Utama Blog Halaman 80

Presuposisi 11: Neuro Linguistics States are Created by and Composed of Internal Representations and Physiology

0

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq.

1. Neuro Linguistic states are created by, and composed of, internal representations and physiology.

Neurolinguistik ‘states’ adalah hasil gabungan daripada perwakilan dan fisiologi dalaman.”

Apakah ‘state’ (keadaan)? State dalam NLP adalah suatu keadaan di mana fikiran, perasaan dan fizikal tubuh yang saling berhubungan membentuk kondisi dalam diri anda. Misalnya, state anda dalam keadaan bersemangat tentu akan berbeza sekali dengan state anda ketika dalam keadaan kecewa. Jadi ‘bersemangat’, ‘sedih’, ‘yakin’, ‘marah’ adalah state.

State merupakan istilah yang sering digunakan dalam perbahasan NLP. State merujuk pada sejumlah proses neurologi yang berlangsung pada diri seseorang dan terus berlangsung dari waktu ke waktu. State memang berubah-ubah dan cabaran kita adalah untuk memperbanyakkan “resourceful state” daripada “unresourceful state”.

Resourceful state dan unresourceful state adalah istilah yang digunakan dalam NLP. Dalam NLP, state positif sering disebut sebagai Resourceful State iaitu ketika orang berasa luar biasa dan memiliki pilihan-pilihan yang bersumber daya manakala state negatif sering disebut sebagai “Stuck State” (state buntu) iaitu ketika orang sedar bahawa hanya terdapat sedikit pilihan atau bahkan tidak ada pilihan sama sekali. Tetapi untuk memudahkan perbincangan, kita pakai istilah ‘positive state’ dan ‘negative state’ mungkin ramai yang lebih faham.

State adalah gabungan daripada kondisi fizikal dan mental yang mendasari seseorang dalam berperilaku. Selain itu, state di mana seseorang berada adalah merupakan reaksi bawah sedar terhadap apa yang dialaminya pada saat itu. Kalau kita dalam state yang positif, banyak kebaikan yang kita boleh lakukan. Kalau berada di dalam state negatif, semua perkara yang dibuat serba tidak kena dan tidak menjadi.

 

Kita telah sebutkan sebelum ini, minda dan tubuh adalah ‘satu sistem’ yang bermaksud fikiran dan badan adalah sebahagian daripada sistem yang sama yang saling mempengaruhi di antara satu sama lain. Apa yang terjadi dengan fikiran akan mempengaruhi badan jasmani.

Perhatikanlah tubuh badan orang yang sedang gembira, kecewa, marah, menahan geram, sedih, menangis, putus asa. Setiap state ternyata mempunyai tindakbalas pada tubuh masing-masing. Kalau seseorang yang dalam keadaan sedih, dia akan membongkok, jalan pun perlahan sahaja, bukan?

Manakala, orang yang sedang yakin, daripada gerak tubuhnya pun kita sudah tahu. Dia akan bergerak dengan laju, bercakap pun dengan pantas dan teratur. Keyakinan akan jelas terpancar pada wajah dan tubuh badannya. Ini adalah kerana, statenya waktu itu adalah positif dan ia terserlah pada tubuhnya.

Memang perasaan itu boleh dikawal. Sebab itulah para aktor profesional mudah untuk mendapatkan state tertentu hanya dengan mengubah dan mengolah minda mereka sahaja. Kalau hendak gembira, mereka akan fikirkan perkara yang gembira dan tubuh mereka pun ikut sekali; kalau perlukan babak yang memerlukan menangis, maka, mereka akan fikirkan perkara yang boleh menyebabkan mereka sedih.

Maka, kita boleh gunakan pengetahuan dan pemerhatian kita tentang state ini untuk mengubah state kita. Terdapat dua cara penting yang dapat mempengaruhi state seseorang secara terus, iaitu:

1. Physiology atau Postur Tubuh
Dengan menyedari postur tubuh (kinestetik) pada waktu di mana seseorang berada dan melakukan penyesuaian ke atas postur tubuh tersebut maka akan mengubah state orang tersebut daripada state positif kepada state negatif.

2. Internal Representation
“Internal Representation” (Perwakilan Dalaman) adalah persepsi yang ada di dalam fikiran seseorang mengenai ‘dunia luar’ yang diwakilkan oleh gambar (visual), suara (auditory), perasaan (kinesthetic), penciuman (olfactory).

Dengan mengubah internal representation dalam fikiran seseorang maka sebuah state juga dapat berubah secara cepat.

Contoh:

1. Kita lihat sesuatu yang menggembirakan kita, hati kita pun jadi gembira. Sebagai contoh, kalau ingin gembira, tengok anak-anak terutama semasa mereka kecil. Tentu akan mengubah state anda bukan? Sekurang-kurangnya untuk beberapa ketika.

2. Kalau kita dengar ceramah yang bersemangat, waktu itu pun kita jadi bersemangat, bukan? Kerana itu ada penceramah yang boleh menggerakkan manusia untuk berperang, untuk berdamai, untuk meracun fikiran manusia dan lain-lain. Mereka menggunakan kelebihan bercakap mereka menggunakan suara (auditory) untuk mengubah state seseorang.

Begitu juga, kalau kita bercakap dengan seseorang yang lembut, hati kita pun menjadi lembut. Pernah atau tidak, anda hendak memarahi seseorang, tetapi tiba-tiba dia relaks dan bercakap lembut dengan kita. Perlahan-lahan kita pun tidak jadi hendak marah, bukan?

3. Kinesthetic pula berkenaan sentuhan. Ada orang yang bila dia memakai baju yang lembut dan sedap di badan, perasaan dia pun menjadi lain. Dia rasa lebih bersemangat dan berkeyakinan tinggi. Sebab itu ada yang suka memakai baju baldu, ada yang suka memakai sutera dan lain-lain lagi. Ini kerana mereka perasan yang kalau memakai baju tertentu, perasaan mereka juga turut berubah. Jadi baju itu menjadi baju kegemaran mereka. Ini adalah kerana sentuhan pakaian itu telah mengubah state mereka.

4. Olfactory adalah deria bau (senang untuk ingat, bau old factory yang busuk). Ini boleh dikatakan paling cepat mengubah state kita. Kadangkala kita sendiri pun tidak menyedarinya. Kita tercium satu bau dan ia mampu membangkitkan ingatan kepada pengalaman yang bertahun lamanya dahulu. Ia boleh menjadikan kita gembira. [tengah buat nota ini, tiba-tiba ada orang jual Aroma Herbanika… talk about serendipity].

Sebab itulah sekarang ini “Essential Oil” (Minyak Esensial) sangat laris digunakan di rumah-rumah. Memang ramai yang sukakan bau yang menyegarkan dan ini adalah dasar kepada konsep aromaterapi.

Kerana itu dicadangkan bangun pagi jangan terus buka mesej dalam telefon pintar kerana ada kemungkinan ada perkara yang menyebabkan kita negatif. Maka, kena gerakkan diri kita supaya menjadi positif terlebih dahulu beberapa waktu di waktu pagi supaya kita mulakan hari kita dengan positif.

Pagi-pagi selepas gosok gigi, cakap kepada cermin: “I love You”(Saya sayangkan awak), “you are enough”(Awak adalah cukup baik),”you are great”( Awak adalah hebat!).

Untuk melatih rasa percaya diri antara lain:

1. Melakukan “state of excellent” (state kecemerlangan). Mencari pada kondisi apa atau bagaimana anda merasa percaya diri. Misalnya, jika anda seorang ahli sukan, ambillah postur bersedia untuk bersukan yang baik dalam kehidupan sehari-hari. Ambil semangatnya.

2. Lakukan “matching and mirroring” (suaikan dan cerminkan). Seringkali kita tidak percaya diri ketika berbicara dengan seseorang, apalagi dengan orang atasan atau orang yang baru dikenal. Mulakanlah pembicaraan dengan mencari persamaan baik dalam gerakan, intonasi suara, gerak geri tubuh dan mimik muka. Bayangkan bagaimana rupa dan perawakan yang anda rasa seorang yang yakin dan cuba tiru.

Seringkali kita mendapat respon yang negatif dari lingkungan sekitar, yang bisa mempengaruhi rasa percaya diri. Menghadapi kondisi seperti ini, tetaplah pertahankan state. Cuba jangan terkesan dengan perkara negatif yang berlaku. Tetap fokus pada hal-hal yang positif.

Perkara-perkara yang negatif kita namakan ANT(Automatic Negative Thought). Senang nak ingat sebab boleh bayangkan semut. Jangan layan sangat. Kalau kita layan, bukan boleh berjaya pun menyelesaikan masalah. Buang jauh-jauh perasaan itu. Dahulu saya pernah diajar, kalau ada perasaan negatif itu, calit dahi sebagai isyarat buang perkara negatif. Ia isyarat kepada menahan perkara negatif daripada masuk ke dalam fikiran kita.

Kita kena tahu musuh kepada state. Ia adalah perkara-perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada diri kita. Kadang-kadang ada perkara yang terjadi di pagi hari, sampai ke malam teringat lagi dan sepanjang hari ia mengganggu hari kita. Rasanya semua boleh faham perkara ini.

Jadi kita kena jaga minda kita daripada terkesan dengan perkara negatif. Kita di dunia ini memang sentiasa sahaja ada ujian. Inilah yang Allah ‎ﷻ telah janjikan – dunia ini tempat ujian. Antaranya Allah ‎ﷻ telah berfirman:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

“Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan“ [Al-Anbiya’: 35].

Jadi, ujian memang akan ada. Namun bagaimana kita menghadapi ujian itu? Adakah dengan state negatif atau positif? Ramai orang yang terkesan sangat dengan perkara yang terjadi sampai minda mereka menjadi lemah dan layu. Sikap mereka ini seperti termometer. Kalau cuaca panas, bacaannya naik; kalau cuaca sejuk, bacaannya turun balik.

