Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-118 hingga Ke-120

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-118 hingga Ke-120

718
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-118

Ini adalah rungutan kelima daripada Allah ‎ﷻ.


وَقالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ لَولا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ أَو تَأتينا آيَةٌ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِثلَ قَولِهِم ۘ تَشابَهَت قُلوبُهُم ۗ قَد بَيَّنَّا الآياتِ لِقَومٍ يوقِنونَ

Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.

وَقَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Dan berkata orang-orang yang tidak tahu:

Iaitu yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Ayat ini tentang mereka kerana mereka tidak tahu wahyu dan tidak ada kitab. Nabi mereka pun sudah lama tidak ada jadi pengetahuan tentang agama mereka amat kurang.

لَوْلَا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ

kenapakah Allah tidak berbicara langsung kepada kami?;

Mereka kata kenapakah wahyu itu perlu melalui Nabi Muhammad ﷺ pula? Kenapa Allah ‎ﷻ tidak bercakap terus sahaja dengan manusia? Ini sekarang mereka menggunakan logik akal mereka.

Kalau pakai otak sendiri memang begitu. Tentu ada yang terfikir: “Kalau terus dapat maklumat daripada Allah ‎ﷻ, bukankah senang? Tentu tidak ada yang menentang Allah ‎ﷻ lagi kerana semua sudah tahu kebenaran. Tetapi sekarang bila pakai perantara, kita pun rasa, entah benar ataupun tidak Allah ‎ﷻ ada sampaikan maklumat wahyu ini?”

Di dalam ayat yang lain, Allah ‎ﷻ jelaskan kenapa Allah ‎ﷻ tidak terus berkomunikasi dengan mereka. Ini kerana kedudukan Allah ‎ﷻ amat tinggi maka tidak layak untuk bercakap terus dengan semua makhluk.

Ini juga kerana beratnya wahyu yang disampaikan, maka orang biasa tidak mampu untuk menerima wahyu terus daripada Allah ‎ﷻ. Maka kerana itulah penyampaian wahyu dilakukan seperti yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

أَوْ تَأْتِينَا آيَةٌ

atau Dia datang bawa satu dalil bukti?;

Iaitu mereka mahukan mukjizat diberikan kepada mereka. Antaranya mereka hendak Nabi Muhammad ﷺ menjadikan bumi Mekah yang berbatu dan gersang itu semua menjadi tanah. Mereka hendakkan air keluar dari bukit supaya mereka boleh bercucuk tanam.

Apabila manusia minta, tidaklah Allah ‎ﷻ beri. Allah ‎ﷻ tidak perlu ikut kehendak makhluk. Mukjizat bukan terjadi ikut kehendak sesiapa pun, kecuali kehendak Allah ‎ﷻ.

كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Dan demikianlah, berkata orang-orang sebelum mereka;

Bukan Musyrikin Mekah yang mula-mula berkata begitu dan membuat permintaan dan hujah-hujah yang mengarut. Sebenarnya, orang-orang dahulu pun sudah berkata begitu juga.

مِثْلَ قَوْلِهِمْ

sepertimana kata-kata mereka;

Sama sahaja kata Musyrikin Mekah dan umat-umat terdahulu yang telah dibinasakan kerana sepertimana Nabi-nabi memperkatakan perkara yang sama tentang tauhid, syaitan-syaitan yang menyesatkan mereka pun menggunakan was-was yang sama sahaja.

Hujah yang sama sahaja yang syaitan gunakan kepada manusia dari dahulu sehingga sekarang. Kerana itulah kalau kita belajar tentang syaitan, sebagai contoh belajar Talbis Iblis, ajaran itu adalah relevan dari zaman berzaman kerana sama sahaja modal yang digunakan oleh syaitan.

تَشَابَهَتْ قُلُوبُهُمْ

serupa sahaja hati-hati mereka;

Orang yang sesat dahulu dan sesat sekarang ini, sama sahaja kata-kata mereka dan apa yang ada di dalam hati mereka. Jadi, untuk kita kenal musyrikin sekarang, kita boleh lihat sama sahaja perkataan mereka dengan kata-kata orang-orang Musyrikin Mekah dahulu.

Memang menakjubkan, kerana kita akan dapat lihat bahawa kata-kata mereka itu adalah sama sahaja. Begitu juga dengan orang-orang yang sama macam orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kita boleh lihat bahawa kata-kata mereka adalah sama sahaja.

Orang Melayu yang menentang wahyu Allah ‎ﷻ pun sama sahaja. Apabila mereka keluarkan hujah, terdetik dalam kepala kita: “Alamak, samalah dengan kata-kata Abu Jahal dan kawan-kawan dia….”. Mereka sahaja tidak perasan kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

قَدْ بَيَّنَّا الْآيَاتِ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan tanda-tanda bukti;

Sebenarnya, dalil dan bukti itu telah diberikan kepada semua manusia. Sudah banyak mukjizat ditunjukkan kepada mereka. Tetapi mereka minta macam-macam itu kerana hendak menjadikan Nabi terdiam tidak boleh menjawab kata-kata mereka.

Mukjizat yang mereka minta bukannya kerana hendakkan bukti tetapi kerana niat buruk mereka itu. Itu sebab mereka minta macam-macam perkara yang mengarut.

Sememangnya Nabi ﷺ tidak boleh buat mukjizat mengikut suka baginda dan bukannya perlu untuk Allah ‎ﷻ layan kehendak mereka itu.

Sepatutnya, kalau mereka hendakkan bukti, memang telah ada banyak diberikan kepada mereka, tetapi yang boleh terima hanyalah:

لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

orang-orang yang yakin sahaja;

Iaitu mereka yang yakin bahawa Allah ‎ﷻ adalah Pencipta yang tiada tandingan. Mereka ini orang yang hati mereka telah contoh dengan kebenaran. Jadi apabila dalil dan bukti diberikan kepada mereka, mereka terus semakin yakin dengan kebenaran. Ini kerana hati mereka telah terbuka kepada kebenaran.

Sedangkan dalil yang sama diberikan kepada orang yang degil, tetapi mereka tolak kerana hati mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Hati mereka memang hendak buat apa yang mereka ingin sahaja.

Tafsir Ayat Ke-119

Ayat ini adalah jenis ayat Tasliah. Maknanya pujuk rayu Allah ‎ﷻ kepada Nabi ﷺ dan sahabat Nabi untuk meneruskan dakwah. Allah ‎ﷻ hendak memberikan ketenangan kepada mereka supaya mereka terus kuat dalam usaha dakwah mereka.

Oleh kerana mereka semua telah meninggal, sekarang ia adalah pujuk rayu kepada orang yang sebar dan pegang agama. Maka ayat-ayat sebegini adalah sebagai motivasi kepada pendakwah.

إِنّا أَرسَلناكَ بِالحَقِّ بَشيرًا وَنَذيرًا ۖ وَلا تُسأَلُ عَن أَصحابِ الجَحيمِ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan kamu (Muhammad);

Allah ‎ﷻ menegaskan bahawa baginda telah diutus oleh Dia sendiri. Maka jangan baginda ragu-ragu. Jadi kita pun jangan ragu-ragu tentang perkara ini.

بِالْحَقِّ

dengan kebenaran;

Nabi ﷺ datang dengan agama yang benar. Baginda bawa kebenaran yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada baginda yang agama yang baginda bawa ini adalah benar. Maka jangan bimbang, jangan putus semangat.

بَشِيرًا

Sebagai satu berita gembira;

Tugas baginda adalah untuk membawakan berita gembira kepada sesiapa yang mengikut pegangan tauhid dan membenarkan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka dijanjikan dengan kemenangan dan kedudukan dalam syurga yang akan kekal abadi di dalamnya.

وَنَذِيرًا

dan sebagai ancaman;

Selain daripada berita gembira, tugas baginda juga menyampaikan ancaman. Ancaman pula kepada orang yang menentang tauhid. Maka kepada mereka yang masih lagi hendak membuat tawassul dalam berdoa dan menyembah selain Allah ‎ﷻ, maka kepada mereka diberikan ancaman. Beritahu kepada mereka yang kalau mereka teruskan amalan syirik mereka itu, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.

Jadi, sampaikan berita gembira dan ancaman dan suruh mereka fikirkan: “Nak kekal dalam syurga atau nak kekal dalam neraka?” Ini adalah soalan yang amat penting. Ini bukan soalan main-main. Kalau gagal dalam peperiksaan, masih boleh tunggu tahun hadapan untuk ulang peperiksaan. Tetapi kalau gagal dalam pemilihan bab ibadah dan akidah, boleh kekal dalam neraka.

