Utama Blog Halaman 67

At-Tazkirah Al-Qurthubi: Bab Ingat Mati dan Persediaan Menghadapinya-Atsar dan Hadith

0

At-Tazirah al-Qurthubi (W671H)

Kod 3.0 Bab Ingat Mati dan Persediaan Menghadapinya (باب ذكر الموت و الاستعداد له)

3.14: Atsar Seputar Fadhilat mengingati mati: at Taimi*

و قال التيمي : شيئان قطعا عني لذة الدنيا : ذكر الموت . و ذكر الموقف بين يدي الله تعالى . و كان عمر بن عبد العزيز رضي الله عنه يجمع العلماء فيتذاكرون الموت ، و القيامة ، و الآخرة ، فيبكون حتى كأن بين أيديهم جنازة .

“Berkata at Taimi*: Dua perkara yang memutuskan kelazatan dunia daripada diriku:
1. Mengingati kematian
2. Apakah kedudukan aku nanti di hadapan Allah

Pernah Umar bin Abdul Aziz ra (bin Marwan bin al Hakam, khalifah adil daripada Bani Umayyah, wafat 101H) mengumpulkan para ulama` di mana mereka saling mengingati akan kematian, qiyamah dan kehidupan akhirah, kemudian mereka semua menangis seolah olah ada jenazah di hadapan mereka.”

*at Taimi=abdul A’laa at Taimi, disebut oleh abu Nu’aim dalam al Hilyah, al Bukhari dalam Tarikh al Kabir (6:72) akan tetapi tanpa biografi.

3.15: Atsar Seputar Fadhilat mengingati mati: Atsar at Thaury

و قال أبو نعيم : كان الثوري إذا ذكر الموت لا ينتفع به أياماً . فإن سئل عن شيء قال : لا أدري لا أدري

Berkata Abu Nu’aim (al Hilyah, 6:397) “Apabila at-Thaury* ingat akan mati, maka selama berhari-hari dia tidak mengajar, dan jika ditanya tentang sesuatu, maka jawabnya: banyak dia menjawab “aku tidak tahu, aku tidak tahu.’”

*Abu Abdillah Sufyan bin Masruq al Thaury al Kufi (ulama’ besar Kufah, Iraq. Wafat 126H)


3.16: Atsar seputar Fadhilat mengingati mati: al Asbath* (dhaif)

. و قال أسباط : ذكر عند النبي صلى الله عليه و سلم رجل فأثنى عليه فقال عليه السلام : كيف ذكره للموت ؟ فلم يذكر ذلك عنه . فقال : ما هو كما تقولون

Berkata al Asbat*
Asbath berkata, pernah ada seseorang yang disebut-sebut namanya di sisi Nabi SAW dan memujinya. Maka Nabi bertanya: “Bagaimana cara dia mengingat mati?” Tidak ada satu pun yang menjawab. Baginda bersabda: “Dan tidak seperti yang kamu katakan?”’ (HR Ibn Abi Dunya daripada Anas bin Malik, Dhaif, Ihya’ Uloomiddin, Tahqiq al Iraqi no. 4348).

*al asbat: Abu Yaacob, Yusof bin Ssbath, murid Sufyan at Thauri, wafat 195H, Kufah.

3.17 : Hadith Cukuplah Mati sebagai Pengajaran

و روي عنه عليه السلام أنه قال : كفى بالموت واعظاً و كفى بالموت مفرقاً

“Cukup dengan mati menjadi pengajaran dan cukup dengan mati juga menjadi pemisah antara hak dan batil”.

HR Ahmad dalam az Zuhd dr Ammar bin Yasir, ms 176; Nu’aim bin Hammad, Zawaid az Zuhd, dr Ibn Mas’ood, no 148;
Tahqiq al Albani: Sahih Mauquf (sejenis hadith dhaif), silsilah al dhaifah no 502; ia juga dinisbahkan sebagai kata-kata Fudhail bin Iyyadh, az Zahabi, Siyar a’lam an Nubala, 8:388.

3.18: Atsar Seputar Fadhilat Mengingati Mati: Atsar ad Daqaaq

و قال الدقاق : من أكثر من ذكر الموت أكرم بثلاثة أشياء : تعجيل التوبة و قناعة القلب ، و نشاط العبادة . و من نسي الموت عوقب بثلاثة أشياء : تسويف التوبة ، و ترك الرضى بالكفاف ، و التكاسل في العبادة

Berkata ad Daqaaq*: “Siapa yang banyak mengingati kematian maka akan mendapat tiga kemuliaan:- bersegera untuk bertaubat, hatinya qana’ah (merasa cukup) dan sentiasa bersemangat dalam beribadah. Barangsiapa yang lalai daripada mengingati mati akan mendapat tiga perkara: menunda taubat, tidak pernah rasa puas daripada kecukupan dan malas dalam beribadah”. (al Baihaqi, zuhud al kabeer, 2:158; abu Nu’aim, al Hilyah, 8:60
———————————-

* ad Daqaaq = أبو علي الدقاق هو الحسن بن علي بن محمد النيسابوري الأصل الزاهد العارف شيخ الصوفية صحب الأستاذ أبا القسم النصر آباذي وكان شيخ أبي القاسم القشيري والقشيري تزوج بابنته فاطمة. وتوفي في ذي الحجة سنة405 ه

Beliau adalah al Husin bin Ali bin Muhammad al Nisabury (Nisabur, Iran), syaikh sufi dan guru kepada pendiri tareqat Qusyairiah, Abul Qasim al Qusyairy. Wafat 405H.

3.19: Atsar seputar Fadhilat mengingati Mati: Atsar al Hasan al Basri rh

و قال الحسن البصري : [ إن قوماً آلهتهم الأماني حتى خرجوا من الدنيا و ما لهم حسنة و يقول أحدهم : إني أحسن الظن بربي . و كذب لو أحسن الظن لأحسن العمل ] و تلا قوله تعالى : و ذلكم ظنكم الذي ظننتم بربكم أرداكم فأصبحتم من الخاسرين

Berkata al Hasan al Bashri *: “Sesungguhnya suatu kaum telah tertipu dengan pelbagai angan-angan sampai mereka meninggalkan dunia (mati) tanpa membawa kebaikan. Salah seorang mereka berkata, “Aku berbaik sangka kepada Tuhanku.” Dia telah berdusta, jika dia baik sangka maka sudah tentu dia membawa amal yang terbaik. Kemudian al Hasan membaca firman Allah SWT [dan itulah sangkaan kamu terhadap Tuhan kamu, sangkaan itu telah membinasakan sebenarnya hingga kamu termasuk orang yang merugi” [41:23]

————————————-
*al Hasan al Bashri, Abu Sa’id al Hasan Yasar bin Abil Hasan al Bashri, imam para tabi’in, wafat 110H.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-124 dan Ke-125

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-124

Ini adalah berkenaan dengan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan permulaan kebangkitan umat akhir zaman (umat Nabi Muhammad ﷺ). Ada keistimewaan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Bukan umat Bani Israil sahaja yang ada keistimewaan.

Umat Nabi Muhammad ﷺ lahir daripada doa seorang Nabi dan yang mendoakan untuk mereka itu adalah Nabi Ibrahim عليه السلام, seorang Nabi yang hebat, yang unggul. Bani Israil juga mengenali baginda. Sebelum ini telah banyak disebut tentang kisah-kisah mereka.

Yahudi menerima Nabi Ibrahim عليه السلام juga walaupun mereka menolak Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka bagi nama Ibrahim kepada anak-anak mereka (Abraham). Begitu juga Nasara menerima Nabi Ibrahim عليه السلام (mereka menamakan anak mereka Abraham) walaupun mereka tolak Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat-ayat ini adalah untuk memperkenalkan baginda.

Ayat ke-124 hingga ke-141 adalah peringatan kepada Bani Israil supaya kembali kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Juga diingatkan tentang seruan Nabi Ya’qub عليه السلام supaya mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ juga merupakan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام hasil daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri.

Ahli kitab diingatkan supaya tidak membezakan rasul-rasul, terima semuanya daripada Allah ‎ﷻ. Ahli kitab diperintahkan menerima syariat daripada rasul terakhir dan tinggalkan ajaran terdahulu yang telah banyak diselewengkan.

وَإِذِ ابتَلىٰ إِبراهيمَ رَبُّهُ بِكَلِماتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قالَ إِنّي جاعِلُكَ لِلنّاسِ إِمامًا ۖ قالَ وَمِن ذُرِّيَّتي ۖ قالَ لا يَنالُ عَهدِي الظّالِمينَ

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ

Ketika diuji Nabi Ibrahim oleh Tuhannya

Allah ‎ﷻ memulakan dengan kisah perjuangan Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana hebatnya manusia adalah kerana perjuangan mereka. Baginda telah diuji dengan perkara-perkara keagamaan dengan ujian yang besar-besar.

Ada riwayat yang kata ujian itu adalah dengan 10 perkara amalan fitrah seperti potong kuku, simpan janggut dan sebagainya. Tetapi itu tidak tepat kerana itu bukanlah perkara-perkara yang besar. Yang besarnya adalah perjuangan baginda memperjuangkan tauhid.

Ia ada disebut dalam Al-Qur’an. Bayangkan baginda telah bertembung dengan raja dunia, Namrud. Namrud itu adalah raja yang besar, kerana dia adalah Raja Dunia, tidak macam Firaun, kerana Firaun adalah Raja Negara Mesir sahaja. Bayangkan, Nabi Ibrahim عليه السلام yang miskin diperintahkan untuk mengajak raja satu dunia untuk beriman. Ini bukan hal yang kecil.

بِكَلِمَاتٍ

dengan beberapa jenis ujian;

Baginda telah diuji dengan berbagai-bagai lagi ujian: Baginda pernah dihumban ke dalam api; baginda kena berpisah dengan ayah dan kampung halaman kerana baginda telah dihalau dari negaranya iaitu Iraq dan kena tinggal di Palestin; baginda terpaksa berpisah dengan isteri-isterinya untuk jangka masa yang lama.

Baginda harus meninggalkan isterinya Sarah, hanya empat kali sahaja jumpa isterinya dalam setahun. Isterinya yang kedua, Hajar, harus ditinggalkan di Mekah. Baginda juga harus meninggalkan anaknya Nabi Ismail عليه السلام. Hanya dapat ziarah setahun sekali. Dan kemudian diuji untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Teruk-teruk ujian yang dikenakan ke atas baginda. Selain dari waktu yang disebut di atas, baginda mesti pula menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

فَأَتَمَّهُنَّ

Semuanya Nabi Ibrahim sempurnakan;

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Nabi Ibrahim عليه السلام telah menyempurnakan dan melepasi segala ujian-ujian itu. Kita semua memang diuji selama kita di dunia. Tetapi kita tidak tahu sama ada kita telah melepasi ujian kita. Namun lihatlah Nabi Ibrahim عليه السلام dapat tahu semasa di dunia lagi yang baginda telah melepasi ujiannya. Alangkah beruntungnya Nabi Ibrahim عليه السلام.

Antara banyak-banyak ujiannya yang kita pernah dengar, yang paling selalu kita dengar adalah tentang bagaimana baginda telah disuruh untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail عليه السلام. Baginda telah bermimpi bahawa Allah ‎ﷻ telah mengarahkan baginda untuk menyembelih Nabi Ismail عليه السلام. Baginda amat sayangkan anaknya itu, namun baginda sedar bahawa itu adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Sudahlah baginda sebelum itu tidak pernah ada anak walaupun isterinya ada dua. Setelah anaknya Nabi Ismail ‎ﷻ itu besar, sudah boleh menolong baginda dalam kerja-kerja dakwah, baginda disuruh pula untuk menyembelih anaknya itu. Maka baginda telah bertanya pendapat Nabi Ismail ‎ﷻ tentang perkara itu dan Nabi Ismail ‎ﷻ pun sanggup untuk menerima ujian itu.

Nabi Ibrahim ‎ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ itu. Tetapi Allah ‎ﷻ telah menggantikan Nabi Ismail ‎ﷻ dengan seekor kibas. Jadi, Nabi Ismail ‎ﷻ tidak disembelih akhirnya. Maka, kita telah diarah untuk mengabadikan kisah itu ke dalam amalan berkorban. Setiap tahun kita akan berkorban dan kita mengingati peristiwa Nabi Ibrahim ‎ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ tanpa bantahan.

Kalau kita fikirkan secara logik, tentulah tidak patut seorang ayah untuk menyembelih anaknya sendiri. Tetapi oleh kerana ia adalah perintah Allah ‎ﷻ, maka Nabi Ibrahim عليه السلام telah jalankan juga. Itulah satu contoh bagaimana seorang Nabi tidak melanggar arahan Allah ‎ﷻ.

Walaupun ia kedengaran tidak logik pada akal kita, namun begitulah juga, sepatutnya kita menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ tanpa persoalan. Walaupun kita tidak tahu apakah hikmah dalam perbuatan itu. Seperti contohnya, Allah ‎ﷻ telah mengarahkan kita semua menjalankan hukum hudud. Lalu bagaimana lagi kita boleh membantahnya?

Malangnya, banyaklah alasan-alasan akal yang diberikan oleh manusia sebagai mengatakan bahawa ia tidak boleh dilakukan. Ada yang kata ia tidak sesuai dijalankan pada zaman ini. Mereka sebenarnya hendak menggunakan akal untuk menghujah hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Padahal, hikmah sesuatu perkara itu hanya akan didapati apabila kita telah menjalankannya.

Kita selalu menyebut-nyebut kisah Nabi Ibrahim عليه السلام itu tetapi kita tidak mengambil pengajaran daripadanya. Pengajarannya adalah kita sebagai manusia hendaklah mengikut perintah Allah ‎ﷻ tanpa apa-apa alasan lagi. Bukanlah kita boleh menggunakan akal untuk membincangkan sama ada arahan Allah ‎ﷻ itu sesuai ataupun tidak. Kerana akal kita tidak akan dapat menilainya. Akal kita tidak akan sampai untuk mencapai maksudnya.

قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا

Allah Taala berfirman: sesungguhnya Aku hendak menjadikan kamu bagi manusia semua sekali sebagai imam;

Maksud imam itu adalah ‘sebagai ikutan’. Ikutan bagi semua manusia kerana imam dalam salat duduk di hadapan dan menjadi ikutan makmum, bukan? Ini adalah satu penghormatan yang besar kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Imam maksudkan sebagai ikutan daripada segi sifat. Kerana ‘Imam’ yang menjadi ikutan ada banyak – bidang hadith, bidang feqah dan sebagainya.

Tetapi Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah ikutan dari segi sifat baginda. Antaranya, sifat taatnya, sifat kemanusiaan yang sempurna. Baginda telah menjadi contoh teladan.

قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

Nabi Ibrahim jawab: dan daripada anak cucu aku juga;

Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya Allah ‎ﷻ melantik juga keturunan baginda sebagai imam yang akan menjadi ikutan manusia. Baginda tidak mahu baginda seorang sahaja yang menjadi ikutan. Baginda hendakkan keturunannya yang dijadikan sebagai contoh juga. Maknanya, Nabi Ibrahim عليه السلام ini memikirkan tentang orang lain juga, bukan dirinya sahaja.

Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya keturunannya menjadi imam juga kerana baginda tahu ajaran yang dibawanya akan menjadi ikutan. Maka baginda mengharap supaya akan ada yang mentadbir selepas baginda tiada nanti.

Tapi lihatlah cara Nabi Ibrahim عليه السلام meminta. Baginda bermohon kepada Allah ‎ﷻ selepas baginda telah melakukan suruhan dan ujian Allah ‎ﷻ. Begitulah juga kita, seeloknya kita berdoa selepas kita telah melakukan ibadat kepada Allah ‎ﷻ, sama ada salat, baca Al-Qur’an, tolong orang lain dan sebagainya iaitu selepas kita melakukan taat kepada Allah ‎ﷻ kerana waktu itu doa kita lebih diterima.

قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Allah jawab: tidak akan terima perjanjian ini kepada orang yang zalim;

Walaupun seseorang itu adalah anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام, tetapi kalau dia melakukan syirik, dia tidak akan akan diterima untuk menjadi imam, untuk jadi ikutan.

Memang ramai daripada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام seperti Nabi Ishak عليه السلام yang menjadi Nabi dan rasul. Memang tidak dinafikan ramai daripada keturunan baginda yang beriman. Namun ada juga yang sesat. Zalim di dalam ayat ini adalah bermaksud syirik kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ kata golongan zalim tidak akan dapat mencapai kedudukan Imam itu. Maknanya ada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام yang zalim juga.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi Ibrahim عليه السلام bahawa bukan semua dari keturunannya akan jadi baik. Ada juga yang tidak menjadi kerana iman bukan boleh diwarisi. Kalau Allah ‎ﷻ telah memberikan sesuatu kelebihan kepada seseorang, bukanlah bermakna keturunannya pun akan dapat juga.

Jadi janganlah kita mengagungkan keturunan, walaupun keturunan itu dari keturunan Rasulullah ﷺ sekalipun. Sedangkan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri tidak diterima secara menyeluruh.

Sekarang ini sudah ada satu pemahaman di kalangan masyarakat kita yang mengagung-agungkan keturunan Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu yang dipanggil golongan Habib. Ini adalah produk rekaan baru manusia kerana kalau dahulu kita tidak dengar pun golongan ini. Mereka kebanyakannya datang dari Yaman dan mereka telah mengelabui mata mereka yang jahil dalam negara kita ini.

Ramai masyarakat kita yang menerima bulat-bulat amalan dan ajaran daripada mereka itu walaupun apa yang mereka ajar itu bukanlah bawaan daripada Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi, kerana masyarakat kita sayang kepada Nabi ﷺ, maka mereka sangka betullah anak cucu keturunan baginda juga. Ingatlah bahawa kalau benar pun mereka daripada keturunan Nabi ﷺ (ini pun belum tentu lagi sebenarnya), tetapi kalau apa yang mereka bawa itu adalah ajaran dan amalan bidaah, ia tetap tidak akan diterima.

Masyarakat kita pun kalau ada dalam kalangan mereka yang ada Sayed, atau Syed sahaja sudah layan mereka lain macam. Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan apa-apa kalau pun mereka memang benar daripada keturunan Nabi ﷺ. Mereka juga sama macam kita. Kalau apa yang mereka amalkan itu benar, akan diterima. Malah mereka lebih lagi daripada kita kerana mereka itu keturunan Rasulullah ﷺ.

Tetapi kalau amalan mereka itu salah, tetap tidak akan diterima walaupun mereka daripada keturunan Nabi Muhammad ﷺ yang sah pun.

Tafsir Ayat Ke-125

Kelebihan kedua yang disebut adalah kelebihan Kaabah. Ia adalah tempat asas agama Nabi Ibrahim عليه السلام dan ia juga adalah tempat asas agama Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak menceritakan kelebihan Mekah pula.

Di Mekah ada Kaabah, satu-satunya masjid yang orang bersalat menghadap ke tengah. Kalau masjid lain, semua mengadap ke dinding, bukan? Tetapi di Kaabah ini ada kelebihan yang tidak ada pada masjid lain.

وَإِذ جَعَلنَا البَيتَ مَثابَةً لِلنّاسِ وَأَمنًا وَاتَّخِذوا مِن مَقامِ إِبراهيمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدنا إِلىٰ إِبراهيمَ وَإِسماعيلَ أَن طَهِّرا بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَالعاكِفينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ

Dan ingatlah ketika Kami jadikan Baitullah

Sebelum ini Nabi Ibrahim عليه السلام memohon kepada Allah ‎ﷻ supaya dijadikan daripada keturunannya juga imam-imam yang menjadi ikutan selepas baginda. Sekarang Allah ‎ﷻ terus memperkatakan tentang Kaabah selepas sentuh tentang keturunan tadi.

Kaabah adalah umpama ‘ibu’ kepada masjid-masjid yang lain di dalam dunia ini. Maka, ada kaitan masjid di dalam pembinaan akhlak anak-anak. Kena mesrakan anak-anak dengan masjid. Kena bawa mereka ke masjid supaya mereka tidak janggal dengan masjid. Yang menyedihkan adalah, masjid di Malaysia ini tidak mesra kanak-kanak. Mereka dilayan seperti warganegara kelas ketiga di masjid. Mereka selalu dimarahi apabila mereka berada di masjid.

Kalau dibenarkan salat, mereka diberikan tempat yang jauh daripada orang-orang dewasa. Mereka ada tempat khas salat. Iaitu bukan saf kanak-kanak. Tetapi ‘saf kanak-kanak bermain’.

Kemudian mereka selalu dimarahi oleh orang-orang tua di dalam masjid, seolah-olah mereka tidak patut berada di sana. Kalau mereka dapat pengalaman yang tidak bagus tentang masjid semasa umur muda, bagaimana mereka hendak mesra dengan masjid apabila mereka sudah dewasa nanti? Sebab itu orang-orang muda kita tidak rapat dengan masjid kerana pengalaman tidak menarik di sana.

مَثَابَةً لِلنَّاسِ

sebagai satu tempat tumpuan bagi manusia semua sekali

Perkataan مَثَابَةً bermaksud suatu tempat rujukan yang akan didatangi berkali-kali bagi seluruh manusia. Zaman Nabi ﷺ dahulu dan sahabat, Mekah adalah tempat rujukan. Khutbah Nabi ﷺ yang paling panjang adalah semasa di Mekah. Cuma zaman sekarang ia menjadi tempat tumpuan semasa musim haji sahaja.

Padahal pada zaman dahulu, itulah pusat pemerintahan kerajaan Islam. Itulah zaman keemasan Islam. Kalau ada masalah umat islam sedunia, kena selesaikan di sana. Pemimpin akan berkumpul dan berdiskusi di sana dan pengumuman yang penting-penting akan dilakukan di sana. Terutamanya semasa Musim Haji kerana umat Islam akan berkumpul di sana dan para pemimpin turut akan datang dan berbincang di sana. Pengumuman penting akan dilakukan di sana.

وَأَمْنًا

dan sebagai satu tempat yang aman;

Mekah adalah satu tempat yang aman sampaikan binatang dan tumbuhan pun tidak boleh dikacau, apatah lagi manusia. Di Mekah tidak boleh merompak, mencuri dan membunuh.

Jika pada zaman dahulu, kalau ada yang membunuh keluarganya sendiri, tidak akan seseorang itu membunuh orang yang bersalah itu kalau sudah memasuki ke dalam Masjidil Haram. Sesiapa yang masuk dalam Masjidil Haram tidak akan dibunuh. Tetapi malangnya Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ daripada salat di Kaabah.

Memang Mekah pada zaman itu aman kalau dibandingkan dari tempat-tempat yang lain. Kalau tempat lain, bermaharajela pembunuhan, rompakan dan serangan. Akan tetapi tidak di Mekah kerana penduduk Tanah Arab penyembah berhala waktu itu dan selalunya ada berhala mereka diletakkan di Kaabah. Maka mereka menghormati juga Kaabah dan Mekah tidak akan diserang.

Pada waktu itu kerajaan besar adalah Rom dan Parsi. Dua kerajaan ini juga tidak menyerang Mekah kerana tidak ada kepentingan bagi mereka. Mekah itu jauh daripada tamadun dan tidak ada kepentingan bagi mereka. Mereka buat tidak tahu sahaja dengan Mekah. Maka Mekah selamat daripada dijajah.

وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

Dan kamu jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat sembahyang;

Allah ‎ﷻ telah memberi arahan kepada kita untuk menjadikan Maqam Ibrahim itu sebagai tempat salat sunat. Selepas tawaf, dianjurkan untuk salat sunat di situ.

Maqam Ibrahim itu adalah batu yang dijadikan sebagai tempat Nabi Ibrahim عليه السلام membangunkan Kaabah. Kaki Nabi Ibrahim عليه السلام terserlum ke dalam batu itu dan bekas kaki baginda itu ada sampai sekarang.  Tetapi telah ditutup supaya mereka yang pergi ke sana, tidak nampak. Itu pun orang sudah sapu dan cium bekas yang diletakkan batu itu sebab mereka hendak mengambil berkat. Ini adalah perbuatan yang salah. Manusia kalau iman tidak kuat, mereka akan cari benda-benda seperti itu untuk diambil sebagai berkat.

Allah ‎ﷻ sedang memberi isyarat tentang ibadat Haji dalam ayat ini. Sedangkan ayat ini semasa umat Islam ketika itu berada di Madinah dan mereka tidak boleh ke Mekah lagi kerana masih dikuasai oleh puak Musyrikin Mekah. Maka, Allah ‎ﷻ sedang memberi isyarat kepada mereka bahawa mereka akan dapat pergi buat Haji ke Mekah nanti. Ia adalah isyarat kepada berita gembira untuk mereka.

وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ

Dan ketika Kami titahkan arahan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

Perkataan عهد bermaksud ‘perjanjian’, tetapi apabila ditambah dengan perkataan إِلَىٰ, ia bermaksud arahan untuk melakukan sesuatu. Allah ‎ﷻ sebut juga Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini. Maknanya ada arahan titah daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka berdua.

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya keturunannya juga dijadikan sebagai imam. Allah ‎ﷻ kata janji-Nya itu tidak diberikan kepada orang yang zalim. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyebut Nabi Ismail, anaknya. Bermakna, ada daripada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام yang baik-baik. Antaranya yang disebut adalah Nabi Ismail عليه السلام.

Ayat ini sedang dibaca oleh orang Yahudi juga. Mereka tidak menerima Nabi Ismail ‎عليه السلام kerana Nabi Ismail عليه السلام adalah bapa bagi keturunan Arab. Orang Yahudi hanya menerima Nabi Ishak عليه السلام sahaja, anak Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Oleh kerana Orang Yahudi tidak menerima Nabi Ismail عليه السلام, Allah ‎ﷻ memuliakan Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini.

Ayat ini menceritakan Allah ‎ﷻ memberi arahan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام. Ini juga sebagai isyarat bahawa seorang ayah kena bawa anaknya ke masjid. Bukan pergi seorang sahaja. Kita telah sebutkan sebelum ini yang seorang ayah kena mesrakan anak ke masjid. Masalah sekarang, ayah pun jarang ke masjid. Kalau ayah pun tidak ke masjid, bagaimana anaknya hendak ikut ke masjid?

أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ

supaya menyucikan rumahKu ini;

Nabi Adam عليه السلام yang mula-mula sekali bangunkan Kaabah. Kemudian rosak bila banjir besar. Maka dikatakan Nabi Nuh عليه السلام telah membetulkannya balik. Kemudian manusia berbuat syirik dan letak berhala di Kaabah. Sekarang disebut yang Allah ‎ﷻ telah arahkan mereka berdua untuk menyucikan Kaabah daripada benda-benda yang pernah mengotori Kaabah.

Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ telah ada macam-macam kemungkaran di Kaabah ketika itu. Maknanya, dari zaman Nabi Nuh عليه السلام lagi sudah ada orang buat perangai syirik di situ. Ia telah dijadikan tempat memuja selain Allah ‎ﷻ. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ mengarahkan mereka berdua untuk membersihkan Kaabah. Maka, sebelum Nabi Ibrahim عليه السلام membina semula Kaabah, kita tahu yang berhala sudah ada di Kaabah.

لِلطَّائِفِينَ

bagi orang orang yang tawaf

Diutamakan dan didahulukan Kaabah untuk orang yang tawaf di situ. Ini kerana di Kaabah sahaja tempat tawaf. Sebab itulah dibolehkan melintas mereka yang salat sunat untuk mengerjakan tawaf.

Sebab keutamaan mengerjakan tawaflah yang menyebabkan penjaga-penjaga di sekeliling Kaabah akan berusaha untuk memberikan ruang untuk mereka yang tawaf.

وَالْعَاكِفِينَ

dan orang-orang yang iktikaf;

Iktikaf bermaksud masuk masjid dan niat untuk duduk dalam masjid untuk beberapa lama. Bukan hanya masuk sahaja. Macam sekarang, orang kita faham, masuk masjid untuk salat sahaja, sudah dikira iktikaf.

Sebenarnya, iktikaf itu adalah masuk dan tidak keluar selama beberapa waktu yang lama. Maknanya, sudah lain makna iktikaf sekarang dengan yang sepatutnya. Iktikaf hanya boleh dilakukan di masjid, maka kita tidak boleh iktikaf atas kubur. Yang iktikaf di kuburan itu adalah golongan quburiyyun, termasuk golongan Habib sekarang.

Dari segi bahasa, iktikaf itu adalah ‘bertapa’. Selalunya selama sehari semalam. Tetapi dalam Islam, tidak ada syariat untuk bertapa. Jadi, iktikaf kita hanya boleh dilakukan di masjid. Bukanlah itu lebih baik? Daripada bertapa di gunung, bukit, lembah atau dalam kubur?

Tetapi tarekat-tarekat sesat telah mengajar anak murid mereka untuk bertapa di tempat-tempat kotor macam itu. Kononnya boleh meningkatkan maqam/darjat ilmu. Masih banyak lagi dilakukan sekarang. Ini adalah kerana masih ramai lagi yang tertipu dengan ajaran-ajaran sesat sebegitu.

وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

dan bagi orang yang rukuk dan sujud;

Maksudnya, Kaabah adalah tempat untuk manusia mendirikan sembahyang.

Maknanya, Kaabah itu adalah tempat bagi orang tawaf, iktikaf dan melakukan salat. Daripada ayat ini, yang kita disuruh buat di Kaabah adalah banyakkan membuat tawaf, iktikaf dan salat di Masjidil Haram. Bukanlah kita disuruh buat umrah banyak-banyak kali macam yang dilakukan oleh ramai orang sekarang.

Maka tidak sepatutnya orang buat umrah sampai dua tiga kali. Sahabat tidak ada buat begitu. Kecualilah kalau mereka ada urusan lain dan keluar semula. Iaitu mereka keluar itu kerana ada urusan. Banyak yang salah faham tentang perkara ini. Sampai ada yang buat umrah banyak-banyak kali. Selalunya mereka hendak mengejar sampai cukup tujuh kali buat Umrah.

Ini adalah kerana salah faham dengan hadith Nabi ﷺ yang mengatakan kalau tujuh kali umrah, bersamaan pahala dengan buat haji sekali. Tetapi hadith itu tidak sahih maka tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Kita kena lihat amalan Nabi dan sahabat. Adakah Nabi ﷺ buat umrah banyak kali setiap kali Nabi ﷺ pergi ke sana? Tidak, bukan? Maka sepatutnya kita buat umrah sekali, kemudian kita banyakkan buat ibadat tawaf seperti yang diisyaratkan dalam ayat ini.

Jadi, tuntutan kepada kita apabila berada di Masjidil Haram adalah melakukan tawaf, iktikaf dan salat sahaja. Yang buat umrah banyak kali itu, mereka sudah tidak sempat untuk salat sunat di Masjidil Haram. Sebab tidak sempat untuk mengejar masa ke tempat miqat.

Atau, mereka sudah tidak buat salat sunat dan ibadah lain sebab mereka sudah tidak larat untuk ke sana sini. Padahal, setiap kali salat di Masjidil Haram, pahala salat itu akan digandakan sebanyak seratus ribu kali. Ini adalah dari hadith yang sahih. Adakah Nabi ﷺ menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kalau buat umrah banyak kali? Tidak.

Manakala apabila mereka mengerjakan umrah banyak kali, mereka tidak akan melakukan tawaf sunat lagi. Maka yang sebetulnya kena banyakkan salat dan tawaf di Masjidil haram. Rugi kalau kita tidak solat di Masjidil haram banyak kali sebab satu waktu bersamaan seratus ribu pahala berbanding salat di tempat lain.

Lihatlah juga keindahan bahasa Al-Qur’an yang tepat. Allah ‎ﷻ sebut:

لِلطَّائِفِينَ Untuk orang-orang yang bertawaf

وَالْعَاكِفِينَ DAN orang-orang yang beriktikaf

وَالرُّكَّعِ DAN orang-orang yang rukuk

السُّجُودِ Sujud. Tidak ada kata DAN di antara rukuk dan sujud kerana dua-dua ada dalam salat.

Begitu juga ada susunan yang tepat ‘daripada sedikit kepada banyak’ dalam susunan ibadah-ibadah itu:

Tawaf: ibadat yang paling kurang di antara semua ibadah yang disebut. Kerana hanya boleh dilakukan di Kaabah sahaja.

Iktikaf: lagi banyak dilakukan oleh manusia. Kerana boleh dilakukan di mana-mana masjid jami’ sedangkan tawaf hanya boleh dilakukan di Kaabah sahaja. Tetapi lagi kurang daripada rukuk.

Rukuk: lagi banyak dilakukan daripada iktikaf. Tetapi lagi kurang daripda sujud.

Sujud: paling banyak dilakukan. Kita rukuk sekali sahaja dalam satu rakaat, tetapi sujud dua kali. Dan manusia juga boleh melakukan sujud sunat. Tetapi tidak ada rukuk sunat, bukan?

Lihat juga ada perubahan susunan daripada ibadat yang khas kepada ibadat yang umum.

Allahu a’lam. 

Kesalahan Di dalam Salat / 27

0

Hukum Salat Bagi Pesalat Yang Membawa Imej atau Gambar

Beberapa kesalahan pesalat di dalam isu pakaian salat dan menutup aurat ketika salat.

الفصل الأول: جماع أخطاء المصلّين في ثيابهم وستر عوراتهم في الصلاة

 

Bahagian 1: Salat dengan memakai pakaian yang ada gambar ( الصَّلاة في الثّوب الذي عليه صورة )

Dalil daripada hadith ‘Aisyah رضي الله عنها,

 عن عائشة ـ رضي الله عنها ـ قالت : قام رسول الله يصلّي في خميصةٍ ، ذات أعلام ، فلما قضى صلاته قال: اذهبوا بهذه الخميصة إلى أبي جهم بن حذيفة ، وأتوني بأنْبِجَانيّة ، فإنها ألهتني آنفاً في صلاتي (أخرجه : البخاري : كتاب الصّلاة : باب إذا صلّى في ثوب له أعلام : (1/482-483) رقم (373) . ومسلم : كتاب المساجد ومواضع الصّلاة : باب كراهة الصّلاة في ثوبٍ له أعلام : (1/391) رقم (556) 

Terjemahan:

Rasulullah pernah salat dengan pakaian khamishah (pakaian daripada bulu) yang bercorak. Dalam salatnya, baginda memandang sekilas corak pakaian tersebut. Setelah selesai salat, baginda bersabda: “Serahkan khamishah ini kepada Abu Jahm bin Huzaifah, dan ambilkan untukku pakaian “anbijaniyah” (hadiah dari Abu Jahm) kerana pakaian khamishah tadi melalaikan khusyuk salatku

(HR Bukhari no.373 dan Muslim no.556)



والأنبجانيّة التي طلبها الرسول  ، هي كساء غليظ ، لاعلم فيه ، بخلاف الخميصة التي ردّها فهي ذات أعلام ، ولعل كلمة أعلام أبلغ من الصّور 

Terjemahan:

Pakaian “anbijaniah” yang diminta Nabi adalah sejenis baju tebal yang kosong atau tanpa corak apa apa pun, berbeza dengan Khamisah yang ada a’lam (yang bercorak dan mempunyai gambar)



Bahagian 2: Salat dengan memakai cincin yang diukir dengan benda yang bernyawa

سئل الإمام مالك ـ رحمه الله تعالى ـ عن الخاتم يكون فيه التماثيل ، أيلبس ويصلّى به ؟ قال : لا يلبس ولا يصلّى به(المدونه الكبرى : (1/91) ).

وقال البيهوتي : ((ويكره للمصّلي حمله فصّاً فيه صورة أو حمله ثوباً ونحوه كدينار أو درهم فيه صورة)


Fiqh Mazhab Maliki:

Diajukan soalan kepada Imam Malik رحمه الله‎ mengenai pesalat yang memakai cincin yang diukir seperti patung. 

Apakah boleh dipakai atau tidak?, Imam Malik menjawab tidak boleh“.

[Imam Sahnun, Mudawannah al-Kubra 1:91]

Berkata Imam al-Bahuti رحمه الله‎ yang juga salah seorang daripada ulama’ Malikiyah, tidak boleh (hukumnya makruh) memakai cincin yang ada objek atau baju yang ada gambar atau matawang dinar atau dirham yang ada lambang. 

[Kasyaf al-Qanaa 1:432]



Bahagian 3: Hukum membawa duit syiling yang ada gambar pemimpin

ورخص علماء الحنفيّة في صلاة الرّجل ، ومعه دراهم يحملها ، وعليها صور

قال السّمرقندي : ((إذا صلّى الرّجل ، ومعه دراهم فيها تماثيل الملك !! فلا بأس به ، لأن هذا يقلّ، ويصغر عن البصر)

Fiqh Mazhab Hanafiy:

Para ulama’ mazhab Hanafiy memberi rukhsah (kelonggaran) kepada pesalat yang membawa kepingan duit syiling wang dinar yang ada gambar. 

