Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 76: Dua Tali Syirak Selipar Nabi

Hadis 76: Dua Tali Syirak Selipar Nabi

363
0
Iklan

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin
December 17, 2018

76 – حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ، قَالَ: حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، عَنْ سُفْيَانَ، عَنْ خَالِدٍ الْحَذَّاءِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْحَارِثِ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: كَانَ لِنَعْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَالَانِ مَثْنِيٌّ شِرَاكَهُمَا.

76- Telah bercerita kepada kami Abu Kurayb Muhammad bin Al-`Ala’, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Waki`, daripada Sufyan, daripada Khalid Al-Hazza’, daripada `Abdi Llah bin Al-Haris, daripada Ibni `Abbas, dia berkata: Selipar Nabi mempunyaï dua tali qibal, dua tali syirak kedua-duanya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini diriwayatkan oleh `Abdi Llah Ibnu `Abbas yang menceritakan tentang selipar Nabi. Di samping mempunyaï dua tali qibal seperti yang disebutkan di dalam hadis ketujuh puluh lima, Ibnu `Abbas menambah satu lagi sifat selipar Nabi iaitu ia mempunyaï dua tali syirak. Adalah jelas bahawa kedua-dua hadis ini memberikan tumpuan kepada sistem tali pada selipar Nabi.

Kita telah menghuraikan tentang tali qibal sebagai tali yang naik dari tapak ke atas. Tali qibal ini berada di bahagian jari-jari kaki. Tali syirak pula ialah tali utama pada sesebuah selipar yang membolehkan ia digunakan untuk berjalan dan sebagainya. Ia tali yang mengikat atau memegang tali qibal.

Untuk menjelaskan tentang tali syirak ini, kita kembali kepada alas kaki yang biasa kita pakai hari ini. Selipar Jepun, biasanya ada satu tali qibal iaitu tali yang naik ke atas dari tapak. Untuk selipar Jepun, tali qibalnya biasanya pendek sahaja. Tali qibal ini kemudian bersambung dengan tali syirak iaitu tali yang melintang ke kiri dan ke kanan. Tali syirak ini kemudian dimasukkan ke tapak di bahagian belakang berdekatan tumit. Pada selipar Jepun, tali syirak ini adalah sama besar antara bahagian sebelah kiri dengan bahagian sebelah kanan. Walau bagaimanapun, kerana selipar Jepun menggunakan tali getah, jadi tali qibal dan tali syiraknya sudah bersambung terus.

Capal pula biasanya mempunyaï tali qibal yang lebih panjang sedikit daripada selipar Jepun. Tali qibal ini kemudian dicantumkan di tengah dan kemudian dibiarkan bercabang, satu ke kanan dan satu ke kiri. Cabangan tali qibal ini diletakkan di atas tali syirak yang lebih lebar yang merentang dari kiri ke kanan, yang menutupi bahagian atas kaki. Kita mungkin tidak akan memanggil tali syirak itu sebagai tali kerana ia terlalu lebar. Justeru, dapatlah diketahuï bahawa tali syirak selipar Nabi tidaklah selebar tali syirak capal Melayu.

Sebahagian sandal pula tidak mempunyaï tali qibal yang naik dari tapak ke atas, di bahagian jari. Yang ada hanyalah satu jalur kulit tali syirak yang lebar yang juga merentang dari kiri ke kanan dan menutupi bahagian atas kaki. Ia seperti alas kaki yang disediakan di hotel, atau alas kaki yang biasa digunakan di bilik tidur. Kadangkala, ia tidak lagi menjadi tali, kerana ia telah dijahit bersama-sama ke tapak sandal sehingga menutupi seluruh bahagian jari.

Secara am, kita dapat membayangkan bahawa sistem tali pada selipar Nabi menggunakan tali yang bersambung antara tali qibal dengan tali syirak. Walau bagaimanapun, tali syirak selipar Nabi tidaklah selebar sandal hotel yang kita gunakan atau capal Melayu yang kita kenal. Untuk memakai selipar ini, seseorang perlu memasukkan hujung tapak kakinya ke dalam tali syirak dahulu, kemudian barulah memasukkan jari-jarinya ke dalam tali qibal.

Ringkasnya, jika tali qibal ialah tali yang naik dari tapak ke atas, yang berada di bahagian jari-jari kaki, tali syirak ialah tali yang bersifat horizontal dari kiri ke kanan, yang melintang di bahagian atas kaki, yang lebih nyata dan menonjol apabila dilihat ketika selipar itu dipakai. Justeru, ada sesetengah orang yang menghias tali syirak ini dan berasa bangga dengan keindahan atau perhiasan pada tali syiraknya.

Membaca hadis ini seharusnya menginsafkan kita tentang satu perkara, iaitu bahasa Melayu kita kekurangan kosa kata dalam hal selipar ini. Justeru, kita boleh mula meniru bahasa `Arab, dengan memberi nama yang lebih spesifik untuk benda-benda di sekeliling kita. Kekurangan kosa kata bermakna kita tidak mengambil endah tentang hal itu di dalam budaya kita, dan kita selalu bercakap secara lebih kurang atau menggunakan penghampiran sahaja, tanpa perbendaharaan kata yang khusus. Di sinilah kekurangan yang nyata, iaitu dalam aspek bahasa, terutama apabila anak-anak muda mula meninggalkan bahasa Melayu dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Kekurangan kosa kata ini akan berterusan lebih lagi kerana orang-orang muda mula meninggalkan bahasa penulisan, dan hanya menggunakan bahasa percakapan yang terhad penggunaan kata-katanya.

Jika kita lihat manual barangan yang dihasilkan di kilang, contohnya mesin jahit atau kereta, setiap bahagian, setiap skru, setiap alat akan diberikan nama. Apabila kita mendalami sesuatu bahasa, ia bermakna kita dapat mengungkapkan perkara yang lebih abstrak dan lebih rumit dengan menggunakan bahasa itu. Untuk memahami bahasa `Arab yang begitu kaya dengan kosa kata, kita juga harus kukuh bahasa ibunda kita, iaitu bahasa Melayu, agar kita dapat menterjemah dan mengungkapkan idea yang ada ke dalam bahasa kita.

Dalam terjemahan hadis ini, istilah “tali qibal” dan “tali syirak” digunakan dengan meminjam perkataan `Arab, kerana bangsa `Arab mempunyaï perkataan untuk hal ini, sedangkan bahasa Melayu tiada. Yang ada hanya satu perkataan untuk kedua-duanya iaitu “tali”. Justeru, membaca hadis ini sebenarnya menambah kosa kata kita, dan menambah konsep ilmu yang baru kepada pengetahuan sedia ada kita.

Dengan itu, kita tahu bahawa untuk mempelajari ilmu, kita memerlukan penguasaan bahasa yang kukuh, yang kaya dengan kosa kata. Ketika mempelajari ilmu, kita akan menambah ilmu dengan menambah perbendaharaan kata. Setelah kita berilmu, jumlah perkataan yang kita tahu dan konsep ilmu yang kita ada akan bertambah melebihi orang lain. Kerana ilmu itu diungkap dengan bahasa, maka orang yang berilmu akan bertambah dalam bahasanya dan bertambah cintanya kepada bahasa.

Komen dan Soalan