وَلَا تُسْأَلُ

Dan kamu tidak akan ditanya;

Allah ‎ﷻ pujuk Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم: Jikalau kamu telah melakukan kerja menyampaikan berita gembira dan peringatan ancaman kepada manusia, maka kamu tidak akan ditanya lagi. Kamu sudah menjalankan tanggungjawab kamu.

Maknanya, kita kenalah beritahu kepada manusia tentang tauhid dan ajaran agama Islam. Kalau kita simpan sendiri sahaja, tidak beritahu kepada kawan-kawan dan ahli keluarga kita, kita akan ditanya nanti. Kalau kita ditanya kenapa kita tidak sebarkan, apakah jawapan kita nanti di hadapan Allah ‎ﷻ? Banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang memberi isyarat kepada kita untuk menyampaikan ajaran Allah ‎ﷻ kepada manusia.

عَنْ أَصْحَابِ الْجَحِيمِ

tentang penghuni neraka;

Kalau kita sudah sampaikan dakwah tauhid, kita tidak akan ditanya kenapa keluarga, sahabat dan jiran kita masuk neraka. Ini kerana mereka bukan lagi tanggungjawab kita. Kalau tidak buat lagi, pasti akan ditanya. Kalau kita sampaikan, barulah kita selamat.

Maknanya, kita kena sebar agama ini. Kena beritahu kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Ini adalah ayat yang menikam hati yang menggerakkan kita untuk menyebar agama kepada manusia. Memang hendak sampaikan dakwah ini agak berat. Kadangkala orang yang disampaikan itu tidak suka kita beri peringatan kepada mereka. Kadangkala kita ditentang.

Namun kita kena ingat, kalau kita tidak buat penyebaran itu, kita akan ditanya kenapa mereka masuk neraka. Sebelum mereka masuk neraka, kita dahulu yang akan ditanya. Maka memang ini adalah ujian bagi orang yang berilmu. Kita kena beritahu kepada manusia tentang Islam.

Tafsir Ayat Ke-120

Ini adalah ayat zajrun – ayat ancaman daripada Allah.

وَلَن تَرضىٰ عَنكَ اليَهودُ وَلَا النَّصارىٰ حَتّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُم ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَ الَّذي جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ

Dan tidak sekali-kali akan redha orang Yahudi itu terhadap engkau;

Golongan Yahudi tidak dapat duduk diam kerana mereka mahu agama Islam ini hancur. Kita telah baca banyak perangai mereka dan bagaimana mereka tidak suka kalau agama Islam ini berkembang. Mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan Islam.

Namun begitu agama Islam telah berkembang pesat ke serata dunia kerana para sahabat telah sebarkan agama ini. Mereka telah kecewa untuk mematikan agama Islam, tetapi mereka tidak akan berputus asa. Mereka akan terus merosakkan orang Islam dan pemikiran golongan Muslim.

Kalau mereka tidak berhenti daripada merosakkan agama, maka kita pun jangan berdiam diri daripada menyampaikan agama ini kepada manusia. Kalau mereka berjuang untuk menjatuhkan kita, maka kita pun kena terus berdakwah untuk mengembangkan dakwah agama yang suci ini ke seluruh dunia.

وَلَا النَّصَارَىٰ

dan tidak juga orang Nasara;

Bukan sahaja Yahudi yang mahu menjatuhkan Islam, tetapi golongan Nasara juga. Ini kerana kalau agama Islam ini diterima oleh manusia, maka akan nampaklah yang agama Kristian itu adalah agama yang sesat dan jauh daripada kebenaran.

حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

sehinggalah kamu ikut ajaran ugama cara mereka;

Mereka mahu juga kita ikut cara mereka. Walaupun tidak keluar Islam pun tetapi asalkan ikut cara hidup mereka. Selagi tidak ikut, selagi itu mereka akan khianati kita. Sekarang ini, kita boleh lihat bagaimana umat Islam yang mengaku beragama Islam, namun akidah mereka, cara hidup mereka, dan amalan mereka sudah sama seperti agama Yahudi dan Nasara.

