajib dan sunat.

Perkara yang hukumnya harus tidak perlu buat pun tidak mengapa. Sebab kalau buat pun, tidak dapat pahala. Kalau tidak buat pun, tidak berdosa. Jadi habis duit dan buang masa sahaja kalau buat.

Kalau buat juga, itu untuk ihsan, iaitu kebaikan hidup di bumi. Apa yang dibuat, mestilah yang dihukumkan sunat. Yang wajib, memang kita tidak boleh tinggalkan. Tiga lagi hukum, kita tolak. Apa yang tidak sunat, tidak perlu buat.

Maka, janganlah kita mengikut pendapat guru-guru, ustaz-ustaz yang menggunakan akal sebagai hujjah untuk membenarkan amalan bid’ah mereka. Contohnya, mereka yang mengatakan kebaikan dalam menyambut Majlis Maulid Nabi ﷺ, tetapi mereka tidak memberikan hujah dalil yang sahih, mereka menggunakan hujah akal sahaja.

Ambillah apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan dan amalkannya dalam kehidupan kita.

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً

sebelum datang kepada kamu azab yang datang tiba-tiba (iaitu mati)

Ingatlah bahawa kita boleh mati pada bila-bila masa sahaja. Kita tidak tahu bilakah kita akan mati. Waktu itu semuanya sudah terlambat.

وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

yang masa itu kamu tidak sedar.

Celik-celik mata tengok-tengok sudah berada di dalam kubur. Maknanya, dia pun tidak sedar dia sudah mati.

Seperti orang yang kemalangan yang menyebabkan dia pengsan atau koma. Celik-celik mata tengok kipas sedang berpusing dalam hospital. Dia pun tidak sedar bilakah masanya dia telah dibawa ke hospital.

Maknanya, hendak mengikut al-Qur’an ini hendaklah dilakukan sebelum kita mati. Kalau sudah mati, maka tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Jadi, kenalah belajar dari sekarang. Jangan ditangguh-tangguh lagi.

Walaupun begitu, telah diberitahu kepada kita bahawa ada perkara-perkara yang walaupun kita sudah mati, masih boleh mendapat pahala. Iaitu tiga perkara: Sedekah, ilmu berguna yang diajar kepada orang yang lain dan doa anak yang soleh.

Apakah itu sedekah jariah? Ia adalah sedekah dan infaq yang kita berikan pada jalan agama. Sedekah jariah itu adalah apabila kita memberikan harta kita kepada agama. Dan ia berterusan.

Sebagai contoh, kita sedekahkan duit untuk membina masjid dan masjid itu berterusan digunakan oleh manusia. Setiap kali ada orang yang menggunakan masjid itu, kita akan mendapat pahala.

Oleh kerana kita boleh berwasiat kepada selain dari keluarga kita, maka wasiatlah untuk infaq sebahagian dari harta kita kepada agama. Iaitu sebanyak-banyaknya satu pertiga dari harta kita.

Bukanlah kena bagi keseluruhan satu pertiga. Setakat mana kita hendak beri sahaja. Supaya pahala kita berterusan memberi saham pahala kepada kita.

Itu sahajalah harta yang kita boleh bawa balik ke akhirat. Sanak saudara kita yang telah kita berikan harta pesaka itu, belum tentu dia akan menderma harta yang kita pesakakan kepada mereka.

Ketahuilah bahawa sedekah itu adalah pencegahan dari api neraka. Manusia yang tidak mahu infaq kepada agama ini adalah kerana bersifat munafik seperti yang telah diberitahu dalam al-Qur’an dan hadith.

Tafsir Ayat Ke-56:

Takhwif Ukhrawi. Ini adalah kata-kata orang yang sudah mati. Ini adalah contoh orang yang menyesal dengan apa yang dia telah lakukan semasa dia di dunia. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang sebegini.

أَن تَقولَ نَفسٌ يٰحَسرَتا عَلىٰ ما فَرَّطتُ في جَنبِ اللهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ السّٰخِرينَ

“(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)!”

أَنْ تَقُولَ نَفْسٌ

Supaya jangan seseorang berkata:

Ini adalah kata-kata penyesalan dari manusia yang cuai dalam amalan semasa di dunia. Ini orang yang mati mengejut dan tidak sempat untuk membuat persiapan.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Allah ‎ﷻ memberikan banyak peringatan kepada kita, supaya kita tidak cakap begini nanti.

يٰحَسْرَتَا

Alangkah besarnya penyesalanku,

Sekarang dia sedang menyesal sangat. Dia tahu yang dia telah membuat kesalahan yang besar.

عَلَىٰ مَا فَرَّطْتُ فِي جَنْبِ اللهِ

atas kecuaian aku tentang Allah.

Iaitu dia telah cuai dalam perkara ibadah. Iaitu cuai dalam belajar, cuai melakukan ibadat solat, puasa, haji, sedekah, walaupun dia memang ada niat untuk taat kepada Allah ‎ﷻ.

Cuai itu kerana tidak belajar cara sembahyang yang betul dan cara-cara melakukan ibadah-ibadah yang lain.

Dalam perkara lain, dalam perkara dunia, dia tidak cuai – dia belajar dari sekolah rendah, masuk sekolah menengah, masuk kolej dan universiti sampai ada yang ambil master dan PHD.

Namun semua itu adalah untuk perkara dunia, untuk hidup sementara sahaja di dunia. Sanggup dia mengeluarkan duit entah berapa banyak untuk mendapatkan ilmu dunia.

Tetapi tentang hal akhirat, dia cuai untuk belajar. Padahal, bukan susah pun unuk belajar tafsir al-Qur’an ini.

Malangnya, ada guru-guru yang telah belajar agama di universiti sama ada di Malaysia ataupun di luar negara, sama ada di madrasah ataupun di pondok, lama mereka belajar, tetapi mereka tidak belajar lagi tafsir al-Qur’an.

Mereka sangka mereka telah tahu tentang agama, tetapi sebenarnya mereka tidak terpimpin lagi.

Tanyalah kepada ustaz-ustaz yang mengajar mereka agama, adakah mereka telah belajar tafsir al-Qur’an dengan lengkap 30 juzuk? Ada kemungkinan besar mereka belum belajar lagi. Kita sahaja sangka mereka telah tahu tentang al-Qur’an, tetapi sebenarnya tidak.

Maksud فِي جَنْبِ اللَّهِ: seperti Allah ‎ﷻ ada di sebelahnya, tetapi dia buat tidak endah sahaja. Dia tidak belajar agama sampai dia kenal Allah ‎ﷻ dengan sepatutnya.

Dan untuk mengenali Allah ‎ﷻ, hendaklah belajar tafsir al-Qur’an kerana dalam al-Qur’anlah Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya.

