Utama Blog Halaman 82

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Thaharah – Haidh dan Nifas

0

Kitab : Thaharah
Bab : Haidh dan Nifas
Bahagian: Haidh
Tajuk:
♦️ Pengertian Haidh
♦️ Waktu Haidh
♦️ Warna Darah Haidh
♦️ Masa Haidh

BAB HAIDH DAN NIFAS

Sekarang kita belajar satu bab yang asalnya khusus untuk wanita. Namun begitu para lelaki haruslah juga ambil tahu akan perkara ini kerana mereka yang akan ajarkan wanita di bawah jagaan mereka.

A. HAIDH

1. Pengertian Haidh

Haidh dari segi bahasa bermakna mengalir. Turun sesuatu secara mengalir. Dari segi syarak, ia adalah darah yang keluar daripada rahim wanita ketika seorang wanita sudah mencapai usia baligh.

Keluar darah itu menjadi hal yang rutin bagi dirinya pada waktu-waktu yang telah dimaklumi. Ia keluar secara semulajadi dan bukan kerana penyakit.

2. Waktu Haidh

Sunnah tidak menetapkan batasan umur seorang gadis mula didatangi haidh. Oleh sebab itu, kita haruslah memerhatikan dan mengenali apakah sifat darah haidh itu. Yang menetapkan had minima umur 9 tahun adalah pendapat ulama daripada ijtihad mereka sahaja sedangkan tiada penetapan di dalam nas.

Tidak dapat ditetapkan had umur kerana ada yang didatangi awal dan ada yang lewat. Ada yang mengikut zaman, ada pula yang mengikut tempat tinggal, persekitaran atau cara kehidupan, tumbesaran serta faktor pemakanan.

Kalau terdapat kebiasaan umur pada sesuatu zaman, tidaklah ia tetap begitu untuk sepanjang zaman. Maka kita tidak tetapkan berapakah had umur.

Begitu pun, ulama menetapkan yang kalau sudah berumur 15 tahun tetapi tidak juga didatangi haidh, maka itu sudah dikira baligh dan wajib baginya untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang mukallaf (seorang yang mempunyai tanggungjawab syariat).

Tidak mungkin dia masih ingin bersenang-lenang dan bergoyang kaki sahaja, tanpa perlu solat dan berpuasa, bukan?

Nas juga tidak menetapkan bilakah putusnya haidh seseorang wanita itu. Cuma ulama mazhab ada meletakkan had umur tertentu.

✍🏻Mazhab Syafie menetapkan had umur 62 tahun. Kalau selepas itu masih keluar darah lagi, ia tidak dikira sebagai haidh lagi tetapi darah penyakit.

✍🏻Menurut Ibnu Taimiyyah رضي الله عنه, tiada had bagi umur paling rendah atau bawah dan paling lama atau paling hujung untuk kedatangan haidh.

Bagi wanita yang telah putus haidh, dia hendaklah bertindak sebagai wanita yang suci sepanjang masa sama ada dari segi ibadah atau hukum-hakam yang lain.

Dalam masalah eddah pula, dia hendaklah bereddah mengikut bulan, bukan mengikut bilangan tempoh haidh atau bilangan tempoh suci lagi.

✍🏻Ini ditegaskan oleh Allah ‎ﷻ dalam firman-Nya dalam surah [ al-Talaq: ayat 4 ] iaitu tempoh eddah dikira selama 90 hari.

📍Adakah perempuan mengandung ada kemungkinan didatangi haid?

🔹Para ulama berikhtilaf di dalam masalah ini:

▪️Menurut jumhur ulama; perempuan mengandung tidak ada kemungkinan datangnya haid. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa dia sedang mengandung, maka darah itu bukan darah haidh, tetapi adalah darah penyakit. Inilah pendapat yang kuat.

▪️Namun menurut Imam Syafi’ie, Malik dan al-Laits pula; ada kemungkinan perempuan mengandung didatangi haidh. Menurut mereka; jika perempuan yang mengandung itu mendapati darah keluar dari farajnya dan keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haidhnya serta kelihatan seperti ciri-ciri haidh pada darah tersebut, maka darah itu adalah darah haidh.

📍Pendapat pertama lebih kuat kerana ikut sains biologi pun, bila sudah mengandung tiada darah haidh lagi.

3. Warna Darah Haidh

Untuk mengetahui sama ada darah yang keluar adalah haidh ataupun tidak, maka haruslah dikenali warna-warna haidh itu.

Secara umumnya terdapat empat (4) jenis warna haidh:

🔺a. Hitam

✍🏻Nabi ﷺ berkata kepada Fatimah binti Abu Hubaisy:

إِذَا كَانَ دَمُ الحَيْضَةِ فَإِنَّهُ أَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِيْ عَن الصَّلاَةِ، فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِيْ وَصَلِّيْ فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ … رواه أبو داود والنسائي وصححه ابن حبان والحاكم

“Darah haidh iaitu apabila berwarna hitam yang dapat diketahui, maka tinggalkan salat, tetapi jika selain itu cirinya maka berwudhu’lah dan lakukan salat kerana itu adalah darah penyakit.”
(HR. Abu Dawud, An-Nasa’i dan dinyatakan sahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim).

🔺b. Merah

Ada juga yang berwarna merah iaitu darah ini keluar ketika di dalam waktu-waktu haidh yang biasa. Kalau keluar warna merah seperti darah biasa di waktu lain, maka ia bukan haidh.

Maknanya, asal darah haidh itu adalah kehitaman dan setelah beberapa lama, ia berubah menjadi merah pula.

🔺c. Kuning

Ada yang berwarna kekuningan iaitu darah ini keluar ketika dalam waktu-waktu haidh yang biasa. Kalau keluar warna merah seperti darah biasa di waktu lain, maka ia bukan haidh.

✍🏻Diriwayatkan oleh Malik dalam Kitab Al-Muwaththa, no. 130, dari Ummu Alqomah رضي الله عنها, beliau berkata:

كَانَ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إِلَى عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضَةِ يَسْأَلْنَهَا عَنْ الصَّلَاةِ فَتَقُولُ لَهُنَّ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ “. وصححه الألباني في ” إرواء الغليل ” برقم (198)”

“Sejumlah wanita mengirikan ke Aisyah Ummul Mukminin رضي الله عنها dengan membawa bejana yang berisi kapas yang ada (cairan) kekuning-kuningan dari darah haidh. Mereka bertanya tentang salat (jika keluar cairan seperti ini). Kemudian (Aisyah رضي الله عنها) berkata kepada mereka, “Jangan anda semua terburu-buru (salat) sampai anda semua melihat lendir putih. Yang beliau maksudkan hal itu suci dari haidh.”
(Disahihkan oleh Al-Albany dalam Irwaul Ghalil, no. 198)

Ini kalau ia bertepatan dengan waktu haidh. Kalau waktu lain (luar kitaran kebiasaan), ia tidak dikira haidh.

✍🏻Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah رضي الله عنها yang menyebutkan; “Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haidh) sebagai sesuatu (dari darah haidh)”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)

🔺d. Coklat

Ada juga yang berwarna kecoklatan iaitu darah ini keluar ketika dalam waktu-waktu haidh yang biasa. Kalau keluar warna merah seperti darah biasa di waktu lain, maka ia bukan haidh.

Kalau darah warna kuning dan coklat itu datang sebelum datang haidh, maka ia juga dikira sebagai haidh. Namun, kalau ia datang sendirian, maka ia tidak dikira sebagai haidh.

4. Masa Haidh

Ulama khilaf apakah batas minima dan maksima haidh itu. Ini adalah kerana tiada penetapan yang mantuq daripada Nabi Muhammad ﷺ.

✍🏻Maka batas-batas yang ada adalah menurut pendapat ulama sahaja. Pendapat yang biasa dijadikan penetapan, haidh itu dikira haidh kalau ia keluar sekurang-kurangnya: sehari semalam (24 jam).

✍🏻Kalau keluar sekejap sahaja, maka itu tidak dikira haidh lagi, tetapi darah istihadah sahaja. Ini juga pendapat Mazhab Asy-Syafi’iy.

✍🏻Bagi tentang batas maksima pula, yang selalu digunakan oleh ulama adalah 15 hari di dalam sebulan. Kalau masih juga keluar darah melebihi dari 15 hari, maka itu tidak lagi dikira sebagai haidh, tetapi sudah dikira sebagai darah penyakit istihadah. Ini juga pendapat Mazhab As-Syafi’iy.

✍🏻Menurut Imam Ibnu Taimiyyah رضي الله عنه pula, tidak perlu ditentukan tempoh paling singkat bagi haid dan juga tempoh paling lama baginya, akan tetapi dikira apa yang telah tetap menjadi kebiasaan bagi seorang wanita maka itulah tempoh haidh baginya sekalipun tempoh itu kurang dari sehari atau lebih dari 15 hari atau 17 hari.

B. Nifas
♦️ Pengertian Nifas
♦️ Masa Nifas

C. Hukum yang berlaku pada nifas, berlaku juga pada Haidh

D. Hal-hal yang diharamkan bagi wanita yang sedang haidh dan nifas
♦️Salat
♦️Tawaf
♦️Puasa
♦️Bersetubuh

E. Hal yang dibolehkan oleh Lelaki terhadap wanita dalam Haidh

F. Kaffarah bagi orang yang menyetubuhi wanita haidh

G. Bilakah boleh menyetubuhi wanita haidh yang telah suci?

B. NIFAS

Selain dari Haidh, darah adik beradik dengannya adalah Nifas. Jadi kita masukkan sekali di dalam pembelajaran kita ini.

1. Pengertian Nifas

Nifas adalah darah yang keluar dari rahim wanita kerana melahirkan anak. Apabila bayi bernafas, maka keluarlah nifas.

Seandainya ia mengalami keguguran dan janinnya belum jelas berbentuk manusia maka darah yang keluar itu bukanlah darah nifas, tetapi dihukumi sebagai darah penyakit kerana itu yang berlaku baginya adalah hukum wanita mustahadhah.

2. Masa Nifas

Batas waktu maksima terjadinya nifas adalah 40 hari. Dihitung sejak hari pertama melahirkan. Sehingga, walaupun darah berlanjutan keluar melebihi 40 hari, maka dia dianggap suci.

Dia diwajibkan melakukan salat atau puasa ramadhan, walaupun darah belum berhenti keluar.

✍🏻Bahkan Imam Tirmidzi رحم الله menerangkan bahawa ketentuan ini sudah menjadi kesepakatan para ulama’. Beliau mengatakan:

أجمع أهل العلم من الصحابة ، ومن بعدهم على أن النفساء تدع الصلاة أربعين يوما ، إلا أن ترى الطهر قبل ذلك، فتغتسل و تصلي

Para ulama’ dalam kalangan sahabat Nabi ﷺ, tabi’in dan generasi setelah mereka telah sepakat, bahawa wanita-wanita yang mengalami nifas, meninggalkan salat selama 40 hari kecuali apabila dia mendapati dirinya suci sebelum waktu itu, maka dia mandi kemudian salat.
(Hasyiah Raudhah Al Murbi’ 1/403).

Inilah pendapat majoriti fuqaha.

✍🏻Hal ini berdasarkan hadith daripada Ummu Salamah رضي الله عنها, beliau pernah menceritakan:

كانت النفساء تقعد على عهد النبي صلى الله عليه وسلم أربعين يومًا

“Para wanita yang mengalami nifas di zaman Nabi ﷺ, duduk (tanpa salat) selama 40 hari. ”
(HR. Abu Dawud dan Tirmidzi).

Batas minima tidak ada. Jadi tidaklah ‘cuti’ diberikan sehingga 40 hari. Kalau telah suci awal daripada tempoh tersebut, maka hendaklah mandi dan salat/puasa.

Benar. Pendapat mazhab Syafie 60 hari berlainan daripada pendapat jumhur. Ini hasil kajian beliau sendiri melihat kebiasaan wanita zaman itu.

C. Hukum yang berlaku pada nifas, berlaku juga pada haidh

Nifas menghalang hal-hal yang terhalang disebabkan oleh darah haidh seperti salat dan puasa. Sama sahaja hukum bagi keduanya. Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ menyamakan haidh dan nifas.

D. Hal-hal yang diharamkan bagi wanita yang sedang haidh dan nifas

Hanya empat (4) perkara ini sahaja yang perlu diperhatikan oleh wanita apabila mereka di dalam haidh/nifas.

Selain dari perkara ini tidak dihalang dari wanita untuk melakukannya.

1. Salat

✍🏻Hal ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah رضي الله عنها, beliau pernah menceritakan:

كانت النفساء تقعد على عهد النبي صلى الله عليه وسلم أربعين يومًا

Para wanita yang mengalami nifas di zaman Nabi ﷺ, duduk (tanpa salat) selama 40 hari. ”
(HR. Abu Dawud dan Tirmidzi).

2. Tawaf

Pendapat jumhur, wanita dalam haidh tidak boleh melakukan tawaf.

✍🏻Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ ، فَاقْضِى مَا يَقْضِى الْحَاجُّ ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِى بِالْبَيْتِ

Haidh adalah kondisi yang Allah ‎ﷻ takdirkan untuk puteri Adam. Lakukan seperti yang dilakukan jemaah haji, hanya saja jangan melakukan tawaf di Ka’bah.
(HR. Bukhari 294 & Muslim 2976).

Cuma seperti yang telah disebut dalam bab mandi dan wuduk, ada pendapat yang mengatakan tetap boleh tawaf dalam haidh.

3. Puasa

Ini berdasarkan hadith Riwayat Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda kepada para wanita yang bertanyakan tentang maksud kurangnya agama mereka:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِ وَلَمْ تَصُمْ؟ قُلْنَ: بَلَى. قَالَ: فَذلِكَ مِنْ نُقْصَانِ دِيْنِهَا

“Bukankah wanita itu bila haidh dia tidak salat dan tidak puasa?” Para wanita menjawab, “Ya.” Rasulullah ﷺ berkata, “Maka itulah dari kekurangan agamanya.”
(HR. Al-Bukhari no. 304)

✍🏻Namun, wanita wajib mengqadha’ puasanya dan ini berdasarkan kenyataan ‘A’isyah رضي الله عنها:
Apabila yang demikian itu (haidh) menimpa kami, maka kami disuruh (oleh Rasulullah ﷺ) mengqadha puasa namun tidak disuruh untuk mengqadha’ salat.”
(Shahih Muslim­ – no: 335 (Kitab al-Haid)

4. Bersetubuh

✍🏻Ini berdasarkan [ Baqarah: 222 ]

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّابينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: “Haidh itu adalah suatu kotoran”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah ‎ﷻ kepadamu. Sesungguhnya Allah ‎ﷻ menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.

Tafsir:
Maksud ‘menjauhkan’ adalah jangan jimak dengan wanita yang sedang dalam haidh.

E. Hal yang dibolehkan oleh Lelaki terhadap wanita dalam Haidh

Dibenarkan mencumbui isteri dalam haidh. Waktu haidh tidaklah menghalang seorang suami untuk bermesraan dengan isterinya.

✍🏻Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah رضي الله عنها.

Jika salah satu dari kami (isteri Nabi ﷺ) ada yang didatangi haidh, dan Rasulullah ﷺ ingin mencumbuinya, baginda menyuruh isterinya yang haidh itu untuk memakai kain sarung, kemudian baginda mencumbuinya.”
(HR. Bukhari).

✍🏻Dalam hadis lain yang diriwayatkan Anas رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ sempat ditanya tentang hukum mencumbui perempuan haidh. Ini dibandingkan orang Yahudi yang terlalu ketat dengan perempuan haidh. “.. Rasulullah ﷺ bersabda, “Lakukan segala yang kau mahu kecuali nikah (hubungan badan).”
(HR Muslim).

F. Kaffarah bagi orang yang menyetubuhi wanita haidh

Seperti yang telah disebut, haram bagi suami menjimak isterinya di kala isterinya itu dalam haidh. Tetapi bagaimana kalau terlajak?

Kalau terlajak, maka suami wajib (atau ada yang mengatakan ia adalah sunat) bersedekah sebanyak satu dinar atau setengah dinar. Harus dikira berapa nilai satu dinar pada zaman sekarang.