Kalau berterusan begini, kehidupan kita akan susah. Sebaliknya kita kena berusaha untuk menjadi termostat. Termostat adalah pengawal suhu. Kalau hendakkan sejuk, tukar bacaan di dail untuk turunkan suhu bilik menjadi sejuk; dan kalau hendakkan panas, naikkan bacaan di dail termostat itu. Maka cabaran bagi kita di dunia ini adalah untuk berubah dari termometer kepada termostat. Inilah cabaran bagi anda! Anda boleh lakukannya? Katakan ya! Katakan: Aku termostat, bukannya termometer!”

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Thaharah – Darah Istihadah

0

Kitab : Thaharah
Bab : Haidh dan Nifas

A. Pengertian Istihadah.

B. Beberapa kondisi wanita yang Istihadah.

Tajuk:
♦️ Wanita yang mengetahui masa haidh (sebelum sakit)
♦️ Tidak mengetahui lamanya masa haidh (sebelum sakit)
♦️ Tidak mengetahui lama masa haidh, tetapi dapat bezakan antara darah haidh dan istihadah.

C. Hukum-hukum Istihadah
Tajuk
♦️Boleh melakukan seks walaupun darah istihadah masih keluar.
♦️Hendaklah menjaga dirinya dari darah istihadah.
♦️Berwudhu’ hanya setelah masuk waktu salat.
♦️Mandi wajib sekali sahaja ketika darah haidh berhenti.
♦️Wajib berwudhu’ setiap kali mengerjakan solat.
♦️Wanita yang istihadah sama seperti wanita yang dalam keadaan suci.

D. Wanita Haidh dan Nifas harus qadha’ Puasa, namun tidak qadha’ Solat.

E. Bagaimana kalau seorang wanita suci setelah Waktu Asar atau Isyak?

F. Jamak Shuri bagi wanita yang Istihadah.

ISTIHADAH

Ini adalah perbincangan terakhir sebelum kita habiskan Kitab Taharah (Bersuci) dan kita masuk ke dalam Kitab Solat pula.

A. Pengertian Istihadah

Istihadah (الاستحاضة) ialah darah yang keluar dari kemaluan secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan. Ia keluar luar masa dari tempoh haidh.

B. Beberapa kondisi wanita yang Istihadah

Untuk mengetahui bilangan hari istihadah, maka ada beberapa jenis kondisi yang perlu diberi perhatian.

1. Wanita yang mengetahui masa haidh (sebelum sakit)

Bagi wanita yang tahu kebiasaan hari haidhnya, maka dia menggunakan kiraan itu sebagai tanda aras baginya. Selain dari hari-hari itu, maka ia dikira sebagai istihadah sahaja.

Sebagai contoh, kebiasaan bilangan hari haidh bagi Fatimah adalah 6 hari. Lalu kalau dia didatangi darah pada hari yang ke-7 dan seterusnya, itu dikira sebagai istihadah. Dia patut mandi pada akhir hari ke-6 dan dikira sudah suci.

✍🏻Dalilnya:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ، قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا قَالَتْ قَالَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبِي حُبَيْشٍ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي لاَ أَطْهُرُ، أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِالْحَيْضَةِ، فَإِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَاتْرُكِي الصَّلاَةَ، فَإِذَا ذَهَبَ قَدْرُهَا فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي ‏”‌‏.‏

295. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Malik daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada Bapaknya daripada ‘Aisyah, bahawa dia berkata, “Fatimah binti Abu Hubaisy berkata kepada Rasulullah ﷺ, “Wahai Rasulullah, aku dalam keadaan tidak suci. Apakah aku boleh meninggalkan salat?” Rasulullah ﷺ lalu menjawab: “Sesungguhnya itu adalah darah penyakit dan bukan darah haidh. Jika haidh kamu datang maka tinggalkanlah salat, dan jika telah berlalu masa-masa haid, maka bersihkanlah darah darimu lalu salatlah.”

Syarah:
Maksud ‘darah penyakit’ itu adalah istihadah. Dari hadis ini mengajar wanita yang mereka tinggalkan salat dan puasa pada ketika masa-masa haidh yang biasa sahaja. Luar dari itu, kenalah mandi dan salat seperti biasa.

2. Tidak mengetahui lamanya masa haidh (sebelum sakit)

Ada juga para wanita yang tidak tahu berapakah bilangan kebiasaan haidhnya. Mungkin kerana dari mula dia datang haidh sudah ada darah istihadah lagi. Dalam kondisi ini, maka jangka haidhnya adalah 6 atau 7 hari mengikut kebiasaan wanita pada zamannya.

✍🏻Dalil bagi pegangan ini adalah berdasarkan hadis ini:

عن حمنة بنت جحش قَالَتْ: كُنْتُ أُسْتُحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَأَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم أَسْتَفْتِيْهِ وَ أُخْبِرُهُ فَوَجَدْتُهُ فىِ بَيْتِ أُخْتىِ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ فَقُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنيِّ امْرَأَةٌ أُسْتُحَاضُ حَيْضَةً كَثِيْرَةً شَدِيْدَةً فَمَا تَرَى فِيْهَا قَدْ مَنَعَتْنىِ الصَّلاَةُ وَ الصَّوْمُ؟ فَقَالَ: أَنْعَتُ لَكِ اْلكُرْسُفَ فَإِنَّهُ يُذْهِبُ الدَّمَ قَالَتْ: هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ قَالَ: فَاتَّخِذِيْ ثَوْبًا فَقَالَتْ: هُوَ أَكْثَرُ مِنْ ذَلِكَ إِنمَّاَ أَثُجُّ ثَجًّا قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم : سَآمُرُكِ بِأَمْرَيْنِ أَيَّهُمَا فَعَلْتِ أَجْزَأَ عَنْكِ مِنَ اْلآخَرِ وَ إِنْ قَوِيْتِ عَلَيْهِمَا فَأَنْتِ أَعْلَمُ فَقَالَ لَهَا: إِنمَّاَ هَذِهِ رَكْضَةٌ مِنْ رَكَضَاتِ الشَّيْطَانِ فَتَحَيَّضِيْ سِتَّةَ أَيَّامٍ أَوْ سَبْعَةَ أَيَّامٍ فىِ عِلْمِ اللهِ ثُمَّ اغْتَسِلِيْ حَتىَّ إِذَا رَأَيْتِ أَنَّكِ قَدْ طَهُرْتِ وَ اسْتَنْقَأْتِ فَصَلِّي ثَلاَثًا وَ عِشْرِيْنَ لَيْلَةً أَوْ أَرْبَعًا وَ عِشْرِيْنِ لَيْلَةً وَ أَيَّامَهَا وَ صُوْمِيْ فَإِنَّ ذَلِكَ يُجْزِيْكَ وَ كَذَلِكَ فَافْعَلِيْ كُلَّ شَهْرٍ كَمَا َتحِيْضُ النِّسَاءُ وَ كَمَا يَطْهُرْنَ مِيْقَاتَ حَيْضِهِنَّ وَ طُهْرِهِنَّ وَ إِنْ قَوِيْتِ عَلَى أَنْ تُؤَخِّرِي الظُّهْرَ وَ تُعَجِّلَ اْلعَصْرَ فَتَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ الظُّهْرِ وَ اْلعَصْرِ وَ تُؤَخِّرِيْنَ اْلمـَغْرِبَ وَ تُعَجِّلِيْنَ اْلعِشَاءَ ثُمَّ تَغْتَسِلِيْنَ وَ تَجْمَعِيْنَ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ فَافْعَلِيْ وَ تَغْتَسِلِيْنَ مَعَ اْلفَجْرِ فَافْعَلِيْ وَ صُوْمِيْ إِنْ قَدِرْتِ عَلَى ذَلِكَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: هَذَا أَعْجَبُ اْلأَمْرَيْنِ إِلَيَّ

Daripada Hamnah binti Jahsyi رضي الله عنها berkata, “Aku pernah mengalami istihadhah yang deras sekali, lalu aku mendatangi Rasulullah ﷺ untuk meminta fatwa kepadanya. Aku mendapatkan berita tentangnya lalu aku menjumpai baginda di rumah saudariku Zainab binti Jahsyi. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mengalami istihadah yang deras sekali, bagaimana pendapatmu, apakah ia mencegahku dari salat dan puasa?”. Baginda menjawab, “Aku akan terangkan kepadamu, kain kapas (yang engkau lekatkan pada farji) dapat menghilangkan (atau menyerap) darah”. Hamnah رضي الله عنها berkata, “Darahku lebih banyak dari itu”. Nabi ﷺ menjawab, “Ambillah kain”. Hamnah رضي الله عنها berkata lagi, ”Darahku lebih banyak lagi dari itu kerana ia adalah darah yang mengalir”. Maka bersabdalah Rasulullah ﷺ, ”Aku akan perintahkan kepadamu dua hal, manapun yang engkau kerjakan nescaya mencukupimu dari yang lain, tetapi jikalau engkau mampu keduanya engkaulah yang lebih tahu”. Baginda bersabda kepadanya, ”Itu hanyalah satu gangguan dari beberapa gangguan syaitan, maka berhaidhlah engkau enam atau tujuh hari di dalam ilmu Allah ‎ﷻ kemudian mandilah sehingga apabila engkau lihat (atau yakin) bahawa engkau telah suci dan telah sampai masa suci maka salatlah selama dua puluh tiga atau dua puluh empat hari dan puasalah.

Maka sesungguhnya yang demikian itu cukup bagimu dan demikian pula hendaknya engkau lakukan setiap bulan sebagaimana perempuan haidh dan suci pada waktu haidh dan sucinya mereka. Jikalah engkau masih mampu maka hendaknya engkau mengakhiri salat Zuhur dan menyegerakan salat Asar lalu engkau mandi dan menjama’ antara dua salat iaitu Zuhur dan Asar, dan engkau mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isyak kemudian engkau mandi dan menjama’ antara dua salat iaitu Maghrib dan Isyak, maka tunaikanlah. Engkau mandi bersama salat fajar maka tunaikanlah dan berpuasalah jika engkau mampu”. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, ”Cara yang terakhir inilah yang lebih aku sukai.”.
[HR Abu Daud: 287, At-Tirmizi: 128, Ibnu Majah: 627 dan Ahmad: VI/ 381-382, 439, 439-440. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Hasan].