وَإِنْ كُنْتُ لَمِنَ السّٰخِرِينَ

dan sesungguhnya aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh mempersenda-sendakan

Dia telah mempersendakan perkara agama dan ayat-ayat al-Qur’an dan kerana itu dia telah masuk neraka dan menjadi seorang yang sangat rugi. السَّاخِرِ adalah orang yang tidak mengambil berat tentang tuntutan agama. Dia rugi kerana dia dahulu cuai semasa di dunia. Dia mengambil hal agama itu sebagai bahan jenaka sahaja.

Kita pun selalu lihat manusia seperti itu. Semua perkara adalah perkara lawak sahaja padanya. Dia tidak ambil peduli semua perkara.

Sebagai contoh, apabila kita kata jangan buat perkara bid’ah kerana Nabi ﷺ tidak pernah buat, mereka buat lawak: “Kalau macam itu, jangan pakai keretalah sebab Nabi tak pernah pakai kereta!”. Dan kata-kata lain yang mengejek-ngejek amalan sunnah.

Jangan kita menjadi manusia-manusia yang akan melahirkan penyesalan seperti itu di akhirat kelak. Hendaklah kita belajar tentang hal agama ini supaya kita tidak menyesal nanti. Dan hendaklah kita memastikan bahawa apa yang kita belajar itu adalah al-Qur’an dan juga dari Hadith Nabi ﷺ yang sahih.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-54

0

Tafsir Ayat Ke-54

Ini adalah syarat-syarat untuk mendapat pengampunan. Bukan hanya setakat minta ampun sahaja, tetapi kita kenalah perbaiki diri kita. Kembalilah melakukan amal kebaikan.

وَأَنيبوا إِلىٰ رَبِّكُم وَأَسلِموا لَهُ مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ ثُمَّ لا تُنصَرونَ

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

وَأَنِيبُوا إِلَىٰ رَبِّكُمْ

Dan kembalilah kepada Tuhan kamu,

Apabila sudah bertaubat, hendaklah kita kembali kepada Allah ‎ﷻ dengan mentaati segala hukum-Nya. Solat jangan ditinggalkan lagi. Jangan berbuat jahat lagi. Itulah yang dipanggil ‘kembali kepada Allah ‎ﷻ’.

Dosa yang telah dibuat, berhentilah dari membuatnya. Kalau dahulu berzina, berhenti dari berzina. Kalau dahulu minum arak, berhenti dari minum arak. Kalau dahulu tidak berpuasa, mula balik berpuasa.

Antara tanda kembali itu termasuklah belajar agama. Belajar untuk mengetahui manakah perbuatan kita yang salah.

Ayat ini juga bermaksud, apabila kita berbuat dosa, sebenarnya kita telah meninggalkan Allah ‎ﷻ. Kita tidak mengendahkan Allah ‎ﷻ dan segala peraturan yang telah ditetapkan.

Maka, sebab itu lah Allah ‎ﷻ suruh kita kembali kepada-Nya. Kalau kita tidak endahkan kawan kita, keluarga kita, ada kemungkinan mereka akan meninggalkan kita. Tetapi tidak begitu dengan Allah ‎ﷻ. Pintu rahmat Allah ‎ﷻ sentiasa terbuka untuk kita.

Dan yang paling penting, kena kembali kepada tauhid setelah mengetahui yang selama ini perbuatan kita adalah perbuatan syirik. Kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik.

Tinggalkan perbuatan syirik yang pernah dilakukan dahulu kerana mungkin dahulu kita buat disebabkan oleh kejahilan agama. Sekarang sudah tahu, kenalah tinggalkan.

وَأَسْلِمُوا لَهُ

dan serah diri kepadaNya

‘Islam’ bermaksud serah diri bulat-bulat kepada Allah ‎ﷻ. Dalam akidah dan dalam amal. Kita hendaklah menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah ‎ﷻ. Terima semua yang terkandung dalam al-Qur’an dan hadis.

Terima bulat-bulat tanpa soal. Jangan kita gunakan akal lagi, jangan gunakan hujah yang batil lagi untuk menolak suruhan-suruhan Allah ‎ﷻ. Apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat, lakukan sahaja.

Malangnya, banyak ustaz-ustaz yang mengajar di merata-rata tempat, tidak belajar pun lagi tafsir Qur’an dan hadith Nabi ﷺ. Mereka sendiri pun tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ hendak manusia buat. Tetapi mereka sudah mengajar manusia. Maka, apa yang mereka ajar itu tidak benar atau tidak lengkap.

Oleh itu kita yang mahu belajar agama, hendaklah memastikan bahawa guru yang mengajar itu telah belajar dari dua sumber agama yang utama: al-Qur’an dan Hadith.

Contoh tidak menggunakan akal dalam menafsir hukum Allah ‎ﷻ: ada orang yang berkata kalau makan babi boleh menyebabkan penyakit. Semua agama lain makan babi, tidak ada yang jadi gila pun. Alasan ulama’ yang memberikan sebab-sebab itu tidak betul.

Ada yang berkata kerana dalam tubuh babi itu ada ulat yang tidak boleh dibunuh, kerana babi makan tahinya sendiri, kerana babi itu suka sondol binatang lain dan sebagainya.

Itu bukanlah jawapan yang tepat. Kita kenalah jawab begini: kita tidak makan kerana perintah Allah ‎ﷻ. Sebab kalau kita kata kita tidak boleh makan babi kerana ada ulat itu, katakanlah kalau ada cara untuk membunuh ulat itu dengan cara moden, adakah kita boleh memakan babi pula? Tentu tidak. Kita kena terima semua sekali perintah Allah ‎ﷻ, jangan takwil-takwil.

Kerana kalau kita menggunakan akal kita untuk mencari sebab pengharaman sesuatu perkara, itu maknanya kita mempersoalkan hukum Allah ‎ﷻ. Jadi ada orang yang kata arak tidak haram, kalau minum tidak memabukkan. Babi pun boleh dimakan kerana zaman sekarang babi itu sudah bersih dan sebagainya. Itulah bahayanya. Allah ‎ﷻ tidak perlu menjelaskan sebab apa sesuatu perkara itu diharamkan. Kita mesti taat bulat-bulat kepada Dia sahaja.

Namun dalam masa yang sama, kalau kita cuba mencari hikmah pengharaman itu, tidaklah salah. Kalau niat kita untuk memahami lagi hukum Allah ‎ﷻ, itu bolehlah.

Tetapi berhati-hati jangan sampai kita mengubah hukum Allah ‎ﷻ pula. Kerana segala hujah atau kajian yang kita lakukan itu, mungkin benar dan mungkin salah.

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ

sebelum datang azab akhirat kepada kamu.

Sebab kalau sudah berada di alam akhirat, kamu tidak dapat diselamatkan lagi. Waktu itu sudah terlambat untuk memohon keampunan.

Oleh itu, kita kena taubat segera, jangan tunggu-tunggu lagi. Tidak perlu tunggu ‘Solat Taubat’ pun kerana taubat itu boleh dilakukan di mana-mana.

ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

kemudian kamu tidak diberi pertolongan

Apabila berada di Mahsyar, tidak ada peluang untuk mendapat pertolongan dari sesiapa pun, dari mana-mana arah pun. Pada waktu itu, tidak ada sesiapapun yang boleh menolong kita lagi.

Allahu a’lam.

06.10 Penurunan Beberapa Ayat Disebabkan oleh Seorang (Sahabat)

0

#191218 Bilik (09) Ulum al-Quran – Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)

06.10 Penurunan Beberapa Ayat Disebabkan oleh Seorang (Sahabat) – تَعَدُّدُ مَا نَزَلَ فِي شَخْصٍ وَاحِدٍ

Terdapat di kalangan para sahabat yang terlibat dengan beberapa peristiwa penting di mana ayat al-Quran turun disebabkan apa yang berlaku melibatkan sahabat tersebut.

Maka timbulnya topik ini mengenai penurunan beberapa ayat yang berbeza berpunca dari seorang sahabat, contohnya seperti apa yang berlaku kepada Sa’d ibn Abi Waqqas – radhiyalLaahu ‘anhu -, di mana dia sendiri menyebutkan,

‘Disebabkan aku, beberapa ayat al-Quran telah turun,

كَانَتْ أُمِّي حَلَفَتْ أَلَّا تَأْكُلَوَلَا تَشْرَبَ، حَتَّى أُفَارِقَ مُحَمَّدًا -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى:

(Pertama,) Dahulu, ibuku pernah bersumpah untuk mogok makan dan minum, sehinggalah aku meninggalkan Muhammad – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -, lalu Allah ta’ala menurunkan (ayat berikut),

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا .

“Seandainya mereka (yakni: kedua orang tua) mendesakmu untuk mensyirikkan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak memiliki ilmu tentangnya, maka janganlah taati mereka, (namun) tetaplah mendampingi mereka dalam urusan dunia, dengan baik.”

[Luqman(31):15]

وَالثَّانِيَةُ : أَنِّي كُنْتُ أَخَذْتُ سَيْفًا فَأَعْجَبَنِي فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ هَبْ لِي هَذَا السَّيْفَ

Ke-2, aku pernah mengambil sebilah pedang (yang merupakan harta rampasan perang), lalu aku tertarik dengannya.

Akupun bertanya kepada RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -, ‘Berikanlah kepadaku pedang ini!’

فَنَزَلَتْ : يَسْأَلُونَكَ عَنِ الأَنْفَالِ .

Lalu Allah menurunkan ayat, “Mereka bertanya kepada engkau tentang harta rampasan perang..”

[al-Anfaal(8):1]

وَالثَّالِثَةُ : أَنِّي كُنْتُ مَرِضْتُ فَأَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُقَسِّمَ مَالِي، أَفَأُوصِيَ بِالنِّصْفِ؟ فَقَالَ: لَا، فَقُلْتُ: الثُّلُثُ، فَسَكَتَ، فَكَانَ الثُّلُثُ بَعْدُ جَائِزًا.

Ke-3, aku pernah ditimpa kesakitan (yang berat), lalu RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – datang menziarahiku, lalu aku tanyakan (kepadanya),

‘Aku ingin membahagikan hartaku. Bolehkah aku wasiatkan separuh hartaku?’. Nabi menjawab: “Tidak!”

Aku bertanya lagi, ‘(Kalau) Sepertiga?’. Nabi hanya diam. Selepas itu, ditetapkan wasiat yang dibenarkan sebanyak sepertiga.

وَالرَّابِعَةُ : أَنِّي شَرِبْتُ الْخَمْرَ مَعَ قَوْمٍ مِنَ الْأَنْصَارِ،
فَضَرَبَ رَجُلٌ مِنْهُمْ أَنْفِي بِلَحْيِ جَمَلٍ، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ تَحْرِيمَ الْخَمْرِ ” .

Ke-4, aku dahulu pernah minum arak (ketika arak masih belum diharamkan) bersama sekumpulan orang dari kalangan al-Anshor, lalu salah seorang dari mereka terpukul (kerana mabuk) hidungku di tempat bernama Lahy Jamal.

Aku pun pergi bertemu RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – (untuk mengadu tentang apa yang telah berlaku), lalu Allah – ‘azza wa jalla – menurunkan ayat mengharamkan arak (iaitu [al-Maidah(5):90]).

[al-Adab al-Mufrad]

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, Cet. ke-7, m/s 89-90.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-53

0

Tafsir Ayat Ke-53

Ini adalah ayat yang ditujukan bagi orang yang telah pernah berbuat amalan syirik atau orang yang pernah membuat dosa yang banyak sebelum ini. Ini adalah sebagai pengumuman dari Allah ‎ﷻ sebagai rahmat dan galakan kepada tauhid.

Ulama’ Tafsir menyebut yang ayat ini adalah ayat yang paling memberi harapan kepada manusia dalam Al-Qur’an.

Kalau orang yang dalam kesedihan dan berputus asa dalam hidupnya, suruh dia baca ayat ini dan fahami maksud dia. (bukan buat zikir pula… orang Melayu bab reka zikir memang pandai).

Baca dengan faham dan selami maknanya kerana kalau baca berulang-ulang untuk dapatkan sesuatu, itu sudah termasuk sihir (sihir menggunakan ayat Al-Qur’an).

۞ قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

قُلْ يٰعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ

Katakanlah, wahai hamba-Ku sekalian yang telah melampaui batas kepada diri sendiri

‘Melampau batas’ dalam ayat ini adalah perbuatan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Perbuatan itu akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka. Kadang-kadang kita berbuat syirik kerana kita tidak tahu perbuatan itu adalah perbuatan yang syirik kerana kita tidak belajar.

Apabila jahil, mereka tidak tahu yang amalan mereka selama hari ini adalah amalan yang salah – sama ada bid’ah atau syirik. Tetapi apabila mereka telah belajar, maka mereka takut dan rasa gelisah kerana perbuatan mereka dahulu, bukan?

Orang-orang yang buat syirik akan masuk neraka, dan kemudian akan kekal di dalamnya, kalau mereka tidak sempat bertaubat kepada Allah ‎ﷻ sebelum mereka mati. Salah faham dalam masyarakat Islam kita adalah, mereka sangka selama mereka Islam, kalau pun mereka masuk neraka, mereka sangka mereka akan masuk syurga akhirnya.

