Utama Bilik Motivasi Presuposisi 8: Mind and Body Are Part of The Same System and...

Presuposisi 8: Mind and Body Are Part of The Same System and Influence Each Other

222
0
Iklan

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq.


8. Mind and body are part of the same system and influence each other.

Minda dan tubuh adalah sebahagian daripada sistem yang sama dan mempengaruhi satu sama lain.”


Ringkasnya:
Apa yang berlaku dalam minda memberi kesan kepada tubuh fizikal dan kita;
Apa yang berlaku dengan tubuh kita memberi kesan kepada minda kita.

Seperti pepatah Melayu : Cubit paha kanan, paha kiri turut terasa. (Yang sebenarnya tidak terasa pun tetapi rasanya anda faham maksud saya).

Kita tidak diajar dari kecil yang minda dan tubuh kita ada kaitan yang amat rapat. Oleh kerana itu kita tidak terfikirkan ada kesan yang terlibat kalau salah satunya terganggu. Dengan sebab itu jugalah ada yang menjaga mindanya sahaja tetapi tidak menjaga tubuh badannya manakala ada pula yang pergi ke “gym” dan jogging serta bersenam untuk menjaga tubuh badannya tetapi dia tidak menjaga mindanya.

Maka untuk menjadi insan yang “all rounded” (menyeluruh) kita kena lihat diri kita secara keseluruhan. Kalau otak kita sihat tetapi tubuh tidak sihat pun tidak baik, bukan? Atau kalau tubuh sihat tetapi otak pula tidak sihat, juga tidak menarik (sebagai contoh, orang yang tidak waras).

Adakah anda tidak percaya minda anda memberi kesan kepada fizikal anda? Cuba anda ingat bila tiba hari gaji? Tiba-tiba sahaja badan menjadi ringan, jalan pun laju sahaja. Ini kerana minda tengah senang hati, maka badan pun terasa ringan sahaja.

Tetapi kalau waktu sedih, badan kita rasa berat sahaja, bukan? Jalan perlahan sahaja dan hendak makan pun tiada selera. Maka, nampak bukan bagaimana minda memainkan peranan dan memberi kesan secara langsung kepada tubuh anda?

Baik, kita cuba lagi. Sekarang bayangkan buah lemon. Pernah rasa lemon, bukan? Sekarang bayangkan anda potong lemon itu. Zasss…kemudian anda bawa lemon itu ke hidung anda, hidu baunya yang menyegarkan itu (bayangkan baunya). Kemudian anda buka mulut luas-luas dan gigit lemon itu besar-besar! Kemudian anda kunyah lemon yang penuh di dalam mulut anda….

Apa jadi dengan mulut anda? Pecah air liur, bukan? [Kalau tiada kesan, maknanya pendeklah umur anda 😃]. Ada kesan pada mulut anda padahal anda tidak pegang pun lemon, anda cuma bayangkan sahaja. Tetapi lihatlah bagaimana ia memberi kesan kepada kulit anda. Hebat, bukan?

 

Maka apa yang anda fikirkan dalam minda anda memberi kesan sebenarnya kepada tubuh fizikal anda. Maka kerana itu kalau anda selalu tertekan, maka anda akan lebih mudah jatuh sakit, pergerakan jadi perlahan dan gaya hidup anda pun jadi negatif.

Inginkan tips yang cool?

Kalau kita dapat sesuatu yang kita suka, atau terjadi sesuatu yang kita gembira sangat. Contoh: angau selepas jumpa orang yang kita sayang atau selepas anak buat benda yang comel sangat, kita tersenyum, bukan?

Minda: gembira
Fizikal: senyum

Minda menyebabkan tindakbalas fizikal. Ini senang untuk faham (bila minda gembira, maka mulut akan senyum).

Tetapi tahukah anda yang kalau terbalikkan proses itu, efek yang sama akan berlaku?

Kalau anda senyum, minda anda pun automatik akan gembira. Tidak percaya? Cuba senyum sekarang. Anda boleh senyum, bukan? Tidak perlu apa-apa pun anda tentu boleh senyum kerana tubuh anda dalam kawalan anda.

Minda akan fikir: “Eh bos aku senyum ni, mesti ada sesuatu yang besar berlaku…oklah aku jadi happy lah!”

Ini kerana minda anda juga terkesan dengan perbuatan fizikal anda. Selepas ini, banyakkan senyum. Orang tanya kenapa senyum, apa yang “happy” sangat? Jawab sahaja: “Entah! Tapi aku happy!”

Sekarang kita buat satu lagi eksperimen. Cuba ingatkan sesuatu yang menyedihkan anda. Bayangkan kejadian itu dan rasai kesedihan itu. Sekarang perhatikan bagaimana tubuh badan anda. Tidakkah badan anda sedang bongkok, kepala anda tunduk? Ini adalah kerana itulah fizikal seseorang yang dalam pemikiran yang negatif.

Jadi kaitan antara minda dan fizikal adalah amat rapat. Dan NLP menggunakan fahaman ini dalam menangani masalah di dalam diri manusia. Kita cuba untuk menggunakan minda untuk mengubah fizikal dan kita juga menggunakan fizikal untuk mengubah minda. Kerana kita sudah tahu bahawa kalau kita kawal salah satu daripadanya, kita dapat mengawal yang satu lagi.

Sebagai contoh, pengamal NLP akan menyarankan pelanggannya untuk mengubah kedudukan fizikal tubuhnya untuk mengubah mindanya. Kalau seseorang sedang bersedih, kita akan suruh dia tegakkan badan dan ubah tubuh seperti seseorang yang sedang positif. Cuba anda duduk dengan tegak, bolehkah anda rasa sedih? Tentu tidak!

Dan kita akan suruh “client” untuk mempunyai sifat yang positif di dalam kehidupannya. Kita akan suruh dia cakap benda-benda yang baik sahaja. Kerana kalau fikirannya terganggu dan menjadi negatif, maka kehidupan dia pun akan turut menjadi negatif.

Teknik-teknik ini akan diajar dari masa ke semasa. Cuma setakat ini saya harap anda dapat terima yang ada kaitan dan kesan simbiosis di antara minda dan fizikal anda (juga “spiritual”– kerohanian”).

Satu lagi perkara penting yang saya hendak tekankan adalah tentang kaitan antara minda dan kesihatan. Kita kena sedar yang memang ada kaitan yang sangat rapat di antara kedua-duanya. Fikiran yang tidak sihat, contohnya selalu risau sahaja akan memberi kesan kepada kesihatan. Kalau kita dalam keadaan “stress” kita akan perasan yang kita akan selalu jatuh sakit. Ini kerana tubuh badan kita sedar yang kita sedang tertekan, maka tenaga banyak diberikan sama ada bersedia untuk lari ataupun lawan demi menyelamatkan diri (“Fight-or-flight response”). Jadi badan sudah tidak menumpukan perhatian kepada melawan punca penyakit. Maka senanglah jatuh sakit.

Dalam kajian sains, ada terma “psychosomatic” yang bermaksud sakit yang disebabkan oleh mental yang terganggu. Maka kena kawal emosi kita, jangan tertekan, jangan risau sangat, jangan fikirkan perkara-perkara yang mengarut. Kita pun rasanya faham perkara ini. Kalau ibubapa kita sakit jantung, kita akan suruh mereka jangan risau sangat.

Tetapi kita lupa yang kita pun kalau tidak menjaga minda kita, akan menyebabkan jatuh sakit juga. Banyak sekali kajian sains tentang perkara ini yang menjadi bukti bahayanya kesihatan kalau tidak dijaga minda kita.

Maka kesihatan mental boleh dijaga dengan mengamalkan meditasi, “tapping” (EFT: Emotional Freedom Transfer), bersukan, berjalan di dalam taman, duduk di taman bunga, tumbuk punching bag dan macam-macam lagi teknik yang boleh digunakan.

Manakala, kita sebagai Muslim sudah sedia maklum yang meditasi terbaik adalah dengan memperbanyakkan salat dan berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana dengan mengingati Allah ‎ﷻ akan menenangkan hati seterusnya kesihatan mental dan rohani pun turut terjaga.

Pilihlah mana-mana yang boleh anda amalkan asalkan ia selamat dan positif.

 

 

🔖📌

Soal Jawab


Saya amat menyesal kerana tidak sempat untuk berbakti kepada ayah sewaktu hidupnya. Sekarang ayah sudah tiada, perasaan sedih, rindu sangat terhadapnya. Apakah yang patut saya buat?


Islam mengajar berbuat baik. Setiap amalan kebaikan kita akan menjadi saham pahala kepada mereka.
Sentiasa doakan mereka. Sekurang-kurangnya waktu solat.
Juga menyambung hubungan dengan kawan-kawan mereka semasa mereka hidup dan ziarah mereka.


Bolehkah di akhirat nanti berjumpa semula dengan ayah kandung kita?

Boleh sekiranya kedua-duanya masuk syurga.

 

Adakah menjadi satu kesalahan sekiranya seorang menantu terasa hati dengan ibu mertua atau bapa mertua?

Marah dan benci adalah subjektif. Maksudnya kita mungkin terasa hati tetapi jika bertanya pada orang lain, mungkin dia tidak terasa apa pun, terpulang kepada individu.

Kalau kita senang terasa dengan orang, kita sendiri yang susah hati. Orang itu kadangkala tidak tahu pun kita terasa. Kita sahaja yang makan hati.

Sesama mukmin boleh terasa hati. Ini biasa, sebab itu Allah sebut hanya Dia sahaja yang boleh hilang perasaan itu. Dalam Qur’an disebut “ghil”.

Firman Allah ﷻ dalam [Hijr: 47]:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَابِلِينَ

Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan.

Saya tidak tahu apakah isu yang terjadi. Banyak kemungkinan:
1. Dia orang tua. Memang pelik juga. Mereka lafaz benda yang pedas.
2. Mereka ada “rules” mereka dan kita ada “rules” kita. Bila tidak match maka, berlaga anginlah.
3. Mereka rasa mereka betul. Dan pada mereka, kita anak-anak kena ikut sahaja.
4. Mungkin kita sendiri tidak memahami mereka.
5. Mungkin mereka sendiri pernah disakiti. “Hurt people hurt”. (Orang yang pernah disakiti, selalunya menyakiti orang lain).

Sebagai manusia, akan ada sahaja perkara yang tidak kena dari orang lain. Memang kadang-kadang mereka yang salah. Tetapi yang menanggung bebannya kita. Kita yang asyik memikirkannya sehingga meninggalkan kesan buruk terhadap diri kita.

Setiap hari, maafkan orang lain. Sama ada pagi atau semasa hendak tidur. Bayangkan orang yang telah menyakiti hati kita, kenangkan balik apa yang dia buat kepada kita. Kemudian bayangkan kita bercakap dengannya sambil berkata: “Aku maafkan….”. Boleh gunakan ayat sendiri.

Komen dan Soalan