Syarah:
Wanita dalam hadis ini baru mengalami haidh dan tidak tahu kebiasaan haidh baginya. Kerana itu Rasulullah ﷺ memberitahu yang dia hendaklah mengikut kebiasaan wanita pada zamannya.

3. Tidak mengetahui lama masa haidh, tetapi dapat membezakan antara darah haidh dan istihadah.

Mungkin ada wanita yang tidak ada masa yang normal bagi haidhnya, tetapi dia dapat membezakan di antara warna darah haidh dan istihadah. Maka dia haruslah mengikut warna yang keluar itu. Kalau warna haidh, maka dia haruslah meninggalkan puasa dan salat. Ini berdasarkan hadith.

✍🏻Nabi ﷺ berkata kepada Fatimah binti Abu Hubaisy رضي الله عنها:

إِذَا كَانَ دَمُ الحَيْضَةِ فَإِنَّهُ أَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِيْ عَن الصَّلاَةِ، فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِيْ وَصَلِّيْ فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ … رواه أبو داود والنسائي وصححه ابن حبان والحاكم

“Darah haidh iaitu apabila berwarna hitam yang dapat diketahui, maka tinggalkan salat, tetapi jika selain itu cirinya maka berwudhu’lah dan lakukan salat kerana itu adalah darah penyakit.”
[ HR. Abu Dawud, An-Nasa’i dan dinyatakan sahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim ].

C. Hukum-hukum Istihadah

1. Boleh melakukan seks walaupun darah istihadah masih keluar

Seorang isteri boleh berhubungan badan dengan suaminya kalau dalam istihadah. Ini kerana pada dasarnya, isteri itu dalam keadaan suci. Kalau dalam istihadah pun boleh salat, maka tentu boleh juga berhubungan badan. Ini adalah pendapat jumhur.

✍🏻✍🏻Ini berdasarkan satu riwayat, “Bahawa Hamnah bint Jahsy رضي الله عنها sedang dalam keadaan istihadah sedangkan suaminya (Tholhah bin ‘Ubed رضي الله عنه) menyetubuhinya.
[Sunan Abu Dawud no. 303]

✍🏻Dalam riwayat lain, “Bahawa Ummu Habibah رضي الله عنها ketika sedang istihadah dan suaminya (Abdurrahman bin Auf رضي الله عنه) menyetubuhinya. Lalu keduanya bertanya tentang HUKUM WANITA YANG ISTIHADAH kepada Rasulullah ﷺ. Maka jika persetubuhan itu adalah “HARAM”, nescaya nabi ﷺ sudah menjelaskan kepada keduanya.
[Sunan Abu Dawud no. 302]

2. Hendaklah menjaga dirinya dari darah istihadah

Sebelum mengambil wudhu’ untuk salat, hendaklah dibersihkan darah istihadah itu. Dan kemudian diletakkan kapas atau kain pada kemaluan untuk mengurangkan turunnya darah itu. Kalau zaman sekarang, bolehlah memakai tuala wanita.

3. Berwudhu’ hanya setelah masuk waktu salat

Wanita dalam istihadah boleh salat. Cuma untuk salat, wudhu’ baginya diambil hanya apabila sudah masuk waktu salat dan selepas wudhu’ dia terus sahaja salat.

4. Mandi wajib sekali sahaja ketika darah haidh berhenti.

Dia tidak wajib mandi untuk salat, hanya perlu wudhu’ sahaja untuk salat. Wanita istihadah hanya perlu mandi sekali sahaja iaitu apabila darah haidh berhenti.

Tetapi memang sunat dan digalakkan untuk mandi setiap kali untuk solat. Malah ada pendapat yang mengatakan ini adalah sebagai penyembuh kepada penyakit darahnya itu (dengan selalu mandi dapat membetulkan urat wanita itu).

5. Wajib berwudhu’ setiap kali mengerjakan salat.

Diwajibkan untuk wudhu’ setiap kali untuk salat.

✍🏻Ini berdasarkan hadith Nabi ﷺ yang berkata kepada Fatimah binti Abu Hubaisy رضي الله عنها:

إِذَا كَانَ دَمُ الحَيْضَةِ فَإِنَّهُ أَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِيْ عَن الصَّلاَةِ، فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِيْ وَصَلِّيْ فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ … رواه أبو داود والنسائي وصححه ابن حبان والحاكم

“Darah haidh iaitu apabila berwarna hitam yang dapat diketahui, maka tinggalkan salat, tetapi jika selain itu cirinya maka berwudhu’lah dan lakukan salat kerana itu adalah darah penyakit.”
[HR. Abu Dawud, An-Nasa’i dan dinyatakan sahih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim].

6. Wanita yang istihadah sama seperti wanita yang dalam keadaan suci

Wanita dalam istihadah sama sahaja dengan wanita suci yang lain: boleh salat, puasa, baca al-Qur’an, berhubungan badan dengan suami dan lain-lain lagi.

D. Wanita Haidh dan Nifas harus qadha’ Puasa, namun tidak qadha’ Solat

✍🏻Ini jelas disebut dalam hadith:

عَنْ مُعَاذَةَ قَالَتْ سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ مَا بَالُ الْحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ وَلَا تَقْضِي الصَّلَاةَ فَقَالَتْ أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ قُلْتُ لَسْتُ بِحَرُورِيَّةٍ وَلَكِنِّي أَسْأَلُ قَالَتْ كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ — رواه مسلم

“Daripada Mu’adzah dia berkata, saya pernah bertanya kepada A’isyah رضي الله عنها kemudian aku berkata kepadanya, bagaimana orang yang haidh itu harus mengqadha’ puasa tetapi tidak wajib mengqadha’ salat. Lantas dia (‘Aisyah رضي الله عنها) bertanya kepadaku, apakah kamu termasuk orang haruriyyah? Aku pun menjawab, aku bukan orang haruriyyah tetapi aku hanya bertanya. ‘Aisyah رضي الله عنها pun lantas berkata, bahawa hal itu (haidh) kami alami kemudian kami diperintahkan untuk mengqadha’ puasa tetapi tidak diperintahkan untuk mengqadha’ salat”.
(HR. Muslim)

Syarah:
Maksud haruriyyah itu orang daripada kampung Harura`, dinisbatkan kepada nama daerah di pinggir kota Kufah yang menjadi tempat berkumpulnya generasi awal kaum khawarij. Kemudian istilah haruriy atau haruriyyah menjadi terkenal sehingga digunakan untuk merujuk setiap orang khawarij. Di antara contoh penggunaannya adalah pertanyaan ‘Aisyah رضي الله عنها di atas kepada Mu’adzah. Kenapa ‘Aisyah bertanya begitu, kerana menurut golongan khawarij, orang yang haidh itu wajib mengqadha’ salat yang ditinggalkan pada saat mengalami haid. Mereka hanya menggunakan akal mereka sahaja.

Ini juga adalah salah satu dari hujah untuk mengatakan yang hukum agama Islam ini bukanlah boleh ditentukan oleh akal. Kalau kita gunakan akal, tentulah salat itu mestilah diqadha’. Ini adalah kerana salat itu lagi besar ibadahnya dari puasa. Tetapi tidak begitu kerana hukum agama menggunakan dalil. Dan dalil mengatakan kalau puasa wajib diqadha’ tetapi salat tidak wajib diqadha’ oleh wanita yang mengalami haidh atau nifas.

E. Bagaimana kalau seorang wanita suci setelah Waktu Asar atau Isyak?

✍🏻Kata Imam al-Nawawi رحم الله: “Yang sahih di sisi kami (Mazhab Asy-Syafi’iy) bahawa mereka yang uzur, wajib untuk melaksanakan salat Zuhur jika dia sempat melaksanakan apa yang wajib dengannya dalam salat Asar (apabila hilang uzurnya). Inilah pendapat Abdurrahman bin Auf, Ibn Abbas, ahli fiqh Madinah yang tujuh, Ahmad, dan selain mereka. Manakala kata al-Hasan, Qatadah, Hammad, al-Thauri, Abu Hanifah dan Malik, tidak wajib ke atas orang itu.”
[Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/66)]

Maksudnya, kalau seorang wanita telah perasan yang dia telah suci dari haidh pada waktu Asar, maka wanita itu wajib salat Asar dan qadha’ Zuhur sekali. Dan kalau dia suci pada waktu Isyak, maka dia wajib salat Isyak dan qadha’ salat Maghrib sekali.

Ini adalah kerana waktu Zuhur dipasangkan dengan waktu Asar dalam jama’, begitu juga waktu Maghrib dipasangkan dengan waktu Isyak dalam jama’.

F. Jamak Shuri bagi wanita yang Istihadah

Mungkin ada yang baru pertama kali dengar Jamak Shuri ini. ‘Jamak Shuri’ ini dari kalimah Shurah (rupa). Jadi ia bermaksud: ia berupa nampak seperti ‘Jamak’ tetapi sebenarnya tidak. Ini kerana ia adalah ‘pakej’ salat Hujung Zuhur dan Awal Asar; dan Hujung Maghrib dan Awal Isyak.

Maksudnya, kalau kita sudah tahu waktu salat Asar masuk jam 4:15, maka, kita salat Zuhur sekitar jam 4:10 iaitu masih lagi waktu Zuhur. Tidak mengapa kalau dalam solat itu termasuk dalam waktu Asar. Selepas salam untuk salat Zuhur, terus sahaja masuk salat Asar kerana ketika itu waktu Asar telah masuk.

Kelebihan Jamak Shuri ini adalah sekali sahaja wudhu’ untuk dua salat.

✍🏻Dalil bagi perbuatan ini adalah hadith yang sebelum ini kita telah berikan:
Jikalah engkau masih mampu maka hendaknya engkau mengakhiri salat Zuhur dan menyegerakan salat Asar lalu engkau mandi dan menjama’ antara dua salat iaitu Zuhur dan Asar, dan engkau mengakhirkan Maghrib dan menyegerakan Isyak kemudian engkau mandi dan menjama’ antara dua salat iaitu Maghrib dan Isyak, maka tunaikanlah.
[HR Abu Daud: 287, At-Tirmizi: 128, Ibnu Majah: 627 dan Ahmad: VI/ 381-382, 439, 439-440. Berkata Asy-Syaikh Al-Albani: Hasan].

Allahu a’lam.

Tazkirah Ustaz Naim: Perjuangan dan Pengorbanan dalam Dakwah

0

Bismillah..

فَلۡیُقَـٰتِلۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِینَ یَشۡرُونَ ٱلۡحَیَوٰةَ ٱلدُّنۡیَا بِٱلۡـَٔاخِرَةِۚ وَمَن یُقَـٰتِلۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَیُقۡتَلۡ أَوۡ یَغۡلِبۡ فَسَوۡفَ نُؤۡتِیهِ أَجۡرًا عَظِیمࣰا

“Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar” [ an-Nisa’: 74 ].

#Ayat ini membicarakan tentang perjuangan dan pengorbanan. Tidak ada kejayaan dalam dakwah dan perjuangan tanpa pengorbanan. Inilah hakikat yang pasti dilalui oleh para pejuang dalam usaha-usaha dakwah dan perjuangan mendaulatkan Islam. Setiap pejuang mestilah mempersiapkan diri serta bersedia berkorban untuk meleburkan diri dalam perjuangan jika ingin melihat matlamat perjuangan Islam menjadi kenyataan.

#Perjuangan meninggikan kalimah Allah SWT tidak akan hidup dan berkembang melainkan dengan jihad serta pengorbanan. Inilah jalan yang telah ditempuh oleh para nabi dan solihin sepanjang zaman dan perlu diteruskan oleh kita semua yang mengaku sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT. Cita-cita untuk mendapatkan kejayaan tanpa usaha dan pengorbanan hanya akan menjadi angan-angan dan omongan kosong sahaja.

#Ketahuilah bahawa tuntutan jihad dan berkorban dalam mendaulatkan agama Allah SWT adalah sunnah Rasulullah SAW dan para pejuang Islam. Firman Allah SWT:

لَـٰكِنِ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ جَـٰهَدُوا۟ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمُ ٱلۡخَیۡرَ ٰ⁠تُۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

“(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya” [ at-Tawbah: 88 ]

ٱنفِرُوا۟ خِفَافࣰا وَثِقَالࣰا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِۚ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui” [ at-Tawbah: 41]

#Bagi para pejuang yang ikhlas di jalan Allah SWT, maka Allah SWT menjanjikan ganjaran yang teristimewa kepada mereka di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

وَلَىِٕن قُتِلۡتُمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ أَوۡ مُتُّمۡ لَمَغۡفِرَةࣱ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَحۡمَةٌ خَیۡرࣱ مِّمَّا یَجۡمَعُونَ

“Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa – semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan daripada Allah SWT dan rahmat-Nya adalah lebih baik (bagi kamu) daripada apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup)” [ Aali Imran: 157 ].

♡Pastikan setiap detik masa yang dianugerah oleh Allah kepada kita, tidak berlalu dengan sia-sia dan sentiasa dalam ruang lingkup untuk mendaulatkan Islam. Lumrah kehidupan mengajar kita bahawa sesuatu kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan memerlukan jihad dan pengorbanan.

Yakinlah bahawa pengorbanan yang dilakukan untuk perjuangan Islam merupakan suatu perniagaan atau pelaburan yang sangat menguntungkan terutama di akhirat kelak♡

Allahu a’lam.

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Thaharah – Haidh dan Nifas

0

Kitab : Thaharah
Bab:Haidh dan Nifas
Bahagian: Beberapa Permasalahan berkenaan Haidh
Tajuk:
♦️ Mengurai rambut ketika mandi haidh.
♦️ Dianjurkan wanita menggunakan kapas yang diletakkan pewangi ketika mandi haidh.
♦️ Bagaimana mandi haidh dan nifas?
♦️ Bagaimana wanita haidh membersihkan pakaiannya?
♦️ Apakah caranya untuk memastikan darah haidh benar-benar telah habis?

H. Beberapa Permasalahan berkenaan Haidh

1. Mengurai rambut ketika mandi haidh

Terdapat perbezaan di antara mandi wanita dari janabah dan mandi dari haidh.

Kalau mandi dari janabah, wanita tidak perlu membuka sanggul rambutnya, hanya cukup air dilalukan pada kulit kepala sahaja. Namun, ia berbeza apabila mandi dari haidh, maka rambut perlu diuraikan.

✍🏻Dalilnya adalah sabda Nabi Muhammad ﷺ kepada isterinya A’isyah رضي الله عنها yang kedatangan haidh semasa mengerjakan Haji Wada’. Ini adalah apabila beliau telah suci dari haidh:

دَعِي عُمْرَتَكِ، وَانْقُضِي رَأْسَكِ وَامْتَشِطِي، وَأَهِلِّي بِحَجٍّ

“Tinggalkanlah umrahmu, urailah ikatan rambutmu dan bersisirlah, dan berniatlah untuk haji.”
[ Sahih Bukhari hadis 317 ]

2. Dianjurkan wanita menggunakan kapas yang diletakkan pewangi ketika mandi haidh

Untuk menghilangkan bau yang tidak enak dari tempat keluar darah itu, dianjurkan untuk menggunakan kapas yang diletakkan pewangi.

✍🏻Dalilnya:

حَدَّثَنَا يَحْيَى، قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ عُيَيْنَةَ، عَنْ مَنْصُورِ ابْنِ صَفِيَّةَ، عَنْ أُمِّهِ، عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ امْرَأَةً، سَأَلَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم عَنْ غُسْلِهَا مِنَ الْمَحِيضِ، فَأَمَرَهَا كَيْفَ تَغْتَسِلُ قَالَ ‏”‏ خُذِي فِرْصَةً مِنْ مِسْكٍ فَتَطَهَّرِي بِهَا ‏”‌‏.‏ قَالَتْ كَيْفَ أَتَطَهَّرُ قَالَ ‏”‏ تَطَهَّرِي بِهَا ‏”‌‏.‏ قَالَتْ كَيْفَ قَالَ ‏”‏ سُبْحَانَ اللَّهِ تَطَهَّرِي ‏”‌‏.‏ فَاجْتَبَذْتُهَا إِلَىَّ فَقُلْتُ تَتَبَّعِي بِهَا أَثَرَ الدَّمِ‏.‏

303. Telah menceritakan kepada kami Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu ‘Uyainah daripada Manshur bin Shafiyyah daripada Ibunya dari ‘Aisyah, “Seorang wanita bertanya kepada Nabi ﷺ tentang cara mandi dari haidh. Baginda lalu memerintahkan wanita itu bagaimana cara mandi. Baginda bersabda: “Ambillah sepotong kapas yang diberi wewangian lalu bersucilah.” Wanita itu bertanya, “Bagaimana aku bersucinya? Baginda menjawab: “Bersucilah dengan kapas itu!” Wanita itu berkata lagi, “Bagaimana caranya aku bersuci?” Baginda bersabda: “Bersucilah dengan menggunakan kapas itu!” Wanita itu bertanya lagi, “Bagaimana caranya?” Maka Baginda berkata, “Subhaanallah. Bersucilah kamu!” Lalu aku menarik wanita itu ke arahku, lalu aku katakan, “Kamu bersihkan sisa darahnya dengan kapas itu.”
[ Sahih Bukhari hadis 303 ].

Syarah:
Pada zaman sekarang, tentu sudah ada bahan cucian yang lebih mudah untuk digunakan.

3. Bagaimana mandi haidh dan nifas?

Ini lebih kurang sama dengan hadith yang lepas. Cara mandi tidaklah jauh berbeza dengan mandi junub. Cuma dianjurkan untuk menggunakan bahan pewangi untuk membersih tempat keluar darah.

Satu lagi seperti telah disebut: menguraikan rambut. Maknanya rambut mestilah dibasuh. Ini tidaklah berat kerana selalunya haidh itu datang sebulan sekali sahaja. Sedangkan junub lebih kerap lagi. Maka kalau junub, tidak dimestikan membasuh rambut.

✍🏻Hadith

حَدَّثَنَا مُسْلِمٌ، قَالَ حَدَّثَنَا وُهَيْبٌ، حَدَّثَنَا مَنْصُورٌ، عَنْ أُمِّهِ، عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ امْرَأَةً، مِنَ الأَنْصَارِ قَالَتْ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم كَيْفَ أَغْتَسِلُ مِنَ الْمَحِيضِ قَالَ ‏”‏ خُذِي فِرْصَةً مُمَسَّكَةً، فَتَوَضَّئِي ثَلاَثًا ‏”‌‏.‏ ثُمَّ إِنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اسْتَحْيَا فَأَعْرَضَ بِوَجْهِهِ أَوْ قَالَ ‏”‏ تَوَضَّئِي بِهَا ‏”‏ فَأَخَذْتُهَا فَجَذَبْتُهَا فَأَخْبَرْتُهَا بِمَا يُرِيدُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم‏.‏

304. Telah menceritakan kepada kami Muslim bin Ibrahim berkata, telah menceritakan kepada kami Wuhaib telah menceritakan kepada kami Manshur daripada Ibunya dari ‘Aisyah, “Seorang wanita Anshar bertanya kepada Nabi ﷺ, “Bagaimana caranya aku bersuci dari haidh?” Baginda lalu menjawab: “Ambillah sepotong kapas yang diberi wewangian lalu bersihkanlah tiga kali.” Kemudian Nabi ﷺ berasa malu lalu memalingkan mukanya, atau Baginda mengatakan: “Berwudlulah (bersuci) dengan kapas itu.” Aku lalu menarik wanita itu dan aku terangkan apa yang dimaksudkan oleh Nabi ﷺ.”
[ Sahih Bukhari hadis no. 304 ]

4. Bagaimana wanita haidh membersihkan pakaiannya?

Darah haidh yang terkena pakaian mestilah dibasuh dengan air. Ini adalah kerana darah haidh adalah najis dan perlu dibersihkan dengan air.