Mereka tidak tahu bahawa kalau kesalahan yang mereka lakukan itu adalah dosa syirik, mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan keluar sampai bila-bila, walaupun nama mereka Islam dan mereka telah mengucap syahadah. Orang Islam yang masuk neraka dan selepas sekian lama dalam neraka dan dipindahkan ke syurga adalah mereka yang ada dosa, tetapi bukan dosa syirik.

Perkataan أَسْرَف juga bermaksud ‘berlebihan’. Ini adalah maksud yang lebih umum. Iaitu berlebihan sampai melampau. Mereka berlebih dalam tidur, buat maksiat, main game, berpolitik dan sebagainya. Sampaikan memberi kesan buruk kepada mereka. Ramai dari kalangan kita yang macam itu.

Mereka sangka apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan diri mereka tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk mereka dan telah memberi kesan kepada mereka. Sebab itulah perkataan yang digunakan adalah عَلَىٰ. Itu bermaksud perbuatan melampau mereka itu telah memberi kesan buruk kepada mereka.

Sebagai contoh, kalau berlebihan dalam berpolitik, akan menyebabkan kita berbuat dosa dengan menjatuhkan orang lain dan sebagainya.

Dalam ayat ini tidak dikhususkan apakah perkara yang mereka telah lampaukan. Ini adalah kerana terlalu banyak perkara yang manusia melampau. Jadi Allah ‎ﷻ biarkan dalam bentuk umum.

Juga bermaksud mereka yang telah ‘jatuh’. Hilang pekerjaan dan sebagainya. Mereka sampai ada yang telah berputus asa. Maka, kepada mereka ini juga, Allah ‎ﷻ hendak berikan harapan.

لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ

Jangan sekali-kali kamu putus asa dari rahmat Allah.

Ayat ini mengatakan bahawa kita masih lagi ada peluang untuk mendapat keampunan daripada Allah ‎ﷻ. Maknanya, ada peluang untuk bertaubat lagi walaupun kita sudah berbuat dosa maksiat, walaupun kita sudah berbuat syirik. Walau bagaimana banyak pun dosa kita Tuhan akan mengampunkan dosa kita walaupun kita telah berbuat syirik.

Syaratnya, kenalah memohon keampunan itu sendiri, tidak boleh orang lain mintakan kalau dosa itu adalah dosa syirik. Dan untuk meminta keampunan itu hendaklah dilakukan semasa hidup. Kalau sudah mati, tidak ada harapan lagi. Kalau anak-anak isteri kita meminta keampunan untuk kita yang sudah berbuat syirik, itu tidak akan diterima. Kita kenalah meminta ampun sendiri.

Namun begitu, kalau dosa selain dosa yang syirik, walaupun kita sudah mati, ahli keluarga dan orang lain masih boleh meminta keampunan bagi pihak kita. Ini adalah kerana memang ada larangan daripada Allah ‎ﷻ untuk meminta ampun kepada orang yang mati dalam syirik.

Ayat ini memberi kita harapan bahawa tidaklah Allah ‎ﷻ terus melupakan kita. Allah ‎ﷻ masih lagi memberi peluang kepada kita, walau berapa banyak dosa yang kita lakukan. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ amat sayang kepada kita. Sifat rahmah Allah ‎ﷻ amatlah besar sekali. Ada orang yang sangka yang dosa mereka terlalu banyak sampai mereka kata Allah ‎ﷻ tidak akan ampunkan mereka.

Itu adalah sangkaan mereka sahaja, Allah ‎ﷻ tidak pernah berkata begitu, mereka sahaja yang memandai-mandai. Jangan kita ada sangkaan seperti itu langsung. Inilah juga bisikan daripada syaitan untuk melemahkan harapan kita dan supaya kita tidak minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Syaitan bisikkan: “Dosa kamu dah banyak sangat, Allah takkan ampun dan pandang kamu dah, baik kamu teruskan sahaja apa yang kamu telah lakukan itu”.

Oleh itu, sentiasalah kita meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Sebelum kita tidur setiap malam, mintalah ampun kepada Allah ‎ﷻ di atas segala dosa kita, termasuklah dosa syirik yang mungkin kita telah lakukan tanpa kita sedar. Kerana kita tidak tahu, entah-entah kita akan dimatikan malam itu dan roh kita tidak dikembalikan kepada tubuh kita lagi.

Allah ‎ﷻ menceritakan tentang Rahmat-Nya dalam ayat ini. Oleh itu, para pemberi khutbah, penceramah pun, janganlah hanya menceritakan azab yang Allah ‎ﷻ akan berikan kepada kita kalau berbuat salah. Mereka kuat menceritakan tentang dosa manusia, sampai mereka lupa untuk cerita tentang rahmat Allah ‎ﷻ.

Sampaikan orang yang mendengar khutbah akan berasa yang mereka hanya layak untuk masuk neraka sahaja. Lama kelamaan manusia akan rasa mereka akan terus masuk neraka dan tidak ada harapan untuk masuk syurga. Jadi, mereka akan rasa tidak ada gunanya lagi untuk berbuat baik kerana mereka sudah tidak ada harapan lagi untuk masuk syurga. Jadi, mereka akan terus berbuat dosa.

Kepada mereka yang telah diberikan dengan ujian, jangan berputus asa dengan Allah ‎ﷻ. Mintalah kepada Allah ‎ﷻ supaya kita dikeluarkan dari masalah itu. Putus asa bukanlah satu sifat yang baik. Ia adalah satu sifat yang buruk. Jangan sekali-kali berputus asa.

إِنَّ اللَهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا

Sesungguhnya Allah sanggup mengampun dosa kamu semua sekali.

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ itu sanggup mengampuni dosa kamu semua sekali kalau kamu meminta pengampunan daripada-Nya. Tidak semestinya Allah ‎ﷻ wajib mengampuni dosa itu, tetapi Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan, kalau Dia mahu.

Ada muqaddar di sini, iaitu tidak diletakkan iaitu dengan syarat, kita kena meminta ampun. Kalau tidak minta ampun, maka tidak dapat. Kitalah yang perlu meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ sendiri. Kalau kita sudah mati, dan ahli keluarga memohon pengampunan kepada kita atas dosa syirik kita, tidak akan diterima.

Kalau dosa selain dosa syirik, Allah ‎ﷻ masih lagi terima, kalau Allah ‎ﷻ mahu. Kalau dosa selain dari dosa syirik, orang lain masih boleh mintakan ampun bagi pihak kita.

Allah ‎ﷻ sanggup untuk mengampunkan semua sekali dosa kita, bukan hanya sedikit. Bukan dosa yang kecil sahaja, tetapi dosa yang besar sekalipun. Maka kalau Allah ‎ﷻ sudah berkata yang Dia sanggup untuk menerima taubat itu, maka mintalah ampun semasa hidup di dunia ini. Janganlah tunggu di akhirat kelak yang mana taubat tidak diterima lagi.

إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Belas Kasihan.

Kenapa Allah ‎ﷻ sanggup untuk memberi keampunan kepada kita? Kerana sesungguhnya Dia itu adalah Dzat yang amat pemberi pengampunan. Sifat asal Allah ‎ﷻ adalah Maha Pengampun. Dia boleh mengampunkan dan Dia boleh melupakan dosa yang kita buat. Sampaikan tidak ada lagi yang akan tahu bahawa kita pernah melakukan dosa tersebut.

Kita sebagai manusia, tidak boleh melupakan kesalahan orang lain kepada kita, walaupun kita sudah memaafkannya. Hati kita masih ingat lagi walaupun kita sudah memaafkannya dengan mulut dan kita pun telah cuba untuk maafkan orang itu dalam hati kita.

Namun, bagi Allah ‎ﷻ, bila Dia ampunkan, Dia tutup dosa itu. Dan Dia tidak akan azab hamba-Nya itu dalam neraka atas kesalahan itu. Jangan degil untuk meminta ampun.

Dia sanggup mengampunkan kerana Dia amat belas kasihan kepada semua makhluk. Dia sayang sekali kepada hamba-Nya.

Kita kena faham apakah makna الْغَفُورُ ini. Ia bermaksud Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan banyak mana pun dosa makhluk itu. Namun begitu, tidaklah bermaksud Dia sentiasa memaafkan.

Jangan pula kita rasa Allah ‎ﷻ akan sentiasa memaafkan kesalahan kita, kita tidak risau untuk berbuat dosa pula kerana kita sangka Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja memaafkan. Bagaimana kalau Allah ‎ﷻ tidak mengampunkan dosa kita?

Jadi kita jangan senang hati sangat dan rasa boleh sahaja berbuat dosa, nanti minta ampun, dan Allah ‎ﷻ maafkanlah. Itu adalah salah faham seperti yang dihadapi oleh orang Kristian.

Pada mereka, kalau mereka menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai tuhan, mereka akan diampunkan segala dosa mereka. Dan kalau mereka ada berbuat dosa, mereka pergi berjumpa paderi dan mengaku kesalahan mereka, maka mereka sudah selamat.

Dalam Islam tidak begitu. Kita memang kena meminta ampun dan berharap Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita, tetapi dalam masa yang sama, kita kenalah berhati-hati. Jangan kita salah gunakan ayat ini untuk beri tiket percuma untuk berbuat dosa pula.

Allahu a’lam.

Tafsir surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-49 hingga Ke-52

0

Tafsir Ayat Ke-49
Ayat Zajrun

فَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ ضُرٌّ دَعانا ثُمَّ إِذا خَوَّلنٰهُ نِعمَةً مِّنّا قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ ۚ بَل هِيَ فِتنَةٌ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

فَإِذَا مَسَّ الْإِنْسٰنَ ضُرٌّ دَعَانَا

Apabila ditimpa kepada manusia (yang kufur itu) musibah, mereka akan berdoa terus kepada Kami,

Apabila manusia dikenakan dengan musibah yang besar, mereka sudah tidak menggunakan perantaraan dalam doa lagi. Mereka akan terus berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ini seperti Musyrikin Mekah yang selalunya akan berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ kalau mereka ada masalah besar.

Mereka kenal Allah ‎ﷻ kerana mereka masih ada tinggalan ajaran dari Nabi Ibrahim عليه السلام lagi. Mereka akan terus mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan berdoa bersungguh-sungguh dengan Allah ‎ﷻ.

Begitulah kalau orang kita sekarang pun. Kalau sudah terkena musibah, ramai akan berdoa sungguh-sungguh kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan menjadi orang baik, solat pun tidak tinggal, pakai kopiah, kalau doa pula panjang-panjang doa mereka.

ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنٰهُ نِعْمَةً مِّنَّا

kemudian apabila diberikan kepadanya nikmat dari Kami,

Setelah sekian lama, Allah ‎ﷻ akan tukar bala itu kepada nikmat. Mereka yang dulunya dikenakan dengan musibah, sekarang ‘diselimuti’ dengan nikmat. Kalau dahulu perniagaan mereka jatuh, sekarang sudah semakin pulih. Kalau dahulu mereka jatuh sakit, kesihatan mereka sudah semakin baik.

Sebelum ini mereka berdoa dan minta Allah ‎ﷻ menyelesaikan masalah mereka. Tetapi apa kata mereka apabila masalah mereka selesai?

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ

mereka berkata: ini semua diberi hasil dari ilmu yang aku ada.

Bukan mereka fikir bahawa Tuhan yang selesaikan masalah mereka itu. Tetapi mereka sangka kebaikan yang mereka dapat itu adalah dari hasil usaha dan kepandaian mereka menangani masalah yang pernah dihadapi itu.

Mereka berkata mereka dapat menyelesaikan masalah itu kerana mereka belajar, mereka mendapatkan nasihat dari orang lain, mereka berusaha bersungguh-sungguh dan apabila mereka berjaya, mereka sangka sebab itulah mereka berjaya.

Mereka lupa yang dahulu semasa mereka terkena bala itu, mereka telah berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ supaya mengangkat bala mereka itu. Mereka telah menafikan Allah ‎ﷻ yang telah menolong mereka.

بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Bahkan sebenarnya bala yang diberi itu adalah sebagai fitnah (suatu ujian besar), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

1. ‘Fitnah’ dalam ayat ini bukanlah bermaksud fitnah seperti yang kita fahami itu. Fitnah dalam bahasa Arab sebenarnya bermaksud ‘ujian besar’. Sepatutnya perkataan yang digunakan adalah ‘tohmahan’.

Memang dunia ini adalah tempat ujian dan kerana itu Allah ‎ﷻ akan memberikan ujian kepada kita untuk melihat bagaimanakah kita akan menghadapinya. Allah ‎ﷻ hendak melihat adakah kita menangani masalah itu dengan melakukan dosa atau kita menyelesaikannya mengikut lunas-lunas yang telah diajar dalam Islam?

2. Penyelesaian masalah itu pun adalah ujian juga daripada Allah ‎ﷻ. Ia adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ tidak zahirkan yang Dialah yang telah menyelesaikan masalah mereka itu. Pada zahirnya, mereka nampak usaha mereka yang menyelesaikan masalah itu, tetapi mereka tidak sedar yang cara-cara yang mereka lakukan itu sebenarnya didatangkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka tidak nampak ‘tangan ghaib’ Allah ‎ﷻ yang telah menyelesaikan masalah mereka.