1 Dinar syiling emas bersamaan dengan 4.25 gram emas 916. Kalau sekarang, nilainya sekitar RM 900.

✍🏻Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas رضي الله عنه:

إِذَا وَاقَعَ الرَّجُلُ أَهْلَهُ وَهِيَ حَائِضٌ إِن كَانَ دَمًا أَحْمَرَ فَلْيَتَصَدَّقْ بِدِينَارٍ وَإِن كَانَ أَصْفَرَ فَلْيَتَصَدَّقْ بِنصْفِ دِيْنَارٍ

Maksudnya: Jika seorang lelaki menyetubuhi isterinya sedangkan dia sedang haidh, jika darahnya berwarna merah maka hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar dan jika darahnya kekuningan maka hendaklah dia bersedekah dengan separuh dinar.
(Riwayat Abu Daud. Al-Hakim mensahihkannya).

Bayaran itu hendaklah dibayar oleh si suami dan bukan si isteri kerana lelaki itu yang menyetubuhi. Begitu juga jika dia bersetubuh apabila berhentinya darah haidh tetapi belum mandi, maka keadaan wanita itu dianggap sama seperti yang keluar darah kekuningan. Ertinya, sunat dibayar denda separuh harga dinar.

G. Bilakah boleh menyetubuhi wanita haidh yang telah suci?

Bagi Mazhab Hanafi, apabila isteri telah kering sahaja haidhnya, sudah boleh dukhul (kita pakai bahasa lembut lah sedikit). Dukhul maksudnya ‘masuk’. Boleh faham yer? Boleh mubasharah, tetapi tidak boleh dukhul.

Namun, bagi Mazhab Syafi’iy, isteri hanya boleh didatangi selepas isteri telah mandi. Barulah dikira telah suci dan inilah pendapat yang kuat.

✍🏻Dalilnya boleh dilihat dalam [ Baqarah: 222 ]

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad ﷺ), mengenai (hukum) haidh. Katakanlah: “Darah haidh itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudharat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haidh itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ kepada kamu. Sesungguhnya Allah ‎ﷻ mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Tafsir:

Lihat pada kalimat: حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ. Keduanya bermaksud ‘suci’.

Kalimah يَطْهُرْنَ yang pertama adalah apabila haidh telah kering. Maka ini suci peringkat pertama. Kalimah تَطَهَّرْنَ yang kedua pula, apabila sudah mandi. Maka dari ayat ini dan susunannya, ulama’ berpegang bahawa sebenar-benar suci adalah apabila sudah mandi.

Maka, bawa bersabar dahulu para suami sekalian. Bagi peluang kepada isteri untuk mandi.

Talbis Iblis: Perpecahan dari Ahli Sunnah wal Jamaah

0

🔥 TALBIS IBLIS 🔥

Talbis Iblis yang Pertama: Perpecahan dari Ahli Sunnah wal Jamaah.

Iblis suka kalau kita berpecah. Maka ia akan tunjukkan perbezaan yang ketara antara kita semua. Maka mulalah ada kumpulan itu dan ini.

Padahal sepatutnya kita ini semua adalah: Muslim. Kenalkan diri sebagai Muslim.

Perbezaan firqah dan idea tentu ada. Tetapi jangan dijadikan sebagai punca perpecahan.

Masalahnya manusia suka tengok ‘perbezaan’ daripada ‘persamaan’.

Yang sedih dalam Islam dan masyarakat kita pun begitulah juga. Dengan sebab bola pun sampai bergaduh kerana aku pasukan ini dan dia pasukan itu.

Dalam agama lagilah. Kebanyakan manusia tidak tahu menghormati pendapat dan pandangan orang lain. Tidak pandai menghormati ikhtilaf.

Maka satu puak akan berbangga dengan fahaman dan gurunya dan puak lain pula berbangga dengan fahaman dan gurunya pula.

Semua ingin mendabik dada dialah ASWJ yang sebenarnya, selain daripada dia mesti keluar.

Kita selalu sangka apa yang kita tahu itulah yang ‘benar’. Belum tentu lagi… entah-entah kita yang salah. Maka kita kena berfikiran terbuka. Jangan terus kata orang lain salah. Kena dengar dahulu penjelasan daripada dia.

Kalau pada zaman Nabi ﷺ, baginda ada untuk bagi pengesahan mana yang benar. Zaman sekarang sudah tiada. Maka jangan terus sangka kita betul.

Adab ikhtilaf oleh Dr. Rozaimie Ramli.

Qur’an mencela pecah belah. Ada salah faham yang berkata semua perbezaan pendapat tidak boleh. Sedangkan Qur’an bukan mencela perbezaan pandangan. Tetapi yang dicela adalah perpecahan kerana perbezaan pendapat itu. Jadi ada beza. Banyak kisah perbezaan pendapat antara para Nabi. Sebagai contoh, antara Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Harun عليه السلام dalam surah Taha.

Yang dilarang berbeza pendapat adalah dalam Bab usul akidah. Kalau tauhid, kena sama sahaja pandangan. Kalau ada yang berbeza pandangan tentang akidah, kita tidak boleh meraikan perbezaan pendapat itu. Kerana dalam Qur’an kita disuruh berpegang kepada tali Allah ‎ﷻ. Dan maksud tali Allah ‎ﷻ itu adalah tauhid. Kita kena pertahankan akidah yang benar. Nabi Muhammad ﷺ pun buat begitu sampaikan Nabi ﷺ berpecah dengan Musyrikin Mekah. Memang dituntut pecah sebegitu pun.

Sebenarnya Allah ‎ﷻ memberikan ruang untuk kita berbeza pendapat pun. Dalam Qur’an dan hadith banyak perkataan yang boleh ditafsir lebih daripada satu makna. Itulah sebabnya susah untuk dapat ijmak. Ayat-ayat itu dipanggil dzanni dholalah. Sampaikan boleh beza dalam perkara furu’ akidah. Contohnya seperti sama ada Nabi nampak Allah ‎ﷻ semasa isra miraj ataupun tidak.

Sebenarnya amat terhad sekali tempat yang ulama’ sepakat. Sebagai contoh, semua setuju bahawa salat itu wajib tetapi cara mengerjakan salat itu terdapat banyak sekali pendapat. Jadi kita kenalah hormati khilaf antara ahli agama dan janganlah mencela dan menhutuk orang yang berlainan pendapat. Janganlah panggil mereka yang berlainan pendapat dengan kita sebagai wahabi dan apa-apa kata cacian lagi.

Kenapa Allah ‎ﷻ benarkan ada khilaf pendapat? Kenapa tidak beri sahaja lafaz-lafaz yang mudah untuk difahami sampaikan tidak ada langsung khilaf? Supaya adalah kerja ahli agama untuk menggunakan ijtihad. Iaitu gunakan akal fikiran untuk melakukan kajian untuk mencapai satu keputusan agama dan beri peluang kepada mereka untuk mendapat pahala. Kerana jikalau Ijtihad mereka betul, maka mereka akan dapat dua pahala. Kalau salah, dapat satu pahala. Begitu indah sekali Islam ini kalau kita faham.

Jangan takut dengan perbahasan ilmu. Dan jangan sekat manusia daripada berbahasa tentang ilmu. Jangan halang orang bijak untuk berbincang. Jangan halang orang lain juga berbincang untuk mendapatkan pemahaman. Orang awam ada sahaja yang pandai. Antaranya peguam, pensyarah dan sebagainya. Mereka itu bijak pandai cuma mereka tidak sempat kaji sahaja dan kerana itu mereka dapatkan maklumat daripada ahli agama kerana itu bidang mereka.

Pada zaman Nabi ﷺ juga sudah ada perbezaan pendapat. Contohnya terdapat hadith apabila baginda hendak menyerang Yahudi Bani Quraizah. Nabi ﷺ telah beritahu kepada sahabat untuk terus pergi ke sana dan kata jangan tunggu untuk salat Asar. Salat di sana sahaja nanti. Tetapi ada sahabat yang salat juga di tengah jalan semasa dalam perjalanan ke kawasan Bani Quraizah. Kerana pada mereka, yang Nabi ﷺ maksudkan adalah jangan lambat, sebab itu Nabi ﷺ suruh salat di sana sahaja. Apabila diberitahu kepada Nabi ﷺ tentang perkara ini, Nabi ﷺ tidak marah pun mereka yang salat di perjalanan.

Khilaf di kalangan ulama’ memang banyak. Ini perkara biasa. Ada beberapa sebab:

1. Beza pendapat sebab mereka berbeza dalam menilai hadith. Ada terima sesuatu hadith dan ada yang tidak. Ini kerana mereka pakai ijtihad. Apabila penilaian hadith berbeza, maka hukum yang dikeluarkan juga akan berbeza.

2. Ada di antara mereka yang tidak tahu hadith yang ada. Sebab di zaman mereka tidak dikumpulkan hadith lagi. Sahabat pun ada yang tidak tahu semua hadith. Seperti Saidina Umar رضي الله عنه pun ada hadith yang beliau tidak tahu.

Jadi kalau kita pakai hadith yang lebih sahih, itu tidak salah kerana kita bukan ikut Imam tetapi ikut Nabi ﷺ.

Tidaklah salah kalau kita memilih pendapat yang kita rasa lebih kuat. Kita boleh bandingkan antara dua ulama’ yang berbeza pandangan. Ada yang kata siapalah kita untuk menilai pandangan ulama’ yang lemah. Ini tidak menjadi masalah kerana kita semua ada akal fikiran yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ dan memang kita boleh menilai pandangan mana yang lebih kuat walaupun kita bukan ulama’.

3. Perbezaan memahami dalil-dalil ada tetapi berbeza pandangan daripada memahami dalil. Dalil memang ada tetapi cara pemahaman yang berbeza. Sebagai contoh, dalam Qur’an digunakan lafaz quru’ untuk mengira iddah wanita yang dicerai. Fahaman lafaz quru’ antara Imam Hanifah dan Imam Syafi’iy berbeza.

4. Ada yang tidak tahu ada hukum telah dibatalkan dari hukum yang asal. Sebagai contoh, Muaz bin Jamaliah telah dihantar ke Yaman. Jadi ada hadith yang beliau tidak tahu telah dibatalkan.

Beza kenalah ada adab. Sangka baik kepada ulama’. Ada yang silap. Semoga Allah ‎ﷻ ampunkan. Kita pun ada buat salah juga.

Bukanlah kena terima semua sampai tidak menilai langsung. Yang salah tetap kata salah. Cuma jangan kata sesat. Kena hormat. Kalau tidak setuju tidak mengapa tetapi ada isu kita tidak setuju.

Itu semua dikira sebagai ‘Khilaf Muktabar’ kerana dalil ada, cuma berbeza fahaman tentang dalil itu. Bukanlah macam khilaf masyarakat kita sekarang. Satu pihak ada dalil dan satu pihak tidak ada dalil, cuma ada pendapat sahaja. Ini bukanlah khilaf yang diraikan. Jadi janganlah asyik berkata: “Ini perkara khilaf, syeikh”, kalau tidak ada dalil untuk menyokongnya. Kalau begitu, jadi rosaklah agama kalau buat benda bidaah dan kata itu ‘khilaf’.

Tidak boleh bantah membantah dalam khilaf muktabar. Seperti khilaf sama ada kena baca fatihah apabila salat belakang Imam. Semua yang memberikan pendapat ada dalil masing-masing. Jadi kalau ada yang tidak baca fatihah belakang Imam, jangan kita kata dia sesat pula kerana ada pandangan dan dalil yang dia pakai.

Ubat kepada masalah ini: Kena belajar banyak ilmu. Belajar lagi dan lagi. Supaya jangan taksub kepada satu-satu pendapat sahaja dan menyalahkan orang lain.

Dan kena beritahu khilaf kepada masyarakat. Supaya jangan kalut kalau nampak orang lain buat amalan yang lain daripada apa yang kita amalkan.

Dan jangan salahkan dan tuduh tanpa usul periksa. Jangan tafsir benda orang tidak cakap. Sebagai contoh, kalau ada orang yang tidak pakai pendapat Imam Syafi’iy dalam sesuatu masalah, jangan kata dia menghina Imam Syafi’iy pula.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-52 hingga Ke-55

0

Tafsir Ayat Ke-52

Ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini. Inilah nikmat yang diberikan kepada mereka. Sebelum ini disebut kesyirikan yang mereka lakukan.

ثُمَّ عَفَونا عَنكُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Kemudian sesudah itu Kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.

ثُمَّ عَفَوْنَا عَنْكُمْ

Kemudian Kami ampunkan kamu;

Iaitu mereka tidak terus dihancurkan kerana kesyirikan mereka itu. Maknanya tidak dihancurkan semua umat mereka sampai tidak ada baka. Sebahagian sahaja dibunuh, iaitu mereka yang melakukan syirik itu. Sedangkan dalam sejarah, ada kaum yang dimusnahkan semua sekali keturunan mereka walaupun bukan semua yang berbuat salah. Ada yang dimusnahkan kerana mereka tidak menegur golongan yang membuat salah itu.

Makna عَفَ adalah memaafkan dalam keadaan sayang kerana kita boleh juga maafkan seseorang dalam keadaan kita marah kepadanya. Tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan yang menunjukkan Dia masih sayangkan mereka. Inilah nikmat dan jasa yang Allah ‎ﷻ maksudkan.

Kemudian Kami maafkan mereka selepas apa yang mereka lakukan itu. Allah ‎ﷻ memaafkan semua sekali dosa mereka. Bukanlah dengan Allah ‎ﷻ memaafkan itu hendak mengatakan yang perbuatan mereka itu betul, tetapi maaf itu dengan makna Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka. Taubat mereka itu pula dengan hukum bunuh. Sesiapa yang sembah anak lembu dikenakan bertaubat dan untuk taubat, kenalah dibunuh. Itulah syariat Nabi Musa عليه السلام waktu itu.

Dan satu lagi nikmat Allah ‎ﷻ kepada mereka: walaupun mereka sembah anak lembu itu, Allah ‎ﷻ tidak turunkan azab ke atas mereka yang boleh menghapuskan seluruh keturunan mereka itu. Yang tidak sembah anak lembu itu dibiarkan hidup seperti biasa, dan yang sembah sahaja dikenakan hukum bunuh. Jadi ada dua nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

selepas kamu sembah anak lembu itu;

Selepas kejadian mereka menyembah anak sapi itu, mereka telah diarahkan untuk bertaubat. Dan taubat mereka telah diterima Allah ‎ﷻ. Cara mereka bertaubat adalah: mereka kena saling bunuh membunuh sesama mereka. Iaitu mereka yang tidak menyembah anak patung itu disuruh membunuh mereka yang telah menyembah.

Waktu itu Allah ‎ﷻ turunkan kabus supaya tidak nampak siapakah yang mereka bunuh. Mujurlah syariat kita tidak macam itu lagi, iaitu tidak perlu bunuh diri. Cukup sekadar taubat sahaja. Kalau tidak, banyaklah yang kena bunuh kerana banyak sangat amalan syirik yang kita buat sebenarnya tanpa kita sedari.

لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Mudah-mudahan kamu bersyukur;

Tujuannya mereka diampunkan adalah supaya mereka boleh bersyukur kepada Allah ‎ﷻ dengan melakukan ketaatan. Maknanya syukur itu kenalah ditunjukkan dengan melakukan taat kepada perintah dan larangan Allah ‎ﷻ. Mereka sepatutnya bersyukur kerana lepas membuat syirik itu, Allah ‎ﷻ masih mahu mengampunkan lagi kesalahan syirik mereka.

Syarat untuk taubat kita diterima, kita kenalah hidup lagi. Kalau sudah mati, tidak ada harapan untuk diterima taubat. Kita kenalah meminta ampun selagi kita masih hidup. Kalau kita sudah mati, tidak ada sesiapa yang boleh memohon ampun dosa syirik kita.

Kalau dosa selain syirik, masih boleh lagi sanak saudara atau orang Islam yang lain mohon mengampunkan dosa untuk kita. Tetapi untuk dosa kesalahan syirik, pembuat syirik itu kenalah meminta ampun sendiri. Dan ini kenalah dilakukan sebelum mati.

Tafsir Ayat Ke-53

Ini adalah nikmat keempat.

وَإِذ آتَينا موسَى الكِتابَ وَالفُرقانَ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ

Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.

وَإِذْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ

Dan ingatlah ketika Kami beri kepada Nabi Musa Kitab Taurat;

Kitab itu bermaksud mereka telah diberikan dengan hukum yang mereka kena ikuti.

وَالْفُرْقَانَ

sebagai pembeza;

Iaitu pembeza antara hak dan batil. Kalau buat begini, syirik; kalau begitu, tidak. Al-Qur’an pun sama juga menjelaskan apakah syirik supaya kita dapat membezakannya. Kerana itu al-Qur’an juga dikenali sebagai al-Furqan. Dari segi akidah, serupa sahaja ajaran al-Qur’an dengan kitab-kitab yang lain. Yang berbeza, adalah dari segi syariat.

لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

supaya kamu mendapat petunjuk;

Mereka sepatutnya menggunakan Kitab Taurat itu sebagai panduan petunjuk mereka. Sebagai manusia kita semua kenalah ada usaha untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah. Dan Allah ‎ﷻ sudah menolong dengan beri Kitab kepada mereka.

Namun, kitab itu kenalah dipelajari dan diikuti. Bukanlah kalau sudah ada Kitab daripada Allah ‎ﷻ, terus selamat. Yang menerimanya kena belajar dan berpegang dengannya. Perumpamaannya, Allah ‎ﷻ sudah membuat jalan untuk mereka, sekarang mereka kena mengikut sahaja jalan itu. Begitulah jugalah kita dengan al-Qur’an ini, perlu dipelajari. Jangan setakat berbangga sahaja ada al-Qur’an tetapi tidak faham apakah yang al-Qur’an sampaikan.

Kalau diikutkan begitu kurang ajarnya mereka, sudah tentu mereka itu tidak layak untuk mendapat nikmat lagi. Namun Allah ‎ﷻ tetap berikan juga Kitab Taurat kepada mereka. Mudah-mudahan dengan kitab itu mereka terpimpin.

Tafsir Ayat Ke-54

Ini adalah jasa kelima yang Allah ‎ﷻ ingatkan kepada mereka.

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يا قَومِ إِنَّكُم ظَلَمتُم أَنفُسَكُم بِاتِّخاذِكُمُ العِجلَ فَتوبوا إِلىٰ بارِئِكُم فَاقتُلوا أَنفُسَكُم ذٰلِكُم خَيرٌ لَكُم عِندَ بارِئِكُم فَتابَ عَلَيكُم ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika berkata Nabi Musa kepada kaumnya:

Apabila Nabi Musa عليه السلام balik dari Bukit Thur, baginda telah bersabda kepada mereka.

إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنْفُسَكُمْ بِاتِّخَاذِكُمُ الْعِجْلَ

“Sesungguhnya kamu sudah menzalimi diri kamu kerana mengambil anak lembu (sebagai sembahan)”

Sebelum itu, apabila Nabi Musa عليه السلام telah naik ke Bukit Thur, Allah ‎ﷻ telah bertanyakan Nabi Musa عليه السلام kenapa tidak dibawakan kaumnya sekali? Nabi Musa عليه السلام berkata, kaumnya ada mengikutnya tidak jauh di belakang dan baginda sengaja datang awal supaya boleh mendapat redha Allah ‎ﷻ lebih awal, kemudian baru redha kepada kaumnya pula.

Allah ‎ﷻ memberitahu dengan sebab Nabi Musa عليه السلام datang awal itu, dan meninggalkan kaumnya di belakang, amat membahayakan. Kerana perbuatan Nabi Musa عليه السلام itulah, kaum Nabi Musa عليه السلام itu telah murtad sepeninggalan baginda dan ada yang sembah anak lembu. Mendengarkan hal tersebut, maka Nabi Musa عليه السلام telah balik dengan segera menemui kaum Bani Israil.

Mereka dikira zalim kerana telah melakukan syirik menyembah anak lembu. Maka mereka semua disuruh supaya bertaubatlah segera – iaitu menyesal dengan hati dan berikrar untuk tidak akan membuatnya lagi dan istighfar dengan mulut. Inilah rukun-rukun taubat yang biasa.

فَتُوبُوا إِلَىٰ بَارِئِكُمْ

“Maka bertaubatlah kamu kepada Pencipta kamu”;

Ini adalah nasihat yang diberikan oleh baginda. Amat menarik kerana kata بَارِئِ digunakan dalam ayat ini. Perkataan itu banyak digunakan dalam Kitab mereka. Maka Allah ‎ﷻ menggunakan dalam al-Qur’an juga, dan tidak menggunakan kalimah ‘Rabb’.

فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ

“Kemudian kamu bunuhlah diri-diri kamu.”

Walaupun begitu, syariat Nabi Musa عليه السلام pada waktu itu, tidak sempurna taubat dengan hanya istighfar mulut sahaja, tetapi mereka juga kena dibunuh. Mereka yang tidak bersalah hendaklah membunuh kaumnya yang bersalah. Waktu itu Allah ‎ﷻ menurunkan awan hitam supaya tidak nampak muka yang dibunuh. Diriwayatkan seramai 70 ribu orang telah dibunuh.

Namun, kenapa disebut أَنفُسَكُم (diri-diri kamu) sedangkan bukan bunuh diri? Kerana mereka semuanya sesama agama, maka dikira membunuh diri mereka sendiri. Inilah dalil yang mengatakan mereka kena berbunuhan sesama mereka untuk diterima taubat mereka.

Bani Israil terbahagi kepada 12 puak. Daripada setiap puak itu ada yang telah menyembah anak lembu itu. Bukan semua di antara mereka yang menyembah. Maksud arahan ini adalah setiap puak hendaklah mengenalpasti siapakah yang telah menyembah anak lembu itu dan dia mestilah dibunuh. Itulah yang dimaksudkan ‘bunuhlah diri-diri kamu”.

Oleh kerana mereka yang menyembah itu telah melakukan perbuatan syirik dan mereka telah murtad, maka mereka layak dibunuh. Ini adalah sama seperti hukuman murtad yang Islam ada. Maka, hukum bunuh kepada mereka yang murtad bukanlah perkara baru. Dalam syariat Yahudi pun sudah ada hukum bunuh kepada yang murtad.

Syariat bunuh sebegini tidak ada dalam syariat kita kecuali dalam keadaan tertentu sahaja – contohnya orang berkahwin yang berzina, orang yang membunuh orang lain, dan sebagainya yang termaktub dalam hukum hudud. Tetapi dalam bab syirik, tidak ada hukuman bunuh sebegini. Kalau ada, tentu susah kita. Ramai orang Islam kena bunuh belaka, kerana syirik yang berleluasa dalam masyarakat. Maka, Allah ‎ﷻ tidak kenakan dalam syariat Nabi akhir zaman.

ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ

“Yang demikian itu lebih baik untuk kamu di sisi Pencipta kamu”;

Bertaubat dan bersedia untuk dibunuh itulah yang lebih baik di sisi Tuhan mereka. Kerana kalau mereka bertaubat dan bersedia dibunuh, di akhirat mereka tidak dikenakan azab lagi. Maknanya, orang-orang yang dibunuh itu telah hapus segala kesalahan mereka. Maknanya mereka itu adalah ahli syurga sebenarnya. Ini kerana mereka mati dalam keadaan bersih dari dosa dan tentulah masuk syurga.

Mungkin ada melihat hukum bunuh itu adalah berat dan teruk. Tetapi Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa ia adalah baik di sisi Allah ‎ﷻ. Ia adalah kebaikan untuk mereka. Jangan kita pula sangka ia adalah hukuman yang tidak patut. Yang penting adalah apa yang Allah ‎ﷻ redha.

فَتَابَ عَلَيْكُمْ

“Maka Allah menerima taubat kamu”;

Maka Allah ‎ﷻ menerima taubat mereka. Inilah nikmat dimaksudkan dan ia adalah jasa yang amat besar. Dan apabila Allah ‎ﷻ menerima taubat mereka, mereka dimasukkan ke dalam syurga. Nikmat masuk syurga bukankah nikmat yang amat besar?

Selepas mereka membunuh diri mereka, Allah ‎ﷻ telah mengampunkan dosa mereka. Ayat ini mengatakan Allah ‎ﷻ telah mengampunkan dosa mereka. Maka mereka yang menyembah anak lembu itu semua adalah ahli syurga belaka. Cuma kita sahaja yang sangka mereka masuk neraka. Padahal, mereka semuanya masuk syurga kerana Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka.

Taubat mereka telah diterima kerana mereka telah mengikut syariat Allah ‎ﷻ. Dan syariat waktu itu adalah mereka kena bunuh diri mereka. Oleh kerana mereka mengikut syariat, maka Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka.

Namun begitu, selepas itu, bangsa Yahudi sangka mereka adalah orang yang ‘terpilih’ – kerana Allah ‎ﷻ sentiasa memaafkan kesalahan mereka. Sampai mereka tidak kisah apabila mereka melakukan kesalahan di dunia. Mereka kata Allah ‎ﷻ tentu akan memaafkan mereka. Mereka rasa, kalau Allah ‎ﷻ memasukkan mereka ke dalam neraka pun, hanya untuk beberapa hari sahaja.

Itu adalah pemahaman yang salah. Yang telah dibunuh dalam kisah ini diterima taubat mereka kerana mereka telah bertaubat dan mereka telah mengikuti syariat.

Kisah ini bukan boleh digunakan sebagai ‘lesen’ untuk mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ akan terus sentiasa mengampuni dosa semua Bani Israil. Untuk mendapat pengampunan, mestilah bertaubat dan mengikut syariat. Ada proses yang perlu diikuti sebelum taubat diterima. Jangan kita umat Islam pun sangka begitu pula. Ramai yang ada akidah: “takpe, kita orang Islam akhirnya akan masuk syurga juga….”

إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ

Sesungguhnya Allah itu Maha Menerima Taubat;

Allah ‎ﷻ berkali-kali boleh menerima taubat. Walaupun manusia banyak kali melakukan kesalahan dosa, tetapi apabila mereka bertaubat, Allah ‎ﷻ terima taubat mereka.

Dalam hal ini, jangan terpedaya dengan bisikan syaitan. Apabila kita telah bertaubat, tetapi kita melakukan juga kesalahan yang sama, syaitan akan hasut kita. Dia kata: “Buat apa kau taubat lagi, sedangkan kau akan buat kesalahan yang sama. Baik kau terus buat sahaja sebab Allah dah tak terima taubat kau dah.. buat malu jer kau nak bertaubat.”

Ini adalah salah faham tentang taubat. Walaupun kita sudah bertaubat, tetapi kadang-kadang kerana lemah dan bisikan syaitan, kita mungkin melakukan kesalahan yang sama. Kalau kita lakukan kesalahan yang sama, bertaubatlah lagi. Jangan kita putus harap dengan taubat. Allah ‎ﷻ boleh menerima taubat kita berkali-kali, walaupun untuk kesalahan yang sama.

الرَّحِيمُ

Lagi Maha Mengasihani;

Allah ‎ﷻ sanggup menerima taubat hamba-Nya kerana sifat Allah ‎ﷻ yang raheem. Allah ‎ﷻ amat sayangkan kita makhluk-Nya.

Apabila Allah ‎ﷻ menerima taubat hamba itu, Dia tidak seksa lagi mereka di akhirat kelak.

Maka, mereka yang menyembah anak lembu itu telah selamat. Kita belum tentu lagi akan selamat.

Tafsir Ayat Ke-55

Ini adalah nikmat keenam yang diberikan kepada Bani Israil.

Nabi Musa عليه السلام telah bertapa selama 40 hari dan setelah tamat 40 hari, baginda telah mendapat Kitab Taurat. Apabila baginda pulang, kaumnya ada memberi berbagai-bagai reaksi.

Bayangkan waktu itu mereka ada 70 ribu orang. Ada yang tidak percaya yang Taurat itu daripada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak percaya sampai ada yang ingin tengok juga cara bagaimana Kitab Taurat diturunkan. Yang berkata begini adalah mereka yang tidak sembah anak lembu sebab yang sembah anak lembu sudah dibunuh. Maknanya, yang tidak menyembah patung anak lembu itu pun ada masalah juga.

Maka Nabi Musa عليه السلام telah diperintahkan untuk memilih setiap seribu orang, seorang wakil. Maka ada 70 orang telah dipilih untuk lihat bagaimana cara kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa عليه السلام. Mereka telah dibawa naik ke Bukit Thur untuk menyaksikan sendiri proses penurunan Taurat itu. Setelah mereka sendiri melihatnya, mereka masih juga tidak percaya. Mereka kemudian minta untuk melihat Allah ‎ﷻ dengan mata mereka sendiri.

Oleh kerana permintaan mereka itu, Allah ‎ﷻ mematikan mereka terus pada waktu itu juga kerana amat kurang ajar mereka itu. Allah ‎ﷻ mematikan mereka dengan tempikan dan gegaran. Terus mereka mati bergelimpangan. Mereka lihat sendiri yang mereka jatuh rebah dan mati di situ juga.

وَإِذ قُلتُم يا موسىٰ لَن نُؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً فَأَخَذَتكُمُ الصّاعِقَةُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.

وَإِذْ قُلْتُمْ

Dan ingatlah ketika kamu berkata;

Yang berkata dalam ayat ini bukan Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ, tetapi tok nenek mereka dahulu. Tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘kamu’ dalam ayat ini. Ini adalah kerana Bani Israil merasakan mereka adalah satu keluarga yang dari dahulu sehingga sekarang. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang dahulu. Dan mereka tahu apa yang terjadi pada zaman dahulu kerana disampaikan turun temurun. Jadi Allah ‎ﷻ bercakap kepada mereka seperti mereka adalah orang yang sama juga.

Seramai 70 orang wakil dari Bani Israil telah dijemput naik ke Bukit Thursina untuk melihat cara kitab Taurat diturunkan. Semua sekali rakyat Bani Israil adalah seramai 70 ribu orang. Setiap seribu, dipilih seorang wakil untuk naik ke atas mengikut Nabi Musa عليه السلام. Selepas mereka melihat bagaimana Taurat diturunkan, mereka masih tidak berpuas hati lagi untuk beriman. Maka mereka berkata:

يَا مُوسَىٰ لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ

“Wahai Musa, kami tidak akan percaya kepada kamu”,

Mereka masih tidak percayakan Nabi Musa عليه السلام kerana perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘لَكَ’ – kepada kamu. Bayangkanlah, Nabi mereka sendiri pun mereka tidak percaya. Sedangkan Nabi Musa عليه السلام itulah yang telah membawa mereka menyeberangi Laut Merah, telah mengeluarkan air dari batu dan macam-macam lagi mukjizat yang mereka boleh lihat dengan mata mereka sendiri. Namun mereka masih tidak percaya. Lihatlah betapa degilnya mereka.

Ada yang mengatakan bahawa makna ‘لَكَ’ yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan mereka ‘tidak mahu ikut arahan kamu’. Mereka percaya Nabi Musa عليه السلام adalah seorang Rasul dan Nabi tetapi mereka masih tidak mahu mengikut arahan baginda. Kerana kalau tidak percaya, perkataan yang sepatutnya digunakan adalah ‘بِكَ’ – ‘dengan kamu’.

Maknanya, mereka itu adalah umat yang amat degil. Dengan Nabi yang memang mereka sudah percaya pun mereka tidak mahu mengikut arahan yang diberikan. Padahal, arahan yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام itu adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada dirinya sendiri.

Ada yang berkata, yang mereka tidak percaya itu adalah arahan supaya dibunuh mereka yang telah murtad kerana menyembah anak lembu itu. Mereka tuduh arahan itu daripada Nabi Musa عليه السلام sahaja. Maka mereka hendak dengar sendiri arahan itu daripada Allah ‎ﷻ. Begitulah degil dan kurang ajar mereka dengan Nabi mereka sendiri. Maka, kalau dengan Nabi mereka sendiri yang mereka telah terima pun mereka degil, apatah lagi dengan Nabi Muhammad ﷺ.

حَتَّىٰ نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً

“sehingga kamu menunjukkan Allah secara terang-terang”;

Mereka hendak melihat sendiri Allah ‎ﷻ dengan mata mereka. Padahal Nabi Musa عليه السلام hendak tengok Allah ‎ﷻ pun sudah pengsan – kerana tidak mampu – ada dikisahkan dalam ayat yang lain.

Lihat betapa degilnya mereka. Mereka tidak cukup dengan melihat bagaimana Kitab Taurat diturunkan sahaja, tetapi mereka hendak melihat sendiri Allah ‎ﷻ dengan mata mereka. Ini adalah perbuatan yang melampau. Musyrikin Mekah pun ada yang minta begitu.

فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ

Maka ditimpakan azab tempikan kepada kamu;

Disebabkan oleh permintaan mereka itu, mereka dikenakan azab tempikan daripada Jibrail عليه السلام, maka mereka terus mati. Tempikan itu kuat sampaikan boleh mati terus.

وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ

sedangkan kamu melihat;

Mereka melihat sendiri kawan-kawan mereka mati seorang demi seorang. Ini kerana mereka mati seorang demi seorang.

Allahu a’lam.

Presuposisi 8: Mind and Body Are Part of The Same System and Influence Each Other

0

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq.


8. Mind and body are part of the same system and influence each other.

Minda dan tubuh adalah sebahagian daripada sistem yang sama dan mempengaruhi satu sama lain.”


Ringkasnya:
Apa yang berlaku dalam minda memberi kesan kepada tubuh fizikal dan kita;
Apa yang berlaku dengan tubuh kita memberi kesan kepada minda kita.

Seperti pepatah Melayu : Cubit paha kanan, paha kiri turut terasa. (Yang sebenarnya tidak terasa pun tetapi rasanya anda faham maksud saya).

Kita tidak diajar dari kecil yang minda dan tubuh kita ada kaitan yang amat rapat. Oleh kerana itu kita tidak terfikirkan ada kesan yang terlibat kalau salah satunya terganggu. Dengan sebab itu jugalah ada yang menjaga mindanya sahaja tetapi tidak menjaga tubuh badannya manakala ada pula yang pergi ke “gym” dan jogging serta bersenam untuk menjaga tubuh badannya tetapi dia tidak menjaga mindanya.

Maka untuk menjadi insan yang “all rounded” (menyeluruh) kita kena lihat diri kita secara keseluruhan. Kalau otak kita sihat tetapi tubuh tidak sihat pun tidak baik, bukan? Atau kalau tubuh sihat tetapi otak pula tidak sihat, juga tidak menarik (sebagai contoh, orang yang tidak waras).

Adakah anda tidak percaya minda anda memberi kesan kepada fizikal anda? Cuba anda ingat bila tiba hari gaji? Tiba-tiba sahaja badan menjadi ringan, jalan pun laju sahaja. Ini kerana minda tengah senang hati, maka badan pun terasa ringan sahaja.

Tetapi kalau waktu sedih, badan kita rasa berat sahaja, bukan? Jalan perlahan sahaja dan hendak makan pun tiada selera. Maka, nampak bukan bagaimana minda memainkan peranan dan memberi kesan secara langsung kepada tubuh anda?

Baik, kita cuba lagi. Sekarang bayangkan buah lemon. Pernah rasa lemon, bukan? Sekarang bayangkan anda potong lemon itu. Zasss…kemudian anda bawa lemon itu ke hidung anda, hidu baunya yang menyegarkan itu (bayangkan baunya). Kemudian anda buka mulut luas-luas dan gigit lemon itu besar-besar! Kemudian anda kunyah lemon yang penuh di dalam mulut anda….

Apa jadi dengan mulut anda? Pecah air liur, bukan? [Kalau tiada kesan, maknanya pendeklah umur anda 😃]. Ada kesan pada mulut anda padahal anda tidak pegang pun lemon, anda cuma bayangkan sahaja. Tetapi lihatlah bagaimana ia memberi kesan kepada kulit anda. Hebat, bukan?

 

Maka apa yang anda fikirkan dalam minda anda memberi kesan sebenarnya kepada tubuh fizikal anda. Maka kerana itu kalau anda selalu tertekan, maka anda akan lebih mudah jatuh sakit, pergerakan jadi perlahan dan gaya hidup anda pun jadi negatif.

Inginkan tips yang cool?

Kalau kita dapat sesuatu yang kita suka, atau terjadi sesuatu yang kita gembira sangat. Contoh: angau selepas jumpa orang yang kita sayang atau selepas anak buat benda yang comel sangat, kita tersenyum, bukan?

Minda: gembira
Fizikal: senyum

Minda menyebabkan tindakbalas fizikal. Ini senang untuk faham (bila minda gembira, maka mulut akan senyum).

Tetapi tahukah anda yang kalau terbalikkan proses itu, efek yang sama akan berlaku?

Kalau anda senyum, minda anda pun automatik akan gembira. Tidak percaya? Cuba senyum sekarang. Anda boleh senyum, bukan? Tidak perlu apa-apa pun anda tentu boleh senyum kerana tubuh anda dalam kawalan anda.

Minda akan fikir: “Eh bos aku senyum ni, mesti ada sesuatu yang besar berlaku…oklah aku jadi happy lah!”

Ini kerana minda anda juga terkesan dengan perbuatan fizikal anda. Selepas ini, banyakkan senyum. Orang tanya kenapa senyum, apa yang “happy” sangat? Jawab sahaja: “Entah! Tapi aku happy!”

Sekarang kita buat satu lagi eksperimen. Cuba ingatkan sesuatu yang menyedihkan anda. Bayangkan kejadian itu dan rasai kesedihan itu. Sekarang perhatikan bagaimana tubuh badan anda. Tidakkah badan anda sedang bongkok, kepala anda tunduk? Ini adalah kerana itulah fizikal seseorang yang dalam pemikiran yang negatif.

Jadi kaitan antara minda dan fizikal adalah amat rapat. Dan NLP menggunakan fahaman ini dalam menangani masalah di dalam diri manusia. Kita cuba untuk menggunakan minda untuk mengubah fizikal dan kita juga menggunakan fizikal untuk mengubah minda. Kerana kita sudah tahu bahawa kalau kita kawal salah satu daripadanya, kita dapat mengawal yang satu lagi.

Sebagai contoh, pengamal NLP akan menyarankan pelanggannya untuk mengubah kedudukan fizikal tubuhnya untuk mengubah mindanya. Kalau seseorang sedang bersedih, kita akan suruh dia tegakkan badan dan ubah tubuh seperti seseorang yang sedang positif. Cuba anda duduk dengan tegak, bolehkah anda rasa sedih? Tentu tidak!

Dan kita akan suruh “client” untuk mempunyai sifat yang positif di dalam kehidupannya. Kita akan suruh dia cakap benda-benda yang baik sahaja. Kerana kalau fikirannya terganggu dan menjadi negatif, maka kehidupan dia pun akan turut menjadi negatif.

Teknik-teknik ini akan diajar dari masa ke semasa. Cuma setakat ini saya harap anda dapat terima yang ada kaitan dan kesan simbiosis di antara minda dan fizikal anda (juga “spiritual”– kerohanian”).

Satu lagi perkara penting yang saya hendak tekankan adalah tentang kaitan antara minda dan kesihatan. Kita kena sedar yang memang ada kaitan yang sangat rapat di antara kedua-duanya. Fikiran yang tidak sihat, contohnya selalu risau sahaja akan memberi kesan kepada kesihatan. Kalau kita dalam keadaan “stress” kita akan perasan yang kita akan selalu jatuh sakit. Ini kerana tubuh badan kita sedar yang kita sedang tertekan, maka tenaga banyak diberikan sama ada bersedia untuk lari ataupun lawan demi menyelamatkan diri (“Fight-or-flight response”). Jadi badan sudah tidak menumpukan perhatian kepada melawan punca penyakit. Maka senanglah jatuh sakit.

Dalam kajian sains, ada terma “psychosomatic” yang bermaksud sakit yang disebabkan oleh mental yang terganggu. Maka kena kawal emosi kita, jangan tertekan, jangan risau sangat, jangan fikirkan perkara-perkara yang mengarut. Kita pun rasanya faham perkara ini. Kalau ibubapa kita sakit jantung, kita akan suruh mereka jangan risau sangat.

Tetapi kita lupa yang kita pun kalau tidak menjaga minda kita, akan menyebabkan jatuh sakit juga. Banyak sekali kajian sains tentang perkara ini yang menjadi bukti bahayanya kesihatan kalau tidak dijaga minda kita.

Maka kesihatan mental boleh dijaga dengan mengamalkan meditasi, “tapping” (EFT: Emotional Freedom Transfer), bersukan, berjalan di dalam taman, duduk di taman bunga, tumbuk punching bag dan macam-macam lagi teknik yang boleh digunakan.

Manakala, kita sebagai Muslim sudah sedia maklum yang meditasi terbaik adalah dengan memperbanyakkan salat dan berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana dengan mengingati Allah ‎ﷻ akan menenangkan hati seterusnya kesihatan mental dan rohani pun turut terjaga.

Pilihlah mana-mana yang boleh anda amalkan asalkan ia selamat dan positif.

 

 

🔖📌

Soal Jawab


Saya amat menyesal kerana tidak sempat untuk berbakti kepada ayah sewaktu hidupnya. Sekarang ayah sudah tiada, perasaan sedih, rindu sangat terhadapnya. Apakah yang patut saya buat?


Islam mengajar berbuat baik. Setiap amalan kebaikan kita akan menjadi saham pahala kepada mereka.
Sentiasa doakan mereka. Sekurang-kurangnya waktu solat.
Juga menyambung hubungan dengan kawan-kawan mereka semasa mereka hidup dan ziarah mereka.


Bolehkah di akhirat nanti berjumpa semula dengan ayah kandung kita?

Boleh sekiranya kedua-duanya masuk syurga.

 

Adakah menjadi satu kesalahan sekiranya seorang menantu terasa hati dengan ibu mertua atau bapa mertua?

Marah dan benci adalah subjektif. Maksudnya kita mungkin terasa hati tetapi jika bertanya pada orang lain, mungkin dia tidak terasa apa pun, terpulang kepada individu.

Kalau kita senang terasa dengan orang, kita sendiri yang susah hati. Orang itu kadangkala tidak tahu pun kita terasa. Kita sahaja yang makan hati.

Sesama mukmin boleh terasa hati. Ini biasa, sebab itu Allah sebut hanya Dia sahaja yang boleh hilang perasaan itu. Dalam Qur’an disebut “ghil”.

Firman Allah ﷻ dalam [Hijr: 47]:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَابِلِينَ

Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan.

Saya tidak tahu apakah isu yang terjadi. Banyak kemungkinan:
1. Dia orang tua. Memang pelik juga. Mereka lafaz benda yang pedas.
2. Mereka ada “rules” mereka dan kita ada “rules” kita. Bila tidak match maka, berlaga anginlah.
3. Mereka rasa mereka betul. Dan pada mereka, kita anak-anak kena ikut sahaja.
4. Mungkin kita sendiri tidak memahami mereka.
5. Mungkin mereka sendiri pernah disakiti. “Hurt people hurt”. (Orang yang pernah disakiti, selalunya menyakiti orang lain).

Sebagai manusia, akan ada sahaja perkara yang tidak kena dari orang lain. Memang kadang-kadang mereka yang salah. Tetapi yang menanggung bebannya kita. Kita yang asyik memikirkannya sehingga meninggalkan kesan buruk terhadap diri kita.

Setiap hari, maafkan orang lain. Sama ada pagi atau semasa hendak tidur. Bayangkan orang yang telah menyakiti hati kita, kenangkan balik apa yang dia buat kepada kita. Kemudian bayangkan kita bercakap dengannya sambil berkata: “Aku maafkan….”. Boleh gunakan ayat sendiri.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-49 hingga Ke-51

0

Ringkasnya jasa-jasa Allah ‎ﷻ kepada Yahudi dalam ayat-ayat ini:

Ayat ke-49: jasa pertama (mereka diselamatkan dari Firaun)

Ayat ke-50: jasa kedua (laut dibelah dan Firaun dimatikan bersama tenteranya)

Ayat ke-51 dan ke-52: jasa ketiga (mereka diampunkan walaupun telah menyembah patung sapi)

Ayat ke-53: jasa keempat (mereka diberikan dengan Kitab Taurat)

Ayat ke-54: jasa kelima (mereka diampunkan setelah berbuat syirik)

Ayat ke-55 dan ke-56: jasa keenam (mereka dihidupkan kembali setelah dimatikan kerana minta untuk melihat Allah ‎ﷻ)

Ayat ke-57: jasa ketujuh (mereka dinaungi dengan awan dan diberi makan Manna dan Salwa)

Ayat ke-60: jasa kelapan (mereka diberi minum dari air dalam batu)

Jadi, ada lapan jasa yang Allah ‎ﷻ sebut dalam bahagian ini. Jasa ini ada diulang-ulang dalam surah-surah lain. Dalam surah-surah lain pula, ada disebut jasa-jasa lain pula.

Dan bahagian hukuman pula:

Ayat ke-58 dan ke-59: hukuman pertama

Ayat ke-61: hukuman kedua

Mari kita baca jasa yang pertama:

وَإِذ نَجَّيناكُم مِن آلِ فِرعَونَ يَسومونَكُم سوءَ العَذابِ يُذَبِّحونَ أَبناءَكُم وَيَستَحيونَ نِساءَكُم ۚ وَفي ذٰلِكُم بَلاءٌ مِن رَبِّكُم عَظيمٌ

Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

وَإِذْ نَجَّيْنَاكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami selamatkan kamu;

Perkataan yang digunakan dalam wazan begini bermaksud ‘berkali-kali Allah ‎ﷻ telah selamatkan mereka’. Bukan hanya sekali sahaja. Ini adalah kerana keluarga Firaun mempunyai peluang untuk menghapuskan bangsa Israil tetapi Allah ‎ﷻ telah menyelamatkan mereka setiap kali.

مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ

daripada keluarga Firaun;

Ini adalah jasa pertama iaitu ketika Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka dari golongan Firaun. Mereka telah menimpakan ke atas Bani Israil azab yang sangat dahsyat. Dia membunuh anak-anak lelaki Bani Israil dan membiarkan wanita-wanita mereka hidup untuk menjadi hamba abdi. Akhirnya Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka dari kezaliman itu.

Kerajaan Firaun memerintah dan menindas bangsa Israil selama 400 tahun. ‘Firaun’ bukanlah nama seorang individu tetapi ia adalah satu pangkat keturunan. Selepas mati satu Firaun, akan diganti oleh Firaun yang lain.

Firaun adalah dari keturunan bangsa Qibti. Cara pemerintahan Firaun adalah dengan menggunakan dinasti kekeluargaan. Sebab itu Allah ‎ﷻ menggunakan kata ‘keluarga Firaun’. Maknanya, ini bukan Firaun seorang sahaja yang memerintah mereka dan menindas mereka. Semua pangkat tinggi diberikan kepada anak beranak dari keluarganya sahaja. Oleh itu, kalau kerajaan mana-mana negara sekarang menggunakan dinasti keluarga, maka ia adalah sama dengan cara Firaun memerintah.

يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ

Mereka telah mengenakan kamu ke dalam azab yang teruk;

Sudahlah keluarga Firaun itu menjadikan mereka sebagai hamba abdi, malah mereka buat lebih teruk lagi. Bermakna keluarga Firaun menjadikan mereka sebagai satu bangsa yang hina.

يُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ

Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu;

Memang mereka telah melakukan kezaliman yang amat teruk. Firaun telah mengarahkan penyembelihan anak-anak lelaki mereka. Hal ini disebabkan ramalan tukang tenung bahawa akan ada seorang anak lelaki kelahiran Bani Israil yang akan menjadi penyebab lenyapnya kerajaan Firaun itu tetapi Firaun hanya dapat buat sekali sahaja walaupun perintah yang Firaun keluarkan adalah sebanyak dua kali. Pada kali yang kedua, tidak sempat kerana dia telah ditenggelamkan dalam air laut yang terbelah.

Perkataan yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present tense’. Dari segi balaghah ia bermaksud ia boleh lagi terjadi dalam zaman ini. Kalau dalam bentuk ‘past tense’, maka ia bermaksud Firaun sahaja yang buat. Maka ini mengajar kita yang masih ada lagi orang yang bersifat seperti Firaun yang akan melakukan perkara yang sama kerana sentiasa sahaja ada orang yang bersifat seperti Firaun dalam dunia ini.

وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ

dan membiarkan hidup perempuan-perempuan kamu;

Maknanya, mereka membiarkan perempuan-perempuan hidup hanya untuk menghina bani Israil itu supaya tiada lagi lelaki daripada bani Israil. Mereka akan mengambil perempuan-perempuan bani Israil itu sebagai hak mereka (merogol) dan yang lahir nanti selepas itu adalah bangsa daripada keturunan Qibti belaka.

Ini adalah satu penghinaan yang paling teruk yang boleh dikenakan kepada satu-satu bangsa. Zaman sekarang ini pun masih lagi dilakukan oleh bangsa-bangsa tertentu yang hendak menghina satu bangsa lain. Ia dipanggil “ethnic cleansing” (pembersihan etnik).

Perkataan yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat ini juga adalah dalam ‘present tense’. Bermaksud ia boleh lagi terjadi pada zaman ini.

Keturunan Firaun ini adalah keturunan Qibti ataupun dalam bahasa Inggeris sekarang dikenali sebagai Coptic Christian kerana keturunan mereka itu kemudiannya telah masuk agama Kristian.

وَفِي ذَٰلِكُمْ

Dan pada yang demikian untuk kamu

Dalam apa yang terjadi kepada kaum kamu itu.

بَلَاءٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَظِيمٌ

adalah ujian besar dari Tuhan kamu yang Maha Agung;

Pada demikian itu, suatu nikmat yang sangat besar – iaitu penyelamatan anak-anak lelaki dari dibunuh dan perempuan-perempuan mereka daripada dijadikan hamba abdi. Ini adalah terjemahan pertama bagi lafaz وَفي ذٰلِكُم.

Terjemahan kedua bagi lafaz وَفي ذٰلِكُم, merujuk kepada kejadian anak-anak lelaki dibunuh dan perempuan-perempuan mereka dijadikan hamba abdi, itu adalah ‘bala bencana’ daripads Allah ‎ﷻ. Ada dua pendapat kerana lafaz بَلاءٌ boleh jadi ‘nikmat’ atau ‘bala’. Satu kalimah yang mempunyai dua makna yang berlawanan.

Sebenarnya, semua ujian yang ada adalah daripada Allah ‎ﷻ belaka. Allah ‎ﷻ hendak menguji kita dalam kehidupan dunia ini. Kita pun ada juga mendapat ujian dari masa ke semasa. Kita juga mungkin boleh terkena dengan ujian yang telah dikenakan kepada Bani Israil ini kerana akan sentiasa ada jenis seperti Firaun dalam setiap zaman. Semoga Allah ‎ﷻ selamatkan kita.

Tafsir Ayat Ke-50

Ini adalah jasa yang kedua yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada Bani Israil. Ini ketika Laut Khulzum (atau Laut Merah) dibelah untuk mereka jadikan laluan untuk lari daripada Firaun dan telah ditenggelamkan pengikut Firaun dan Firaun sendiri ke dalam laut. Kamu boleh lihat sendiri mereka ditenggelami oleh air. Mereka boleh nampak sendiri bagaimana air yang dibelah itu dicantumkan dan semua pengikut Firaun dan Firaun sendiri mati kesemuanya.

وَإِذ فَرَقنا بِكُمُ البَحرَ فَأَنجَيناكُم وَأَغرَقنا آلَ فِرعَونَ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri daripada angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.

وَإِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ الْبَحْرَ

Dan ingatlah ketika Kami belahkan laut untuk kamu;

Perkataan ‘بِكُمُ‘ dalam ayat ini menunjukkan laut itu dibelah hanya untuk mereka sahaja. Selepas itu tidak ada laut yang dibelah lagi sampai sekarang.

Seperti yang kita tahu dari kisah sejarah para Nabi yang kita biasa dengar, Nabi Musa عليه السلام yang memukul laut itu dengan tongkat, tetapi Allah ‎ﷻ berkata dalam ayat ini bahawa Dia yang belahkan.

Maknanya, Allah عليه السلام yang sebenarnya membelah laut itu. Bukan Nabi Musa عليه السلام. Nabi Musa عليه السلام tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk mengeluarkan mukjizat.

Begitu juga, Tok wali juga tidak ada kuasa untuk mengeluarkan keramat. Keramat itu seperti mukjizat juga, tidak boleh berulang-ulang dilakukan mengikut niat pembuatnya. Seperti juga Nabi Musa عليه السلام membelah laut itu, sekali sahaja dilakukan. Tidak ada cerita yang mengatakan, kalau baginda hendak menyeberang laut lagi, maka baginda membelah lagi laut ataupun sungai.

Jadi, keramat pun kalau terjadi, hanya sekali sahaja boleh dilakukan. Kalau keramat berlaku berulang kali, bermakna itu bukanlah keramat, tetapi adalah sihir. Sihir sahaja yang terjadi dengan kehendak orang itu dan boleh terjadi banyak kali.

Banyak orang yang boleh berbuat sihir. Kalau ada kuasa untuk melakukan sesuatu berulang kali, itu adalah sihir dan sihir adalah perbuatan kufur kepada Allah ‎ﷻ. Mereka yang boleh membuat sihir itu adalah kerana mereka beramal dengan sesuatu amalan yang salah. Jadi, banyaklah orang yang mengamalkan wirid-wirid pelik dan “ilmu rahsia”.

Dalam pengajian sesat mereka itu, ilmu itu hanya boleh diberikan kepada orang tertentu sahaja. Kononnya kalau belum sampai tempoh atau tahap tertentu, tidak boleh pakai lagi. Dan ini amatlah bahaya kerana kalau mengamalkan sesuatu wirid tertentu, mesti ada mengamalkan tawassul di permulaannya.

فَأَنْجَيْنَاكُمْ

Maka Kami selamatkan kamu;

Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka daripada ditenggelami laut dan daripada keluarga Firaun.

وَأَغْرَقْنَا آلَ فِرْعَوْنَ

Dan Kami tenggelamkan keluarga Firaun;

Keluarga Firaun telah ditenggelamkan dan dengan Firaun sekali. Bukanlah keluarganya sahaja tetapi berserta tentera dan pengikutnya sekali.

Semasa dia lemas itu, barulah Firaun mahu beriman. Dia telah mengucap sebenarnya tetapi tidak diterima syahadahnya pada waktu itu. Kalau baru mahu beriman semasa menghadapi suasana yang menyebabkan kita mati, maka tidak diterima iman orang itu.

Contohnya, kalau kita kemalangan, dan waktu itu baru mahu beriman, ia tidak akan diterima. Kalau dia telah pernah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ, maka taubatnya pada waktu itu tidak diterima. Ini adalah kerana nyawanya sudah di kerongkong. Kalau dosanya jenis yang bukan syirik, in sha Allah masih lagi diterima.

Seluruh keluarga Firaun telah mati dalam laut. Tidak ada lagi yang meneruskan pemerintahannya selepas itu.

وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ

Sedangkan kamu waktu itu, sedang melihat;

Golongan Bani Israil yang ada pada waktu itu memang nampak sendiri dengan mata mereka bahawa memang betul Firaun mati lemas dalam Laut Merah. Mereka sendiri nampak bagaimana laut boleh terbelah dan mereka diberikan laluan kering di tengah-tengah laut itu. Dan mereka kemudian nampak laut itu menghempap Firaun dan pengikutnya.

Ini adalah nikmat kerana kaum lain tidak nampak azab yang dikenakan terhadap kaum mereka. Macam kaum Luth, mereka ditinggalkan kaum mereka dan tidak boleh toleh ke belakang.

Kalau boleh nampak azab yang dikenakan kepada penentang, itu lebih seronok sebenarnya kerana boleh tengok sendiri. Dan Nabi ﷺ telah diberikan kelebihan yang lebih lagi kerana baginda dapat balas dengan tangan sendiri di dalam peperangan demi peperangan.

Jadi, walaupun Bani Israil itu dapat melihat Firaun dan tenteranya ditenggelamkan, tetapi mereka tidak berani lagi selagi mereka tidak melihat jasad Firaun. Takut-takut nanti timbul pula di tempat lain. Begitulah takutnya mereka dengan Firaun. Maka, mereka telah mencari jasad Firaun sampai mereka jumpa. Ini adalah kerana telah ada kepercayaan dalam kalangan mereka bahawa Firaun tidak boleh mati. Ada juga yang percaya bahawa Firaun adalah tuhan dan mereka hendak memastikan betul-betul bahawa Firaun telah mati. Maka Allah ‎ﷻ telah memuntahkan kembali jasad Firaun ke luar supaya mereka nampak yang memang Firaun benar-benar telah mati.

Jadi, Allah ‎ﷻ sedang mengingatkan Bani Israil tentang jasa Allah ‎ﷻ kepada mereka. Begitu juga Allah ‎ﷻ katakan kepada kita, mengingatkan yang dulu kita pernah juga mengamalkan syirik kerana kita tidak tahu bahawa perbuatan syirik itu salah.

Atau dahulu kita miskin, dan Allah ‎ﷻ telah berikan kekayaan. Allah ‎ﷻ ingin mengingatkan kita tentang nikmat-nikmat yang Dia telah berikan kepada kita. Tentu banyak nikmat yang telah Allah ‎ﷻ berikan.

Tafsir Ayat Ke-51

Ini adalah jasa ketiga yang Allah ‎ﷻ ingatkan kepada mereka.

وَإِذ واعَدنا موسىٰ أَربَعينَ لَيلَةً ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظالِمونَ

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).

وَإِذْ وَاعَدْنَا مُوسَىٰ

Dan ingatlah ketika Kami ambil perjanjian dengan Nabi Musa;

Kejadian ini berlaku setelah mereka selamat daripada dikejar oleh Firaun dan selepas kisah belahan laut itu. Sepatutnya, selepas kejadian yang besar itu, bangsa Bani Israil telah menerima Nabi Musa عليه السلام sebagai Nabi mereka dan mereka sepatutnya taat kepada baginda. Tetapi kita lihatlah apa yang terjadi.

أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

selama 40 hari;

Nabi Musa عليه السلام telah bertapa (bermunajat) di bukit Thursina untuk terima kitab Taurat. Nabi Musa عليه السلام pada waktu itu diperintahkan untuk membawa 70 ribu umatnya ke Bukit Thursina untuk menerima Kitab Taurat. Nabi Musa عليه السلام naik dahulu seorang diri. Sepatutnya dia bawa semua sekali naik bersamanya.

Jadi disebabkan itulah ujian diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام dan kaumnya. Asalnya adalah 30 malam, dan Allah ‎ﷻ suruh tambah lagi 10 malam. Dalam tempoh itu, kaumnya yang di bawah telah menyembah patung anak sapi yang dibuat dari emas. Sebab bukan semua dibawa naik ke atas, ada yang ditinggalkan di bawah bukit Thursina. Yang menyembah patung sapi itu adalah mereka yang menunggu di bawah.

ثُمَّ اتَّخَذْتُمُ الْعِجْلَ

Kemudian kamu ambil anak lembu sebagai pujaan kamu

Kemudian mereka yang tidak pergi dengan Nabi Musa عليه السلام ‎telah menjadikan patung anak lembu sebagai ilah pemujaan, dan mereka minta macam-macam kepadanya, selepas pemergian Nabi Musa عليه السلام pergi bertapa. Mereka puja anak lembu itu.

مِنْ بَعْدِهِ

selepas pemergian Nabi Musa

Iaitu selepas Nabi Musa عليه السلام naik ke Bukit Thursina. Bayangkan ini berlaku selepas segala apa yang telah terjadi dan segala apa yang mereka telah saksikan. Setelah Nabi Musa عليه السلام menyelamatkan mereka dan selepas Allah ‎ﷻ telah belahkan laut untuk mereka. Mereka masih lagi melakukan perkara syirik. Maka amat berat sekali dosa yang telah mereka lakukan.

وَأَنْتُمْ ظَالِمُونَ

Kamu waktu itu zalim;

Makna ‘zalim’ dalam ayat ini bermaksud syirik. Ada di kalangan umat Nabi Musa عليه السلام yang telah menyembah patung anak sapi. Orang-orang lain tidak berani melarang, kerana yang buat itu adalah orang-orang yang gagah. Nabi Harun pun tidak berani hendak melarang mereka.

Yang menjadi kepalanya adalah Musa Samiri. Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa yang zalim sebenarnya adalah mereka kerana bangsa Bani Israil ini adalah jenis yang menyalahkan orang lain dalam kesalahan mereka. Sampai Allah ‎ﷻ pun mereka salahkan apabila mereka telah melakukan kesalahan. Jadi Allah ‎ﷻ ingin menekankan bahawa merekalah sebenarnya yang bersalah, bukannya orang lain, bukannya Allah ‎ﷻ.

Allahu a’lam.

Soal Jawab Bersama Doktor — Masalah Berkaitan Hempedu

0

Soalan:
Apakah diet terbaik untuk orang yang sudah tiada hempedu?

Jawapan:
Kurangkan minyak sebab bila pundi hempedu sudah tiada, pencernaan lemak menjadi lemah.

Hempedu penting untuk memecahkan minyak menjadi halus untuk proses penyerapan.


Soalan:
Bagaimana pula untuk “fatty liver” (hati berlemak)? Adakah senaman boleh membantu?

Jawapan:
“Fatty liver” ialah pengumpulan lemak di hati disebabkan paras lemak dalam darah tinggi, senaman dapat membantu dengan menurunkan paras lemak di dalam darah.

 

Soalan :
Boleh saya tahu apakah ubat yang saya perlu makan untuk hilangkan sendawa saya yang keterlaluan. Dua tahun lepas saya jalani pembedahan buang hempedu. Adakah ini ada kaitan? Sendawa sampai rasa hampir pitam dan rasa hendak muntah. Berdiri pun rasa macam terhoyong-hayang.

Jawapan:
Bila hempedu tiada pencernaan akan menjadi sukar terutamanya rantaian panjang (LCFA). Sistem pencernaan mudah rosak. Selain daripada sendawa, senang untuk mendapat masalah sensitif lain seperti kulit, deria dan juga masalah emosi. Penjelasan ini hipotesis sahaja tetapi saintifik.

Solusinya kenalah pilih makanan yang sesuai.


Soalan:
Apakah kesannya apabila hempedu dibuang?

Jawapan:
Proses pencernaan lemak akan menjadi kurang cekap. Hempedu penting untuk membantu mencernakan lemak.

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-46 hingga Ayat Ke-48

0

Tafsir Ayat Ke-46

Allah ‎ﷻ memberitahu apakah definisi orang yang khusyuk. Begitulah al-Qur’an, mulanya akan diberitahu tentang sesuatu, kemudian pada ayat yang lain akan diterangkan dengan lebih jelas lagi.

Maka dalam ayat ini kita dapat tahu apakah maksud khusyuk. Kalau pemahaman orang kita, mungkin khusyuk dalam solat itu adalah tidak sedar langsung apa yang terjadi di luar sampai kena gigit semut pun tidak terasa. Adakah begitu? Maka mari kita lihat definisi yang Allah ‎ﷻ sendiri beri.

الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلاقو رَبِّهِم وَأَنَّهُم إِلَيهِ رٰجِعونَ

(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

الَّذِينَ يَظُنُّونَ

Orang-orang yang percaya dengan yakin;

Lafaz ‘dzan’ dalam ayat ini bermaksud ‘assume’ (menganggap), tetapi dalam masa yang sama, ia juga bermaksud ‘convinced’ – yakin.

أَنَّهُمْ مُّلَاقُو رَبِّهِمْ

bahawa sesungguhnya mereka akan berjumpa Tuhan mereka;

Mereka yakin dan sedar bahawa hakikat kehidupan ini, akhirnya akan dikembalikan untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Kita ingat yang kita tidak kekal dalam dunia ini. Bila-bila masa sahaja kita boleh dimatikan oleh Allah ‎ﷻ.

وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رٰجِعُونَ

Dan bahawasanya kepada Allah lah kembalian mereka semua;

Kita kena sentiasa ingat yang kita semua akan kembali bertemu Tuhan. Namun ramai antara kita menjalani kehidupan di dunia ini seolah-olah melupakan hakikat itu. Bagaikan tidak ingat pula untuk mati.

Orang yang khusyuk adalah mereka yang sentiasa yakin yang mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka di akhirat. Apa sahaja yang terjadi sekarang di dunia adalah bersifat sementara sahaja. Kalau kita jumpa Tuhan nanti, semuanya akan menjadi ringan dan tidak ada apa-apa. Segala masalah itu akan dihilangkan. Mungkin masalah nampak besar semasa di dunia ini, tetapi ia tiada apa-apa di akhirat kelak.

Mereka tahu yang mereka akan dikembalikan kepada Tuhan untuk menerima balasan. Mereka akan menerima balasan baik dari kesabaran dan amalan mereka yang baik.

Maka tahulah kita sekarang inilah sifat khusyuk. Bukannya tidak sedar langsung apa yang terjadi semasa kita sedang solat. Itu cerita wali-wali yang entahkan benar ataupun tidak. Maka kalau begini sifat khusyuk, maka kita semua ada peluang untuk mendapat khusyuk di dalam solat.

Kalau hendak dijelaskan lagi sifat khusyuk, kita semua pernah ada sifat khusyuk ini (mungkin bukan dalam solat). Bayangkan seorang anak yang sedang main game. Dia terlalu khusyuk main sampai makan pun dia tidak ingat. Dan emaknya pun memanggil-manggilnya mengajak makan. Dia dengar emaknya memanggil tetapi dia lebih khusyuk bermain maka dia jawab: “Tunggu mak, sikit lagi saya nak habis, emak makan dulu”.

Maknanya, dia bukan khusyuk tidak dengar apa yang berlaku di sekelilingnya, tetapi dia tidak endahkan kerana dia lebihkan permainan game bodoh itu. Begitu jugalah kita dengan solat. Bukannya tidak dengar langsung apa berlaku, tetapi kita lebih mementingkan solat kita.

Tafsir Ayat Ke-47

Allah ‎ﷻ memperingatkan kepada Bani Israil zaman Nabi dan juga zaman sekarang, tentang segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

يٰبَني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العٰلَمينَ

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).

يٰبَنِي إِسْرٰءيلَ

Wahai Bani Israil,

Allah ‎ﷻ menyeru kepada semua sekali golongan Bani Israil. Sekali lagi Allah ‎ﷻ memujuk mereka dengan memanggil mereka dengan gelaran yang dihormati.

اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

Ingatlah tentang nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu;

Iaitu diberikan kepada bangsa mereka beribu-ribu Nabi dan Rasul yang telah diutuskan kepada mereka. Mereka juga diberikan kecerdikan yang luar biasa. Dan rupa paras yang elok. Dan juga kekayaan yang melimpah-ruah.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Dia lah yang memberikan segala nikmat dan kelebihan itu kepada mereka. Allah ‎ﷻ menekankan dalam ayat ini kerana bangsa Bani Israil sangka yang mereka dapat segala kelebihan itu kerana mereka bangsa terpilih, bangsa yang lain dari bangsa lain.

Allah ‎ﷻ hendak kata yang fahaman itu tidak benar, bukan mereka ada kelebihan sendiri tetapi Allah ‎ﷻ yang pilih sendiri untuk berikan kepada mereka. Bukanlah mereka mendapat kelebihan itu kerana diri mereka tetapi kerana Allah ‎ﷻ yang pilih. Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang pilih, maka Allah ‎ﷻ boleh sahaja mengambil balik kelebihan yang telah diberikan kepada mereka itu dan boleh diberikan kepada orang lain.

Allah ‎ﷻ mengulangi semula perkara pertama yang disebutkan sebelum ini dalam ayat ke-40, sebagai menambahkan galakan kepada puak Yahudi. Galakan ini diberikan supaya mereka cepat-cepat beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Jangan lengahkan masa lagi.

وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعٰلَمِينَ

Dan Kami telah berikan kamu kurniaan yang lebih melebihi penduduk alam (pada zamannya);

Allah ‎ﷻ berkata: Aku telah melebihkan kamu melebihi penduduk alam zaman kamu dahulu. Kamu lebih mulia daripada semua golongan dari segi keagamaan dan kekayaan. Oleh kerana kamu pernah jadi orang yang baik-baik, orang yang hebat-hebat, maka jangan pula hari ini kamu jadi orang yang ketinggalan.

Perkataan yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat adalah bermaksud ‘dahulu’ (past tense). Dahulu memang mereka dilebihkan dari penduduk alam yang lain. Tetapi kerana mereka telah banyak melakukan kesalahan, sampai membunuh nabi-nabi mereka, Allah ‎ﷻ tukarkan kedudukan itu kepada orang Muslim.

Makna ayat ini memang wajib ditafsirkan berdasar pengertian tersebut, mengingat umat sekarang ini (umat Nabi Muhammad ﷺ) lebih utama daripada mereka, kerana berdasarkan firman Allah ‎ﷻ yang berkhitab kepada umat ini, iaitu:

كُنتُم خَيرَ أُمَّةٍ أُخرِجَت لِلنّاسِ تَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَتَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ وَتُؤمِنونَ بِاللهِ

Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [ Ali Imran: 110 ].

Maka jangan kita sangka mereka itu mulia zaman berzaman. Kalau zaman sekarang tidak lagi kerana mereka sudah menjadi hina sekarang.

Tafsir Ayat Ke-48

Ayat ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi. Ayat ini diberikan supaya mereka menjadi takut dan supaya mereka cepat-cepat beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kepada al-Qur’an. Setelah dipujuk namun masih degil lagi, maka ajakan telah menjadi sedikit keras dengan diberikan dengan ancaman. Begitulah kita dengan anak kita: kalau diajak dengan baik tidak mahu dengar, maka kita beri ancaman pula kepada mereka, bukan?

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang dunia ini sementara sahaja. Semua orang akan mati akhirnya. Akhirat lah sahaja tempat yang akan kekal selama-lamanya. Tidak ada rawatan lagi di sana, jadi kena memperbetulkan diri kita semasa di dunia.

وَاتَّقوا يَومًا لّا تَجزي نَفسٌ عَن نَّفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها شَفٰعَةٌ وَلا يُؤخَذُ مِنها عَدلٌ وَلا هُم يُنصَرونَ

Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikit pun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَا تَجْزِي نَفْسٌ

Dan takutlah kamu pada hari yang tidak ada satu jiwa membela;

Sebelum ini Allah ‎ﷻ sudah memerintahkan untuk takut kepada-Nya tetapi mereka tidak takut kepada-Nya. Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memerli, kalau tidak takut kepada-Nya, maka sekurang-kurangnya takutlah kepada Hari Kiamat nanti. Seumpama Allah ‎ﷻ hendak perli: kalau kau boleh, kau selamatkan dirimu dari hari itu.

Pada hari itu tidak ada sesiapa yang boleh menyelamatkan orang lain. Jangan mereka sangka mereka itu hebat sangat sampai para Nabi mereka akan selamatkan mereka pula.

عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا

jiwa yang lain;

Ingatlah, tidak ada sesiapa yang boleh menolong orang lain. Pada hari akhirat kelak, seorang emak akan meninggalkan anak, suami akan meninggalkan isteri, anak tidak teringat langsung kepada emaknya, dan semua sekali hubungan tidak akan diingati pada hari itu.

Semua akan sibuk dengan diri masing-masing sahaja pada hari itu. Sampaikan seorang emak yang menyusu anaknya pun akan membuang anaknya pada hari itu. Allah ‎ﷻ berfirman dalam [ Abasa: 37 ]

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا

Dan tidak akan diterima daripadanya

Hendaklah berjaga-jaga pada hari di akhirat. Hari yang seorang pun tidak dapat menyelamatkan mana-mana orang lain walau sedikit pun. Walaupun seorang Nabi, ataupun wali atau apa-apa sahaja, tidak dapat menyelamatkan orang lain.

Kalau di dunia, masih boleh tolong lagi kerana ada dalam usaha kita. Di akhirat, tidak akan diterima syafaat (bantuan sokongan). Hendak tolong tidak boleh, hendak jamin orang lain pun tidak boleh.

شَفٰعَةٌ

syafaat;

Syafaat dalam ayat ini yang dimaksudkan adalah ‘syafaat kasih sayang’. Atau dalam bahasa Arabnya adalah ‘Syafaat Qahriyah’. Contohnya, kita ambil perumpamaan seorang raja yang sayangkan isterinya. Jadi, ada orang yang membodek isteri yang disayangi oleh raja itu untuk mendapatkan sesuatu.

Jadi, kerana raja sayangkan isterinya itu, dan isteri itu telah meminta tolong bagi pihak orang lain, mungkin raja itu akan tolong. Maknanya, dia berikan pertolongan bukan kerana orang yang meminta itu, tetapi kerana yang meminta itu adalah orang yang disayanginya iaitu isterinya. Padahal, mungkin orang yang meminta itu tidak layak untuk diberikan pertolongan.

Itu adalah perumpamaan tentang apakah yang terjadi dalam dunia. Tetapi kerajaan Allah ‎ﷻ tidak begitu. Jangan samakan kerajaan Allah ‎ﷻ dengan kerajaan manusia.

Maka, orang yang disayangi oleh Allah ‎ﷻ seperti malaikat, Nabi dan wali-wali tidak boleh memohon kepada Allah ‎ﷻ untuk menyelamatkan seseorang. Katakanlah orang-orang itu memang sudah sepatutnya masuk neraka, Allah ‎ﷻ tidak akan selamatkan dia walaupun yang memohon adalah orang kesayangan-Nya. Ini tidak akan berlaku. Jangan kita samakan kerajaan di dunia dengan kerajaan Allah ‎ﷻ.

Orang-orang kafir memang tidak akan mendapat syafaat. Perihalnya sama dengan makna yang terkandung di dalam firman Allah ‎ﷻ yang lainnya, iaitu:

فَما تَنفَعُهُم شَفاعَةُ الشّافِعينَ

Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat dari orang-orang yang memberi syafaat [ Al-Muddatsir: 48 ].

Maknanya, orang mukmin masih akan mendapat syafaat daripada mereka yang boleh memberi syafaat. Tetapi orang kafir tidak akan ada harapan itu. Begitu juga dengan firman Allah ‎ﷻ kepada penghuni neraka:

فَما لَنا مِن شافِعينَ* وَلا صَديقٍ حَميمٍ

Maka kami tidak mempunyai pemberi syafaat seorang pun, dan tidak pula mempunyai teman yang akrab. [ Asy-Syu’ara: 100- 101 ]

Bani Israil sangka mereka akan diberikan syafaat kerana mereka sangka mereka adalah bangsa terpilih. Tetapi Allah ‎ﷻ berkata, tidak begitu, jangan perasan. Kita pun jangan sangka sebegitu juga hanya disebabkan kita adalah umat Nabi Muhammad ﷺ, maka kita secara automatik akan mendapat syafaat daripada Nabi ﷺ. Ingatlah bukan semua yang akan mendapat syafaat. Contohnya, kalau kita mengamalkan amalan syirik dan bid’ah, kita pun tidak mendapat syafaat dari Nabi ﷺ.

وَلَا يُؤْخَذُ مِنْهَا

Dan tidak akan diterima daripadanya

Kalau di dunia, banyak perkara kita boleh gunakan duit untuk bayar dan dapatkan sesuatu. Ada orang sampai menggunakan rasuah untuk mendapatkan sesuatu. Mereka mungkin rasuah di sana dan di sini. Tetapi di akhirat, tidak boleh begitu. Tidak akan diambil rasuah daripada sesiapa pun. Kalau sesiapa yang ada emas sebesar bumi atau sekali ganda lagi pun tidak akan dapat menebus dirinya.

عَدْلٌ

imbuhan;

Imbuhan seperti rasuah tidak akan diterima. Tidak boleh hendak rasuah sesiapa di Mahsyar nanti. Tidak akan boleh untuk melepaskan diri dengan cara begitu. Tidak akan diterima langsung. Tidak boleh rasuah sesiapa pun pada hari itu untuk merayu bagi pihak mereka kepada Allah .

Ia mungkin boleh terjadi di dunia tapi ia tidak akan terjadi di akhirat. Ini sama seperti yang Allah ‎ﷻ sebut dalam [ Ali Imran: 91 ]

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima daripada seseorang di antara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.

Persoalan mungkin timbul: Apakah yang boleh diberikan sebagai rasuah pada hari itu? sedangkan semua sekali tidak ada harta lagi waktu itu, pakaian pun tidak ada. Yang mereka akan beri sebagai rasuah adalah: mereka akan menawarkan keluarga mereka nanti.

Contohnya, mereka akan menawarkan supaya emak mereka dimasukkan ke dalam neraka asalkan mereka boleh masuk syurga. Begitu sekali mereka akan buat.

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

Dan mereka tidak boleh ditolong oleh sesiapa pun.

Semua sekali mengharap hanya belas kasihan Allah ‎ﷻ sahaja. Dan mereka tidak akan ditolong dari mana-mana arah pun. Tidak ada cara apa pun untuk membantu mereka lagi. Tidak ada harapan langsung. Melainkan kalau mendapat bantuan dari Allah ‎ﷻ sendiri.

Mungkin mereka sangka, Tuhan kasihankan mereka – tetapi itu tidak akan berlaku kerana Allah ‎ﷻ sudah berjanji untuk memberikan balasan kepada mereka di atas kesalahan yang dilakukan.

Dari ayat ini, kita boleh faham bahawa akan ada makhluk yang mendapat bantuan. Cuma mereka sahaja yang tidak mendapat bantuan.

Semua cara-cara yang digunakan semasa di dunia ini sekarang tidak boleh digunakan di akhirat nanti untuk menyelamatkan diri. Yang kita boleh harapkan hanya amalan kita semasa di dunia dan iman kita.

Allahu a’lam.

Presuposisi 7: Anything Can Be Accomplished If We Break It Down Into Small Enough Pieces

0

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq


7. Anything can be accomplished if we break it down into small enough pieces.

Apa sahaja boleh dicapai kalau kita pecahkan menjadi bahagian yang kecil”.

Selalunya kita ada harapan yang tinggi untuk mencapai sesuatu. Tetapi apabila kita lihat harapan itu terlalu besar buat kita, maka selalunya kita melupakannya sahaja.

Nothing is particularly hard if you divide it into small jobs.”

― Henry Ford

 

Saya selalu tanya orang: “Bagaimana nak makan gajah?”
Jawapannya: “Makan sikit-sikit sebab kalau makan banyak sekaligus, tentu tidak mampu.”

 

Maksudnya, jangan kita lihat keseluruhan tugas yang berat kerana kita akan rasa tidak mampu untuk melakukannya. Tetapi kalau kita pecahkan tugas yang besar itu menjadi beberapa bahagian yang kecil, maka kita boleh buat bahagian yang kecil itu terlebih dahulu.

Yang penting, mulakannya. Kerana kalau tidak dimulakan, sampai bila pun tidak akan terjadi. Dan orang yang tidak mulakan itu kerana mereka lihat kerja itu terlalu besar sampai mereka merasakan yang mereka tidak mampu. Maka cara untuk memulakan sesuatu adalah pecahkan mengikut saiz yang kita mampu buat terlebih dahulu.

Pepatah Cina ada mengatakan:
千里之行,始於足下
“Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah”.

-Lao Tzu

 

Maka ambillah langkah itu, buat sahaja apa yang kita boleh buat. Mulakan dahulu apa yang kita boleh lakukan.

Pernah juga orang tanya saya bagaimana saya boleh menulis dengan banyak serta mengajar banyak kelas. Dia rasa kalau dia yang buat, tentu dia tidak mampu kerana banyak sangat.

Saya selalu jawab: Saya terus buat sahaja. Saya tidak fikir banyak sangat kerana kalau fikir-fikirkan, akhirnya otak akan berikan alasan-alasan kenapa tidak patut buat. Padahal kalau buat terus sahaja, otak akan cari cara untuk menjadikan misi itu berjaya.

Maknanya saya tidak fikirkan betapa besarnya tugas itu, apakah kesannya nanti secara jangka panjang. Saya terus buat sahaja kerana kalau saya fikirkan semua perkara itu, maka tentu saya tidak jadi buat. Tentu saya ingin ‘kaji’ dahulu, ingin ‘fikirkan’ dahulu dan berbagai-bagai lagi alasan saya. Pada saya, kita tidak perlu hendak “overthink” (terlalu fikirkan) sesuatu perkara itu.

Plunge boldly into the thick of life, and seize it where you will, it is always interesting.”

-Johann Wolfgang von Goethe.

 

Saya beri satu analogi yang mungkin semua orang boleh faham. Pernah ataupun tidak anda hendak mandi di sungai, kolam renang dan anda rasa airnya amat sejuk bila rasa dengan jari? Kalau dilayan takut sejuk itu, sampai habis anda tidak akan masuk kolam. Tetapi kalau anda terjun sahaja dalam kolam itu, sebenarnya sekejap sahaja sejuk itu, bukan? Selepas itu badan anda akan “normalize” (membiasakan) dengan suhu air dan anda akan dapat menikmati selesanya air itu.

Maka jangan fikir banyak, terus buat sahaja seperti cogan kata Nike: “Just Do It!” (Buat sahaja!)

Mari kita gabungkan dengan presuposisi sebelum ini (People have all the resources). Seperti yang telah disebut, manusia tahu apa yang dia perlu buat, maka kita arahkan soalan kepadanya:

NLP: ‘Awak kena lakukan X, maka apa anda rasa anda kena lakukan?’

Coachee: ‘Saya kena buat A, kemudian B dan kemudian C.’

Selalunya ada yang rasa A itu pun sudah susah dan berat. Maka kita minta dia pecahkan lagi. Mungkin A menjadi A1, A2 dan A3. Ini kerana kalau otak kita tengok perkara itu mudah sahaja, baru rasa senang hendak buat, bukan?

Bagaimana kalau kita hendak buat kepada diri sendiri? Mungkin anda susah untuk mencari pengamal NLP. Maka anda boleh tanya soalan itu kepada diri anda sendiri.

Contoh: “Untuk aku menjayakan projek ini, apa yang aku perlu lakukan?”

Kemudian pecahkan lagi mengikut proses yang boleh dilakukan: “Apa yang aku boleh buat dulu untuk hari ini ke arah menjayakan projek ini?”

Nota: penting untuk anda tanya diri anda dan tulis jawapannya dalam buku nota untuk rujukan balik.

Satu tips yang boleh saya kongsikan lagi: “Geniuses leaves clues” (orang bijak ada cara mereka yang kita boleh tiru). Kalau kita hendak membuka kedai basikal, tentulah kita belajar dari pekedai basikal. Maka ini adalah salah satu perkara yang kita boleh gunakan untuk memulakan sesuatu. Cari dan tanya orang yang sudah pernah buat. Telefon dia dan belanja dia makan sambil berbincang.

 

🔖📌

Soal Jawab:

Situasi begini berlaku:
Ada seorang insan ini yang tahu semua benda yang dia buat, maka kena buat sampai habis. Yang lain pakat tengok sahaja perkara ini berulang sampai akhirnya insan yang banyak berfikir dan ringan tulang itu dibuli sampai semua kerjanya terlalu banyak hendak dihabiskan.

Apakah perlu insan ini buat untuk mengelakkan stress dengan kerja yang bertambah-tambah pada asalnya hanya ingin menolong?


Anda kena belajar untuk berkata ‘tidak’.

Ini kerana kadangkala kita melalui fasa hidup yang mengajar kita kena kata ‘ya’ sahaja. Tidak tahulah sama ada di rumah atau di sekolah.

Ini menyebabkan keupayaan kita untuk berkata ‘tidak’ itu jadi lemah. Dalam Neuro Semantics Ini dipanggil meta-yes dan dan meta-no. Iaitu mengembalikan keupayaan untuk berkata ya dan tidak dari hati yang ikhlas, bukan kerana terpaksa.

Cuma katakan ‘tidak’ sahaja. Jangan ambil sesuatu yang kita tidak mampu lakukan. Kerana kalau kita kata ya dan kemudian menyusahkan diri kita maka itu tidak baik.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-43 hingga Ayat Ke-45

0

Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-43

Ayat ini adalah sebagai rawatan/penawar kepada kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan seperti yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini.

Dalam agama, kalau tidak mencintai Allah ‎ﷻ tetapi sebaliknya lebih mencintai dunia, maka kita tidak akan ke mana-mana. Agama memerlukan hubungan yang rapat dengan Tuhan. Bila sudah ada hubungan rapat, barulah senang untuk menerima segala arahan dari Allah ‎ﷻ. Kalau jauh dengan Allah ‎ﷻ, maka akan ada yang sanggup untuk meninggalkan arahan. Kalau rapat dengan Allah ‎ﷻ, tentu tidak berani untuk meninggalkan arahan-Nya.

Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ ingin merawati Ahli Kitab untuk kembali kepada ajaran Taurat yang sebenar dengan mengadakan hubungan rapat dengan Allah ‎ﷻ. Barulah hukum yang payah pun mereka akan sanggup buat kerana ia adalah arahan daripada ‘kekasih’.

وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

وَأَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

Dan hendaklah kamu mendirikan sembahyang;

Kenalah memperbaiki sifat hubbul jah (cinta kepada kedudukan) yang ada di dalam diri mereka. Caranya adalah dengan menghinakan diri di hadapan Allah ‎ﷻ dengan melakukan solat. Mengaku lah hina dina di hadapan Allah ‎ﷻ. Maka, falsafah solat itu adalah: meninggikan Allah ‎ﷻ dan menghinakan diri kita. Lihatlah kita merendahkan kepala kita dalam rukuk sama tinggi dengan binatang yang berkaki empat. Kemudian dalam sujud, kita merendahkan lagi kepala kita sehingga ke tanah, lagi rendah daripada binatang. Maka itu isyarat menghinakan diri kita.

Maka kenalah bersungguh-sungguh dalam melakukannya. Kalau tidak faham konsep ini, maka tidaklah rasa diri hina dan Allah ‎ﷻ itu tinggi.

Maka kerana kepentingan solat itu, maka Bani Israil itu diajak untuk kembali taat kepada Allah ‎ﷻ dengan melakukan solat. Kalau sebelum ini mereka telah pernah mencampur adukkan yang haq dan batil, maka berhentilah dari berbuat kesalahan itu. Hentikan berbuat benda yang salah dan buatlah benda yang benar, iaitu solat.

Allah ‎ﷻ memberikan arahan kepada mereka semua, hendaklah dirikan solat kerana ia adalah amalan yang boleh merapatkan hubungan antara hamba dengan Allah ‎ﷻ. Solat adalah ibadat terbaik untuk merapatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Apabila kita sudah takbir, kita tidak dibenarkan membuat perkara lain – tidak boleh bercakap, tidak boleh makan, tidak boleh ingat selain Allah ‎ﷻ. Maka kita hanya bermunajat kepada Allah ‎ﷻ sahaja pada waktu itu.

Tidak sama dengan ibadat Puasa, Haji dan sebagainya – masih boleh membuat macam-macam hal lagi. Sambil tawaf pun ada yang bercakap dalam telefon lagi, masih ambil gambar lagi. Dan tawaf itu masih lagi sah. Tetapi tidak dengan solat – hendaklah tawajuh kepada Allah ‎ﷻ dari mula sampai habis.

Sungguh malang kalau dalam solat tetapi tidak mengingati Allah ‎ﷻ – ini mafhum dari ayat al-Qur’an. Oleh itu, untuk memperbaiki hubungan dengan Allah ‎ﷻ, tidak ada amalan yang sehebat solat.

وَآتُوا الزَّكَوٰةَ

Dan mengeluarkan zakat;

Dan tunaikanlah zakat. Ini adalah titah supaya tidak menzalimi orang lain. Ini termasuk dalam perkara adat – hubungan sesama manusia. Kalau solat tadi, hubungan dengan Allah ‎ﷻ iaitu ibadat. Itulah beza di antara ibadat dan adat.

Mengeluarkan zakat dapat menyelesaikan masalah hubbul maal (cinta harta benda). Kerana cinta harta jugalah yang menyebabkan berselerak habis umat Islam. Maka kenalah menunaikan zakat yang dapat mengurangkan rasa cinta kepada harta itu.

Maka kenalah infak dan zakat. Jadikan orang lain sebagai tempat memberi dan mengambil pahala bagi kita. Kita telah mengambil harta daripada Allah ‎ﷻ dan kita kenalah memberikannya kepada orang lain, kerana ada bahagian orang lain di dalam harta kita. Ia bukan sepenuhnya harta kita. Allah ‎ﷻ memberikan kita harta yang lebih supaya kita boleh salurkan kepada orang lain.

Asal zakat adalah kasihan belas kepada orang lain, kerana kita berikan harta yang kita cari sendiri kepada orang lain. Memang kita sayangkan harta kita, tetapi dengan cara itu boleh mengeratkan hubungan kita dengan orang lain. Dengan bermodalkan amalan zakat ini, hubungan sesama manusia akan terjaga.

Kalau tidak ada belas kasihan terhadap orang lain, maka tidak ada harapan untuk manusia lagi. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ mensyariatkan zakat kepada manusia. Inilah yang sekurang-kurangnya yang kita kena lakukan. Ia mewakili segala perbuatan baik kepada orang lain.

Paling kurang sekali dalam hubungan sesama manusia, kita jangan berbuat zalim atau menyusahkan orang lain iaitu jangan disebabkan kita, orang lain mendapat susah pula. Yang paling baik adalah kita susah untuk senangkan orang lain. Dan di tengah-tengah, kita sama-sama senang. Dan paling kurang kita kena lakukan adalah dengan mengeluarkan zakat.

وَارْكَعُوا مَعَ الرَّٰكِعِينَ

Dan rukuklah bersama dengan orang yang rukuk;

Ayat ini mengajak ahli Kitab untuk bersama-sama mendirikan solat dengan orang Islam yang lain. Dalam ibadat mereka pun ada mendirikan solat juga sebenarnya, cuma sebab sudah banyak perubahan, maka ramai daripada mereka yang sudah tidak solat lagi.

Dalam ayat ini, mereka masih lagi diberikan peluang untuk kembali bersama dengan orang Islam. Mereka masih lagi diajak untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ sebab baginda adalah Rasul mereka juga. Maka sertailah mereka yang rukuk, iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ.

Ini adalah rawatan kepada penyakit hasad dengki iaitu perasaan tidak suka ada orang yang lebih dari kita. Maka kenalah rukuk bersama-sama dengan orang lai supaya semasa berjemaah itu kita dapat merasakan yang diri kita sama dengan orang lain. Walaupun sudah menjadi seorang khalifah sekalipun, namun tidak meninggi diri kerana masih solat bersama dengan orang lain juga.

Seperti khalifah ar Raasyidin, mereka masih boleh ditegur oleh manusia biasa. Ini adalah kerana mereka menganggapkan diri mereka sama dengan umat lain. Maka solat berjemaah dapat menghalang seseorang itu daripada merasa diri lebih daripada orang lain.

Allah ‎ﷻ berkata hendaklah kamu rukuk bersama orang lain yang rukuk. Ini maksudnya kenalah solat berjemaah dengan orang lain. Jangan duduk seorang diri tetapi hendaklah bermasyarakat. Dan kalau bermasyarakat dalam bentuk ibadat, itulah yang terbaik sekali.

Ia sesuatu yang perlu dilakukan terlebih dahulu daripada perkara-perkara ibadat yang lain. Kalau tidak baik bermasyarakat dalam ibadat, jangan harap yang bermasyarakat di luar menjadi baik. Jadi, kenalah memulakan dengan bermasyarakat dalam ibadat – duduk dalam saf berjemaah dan mengikut imam. Kalau ini tidak boleh, seseorang tidak mungkin bermasyarakat dengan baik. Masyarakat akan menjadi teruk kalau tidak datang solat berjemaah. Inilah cara Allah ‎ﷻ mengajar manusia.

Dalam amalan Yahudi, tidak ada amalan rukuk – solat mereka hanya ada qiyam dan sujud sahaja. Jadi, dalam ayat ini, mereka diajar untuk belajar rukuk seperti umat akhir zaman. Maksudnya, mereka kena hidup berjemaah dengan kalangan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sudah kena mengikut syariat Nabi Muhammad ﷺ. Barulah mereka akan selamat kalau mereka berbuat begitu. Kalau duduk dengan puak Yahudi sahaja, tidak akan menjadi.

Satu lagi pengajaran adalah sembahyang itu hendaklah dibuat di masjid. Tidak boleh buat di rumah. Tetapi malangnya, telah diajar kepada kita oleh guru yang salah, boleh pula solat di rumah bersama anak dan isteri. Mereka berkata buat macam itu boleh dapat pahala 27 darjat. Padahal, orang lelaki untuk mendapat 27 darjat itu kenalah solat berjemaah di masjid. Tetapi para wanita, solatnya di rumah sahaja. Kepada orang perempuan kalau solat di rumah sudah boleh dapat 27 darjat dengan solat sendiri iaitu sama dengan pahala orang lelaki yang solat di masjid.

Adakah Allah ‎ﷻ tidak adil dengan memberikan kelebihan kepada perempuan? Tidak sama sekali. Keadaan orang perempuan tidak sama dengan orang lelaki. Peluang perempuan untuk beribadat memang kurang, sebab mereka sibuk dengan urusan menjaga anak dan sebagainya, maka Allah ‎ﷻ menggantikan kekurangan itu dengan memberi pahala yang banyak kepada mereka dalam membuat ibadat yang sedikit.

Mereka dapat pahala dengan membuat kerja rumah dan sebagainya. Tuhan itu Maha Adil. Namun itu adalah untuk perempuan. Kepada lelaki, mereka wajib untuk solat berjemaah di masjid atau di surau.

Tafsir Ayat Ke-44

Satu lagi sifat Pendeta Yahudi

۞ أَتَأمُرونَ النّاسَ بِالبِرِّ وَتَنسَونَ أَنفُسَكُم وَأَنتُم تَتلونَ الكِتٰبَ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ

Patutkah kamu menyuruh manusia kepada kebaikan;

Iaitu mereka menyuruh orang lain belajar agama. Ini adalah ayat teguran kepada puak Yahudi. Sebelum itu kita kena faham perangai mereka. Ada kalangan puak Yahudi yang datang duduk mendengar ajaran dalam majlis Nabi Muhammad ﷺ. Tentulah mereka akan dengar tentang perkara-perkara baik yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Maka, selepas itu mereka akan pergi menceritakan apa yang mereka dengar kepada pendeta-pendeta mereka. Mereka tanya adakah benar apa yang diajar oleh Muhammad ﷺ itu? Pendeta mereka pun menjawab, memang benar apa yang Muhammad ﷺ ajar, tidak salah.

Maka, pengikut mereka pun bertanya, kalau Nabi Muhammad ﷺ itu betul, kenapa tidak ikut dia sahaja? Pendeta menjawab yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Nabi berbangsa Arab dan mereka adalah bangsa Yahudi jadi mereka tidak ikut kerana bukan Nabi mereka.

وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ

Tapi kamu lupa diri kamu sendiri;

Mereka suruh orang lain belajar, tetapi mereka sendiri tidak belajar. Mereka mengaku yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang rasul dan membawa ajaran yang benar. Mereka suruh orang lain mengikut Nabi Muhammad ﷺ tetapi mereka sendiri tidak mengikut Nabi Muhammad ﷺ.

Macam-macam alasan yang diberikan oleh mereka. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ menegur mereka. Mereka suruh orang lain ikut, tetapi mereka sendiri tidak ikut. Mereka tidak memikirkan keselamatan iman mereka sendiri.

Ini adalah sesuatu yang menakutkan. Takut kita termasuk dalam golongan sebegini. Kita berikan nasihat kepada orang lain, tetapi kita sendiri tidak menjaga perbuatan kita. Contohnya, kita mungkin tetap dalam menjalankan ibadat sembahyang dan puasa, namun dalam masa yang sama, kita juga ada menipu orang lain.

Kita hanya melakukan perkara yang pada zahirnya nampak Islam, tetapi kita tidak membuat perkara-perkara lain yang disuruh oleh agama. Contohnya, mengambil rasuah. Berapa banyak negara Islam yang rakyatnya yang berpangkat mengambil rasuah? Kalau hendak cepat berurusan dengan kerajaan di negara Islam, kenalah bagi rasuah sikit, baru jalan kerja itu. Di negara kita ini pun banyak juga.

Walaupun kita beragama Islam, tetapi malangnya akhlak kita buruk. Inilah yang menyebabkan orang bukan Islam tidak memandang tinggi kepada agama Islam. Kepada mereka, kalau agama itu baik, tentulah orang yang beragama itu pun menjadi baik juga, bukan?

Jadi, kita kenalah ingat yang kita adalah duta kepada agama Islam. Tetapi malangnya kita menjadi duta yang teruk untuk Islam. Disebabkan akhlak kita yang buruk, orang bukan Islam tidak nampak keindahan Islam. Realiti ini kita terpaksa terima, walaupun pahit.

وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتٰبَ

sedangkan kamu baca Kitab;

Allah ‎ﷻ menegur lagi mereka. Sedangkan mereka itu membaca kitab Taurat, tetapi tidak mahu belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sebenarnya kaum yang telah diberikan Kitab Taurat, dan memang mereka baca kitab itu, oleh itu sepatutnya mereka tahu apakah kebenaran.

Tetapi mereka telah salah fahaman. Mereka sangka mereka diamanahkan untuk jaga Taurat sahaja. Sedangkan anak murid mereka, mereka suruh pula pergi belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya, mereka pun tahu yang Islam itu adalah agama yang benar juga. Cuma mereka sangka, mereka sebagai pendeta yang tidak layak untuk menerima Islam.

Begitulah ada dalam kalangan orang-orang agama di negara kita ini. Mereka sepatutnya sudah tahu banyak tentang Islam, tetapi mereka masih tidak belajar tafsir al-Qur’an lagi. Kalau kita tanya kepada guru-guru itu, adakah elok kalau belajar tafsir, mereka akan kata elok tetapi mereka sendiri tidak belajar.

Maka, anak-anak murid mereka pun apabila melihat guru mereka sendiri tidak mementingkan pembelajaran tafsir, mereka pun tidak mahu pergi belajar juga. Oleh itu, ayat ini ditujukan kepada guru-guru yang bersifat seperti pendeta Yahudi.

Macam kita juga, Allah ‎ﷻ telah takdirkan kita bernasib baik kerana kita ada al-Qur’an. Namun ramai antara kita tidak pakai ajaran yang ada dalam al-Qur’an pun. Padahal, dari kecil lagi kita telah diberitahu yang al-Qur’an ini adalah sumber pedoman kita. Tetapi sampai ke tua, sampai mati tidak belajar apakah yang disampaikan oleh al-Qur’an ini. Ini amat-amat menyedihkan. Tidak tahulah macam mana kita hendak jawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti.

Antara sebab kita tidak mengikuti ajaran dalam al-Qur’an adalah kerana kita sendiri tidak belajar apakah yang al-Qur’an suruh kita buat sebab kita tidak belajar tafsir. Padahal, tafsir ini wajib dipelajari. Kalau hanya membaca sahaja al-Qur’an tetapi tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh al-Qur’an, bagaimana kita hendak beramal sebagaimana yang disarankan oleh al-Qur’an?

Ramai yang kata mereka baca terjemahan ayat-ayat al-Qur’an itu. Tetapi soalannya, adakah dengan membaca terjemahan itu sahaja, mereka sudah faham apakah yang hendak disampaikan oleh ayat-ayat al-Quran itu? Saya rasa tidak kerana kalau kita baca terjemahan pun, kita tidak faham kerana ia memerlukan penjelasan dari orang yang tahu tentang tafsir.

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Tidakkah kamu memikirkan?

Allah ‎ﷻ menegur lagi golongan Yahudi itu: Tidakkah kamu memikirkan betapa teruknya kamu dan betapa jauhnya kamu dari kebenaran?

Perkataan ‘aqal’ dalam bahasa Arab asalnya adalah dari perkataan ‘ikat’ iaitu orang Arab akan mengikat unta mereka supaya tidak lari. Dan tali itu pula ada yang diikat di kepala mereka apabila tidak digunakan. Maka, dari situ datang perkataan ‘aqal’ iaitu keupayaan mengikat nafsu kita. Orang yang berakal akan berupaya untuk mengawal nafsu mereka. Orang yang tidak menggunakan akal akan mengikut sahaja kehendak nafsunya.

Mereka berfikir tanpa dipengaruhi oleh nafsu. Masalahnya kalau kita tidak dapat mengawal nafsu, tingkah laku kita bukan berdasarkan kepada fikiran yang waras, tetapi hasil dari ikutan nafsu kita. Orang yang tidak menggunakan akal, adalah mereka yang mengikut nafsu mereka.

Tafsir Ayat Ke-45

Ayat ini adalah sebagai penawar bagi kesalahan-kesalahan yang telah disebut di atas tadi.

Kenapa mereka boleh jadi sampai begitu? Ini adalah kerana mereka mengejar keduniaan. Sebelum Nabi Muhammad ﷺ ‎datang, mereka mempunyai ramai anak murid dan ramai orang yang rujuk kepada mereka.

Tetapi kalau mereka sekarang kena belajar pula dengan Nabi ﷺ, masuk majlis Nabi ﷺ, tentulah mereka pula yang kena menjadi anak murid dan tidak ada yang datang belajar dengan mereka lagi. Mereka sudah tidak menjadi guru yang menjadi tempat rujukan lagi. Mereka tidak boleh terima kalau jadi macam itu. Mereka tidak bersedia untuk menjadi anak murid semula.

Ini adalah masalah dalam hati dan kenalah dirawat secepat mungkin masalah hati itu. Kenalah minta pertolongan dengan solat dan sabar. Sabarlah dengan kata-kata manusia yang mengejek mereka – kalau ada yang mengejek mereka dengan berkata: “Dulu jadi guru, sekarang jadi anak murid pula?”

Mintalah bantuan dengan Allah ‎ﷻ dengan sifat sabar, sebab sabar itu menerima seadanya dalam segala keadaan, apa sahaja kata-kata orang terhadap mereka atau perbuatan orang terhadap kita. Jangan pedulikan mereka.

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ

Dan hendaklah kamu meminta pertolongan kepada Allah dengan bersabar;

Pertamanya, kita kenalah bersabar dengan apa yang terjadi kepada kita. Kita kenalah sedar yang apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita adalah dalam taqdir Allah ‎ﷻ. Maka kita kenalah terima dengan redha dan rela.

Ada satu lagi sabar yang penting, iaitu sabar dalam belajar kerana belajar itu bukanlah sesuatu yang mudah. Berapa ramai yang mulanya bersemangat untuk belajar tetapi lama kelamaan mereka tidak sanggup lagi hendak meneruskan. Asal kelas penuh tetapi seorang demi seorang tidak datang kerana mereka sangka sehari dua belajar terus jadi pandai agaknya. Hendaklah kita bersabar dalam mempelajari agama ini sampai kita faham sungguh-sungguh apakah yang agama ini hendak dari kita.

Hendaklah kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk berikan kita kesanggupan untuk belajar. Kerana pembelajaran akan mengambil masa yang lama. Kalau kita tidak diberi kesanggupan itu, kita tidak sanggup untuk menempuhinya. Hendak datang kelas dan hendak faham pun memerlukan usaha dari kita.

Jadi kita kena minta dengan Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak tolong kita dan memberi taufik kepada kita, tentulah kita hanyut. Mula-mula mungkin bersemangat, tetapi lama-lama layu. Ini biasa sahaja kita lihat. Ramai yang belajar ‘tidak habis’. Dan amat bahaya kalau kita tahu agama ini sedikit-sedikit sahaja. Kita kenalah mendalaminya. Belajarlah sampai boleh menjadi ustaz, tetapi bukan belajar untuk menjadi ustaz.

Perkataan اسْتَعِينُوا itu bermaksud ‘meminta pertolongan’. Lebih tepatnya lagi, ia bermaksud kita meminta pertolongan apabila kita tidak mampu melakukan sesuatu seorang diri. Tetapi semasa kita meminta pertolongan itu, kita juga melakukan usaha kita sendiri. Bukanlah kita meminta pertolongan kepada seseorang, tetapi kita tidak melakukan apa-apa pun.

Contohnya, kita meminta tolong orang untuk menukar tayar kereta kita yang pecah di jalanraya, takkan kita duduk dalam kereta sambil orang yang tolong kita itu sedang menukarkan tayar itu, bukan? Tentulah kita pun kenalah buat sama. Begitulah dalam kita meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ.

Kita kenalah ada usaha kita juga. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ telah membantu tentera Badar dengan menghantar malaikat untuk menolong mereka. Tetapi para sahabat tidak duduk diam menunggu sahaja malaikat yang berperang dengan orang kafir.

Pertolongan yang sebenarnya adalah daripada Allah ‎ﷻ. Maka kita hendaklah bersabar dalam semua perkara kerana pertolongan Allah ‎ﷻ itu mungkin tidak serta merta.

Satu lagi sabar yang penting adalah sabar dari menceritakan kepada makhluk tentang masalah yang dihadapi. Sebaliknya hendaklah mengadu hal kita kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ akan membantu kita, bukannya orang. Lambat laun Allah ‎ﷻ akan bantu kita. Jika kita mengadu sangat kepada orang, maka Allah ‎ﷻ tidak bantu kerana kita sudah meletakkan pengharapan kita kepada makhluk, bukan kepada Allah ‎ﷻ. Maka pilih-pilihlah untuk menceritakan masalah kepada orang. Letakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ.

وَالصَّلَوٰةِ

Dan mendirikan bersembahyang;

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar kita cara untuk mendapatkan pertolongan, dan salah satunya adalah dengan melakukan solat.

Mintalah pertolongan kepada Allah ‎ﷻ dengan amalan solat kerana solat itu adalah amalan di mana kita memberitahu dan mengadu keadaan kita kepada Allah ‎ﷻ. Waktu itu kita boleh luahkan segala perasaan kita kepada Allah ‎ﷻ. Kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk memberikan kekuatan kepada kita. Allah ‎ﷻ tidak akan menghampakan permintaan hamba-Nya. Dia boleh meredakan keadaan buruk yang ada pada diri kita.

Allah ‎ﷻ beritahu kepada puak ahli Kitab, kalau mereka menghadapi masalah seperti yang disebutkan, maka mengadulah kepada Allah ‎ﷻ dengan sabar dan dengan solat.

وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ

Dan sesungguhnya ini adalah perkara yang besar;

Maksudnya, sabar dan solat itu adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Amat payah untuk sabar dalam belajar dan juga menjaga solat. Kalau kita melihat solat itu sebagai satu ibadat biasa sahaja, maka ia akan menjadi susah. Tetapi kalau kita tahu bahawa dengan solat itu adalah cara untuk memohon pertolongan kepada Allah ‎ﷻ, dan kita memang memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ dalam semua hal, maka kita akan rasa mudah untuk mendirikan solat. Kita akan tertunggu-tunggu untuk mengadu kepada Allah ‎ﷻ.

Satu pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan sukar itu adalah solat. Dan ada yang berpendapat meminta pertolongan itu pun sukar juga iaitu ada orang yang tidak nampak kepentingan dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak meletakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ dalam setiap perkara.

Padahal, sepatutnya kita sentiasa kena berdoa dan mengharap bantuan kepada Allah ‎ﷻ. Memang kita kadang-kadang ada meminta tolong kepada orang lain, dan kita juga ada usaha bukan? Tetapi sebelum kita berusaha dan sebelum kita meminta tolong kepada orang lain, kita kenalah meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ terlebih dahulu. Inilah adab kita dalam menguruskan hidup kita.

إِلَّا عَلَى الْخٰشِعِينَ

Melainkan kepada orang-orang yang takut patuh

Dan sifat sabar dan solat ini adalah sangat berat untuk diamalkan kecuali kepada mereka yang ada sifat ‘khusyuk’. Orang yang khusyuk sahaja yang boleh buat. Hanya orang sebegitu yang boleh sabar dan berdoa selepas solat dengan mudah.

Siapakah orang yang khusyuk? Orang yang sentiasa fikirkan akhirat. Dia tahu dan sedar yang dia akan dibalas segala perbuatannya di akhirat nanti. Maka hatinya sentiasa ingat dan fikir tentang akhirat. Hendak buat apa-apa sahaja, dia akan fikirkan tentang kesannya di akhirat. Maka, Allah ‎ﷻ jelaskan siapakah yang ada sifat khusyuk itu di dalam ayat seterusnya.

Khusyuk bermaksud orang yang takut dan patuh kepada Allah ‎ﷻ. Dia takut memikirkan apakah yang akan dihadapinya kelak di akhirat. Oleh itu, dia akan patuh kepada arahan Allah ‎ﷻ. Apabila dia takut dan patuh, maka dia akan menjadi orang yang khusyuk dalam sembahyang dan juga dalam belajar.

Dan kita kena takjub kepada Allah ‎ﷻ. Apabila kita berasa gerun dan takjub dengan Allah ‎ﷻ, maka kita akan mendapat khusyuk dalam solat. Tetapi kalau kita tidak berasa gerun berhadapan dengan Allah ‎ﷻ, maka kita akan berasa biasa sahaja solat itu.

Allah ‎ﷻ menjelaskan lagi siapakah mereka yang ada sifat khusyuk itu dalam ayat seterusnya.

Allahu a’lam.

Fiqh As-Sunnah: Tatabu’ Al-Rukhas’

0

📚📖✍

🔴 Mohon penjelasan berkaitan istilah ‘Tatabu’ Al-Rukhas’.


Tatabu’ Al-Rukhas ( تتبـع الرخص ):
Bermaksud opportunis dalam beragama, hanya memilih pendapat yang mudah daripada semua mazhab. Ini adalah sikap orang munafiq.

Dalam beragama ada 4 kaedah:

1. Taqlid buta

Contoh:
Hanya diwajibkan satu mazhab sahaja dan kekal fanatik atau taksub dengan mazhab tersebut.

2. Taqlid

Mengikuti mana-mana ustaz atau mufti sebagai rujukan.

3. Ittiba’

Mengikuti mazhab atau imam mazhab dengan mengetahui dalil.

4. Nazhor

Boleh mentarjih dan mentahqiq pendapat para imam mazhab.

Ada pun sebagai orang awam jauhi yang nombor 1 dan terbaik ialah yang ke-3.

🔴 Adakah nazhor atau yang ke-4, sudah sampai ke tahap mujtahid?


Tidak.
Ia cuma tahap ustaz-ustaz dan penuntut ilmu . Mujtahid jarang sekali ditemukan.

Panduan bertaqlid.

Sekiranya anda masih ditahap bertaqlid:
Dalam agama, nas syara’ tertinggi adalah;

1. Al-Qur’an

2. As-Sunnah

Ketiga bukan mazhab. Ramai muqallid (orang yang bertaqlid) beranggapan selepas Al-Qur’an dan As-Sunnah, nombor tiga ialah mazhab. Ini aqidah yang salah.

Dalam dunia taqlid (ikut-ikutan) dalam agama, ada dua kaedah: Talfiq dan Tatabu’ Ar- Rukhas.

Perbezaan di antara talfiq dan tatabu’ ar-rukhas berdasarkan
kepada niat sahaja atau tujuan orang yang bertaqlid dan niat orang yang bertatabu’.

Talfiq:
Berpindah mazhab kerana mencari yang paling mudah dan ringan dengan niat bukan meremehkan agama, cuma bertujuan mencari keringanan kerana itulah tujuan syariat.

Dalil hadith:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَ ،عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : (إِنَّ الدِّيْن يُسْرٌ، وَلَن يُشَادَّ الدِّيْنَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ

Terjemahan:
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه dari Nabi ﷺ, bersabda, “Sesungguhnya agama ini mudah. Tidak ada seorang pun yang mempersulitkan agama melainkan dia akan dikalahkannya”
[Bukhari, no. 39]

Contoh:

1. Dalam keadaan berwudhu’, seseorang mengikuti mazhab Syafi’iy, tetapi salat mengikut mazhab Hanafi.
Apabila pergi Mekah, berwudhu’ mengikut cara mazhab Malik dan Hanbali, tidak batal wudhu’ dengan menyentuh perempuan.

Contoh:

2. Bab najis, memilih pendapat mazhab Maliki, bahawa anjing dan babi hidup tidak najis.

Tatabu’ ar-rukhas:
Berpindah mazhab dengan niat malas, meremehkan agama, culas dan mencari yang paling senang walau pun dalilnya hadith dhaif.

Contoh:

1. Seseorang berkahwin dengan mengikut mazhab Hanafi, tanpa wali, kemudian mengikut mazhab Maliki tanpa dua saksi. Ini bertujuan untuk memperdayakan orang perempuan.

Niat sahaja yang membezakan.
Maka, kerana itu niat perlu dijaga dalam memilih imam dan mazhab.

Ulasan:

Talfiq adalah bertujuan mencari yang paling mudah dengan memahami roh agama itu mudah.

Manakala tatabu’ rukhas adalah bertujuan mencari yang paling mudah dengan mengikut hawa nafsu dan niat memperleceh agama.

Allahu a’lam.

@bicarathtl
#SnJfiqhassunnah

Popular

Iklan

Iklan