✍🏻Hadith

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ، قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنْ هِشَامٍ، عَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ الْمُنْذِرِ، عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ، أَنَّهَا قَالَتْ سَأَلَتِ امْرَأَةٌ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا إِذَا أَصَابَ ثَوْبَهَا الدَّمُ مِنَ الْحَيْضَةِ، كَيْفَ تَصْنَعُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِذَا أَصَابَ ثَوْبَ إِحْدَاكُنَّ الدَّمُ مِنَ الْحَيْضَةِ، فَلْتَقْرُصْهُ ثُمَّ لِتَنْضَحْهُ بِمَاءٍ، ثُمَّ لِتُصَلِّي فِيهِ ‏”‌‏.‏

296. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Malik daripada Hisam bin ‘Urwah daripada Fatimah binti Al Mundzir daripada Asma’ binti Abu Bakar Ash Shiddiq berkata, “Seorang wanita bertanya kepada Rasulullah ﷺ, katanya, “Wahai Rasulullah ﷺ, bagaimana pendapatmu bila seorang dari kami bajunya terkena darah haidh. Apa yang harus dilakukannya?” Rasulullah ﷺ lalu menjawab: “Jika darah haidh mengenai pakaian seorang daripada kalian, maka hendaklah dia membersihkan darah yang mengenainya, lalu hendaklah dia percikkan air padanya, kemudian hendaklah dia salat dengannya.”
[ Sahih Bukhari hadis 296 ].

✍🏻Hadith seterusnya lebih jelas lagi dalam bab menggunakan air:

حَدَّثَنَا أَصْبَغُ، قَالَ أَخْبَرَنِي ابْنُ وَهْبٍ، قَالَ أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ الْقَاسِمِ، حَدَّثَهُ عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَتْ إِحْدَانَا تَحِيضُ، ثُمَّ تَقْتَرِصُ الدَّمَ مِنْ ثَوْبِهَا عِنْدَ طُهْرِهَا فَتَغْسِلُهُ، وَتَنْضَحُ عَلَى سَائِرِهِ، ثُمَّ تُصَلِّي فِيهِ‏.‏

297. Telah menceritakan kepada kami Ashbagh berkata, telah mengabarkan kepadaku Ibnu Wahb berkata, telah mengabarkan kepadaku ‘Amru bin Al Harits daripada ‘Abdurrahman bin Al Qasim bahawa dia menceritakan kepadanya daripada Bapaknya dari ‘Aisyah رضي الله عنها berkata, “Salah seorang daripada kami mengalami haidh, kemudian saat telah suci darah tersebut dia bersihkan, kemudian kain tersebut dia cuci dan bersihkan, kemudian dia salat dengan menggunakan kain tersebut.”
[ Sahih Bukhari hadis 297 ].

Syarah:
Setelah dibersihkan darah itu dengan air, maka pakaian itu boleh dipakai malah boleh dibawa dalam solat. Kalau ada kesan-kesan yang degil, itu dimaafkan.

5. Apakah caranya untuk memastikan darah haidh benar-benar habis?

Hendaklah dilakukan pemeriksaan terhadap faraj, iaitu dengan memasukkan cebisan kain, kapas atau sebagainya ke dalam faraj dan melihat sama ada masih terdapat kesan darah haidh atau tidak.

Jika tidak ada kesan darah haidh sama ada tidak nampak sebarang warna pada kain/kapas tersebut atau nampak warna putih seperti kapur, maka ketika itu barulah diharuskan mandi.

Jika masih ada sebarang kesan warna darah atau warna kuning atau keruh, tidak harus mandi lagi kerana darah haidh belum habis. Kaedah pemeriksaan di atas diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat.

✍🏻Ia sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah رضي الله عنها; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haidh (Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haidh atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah رضي الله عنها menjawab; “Janganlah kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”.
[ HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik ].

Allahu a’lam.

CAKAP LAIN, BUAT LAIN!

0

CAKAP LAIN, BUAT LAIN!

Dari Urwah ibn Zubayr radhiyalLaahu ‘anha, beliau meriwayatkan bahawa,

أَنَّ عَائِشَةَ، أَخْبَرَتْهُ: أَنَّهُ اسْتَأْذَنَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ فَقَالَ:

‘Aisyah radhiyalLaahu ‘anha dahulu memberitahunya:

Pernah seorang lelaki meminta izin untuk bertemu RasululLah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

Lalu baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam berkata:

ائْذَنُوا لَهُ، فَبِئْسَ ابْنُ العَشِيرَةِ – أَوْ بِئْسَ أَخُو العَشِيرَةِ –

Izinkan dia masuk. Sungguh dia adalah seburuk-buruk orang bagi keluarganya.

فَلَمَّا دَخَلَ أَلاَنَ لَهُ الكَلاَمَ

Apabila lelaki itu masuk, Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam melembutkan bicaranya kepada orang tersebut.

فَقُلْتُ لَهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، قُلْتَ مَا قُلْتَ، ثُمَّ أَلَنْتَ لَهُ فِي القَوْلِ؟

Lalu aku tanyakan kepadanya:

Wahai RasululLah, tadi engkau mengatakan (tentang orang itu) apa yang telah engkau katakan (bahawa dia itu seburuk-buruk orang), tetapi kemudian engkau berlembut kepadanya?

فَقَالَ أَيْ عَائِشَةُ، إِنَّ شَرَّ النَّاسِ مَنْزِلَةً عِنْدَ اللَّهِ مَنْ تَرَكَهُ – أَوْ وَدَعَهُ النَّاسُ – اتِّقَاءَ فُحْشِهِ

Wahai Aisyah, sesungguhnya kedudukan paling buruk bagi manusia di sisi Allah adalah orang yang manusia meninggalkannya atau menjauhinya, kepada menghindari kejahatannya.

[HR al-Bukhari & Muslim] #BSS

BroSyarief kongsikan beberapa manfaat dari hadits di atas:

01 Imam al-Bukhari meletakkan hadits ini di bawah bab ‘Bersikap lembut kepada manusia’ menunjukkan pengajaran utama hadits ini adalah supaya kita sentiasa bersikap lembut dan manis kepada sesama manusia. #BSS

02 Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam menyebutkan keburukan lelaki tersebut sebagai tanda bahawa dia memang terkenal dengan kejahatannya, dan menyebutkan kejahatan seseorang itu dibolehkan sebagai peringatan kepada orang lain.

03 Jangan melampau dan berlebihan ketika mengkritik atau menyebut keburukan orang. Lihat kepada pendek dan umumnya ungkapan Nabi sallalLaahu wa sallam tentang orang tersebut. Maka kata-kata sebegini tak termasuk dalam bab mengumpat yang dilarang. #BSS

04 Walaupun orang itu diiktiraf sebagai jahat, tetapi dia juga manusia yang berhak dilayani sebagaimana orang lain dilayani, walaupun kepada non-muslim, terutama apabila mereka dalam keadaan sangat memerlukan.

05 Apatah lagi, jika sesama muslim, maka lebih berhak untuk dipenuhi hak mereka untuk diberikan salam, dihormati, dibantu dan sebagainya; walaupun mereka biasanya dijauhi kerana sikap buruk mereka. #BSS

06 Ini membantu mengambalikan hakikat praktis Islam sebagai agama yang menganjurkan kebaikan dan sedikit sebanyak dapat membuka ruang harapan untuk mereka berubah menjadi baik kerana melihat contoh kebaikan dari orang lain.

07 Kebencian kepada kejahatan dan keburukan perbuatan atau sikap seseorang tidak menjadikan kita boleh mengabaikan hak-hak sesama manusia dan sesama muslim, kerana hak-hak itu adalah tanggungjawab dari Allah, dilakukan hanya kerana Allah dan diberi ganjaran hanya oleh Allah.

walLaahu a’lam

#صحح_لي_إن_كنت_مخطئا
#BroSyariefShares

Kesalahan Di dalam Salat / 21

1

Menyingsing Lengan Baju Ketika Salat

Bahagian 1

1.6.1 Menyingsing lengan baju ketika salat

ومن أخطاء بعض المصلّين : أنهم يكفّون ـ أي : يشّمرون ـ ثيابهم ، قبل دخولهم في الصّلاة عن ابن عباس ـ رضي الله عنهما ـ قال : قال رسول الله ص : (أَمرتُ أن أسجد على سبعةٍ ، ولا أكفّ شعراً ولا ثوباً ) أخرجه : مسلم : كتاب الصّلاة : باب أعضاء السّجود والنّهي عن كفّ الشّعر والثوب وعقص الرأس في الصلاة : (1/354) رقم (490)

Antara kesalahan sebahagian orang yang melakukan salat ialah menahan pakaian atau menyingsing lengan baju ketika salat. Sedangkan ada hadith daripada Ibn Abbas رضي الله عنه beliau berkata,

“Nabi ﷺ perintahkan untuk sujud di atas tujuh anggota dan tidak mengikat rambutnya, begitu juga melipat lengan bajunya.”

(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, ini lafaz daripada hadith Muslim no. 490)

 

Bahagian 2

1.6.2 Menyingsing lengan baju ketika salat

قال النووي ـ رحمه الله تعالى ـ اتّفق العلماء على النّهي عن الصّلاة وثوبه مشمّر أو كمّه أو نحوه

Kata Imam Nawawi رحمه الله, “Ittifaq ulama’ atau sepakat para ulama’ akan dilarang menyingsing lengan baju ketika salat” (Syarah sahih Muslim, 4:209)

 

وقال الإمام مالك : فيمن صلّى مشمّراً كمّيه : (إن كان ذلك لباسه قبل ذلك وهيئته ، وكان يعمل عملاً ، فشمّر لذلك العمل ، فدخل في صلاته كما هو ، فلا بأس بأن يصلّي بتلك الحال . وإن كان إنما فعل ذلك ليكفت شعراً أو ثوباً فلا خير فيه) 

Berkata Imam Malik رحمه الله, “Jika pakaian asal memang sudah begitu (misalnya memang sudah berlipat sejak asal dibeli atau short sleeve) maka tidaklah mengapa. Tetapi jika ia dilakukan khusus dalam salat sahaja dia mengikat rambut dan menyingsing lengan baju maka itu yang tidak bagusnya” (Al-Mudawwanah Al-Kubra Imam Sahnun 1:96)

Kesimpulan daripada pendapat Imam Nawawi رحمه الله,

قال النووي بعد كلامه السّابق :  وهو ـ أي :النهي عن تشمير الثّوب ـ كراهة تنزيه ، فلو صلّى كذلك فقد أساء وصحت صلاته  

Menyambung kalam Imam Nawawi رحمه الله di atas, larangan menyingsing lengan baju itu adalah hukumnya makruh tanzih (makruh biasa), jika dia berbuat demikian salatnya tetap sah cuma tidak terpuji (kerana menyalahi perintah Nabi ﷺ).

 Allahu a’lam

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Salat – Kedudukan Salat dalam Islam

0

Bahagian:
A. Keutamaan Salat dan Kedudukannya dalam Islam.

B. Hukum Meninggalkan Salat.

C. Siapakah yang Wajib Salat?
Tajuk:
1. Salat Anak Kecil

Pengenalan:

Kalimah ‘salat’ daripada sudut bahasa bermaksud ‘doa’. Penggunaannya dalam bentuk doa itu terdapat dalam [ Taubah:103 ]

وَصَلِّ عَلَيهِم ۖ إِنَّ صَلاتَكَ سَكَنٌ لَهُم

“Dan doalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka.”

Namun begitu kalimah itu digunakan sebagai istilah yang lain menjadi satu amalan ibadat salat yang kita kenali sekarang. Maka, definisi salat sekarang ialah: Rangkaian ucapan dan perbuatan yang diawali dengan takbir dan diakhiri dengan salam, dengan syarat-syarat tertentu.

Hukum salat adalah wajib dan banyak kali disebut dalam al-Qur’an.

A. Keutamaan Salat dan kedudukannya dalam Islam

Sebenarnya tidaklah perlu disebut tentang kepentingan salat ini kerana kita semua sepatutnya sudah tahu. Terlalu banyak salat disentuh dalam al-Qur’an dan hadith. Maka kita sentuh sedikit sahaja di sini untuk meringkaskan perbincangan.

✍🏻Selalu sangat disentuh tentang salat dan zakat dalam Qur’an seperti [ Baqarah: 110 ]

وَأَقيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكاةَ

“Dan dirikanlah salat dan tunaikanlah zakat.”

Kalau kita baca al-Qur’an, kita akan perasan yang salat dan zakat sentiasa disebut. Ini kerana, dua ibadat ini adalah ibadat yang utama dalam Islam. Salat mewakili hubungan dengan Allah ‎ﷻ dan zakat pula mewakili konsep hubungan sesama makhluk.

✍🏻Allah ‎ﷻ mengajar kita salat untuk mengingati-Nya. Lihat [ Taha: 14 ]

وَأَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكري

“Dan dirikanlah salat untuk mengingati Aku.”

Maka dalam salat, kita mestilah khusyuk supaya sedar yang kita sedang berhadapan dengan Allah ‎ﷻ dan sedang bermunajat kepada-Nya. Sedangkan menghadap sultan pun ada tertibnya tersendiri, apatah lagi berhadapan dengan Raja (Allah ‎ﷻ) sekalian alam ini.

✍🏻Allah ‎ﷻ mengajar cara berdoa kepada-Nya iaitu dengan mendirikan salat seperti yang disebut dalam [ Baqarah: 45 ]

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلاةِ

“Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan salat.”

Terdapat banyak lagi ayat tentang salat yang disebut dalam al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam mestilah sedar akan kepentingan salat ini. Rasanya semua tahu amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak adalah salat. Kalau tidak melepasi bab salat, maka yang lain pun tentu akan ada masalah. Maka kalau rajin bersedekah dan pergi haji tiga kali setahun pun, belum tentu akan selamat lagi.

✍🏻Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ الصَّلَاةُ، وَأَوَّلُ مَا يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ فِي الدِّمَاءِ

“Perkara yang pertama kali dihisab adalah salat. Sedangkan yang diputuskan pertama kali di antara manusia adalah (yang berkaitan dengan) darah.”
(HR. An-Nasa’i no. 3991. Dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani رحم الله).

B. Hukum meninggalkan salat

Terdapat satu hadith ancaman yang amat menakutkan tentang salat:

✍🏻Daripada Jabir bin ‘Abdillah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ

“(Pembatas) antara seorang muslim dan kesyirikan serta kekafiran adalah meninggalkan salat.”
(HR. Muslim no. 257).

Syarah:
Hadith ini menjadi perbincangan yang amat besar di kalangan ulama’. Kalau dibaca secara literal, sesiapa yang tidak salat telah jatuh kafir. Dan memang ada ulama’ seperti Imam Ahmad رحم الله yang mengatakan mereka yang meninggalkan salat itu memang telah jatuh kufur.

Namun begitu, ulama’ berselisih pendapat sama ada terkeluar daripada Islam ataupun tidak. Dalam erti kata lain, adakah ia kufur amali ataupun iktikadi? Panjanglah pula kalau ingin dibahaskan di sini.

Maka janganlah kita terus memanggil orang yang tidak salat “wahai Kafir” kerana ‘kufur’ itu dibahagikan kepada banyak jenis pula oleh ulama’.

Ada yang membahagikan kepada 4 jenis:

1. Kufur Ingkar: tidak kenal Allah ‎ﷻ dan tidak mengakui adanya Allah ‎ﷻ.

2. Kufur Juhd: kenal Allah ‎ﷻ dan tahu Allah ‎ﷻ itu Tuhan, tetapi tidak mengaku dengan lisannya; sebagaimana Iblis.

3. Kufur Inad: kenal Allah ‎ﷻ dengan hati dan lisan, tetapi tidak masuk Islam kerana dengki; sebagaimana Abu Jahal.

4. Kufur Niifaq: sebut mengaku Allah ‎ﷻ dengan lisan, tetapi tidak percaya dengan hati.

Jadi terdapat banyak jenis ‘kufur’ itu. Ada orang yang berkata-kata dengan kalimah kufur, tetapi tidaklah dia terus menjadi kufur. Mungkin kerana dia tidak tahu yang kalimahnya itu kalimah kufur kerana jahil.

✍🏻Kembali kepada hadith di atas (pemisah antara muslim dan kufur adalah solat), Imam an-Nawawi رحم الله mengatakan:

“Sesungguhnya pemisah seseorang antara kesyirikan atau kekafiran adalah meninggalkan salat, itu bermaksud: Adapun orang yang meninggalkan salat, jika dia mengingkari kewajipannya maka dia telah kafir menurut ijma’ kaum Muslimin”.

Terkecuali apabila orang itu baru memeluk Islam dan belum sempat sesaat pun hidup bersama kaum Muslimin, sehingga belum sampai kepadanya pengetahuan tentang wajibnya salat tersebut.

Jika dia meninggalkannya kerana malas, namun dia tetap berkeyakinan bahawa salat itu wajib sebagaimana yang menimpa sebahagian besar manusia sekarang. Maka dalam hal ini para ulama’ berbeza pendapat.

✍🏻Imam Malik رحمه الله dan Asy-Syafi’iy رحمه الله serta majoriti ulama’ Salaf dan Khalaf, berpendapat bahawasanya hal itu tidak menjadikannya kafir. Namun, dia telah berbuat kefasikan dan perlu untuk bertaubat.

Jika dia bertaubat maka dia tidak dihukum. Namun, jika dia tidak mahu bertaubat maka dia dihukum mati, sebagaimana hukuman bagi penzina yang sudah pernah menikah jika tidak mahu bertaubat. Hanya saja, dia dihukum mati dengan pedang, tidak seperti halnya penzina (yang direjam).”

Syarah:
Maka kalau dilihat daripada kata-kata Imam Nawawi رحم الله ini, tidaklah terus jatuh kufur. Kebanyakan orang kita malas sahaja untuk salat, bukan tidak tahu yang ia adalah wajib.

Namun, dalam Mazhab As-Syafi’iy, kalau ditangkap orang yang malas salat itu, mesti dibunuh juga! Mungkin ramai yang tidak tahu akan hukum ini.

✍🏻Asy-Syafi’iy رحم الله berkata,

مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ مِمَّنْ دَخَلَ فِي الْإِسْلَامِ قِيلَ لَهُ: لِمَ لَا تُصَلِّي؟ فَإِنْ ذَكَرَ نِسْيَانًا، قُلْنَا: فَصَلِّ إِذَا ذَكَرْتَ، وَإِنْ ذَكَرَ مَرَضًا، قُلْنَا: فَصَلِّ كَيْفَ أَطَقْتَ ؛ قَائِمًا، أَوْ قَاعِدًا، أَوْ مُضْطَجِعًا، أَوْ مُومِيًا، فَإِنْ قَالَ: أَنَا أُطِيقُ الصَّلَاةَ وَأُحْسِنُهَا، وَلَكِنْ لَا أُصَلِّي، وَإِنْ كَانَتْ عَلَيَّ فَرْضًا قِيلَ لَهُ: الصَّلَاةُ عَلَيْكَ شَيْءٌ لَا يَعْمَلُهُ عَنْكَ غَيْرُكَ، وَلَا تَكُونُ إِلَّا بِعَمَلِكَ، فَإِنْ صَلَّيْتَ، وَإِلَّا اسْتَتَبْنَاكَ، فَإِنْ تُبْت وَإِلَّا قَتَلْنَاكَ، فَإِنَّ الصَّلَاةَ أَعْظَمُ مِنَ الزَّكَاةِ

“Barangsiapa yang meninggalkan salat wajib bagi orang yang telah masuk Islam (muslim), dikatakan kepadanya : “Mengapa engkau tidak salat ?” Jika dia berkata : “Kami lupa”, maka kita katakan : “Salatlah jika engkau mengingatinya”. Jika dia beralasan sakit, kita katakan kepadanya : “Salatlah semampumu. Sama ada berdiri, duduk, berbaring, atau sekadar isyarat saja”. Apabila dia berkata : “Aku mampu mengerjakan salat dan membaguskannya, akan tetapi aku tidak salat meskipun aku mengakui kewajipannya”. Maka dikatakan kepadanya : “Salat adalah kewajipan bagimu yang tidak dapat dikerjakan orang lain untuk dirimu. Ia mesti dikerjakan oleh dirimu sendiri. Jika tidak, kami minta engkau untuk bertaubat. Jika engkau bertaubat (dan kemudian mengerjakan salat, maka diterima). Jika tidak, engkau akan kami bunuh. Kerana salat itu lebih agung daripada zakat”.
[Al-Umm, 1/281. Disebutkan juga oleh Al-Baihaqiy dalam Ma’rifatus-Sunan wal-Aatsaar, 3/117].

Kerana itulah pemimpin mestilah bertindak sebagai ayah terhadap anak-anaknya. Kalau ada anak yang meninggalkan kewajipan atau berbuat kesalahan, maka mestilah dihukum. Kalau tidak dihukum, maka anak-anak yang lain tidak takut untuk berbuat dosa.

Begitulah juga dengan salat. Kalau orang boleh meninggalkan salat tanpa dihukum, nanti akan ada yang juga bermalasan untuk salat kerana pada mereka, tiada tindakan apa-apa pun dikenakan kepada mereka.

Seperti saya katakan, banyak sangat pendapat tentang orang yang meninggalkan salat ini dan amat panjang untuk dibahaskan di sini. Perkara yang penting kita hendak sampaikan adalah salat itu amat penting dan jangan ditinggalkan. Meninggalkan salat itu adalah dosa besar dan tiada ulama’ yang tidak bersetuju dengan perkara ini.

Cuma mereka berbeza pendapat sama ada jatuh kafir ataupun tidak; boleh bunuh mereka ataupun tidak. Kalau tidak jatuh kufur pun, sudah tentu orang yang tidak salat itu sudah jatuh fasik (sentiasa melakukan dosa).

Jangan lupa bahawa ada juga pendapat yang kuat mengatakan meninggalkan salat itu menjadikan seseorang itu kufur. Mereka berpegang dengan hujah-hujah juga.

Umar bin Khattab رضي الله عنه mengatakan,

لاَ إِسْلاَمَ لِمَنْ تَرَكَ الصَّلاَةَ

“Tidaklah disebut Muslim bagi orang yang meninggalkan salat.”

Ketika Umar رضي الله عنه mengatakan perkataan di atas tatkala menjelang sakratul maut, tidak ada satu orang sahabat pun yang mengingkarinya. Oleh kerana itu, ada yang mengatakan hukum meninggalkan salat adalah kafir termasuk ijma’ (kesepakatan) sahabat.

Majoriti sahabat Nabi ﷺ menganggap bahawa orang yang meninggalkan salat dengan sengaja adalah kafir sebagaimana dikatakan oleh seorang tabi’in, Abdullah bin Syaqiq رضي الله عنه.
Beliau mengatakan,

كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ -صلى الله عليه وسلم- لاَ يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ الأَعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاَةِ

“Dulu para sahabat Muhammad ﷺ tidaklah pernah menganggap suatu amal yang apabila ditinggalkan menyebabkan kafir kecuali salat.”

Perkataan ini diriwayatkan oleh At Tirmidzi daripada Abdullah bin Syaqiq Al ‘Aqliy رضي الله عنه seorang tabi’in dan Hakim mengatakan bahawa hadith ini bersambung dengan menyebut Abu Hurairah رضي الله عنه di dalamnya.

Meninggalkan salat dan tidak menjaga waktunya amatlah bahaya dan Allah ‎ﷻ telah memberikan peringatan dalam al-Qur’an pun:

✍🏻Allah ‎ﷻ berfirman,

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا

“Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang mensia-siakan salat dan menurut hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui al-Ghoyya, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal saleh.”
[ Maryam: 59-60 ]

Tafsir:
Ibnu Mas’ud رضي الله عنه mengatakan bahawa ‘ghoyya’ dalam ayat tersebut adalah sungai di Jahannam yang makanannya sangat menjijikkan, yang tempatnya sangat dalam. (Ash Sholah, hal. 31)

C. Siapa yang wajib Salat?

Salat diwajibkan ke atas setiap Muslim yang berakal dan baligh.

✍🏻Dalilnya daripada hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Telah diangkat pena daripada tiga golongan: daripada orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia baligh dan daripada orang gila sehingga dia sedar”.
[ Riwayat Abu Daud (4403) ]

Syarah:
Dari hadith ini kita dapat tahu yang selagi belum baligh, tidak diwajibkan salat bagi kanak-kanak itu.

1. Salat anak kecil

Walaupun anak yang belum baligh tidak wajib salat, tetapi walinya boleh menyuruh anaknya mengerjakan salat apabila berumur 7 tahun, dan boleh memukul mereka apabila masih tidak salat setelah berusia 10 tahun.

✍🏻Ini jelas berdasarkan hadith:

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ. وقال النووي حديث حسن رواه أبو داود بإسناد حسن.
] سنن أبي داود , كِتَاب الصَّلاةِ, بَاب مَتَى يُؤْمَرُ الْغُلامُ بِالصَّلاةِ , حديث رقم 495[

“Daripada Amru bin Syu’aib daripada ayahnya daripada datuknya, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: Perintahkanlah anak-anak kamu untuk melaksanakan salat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun. Apabila sudah mencapai umur sepuluh tahun maka pukullah dia apabila tidak melaksanakannya serta pisahkanlah tempat tidur mereka.”
(Berkata an-Nawawi رضي الله عنه, hadith hassan sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanad yang hassan. No. Hadith : 495).

Syarah:
Beginilah yang sepatutnya dilakukan oleh ibubapa untuk melatih anak-anaknya. Kalau semasa berumur antara 7 tahun hingga 10 tahun itu mereka masih culas dalam salat, maka itu dimaafkan kerana dalam peringkat latihan.

Namun, kalau sudah 10 tahun mereka masih culas, maka langkah keras boleh digunakan (rotan mereka) tetapi kenalah diberi latihan dulu selama 3 tahun sebelumnya.

Tujuan latihan ini adalah supaya mereka sebati dengan perlaksanaan salat. Tidaklah mereka rasa berat kerana sudah terbiasa melakukannya sejak dari kecil lagi. Bahaya kalau tidak dilakukan kerana itulah kadangkala kita jumpa “kanak-kanak” yang berumur 40 tahun pun tidak salat lagi. Ini kerana ibubapanya mungkin tidak menjalankan latihan itu.

Talbis Iblis: Taswif

0

Talbis Iblis yang Keempat: Taswif

Senjata Iblis yang seterusnya untuk dibincangkan adalah: Taswif

Ia dari dari kalimah سوف (akan). Akan buat di masa hadapan:  Bila sudah “free”, bila ada masa lapang, bila itu dan ini.

Senjata ini “power”. Kadangkala ada orang yang sudah tahu apa benda baik dia kena buat. Sudah terima benda baik. Sudah tahu kebenaran. Sudah faham apa yang dipelajari. Dia sudah ada ilmu.

Tetapi syaitan akan bisikkan supaya dia tangguh dan tangguh dahulu. Tunggu anak sudah habis belajar. Tunggu sudah kaya baru infak. Tunggu bila sudah tua baru belajar tafsir. Tunggu sudah senang baru tolong orang.

Maka ramai manusia terpedaya dengan senjata ini kerana kerja menangguhkan memang senang. Sudah belajar, tetapi bab buat amal, ditangguh-tangguh dahulu.

Sampai bila? Sampai sudah mati. Tiba-tiba sudah berada di dalam kubur, tidak sempat untuk berbuat apa-apa lagi.

 

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-63

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-63

Ini jenis kedua golongan Yahudi. Mereka itu datuk nenek kepada Yahudi yang hidup zaman Nabi di Madinah. Sekarang cucu cicit merekalah yang duduk di Madinah.

Mereka itu ada perangai buruk yang Allah SWT hendak ceritakan kepada semua. Allah SWT hendak ceritakan pertamanya kepada orang Arab Madinah kerana merekalah yang mula-mula terima al-Qur’an dan mereka yang berdepan dengan golongan Yahudi itu. Kalau Yahudi di Madinah waktu itu, mereka tentu tidak akan menceritakan kesilapan tok nenek mereka.

Oleh kerana Arab Madinah tidak tahu kisah ini, mereka sangka yang golongan Yahudi itu adalah golongan suci yang tidak boleh dipersalahkan. Mereka nampak Yahudi itu macam puak-puak wali sahaja. Maka Allah SWT bongkarkan kisah mereka. Sesudah mereka dengar kisah ini, fikirkanlah bagaimana hubungan mereka dengan golongan Yahudi itu.

Kalau tok nenek mereka berperangai macam itu, ada kemungkinan cucu cicit mereka pun ada perangai macam itu juga. Maka, hendaklah diketahui yang golongan Yahudi itu tidaklah baik sangat.

Kita akan baca tiga keburukan mereka.

1. Tawalli anil Ahkam. Berpaling dari beramal dengan hukum

2. Banyak soal tentang hukum Tuhan. Benda senang tetapi mereka yang susahkan.

3. Suka buat helah dalam beramal dalam hukum Tuhan. Ini kisah mereka menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka tidak boleh menangkap ikan pada hari ibadat, iaitu hari Sabtu. Tetapi hari Sabtu itulah Allah beri ujian dengan ikan keluar dengan banyak. Maka, mereka buat helah dengan tahan pukat pada hari Jumaat dan angkat pada hari Ahad. Mereka kata mereka hanya tangkap ikan hari Ahad sahaja.

Begitulah masyarakat kita sekarang pun buat helah juga. Sebagai contoh, riba’ itu haram. Tetapi dengan helah yang dilakukan, riba’ yang haram boleh jadi halal juga. Cuma nama sudah jadi lain (bunga seolah-oleh boleh diwangikan seperti bunga).

Maka helah sebegitu adalah sifat Yahudi. Begitu juga ada ulama’ dalam Islam yang buat helah dalam hal syariat. Mereka pusing dalil-dalil syariat sampaikan yang haram boleh jadi halal. Mereka pun ikut sifat Yahudi.

Sebagai contoh, Majlis Tahlil adalah bid’ah kerana Nabi tidak pernah buat dan banyak kesalahan di dalam majlis itu tetapi ada tok guru yang bagi hujah ‘murtabak’. Dia kata tepung boleh makan, telur boleh makan, air boleh makan, bawang boleh makan. Maka kalau digaulkan semua sekali jadi murtabak, selalu sahaja dimakan.

Jadi dia beri hujah karut: dalam Majlis Tahlil ada bacaan ayat Qur’an, ada zikir, ada doa. Semua benda ini boleh diamalkan. Jadi kalau digaulkan sekali dalam satu majlis, apa salahnya? Inilah hujah seperti yang digunakan oleh Yahudi, menggunakan helah dalam agama.

وَإِذ أَخَذنا ميثاقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما آتَيناكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan kamu;

Ini adalah perangai pertama mereka iaitu berpaling dari syariat. Perkataan مِيثَاقَ dalam ayat ini sebenarnya ada juga dalam Taurat. Allah gunakan lafaz yang sama supaya mereka tidak ada alasan untuk mengatakan yang ianya adalah perkara yang berlainan. Lafaz عهد juga ada lafaz yang sama dalam Taurat dan al-Qur’an. Ia untuk mengingatkan yang mereka telah berjanji akan berpegang dengan syariat dalam Taurat.

Oleh itu, ini adalah perjanjian dengan tok nenek mereka di zaman Nabi Musa. Perjanjian itu adalah antara tok nenek Bani Israil yang dahulu, tetapi kenapa Allah SWT mengingatkan Bani Israil zaman Nabi Muhammad pula? Ini adalah kerana mereka adalah satu bangsa. Mereka pun tahu tentang perjanjian itu kerana mereka memang berbangga dengan sejarah mereka. Oleh itu, mereka ambil tahu apa yang terjadi dalam sejarah mereka. Maka, mereka memang tahu apa yang telah berlaku.

Kata مِيثَاقَ bermaksud perjanjian yang ada tanggungjawab yang berat di dalamnya. Sebab itulah Allah tekankan dalam ayat ini. Maka jangan ambil lewa tentang perjanjian itu. Penjelasan tentang apakah perjanjian itu ada dalam Surah al-A’raf. Ada hubungan antara Surah Baqarah dan Surah A’raf kerana ada kaitan.

Peringatan kepada Bani Israil zaman Nabi Muhammad itu adalah juga peringatan kepada kita juga. Jangan kita sangka yang perjanjian itu adalah untuk bangsa Yahudi sahaja. Apabila Allah SWT letakkan dalam al-Qur’an, bermakna ia juga untuk perhatian kita juga.

وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ

Dan Kami angkat bukit Thur atas kepala kamu;

Tetapi mereka telah engkar dan kerana itu Allah SWT telah mengangkat Bukit Thur atas mereka. Allah SWT hendak hempap mereka kalau mereka tidak mahu beramal dengan Taurat. Dulu mereka beri alasan tidak ada kitab. Sekarang bila sudah ada, mereka tidak mahu beramal pula. Sampai Allah angkat Bukit Thur ini atas mereka untuk beri ancaman kepada mereka.

Bukit Thur telah diangkat atas mereka kerana mereka engkar kepada Nabi Musa. Mereka engkar apabila mereka kata 70 orang wakil yang mengikut Nabi Musa ke atas bukit itu telah bersekongkol dengan Nabi Musa. 70 orang wakil itu telah dimatikan kerana mereka telah minta untuk melihat Allah SWT secara zahir. Selepas mereka dimatikan, mereka telah dihidupkan.

Selepas dihidupkan, tentulah mereka telah percaya kepada Nabi Musa. Bila mereka turun ke bawah bukit bertemu dengan kaum mereka, mereka telah menceritakan segalanya kepada Bani Israil yang di bawah.Namun, kaum mereka yang lain, masih tidak mahu percaya. Mereka kata wakil-wakil itu telah bersekongkol pula dengan Nabi Musa. Mereka kata Nabi Musa telah rasuah wakil-wakil itu.

Ada juga yang kata memang terangkat bukit Thursina atas kepada mereka terawang-awang. Ada yang kata ia hanya bergegar dan jatuh sahaja.

Apabila bumi bergegar dengan kuat, tentulah kita akan pegang sesuatu. Apa yang kita hendak pegang?

خُذُوا مَا آتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ

Allah berkata: Peganglah sungguh-sungguh apa yang Kami telah beri kepada kamu;

Mereka diarahkan untuk beramal sungguh-sungguh dengan kitab Taurat itu dan jangan main-main. Mereka telah terima Nabi Musa itu tetapi mereka tidak menerimanya dengan serius kerana itulah Allah SWT telah angkat Bukit Thursina atas mereka untuk menakutkan kepada mereka. Ia sebagai penekanan kepada mereka untuk menerima Nabi Musa dan syariat bersungguh-sungguh.

Allah SWT jadikan satu perkara yang hebat dan besar untuk menyedarkan mereka. Jika sesuatu yang besar berlaku, tentulah manusia memberi perhatian. Oleh kerana puak Yahudi itu memang degil, maka Allah SWT kena gunakan kekerasan.

وَاذْكُرُوا مَا فِيهِ

dan ingatlah apa yang ada dalam Taurat itu;

Arahan untuk ‘ingat’ di sini bermaksud: belajarlah. Dan kena sentiasa muzakarah sesama mereka. Jangan culas belajar ilmu yang ada dalam kitab Taurat.

Dan bukan sahaja belajar, tetapi lepas belajar, kena mengajar dan sampaikan kepada orang lain. Kena amalkan yang telah dipelajari itu kerana makna ‘zikr’ bukan hanya ingat, tetapi kena juga ingatkan kepada orang lain.

Maka, kita pun kena belajar dan mengajar tafsir al-Qur’an juga. Bukan hanya mengajar ‘baca’ al-Quran, tetapi mengajar tafsir al-Qur’an. Sekarang orang Melayu rata-rata menjaga bacaan al-Qur’an mereka, sampai ada yang masuk kelas Tajwid untuk orang dewasa tetapi mereka masih tidak masuk kelas belajar tafsir al-Qur’an untuk memahami apakah yang Allah SWT sampaikan dalam al-Qur’an. Ini amat pelik: belajar baca tetapi tidak belajar bagaimana hendak faham apa yang dibaca.

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

mudah-mudahan kamu akan bertakwa;

Apabila Allah SWT kata ‘mudah-mudahan’, ia bermaksud: pasti. Maknanya, kalau kita pegang al-Qur’an dengan belajar dan mengajar, kita akan pasti mendapat takwa. Ini kerana apabila kita mengajar, kita akan selalu diingatkan dengan ajaran dalam al-Qur’an itu, maka mudah-mudahan akan membawa orang yang mengajar itu kepada ketaqwaan.

Allahu a’lam.

06.11 Faedah dari Pengetahuan Sebab Nuzul dalam Pendidikan & Pengajaran

0

Panel: BroSyarief
#241218 Bilik (09) Ulum al-Quran – Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)

06.11 Faedah dari Pengetahuan Sebab Nuzul dalam Pendidikan & Pengajaran – الِاسْتِفَادَةُ مِنْ مَعْرِفَةِ أَسْبَابِ النُّزُولِ فِي مَجَالِ التَّرْبِيَةِ وَالتَّعْلِيمِ

Ramai pendidik yang sering menghadapi kesukaran dalam pemilihan kaedah pengajaran yang terbaik untuk menarik perhatian para pelajar agar fokus dan memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

Khususnya, untuk pembelajaran di peringkat awal, proses pengajaran perlu kepada kreativiti untuk membantu para pengajar mencetuskan keinginan pelajar-pelajar untuk belajar, menggunakan kaedah yang pelbagai dan bersesuaian.

Peringkat ini juga merupakan tahap yang penting bagi para pelajar mendapatkan gambaran umum dan menyeluruh bagi setiap topik, sebelum berpindah ke peringkat seterusnya di mana perbincangan akan masuk kepada butiran mendalam yang lebih banyak cabang dan pecahannya.

Pendedahan mengenai Sebab Nuzul ini merupakan antara kaedah yang terbaik untuk merealisasikan objektif tersebut di dalam pendidikan al-Quran dan pentafsirannya.

Sama ada ia merujuk kepada kes berlakunya peristiwa tertentu atau soalan yang diajukan kepada Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -, menyebabkan Allah menurunkan al-Quran sama ada ayat-ayat tertentu atau satu surah tertentu sebagai respon kepada apa yang ditimbulkan.

Kita dapati bahawa ia mampu menarik perhatian para pelajar untuk memberikan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan menguatkan fokus mereka untuk menerima maklumat-maklumat baru dalam pembelajaran.

Ini kerana peristiwa atau soalan yang diajukan tersebut, menjadikan gambaran keseluruhan bagi apa yang berlaku lebih jelas dalam mencari kesinambungan di antara ayat al-Quran dan rahsia kefahaman di sebalik pentafsirannya.

Demikian juga di dalam pendidikan secara umum, para pendidik digalakkan untuk berusaha memberikan gambaran sebab dan punca bagi sesuatu ilmu dalam bentuk penceritaan yang tersusun dan jelas, dengan menunjukkan persoalan-persoalan yang timbul atau peristiwa yang pernah berlaku. Ini akan membantu para pelajar memahami pelajaran dengan lebih baik dan jelas.

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, Cet. ke-7, m/s 90-91.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Popular

Iklan

Iklan