Apabila mereka tidak nampak taqdir Allah ‎ﷻ yang menyebabkan masalah mereka selesai, maka tidaklah mereka bersyukur kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka juga tidak tahu bahawa ujian bala yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ itu adalah untuk mengembalikan mereka ke jalan Allah ‎ﷻ kerana apabila kita telah jatuh, kita akan lebih mudah untuk mengingati Allah ‎ﷻ. Semakin mudah untuk mengharap kepada Allah ‎ﷻ.

Jika kita dalam kenikmatan, selalunya kita akan sombong dan lupakan Allah ‎ﷻ. Kita memang tidak cakap dengan mulut kita, tetapi dalam hati kita, kita rasa kita sudah selamat. Jadi Allah ‎ﷻ akan bagi kita jatuh sedikit supaya kita mula balik untuk ingat kepada-Nya.

3. Apabila mereka diberikan nikmat setelah musibah itu juga adalah merupakan ujian kerana kesenangan hidup yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita juga adalah ujian sebenarnya. Orang selalu berasa yang ujian itu adalah kesusahan seperti kemiskinan.

Namun, sebenarnya ujian yang lebih berat adalah ujian kesenangan. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak melihat sama ada orang itu bersyukur dengan kesenangan itu atau tidak, sama ada dia menggunakan kesenangannya itu untuk kebaikan atau tidak.

Tafsir Ayat Ke-50

Takhwif Duniawi.
قَد قالَهَا الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَما أَغنىٰ عَنهُ مّا كانوا يَكسِبونَ

Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah).

قَدْ قَالَهَا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Telah berkata dulu orang-orang sebelum mereka

Manusia yang engkar sangka masalah mereka selesai kerana kepandaian mereka. Allah ‎ﷻ beritahu yang orang-orang dahulu pun berkata seperti itu juga. Bukan orang Mekah sahaja yang mula-mula kata begitu. Orang-orang dahulu pun sudah banyak yang dikenakan bala juga dan mereka juga kata mereka dapat menyelesaikan masalah disebabkan oleh kepandaian mereka.

Mereka tidak berkata Allah ‎ﷻ yang telah menyelamatkan mereka. Mereka tidak berterima kasih pun kepada Allah ‎ﷻ apabila masalah mereka telah selesai.

فَمَا أَغْنَىٰ عَنْهُمْ مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maka tidak ada lagi yang boleh menyelamatkan mereka terhadap apa yang dulu mereka lakukan.

Tidak berguna lagi segala perbuatan yang mereka lakukan. Segala apa yang mereka telah lakukan tidak boleh menyelamatkan mereka langsung. Ini kerana kalau mereka melakukan amalan syirik, maka segala amal ibadat yang mereka lakukan dahulu semasa di dunia tidak akan dikira. Tidak akan menyelamatkan mereka dari hukuman Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-51

فَأَصابَهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا ۚ وَالَّذينَ ظَلَموا مِن هٰؤُلاءِ سَيُصيبُهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا وَما هُم بِمُعجِزينَ

Lalu mereka ditimpa keburukan padah perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan orang-orang yang zalim di antara golongan (yang musyrik) ini akan ditimpa juga akibat buruk perbuatan-perbuatan buruk perbuatan jahat yang mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri.

فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا

Maka menimpa ke atas mereka dosa-dosa yang mereka telah lakukan

Dosa-dosa yang mereka lakukan di dunia itu telah menjadi azab kepada mereka. Mereka sendiri yang berusaha untuk berbuat dosa itu, bukan orang lain. Sebagai contoh, dosa-dosa mereka tinggalkan solat dan sebagainya lagi. Itu semua mereka akan tanggung, kalau dosa itu tidak diampunkan.

Kita boleh menolong mereka yang telah mati dengan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya dosa mereka diampunkan. Itulah cara yang sebetulnya. Bukanlah dengan mengadakan Majlis Tahlil dan niat untuk sedekah pahala kepada si-mati.

Amalan itu tidak pernah dibuat oleh Nabi ﷺ dan juga para sahabat. Adakah kita rasa dengan kita sedekah pahala itu akan cukup untuk mengimbangi dosa yang telah dilakukan oleh si mati? Itu semua adalah angan-angan sahaja.

وَالَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ هَٰؤُلَاءِ سَيُصِيبُهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا

Dan orang-orang zalim mereka ini juga akan ditimpa akibat kejahatan dosa yang mereka telah lakukan.

Kalau dahulu ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Mekah yang berbuat syirik. Tetapi kalau kita juga ada berbuat syirik kepada Allah ﷺ, maka kita juga termasuk dalam golongan mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Jangan kita baca ayat ini dan fikir ia hanya ditujukan kepada orang-orang terdahulu sahaja. Ramai orang sangka ayat-ayat al-Qur’an tidak berkata tentang mereka dan mereka tidak terkena dengan apa yang ditegur oleh Allah ﷺ. Itu adalah kesalahan dan kesilapan yang amat besar sekali.

وَمَا هُمْ بِمُعْجِزِينَ

Dan mereka tidak mampu melepaskan diri daripada Allah waktu itu.

Sudah terlambat apabila sudah memasuki neraka. Tidak akan dapat keluar. Banyak ayat-ayat dalam al-Qur’an yang menceritakan bagaimana ahli-ahli neraka akan cuba untuk memohon supaya mereka dikembalikan ke dunia supaya mereka boleh beramal baik, tetapi mereka tidak akan diberikan peluang itu.

Perkataan عجزِ bermaksud menyelamatkan diri dari serangan. Bayangkan serangan bom “missile”, dan kita ada “anti-aircraft-missile” untuk menyelamatkan diri dari missile itu. Tetapi, dengan azab Allah ﷺ, kita tidak boleh melepaskan diri. Orang-orang yang ada kedudukan, mereka sangka mereka boleh gunakan kedudukan mereka untuk menghilangkan masalah mereka. Tetapi tidak boleh.

TafsirAyat Ke-52

Dalil Aqli. Allah ﷺ gunakan pembahagian rezeki kepada makhluk-Nya sebagai dalil untuk kita berfikir.

أَوَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya? Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan yang jelas bagi orang-orang yang percayakan (ilmu dan kebijaksanaan Allah).

أَوَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ

Apakah tidak mereka mengetahui bahawa Allahlah yang melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, atau menyempitkan.

Ada orang yang Allah ‎ﷻ beri banyak rezeki, ada yang dapat sedikit sahaja – ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada orang yang berusaha susah payah, tetapi rezeki mereka kurang. Ada yang kerja tidak banyak, tetapi mereka dilimpah rezeki oleh Allah ‎ﷻ.

Itu adalah kerana rezeki sesiapa sahaja diberikan oleh Allah ‎ﷻ, bukan dari hasil usaha manusia semata-mata. Semua rezeki ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Bukan dalam kawalan kita, bukan? Itu semua sebagai ujian dari Allah ‎ﷻ.

Rezeki banyak adalah ujian, sempit rezeki juga adalah ujian. Kerana mereka yang kaya dan miskin itu yang masih tetap di dunia dan selagi masih hidup dalam dunia, mereka tertakluk kepada ujian. Maka orang yang banyak harta, tidak boleh berlagak, kerana semua yang dia ada itu Allah ‎ﷻ yang beri.

Dan orang yang mendapat harta kurang pun tidak boleh marah, kerana Allah ‎ﷻ yang tetapkan dia begitu dan dia tidak boleh marah kepada Allah ‎ﷻ.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya pada demikian itu berbagai-bagai bukti bagi kaum mukminin.

Kaya dan miskin adalah ujian dari Allah ‎ﷻ belaka, untuk uji manusia dalam keadaan yang berbeza. Allah ‎ﷻ berkuasa dan ada qudrat untuk berbuat begitu kepada sesiapa sahaja.

Pengetahuan ini diberi kepada semua orang, tetapi yang dapat faham dan terima adalah orang-orang mukmin sahaja. Iaitu orang-orang yang mahu beriman.

Allahu a’lam.

Soal Jawab bersama Doktor — Masalah Depresi dan Gangguan Mental.

0

Soalan:
Apakah punca seseorang boleh terkena penyakit mental? Adakah kerana “stress” (tekanan) yang berpanjangan?

Jawapan:
Stress yang berpanjangan memang boleh menyebabkan penyakit mental “anxiety neurosis” (kecelaruan keresahan) atau “psychosis” (psikosis) tetapi biasanya penyakit psikiatri ini adalah penyakit keturunan.


Soalan:
Adakah pesakit “mental illness” (sakit mental) dikategorikan sebagai hilang akal mengikut hukum fiqah?

Adakah masih wajib membuat segala amal ibadat?

Sekiranya terjadi kes bunuh diri adakah dikira berdosa?

Jawapan:
Pertama, kena bezakan sakit mental atau mental tidak sihat.

Kalau sakit mental yang hilang kewarasan (gila) baru tergolong dalam pengecualian. Wallahua’lam.


Soalan:
“Depression” (depresi) dikategorikan sebagai apa? “Mood disorder” (gangguan mood) atau “mental disorder” (gangguan mental)?

Jawapan:
Setahu saya ia adalah sama sahaja.” Mood disorder” sama seperti major depression iaitu sejenis “mental illness” (sakit mental).

Ia berbeza dengan gangguan kesihatan mental yang menjurus kepada mental illness juga.

Kalau depression biasa ia adalah gangguan kesihatan mental belum sampai ke tahap illness.

Saya ingin “point out” (tekankan) pengalaman saya sendiri. Memang tersangat ramai yang ada masalah gangguan kesihatan mental tetapi malangnya mereka tidak sedar.


Soalan:
Kadangkala, dada saya terasa sakit, berat sedikit untuk bernafas. Apakah punca masalah ini?

Jawapan:
Periksa di klinik. Pastikan bukan sakit jantung.

Tetapi jangan risau sebab kerisauan juga sejenis penyakit yang disyaki dalam kes puan sebutkan ini.

Adakah puan rasa berdebar-debar? Rasa tercekik? Banyak berfikir? Sering terlupa? Jika jawapan puan ya, kemungkinan besar tanda-tanda puan alami itu adalah merupakan gangguan kesihatan mental.

Tetapi puan haruslah pergi ke klinik juga untuk pemeriksaan. Wajib pergi.


Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan bantuan untuk saudara kita yang kita syak ada masalah gangguan mental?

Katakan berjaya memujuknya untuk mendapatkan bantuan. Bagaimana caranya pula untuk bawakan dia berjumpa pakar di hospital kerajaan? Siapakah yang layak untuk dirujuk?

Jawapan:
Kena rujuk ke psikiatri. Mana-mana doktor boleh dirujuk.

Soal Jawab Fiqh Asasi

0

1. Apakah status hadith ini?

Tidak boleh tawaf dalam hadas (kecil atau besar) ini adalah pandangan majoriti ulama’ berdasarkan hadith daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ فَأَقِلُّوا مِنْ الْكَلَامِ
“Tawaf di Kaabah seperti solat, namun di dalamnya dibolehkan sedikit bicara.”
(An Nasai no. 2922)

🔵 Status hadith itu sahih. Tetapi takrifan itu yang berbagai. Sebab itu terdapat banyak pendapat. Hal ini sudah menjadi perkara biasa dalam agama.

2. Apakah tawaf yang dimaksudkan dalam hadith Riwayat Muslim ini?

١١٩ – (…) – حَدَّثَنَا أَبُو بَكۡرِ بۡنُ أَبِي شَيۡبَةَ وَعَمۡرٌوالنَّاقِدُ وَزُهَيۡرُ بۡنُ حَرۡبٍ. جَمِيعًا عَنِ ابۡنِ عُيَيۡنَةَ. قَالَ عَمۡرٌو: حَدَّثَنَا سُفۡيَانُ بۡنُ عُيَيۡنَةَ، عَنۡ عَبۡدِ الرَّحۡمَٰنِ بۡنِ الۡقَاسِمِ، عَنۡ أَبِيهِ، عَنۡ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنۡهَا قَالَتۡ: خَرَجۡنَا مَعَ النَّبِيِّ ﷺ، وَلَا نَرَىٰ إِلَّا الۡحَجَّ، حَتَّىٰ إِذَا كُنَّا بِسَرِفَ، أَوۡ قَرِيبًا مِنۡهَا حِضۡتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ ﷺ وَأَنَا أَبۡكِي فَقَالَ: (أَنَفِسۡتِ) – يَعۡنِي الۡحَيۡضَةَ – قَالَتۡ: قُلۡتُ: نَعَمۡ. قَالَ: (إِنَّ هٰذَا شَيۡءٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَىٰ بَنَاتِ آدَمَ، فَاقۡضِي مَا يَقۡضِي الۡحَاجُّ، غَيۡرَ أَنۡ لَا تَطُوفِي بِالۡبَيۡتِ حَتَّىٰ تَغۡتَسِلِي).
قَالَتۡ: وَضَحَّى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنۡ نِسَائِهِ بِالۡبَقَرِ.
[البخاري: كتاب الحيض، باب الأمر بالنساء إذا نفسن، رقم: ٢٩٤].

119. Abu Bakr bin Abu Syaibah, ‘Amr An-Naqid, dan Zuhair bin Harb telah menceritakan kepada kami. Seluruhnya dari Ibnu ‘Uyainah. ‘Amr mengatakan: Sufyan bin ‘Uyainah menceritakan kepada kami, daripada ‘Abdurrahman bin Al-Qasim, daripada ayahnya, daripada ‘Aisyah رضي الله عنها, beliau mengatakan: Kami pernah keluar berpergian bersama Nabi ﷺ dan kami hanya berfikiran untuk haji. Sampai kami tiba di Sarif atau lebih dekat daripada Sarif, aku mengalami haidh. Nabi ﷺ masuk menemuiku dalam keadaan aku sedang menangis. Baginda ﷺ bertanya, “Apakah engkau nifas?” ‘Aisyah berkata: Aku menjawab: Ya. Beliau bersabda, “Ini adalah sesuatu yang telah Allah tetapkan atas puteri-puteri Adam. Kerjakanlah apa saja yang dikerjakan oleh orang yang berhaji namun engkau jangan tawaf di Kaabah sampai engkau mandi.”
‘Aisyah berkata: Rasulullah ﷺ menyembelih seekor sapi yang diniatkan untuk para isterinya.

🔵 Tawaf dalam apa-apa sahaja.

3. Adakah kita boleh memilih mana – mana pendapat bahawa wanita haidh boleh tawaf dan boleh untuk tidak tawaf sehingga dia suci?

🔵 Kalau wanita yang sedang datang haidh dan mampu untuk menunggu sehingga berhentinya darah haidh itu, maka tunggulah.

Tetapi kalau darah haidh itu mengambil masa yang lama lagi untuk kering dan musim haji pun sudah hendak habis ataupun ketika umrah, masa agak terhad kerana masa penerbangan sudah ditempah maka, lakukanlah tawaf itu dan sempurnakanlah.

4. Adakah pandangan Abdullah bin Amru رضي الله عنه itu agak syadid?

🔵 Ya, syadid. Jadi janganlah mengikut pandangan tersebut.

5. Bagaimana pula kaedah mandi junub dan haidh ketika di dalam kolam renang, sungai, dan laut?

🔵 Kaedah itu lebih senang. Niat dan terjun sahaja. Masuk ke dalam air itu sudah pasti air akan kena di seluruh badan.

6. Adakah benar kefahaman saya bahawa boleh tawaf walaupun tidak suci jika mengikut pendapat Ibnu taymiah?

🔵 Ya, benar.

7. Berdasarkan hadith Riwayat Bukhari: 317 dan atsar Aisyah, adakah tidak perlu membuka ikatan rambut ketika mandi?

🔵 Sekiranya mandi junub maka, tidak perlu membuka ikatan rambut. Tetapi, apabila hendak mandi haidh kena membuka ikatan rambut.

8. Adakah mandi junub dan haidh boleh tayamum sekiranya tiada air?

🔵 Ya, boleh.

9. Bagaimana pula jika mencuci tempat laluan darah haidh hanya menggunakan air biasa sahaja?

🔵 Boleh. Anjuran menggunakan kapas yang telah dicelup dengan minyak wangi dan sabun itu hanya sunat sahaja.

10. Bagi wanita yang berambut tebal. Adakah kena memastikan air sampai ke akar rambut?

🔵 Kena pastikan air sampai ke kulit kepala.

11. Adakah air itu kena diratakan seluruh bahagian kulit kepala?

🔵 Ya, kena bagi air sampai ke kulit kepala. Sebab itu kena menggosok sedikit kepala ketika mandi supaya air sampai ke kulit kepala.

12. Jika menggosok sedikit kepala. Adakah perbuatan itu akan membasahkan rambut?

🔵 Rambut itu telah diikat dan disanggul. Jadi, tidak akan terkena kesemuanya rambut itu. Yang basah dan terkena air hanya bahagian akar rambut sahaja.

13. Adakah ini disebabkan mereka faham pada ayat “hendaklah kamu bersuci atau bersangat – sangat suci?

🔵 Mereka hanya ghuluw dalam menambah. Tidak dimaksudkan seluruh tetapi mereka menambah perbuatan tersebut.

Allahu a’lam.

Presuppositions (Presuposisi)

0

Siri Pengenalan NLP oleh Azlizan Nueq.

PRESUPPOSITIONS (PRESUPOSISI)


Presuposisi adalah berbelas prinsip atau landasan asas yang diajar di dalam NLP. Ia dinamakan “pre-supposition” kerana ia telah dianggap ia benar dari mula lagi. “We pre-supposed that it is true”.

Ia menjadi prinsip pegangan pengamal NLP kerana ia telah dirangka dan telah diguna pakai sekian lama dan telah dikaji dan diamalkan oleh ramai orang. Oleh kerana itu, mereka menerima ia sebagai kebenaran. Maka secara logiknya, tentulah ia benar.

Namun begitu, tidaklah kita katakan ia benar seperti ayat-ayat Al-Qur’an pula. Tidak ada yang dapat menandingi kebenaran di dalam Al-Qur’an. Namun begitu, tiada salahnya untuk kita terima juga perkara-perkara lain yang telah diterima pakai oleh ramai orang.

Tentulah tidak salah kalau anda tidak mahu menerimanya. Ini bukanlah prinsip yang wajib diterima pakai. Anda boleh dengar dahulu, perhatikan dan lihat sama ada ia benar ataupun tidak. Anda boleh ubah dan menggubah mengikut pengalaman dan kefahaman anda.

Tetapi, tentunya lebih baik untuk menerima dahulu. Saya berikan analogi belajar silat. Guru akan berikan ‘buah’ untuk anda gunakan bila berlawan. Anda tidak wajib untuk gunakan ‘buah’ itu. Anda mungkin merasakan terdapat cara lain untuk menangkis serangan. Boleh sahaja anda membuat ‘buah’ baru atau “modify” (ubahsuai) ‘buah’ itu.

Tetapi ‘buah’ yang diajar oleh guru itu telah diterima pakai sekian lama dan telah dianalisa dan digunakan oleh ramai orang dengan jayanya. Dengan ‘buah’ itu, kalau kita tangkis serangan orang dan lawan tangkis balik, langkah seterusnya boleh diajar oleh guru. Tetapi kalau kita buat ‘buah’ kita sendiri, kalau hendak lawan tangkis serangan kita, bagaimana hendak tangkis balik?

Maka, prinsip-prinsip ini walaupun tidak wajib, tetapi ada baiknya didengarkan terlebih dahulu dan cuba untuk diaplikasikan ke dalam kehidupan kita dan lihat sama ada ia membuahkan hasil ataupun tidak.

Popular

Iklan

Iklan