Berkata salah seorang fuqaha ulama’ mazhab Hanafiy iaitu al-Samarqandi رحمه الله‎ [Abu Laith al-Samarqandi, wafat pada 373 Hijrah], 

Jika pesalat membawa wang syiling (seperti dirham) yang ada gambar pemimpin negara, maka tidak ada apa-apa kerana ia berada dalam poket atau begnya yakni tidak kelihatan)” 

[Uyun al-Masa’il, 2:427]

Rumusan daripada Imam an-Nawawi رحمه الله‎ terhadap baju, cincin dan syiling yang bergambar seperti berikut, 

وأحاديث النّهي السّابقة متقاربة المعنى ، ووقع التصريح فيها أن النهي عن الصلاة في الصّورة أو إليها ، من أجل ((اشتغال القلب بها عن كمال الحضور في الصّلاة ، وتدبّر أذكارها وتلاوتها ومقاصدها من الانقياد والخضوع))(1) وفيها : ((منع النّظر من الامتداد إلى ما يشغل وإزالة ما يخاف اشتغال القلب به . وغير ذلك من الشّاغلات ، لأن النبي  جعل العلّة في إزالة الخميصة هذا المعنى ))

Apa yang dilarang daripada hadith-hadith yang kami paparkan adalah gambar atau imej pada pakaian dan perhiasan yang dibawa salat, merosakkan khusyuk salat dan menghalang pesalat menghayati bacaan dan zikir-zikir dalam salat”.

Memandang imej dan gambar ketika salat akan mengalihkan tumpuan hati ketika salat”.

[Syarah Muslim, 1:44 dan 5: 43]

 

Di bawah ini pula adalah fatwa daripada Mufti Arab Saudi, Syaikh Abdul Aziz Ben Baz رحمه الله‎, 

وسئل الشيخ عبد العزيز بن باز ـ حفظه الله ـ عن الصلاة بالساعة التي فيها صليب أو بداخلها صورة لبعض الحيوانات ، هل تجوز أم لا ؟ فأجاب ، بما نصه : إذا كانت الصور في الساعات مستورة ، لا ترى ، فلا حرج في ذلك . أما إذا كانت ترى في ظاهر الساعة أو في داخلها إذا فتحها ، لم يجز ذلك ، لما ثبت عنه  من قوله لعلي رضي الله عنه : ((لاتدع صورة إلا طمستها)) وهكذا الصليب لا يجوز لبس الساعة التي تشتمل عليه ، إلا بعد حكّه أو طمسه بـ ((البوية)) ونحوها ، لما ثبت عنه ((أنه كان لايرى شيئاً فبه تصليب إلا نقضه ـ و في لفظ ـ إلاقضبه))

Hukum memakai jam tangan yang ada logo salib atau imej haiwan ketika dibawa salat:

  1. Boleh, jika jam itu tersembunyi dalam pakaian.
  1. Jika ia terdedah kepada mata, maka haram hukumnya berdasarkan hadith Saidina Ali رضي الله عنه (“jangan kamu membiarkan satu gambar pun kecuali semua dihapuskan“). 

Sepatutnya semua logo salib dan haiwan itu dihapuskan daripada jam kerana logo salib amat tegas Nabi ﷺ melarangnya. 

الفتاوى : (1/71) للشيخ عبد العزيز بن باز 

(al-Fatawa Syaikh Abdul Aziz Ben Baz 1:71)

Allahu a’lam.

Talbis Iblis: Tazkiyatun Nafs dan Ihsan (Bahagian 3)

0

4. Redha dengan Allah ‎ﷻ sedikit atau banyak; senang atau susah.

Redha ini maksudnya terima apa sahaja ketentuan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada dia.

Senang atau susah, dia tetap terima. Redha maksudnya: senang hati dengan pahitnya qadha.

Kalau terima sesuatu senang, orang senang redha… namun bagaimana kalau susah? Maka sufi yang benar akan tetap terima apa sahaja ketentuan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kerana dia sedar yang dia hanya hamba dan Allah ‎ﷻ itu Tuhan. Allah ‎ﷻ boleh kenakan apa sahaja kepada dia dan dia tidak merungut.

Maka, walaupun Allah ‎ﷻ berikan kesusahan kepadanya, dia tetap sayang kepada Allah ‎ﷻ. Tidaklah dia merungut, marah kepada Tuhan. Tidaklah dia marah kepada Allah ‎ﷻ. Kita selalu dengar ramai yang mempersoalkan ketentuan Allah ‎ﷻ. Mereka berkata: “Kenapa Allah buat macam ini?” Paling kurang pun mereka kata: “Aiseh, kenapalah hujan pulak hari ni? Aku nak jogging ni!” Ini pun sudah menunjukkan tanda tidak redha.

Sufi yang benar tetap rasa Allah ‎ﷻ sayang kepadanya, walaupun dia ditimpa dengan kesusahan dan musibah. Ini kerana dia tahu Allah ‎ﷻ Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia juga percaya yang Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana. Jadi ketentuan yang Allah ‎ﷻ berikan kepadanya itu mesti ada kebaikan di sebaliknya. Dia mungkin tidak nampak lagi, tetapi dia terus sudah percaya dengan kebijaksanaan Allah ‎ﷻ.

Ramai yang terkesan kalau kena musibah. Dia mula rasa Allah ‎ﷻ sudah tidak sayang kepadanya. Namun kita pun sudah tahu Allah ‎ﷻ sayang kepada para Rasul-Nya, tetapi mereka itu banyak kena musibah dan ujian, bukan? Maka kena musibah dan ujian bukanlah tanda Allah ‎ﷻ benci. Jangan ada salah faham ini.

Sufi yang benar sentiasa memandang kepada kebaikan dalam setiap qadar Allah ‎ﷻ. Walaupun dia mungkin tidak nampak kebaikan dalam musibah yang diterimanya itu, tetapi dia redha. Dia yakin yang tentu apa yang terjadi itu adalah kebaikan untuknya.

Kita boleh lihat kisah ini di dalam Surah Kahfi tentang kisah Nabi Khidr عليه السلام dan Nabi Musa عليه السلام. Ada tiga kisah di dalamnya:

1. Kisah perahu
2. Kisah anak yang dibunuh
3. Kisah dinding yang didirikan semula

Nabi Musa عليه السلام tidak faham kenapa Nabi Khidr عليه السلام memusnahkan perahu itu, tetapi sebenarnya kerana Allah ‎ﷻ hendak membantu tuanpunya perahu.

Nabi Musa عليه السلام tidak faham kenapa Nabi Khidr عليه السلام membunuh budak kecil itu; tetapi rupa-rupanya Allah ‎ﷻ hendak menjaga iman ibubapanya dan memberikan anak yang lebih baik.

Nabi Musa عليه السلام hairan kenapa Nabi Khidr عليه السلام membangunkan dinding di kampung itu. Rupa-rupanya Allah ‎ﷻ hendak menjaga harta anak yatim yang tersimpan di bawah dinding itu supaya tidak diambil orang.

Ayat-ayat itu mengajar kita untuk percaya dengan urusan Qada’ dan Qadar Allah ‎ﷻ. Kita yakin sahaja yang Allah ‎ﷻ ada perancangan-Nya. Akal kita mungkin tidak sampai untuk memahaminya, tetapi iman yang tinggi akan menenangkan hati kita untuk menerima ketentuan Allah ‎ﷻ. Walau betapa berat pun ujian yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada kita.

Kita beriman dengan Firman Allah ‎ﷻ dalam [Zukhruf:32]

أَهُم يَقسِمونَ رَحمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحنُ قَسَمنا بَينَهُم مَّعيشَتَهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۚ وَرَفَعنا بَعضَهُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجٰتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعضُهُم بَعضًا سُخرِيًّا ۗ وَرَحمَتُ رَبِّكَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.

Allah ‎ﷻ yang menentukan rezeki kita. Tidak kira dari segi harta, kesihatan, kedudukan, ilmu, dan lain-lain lagi. Jangan kita persoalkan apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan, dan ‘tidak’ berikan. Itu semua adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Siapa kita untuk mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ telah beri atau tidak beri kepada kita?

Redha dengan Allah ‎ﷻ adalah penyebab untuk masuk syurga. Kalau tidak redha dengan Allah ‎ﷻ, tentu ada masalah. Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam [Maidah:119]

قالَ اللَّهُ هٰذا يَومُ يَنفَعُ الصّٰدِقينَ صِدقُهُم ۚ لَهُم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Allah ‎berfirman: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka. Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya. Itulah keberuntungan yang paling besar”.

Kita kena redha dengan ketentuan Allah ‎ﷻ terhadap diri kita. Kita kena bersangka baik dengan Allah ‎ﷻ. Jangan ada rasa tidak puas hati dengan apa yang Allah ‎ﷻ telah lakukan terhadap kita.

Allah ‎ﷻ memiliki kuasa mutlak untuk membuat apa sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ buat apa-apa pun, memang kita tidak ada hak untuk mempersoalkan Allah ‎ﷻ.

Memang kita kadangkala susah hendak terima dengan musibah yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Namun dalam masa yang sama, kenalah ingat yang Allah ‎ﷻ itu Maha bijaksana. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ tidak buat sesuatu yang salah dan tersilap. Allah ‎ﷻ tidak pernah buat perkara yang sia-sia.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-121 hingga Ke-123

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-121

الَّذينَ آتَيناهُمُ الكِتابَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخاسِرونَ

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka itu Kitab;

Iaitu kitab Taurat, Injil, Al-Qur’an dan lain-lain kitab lagi yang telah Allah ‎ﷻ turunkan kepada manusia.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan آتَيْنَاهُمُ: ‘yang Kami berikan kepada mereka’. Ini menunjukkan Allah ‎ﷻ masih lagi suka dengan mereka kerana Allah ‎ﷻ masih lagi mengaitkan Nama-Nya dengan pemberian kitab itu. Maka ini memberikan harapan lagi kepada mereka.

Namun, ada terdapat di dalam ayat-ayat yang lain, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan: ‘yang diberikan kepada mereka Kitab’, itu menunjukkan Allah ‎ﷻ telah murka sangat kepada mereka. Sampaikan Allah ‎ﷻ tidak lagi menyebut perkataan ‘Kami’ dalam ayat apabila Allah ‎ﷻ murka terhadap mereka. Walaupun memang Allah ‎ﷻ yang berikan kitab, tetapi Allah ‎ﷻ tidak letak perkataan ‘Kami’.

يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ

dan mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan;

Allah ‎ﷻ memberitahu tentang golongan Ahli Kitab yang telah membaca kitab mereka dengan betul. Kalau mereka membaca kitab mereka dengan betul, maka mereka akan menemui maklumat tentang kedatangan Nabi akhir zaman – Nabi Muhammad ﷺ.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita iaitu hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an. Inilah yang dikatakan baca dengan sebenar. Ini kerana kalau disebut حَقَّ تِلَاوَتِهِ ia bermaksud baca untuk faham, amal dan untuk sebar. Bukan setakat baca sahaja tanpa memahami apa yang kita baca. Berapa ramai dalam masyarakat kita yang memang sudah cintakan Al-Qur’an? Mereka membaca Al-Qur’an setiap hari.

Namun malangnya mereka tidak memahami apakah yang mereka baca itu. Ini amat merugikan sekali. Kita sepatutnya kena faham tafsir Al-Qur’an seperti yang difahami oleh ulama’ salaf dan sahabat. Sebab itu kena belajar tafsir dengan benar. Jangan salah pilih guru. Ada tafsir yang diajar oleh guru yang tidak habis pun belajar tafsir. Mereka agak-agak sahaja dalam tafsiran mereka.

Apabila kita sudah cinta kepada Al-Qur’an, akan timbul keinginan untuk belajar bahasa Arab supaya lebih memahami lagi Al-Qur’an itu. Begitu juga ia akan menggerakkan kita untuk membaca Al-Qur’an dengan tajwid yang benar dan menghafal ayat-ayat Al-Qur’an.

أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ

mereka yang bersifat seperti itulah yang beriman dengan kitab itu;

Kebenaran Al-Qur’an dan kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ini bukan untuk orang Arab sahaja. Ia bukan diketahui oleh orang Arab sahaja malah ia diketahui oleh ahli kitab juga kerana berita-berita tentang Nabi akhir zaman telah ada dalam kitab mereka iaitu terdapat di dalam kitab yang asli. Mereka yang benar-benar membaca kitab mereka dengan betul, akan menemui fakta ini.

وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ

dan sesiapa yang ingkar dengannya;

Yang ingkar adalah mereka yang tidak mahu menurut ajaran wahyu sama ada mereka itu Ahli Kitab ataupun orang Islam. Maka ini termasuk dengan mereka yang enggan untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Apabila kita ajak, mereka tidak mahu belajar. Dan apabila kita berikan dalil daripada Al-Qur’an, mereka tidak mahu terima kerana mereka tidak pernah dengar. Memanglah mereka tidak pernah dengar kerana mereka tidak pernah belajar.

فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Maka mereka yang seperti itu adalah orang yang rugi sungguh;

Mereka yang enggan untuk menerima ajaran wahyu itu amatlah rugi. Mereka telah diberikan dengan wahyu sebagai panduan hidup tetapi mereka biarkan sahaja. Maka begitulah juga, rugi sungguh orang Islam yang jahil wahyu kerana mereka sudah ada Al-Qur’an sebagai pedoman hidup, tetapi mereka tidak menggunakan Al-Qur’an sebagai pendidik dan pembimbing mereka.

Tafsir Ayat Ke-122

Ini adalah siri ayat-ayat yang terakhir yang menceritakan kisah Yahudi dalam Surah Baqarah, supaya kita mengambil peringatan daripada kisah mereka. Ia adalah ayat penutup tentang Yahudi dan mula untuk memberitahu tentang umat Nabi Muhammad ﷺ.

Golongan Yahudi yang ada di Madinah itu memang datang ke Madinah kerana hendak tunggu kedatangan Nabi akhir zaman, namun apabila Nabi itu telah benar-benar datang, mereka pula yang lawan. Allah ‎ﷻ telah banyak memberitahu tentang mereka dan ini adalah penutup syarah yang panjang itu.

Selepas ini akan diberitahu tentang sejarah asal pengikut Nabi Muhammad ﷺ yang sebenar. Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang golongan daripada bangsa Arab yang mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ itu bukanlah golongan bawahan walaupun mereka tidak ada kitab sebelum itu. Mereka itu lahir daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام yang dimakbulkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka umat terpilih sebenarnya.

يا بَني إِسرائيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العالَمينَ

Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).

يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

Wahai Bani Israil, ingatlah nikmat-Ku yang Aku telah beri kepada kamu;

Banyak sekali nikmat dunia dan agama yang telah diberikan kepada golongan Bani Israil. Antaranya, mereka banyak bersaudara dan berkenalan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul sebab memang banyak nabi-nabi daripada golongan mereka. Maknanya mereka itu berasal daripada keturunan yang baik-baik.

Tetapi entah berapa ramai Yahudi dikenakan azab nanti kerana kesesatan mereka sebab Allah ‎ﷻ bukan mengambil kira keturunan. Yang penting kena tengok amalan sama ada amalan benar atau pun salah. Kalau benar pun keturunan Rasulullah ﷺ atau anak cucu mana-mana ulama’ pun, belum tentu akan selamat kalau mereka juga membuat salah dalam akidah dan amalan.

Malangnya, ramai orang kita yang pentingkan sangat keturunan. Seolah-olah kalau keturunan para wali, sudah tentu mereka selamat pula. Ini tidak benar sama sekali. Walau pun mungkin ada keturunan dia yang baik-baik, tetapi ada juga yang berbuat salah. Kalau mereka buat salah, mereka akan dihumban juga ke dalam neraka. Semuanya dikira atas amalan dan perbuatan manusia. Ada yang baik dan ada yang jahat.

Tidaklah kita boleh kata kalau seseorang itu keturunan Nabi Muhammad ﷺ kita terus kata dia betul sahaja. Kena tengok apakah yang diajarnya. Kalau benar, kita ikut, kalau salah kita tinggalkan. Macam golongan Habib sekarang, yang menyanyi dan mengajar ajaran tarekat itu, itu sudah jelas kesesatan mereka, sudah banyak dibongkarkan kesesatan mereka, maka hendaklah ditinggalkan.

وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ

Dan sesungguhnya Aku telah melebihkan kamu ke atas penduduk sekalian alam;

Bukanlah sekalian alam sekarang, tetapi pada zaman itu. Ini kerana perkataan فَضَّلْتُكُمْ itu dalam bentuk “past tense”. Bukanlah berterusan mereka dalam kelebihan itu kerana semenjak Nabi Isa عليه السلام, tidak ada lagi nabi daripada Bani Israil. Mereka sekarang sudah tidak ada kelebihan dalam hal agama lagi.

Ayat yang lebih kurang begini telah disebutkan sebelum ini. Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada mereka bahawa kelebihan yang mereka ada itu datang daripada kurnia Allah ‎ﷻ. Bukan mereka sendiri yang ada kelebihan itu. Tetapi kerana Allah ‎ﷻ yang beri, maka mereka dapat menikmatinya sementara waktu. Janganlah mereka rasa mereka layak terima segala kebaikan kerana keturunan mereka. Kalau bukan Allah ‎ﷻ yang mengurniakannya, tentu mereka tidak akan mendapat apa-apa.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka tentang kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu mereka supaya sekarang ikutlah Nabi Muhammad ﷺ. Nabi akhir zaman ini. Masih ada masa lagi untuk mereka bertaubat kalau mereka ada berbuat salah. Masih ada waktu lagi untuk mereka mengambil peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

Tafsir Ayat Ke-123

Tetapi, kalau mereka masih tidak mahu mengikut nasihat itu, maka Allah ‎ﷻ berikan takhwif ukhrawi kepada mereka untuk menakutkan mereka.

وَاتَّقوا يَومًا لا تَجزي نَفسٌ عَن نَفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها عَدلٌ وَلا تَنفَعُها شَفاعَةٌ وَلا هُم يُنصَرونَ

Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikit pun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

وَاتَّقُوا يَوْمًا

Dan takutlah kamu pada suatu hari

Hari yang dimaksudkan adalah Hari Kiamat, Hari Akhirat, Hari Pembalasan. Hari itu pasti akan datang. Kena bersedia untuk menghadapi hari itu kerana hari itu nanti akan meresahkan semua orang. Ini kerana pada waktu itu nanti segala amal kita akan dinilai. Entah kita selamat, entahkan tidak.

لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا

yang tidak akan boleh satu jiwa membantu jiwa yang lain;

Waktu itu, tidak ada sesiapa pun boleh membantu sesiapa. Anak beranak pun tidak boleh tolong. Suami isteri pun tidak boleh tolong sesama sendiri. Guru tidak boleh bantu anak murid. Kawan tidak boleh bantu kawan. Pada hari itu, semuanya bergantung kepada amalan sendiri.

Jadi, kalau ada yang berangan yang mereka itu daripada keturunan yang mulia, daripada keturunan para Nabi dan orang-orang soleh, janganlah berangan lagi kerana waktu itu tidak ada sesiapa pun boleh membantu mereka.

وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ

dan tidak diterima daripada mereka itu rasuah;

Mereka tidak boleh rasuah Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak perlukan apa-apa daripada kita. Jadi apa yang kita hendak tawarkan kepada Allah ‎ﷻ sebagai rasuah?

Namun timbul pula persoalan: Adakah terdapat manusia yang cuba untuk merasuah Allah ‎ﷻ? Benda apa yang mereka hendak beri kepada Allah ‎ﷻ sedangkan mereka tidak punya apa-apa lagi pada waktu itu? Harta kekayaan semua di dunia sahaja dan dunia sudah hancur.

Rupa-rupanya mereka akan tawarkan orang lain untuk dimasukkan ke dalam neraka. Mereka tawar anak mereka, ibu bapa mereka, kawan-kawan mereka, sesiapa sahaja – asalkan mereka tidak masuk neraka. Begitulah yang akan terjadi nanti. Nauzubillah! Semoga kita diselamatkan nanti.

وَلَا تَنْفَعُهَا شَفَاعَةٌ

dan tidak akan memanfaatkan bagi mereka syafaat

Tidak akan bermanfaat syafaat daripada sesiapa sahaja jikalau mereka telah kufur dan rosak akidah. Mereka pun tidak mendapat syafaat walaupun mereka itu telah meminta-minta daripada penyampai syafaat (seperti Nabi Muhammad ﷺ).

Banyak manusia yang salah faham tentang syafaat. Umat Islam sekarang ramai yang sangka mereka akan mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad ﷺ. Sebab itu mereka memuja-muja baginda – dengan pujaan ‘ya Hanana’ dan macam-macam lagi. Tetapi pemujaan mereka itu tidak akan membolehkan mereka mendapat syafaat pun. Ini kerana bukan Nabi yang membuat keputusan siapakah yang boleh diberikan syafaat.

Sebenarnya Allah ‎ﷻ yang menentukan siapa yang boleh diberi syafaat – Nabi hanya ‘menyampaikan’ sahaja. Kalau seseorang manusia itu telah melakukan syirik kerana mereka tidak faham apa itu syirik, maka mereka tidak akan langsung ada peluang untuk mendapat syafaat.

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

dan mereka tidak dapat ditolong;

Kalau sekiranya mereka engkar daripada mengamalkan ajaran Tauhid, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dapat menolong mereka. Golongan Yahudi sangka, mereka golongan terpilih, maka mereka sangka mereka akan diselamatkan. Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, tidak sama sekali mereka akan diberikan pertolongan dari mana-mana arah pun.

Allahu a’lam. 

Soal Jawab Bersama Doktor: Senaman dan Kesihatan

0

Soalan:
Apakah kepentingan bersenam dalam kehidupan seharian?
Jawapan:
Senaman ialah pergerakan badan yang dilakukan secara berulang-kali secara terancang dan berstruktur bertujuan untuk meningkatkan atau mengekalkan satu atau lebih komponen kecergasan fizikal. Senaman juga melibatkan penggunaan dan pengeluaran tenaga yang banyak. Ramai pakar perubatan menyatakan senaman antara ubat yang bukan saja murah, malah amat berkesan untuk merawat dan mengawal pelbagai masalah kesihatan yang dihidapi.

Soalan:
Kenapa perlu bersenam?
Jawapan:
Banyak kelebihan yang bakal diperolehi oleh kita sekiranya kita kerap melakukan aktiviti senaman. Antaranya ialah, dapat mencegah diri kita dari sebarang penyakit yang boleh membahayakan diri kita. Aktiviti senaman hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu malah boleh juga diselang-selikan dengan senaman ringan seperti berjalan kaki, meletakkan kereta jauh sedikit jika untuk ke pejabat atau kedai, menggunakan tangga untuk ke tingkat-tingkat lain.
Terdapat beberapa fakta yang menyatakan bahawa dengan melakukan aktiviti senaman dapat mengurangkan penyakit. Senaman merupakan komponen yang sangat penting untuk sihat, ramai orang yang berdoa supaya diberi kesihatan yang baik tetapi malas bersenam umpama berdoa memohon rezeki tetapi tidak berusaha untuk mendapatkannya.

Soalan:
Apakah aktiviti yang sesuai untuk senaman ringan ?
Jawapan:
Antara aktiviti ringan yang boleh dilakukan ialah:
1) Berjalan kaki
Berjalan-jalan adalah menyeronokkan, selamat, murah dan mudah diselitkan dalam rutin harian kita yang sentiasa sibuk. Anda boleh melakukan aktiviti berjalan dengan berjalan ke tempat kerja, berjalan ke kedai runcit, berjalan ketika ‘window shopping’, dan berjalan di sekitar kejiranan anda.

2) Menaiki tangga
Aktiviti berjalan menaiki tangga pada kadar yang sederhana boleh membentuk otot di bahagian bawah badan dan meningkatkan kadar kesihatan jantung. Menaiki tangga juga merupakan aktiviti senaman yang mampu meningkatkan tahap kecergasan, jantung akan mengepam laju dan sistem dalam badan berfungsi dengan baik.

3) Berbasikal
Berbasikal adalah satu senaman cardio, ia sama seperti jogging, kick boxing dan sebagainya. Ia membantu membakar lemak dan kalori didalam badan melalui senaman kaki.

4) Melakukan pekerjaan rumah
Pembakaran kalori boleh berlaku dengan hanya melakukan aktiviti ringan di rumah seperti mencuci tingkap, membersihkan kipas, menyapu, membasuh dan mengelap lantai serta mencuci tandas boleh mengeluarkan peluh.

5) Berenang
Melakukan pembakaran lemak dan kalori melalui aktiviti berenang mungkin kelihatan tidak begitu memenatkan. Ini kerana ketika kita berada di dalam air, pengeluaran peluh yang terjadi tidak dirasai. Kita juga kurang merasa penat disebabkan jumlah graviti yang lebih rendah di dalam air.

6) Lain-lain pergerakan mudah senaman di pejabat seperti gambar di sebelah juga boleh membantu kekuatan fizikal dan mengurangkan tekanan di tempat kerja. Seharian terperuk di dalam pejabat dan kereta yang mempunyai hawa dingin, sedikit sebanyak ia turut menjejaskan kesihatan dan menjadikan anda seorang yang tidak sihat. Cara yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan selain menjaga pemakanan adalah melakukan regangan ringkas atau senaman.

Talbis Iblis: Tazkiyatun Nafs dan Ihsan (Bahagian 2)

0

3. Berpaling daripada Makhluk untuk Tumpu kepada Khaliq.

Kita kena letak Allah ‎ﷻ di tempat yang sepatutnya. Apa-apa hal, Allah ‎ﷻ lebih lagi daripada segalanya. Segala selain dari Allah ‎ﷻ adalah makhluk, maka semuanya tidak lebih daripada satu-satunya Khaliq.

Namun, kebiasaannya, makhluk lebih mempesonakan kita. Maka makhluk yang banyak mendapat tempat di hati kita. Kita lebihkan makhluk dari Khaliq (Allah ‎ﷻ). Maka Allah ‎ﷻ tegur dalam [Munafiqoon:9]

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

Ayat ini turunnya di Madinah. Ditujukan kepada orang yang sudah Muslim. Ini adalah kerana mereka sudah senang, harta pun sudah banyak, umat Islam pun sudah ramai, kekuatan pun sudah ada. Maka turunlah Surah-surah Musabbihaat termasuk Surah Munafiqoon ini.

Maka salah satu Usul Sufi adalah berpaling daripada makhluk dan tumpukan perhatian kepada Khaliq. Makhluk tidak penting mana. Maka kalau ada barang hilang, nyawa sesiapa hilang, orang-orang yang lembut jiwanya ini tidak kisah. Dia juga kalau dapat sesuatu kelebihan, barang mahal atau menarik, dia tidaklah terlebih pula gembiranya kerana itu semua adalah makhluk sahaja.

Bukanlah agama menyuruh tinggalkan terus makhluk itu. Jangan jadi seperti agama lain yang menolak terus dunia. Ini seperti paderi agama Kristian yang tidak boleh berkahwin. Juga rahib-rahib mereka yang tinggalkan dunia. Sampai duduk dalam bilik sepanjang hidup, duduk dalam paya, duduk tidak baring-baring dan macam-macam lagi.

Bukanlah semua makhluk dilarang. Allah ‎ﷻ bagi kita pakai, tetapi jangan sampai ia melekakan kita dari Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berfirman dalam [Tawbah:24]

‎قُل إِن كانَ آباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوانُكُم وَأَزواجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموالٌ اقتَرَفتُموها وَتِجارَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَساكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ في سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفاسِقينَ

Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Allah ‎ﷻ kata: ‘Jika’ perkara-perkara yang disebut itu lebih dicintai, menyebabkan leka daripada berjihad, dari agama, dari ibadah, maka tunggulah azab dari Allah ‎ﷻ.

Ibubapa, anak-anak, saudara mara dan lain-lain itu semuanya penting. Dalam ayat-ayat lain, kita disuruh untuk beri hak mereka. Maka bukanlah hendak kena tolak mereka itu. Kita juga perlukan tempat tinggal, perlukan pendapatan untuk hidup. Maka kena pandai atur semua itu. Yang penting, Allah ‎ﷻ lebih lagi daripada semua itu.

Allah ‎ﷻ beri kita dengan berbagai-bagai nikmat semasa di dunia. Namun ingatlah yang semua itu tidak kekal. Kalau tidak kekal, buat apa hendak lebih-lebihkan sangat? Allah ‎ﷻ berfirman di dalam [Nahl:96]

ما عِندَكُم يَنفَدُ ۖ وَما عِندَ اللهِ باقٍ ۗ وَلَنَجزِيَنَّ الَّذينَ صَبَروا أَجرَهُم بِأَحسَنِ ما كانوا يَعمَلونَ

Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

Apa sahaja yang kita ada, akan hilang semuanya. Sama ada kita mati dahulu, atau barang itu rosak dahulu. Namun yang kita patut kejar adalah pemberian pahala dari sisi Allah ‎ﷻ. Yang Allah simpan di sisi-Nya itu akan diberikan di syurga nanti. Pemberian nikmat di syurga itu yang kekal. Maka itulah yang kita kena kejar.

Nikmat-nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan itu sebenarnya boleh mendekatkan kita kepada Allah ‎ﷻ kerana dengan nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan itu, kita teringat ia dari Allah ‎ﷻ. Kita sedar yang Allah ‎ﷻ sayangkan kita dan beri kita segala nikmat itu. Kita kena lebih terpesona dengan pemberi, bukannya dengan barang itu.

Kalau ada pemberian hadiah dari yang tersayang, adakah kita lebih sayangkan hadiah itu, atau kita lebih sayang kepada pemberi hadiah itu? Tentu kita jadi lebih sayang kepada pemberinya kerana barang itu boleh rosak lama-kelamaan, tetapi perasaan suka mendapatnya dari tersayang akan kekal.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-118 hingga Ke-120

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-118

Ini adalah rungutan kelima daripada Allah ‎ﷻ.


وَقالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ لَولا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ أَو تَأتينا آيَةٌ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِثلَ قَولِهِم ۘ تَشابَهَت قُلوبُهُم ۗ قَد بَيَّنَّا الآياتِ لِقَومٍ يوقِنونَ

Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.

وَقَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Dan berkata orang-orang yang tidak tahu:

Iaitu yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Ayat ini tentang mereka kerana mereka tidak tahu wahyu dan tidak ada kitab. Nabi mereka pun sudah lama tidak ada jadi pengetahuan tentang agama mereka amat kurang.

لَوْلَا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ

kenapakah Allah tidak berbicara langsung kepada kami?;

Mereka kata kenapakah wahyu itu perlu melalui Nabi Muhammad ﷺ pula? Kenapa Allah ‎ﷻ tidak bercakap terus sahaja dengan manusia? Ini sekarang mereka menggunakan logik akal mereka.

Kalau pakai otak sendiri memang begitu. Tentu ada yang terfikir: “Kalau terus dapat maklumat daripada Allah ‎ﷻ, bukankah senang? Tentu tidak ada yang menentang Allah ‎ﷻ lagi kerana semua sudah tahu kebenaran. Tetapi sekarang bila pakai perantara, kita pun rasa, entah benar ataupun tidak Allah ‎ﷻ ada sampaikan maklumat wahyu ini?”

Di dalam ayat yang lain, Allah ‎ﷻ jelaskan kenapa Allah ‎ﷻ tidak terus berkomunikasi dengan mereka. Ini kerana kedudukan Allah ‎ﷻ amat tinggi maka tidak layak untuk bercakap terus dengan semua makhluk.

Ini juga kerana beratnya wahyu yang disampaikan, maka orang biasa tidak mampu untuk menerima wahyu terus daripada Allah ‎ﷻ. Maka kerana itulah penyampaian wahyu dilakukan seperti yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

أَوْ تَأْتِينَا آيَةٌ

atau Dia datang bawa satu dalil bukti?;

Iaitu mereka mahukan mukjizat diberikan kepada mereka. Antaranya mereka hendak Nabi Muhammad ﷺ menjadikan bumi Mekah yang berbatu dan gersang itu semua menjadi tanah. Mereka hendakkan air keluar dari bukit supaya mereka boleh bercucuk tanam.

Apabila manusia minta, tidaklah Allah ‎ﷻ beri. Allah ‎ﷻ tidak perlu ikut kehendak makhluk. Mukjizat bukan terjadi ikut kehendak sesiapa pun, kecuali kehendak Allah ‎ﷻ.

كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Dan demikianlah, berkata orang-orang sebelum mereka;

Bukan Musyrikin Mekah yang mula-mula berkata begitu dan membuat permintaan dan hujah-hujah yang mengarut. Sebenarnya, orang-orang dahulu pun sudah berkata begitu juga.

مِثْلَ قَوْلِهِمْ

sepertimana kata-kata mereka;

Sama sahaja kata Musyrikin Mekah dan umat-umat terdahulu yang telah dibinasakan kerana sepertimana Nabi-nabi memperkatakan perkara yang sama tentang tauhid, syaitan-syaitan yang menyesatkan mereka pun menggunakan was-was yang sama sahaja.

Hujah yang sama sahaja yang syaitan gunakan kepada manusia dari dahulu sehingga sekarang. Kerana itulah kalau kita belajar tentang syaitan, sebagai contoh belajar Talbis Iblis, ajaran itu adalah relevan dari zaman berzaman kerana sama sahaja modal yang digunakan oleh syaitan.

تَشَابَهَتْ قُلُوبُهُمْ

serupa sahaja hati-hati mereka;

Orang yang sesat dahulu dan sesat sekarang ini, sama sahaja kata-kata mereka dan apa yang ada di dalam hati mereka. Jadi, untuk kita kenal musyrikin sekarang, kita boleh lihat sama sahaja perkataan mereka dengan kata-kata orang-orang Musyrikin Mekah dahulu.

Memang menakjubkan, kerana kita akan dapat lihat bahawa kata-kata mereka itu adalah sama sahaja. Begitu juga dengan orang-orang yang sama macam orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kita boleh lihat bahawa kata-kata mereka adalah sama sahaja.

Orang Melayu yang menentang wahyu Allah ‎ﷻ pun sama sahaja. Apabila mereka keluarkan hujah, terdetik dalam kepala kita: “Alamak, samalah dengan kata-kata Abu Jahal dan kawan-kawan dia….”. Mereka sahaja tidak perasan kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

قَدْ بَيَّنَّا الْآيَاتِ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan tanda-tanda bukti;

Sebenarnya, dalil dan bukti itu telah diberikan kepada semua manusia. Sudah banyak mukjizat ditunjukkan kepada mereka. Tetapi mereka minta macam-macam itu kerana hendak menjadikan Nabi terdiam tidak boleh menjawab kata-kata mereka.

Mukjizat yang mereka minta bukannya kerana hendakkan bukti tetapi kerana niat buruk mereka itu. Itu sebab mereka minta macam-macam perkara yang mengarut.

Sememangnya Nabi ﷺ tidak boleh buat mukjizat mengikut suka baginda dan bukannya perlu untuk Allah ‎ﷻ layan kehendak mereka itu.

Sepatutnya, kalau mereka hendakkan bukti, memang telah ada banyak diberikan kepada mereka, tetapi yang boleh terima hanyalah:

لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

orang-orang yang yakin sahaja;

Iaitu mereka yang yakin bahawa Allah ‎ﷻ adalah Pencipta yang tiada tandingan. Mereka ini orang yang hati mereka telah contoh dengan kebenaran. Jadi apabila dalil dan bukti diberikan kepada mereka, mereka terus semakin yakin dengan kebenaran. Ini kerana hati mereka telah terbuka kepada kebenaran.

Sedangkan dalil yang sama diberikan kepada orang yang degil, tetapi mereka tolak kerana hati mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Hati mereka memang hendak buat apa yang mereka ingin sahaja.

Tafsir Ayat Ke-119

Ayat ini adalah jenis ayat Tasliah. Maknanya pujuk rayu Allah ‎ﷻ kepada Nabi ﷺ dan sahabat Nabi untuk meneruskan dakwah. Allah ‎ﷻ hendak memberikan ketenangan kepada mereka supaya mereka terus kuat dalam usaha dakwah mereka.

Oleh kerana mereka semua telah meninggal, sekarang ia adalah pujuk rayu kepada orang yang sebar dan pegang agama. Maka ayat-ayat sebegini adalah sebagai motivasi kepada pendakwah.

إِنّا أَرسَلناكَ بِالحَقِّ بَشيرًا وَنَذيرًا ۖ وَلا تُسأَلُ عَن أَصحابِ الجَحيمِ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan kamu (Muhammad);

Allah ‎ﷻ menegaskan bahawa baginda telah diutus oleh Dia sendiri. Maka jangan baginda ragu-ragu. Jadi kita pun jangan ragu-ragu tentang perkara ini.

بِالْحَقِّ

dengan kebenaran;

Nabi ﷺ datang dengan agama yang benar. Baginda bawa kebenaran yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada baginda yang agama yang baginda bawa ini adalah benar. Maka jangan bimbang, jangan putus semangat.

بَشِيرًا

Sebagai satu berita gembira;

Tugas baginda adalah untuk membawakan berita gembira kepada sesiapa yang mengikut pegangan tauhid dan membenarkan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka dijanjikan dengan kemenangan dan kedudukan dalam syurga yang akan kekal abadi di dalamnya.

وَنَذِيرًا

dan sebagai ancaman;

Selain daripada berita gembira, tugas baginda juga menyampaikan ancaman. Ancaman pula kepada orang yang menentang tauhid. Maka kepada mereka yang masih lagi hendak membuat tawassul dalam berdoa dan menyembah selain Allah ‎ﷻ, maka kepada mereka diberikan ancaman. Beritahu kepada mereka yang kalau mereka teruskan amalan syirik mereka itu, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.

Jadi, sampaikan berita gembira dan ancaman dan suruh mereka fikirkan: “Nak kekal dalam syurga atau nak kekal dalam neraka?” Ini adalah soalan yang amat penting. Ini bukan soalan main-main. Kalau gagal dalam peperiksaan, masih boleh tunggu tahun hadapan untuk ulang peperiksaan. Tetapi kalau gagal dalam pemilihan bab ibadah dan akidah, boleh kekal dalam neraka.

وَلَا تُسْأَلُ

Dan kamu tidak akan ditanya;

Allah ‎ﷻ pujuk Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم: Jikalau kamu telah melakukan kerja menyampaikan berita gembira dan peringatan ancaman kepada manusia, maka kamu tidak akan ditanya lagi. Kamu sudah menjalankan tanggungjawab kamu.

Maknanya, kita kenalah beritahu kepada manusia tentang tauhid dan ajaran agama Islam. Kalau kita simpan sendiri sahaja, tidak beritahu kepada kawan-kawan dan ahli keluarga kita, kita akan ditanya nanti. Kalau kita ditanya kenapa kita tidak sebarkan, apakah jawapan kita nanti di hadapan Allah ‎ﷻ? Banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang memberi isyarat kepada kita untuk menyampaikan ajaran Allah ‎ﷻ kepada manusia.

عَنْ أَصْحَابِ الْجَحِيمِ

tentang penghuni neraka;

Kalau kita sudah sampaikan dakwah tauhid, kita tidak akan ditanya kenapa keluarga, sahabat dan jiran kita masuk neraka. Ini kerana mereka bukan lagi tanggungjawab kita. Kalau tidak buat lagi, pasti akan ditanya. Kalau kita sampaikan, barulah kita selamat.

Maknanya, kita kena sebar agama ini. Kena beritahu kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Ini adalah ayat yang menikam hati yang menggerakkan kita untuk menyebar agama kepada manusia. Memang hendak sampaikan dakwah ini agak berat. Kadangkala orang yang disampaikan itu tidak suka kita beri peringatan kepada mereka. Kadangkala kita ditentang.

Namun kita kena ingat, kalau kita tidak buat penyebaran itu, kita akan ditanya kenapa mereka masuk neraka. Sebelum mereka masuk neraka, kita dahulu yang akan ditanya. Maka memang ini adalah ujian bagi orang yang berilmu. Kita kena beritahu kepada manusia tentang Islam.

Tafsir Ayat Ke-120

Ini adalah ayat zajrun – ayat ancaman daripada Allah.

وَلَن تَرضىٰ عَنكَ اليَهودُ وَلَا النَّصارىٰ حَتّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُم ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَ الَّذي جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ

Dan tidak sekali-kali akan redha orang Yahudi itu terhadap engkau;

Golongan Yahudi tidak dapat duduk diam kerana mereka mahu agama Islam ini hancur. Kita telah baca banyak perangai mereka dan bagaimana mereka tidak suka kalau agama Islam ini berkembang. Mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan Islam.

Namun begitu agama Islam telah berkembang pesat ke serata dunia kerana para sahabat telah sebarkan agama ini. Mereka telah kecewa untuk mematikan agama Islam, tetapi mereka tidak akan berputus asa. Mereka akan terus merosakkan orang Islam dan pemikiran golongan Muslim.

Kalau mereka tidak berhenti daripada merosakkan agama, maka kita pun jangan berdiam diri daripada menyampaikan agama ini kepada manusia. Kalau mereka berjuang untuk menjatuhkan kita, maka kita pun kena terus berdakwah untuk mengembangkan dakwah agama yang suci ini ke seluruh dunia.

وَلَا النَّصَارَىٰ

dan tidak juga orang Nasara;

Bukan sahaja Yahudi yang mahu menjatuhkan Islam, tetapi golongan Nasara juga. Ini kerana kalau agama Islam ini diterima oleh manusia, maka akan nampaklah yang agama Kristian itu adalah agama yang sesat dan jauh daripada kebenaran.

حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

sehinggalah kamu ikut ajaran ugama cara mereka;

Mereka mahu juga kita ikut cara mereka. Walaupun tidak keluar Islam pun tetapi asalkan ikut cara hidup mereka. Selagi tidak ikut, selagi itu mereka akan khianati kita. Sekarang ini, kita boleh lihat bagaimana umat Islam yang mengaku beragama Islam, namun akidah mereka, cara hidup mereka, dan amalan mereka sudah sama seperti agama Yahudi dan Nasara.

Sekarang ini, orang Hindu pun suruh ikut agama mereka. Ada pergerakan untuk memasukkan Muslim Melayu ke dalam agama Hindu. Ini amatlah pelik sekali. Bagaimanalah orang Islam boleh menganut agama Hindu sedangkan ia adalah agama yang amat mengarut sekali? Tetapi masih ada yang masuk juga agama Hindu kerana ramai yang tidak kukuh dalam pemahaman agama kita. Sampai ada orang kita yang boleh rasa agama lain pun ada kebenaran juga.

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ

Katakanlah: bahawasanya hidayat Allah itulah sebenar-benar hidayat;

Allah ‎ﷻ memberikan peringatan dalam ayat ini: Hanya hidayah Islam sahaja yang benar. Agama dan anutan lain tidak boleh diterima sebagai hidayah. Jadi agama selain Islam itu tidak boleh dipakai dan diamalkan. Jangan termakan dengan fahaman: semua agama baik.

Tidak, tidak sama semua agama. Walaupun agama lain itu pun mengajak kepada akhlak yang baik, mengajar berbaik-baik dengan semua manusia, ia tetap tidak boleh diamalkan kerana akidah mereka akidah yang sesat.

وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ

Dan jika sekiranya engkau mengikut hawa-hawa nafsu mereka;

Walau ayat ini khitab (ditujukan) kepada Nabi, tetapi sebenarnya untuk kita juga kerana Nabi tidak akan mengikut hawa nafsu mereka. Kalau kita mengikut nafsu mereka, maka ada amaran daripada Allah ‎ﷻ dalam ini. Allah ‎ﷻ kata ‘nafsu’ kerana semua yang bukan agama Islam adalah mengikut nafsu.

‘Hawa nafsu’ yang dimaksudkan ialah apa sahaja dalil yang dibawa yang bukan dari Al-Qur’an dan Sunnah, iaitu mereka hanya pakai hujah guru. Ini seperti masyarakat Muslim yang banyak berkata dalam hujah mereka: “takkanlah ustaz itu nak masuk neraka. Mereka dulu belajar di Mesir, Mekah lama dah. Takkan mereka salah pula.” Kalau ada orang yang pakai hujah begitu, itu adalah hujah hawa nafsu dan hujah orang musyrik.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ, iaitu jikalau baginda mengikuti hawa nafsu orang-orang sebegitu, maka baginda adalah salah. Tetapi kerana Nabi sudah tiada, ayat ini ditujukan kepada kita sekarang. Janganlah kita gunakan manusia sebagai dalil. Ini kerana manusia tidak semestinya betul. Manusia tidak terlepas daripada kesalahan. Lainlah kalau seseorang itu memberi pandangannya berdasarkan kepada ayat Al-Qur’an dan juga hadith Nabi ﷺ yang sahih.

بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ

selepas datang kepada kamu ilmu Al-Qur’an ini;

Ini adalah ancaman kepada kita yang sudah dapat dalil daripada ajaran Al-Qur’an, tetapi kita ikut juga mereka. Maka kalau kita begitu, kita akan dapat balasan daripada Allah ‎ﷻ yang amat buruk. Kalau jahil dan mengikut hawa nafsu Yahudi dan Nasara, pun sudah teruk; namun kalau sudah ada ilmu agama tetapi masih lagi mengikut mereka, itu terlebih-lebih teruk dan malang sekali.

ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ

Maka tidak ada lagi bagi kamu daripada Allah; satu orang pun yang boleh beri pelindung

Iaitu kita tidak akan selamat daripada neraka Allah ‎ﷻ. Maksudnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang ahli neraka daripada dimasukkan ke dalam neraka. Tidak ada peguam yang akan dapat berhujah ataupun pembantu yang dapat menahan pintu neraka itu.

Kalau Nabi ikut nafsu mereka pun Allah ‎ﷻ tidak akan menolongnya, apatah lagi kita. Maka jangan rasa kita akan selamat kalau kita ikut hawa nafsu golongan Yahudi dan Nasara.

وَلَا نَصِيرٍ

dan orang yang boleh tolong;

Tidak ada sesiapa pun yang akan tolong kita bila Tuhan sudah campak kita ke dalam neraka. Tidak akan ada orang yang akan masuk neraka dan mencari-cari kita untuk selamatkan kita.

Allahu a’lam. 

FIQH Berkaitan Hutang

0

Pengenalan

Apabila berhadapan dengan situasi seseorang yang hendak berhutang dengan anda, pertamanya hendaklah anda kenali dahulu siapakah orang yang hendak berhutang dengan anda itu.

  • Ciri pertama

Si fulan adalah seorang yang suka menangguh untuk membayar semula hutang. Walhal si fulan menjalani gaya hidup yang mewah dan boros. Maka, terpulanglah kepada anda, sama ada mahu menyeksa atau mahu melepaskan si fulan dari seksaan akibat tidak membayar hutang.

Hukum:

Orang yang meninggal dunia tetapi di dalam keadaan masih mempunyai hutang, rohnya akan terawang-awangan dan pahala dari amal ibadahnya menjadi milik si pemberi hutang.

Dalil hadith:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ دِينَارٌ أَوْ دِرْهَمٌ قُضِىَ مِنْ حَسَنَاتِهِ لَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَم

“Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (di hari kiamat nanti) kerana di sana (di akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.”

[ HR. Ibnu Majah no. 2414. Menurut pendapat Syaikh al Albani rhm, status hadith ini,  sahih Ibnu Majah ]

  • Ciri kedua:

Si fulan terhimpit dengan kesempitan hidup.              

Sekiranya si fulan meninggal dunia sedangkan di dalam keadaan masih berhutang, tidak berkemampuan dan hidup di dalam kesempitan tetapi berniat untuk membayar hutang.

Maka, yang terbaik bagi anda adalah dengan cara menghalalkan kesemua hutang tersebut.

 

Firman Allah ﷻ,

وَإِنْ كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَنْ تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, Maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

[ Al-Baqarah ayat:280 ]

Ulasan:

Semuanya bergantung kepada pemiutang, sama ada hendak menambah seksa atau hendak meringankan azab orang yang berhutang dengannya di akhirat.

Solusi: 

Ketika selesai pengebumian jenazah, maka tuntutlah hutang anda daripada warisnya, dengan mengemukakan bahan bukti bahawa si mati ada berhutang dengan anda. Waris akan membayarnya dengan harta si mati. Maka dengan cara itu, ia akan membantu roh si mati dari tidak terawang-awangan dan pahalanya pula tidak dipindahkan kepada anda.

Soal jawab berkaitan hutang

1. Apakah hukum bagi orang yang banyak hutang tetapi melambatkan bayar hutang sedangkan duit sudah ada dan tempoh bayar hutang yang ditetapkan sudah lama?

Apabila mati, roh dia tergantung.

Dalil hadith:

عنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْه

Abu Hurairah رضى الله عنه berkata:

Rasulullahbersabda: “Roh seorang beriman tergantung dengan hutangnya, sampai dibayar hutangnya.”

[ HR. at-Tirmidzi dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitab Sahih al-Jami’, no. 6779 ]

al-Mubarakfuri رحمه الله‎ berkata:

قَالَ السُّيُوطِيُّ أَيْ مَحْبُوسَةٌ عَنْ مَقَامِهَا الْكَرِيمِ وَقَالَ الْعِرَاقِيُّ أَيْ أَمْرُهَا مَوْقُوفٌ لَا حُكْمَ لَهَا بِنَجَاةٍ وَلَا هَلَاكٍ حَتَّى يُنْظَرَ هَلْ يُقْضَى مَا عَلَيْهَا مِنَ الدَّيْنِ أَمْ لَا انْتَهَى . وسَوَاءٌ تَرَكَ الْمَيِّتُ وَفَاءً أَمْ لَا كَمَا صَرَّحَ بِهِ جُمْهُورُ أَصْحَابِنَا

 

Asy-Suyuthi berkata: “Yakni tertahan dari tempatnya yang mulia, dan al-Iraqi berkata: “Iaitu nasibnya tertahan tidak ada hukum untuknya dengan keselamatan atau kebinasaan, sampai dilihat, apakah dibayar hutang atau tidak.” Baik ia meninggalkan pembayaran atau tidak, sebagaimana yang di nyatakan dengan jelas kebanyakan para sahabat kami.”

[ Tuhfat Al-Ahwadzi, 4/164 ]

Ulasan:

Tergantung daripada disimpan bersama roh orang salih atau roh orang yang berdosa. ‘Tergantung’ maksudnya tidak dikuburkan atau ditempatkan simpanan roh.

2. Berdosakah jika melewatkan membayar hutang?

Dosa kecil. Jika tidak mahu bayar dan berniat tidak mahu bayar hutang barulah dosa besar.

3. Benarkah orang yang memberi hutang tidak boleh pergi ke rumah orang yang berhutang, makan atau mengambil manfaat daripada si penghutang kerana ia dikategorikan sebagai riba’?

Ini termasuk soalan yang akan memakan diri.

Firman Allah ﷻ:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَسْـَٔلُوا۟ عَنْ أَشْيَآءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْـَٔلُوا۟ عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ ٱلْقُرْءَانُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا ٱللَّهُ  عَنْهَا ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu Al-Qur’an itu diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu, Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.”

[Al-Maidah: 101]

Ini bermaksud, tidak pernah ada larangan sedemikian, tiba-tiba kita yang bertanyakan hal tersebut. Maka jika datang hukum, ia akan menyusahkan orang yang bertanya. Maka ini termasuk benda yang tidak disebut langsung dalam syariat. Dari mana datang idea sedemikian?

4. Adakah orang yang mati syahid, dosa-dosa lalunya masih dikira?

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلَّا الدَّيْنَ

Orang yang mati syahid diampuni semua dosa kecuali hutang.”

[ HR Muslim no 1886 ]

Semua dosa diampun kecuali hutang kerana ia hak sesama manusia.

5. Sebelum salat jenazah dilakukan di masjid, pihak keluarga meminta individu yang ada memberi hutang pada si mati untuk membuat tuntutan pada warisnya.

Itu memang suatu yang wajar dimaklumkan, kerana roh si mati akan tergantung kerana hutang.

Dalil hadith:

نَفْسُ الْـمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّىٰ يُقْضَى عَنْهٌ

“Jiwa seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sampai hutangnya dilunasi.”

[ Sahih, Syaikh al-Albani رحمه الله‎, Sahihul Jaami’ no. 6779 ]

6. Bagaimana jika orang ingin meminjam duit, tetapi dia sendiri yang menawarkan bayar balik lebih 20%. Adakah itu dikira riba? Ada dalil?

روى البخاري (443) ومسلم (715) عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : ” أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فقَالَ : صَلِّ رَكْعَتَيْنِ . وَكَانَ لِي عَلَيْهِ دَيْنٌ فَقَضَانِي وَزَادَنِي

Daripada Jabir bin ‘Abdillah رضي الله عنه berkata: “Aku datang menemui Nabi yang berada di dalam masjid, lalu baginda bersabda: “Tunaikan solat dua rakaat.” Baginda ketika itu ada berhutang kepadaku, lalu baginda membayarnya dan melebihkan bayaran.” 

[ Bukhari, no 443. Muslim no 715 ]

Fatwa Saudi Arabia, al-Lajnah al-Daimah 14/134:

ليس للمقرض أن يأخذ من المقترض إلا ما أقرضه إياه، إلا أن تطيب نفس المقترض بشيء من الزيادة في الكيفية أو الكمية، فلا بأس إذا لم يسبقه شرط أو تواطؤ على ذلك ، وهكذا إن جرى بذلك عرف ؛ لأن الشرط العرفي كاللفظي

“Orang yang memberi hutang tidak boleh mengambil daripada orang yang berhutang melainkan jumlah hutang yang diberi sahaja, melainkan tambahan yang  berbentuk pemberian sukarela daripada orang yang berhutang sama ada tambahan itu pada kaifiat atau nilai, maka tidak mengapa jika tambahan itu diberi tanpa syarat atau persetujuan terdahulu.”

Pemberi hutang meninggal dunia dan dituntut oleh anak-anaknya

Seseorang telah berhutang sebanyak RM 2,500 dan berjanji membayar semula hutang pada hari yang telah dijanjikan. Orang yang memberi hutang pula meninggal dunia sebelum hari si penghutang berjanji membayar hutangnya semula. Setelah kematian orang yang memberi hutang, anak-anak si mati pula menuntut hutang tersebut tetapi tidak berjaya. Si penghutang mengatakan ia urusan dengan si mati. Oleh kerana itu dua orang daripada anak si mati menghalalkan sahaja hutang tersebut, sementara seorang lagi tidak mahu ambil tahu.

Hutang ini sepatutnya ada perjanjian bertulis dan ada saksi yang tandatangan. Dalam surat itu perlu ada tempoh, bila akan dipulangkan dan sebaiknya ada cagaran barang berharga.

Firman Allah ﷻ:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَٱكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌۢ بِٱلْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ ٱللَّهُ

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya…”

[ Al-Baqarah: 282 ]

Maka jika tiada surat menyurat, luputkan sahaja. Jika dihalalkan, ia melepaskan roh orang yang berhutang itu dari tergantung setelah kematiannya nanti. Jika hutang dituntut, orang yang berhutang itu akan terseksa selepas kematiannya. Orang yang menuntut hutang dan keluarga tiada apa-apa dosa jika terus menuntut hutang kerana itu haknya.

 

At-Tazkirah Qurthubi: Ingat Mati dan Persediaan Menghadapinya – Syair Waraqah bin Naufal

0

At-Tazkirah Qurthubi (W671H)
Kod 3.0 Bab Ingat Mati dan Persediaan Menghadapinya (باب ذكر الموت و الاستعداد له)

3.9: Kata-kata as Suddi rh

و قال السدي في قوله تعالى : الذي خلق الموت و الحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملاً أي أكثركم للموت ذكراً ، و له أحسن استعداداً و منه أشد خوفاً و حذراً

” As-Suddi (Tabi’in Kufah, wafat 127H) berkata dalam menafsiri Firman Allah; “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.” [ Al-Mulk: 2 ], Yakni (yang dimaksud paling baik amalnya adalah); yang paling banyak mengingati mati, dan paling bagus persiapannya dalam menghadapinya, dan paling takut dan waspada terhadapnya” (Tafsir as Suddi, 457; Tafsir al Mawardy, 6:50)

3.10: Setiap yang bernyawa pasti mati

قوله تعالى : كل نفس ذائقة الموت ما يكفي السامع له ، و يشغل الناظر فيه

Firman Allah SWT, “Setiap yang bernyawa pasti akan mati”. [3:185 & 29: 57] sudah mencukupi apabila setiap kali mendengar (ayat ini) lalu menyibukkan diri dalam merenunginya.

3.11: Syair Waraqah bin Nawfal

و كان أمير المؤمنين عمر بن الخطاب كثيراً ما يتمثل بهذه الأبيات :
*لا شيء مما ترى تبقى بشاشته *يبقى الإله و يودي المال و الولد
*لم تغن عن هرمز يوماً خزائنه و الخلد *قد حاولت عاد فما خلدوا
*و لا سليمان إذ تجري الرياح له و الإنس و الجن فيما بينها ترد
*أين الملوك التي كانت لعزتها من كل أوب إليها وافد يفد ؟
*حوض هنالك مورود بلا كذب لا بد من ورده يوماً كما وردوا

Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a termasuk orang yang banyak merenungkan bait-bait (syair) ini: (Syair yang dicipta oleh Waraqah bin Naufal, sepupu Khadijah Ummul Mukminin):

*لا شيء مما ترى تبقى بشاشته … يبقى الإله ويودي المال والولد

Tidak ada sesuatu pun yang abadi dari apa yang kamu lihat bergemerlapan…
Kerana yang abadi hanyalah Tuhan (pencipta alam)….Harta dan anak-anakmu akan lenyap…

لم تغن عن هرمز يوماً خزائنه … والخلد قد حاولت عاد فما خلدوا
ولا سليمان إذ تجري الرياح له … والإنس والجن فيما بينها ترد

Hurmuz (Maharaja Parsi) pada suatu hari pernah tidak memerlukan simpanan kekayaannya…
(Begitu juga) kaum ‘Aad (kaum Nabi Hud), mereka ingin hidup secara abadi, tetapi mereka gagal…
Begitu juga dengan Nabi Sulaiman (King Solomon Ben David, Nabi bani Israel), sang pengawal angin, serta manusia dan jin…

أين الملوك التي كانت لعزتها … من كل أوب إليها وافد يفد؟
حوض هنالك مورود بلا كذب … لا بد من ورده يوماً كما وردوا

Di manakah raja yang dulu pernah paling berkuasa di muka bumi…
Di akhirat kelak, semuanya akan tunduk dan tidak mampu berbohong…
Mereka akan mengakui perbuatan mereka yang telah tercatat…

3.12: Atsar seputar fadhilat mengingati mati berkata yang lain, iaitu ulama’ (tidak diketahui siapa):

و قال غيره :
و اذكر الموت تجد راحة في إذكار الموت تقصير الآمل
و أجمعت الأمة على أن الموت ليس له سن معلوم ، و لا زمن معلوم ، و لا مرض معلوم . و ذلك ليكون المرء على أهبة من ذلك ، مستعداً لذلك

“Ingat kematian akan mendapatkan kerehatan (ketenangan); ingat kematian juga memendekkan angan-angan”.
Mati tiada tanda-tanda yang pasti; baik tahun bila atau zaman bila, tanpa sebarang tanda sakit. Ini untuk manusia bersiap dan bersedia menghadapinya.

3.13: Atsar seputar fadhilat mengingati mati: Yazid al Raqosyi

و كان يزيد الرقاشي يقول لنفسه :يقول : أيها الناس ألا تبكون و تنوحون على أنفسكم باقي حياتكم ؟ من الموت طالبه و القبر بيته . و التراب فراشه . و الدود أنيسه . و هو مع هذا ينتظر الفزع الأكبر يكون حاله ؟ ثم يبكي حتى يسقط مغشياً عليه .

“Wahai manusia, tidakkah kamu tangisi akan saki baki hidup kamu? Sesiapa yang mencari kematiannya, kubur sebagai rumahnya, tanah (kubur) sebagai tilamnya, cacing dan ulat sebagai temannya dan ia menunggu kegoncangan kiamat yang dahsyat. Bagaimana keadaan kamu sekarang? Lalu dia menangis dengan teruk sehingga pengsan.”

Yazid al Raqosyi, يزيدُ بنُ أبان الرَّقَاشي أبو عمرو البصري القاص من زهادِ البصرةِ

Yazid bin Aban al Raqosyi Abu Amru al Bashri al Qash daripada golongan sufi zuhud Basrah, wafat 120H. Murid Hasan al Bashri.

Popular

Iklan

Iklan