Sekarang ini, orang Hindu pun suruh ikut agama mereka. Ada pergerakan untuk memasukkan Muslim Melayu ke dalam agama Hindu. Ini amatlah pelik sekali. Bagaimanalah orang Islam boleh menganut agama Hindu sedangkan ia adalah agama yang amat mengarut sekali? Tetapi masih ada yang masuk juga agama Hindu kerana ramai yang tidak kukuh dalam pemahaman agama kita. Sampai ada orang kita yang boleh rasa agama lain pun ada kebenaran juga.

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ

Katakanlah: bahawasanya hidayat Allah itulah sebenar-benar hidayat;

Allah ‎ﷻ memberikan peringatan dalam ayat ini: Hanya hidayah Islam sahaja yang benar. Agama dan anutan lain tidak boleh diterima sebagai hidayah. Jadi agama selain Islam itu tidak boleh dipakai dan diamalkan. Jangan termakan dengan fahaman: semua agama baik.

Tidak, tidak sama semua agama. Walaupun agama lain itu pun mengajak kepada akhlak yang baik, mengajar berbaik-baik dengan semua manusia, ia tetap tidak boleh diamalkan kerana akidah mereka akidah yang sesat.

وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ

Dan jika sekiranya engkau mengikut hawa-hawa nafsu mereka;

Walau ayat ini khitab (ditujukan) kepada Nabi, tetapi sebenarnya untuk kita juga kerana Nabi tidak akan mengikut hawa nafsu mereka. Kalau kita mengikut nafsu mereka, maka ada amaran daripada Allah ‎ﷻ dalam ini. Allah ‎ﷻ kata ‘nafsu’ kerana semua yang bukan agama Islam adalah mengikut nafsu.

‘Hawa nafsu’ yang dimaksudkan ialah apa sahaja dalil yang dibawa yang bukan dari Al-Qur’an dan Sunnah, iaitu mereka hanya pakai hujah guru. Ini seperti masyarakat Muslim yang banyak berkata dalam hujah mereka: “takkanlah ustaz itu nak masuk neraka. Mereka dulu belajar di Mesir, Mekah lama dah. Takkan mereka salah pula.” Kalau ada orang yang pakai hujah begitu, itu adalah hujah hawa nafsu dan hujah orang musyrik.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ, iaitu jikalau baginda mengikuti hawa nafsu orang-orang sebegitu, maka baginda adalah salah. Tetapi kerana Nabi sudah tiada, ayat ini ditujukan kepada kita sekarang. Janganlah kita gunakan manusia sebagai dalil. Ini kerana manusia tidak semestinya betul. Manusia tidak terlepas daripada kesalahan. Lainlah kalau seseorang itu memberi pandangannya berdasarkan kepada ayat Al-Qur’an dan juga hadith Nabi ﷺ yang sahih.

بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ

selepas datang kepada kamu ilmu Al-Qur’an ini;

Ini adalah ancaman kepada kita yang sudah dapat dalil daripada ajaran Al-Qur’an, tetapi kita ikut juga mereka. Maka kalau kita begitu, kita akan dapat balasan daripada Allah ‎ﷻ yang amat buruk. Kalau jahil dan mengikut hawa nafsu Yahudi dan Nasara, pun sudah teruk; namun kalau sudah ada ilmu agama tetapi masih lagi mengikut mereka, itu terlebih-lebih teruk dan malang sekali.

ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ

Maka tidak ada lagi bagi kamu daripada Allah; satu orang pun yang boleh beri pelindung

Iaitu kita tidak akan selamat daripada neraka Allah ‎ﷻ. Maksudnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang ahli neraka daripada dimasukkan ke dalam neraka. Tidak ada peguam yang akan dapat berhujah ataupun pembantu yang dapat menahan pintu neraka itu.

Kalau Nabi ikut nafsu mereka pun Allah ‎ﷻ tidak akan menolongnya, apatah lagi kita. Maka jangan rasa kita akan selamat kalau kita ikut hawa nafsu golongan Yahudi dan Nasara.

وَلَا نَصِيرٍ

dan orang yang boleh tolong;

Tidak ada sesiapa pun yang akan tolong kita bila Tuhan sudah campak kita ke dalam neraka. Tidak akan ada orang yang akan masuk neraka dan mencari-cari kita untuk selamatkan kita.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan