Utama Bilik (131) Tazkirah Ustaz Naim Tazkirah Ustaz Naim: Perjuangan dan Pengorbanan dalam Dakwah

Tazkirah Ustaz Naim: Perjuangan dan Pengorbanan dalam Dakwah

1901
0
Iklan

Bismillah..

فَلۡیُقَـٰتِلۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِینَ یَشۡرُونَ ٱلۡحَیَوٰةَ ٱلدُّنۡیَا بِٱلۡـَٔاخِرَةِۚ وَمَن یُقَـٰتِلۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَیُقۡتَلۡ أَوۡ یَغۡلِبۡ فَسَوۡفَ نُؤۡتِیهِ أَجۡرًا عَظِیمࣰا

“Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar” [ an-Nisa’: 74 ].

#Ayat ini membicarakan tentang perjuangan dan pengorbanan. Tidak ada kejayaan dalam dakwah dan perjuangan tanpa pengorbanan. Inilah hakikat yang pasti dilalui oleh para pejuang dalam usaha-usaha dakwah dan perjuangan mendaulatkan Islam. Setiap pejuang mestilah mempersiapkan diri serta bersedia berkorban untuk meleburkan diri dalam perjuangan jika ingin melihat matlamat perjuangan Islam menjadi kenyataan.

#Perjuangan meninggikan kalimah Allah SWT tidak akan hidup dan berkembang melainkan dengan jihad serta pengorbanan. Inilah jalan yang telah ditempuh oleh para nabi dan solihin sepanjang zaman dan perlu diteruskan oleh kita semua yang mengaku sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT. Cita-cita untuk mendapatkan kejayaan tanpa usaha dan pengorbanan hanya akan menjadi angan-angan dan omongan kosong sahaja.

#Ketahuilah bahawa tuntutan jihad dan berkorban dalam mendaulatkan agama Allah SWT adalah sunnah Rasulullah SAW dan para pejuang Islam. Firman Allah SWT:

لَـٰكِنِ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ جَـٰهَدُوا۟ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمُ ٱلۡخَیۡرَ ٰ⁠تُۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

“(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya” [ at-Tawbah: 88 ]

ٱنفِرُوا۟ خِفَافࣰا وَثِقَالࣰا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِۚ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui” [ at-Tawbah: 41]

#Bagi para pejuang yang ikhlas di jalan Allah SWT, maka Allah SWT menjanjikan ganjaran yang teristimewa kepada mereka di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

وَلَىِٕن قُتِلۡتُمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ أَوۡ مُتُّمۡ لَمَغۡفِرَةࣱ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَحۡمَةٌ خَیۡرࣱ مِّمَّا یَجۡمَعُونَ

“Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa – semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan daripada Allah SWT dan rahmat-Nya adalah lebih baik (bagi kamu) daripada apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup)” [ Aali Imran: 157 ].

♡Pastikan setiap detik masa yang dianugerah oleh Allah kepada kita, tidak berlalu dengan sia-sia dan sentiasa dalam ruang lingkup untuk mendaulatkan Islam. Lumrah kehidupan mengajar kita bahawa sesuatu kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan memerlukan jihad dan pengorbanan.

Yakinlah bahawa pengorbanan yang dilakukan untuk perjuangan Islam merupakan suatu perniagaan atau pelaburan yang sangat menguntungkan terutama di akhirat kelak♡

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan