Utama Blog Halaman 64

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-146 dan Ke-147

0

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-146

الَّذينَ آتَيناهُمُ الكِتابَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم ۖ وَإِنَّ فَريقًا مِنهُم لَيَكتُمونَ الحَقَّ وَهُم يَعلَمونَ

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka Kitab,

Iaitu golongan Ahli Kitab yang telah diberikan dengan Kitab Taurat dan Injil. Mereka itu sepatutnya orang yang sudah berilmu dan memang mereka tahu banyak perkara. Tetapi mereka sengaja sembunyikan perkara sebenar itu.

يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ

mereka mengenalinya (Nabi Muhammad dan sifatnya) sepertimana mereka kenal anak-anak mereka sendiri;

Mereka boleh kenal Nabi Muhammad ﷺ kerana telah ada tertera penerangan tentang Nabi Muhammad ﷺ dalam kitab mereka. Malah sifat-sifat Nabi ﷺsama seperti yang ada dalam kitab mereka. Mereka tahu yang Nabi akhir zaman itu akan datang ke Yathrib.

Kata Ibnu Salam رضي الله عنه (seorang sahabat yang asalnya pendeta Yahudi yang masuk Islam), “Sesungguhnya ketika aku melihatnya, maka aku pun segera mengenalinya, sebagaimana aku mengenal anakku sendiri, bahkan lebih kuat lagi mengenal Muhammad ﷺ.”

Kenapa diberikan perumpamaan ‘anak’ dalam ayat ini? Kerana tentulah kita kenal anak kita sendiri kerana kita sudah biasa sangat dengan anak kita. Tengok kelibat mereka dari jauh pun kita sudah kenal kerana itu anak kita sendiri.

Macam juga kita kenal sifat-sifat Imam Mahdi dan Dajjal dari kitab-kitab kita. Sebab kita selalu dengar kisah mereka disebut-sebut.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang memang ulama’-ulama’ Ahli Kitab itu kenal sungguh dengan Nabi Muhammad ﷺ sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka. Seorang ayah tentunya kenal anak dia lebih lagi daripada seorang anak kenal ayah dia. Kerana ayah tengok anak semenjak dari kecil lagi, tetapi seorang anak cuma kenal ayah dia bila sudah dewasa.

Oleh kerana dia kenal anak dia dari kecil lagi, seorang ayah itu akan tahu segala tanda pada anak itu. Begitulah ulama’ Yahudi mengenali Nabi Muhammad ﷺ.

Ada juga yang mengatakan bahawa هُ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada kiblat. Iaitu Ahli Kitab itu kenal kiblat ke Kaabah itu seperti mereka kenal anak mereka sendiri. Ini adalah kerana ayat-ayat sebelum ini adalah tentang kiblat.

Ada juga yang mengatakan bahawa هُ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada Al-Qur’an. Iaitu Ahli Kitab itu kenal Al-Qur’an itu seperti mereka kenal anak mereka sendiri kerana kebenaran yang ada di dalamnya juga sama seperti apa yang telah ada dalam kitab mereka.

Manakah yang benar? Ketiga-tiganya boleh dipakai.

وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ

Dan sesungguhnya ada segolongan di antara mereka menyembunyikan kebenaran;

Golongan ulama’ mereka menyembunyikan kebenaran kepada golongan awam mereka. Mereka sudah tahu apakah yang benar tetapi mereka sembunyikan untuk menjaga kedudukan mereka iaitu kebenaran bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul akhir zaman.

Atau menyembunyikan yang kiblat ke Mekah itu adalah kiblat yang benar.

Atau menyembunyikan yang Al-Qur’an itu adalah Kitab daripada Allah ‎ﷻ juga.

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedangkan mereka tahu;

Mereka tahu kebenaran, tetapi mereka kata kepada anak murid mereka bahawa Nabi akhir zaman itu mesti daripada kalangan Yahudi. Ada yang kata, memang Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul, tetapi Rasul untuk orang Arab sahaja.

Macam sekarang, guru-guru selalu kata kena ikut Al-Qur’an dan Sunnah. Tetapi apabila datang golongan yang membawa Sunnah, mereka kata tidak boleh pula ikut golongan yang hendak ikut sunnah itu.

Mereka tahu bahawa apa yang diajar oleh mereka yang mengajar berdasarkan sunnah itu adalah benar, tetapi mereka masih lagi tidak mahu nak ikut.

Tafsir Ayat Ke-147

Allah ‎ﷻ beri penegasan dalam ayat ini.

الحَقُّ مِن رَبِّكَ ۖ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ

Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ

Sesungguhnya kebenaran itu daripada Tuhan kamu;

Kalimah الْحَقُّ (kebenaran) yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Itulah kebenaran yang kita kena ikut. Allah ‎ﷻ telah bawa kebenaran dengan kedatangan Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi ulama’ Ahli Kitab telah menyembunyikan kebenaran itu. Ulama’ Ahli Kitab juga telah menipu golongan awam mereka dengan mengatakan bahawa kiblat ke Baitul Haram itu tidak ada dalam kitab mereka.

Mereka menyembunyikan ilmu itu daripada masyarakat. Termasuk juga mereka telah menyembunyikan maklumat itu daripada orang Arab Madinah yang telah masuk Islam. Mereka menggunakan kedudukan mereka yang telah lama menganut agama Yahudi dan Kristian untuk menipu masyarakat waktu itu. Mereka kata mereka yang lebih layak untuk diikuti kerana orang Arab tidak pernah diturunkan kitab oleh Allah ‎ﷻ sebelum itu.

Begitu jugalah yang terjadi dalam masyarakat kita sekarang. Ada orang-orang agama seperti ustaz-ustaz yang telah mendapat kedudukan dalam agama tetapi menipu dalam hal agama. Mereka ada yang kata mereka tidak pernah mendengar larangan Allah ‎ﷻ tentang sesuatu amalan bidaah. Contohnya, mereka kata Nabi ﷺ tidak pernah melarang untuk mengadakan majlis kenduri arwah. Dan oleh kerana mereka telah ada kedudukan, atau mereka telah terkenal kerana telah masuk dalam media massa dan sebagainya, masyarakat lebih memandang mereka sebagai yang ada autoriti dalam agama.

Padahal, hujjah mereka itu adalah hujah yang batil kerana memang Nabi ﷺ sudah melarang mengadakan kenduri pada hari kematian. Dan banyak lagi hujah-hujah mereka yang bukan diambil dari Al-Qur’an dan Sunnah untuk membenarkan kesalahan dalam fahaman dan amalan dalam masyarakat.

Mereka pakai hujah akal sahaja atau pendapat manusia, tanpa merujuk kepada nas yang sahih. Tetapi kerana mereka telah ada kedudukan, pandangan mereka telah diambil kira oleh mereka yang jahil. Ini telah menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Masyarakat awam menjadi keliru tentang manakah pendapat yang benar. Kebanyakan daripada masyarakat tentunya akan memilih golongan agamawan yang telah terkenal, tambahan lagi amalan yang mereka lakukan itu telah sebati dalam masyarakat, jadi mereka sangka tidak mungkin salah pula?

فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

dan janganlah kamu sekali-kali termasuk orang yang ragu-ragu;

Iaitu, janganlah kamu ragu-ragu apabila kebenaran telah datang. Kedatangan Nabi Muhammad ﷺ itu memang benar; kiblat ke Kaabah itu memang benar; Al-Qur’an itu memang benar.

Begitu jugalah kita, janganlah kita termasuk orang yang keliru apabila nas yang sahih telah diberikan. Jangan kita termakan dengan kata-kata mereka yang hanya memberikan dalil yang batil sahaja untuk menguatkan hujah mereka. Ingatlah bahawa pegangan pertama kita adalah Al-Qur’an dan Sunnah yang sahih. Jangan kita ragu-ragu apabila telah diberikan dengan nas-nas seperti itu.

Kita pun telah tahu bahawa Al-Qur’an dan Sunnah itu adalah rujukan utama kita, jadi kenapa hendak ragu-ragu? Kenapa hendak melebihkan pandangan manusia daripada apa yang Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya telah sampaikan? Belajarlah agama dan carilah maklumat sebanyak mungkin dan bukalah minda untuk memikirkan manakah pandangan yang lebih kuat – ‘kata Allah ‎ﷻ’ atau ‘kata manusia’?

Allahu a’lam. 

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-144 dan Ke-145

0

Tafsir Surah Al-Baqarah 

Tafsir ayat ke-144

Ini adalah Ayat Tasliah, ayat untuk memujuk Nabi ﷺ. Nabi ﷺ telah menghadap ke Kaabah apabila mula kenal salat semasa di Mekah (ada pendapat lain yang mengatakan Nabi semasa di Mekah pun terus kena menghadap ke Baitul Maqdis).

Tetapi apabila baginda dan para sahabat sudah berhijrah ke Madinah, mereka kena menghadap ke Baitul Maqdis.

Maka baginda taat, akan tetapi dalam hatinya baginda hendak sangat kembali menghadap ke Kaabah kerana itulah kiblat Nabi Ibrahim عليه السلام. Oleh itu baginda selalu menunggu-nunggu turunnya wahyu memberi arahan untuk menghadap ke Kaabah.

قَد نَرىٰ تَقَلُّبَ وَجهِكَ فِي السَّماءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبلَةً تَرضاها ۚ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَحَيثُ ما كُنتُم فَوَلّوا وُجوهَكُم شَطرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذينَ أوتُوا الكِتابَ لَيَعلَمونَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَبِّهِم ۗ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمّا يَعمَلونَ

Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ

Sesungguhnya Kami selalu melihat muka kamu mendongak ke langit;

Dalam masa 16 atau 17 bulan yang orang Islam disuruh untuk menghadap Baitul Maqdis di dalam salat semasa di Madinah itu, Nabi ﷺ selalu mengangkat muka baginda menghadap ke langit. Tetapi baginda tidak bercakap apa-apa pun. Baginda dalam keadaan mengharap supaya Allah ‎ﷻ mengubah kiblat ke Baitullah.

Namun baginda tidak berani meminta kepada Allah ‎ﷻ. Baginda tidak tergamak kerana ia telah disyariatkan oleh Allah ‎ﷻ. Tetapi baginda sangat sayangkan Baitullah kerana ia adalah kiblat dari zaman Nabi Ibrahim عليه السلام lagi. Maka baginda hanya memandang ke langit sahaja dengan penuh pengharapan.

Semasa baginda di Mekah, memang kena menghadap ke Baitul Maqdis dalam salat. Tetapi semasa di sana, boleh lagi baginda menghadap ke arah Kaabah dan Baitul Maqdis dalam masa yang sama kerana baginda boleh duduk dalam posisi mengadap kedua-duanya.

Tetapi apabila berada di Madinah tidak boleh lagi berbuat begitu, maka baginda amat terasa perbezaan itu. Di Madinah, baginda terpaksa membelakangkan Kaabah dalam salat baginda.

Ayat ini menunjukkan hubungan yang rapat antara Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ. Macam emak kita, tengok muka kita pun sudah tahu kita ada masalah. Nabi ﷺ tidak perlu bercakap apa-apa pun tetapi Allah ‎ﷻ sudah memberikan apa yang baginda hendak. Kalau dibandingkan dengan apa yang diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام, ia diberikan selepas Nabi Musa عليه السلام memohon kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi dalam kes Nabi Muhammad ﷺ tentang kiblat ini, Nabi ﷺ tidak memohon dengan lafaznya pun, tetapi Allah ‎ﷻ sudah beri.

فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا

Maka Kami pindahkan arah kiblat ke arah yang engkau redhai;

Allah ‎ﷻ sempurnakan hajat Nabi Muhammad ﷺ. Dan selepas Allah ‎ﷻ sempurnakan hajat baginda, maka turunlah ayat perlaksanaan pula, iaitu ayat ini. Ayat ini turun semasa salat Asar di Masjid Qiblatain. Masjid itu adalah antara tempat elok untuk diziarahi. Dipanggil Qiblatain kerana ada dua qiblat pada masjid itu. Ada hadith berkenaan penukaran kiblat ini.

Sahabat semasa itu berpusing dalam salat untuk mengubah arah kiblat. Nabi ﷺ yang ada di hadapan sebagai imam terus jadi berdiri di belakang setelah terjadi pemusingan itu. Bila turun sahaja ayat mengarahkan untuk menukar kiblat, Nabi ﷺ terus berpusing dan sahabat terus ikut.

Manakala sahabat yang sudah salat itu, pergi ke masjid lain dan laungkan kepada orang lain yang sedang salat bahawa qiblat telah berpindah. Maka, yang dalam masjid dan sedang salat itu pun berpusing juga. Selepas berpusing itu, mereka kena bergerak dalam kadar yang jauh untuk memperbetulkan kembali saf. Ini menjadi dalil bahawa tidak salah kalau bergerak banyak dalam solat jikalau ada keperluan.

Dalam perkataan فَلَنُوَلِّيَنَّكَ itu, menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ mengubah kiblat itu kerana Nabi ﷺ. Ini kerana amat kasihnya Allah ‎ﷻ kepada baginda.

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

Maka hadapkanlah wajah kamu (dalam solat) ke arah Masjidilharam;

Ini adalah ayat perintah. Agama lain kata kita menyembah batu. Jangan kita mengiyakan kata-kata mereka kerana kerana kalau kita buat begitu, kita jadi kufur sebab kita iktikad sembah batu. Padahal kita menghadap ke arah Masjidil Haram itu adalah kerana kita diperintah oleh Allah ‎ﷻ untuk menghadap ke arah itu.

Dalam hukum Feqah, menghadap kiblat adalah syarat sah salat sahaja, bukan rukun salat. Sebab itu ada waktu salat tidak hadap ke kiblat pun, macam salat waktu perang (Solat Khauf). Atau dalam musafir – kita duduk atas sampan, dan mungkin sampan itu berpusing dan kita tidak mengadap kiblat lagi – ini dibenarkan. Tetapi dalam Al-Qur’an banyak disebut tentang kiblat. Kenapa?

Kerana hal kiblat ini perlu diperjelaskan kerana kalau ada yang salah faham, sudah nampak macam sembah selain Allah ‎ﷻ – sembah batu, sembah dinding, sembang tongkat, sembah tiang dan sebagainya. Dan memang ada orang kafir kata kita sembah dinding dan sembah batu Kaabah. Lalu apa beza kita dengan mereka? Mereka kata mereka hanya sembah patung kecil sahaja, sedangkan kita sembah bangunan yang lebih besar – 30 kaki tingginya Kaabah itu. Ini adalah hujah daripada mereka dan kalau tidak belajar, tidak boleh hendak jawab tuduhan mereka.

Jadi kena beri dua jawapan kepada isu ini. Pertama, kita menghadap kiblat ini adalah kerana arahan daripada Allah ‎ﷻ Tuhan kita. Ia ada dalam Al-Qur’an sepertimana ayat yang kita sedang baca ini dan ayat-ayat lain. Kalau Allah ‎ﷻ suruh kita menghadap ke arah yang lain pun kita akan ikut juga kerana kita taat kepada Allah ‎ﷻ.

Dan kita bukannya pernah menyembah Hajarul Aswad itu. Pernah Hajarul Aswad dicuri selama 22 tahun tidak ada di Kaabah. Ia diambil oleh Puak Qaramitah (salah satu dari mazhab Syiah Ismailiah) pada tahun 317H. Walau pun Hajarul Aswad tidak ada di situ, umat Islam tetap salat mengadap ke arah Kaabah juga.

Dan tidaklah kita juga menyembah Kaabah. Kalaulah Kaabah itu tidak ada (mungkin kena runtuh, kena bom), kita tetap menghadap ke arah itu juga kerana kita kena ada arah yang satu. Kalau tidak, dalam salat jemaah kita hendak menghadap ke mana?

Salah satu hikmah Allah ‎ﷻ suruh kita menghadap Mekah kerana ia adalah pusat dunia. Memang kalau buka peta dunia sekarang pun dan tunjuk kedudukan Mekah, ia berada di tengah-tengah peta. Allah ‎ﷻ yang menjadikan bumi dan Dia telah jadikan Mekah sebagai pusat dan Dia telah menentukannya sebagai kiblat kita.

Kedua, kita tidak ada rasa apa-apa dengan Kaabah itu seperti mana penyembah berhala rasa terhadap berhala dan patung mereka. Mereka, semasa seru roh, wali dan dewa mereka, mereka jadikan roh itu dalam bentuk patung sebagai kiblat tawajjuh (tempat menghadap), tetapi kita orang Islam tidak buat begitu.

Semasa mereka menghadap kepada patung itu, mereka sembah roh yang mereka iktikad ada dalam patung itu. Mereka pun hanya memandai sahaja, padahal sebenarnya dalam kitab asal mereka pun tidak suruh mereka berbuat begitu.

Sedangkan kita menghadap ke arah Kaabah kerana memang Allah ‎ﷻ yang suruh. Kalau kita rasa yang Kaabah itu boleh selesaikan masalah, boleh buat itu dan ini, maka itu pun syirik juga. Tetapi iktikad kita, Kaabah dan Hajarul Aswad itu tidak mempunyai kuasa apa-apa. Seperti kata Umar رضي الله عنه kepada Hajarul Aswad semasa beliau menciumnya.

عَنْ عَابِسِ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ رَأَيْتُ عُمَرَ يُقَبِّلُ الْحَجَرَ وَيَقُولُ إِنِّى لأُقَبِّلُكَ وَأَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَلَوْلاَ أَنِّى رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُقَبِّلُكَ لَمْ أُقَبِّلْكَ

“Darpada ‘Abis bin Robi’ah, dia berkata, “Aku pernah melihat ‘Umar (bin Al Khottob) mencium Hajar Aswad. Lantas ‘Umar رضي الله عنه berkata, “Sesungguhnya aku menciummu dan aku tahu bahawa engkau hanyalah batu. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah ﷺ menciummu, maka tentu aku tidak akan menciummu.” (HR. Bukhari no. 1597, 1605 dan Muslim no. 1270).

Alhamdulillah, dengan kata-kata Umar رضي الله عنه ini, kita dapat faham kedudukan Kaabah itu.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ia adalah dalam bentuk kebenaran yang diberikan kepada Nabi ﷺ untuk menghadap ke Masjidil Haram sebab Nabi ﷺ hendak begitu. Walaupun Nabi ﷺ tidak berdoa kepada Allah ‎ﷻ, tetapi Allah ‎ﷻ tahu isi hati baginda.

وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Dan di mana sahaja kamu berada, hadapkanlah wajahmu ke arahnya;

Ayat ini pula ditujukan kepada semua umat Islam. Ia adalah dalam bentuk arahan. Maknanya, bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang menghadap ke Masjidil Haram. Sama ada kita dalam dalam musafir, atau kita berada di mana-mana, kena menghadap ke arah Masjidil Haram.

“Di mana sahaja kamu berada” – bermakna, bukan di Masjid Nabi sahaja kena mengadap ke Masjidil Haram. Kalau di mana-mana tempat di dunia ini pun, kena menghadap ke Masjidil Haram.

وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ

Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberi Kitab;

Iaitu golongan ulama’ dari Bani Israil.

لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ

mereka sesungguhnya sudah tahu bahawasanya kiblat itu adalah benar dari Tuhan mereka;

Mereka amat tahu tentang Kaabah kerana dalam Taurat telah tertulis bahawa Nabi akhir zaman itu akan menghadap ke arah Baitul Maqdis seketika dan kemudian akan menghadap ke Masjidil Haram.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Dan Allah tidak lalai terhadap apa yang mereka lakukan;

Iaitu Allah ‎ﷻ tidak lalai tentang keengkaran mereka berkenaan arah kiblat ini. Mereka telah menutup kisah tentang kiblat ini yang ada dalam kitab mereka. Mereka menyorok ilmu sampaikan umat mereka tidak tahu dan menyalahkan apa yang Nabi ﷺ lakukan. Padahal, kalau umat Bani Israil itu diberitahu bahawa ia memang ada dalam kitab mereka, tentu mereka pun akan nampak kebenaran Nabi Muhammad ﷺ dan agama Islam.

Makna Allah ‎ﷻ ‘tidak lalai’ itu bermaksud Allah ‎ﷻ akan balas kesalahan mereka itu di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ bukan buat tidak tahu sahaja. Allah ‎ﷻ tulis dan rekod apa yang mereka lakukan.

Tafsir ayat ke-145

Ini adalah ayat Zajrun. Allah ‎ﷻ memberi ancaman kepada orang Islam.

وَلَئِن أَتَيتَ الَّذينَ أوتُوا الكِتابَ بِكُلِّ آيَةٍ ما تَبِعوا قِبلَتَكَ ۚ وَما أَنتَ بِتابِعٍ قِبلَتَهُم ۚ وَما بَعضُهُم بِتابِعٍ قِبلَةَ بَعضٍ ۚ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم مِن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ إِنَّكَ إِذًا لَمِنَ الظّالِمينَ

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian daripada mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.

وَلَئِنْ أَتَيْتَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ

Sekiranya kamu mendatangkan kepada orang yang telah diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu

Allah ‎ﷻ beritahu kedegilan Ahli Kitab itu. Walaupun kita berikan dalil, mereka tidak akan terima kebenaran tentang kiblat itu.

بِكُلِّ آيَةٍ

dengan semua dalil-dalil bukti

Kalau bagi macam-macam bukti pun mereka tidak akan mengikut kiblat orang Islam. Walaupun kita bagi mereka bermacam-macam hujah. Mereka hanya hendak berdebat sahaja sebenarnya. Jangan kita sangka hujah kita tidak kuat dan sebab itulah mereka tidak ikut. Sebenarnya, mereka tidak akan ikut walaupun apa kita kata. Ini kerana niat hati mereka bukan hendakkan kebenaran, tetapi hendak berhujah dan berdebat sahaja.

Begitu jugalah kalau kita berdebat dengan orang-orang Islam yang tidak mahu mengikut jalan sunnah. Walau bagaimana hebat pun hujah yang kita berikan, hati mereka tidak mahu terima.

مَا تَبِعُوا قِبْلَتَكَ

mereka sekali-kali tidak akan mengikuti kiblat kamu;

Mereka tidak mahu ikut kiblat itu hanya kerana kedegilan sahaja. Kalau mereka tidak mahu ikut itu sebab mereka jahil, kita masih boleh jelaskan lagi. Tetapi kalau degil, tidak ada ubat. Maka Allah ‎ﷻ menegur mereka kerana kedegilan mereka itu dan Allah ‎ﷻ beritahu yang mereka tidak akan berubah kerana degil.

Dalam Taurat telah disebutkan bahawa apabila datang mana-mana Nabi, mereka kena taat. Namun mereka tidak taat kepada Nabi Isa عليه السلام. Dan mereka tidak mahu taat kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Kalau manusia sudah biasa mengamalkan sesuatu amalan dalam agama, mereka akan susah hendak ubah walaupun mereka diberikan dengan berbagai-bagai dalil. Tambahan pula kalau mereka itu kononnya orang yang tahu tentang agama. Atau jikalau mereka itu pemimpin dalam masyarakat jadi mereka besar kepala.

Mereka lagi degil hendak berubah ke arah kebenaran. Mereka masih lagi hendak pegang amalan-amalan mereka yang mereka sudah biasa buat itu. Ini kerana mereka takut status mereka akan jatuh. Mereka takut mereka akan dikatakan mengamalkan amalan yang salah sebelum itu.

وَمَا أَنْتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ

Dan tidaklah kamu Muhammad akan mengikuti kiblat mereka;

Kiblat Yahudi adalah Baitul Maqdis. Kristian juga sepatutnya berada di situ tetapi mereka telah mengubah kiblat mereka ke tempat lahirnya Nabi Isa عليه السلام, Bettlehem. Sepatutnya, sekarang apabila diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk berpindah kiblat ke Mekah, mereka kena ikut.

Kita dulu menghadap ke Baitul Maqdis. Tetapi sekarang mereka mengatakan yang kita hendakkan kepada Kubah tempat batu terapung tu. Padahal, bukan itu kiblat kita. Ramailah pula yang membuat syirik di situ. Dengan melawat tempat itu dan minta macam-macam. Itu bukan tempat salat, tetapi mereka ramai yang salat di situ kerana kononnya hendak ambil berkat. Begitulah kalau manusia yang jahil.

Kita sampai bila-bila pun tidak akan menghadap kepada kiblat mereka. Allah ‎ﷻ beri larangan kepada Nabi ﷺ tidak boleh mengikut kiblat mereka untuk mengambil hati mereka. Ini kerana agama bukan untuk mengambil hati orang tetapi mesti mengikut perintah Tuhan.

Macam sekaranglah juga, tidaklah boleh pergi juga ke Majlis Tahlil bid’ah itu kerana hendak mengambil hati orang ramai atau kerana ahli keluarga kita yang buat. Bukan kerja kita untuk mengambil hati orang dan dalam masa yang sama menolak kehendak agama.

وَمَا بَعْضُهُمْ بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ

Dan sebahagian mereka tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain

Yahudi dan Nasara kiblat berlainan dan mereka tidak akan mengikut yang lain daripada kiblat mereka. Yahudi tidak akan mengikut kiblat Nasara dan Nasara pun tidak akan mengikut kiblat Yahudi.

Terdapat empat kumpulan yang disentuh dalam ayat ini: Yahudi, Kristian, Islam dan Musyrikin Mekah. Semuanya tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain. Musyrikin Mekah sebelum itu pun menghadap ke Kaabah juga. Tetapi daripada ayat ini, kita dapat tahu bahawa mereka tidak akan lama menghadap ke Kaabah. Mereka pun tidak akan ikut kiblat orang Islam.

Tidak akan dapat persetujuan oleh empat kumpulan ini dalam hal kiblat dan hal agama.

وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ

Dan jika kamu ikuti hawa nafsu mereka itu

Ini adalah larangan daripada Allah ‎ﷻ. Yang dimaksudkan di sini adalah mengikut mereka yang menggunakan dalil hawa nafsu mereka sahaja. Bukan menggunakan dalil yang sah dari Al-Qur’an dan hadith Nabi ﷺ.

مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ

sesudah datang kepada kamu dalil bukti daripada Allah,

Kalau sudah dapat ilmu, maka tidak boleh ikut golongan yang sesat kerana itu adalah amat salah. Maka begitulah kita setelah belajar, tidak mungkin kita hendak takutkan lagi dengan orang yang jahil? Kenapa kita pula kena ikut mereka buat perkara bid’ah kerana takut mereka kutuk kita, pandang sinis kepada kita? Amat menghairankan apabila orang yang sudah belajar pula yang takut kepada orang yang tidak belajar?

إِنَّكَ إِذًا لَمِنَ الظَّالِمِينَ

jika buat begitu, maka kamu termasuk dari golongan yang syirik kepada Allah.

Allah memberi peringatan kepada Nabi ﷺ dalam ayat ini. Kalau baginda ikut mereka, baginda juga termasuk dalam golongan mereka juga. Walaupun Allah ‎ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ, tetapi kalau Nabi ﷺ melakukan kesalahan, baginda juga akan dihukum.

Ayat ini juga sebagai dalil mengatakan bahawa bukan Nabi Muhammad ﷺ yang menulis Al-Qur’an. Memang ayat Al-Qur’an ini daripada Allah ‎ﷻ. Bayangkan: Ayat ini adalah satu peringatan kepada baginda. Kalau baginda yang menulis Al-Qur’an sendiri, tidak mungkin baginda akan menulis ayat-ayat teguran kepada baginda seperti ayat ini? Banyak lagi ayat-ayat lain yang menegur perbuatan Nabi ﷺ. Kalau Nabi ﷺ yang tulis Al-Qur’an, tidak akan ada ayat-ayat sebegitu.

Ayat ini juga mengingatkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah hamba Allah ‎ﷻ juga. Kalau baginda berbuat salah, baginda juga akan dihukum agar kita jangan jadi macam penganut Kristian yang terlalu menyanjung tinggi Nabi Isa عليه السلام sampaikan menaikkan taraf baginda sebagai tuhan.

Ayat ini juga mengingatkan kita supaya jangan mengikut hawa nafsu orang-orang yang bukan Islam. Kalau kita ikut mereka, kita pun akan termasuk dalam golongan mereka. Mereka tolak Al-Qur’an itu kerana ikut hawa nafsu mereka maka jangan kita ikut mereka. Kalau kita ikut juga mereka setelah sampai ilmu wahyu yang jelas, maka kita akan termasuk golongan yang betul-betul zalim. Sebab kita sudah tidak pakai wahyu dan ikut wahyu mereka.

Allahu a’lam. 

TBK 10.2.4 Turunnya Nabi Isa عليه السلام

0


TBK 10.2 Turunnya Nabi Isa 
نزول عيسى بن مريم عليه السلام

10.2.4 Kelahiran.

Kisah Kelahiran Isa al Masih
(ولادة عيسى عليه السلام)

Bahagian 1:

قال عز وجل:{ فأجاءها المخاض إلى جذع النخلة قالت ياليتني مت قبل هذا وكنت نسيا منسيا(23)} (1).أي اضطرها شدة الطلق إلى الجذع النخلة ببيت لحم فتمنت الموت لأنها علمت أن الناس يكذبونها ولا يصدقونها بل يتهمونها حين تأتيهم بغلاء في يدها وهي عندهم من العابدات في المسجد ومن بيت النبوة والديانة فحملت بسبب ذلك من الهم ما تمنت أن لو كانت قبل هذا الحال أو لم تخلق أبدا.{فناداها من تحتها} أي ناداها عيسى عليه السلام:{ ألا تحزنى قد جعل ربك تحتك سري} أي :جعل تحتك نهرا يجري .{ وهزى إلئك بجذع النخلة تسقط عليك رطبا جنبا(25) فكلى واشريى وقرى عينا فإما ترين من البشر أحدا فقولى إنى نذرت للرحمن صوما فلن أكلم اليوم إنسيا(26)} أي كلي واشربي ثم احملي طفلك واذهبي إلى قومك فإن رأيت أحدا من الناس فقولى له بلسان الحال والإشارة:إنى نذرت للرحمن صوما,أي صمتا
{فأتت به قومها تحمله قالوا يامريم لقد جئت شيئا فريا(27) ياأخت هارون ما كان أبوك امرأ سوء وما كانت أمك بغيا(28)} والفرية هي الفعلة المنكرة العظيمة

Kisah kelahiran nabi Isa عليه السلام yang begitu jelas dalam Al-Qur’an, surah Maryam, jika dibaca oleh orang Kristian, pasti akan merubah aqidah mereka sekarang. Apabila kandungannya sudah sampai 9 bulan, maka Maryam mengasingkan dirinya ke tempat yang jauh yakni di Baitul lehm.

Firman Allah ﷻ dalam surah Maryam ayat 22–23.

۞ فَحَمَلَتْهُ فَٱنتَبَذَتْ بِهِۦ مَكَانًا قَصِيًّا ﴿٢٢﴾

“Maka Maryam mengandungnya, lalu ia mengasingkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh.
[Maryam: 22]

فَأَجَآءَهَا ٱلْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ قَالَتْ يَٰلَيْتَنِى مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا ﴿٢٣﴾

“Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa ia (bersandar) pada pangkal pohon kurma, ia berkata: ‘Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti, lagi dilupakan.’”
[Maryam: 23]

Fiqh ayat:
1. Apabila ditimpa musibah, lebih baik mengasingkan diri buat sementara dari komuniti.

2. Boleh mengharapkan kematian, seperti yang diharapkan oleh Maryam ketika menghadapi tekanan yang amat kuat akibat daripada peristiwa kehamilan dan kelahiran nabi Isa عليه السلام tersebut.

Firman Allah ﷻ,

تَوَفَّنِى مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّٰلِحِينَ

“Wafatkan-lah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.”
[Yusuf: 101]

Bahagian 2:
Kisah kelahiran Isa al Masih. Surah Maryam ayat 24–26.
Firman Allah ﷻ,

فَنَادَىٰهَا مِن تَحْتِهَآ أَلَّا تَحْزَنِى قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا ﴿٢٤﴾

“Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah: ‘Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Rabb-mu telah menjadikan anak sungai di bawah mu.”
[Maryam: 24]

وَهُزِّىٓ إِلَيْكِ بِجِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ تُسَٰقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا ﴿٢٥﴾

“Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.”
[Maryam: 25]

فَكُلِى وَٱشْرَبِى وَقَرِّى عَيْنًا ۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ ٱلْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِىٓ إِنِّى نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ ٱلْيَوْمَ إِنسِيًّا ﴿٢٦﴾

“Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu. Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk (Rabb) Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini.”
[Maryam: 26]

Fiqh ayat:
1. Proses kelahiran itu dikawal sepenuhnya oleh Jibril عليه السلام, Jibril menyediakan anak sungai untuk minuman dan pokok kurma yang sudah masak.
2. Ini menafikan sambutan Maulid nabi Isa عليه السلام atau Krismas yg disambut oleh umat Kristian pada 25 Disember. Ini kerana kurma masak di Palestine atau di Baitul Lahm adalah pada bulan awal Oktober hingga akhir November. Maka, tidak mungkin pada 25 Disember.

3. Ungkapan terbaik kepada seseorang yang dilanda musibah ialah ‘La Tahzan’.
4. Arahan kepada Maryam ialah jangan berbicara, berdiam diri adalah sebaik-baik kaedah untuk menghadapi musibah yang besar.

 
Bahagian 3:
Kisah kelahiran Isa al Masih. Surah Maryam 27–28.

Firman Allah ﷻ,

فَأَتَتْ بِهِۦ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُۥ ۖ قَالُوا۟ يَٰمَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْـًٔا فَرِيًّا ﴿٢٧﴾

“Maka Maryam membawa anak itu kepada kaumnya dengan menggendongnya. Kaumnya berkata: ‘Hai Maryam, sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang amat mungkar.”
[Maryam: 27]

يَٰٓأُخْتَ هَٰرُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ ٱمْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا ﴿٢٨﴾

“Hai saudara perempuan Harun, ayahmu sekali-kali bukanlah seorang penjahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang penzina.”
[Maryam: 28]

Fiqh ayat:
1. Setelah Maryam mendapat kekuatan setelah memakan buah kurma yang rutab (masak), maka Maryam kembali ke Baitul Maqdis menemui kaumnya, membawa nabi Isa عليه السلام.
2. Maryam sudah mendapat kekuatan baru untuk berdepan dengan Bani Israil.
3. Maryam disebut sebagai “Ukht Harun”.
Secara balaghah, dari segi ibadatnya, Maryam setanding dengan nabi Harun عليه السلام.
4. Bani Israil di Baitul Maqdis menuntut jawapan kenapa wanita sehebat nabi Harun عليه السلام telah melakukan suatu aib yang besar kepada Bani Israil.

@tanda2kiamat

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-142 dan Ayat Ke-143

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-142

Alhamdulillah, kita sudah mula masuk dalam Juzuk Kedua. Dari ayat ini sehingga ke ayat 283 adalah Perenggan Makro Ketiga surah ini. Tetapi boleh dipecahkan lagi: Ayat 142 – 152 adalah Perenggan Makro tentang Perlantikan Umat Wasato (Umat Pertengahan). Ia akan menceritakan tentang penukaran Kiblat. Dan kita akan belajar bagaimana Kiblat akan dibebaskan daripada berhala dan amalan syirik.

Manusia hendaklah menerima Islam keseluruhannya. Kita kena mengambil syariat Rasul terakhir untuk menjadi umat terpilih dan menjadi contoh kepada manusia seluruh dunia. Ini termasuk cara berekonomi, politik dan bernegara.

Bahagian ini banyak mengandungi hukum-hakam syariat terakhir yang diturunkan kepada umat baru yang terpilih. Bukan lagi kepada Bani Israil tetapi kepada sekarang kepada Bani Ismail. Kaum Arab menjadi khalifah kepimpinan umat manusia menggantikan kaum Yahudi.

Antara mesej penting juga ialah kepentingan infaq dan jihad. Untuk menyebarkan tauhid, menegakkan hukum-hakam dan syariat Islam hanya boleh dilaksanakan dengan adanya kekuasaan Islam. Itulah kena ada Negara Islam. Maka ada banyak seruan yang menyatakan umat Islam kena infaq, korban masa, tenaga, jihad perang untuk menegakkan Negara Islam.

Kita mulakan dengan berbincang berkenaan dengan kiblat. Ini adalah perkara yang penting, kerana ada yang jatuh syirik berkenaan kiblat. Ini kerana ada yang kata kita sembah hajarul aswad. Kalau kita tidak faham tentang perkara ini, ada kemungkinan kita pun boleh terkeliru dan tertipu dengan dakyah daripada agama-agama lain.

Sebenarnya tidak ada apa dengan batu itu. Kalau kita sangka kita mengadap kiblat sama seperti mengadap berhala, maka kita boleh kufur. Sebab itu ada orang kafir yang berkata kita sembah batu dan kalau kita mengiyakan kata mereka itu, maka kita akan jatuh kafir.

Ada enam ayat Al-Qur’an tentang kiblat telah diturunkan kepada kita. Allah ‎ﷻ menurunkan banyak ayat berkenaan dengannya kerana ini adalah perkara besar. Ia adalah sangat penting, maka ia perlu dijelaskan dengan betul. Sebab kalau tidak dijelaskan, manusia akan nampak seolah-olah kita semua sembahyang mengadap Hajarul Aswad pula.

Agama lain tidak ada wahyu turun atau arahan daripada Tuhan untuk mereka mengadap mana-mana arah dalam ibadat mereka kecuali apa yang dikatakan oleh guru-guru mereka. Tetapi lain dengan kita kerana kita menghadap kiblat Kaabah kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Kita menghadap Kiblat di Kaabah itu kerana itu adalah arahan Allah ‎ﷻ. Kita menghadap ‘arah’, bukannya kita menghadap batu itu.

Ayat ini juga adalah sebagai isyarat bahawa Nabi Muhammad ﷺ sudah kena memisahkan diri baginda daripada Bani Israil. Mereka telah diberi peluang untuk mengikut baginda dan masuk Islam serta berjuang bersama-sama baginda dalam menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Tetapi mereka tidak mengambil peluang itu. Sebelum ini ada persamaan antara Bani Israil dan orang Islam kerana mereka menghadap kiblat yang sama (BaitulMaqdis). Tetapi apabila ditukar nanti, bermakna telah ada pemisahan antara mereka dan kita.

Allah ‎ﷻ suruh ubah kiblat ke Mekah kerana ia adalah kiblat asal Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan Mekah pula memang pusat dunia. Oleh itu, ia amat sesuai menjadi kiblat sepanjang zaman.

سَيَقولُ السُّفَهاءُ مِنَ النّاسِ ما وَلّاهُم عَن قِبلَتِهِمُ الَّتي كانوا عَلَيها ۚ قُل لِلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ

Akan berkata orang-orang yang bodoh daripada kalangan manusia;

Ayat ini turun sebelum ditukarkan lagi kiblat itu. Sebab itu dikatakan ‘akan berkata’ orang-orang yang bodoh. Sebelum mereka cakap lagi Allah ‎ﷻ sudah beritahu apa yang mereka akan kata. Orang-orang bodoh yang berkata begitu adalah orang Yahudi dan orang Munafik yang berada di Madinah semasa itu.

Akan berkata golongan bodoh daripada golongan Yahudi, Munafik dan Musyrikin. Allah ‎ﷻ panggil mereka golongan ‘yang bodoh’. Ini kerana mereka berkata itu dalam nada mengejek: “Kenapa tukar-tukar?” Mereka kata Islam adalah agama yang tidak tetap. “Agama apa ini, boleh tukar-tukar pula?” Begitulah lebih kurang kata-kata mereka.

مَا وَلَّاهُمْ عَنْ قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا

“Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat mereka yang dulu hadap?”

Dulu Nabi ﷺ menghadap kiblat di Baitulmaqdis dalam salat, tetapi selepas itu Nabi ﷺ diperintahkan Allah ‎ﷻ untuk menghadap ke Mekah. Jadi, orang-orang yang bodoh mengatakan kenapakah Nabi ﷺ dan sahabat-sahabat berpindah kiblat?

Kiblat BaitulMaqdis juga adalah kiblat Yahudi. Selepas Nabi ﷺ dan para sahabat berpindah ke Madinah, kiblat dalam salat waktu itu adalah ke BaitulMaqdis selama 16 atau 17 bulan sebelum ditukar ke Mekah. Sepanjang waktu itu, Nabi ﷺ sentiasa berharap supaya kiblat ditukar ke Mekah.

Apabila kiblat diubah dari kiblat yang digunakan juga oleh puak Yahudi, itu menunjukkan status mereka akan dijatuhkan daripada menjadi umat pilihan. Sebelum ini, mereka adalah umat pilihan, namun tidak lagi. Ini kerana mereka tidak mengambil peluang yang ada untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ.

Baitul Maqdis adalah ibu negara kepada Bani Israil. Ibu negara adalah sesuatu yang amat penting kepada sesuatu tamadun. Mereka bangga apabila orang Islam juga menghadap kepada kiblat mereka. Tetapi apabila kiblat itu diubah nanti, mereka akan marah. Sepatutnya, kalau difikirkan, mereka tidak patut rasa apa-apa, sebab kepada mereka, kita adalah agama yang sesat juga, tetapi yang jelas mereka akan marah.

Ini adalah kerana mereka sebenarnya tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul yang benar, cuma mereka tidak mahu terima sahaja kerana degil. Mereka jadi marah kerana apabila Nabi ﷺ berpindah kepada menghadap Kaabah, yang juga bermakna umat Islam waktu itu membelakangi Masjidil Aqsa kerana perubahan kiblat itu adalah 180%.

Nabi-Nabi dalam kalangan Yahudi memang menghadap ke BaitulMaqdis dalam ibadat mereka, ini tidak dinafikan. Maka oleh itu, mereka kata kalau Islam ini agama yang benar, mestinya umat Islam menghadap ke Baitul Maqdis jugalah sepertimana Nabi-nabi terdahulu. Namun tidak begitu kehendak Allah ‎ﷻ.

Ayat ini masih lagi terpakai kerana memang sampai sekarang ada lagi yang mempersoalkan kenapa kiblat ditukar. Contohnya di universiti-universiti ada lagi Professor-professor yang kata patutnya Islam tidak menukar kiblat. Patutnya pakai sahaja kiblat ke Jurusalem.

Atas pertanyaan dan ejekan mereka ini, Allah ‎ﷻ jawab dengan dua cara. Satu tegas dan satu dengan penuh kesempurnaan.

قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Katakanlah: milik Allahlah timur dan barat;

Allah ‎ﷻ memiliki segala-galanya. Barat Dia punya, timur pun Dia punya, mana-mana arah Dia juga yang punya. Maka terpulang kepada Allah ‎ﷻlah hendak suruh kita menghadap ke mana-mana pun. Semua arah adalah kepunyaan-Nya. Yang penting adalah arahan itu dan arah ke mana tidak penting. Ini kerana jalan yang lurus adalah dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ bukan arah yang mana. Mereka tidak faham atau buat-buat lupa tentang perkara ini.

Semasa Nabi ﷺ di Mekah, Nabi ﷺ juga menghadap Baitul Maqdis dalam salat baginda. Tetapi semasa di Mekah, Nabi ﷺ boleh lagi berada dalam posisi di mana baginda menghadap Kaabah dan Baitul Maqdis dalam waktu yang sama. Nabi ﷺ menjadikan kedudukan Kaabah dan Baitul Maqdis sejajar supaya baginda boleh hadap kedua-duanya sekali. Tetapi apabila telah berhijrah ke Madinah, Nabi ﷺ dan umat Islam lain tidak boleh lagi buat begitu. Nabi ﷺ bersedih disebabkan perkara itu kerana Nabi ﷺ amat sayangkan Kaabah kerana ia ada kaitan dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.

Waktu ayat ini diturunkan, Mekah dan Kaabah masih lagi dalam jajahan takluk Musyrikin Mekah. Di situ masih banyak lagi berhala sembahan mereka. Apabila Allah ‎ﷻ berkata bahawa kiblat akan dipindahkan ke situ, itu sebenarnya telah memberi isyarat bahawa orang Islam akan menakluki Mekah. Ini kerana tidak mungkin Allah ‎ﷻ hendak membiarkan umat Islam terus salat menghadap ke arah Kaabah yang banyak berhala padanya?

Para sahabat tidak pernah melupakan Mekah dan Kaabah walaupun mereka telah berada di Madinah dan telah membina negara Islam di situ. Dari mula lagi mereka sudah tahu bahawa mereka akan kembali juga ke Mekah.

يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

Allah boleh pimpin kepada sesiapa yang Dia kehendaki

Allah ‎ﷻ boleh pilih dan bawa sesiapa sahaja ke arah kebenaran. Kerana itu kita katakan hidayah itu milik Allah ‎ﷻ. Dan Allah ‎ﷻ akan beri hidayah kepada mereka yang mahukan kebenaran, iaitu mereka yang ada sifat inabah dalam hatinya. Mereka sendiri mahu kepada kebenaran

إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

kepada jalan menuju kepada jalan yang lurus;

Iaitu jalan menuju kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu jalan Al-Qur’an dan Sunnah. Jalan untuk mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Iaitu jalan yang ikut kepada perintah Allah ‎ﷻ. Maka kenalah kita minta jalan yang lurus ini daripada Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-143:

وَكَذٰلِكَ جَعَلۡنٰكُمۡ اُمَّةً وَّسَطًا لِّتَکُوۡنُوۡا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُوۡنَ الرَّسُوۡلُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيۡدًا ؕوَما جَعَلنَا القِبلَةَ الَّتي كُنتَ عَلَيها إِلّا لِنَعلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلىٰ عَقِبَيهِ ۚ وَإِن كانَت لَكَبيرَةً إِلّا عَلَى الَّذينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنّاسِ لَرَءوفٌ رَحيمٌ

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman).

وَكَذَٰلِكَ

Dengan kesempurnaan inilah,

Ini adalah jawapan ‘penuh kesempurnaan’. Lafaz كَذَٰلِكَ asalnya bermaksud perbandingan antara satu perkara dengan perkara yang lain, tetapi dalam ayat ini, ia bukan bandingan sebab tidak ada bandingan untuk dibandingkan.

Kalau kita hendak pakai juga maksud ‘perbandingan’, akan susah untuk tafsir. Maka kita kena ambil ia bermaksud ‘kesempurnaan’. Untuk mencapai kesempurnaan, [ayat seterusnya]

جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا

Kami jadikan kamu sebagai ‘umat pertengahan’;

Dan kesempurnaan inilah, Kami jadikan kamu umat terbaik. Lafaz وَسَطًا maksudnya ‘yang terbaik’. Umat Islam adalah umat terbaik dari dahulu sampai sekarang; Mereka terpilih kerana mereka mengikut arahan Allah ‎ﷻ. Walaupun sebenarnya hati mereka mungkin tidak suka kerana mereka hendak menghadap ke Kaabah.

Banyak pentafsiran tentang makna perkataan أُمَّةً وَسَطًا (umat pertengahan) ini. Pertengahan apakah yang dimaksudkan? Umat Islam adalah duduk di tengah-tengah antara perkara yang terlampau – “between two extremes”. Antara kepentingan peribadi dan masyarakat. Kita tidak terlalu melebihkan diri sendiri sehingga melupakan masyarakat dan tidak juga melebihkan masyarakat sampai melupakan kepentingan diri sendiri.

Kerana itulah ada ibadat dalam Islam yang melibatkan peribadi (seperti salat sunat bersendirian) dan masyarakat (seperti salat berjemaah). Dan ada ibadat yang menggabungkan kedua-duanya seperti ibadat haji – ia adalah ibadat persendirian tetapi dilakukan beramai-ramai. Kita hidup bermasyarakat, jadi tidak boleh kepentingan peribadi kita sampai menyakiti orang lain.

Begitu juga kita adalah umat pertengahan antara intelektual dan spiritual. Kita tidak berlebihan antara keduanya. Tidak terlalu mementingkan intelektual dan tidak terlalu mementingkan spiritual – kita seimbang antara keduanya. Itu adalah kesilapan Ahli Kitab terdahulu. Bangsa Yahudi terlalu mementingkan intelektual. Mereka adalah umat yang berilmu – tetapi mereka pandai sangat (terlebih pandai) sampaikan mereka hendak mengubah kitab mereka sendiri dengan sangkaan ia adalah lebih relevan dengan keperluan semasa.

Dan Kristian pula terlalu melebihkan elemen spiritual sampaikan mereka meninggalkan ilmu – mereka buat ibadat tanpa ilmu. Mereka tidak menerima elemen sains contohnya. Mereka terima bulat-bulat penipuan-penipuan yang dilakukan oleh ahli-ahli agama mereka.

Di sebalik dua agama yang telah sesat itu, adanya Al-Qur’an yang mengandungi kedua-dua elemen ini – intelektual dan spiritual. Oleh itu, jikalau kita hendak menjadi umat pertengahan seperti yang disebut dalam ayat ini, maka kita hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita dapat memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an iaitu daripada Allah ‎ﷻ sendiri.

‘Pertengahan’ juga bermaksud antara pengetahuan dan perbuatan. Jangan kita tahu ilmu sahaja, tetapi kita tidak buat. Begitu juga, jangan kita buat amalan tanpa mengetahui apakah ilmu di sebaliknya dan hukumnya. Begitulah indahnya Islam ini.

لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ

Supaya kamu akan menjadi saksi (di akhirat nanti), ke atas manusia;

Supaya umat Islam semua menjadi saksi kepada seluruh manusia di akhirat nanti bahawa para Nabi sepanjang zaman telah menyampaikan ajaran agama kepada umat mereka.

Di akhirat nanti, apabila ditanya kepada umat terdahulu adakah Nabi mereka telah menyampaikan dakwah kepada mereka, puak yang derhaka dalam kalangan mereka masih juga mahu berbohong. Mereka akan kata tidak ada Nabi yang sampai kepada mereka.

Maka, Nabi-Nabi akan ditanya sama ada mereka telah menyampaikan. Mereka akan jawab yang para Nabi itu semua memang telah sampaikan, cuma umat mereka itu sahaja yang degil tidak mahu menerima. Kemudian akan ditanya kembali kepada umat mereka. Umat yang degil akan jawab balik yang Nabi itu telah bohong. Nabi-Nabi itu akan jawab yang dalil mereka adalah umat Nabi Muhammad ﷺ, iaitu umat akhir zaman.

Kaum dia akan kata, bagaimana umat Nabi Muhammad ﷺ boleh menjadi saksi kerana umat Nabi Muhammad ﷺ tidak ada masa itu? Maka umat Islam akan jawab yang mereka boleh jadi saksi kerana mereka telah diberitahu dalam Al-Qur’an dan mereka telah belajar isi kandung Al-Qur’an itu. Dan mereka akan kata, dalam Al-Qur’an telah disebut bagaimana semua Nabi sudah sampaikan ajaran agama kepada umat mereka. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ kata benarlah saksi itu.

Orang Islam juga akan menjadi saksi kepada Nabi Muhammad ﷺ bahawa baginda telah menyampaikan segala ajaran baginda kerana baginda juga termasuk dalam lingkungan para Nabi. Kita boleh berkata begitu dengan yakin kerana ajaran baginda telah sampai kepada kita. Apabila ditanya adakah telah disampaikan ajaran Nabi Muhammad ﷺ, kita akan jawab “Ya, sudah sampai”. Kerana ada manusia yang akan kata tidak sampai kepada mereka. Tetapi kita akan jawab, bagaimana tidak sampai, sedangkan kita telah dapat ajaran itu.

Oleh itu, apakah jawapan pengikut-pengikut Tarekat dan Sufi yang memegang pendapat bahawa ada ajaran-ajaran tertentu dan kononnya yang khas yang mereka kata Nabi ﷺ hanya sampaikan kepada sahabat-sahabat tertentu sahaja? Apabila mereka berkata begitu, mereka sebenarnya menuduh Nabi Muhammad ﷺ tidak sampaikan semua ajaran kepada manusia. Itu adalah satu dakwaan yang teramat jahat kepada Nabi ﷺ.

Kita juga akan menjadi saksi kepada orang-orang yang di sekeliling kita. Ini kerana kita kenal belaka siapa yang tidak ikut setelah kita beri dakwah kepada mereka. Kita akan jadi saksi di hadapan Allah ‎ﷻ nanti. Bahawa kita sudah sampaikan kepada mereka tetapi mereka yang tidak mahu juga ikut. Namun kita kenalah jadi orang yang mengikut sunnah terlebih dahulu dan dakwah kepada mereka. Kalau kita pun tidak dakwah kepada mereka, bagaimana pula kita hendak menjadi saksi?

Begitu juga, kita adalah sebagai ikutan kepada semua manusia. Semua manusia sepatutnya menjadikan kita sebagai contoh ikutan mereka. Namun malangnya, umat Islam kebanyakannya teruk sangat akhlaknya sampaikan tidak berselera orang-orang bukan Islam untuk mengikuti kita. Mereka akan kata: “Kalau Islam itu baik, tentulah penganutnya pun orang yang baik-baik juga”. Jadi, kita sebenarnya telah memburukkan nama agama Islam dengan akhlak kita yang buruk. Ini amat memalukan sekali.

Cara pengamalan agama kita pun tidak betul. Bayangkan ada yang mengaku sebagai Muslim tetapi mencederakan diri mereka sampai berdarah kononnya untuk memohon pengampunan seperti yang dilakukan oleh Syiah; bayangkan ada orang yang berzikir terlompat-lompat, terkinja-kinja seperti kera! Apa agaknya pandangan orang bukan Islam melihat perbuatan mengarut itu?

Bayangkan juga ada orang Islam yang mengambil rasuah terang-terangan, ada yang kerjanya menipu setiap hari, ada yang selamba sahaja menyakitkan orang lain dan sebagainya lagi; bayangkan seorang yang nampak alim tetapi berlaku zalim terhadap ahli keluarganya sendiri? Orang Islam yang mengutuk sana dan sini, mengadu domba? Semua ini memalukan nama Islam.

Masalahnya, jikalau kita tidak boleh menjadi ikutan kepada orang lain, maka orang-orang bukan Islam itu boleh menjadikan kita sebagai alasan kenapa mereka tidak mahu memasuki Islam. Mereka akan berhujah di hadapan Allah ‎ﷻ nanti bahawa mereka tidak nampak keindahan Islam disebabkan oleh akhlak buruk penganut Islam.

Namun begitu, alhamdulillah masih ramai lagi yang masuk Islam walaupun mereka telah lihat perangai buruk penganut Islam. Itu adalah kerana mereka telah mengkaji Islam yang sebenarnya dan hasilnya mereka dapat memahami bahawa yang teruk bukannya Islam, tetapi ‘orang Muslim’. Mereka yang tetap juga masuk Islam itu adalah orang-orang yang Allah ‎ﷻ telah berikan hidayah kepada mereka. Ada yang berkata: “Nasib baik saya kenal Islam sebelum saya kenal orang Muslim.”

Dan dalam masa yang sama, memang ada orang-orang mukmin yang telah menjadi sebab kepada orang bukan Islam untuk melihat keindahan Islam. Daripada orang-orang mukmin yang berperangai mulia itulah orang bukan Islam dapat melihat keindahan Islam. Bukan semua orang-orang Islam itu teruk. Soalannya, adakah kita hendak menjadi antara mereka yang teruk atau antara mereka yang mukmin?

وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Dan Rasul (Nabi Muhammad) itu menjadi saksi keatas kamu;

Nabi Muhammad ﷺ sendiri akan menjadi saksi ke atas kamu betapa benarnya penyaksian kamu itu. Sebelum ini telah disebut bagaimana umat Islam akan menjadi saksi bahawa para Nabi telah menyampaikan ajaran dakwah kepada umat mereka. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ pula akan menjadi saksi bahawa benarlah penyaksian kita itu.

Nabi Muhammad ﷺ juga akan menjadi saksi ke atas orang yang beriman iaitu mereka yang mengamalkan sunnah dan menyebar ugama. Tentulah kita suka kalau Nabi Muhammad ﷺ sendiri menjadi saksi ke atas kita di Mahsyar nanti. Baginda akan menjadi saksi mengatakan yang kita telah mengikut sunnah. Bayangkan besarnya nikmat kalau begitu. Kita akan senyap sahaja nanti di Mahsyar, Nabi ﷺ yang menjadi saksi ke atas kita.

Guru kita pula akan menjadi saksi ke atas kita, gurunya menjadi saksi ke atasnya pula, sampailah kepada sahabat dan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Itulah yang dipanggil sanad. Maka, kenalah kita sebar ugama supaya ada orang yang menjadi saksi kepada kita nanti.

Ia bukan satu kerja yang senang. Hendak suruh manusia jangan bersanding pun sudah susah. Jangan kata hendak larang, tidak pergi pun sudah susah – takut macam-macam orang kata kalau kita tidak pergi. Padahal bersanding itu adalah amalan agama Hindu. Kita tahu bahawa Hindu mengamalkan syirik. Kerusi bersanding itulah yang menjadi simbolik kepada pemujaan yang dilakukan oleh penganut Hindu, iaitu perlambangan perkahwinan Sri Rama dan Sita Devi.

Ditambah pula lagi dengan ‘suap semangat’ dan renjis merenjis – itu adalah cara pemujaan agama mereka dan itu adalah perbuatan kufur kepada Allah ‎ﷻ. Manakala makanan yang digunakan sebagai pemujaan itu haram dimakan. Amalan itu adalah tinggalan daripada agama Hindu nenek moyang kita dahulu. Sebab mereka dahulu sebelum masuk Islam, beragama Hindu. Banyak yang mengamalkan amalan peninggalan agama Hindu lagi kerana sayang kepada perbuatan itu. Sampai tidak boleh hendak tinggal. Kalau ada yang larang, mereka pula yang kena marah.

Maka, kita yang hendak mengamalkan sunnah ini pula yang susah hati bila menegur. Kalau kita tegur, ramai yang akan marah. Alasan yang diberi adalah “tidak sayangkan adat”. Padahal adat itu bercanggah dengan agama Islam. Kalau adat itu tidak bercanggah, kita pun tidak tegur.

Satu lagi, Nabi ﷺ akan menjadi saksi ke’atas’ kita, bukan ‘untuk’ kita. Ini kalau kita buat amalan yang salah – amalan bid’ah dan amalan syirik, Nabi ﷺ akan dipanggil nanti dan Nabi ﷺ akan ditanya sama ada baginda telah mengajar manusia untuk berbuat amalan yang salah itu. Waktu itu, Nabi ﷺ akan berkata itu tidak benar, baginda tidak pernah ajar amalan itu dan baginda tidak dapat menolong kita.

Ada dalam satu riwayat, pernah Nabi ﷺ suruh sahabat membacakan Al-Qur’an kepada baginda. Apabila sampai kepada ayat di mana baginda akan menjadi saksi ke atas umatnya, baginda suruh sahabat itu berhenti membaca dan baginda tidak tahan dan terus menangis kerana baginda tahu bahawa baginda akan dipanggil menjadi saksi ke atas umatnya (mengatakan kita tidak mengikut ajarannya). Kita sangka Nabi ﷺ akan menolong kita, namun sebaliknya. Jadi ini amat menakutkan. Adakah kita benar-benar telah mengamalkan sunnahnya?

Oleh itu, jangan kita tersilap sangka seperti puak-puak ahli Kitab. Mereka sangka Nabi-nabi mereka akan menolong mereka, tetapi tidak. Kalau apa yang mereka amalkan itu salah, Nabi-nabi itu tidak akan dapat menolong pengikut-pengikut mereka. Kerana sebenarnya, mereka tidak mengikut pun ajaran Nabi-nabi mereka itu tetapi mereka reka amalan yang baru.

Begitu jugalah dengan masyarakat kita dengan bermacam-macam amalan bid’ah yang mereka amalkan. Bagaimana mereka boleh sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan menolong mereka, bagi syafaat kepada mereka padahal amalan yang mereka lakukan itu tidak pernah Nabi ﷺ ajar?

Jangan kita sangka yang kalau kita beragama Islam sahaja, kita akan selamat, Nabi ﷺ akan bantu kita, tidak sama sekali. Bayangkan, Nabi Muhammad ﷺ pernah berkata kepada anaknya, Fatimah رضي الله عنها – kalau Fatimah رضي الله عنها melakukan kesalahan, baginda pun tidak dapat menolong. Kalau anaknya sendiri baginda tidak dapat tolong, bagaimana baginda boleh hendak menolong kita?

وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا

Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang kamu dulu menghadap kepadanya itu

Ini adalah jawapan kedua tentang kenapa kiblat mengalami pertukaran. Dahulu kamu mengahdap Kiblat di Mekah semasa di Mekah. Kemudian telah ditukar ke Baitul Maqdis apabila telah berhijrah ke Madinah.

إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ

melainkan supaya Kami dapat tahu siapa yang ikut Rasul;

Allah ‎ﷻ membuat penukaran kepada kiblat itu kerana hendak membezakan antara hamba-Nya: Mana yang ikut Nabi ﷺ semata-mata atau hanya mengikut baginda kerana Nabi ﷺ salat sama dengan kiblat mereka. Kalau mereka sudah tidak lagi ikut kiblat baru itu, bermaksud dahulu dia ikut Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ mengikut dia sahaja. Dan apabila Nabi ﷺ sudah tidak sama dengan kiblat mereka, mereka sudah tidak ikut. Maknanya, hidayat yang tidak sempurna.

Allah ‎ﷻ tidak jahil, cuma Allah ‎ﷻ hendak bezakan. Bukanlah Allah ‎ﷻ tidak tahu iman hamba-Nya sampaikan Dia hendak kena buat sesuatu untuk memastikannya pula – kalau ada yang kata begini, itu adalah salah sama sekali. Allah ‎ﷻ Maha Tahu hati hamba-hamba-Nya. Allah ‎ﷻ hendak menzahirkan iman mereka yang sebenarnya kepada orang Mukmin.

Ia adalah ujian Allah ‎ﷻ kepada sahabat untuk memperlihatkan siapakah yang taat. Yang sanggup mengikut Nabi ﷺ tanpa banyak soal. Waktu penukaran itu, banyak umat Islam yang telah goyah agama mereka. Ada yang kata adakah Allah ‎ﷻ telah salah beri alamat semasa suruh ikut kiblat yang dahulu? Dan berbagai-bagai lagi isu-isu yang timbul.

Ada yang waktu itu mereka baru masuk Islam dari agama lain. Dan penukaran kiblat itu menyebabkan mereka sangsi kepada Islam kerana nampak Islam macam tidak tetap pendirian – ini adalah kerana mereka masih jahil lagi dan tidak faham agama Islam lagi. Allah ‎ﷻ hendak melihat siapakah yang mahu ikut arahan tanpa soal.

مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ

dan siapa yang berpaling ke belakang;

mereka yang tidak ikut Nabi ﷺ, iaitu golongan munafik dan juga golongan Yahudi. Ada yang kembali kepada agama asal, iaitu kufur. Mereka meninggalkan agama Islam kerana mereka salah faham dan mereka sendiri yang tidak tetap pendirian untuk ikut apa yang Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ sampaikan.

Allah ‎ﷻ hendak menguji manusia tentang arahan kiblat ini. Sama ada mereka tetap patuh arahan Allah ‎ﷻ atau tidak. Jadi ada dua golongan yang diuji waktu itu:

1. Muhajirin yang meninggalkan Mekah ke Madinah waktu itu diuji kerana membelakangi Kaabah dan Mekah. Apabila mereka di Madinah mereka kena salat mengadap ke Jurusalem dan membelakangi Mekah. Tentu berat bagi mereka.

2. Golongan Ansar diuji apabila arahan mengadap ke Kaabah. Mereka lebih rapat dengan Jurusalem kerana mereka sudah lama duduk dengan Yahudi dan kiblat Yahudi adalah ke Jurusalem.

Allah ‎ﷻ hendak lihat siapakah yang taat kepada kepada arahan-Nya. Tempat menghadap itu tidak lebih penting daripada arahan Allah ‎ﷻ. Kita kena taat kepada Allah ‎ﷻ. Kalau dalam salat kita disuruh menghadap ke banyak arah pun kita kena buat. Katakanlah waktu berdiri Allah ‎ﷻ suruh menghadap satu arah dan bila rukuk kena menghadap lain arah, sujud arah lain pula. Kalau itu yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat, kita tetap kena ikut.

Apakah pula ujian bagi kita yang tidak hidup pada zaman itu? Kita pun diuji untuk terima arah kiblat ini. Janganlah hendak pening kepala fikir kenapa ke Kaabah? Adakah kita sujud kepada Hajarul Aswad pula? Ini antara soalan-soalan ujian yang bermain di kepala masyarakat kita sampai sekarang. Memang ditimbulkan oleh agama lain seperti Hindu dan ramai Muslim yang pening juga. Jawapan kenapa menghadap ke Kaabah adalah kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Senang sahaja jawapannya. Kenapa hendak pening menjawab soalan daripada penganut agama yang mereka itu sendiri tidak tentu arah?

Jadi, pengajarannya, kita kena ada semangat yang kuat untuk mengikut ajaran Nabi ﷺ kita. Jangan hiraukan apa orang kata. Kalau hendak ikut semua kata-kata manusia, tidak lalu kita hendak makan nasi, bukan?

Ada orang yang tidak ada masalah untuk salat kalau dia dalam suasana senang dan tenang; tetapi kalau sibuk dengan hal lain, mereka sanggup tinggalkan Salat. Oleh itu, ketahuilah yang salat itu amat penting sekali kerana ia adalah tali hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah alamat zahir tentang iman seseorang. Kita memang tidak tahu iman dalam hati manusia, tetapi kita boleh kenali dengan zahir mereka.

Asbabun Nuzul petikan ini: Ada sahabat-sahabat yang risau salat mereka semasa menghadap ke Baitul Maqdis dulu tidak sah. Ada orang Yahudi yang mengacau umat Islam dengan mengatakan kalau kiblat sudah ditukar, bermakna ibadat salat mereka semasa menghadap ke Baitul Maqdis itu tidak dikira. Maka kelam kabutlah para sahabat sekalian kerana entah berapa lama mereka salat menghadap Baitul Maqdis.

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ

Dan tidaklah Allah Taala akan menyia-yiakan ‘iman’ kamu;

Allah ‎ﷻ tidak akan menyia-nyiakan ibadat-ibadat soleh yang sahabat-sahabat Nabi ﷺ lakukan semasa mereka menghadap ke Baitul Maqdis. Tidaklah sia-sia amalan mereka dahulu – mereka masih dapat pahala juga daripada amalan mereka dahulu.

‘Iman’ yang dimaksudkan itu adalah ‘salat’ mereka. Ini menunjukkan kebesaran ibadat Salat. Ia hampir setaraf dengan iman sampaikan Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘iman’ untuk ‘salat’ dalam ayat ini. Begitu pentingnya salat, sehinggakan ia boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai kekuatan iman seseorang. Ini boleh dilihat sama ada dia akan terus salat ataupun tidak apabila timbul kesusahan.

Dalam konteks yang lebih luas, ini adalah ujian untuk taat kepada arahan Allah ‎ﷻ dalam segala hal. Apabila kita tahu sesuatu hukum yang ada dalam nas agama, adakah kita akan ikut? Kita pun tahu, kalau ada dalil, kenalah ikut. Jangan lagi hendak berhujah: “Amalan ini dah lama buat, ustaz itu ajar, tok nenek kita dah amalkan dan takkan mereka salah, adakah mereka masuk neraka….” dan macam-macam lagi persoalan.

Jangan semakkan fikiran kita. Arahan Allah ‎ﷻ lebih penting daripada terus memikirkan kata-kata orang lain. Kita mesti pentingkan arahan Allah ‎ﷻ, bukannya kata-kata manusia yang pelbagai. Kita sendiri tahu, yang selalu buat bising itu tidak belajar agama pun, jadi kenapa kita hendak hiraukan pendapat mereka? Mereka yang kena ikut kita yang belajar ini, bukan sebaliknya.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa ia diterima kerana semasa mereka menghadap ke Baitul Maqdis itu, mereka lakukan kerana iman mereka. Waktu itu mereka mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan Nabi mereka. Mereka taat kepada Allah ‎ﷻ dan tidak mungkin Allah ‎ﷻ akan mensia-siakan ketaatan mereka itu? Seperti kita telah sebutkan, arah itu tidak penting, yang lebih penting adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Dahulu Allah ‎ﷻ suruh menghadap ke Baitul Maqdis, sekarang ke Kaabah pula. Kalau Allah ‎ﷻ suruh tukar pula, kita tetap akan ikut (tidaklah ada penukaran lagi kerana tiada lagi Nabi yang menerima wahyu).

إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ

melainkan ke atas orang-orang yang mendapat hidayat Allah sahaja;

Kalau Allah ‎ﷻ beri hidayah kepada mereka, mereka akan berasa ringan sedikit untuk mengikut sunnah. Walaupun memang berat (tidak dinafikan) tetapi dimudahkan sedikit. Ini kerana mereka hanya takut kepada Allah ‎ﷻ dan bukan kepada masyarakat sekeliling yang jahil. Semakin tinggi iman dan ilmu kita, semakin mudah untuk kita tidak menghiraukan kata-kata masyarakat sekeliling.

وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً

Dan sesungguhnya yang demikian itu adalah satu perkara yang amat berat untuk dipikul;

Untuk mengikut Allah ‎ﷻ dan Rasul semata-mata adalah susah kerana ramai yang tidak mengikutnya. Contohnya, seperti hendak meninggalkan amalan bersanding semasa majlis kahwin. Atau tidak hadir ke majlis tahlil, atau Maulid Nabi. Ini kerana amalan sesat itu dibuat oleh ramai manusia dalam masyarakat. Jadi kita takut masyarakat tidak dapat menerima kita. Kita takut kepada mereka yang jahil. Ini adalah salah dan mereka yang sebegini adalah lemah iman mereka.

إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ

Sesungguhnya Allah Taala terhadap manusia sangat menyayangi

Bukan Allah ‎ﷻ tidak sedar tentang kepayahan yang diterima oleh umat-Nya yang terpaksa mengharung segala rintangan dan tohmahan. Allah ‎ﷻ sedar, namun itu semua adalah sebagai ujian untuk kita. Kalau ia adalah senang, bukanlah ujian namanya.

Yang diuji adalah orang yang beriman. Yang diuji adalah barang yang berharga. Contohnya, kalau orang beri kita emas atau berlian, tentu kita ingin mengujinya sama ada ia adalah tulen ataupun tidak. Tetapi kalau orang beri kita besi biasa sahaja, adakah kita hendak uji sama ada ia adalah besi ataupun tidak? Tentu tidak, kerana besi tidak berharga mana. Bermakna, yang diuji adalah benda yang bernilai. Maka ingatlah, yang Allah ‎ﷻ uji adalah orang yang beriman. Kalau kita diuji, bermakna Allah ‎ﷻ hendak uji iman kita sebenarnya.

رَحِيمٌ

dan Maha Belas kasihan.

Amat tinggi sifat Raheem Allah ‎ﷻ ke atas kita. Kerana itulah orang Mukmin akan mendapat raheem Allah ‎ﷻ di akhirat kelak. Raheem ini hanya diberikan kepada orang Mukmin sahaja di akhirat (Kalau Rahman, semua makhluk boleh dapat). Maka, semoga kita mendapat Raheem Allah ‎ﷻ kelak, ameen.

Kesimpulan ayat ini: ada kelebihan yang diberikan kepada umat Islam dan dengan kelebihan itu, ada tanggungjawab. Dengan kelebihan yang diberikan ada tanggungjawab yang kita kena tunaikan. Maka kita kena belajar apakah tanggungjawab itu.

Allahu a’lam. 

Soal Jawab: Sambutan Hari Jadi

0

🔴 Ustaz, bolehkah kita membuat “birthday cake” (kek hari jadi)? Ada yang mengatakan ia bid’ah.

🔷 Bid’ah adalah jalan yang direka dalam agama bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ melebihi kaum salafus soleh. Maka, adakah membuat kek “birthday” (hari jadi) itu suatu jalan agama untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ ?


🔴 Jadi kesimpulannya berdosakah membuat kek “birthday” (hari jadi) tetapi tidak meniup lilin dan tiada niat untuk mengikut/ mencontohi yahudi?

🔷 Saya telah beri definisi bid’ah. Definisi itu yang perlu difahami supaya pada masa akan datang semua benda/ perkara kita telah tahu hukumnya sama ada sunnah atau bid’ah.

Sambutan “birthday” (hari jadi) ini universal (meliputi seluruh dunia). Misalnya cuti “birthday” (hari jadi) Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong atau cuti “birthday” (hari jadi) sultan bagi setiap negeri. Cuma “content” (pengisian/cara) sambutan itu yang perlu dijaga. Sambutan “birthday” (hari jadi) ini tiada kaitan dengan agama. Ia bukan upacara keagamaan.

Ayat Al-Quran ini menyatakan Isa putra Maryam bergembira dengan “birthday” (hari jadi) dia.

وَالسَّلامُ عَلَيَّ يَومَ وُلِدتُ وَيَومَ أَموتُ وَيَومَ أُبعَثُ حَيًّا

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat). ” [Maryam: 33]

 

🔷 Ini contoh: Memakai “business suit” (pakaian ahli perniagaan). Seluruh dunia memakainya dan telah di”recognize” (iktiraf) sebagai “standard business suit” (pakaian lazim untuk ahli perniagaan) seperti “coat” (kot) dan “tie” (tali leher). Jangan kita mengatakan sesiapa yang memakai pakaian ini telah melakukan bid’ah. Justeru itu, kita perlu kembali kepada takrifan bid’ah itu apa. Iaitu suatu jalan dalam agama untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ dengan cara berlebihan. Soalannya adakah dengan memakai “suit” (pakaian) ini kita telah melakukan bid’ah dalam agama?

Berbalik kepada isu “birthday” (hari jadi). Perkara ini universal (meliputi seluruh dunia). Cuma apabila melibatkan api seperti lilin itu yang perlu kita jauhi kerana lilin adalah metode (kaedah) berdoa bagi agama lain. Boleh sahaja meraikan hari jadi dengan membuat kek, membuat pulut kuning dan rendang, kambing golek atau makan-makan di KFC (Kentucky Fried Chicken) atau McD (McDonald’s).

Di Malaysia, semua mereka sambut. Dengan sambutan “birthday” (hari jadi) ini, rakyat Malaysia mendapat banyak nikmat seperti nikmat cuti hari jadi Agong atau cuti “birthday” (hari jadi) sultan-sultan negeri iaitu cuti “free” (percuma). Tidak lupa juga cuti “birthday” (hari jadi) Nabi Muhammad ﷺ atau Maulid.

Saya menjelaskan kepada “family” (keluarga) saya bahawa saya tidak menyambut “birthday” (hari jadi). Saya berasa tidak selesa jika ada orang yang “wish” (mengucapkan) kepada saya “happy birthday” (selamat hari jadi ). Saya tidak “accept” (terima) budaya menyambut “birthday” (hari jadi).

Saya hendak cerita isu lilin. Lilin adalah metode (kaedah) berdoa bagi kaum pagan (kaum yang tidak percaya pada sebarang agama utama), Kristian dan kaum musyrikin. Bagi mereka asap dari lilin yang telah padam akan dibawa kepada dewata atau jika Kristian kepada Jesus Christ (Nabi Isa). Asap itu yang menjadi medium (perantara) membawa doa dari orang yang menyambut “birthday” (hari jadi). Asap itu kononnya akan dibawa oleh malaikat kepada “Lord Jesus Christ” (Tuhan Nabi Isa) atau di dalam Hinduism, asap itu akan dibawa oleh Hanuman (dewa) kepada “Lord” (Tuhan) Rama atau Krishna.

Dalam sambutan universal (meliputi seluruh dunia) “birthday celebration” (meraikan hari jadi) itu, diadakan unsur makan kek tetapi diselitkan juga ritual (tatacara dalam upacara keagamaan) sembahyang kepada tuhan mereka melalui upacara menghembus lilin oleh agama nasara (nasrani) dan pagan (orang yang tidak percaya pada sebarang agama utama).

Oleh sebab itu, ia termasuk di dalam fiqh tasyabbuh atau fiqh menyerupai peribadatan kaum musyrikin dan pagan (orang yang tidak percaya pada sebarang agama utama).

Perkara inilah anda sebagai ibu perlu jelaskan kepada anak tentang sebab mengapa meniup lilin pada kek hari jadi bukan ritual (tatacara dalam upacara keagamaan) dalam agama islam. Jika orang Islam hendak mengikuti adat dunia dalam sambutan “birthday” (hari jadi) mereka perlu berhati-hati tentang perkara halus sebegini, .

Sewaktu kita “celebrate birthday” (meraikan hari jadi) kita akan membuat/ membeli kek, kemudian kita hendak menghembus lilin. Sebagai seorang muslim kita perlu bertanya pada diri kita kenapa perlu ada lilin. Tidak mungkin satu dunia tiup lilin tanpa sebab. Pasti ada falsafah di belakangnya kerana kek dan lilin ini adalah budaya Barat. Kita perlu selongkar rahsia lilin di atas kek “birthday” (hari jadi) ini. Maka sebaiknya kita ikut setakat kek sahaja. Tidak perlu lilin.


🔴 Saya sekeluarga tidak sambut “birthday” (hari jadi) sebab kefahaman saya pada sambutan itu adalah tasyabbuh adat orang kafir. Apatah lagi apabila ada unsur keagamaan dari asal usul sambutan itu. Bolehkah saya berfahaman begitu syeikh? Namun budaya memberi hadiah saya teruskan cuma saya tidak mengucapkan apa-apa dan tidak beri pada tarikh harijadi. Saya beri hadiah tanpa sebab pada bila-bila masa sahaja.

🔷 Sudah dikira terbaiklah jika “family” (keluarga) boleh terima. Gunakan kaedah:

لَوْ كَانَ خَيرْاً لَسَبَقُوْنَا إِلَيْهِ

Seandainya amalan tersebut baik, tentu mereka (para sahabat) sudah mendahului kita untuk melakukannya.”
[Tafsir Ibn Katsir untuk Al-Ahqaf: 11]

Sebenarnya ini isu ‘uruf (adat/ budaya). Misalnya kehidupan di kampung saya di Kelantan, tiada sesiapa yang menyambut “birthday” (hari jadi). Maka saya membesar tanpa ada sambutan “birthday” (hari jadi). Sehinggalah saya menetap di KL (Kuala Lumpur) ini, barulah ada anak-anak saya yang hendak menyambut “birthday” (hari jadi) saya.

Saya katakan: “ Sejak kecil abah tidak pernah menyambut “birthday” (hari jadi), maka sambut untuk diri kamu sahaja. Abah ini sudah “old school” (ketinggalan zaman).”

Maksudnya saya tidak menghalang mereka untuk menyambut “birthday” (hari jadi) mereka tetapi untuk diri saya, saya tidak selesa menyambutnya berdasarkan kaedah daripada tafsir di atas. Hanya anak-anak saya yang meraikan hari jadi mereka. Mereka hidup membesar di kota raya. ‘Uruf orang kota sememangnya menyambut “birthday” (hari jadi). Lagipun ada “public holiday” (cuti umum) untuk “birthday” (hari jadi) Agong, sultan-sultan dan Maulidur Rasul.

Jawapan daripada
Syeikh Tuan Hassan Tuan Lah (THTL)
@FiqhWanitaUito

At-Tazkirah Qurthubi: Bab Ingat Mati, Akhirat dan Zuhud akan Dunia – Metod melembutkan hati yang keras (1)

0

At-Tazkirah Qurthubi (W671H)
Kod 4.0 Bab Ingat Mati, Akhirat dan Zuhud akan dunia (باب ما يذكر الموت والآخرة ويزهد فى الدنيا)

4.6: Empat metod melembutkan hati yang keras 1

فصل : قال العلماء رحمة الله عليهم : ليس للقلوب أنفع من زيارة القبور و خاصة إن كانت قاسية فعلى أصحابها أن يعالجوها بأربعة أمور

Berkata ulama’ (qurthubi tidak menyatakan siapa ulama’ yang dimaksudkan), ziarah kubur memanglah ubat paling ampuh untuk melembutkan hati, akan tetapi ada 4 faktor semuanya yang boleh melunakkan hati yang keras.

أحدها : الإقلاع عما هي عليه بحضور مجالس العلم بالوعظ و التذكر ، و التخويف و الترغيب ، و أخبار الصالحين . فإن ذلك مما يلين القلوب و ينجع فيها

Pertama: Sering menghadiri majlis ilmu kerana ia sarat dengan nasihat dan peringatan dan kisah-kisah orang soleh. Majlis ilmu memberi rasa takut kepada Allah SWT, memberi motivasi. Ini semua mampu melembutkan hati dan makanan kepadanya (akal dan jiwa).”

4.6: Empat metod melembutkan hati yang keras 2

الثاني : ذكر الموت من ذكر هادم اللذات و مفرق الجماعات و ميتم البنين و البنات كما تقدم في الباب قبل ، يروى أن امرأة شكت إلى عائشة رضي الله عنها قساوة قلبها . فقالت لها : أكثري من ذكر الموت يرق قلبك . ففعلت ذلك فرق قلبها . فجاءت تشكر عائشة رضي الله عنها

Kedua: Sering mengingati mati, maka hendaklah ia perbanyakkan untuk mengingati kematian yang menjadi pemutus kelazatan. Sebuah atsar daripada Aisyah ra, seorang wanita mengadu kepada ummul mukminin betapa keras hatinya, maka berkata Aisyah, “Perbanyakkan mengingati mati kerana ia melunakkan hati kamu”. Lantas wanita tersebut beramal dengan nasihat Aisyah ra dan hatinya menjadi lembut. Dia kemudian berterimakasih kepada Aisyah ra. (Atsar Riwayat Imam al Ghazali dalam Ihya’ Uloomiddin, [ 4:412 ], juga Ibn Rajab al Hanbali dalam Zamm al Qaswah al Quluub, ms 27)

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-138 hingga Ayat Ke-141

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-138

Celupan Allah ‎ﷻ – Agama Allah ‎ﷻ. Dalam Kristian, mereka guna baptis – rendam dalam air.

صِبغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبغَةً ۖ وَنَحنُ لَهُ عابِدونَ

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat”.

صِبْغَةَ اللَّهِ

Celupan Allah.

Allah ‎ﷻ mengkehendaki kita untuk ‘mencelupkan’ diri kita dengan ‘celupan Allah ‎ﷻ’. Bayangkan kalau kita memasukkan kain yang putih ke dalam celupan nila berwarna biru. Selepas beberapa lama, kain itu akan bertukar kepada warna biru keseluruhannya. Itulah imej yang boleh kita bayangkan. Allah ‎ﷻ mahukan kita memasukkan keseluruhan diri kita ke dalam beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Bukan sedikit-sedikit. Kita kena ikut Allah ‎ﷻ secara keseluruhan.

Bagaimana cara masuk Islam? Cara pengislaman adalah dengan syahadah pada lidah dan tasdiq (pengakuan) pada hati serta lakukan amalan Islam – inilah cara yang diajar apabila masuk Islam. Tetapi Yahudi dan Nasara ada cara mereka – mereka mandi dengan air kuning. Jadi mereka tanya kepada orang Islam: masuk Islam cap macam mana yang kamu pakai?

Mereka kata hendak masuk agama ada cara tradisi macam mereka celup itu. Allah ‎ﷻ beritahu yang itu adalah rekaan mereka sahaja, tidak ada perkara sebegitu yang diajar oleh Allah ‎ﷻ dan Nabi mereka. Mereka yang reka bidaah itu. Allah ‎ﷻ tidak terima cara mereka, tetapi Allah ‎ﷻ terima cara Dia sahaja.

Allah ‎ﷻ suruh kita katakan bahawa itu hanyalah cara rekaan mereka. Kita tidak ikut cara mereka itu. Kita terima cara celupan Allah ‎ﷻ sahaja iaitu dengan mengucap syahadah itu. Dengannya, Allah ‎ﷻ ubah akidah kita daripada syirik kepada tauhid; daripada khurafat kepada syariat. Yang kita perlu lakukan: Betulkan akidah dan betulkan amalan, betulkan adat supaya menepati kehendak syariat, itu sudah masuk agama Islam. Tidak perlu kepada proses seperti yang mereka lakukan itu.

وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً

Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah daripada Celupan (Agama)?

Kalau mereka kata kena juga ikut cara mereka, atau kena ada cara yang khusus, tanya kepada mereka; ada lagikah celupan lain yang mereka rasa lebih baik daripada Celupan Allah ‎ﷻ? Tidak akan ada cara lain.

وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

Dan sesungguhnya terhadap Allah sahaja kami beribadat;

Maknanya, kita kena kata dan mengaku yang kita berserah menghambakan diri dan berdoa hanya kepada Allah ‎ﷻ.

Kita menegaskan bahawa kita hanya beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita cakap begitu kerana Ahli Kitab itu walaupun mereka kata mereka beribadat kepada Allah ‎ﷻ, namun hakikatnya, mereka tidak hanya beribadat kepada Allah. Mereka ada juga menghambakan diri kepada entiti-entiti yang lain. Ahli Kitab sangka mereka telah menyembah Allah ,‎ﷻ tetapi sebenarnya mereka tidak menyembah Allah ‎ﷻ. Jangan kita jadi macam mereka pula.

Tafsir Ayat Ke-139

Ini adalah ayat zajrun. Ahli Kitab dan puak Musyrikin Mekah sangka yang amalan ibadat mereka mirip kepada syariat Nabi Ibrahim عليه السلام. Tetapi tidak sebenarnya. Itu hanya sangkaan mereka sahaja.

قُل أَتُحاجّونَنا فِي اللَّهِ وَهُوَ رَبُّنا وَرَبُّكُم وَلَنا أَعمالُنا وَلَكُم أَعمالُكُم وَنَحنُ لَهُ مُخلِصونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaan-Nya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya;

قُلْ أَتُحَاجُّونَنَا فِي اللَّهِ

Tanya kepada mereka: adakah kamu hendak berhujah tentang Allah?

Tanya mereka, adakah mereka hendak berhujah dengan kita tentang Allah ‎ﷻ? Mereka kata kita orang Islam bukannya sembah Allah ‎ﷻ, tuhan sekalian alam, tetapi mereka kata kita sembah Tuhan Bulan. Itu antara kata-kata mereka yang kata orang Islamlah yang sesat.

Ataupun, Allah ‎ﷻ suruh kita tanya mereka, adakah kamu hendak berhujah dalam hal mentauhidkan Allah ‎ﷻ? Ini adalah kerana Ahli Kitab dan Musyrikin Mekah telah menerima yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan utama. Cuma masalahnya, mereka ada juga sembah entiti lain selain daripada Allah ‎ﷻ.

Atau, adakah mereka hendak membantah Allah ‎ﷻ kerana memilih Nabi Akhir Zaman daripada kalangan bangsa Arab?

وَهُوَ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ

sedangkan Allah taala itu Tuhan kami dan juga Tuhan kamu

Mereka kata kita yang sesat, padahal kitalah yang menyembah Allah ‎ﷻ Tuhan sekalian alam. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘rabb’ dalam ayat ini yang membawa makna: mencipta, memelihara dan menjaga sekalian alam. Allah ‎ﷻ bukan hanya mencipta alam ini, tetapi Allah akan terus menjaga dan memeliharanya. Tidak ada yang terlepas langsung daripada pandangan dan kawalan Allah ‎ﷻ.

Bagaimana hendak membantah Allah ‎ﷻ yang memilih Nabi Muhammad ﷺ, sedangkan itu adalah pilihan-Nya sendiri dan Dia adalah Rabb kita? Siapa kita yang hendak mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ?

وَلَنَا أَعْمَالُنَا

Dan bagi kami hasil dari amalan-amalan kami;

Iaitu kita akan dapat hasil daripada amalan-amalan kita yang kita belajar asasnya daripada ajaran Nabi ﷺ. Kalau amalan itu tidak ada asas daripada Nabi ﷺ dan sahabat, maka tidak akan dapat hasilnya.

Ada yang salah faham dengan ayat ini. Ramai yang faham bahawa ayat ini adalah untuk dikatakan kepada orang lain yang amalan mereka tidak sama dengan amalan kita. Contohnya, seseorang itu akan kata kepada orang lain: “Buatlah apa kamu nak buat, amalan aku, amalan aku dan amalan kamu adalah amalan kamu.” Itu tidak tepat.

Ini kerana kalau kita kata begitu, ia seperti memberi peluang kepada mereka untuk berbuat apa sahaja amalan mereka. Takut ada pula yang akan buat amalan bid’ah dan kita mengiyakan cara mereka pula. Yang lebih tepat adalah ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap amalan itu akan ada hasilnya. Kita akan dapat imbuhan daripada amalan itu. Kalau ia adalah amalan yang soleh, kita akan mendapat pahala.

Namun sebaliknya, kita lihat kepada bahagian ayat yang seterusnya:

وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ

Dan bagi kamu hasil dari amalan-amalan kamu;

Iaitu amalan-amalan bid’ah yang kamu belajar daripada guru-guru kamu yang tidak ada asasnya. Kebanyakan ajaran mereka datang daripada guru, bukan daripada wahyu. Tidak kira agama mana. Termasuk kepada mereka yang mengaku Islam pun, ramai yang mengamalkan ibadah yang bukan daripada wahyu, mereka ambil daripada ajaran datuk nenek sahaja.

Jika amalan itu bukan daripada wahyu, maka ia adalah amalan bid’ah. Amalan-amalan sebegitu pun akan ada hasilnya, tetapi bukanlah hasil yang baik. Mereka akan mendapat juga hasil daripada amalan mereka itu, tetapi balasan yang buruk. Maka kita ingatkan mereka supaya jangan membuatnya kerana mereka akan mendapat hasil yang buruk. Amal bid’ah tidak ada pahala melainkan mendatangkan dosa sahaja. Jangan ubah-ubah agama ini kerana nanti ia akan jadi seperti agama Yahudi dan Nasrani.

Sebagai contoh, tidak ada nyanyian dalam agama Islam. Yang ada nyanyian adalah agama Kristian yang terpaksa tambah nyanyian dalam agama mereka untuk menarik minat penganut mereka. Tetapi sekarang kita sudah ada nasyid, qasidah dan sebagainya. Itu semua bukan daripada agama. Namun sudah mengikut cara agama Kristian pula. Kalau Kristian menyanyi dahulu dalam gereja mereka sebelum khutbah mereka, kita sekarang pun sudah mula bawa masuk qasidah ke dalam masjid.

وَنَحْنُ لَهُ مُخْلِصُونَ

Dan kami, kepada Allah sahaja kami tulus ikhlas;

Maksudnya, hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita panjatkan harapan kita dalam ibadat, doa dan pemujaan kita. Jangan kita campur adukkan amalan ibadat kita kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Jangan kita puja Nabi Muhammad ﷺ sampai kita buat majlis Maulid Nabi.

Jangan kita doa meminta pertolongan kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana baginda telah wafat. Jangan kita kirim salam kepada Nabi ﷺ, Malaikat dan Wali. Apa sahaja bentuk ibadat, kita hanya lakukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Melainkan kalau ada dalil daripada Al-Qur’an dan hadith yang membenarkannya.

Ayat ini juga menunjukkan kepentingan ikhlas dalam ibadat kita. Ikhlas itu bermaksud kita hanya mengharap pahala dan balasan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita lakukan ibadat itu kerana Allah ‎ﷻ sahaja. Bukan kerana kita takut orang pandang serong kepada kita, bukan sebab kita malu dengan orang atau kerana ada orang paksa kita – itu semua tidak ikhlas maknanya.

Kita kena buat sesuatu amalan itu hanya untuk mengharapkan redha Allah ‎ﷻ semata-mata. Maka janganlah kita menyebut-nyebut ibadat-ibadat kita yang sunat kepada orang ramai kerana ditakuti kita riak dan mengharap supaya orang memuji kita. Kita hanya mengharapkan pujian daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada makhluk.

Tafsir Ayat Ke-140

Rungutan Allah ‎ﷻ terhadap golongan ahli kitab. Yahudi kata agama asal adalah Yahudi. Mereka kata Nabi Ibrahim عليه السلام, Nabi Ismail عليه السلام dan semua Nabi-Nabi lain adalah beragama Yahudi. Kerana tohmahan mereka itulah, maka Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini. Mereka tuduh Islam adalah agama baru. Padahal Yahudi itulah agama yang baru, bukannya Islam.

أَم تَقولونَ إِنَّ إِبراهيمَ وَإِسماعيلَ وَإِسحاقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطَ كانوا هودًا أَو نَصارىٰ ۗ قُل أَأَنتُم أَعلَمُ أَمِ اللَّهُ ۗ وَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهادَةً عِندَهُ مِنَ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

“Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal ugama mereka telah pun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau ugama Kristian itu)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ

Apakah kamu mengatakan Nabi Ibrahim,

Ini adalah soalan lagi kepada mereka. Tanya mereka tentang Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana mereka memperkatakan sesuatu yang tidak benar tentang baginda. Maka kena persoal kepada mereka.

وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ

dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak dan Nabi Ya’kub

Bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام mereka tohmah, keturunan baginda pun mereka tohmah juga iaitu anaknya Nabi Ismail عليه السلام dan Nabi Ishak عليه السلام dan cucunya Nabi Ya’qub عليه السلام.

وَالْأَسْبَاطَ

dan anak cucunya,

Dan keturunan Nabi Ishak عليه السلام dan Nabi Ya’qub عليه السلام pun mereka tohmah juga. Apakah tohmahan mereka?

كَانُوا هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ

yang mereka itu beragama Yahudi atau Nasara?

Macam mana boleh mereka kata Nabi-nabi itu beragama Yahudi atau Nasrani sedangkan agama itu datang selepas mereka? Ia samalah dengan kebodohan Nasrani yang kata untuk masuk syurga, kena mengaku bahawa Nabi Isa عليه السلام adalah anak Tuhan atau Tuhan satu dalam tiga.

Maka bagaimana dengan umat-umat yang lahir sebelum Nabi Isa عليه السلام? Mereka langsung tidak ada peluang untuk mengaku bahawa Nabi Isa عليه السلام itu Tuhan sedangkan mereka tidak pernah tahu tentang Nabi Isa عليه السلام. Kasihanlah kepada mereka.

Jadi apabila dikatakan begini, penganut Kristian telah datang dengan hujah baru: semua yang lahir sebelum Nabi Isa عليه السلام tidak terus masuk syurga, mereka akan diletakkan di satu tempat yang mereka panggil “Purgatory”. Di situ manusia akan ditanya apa pendapat mereka tentang Nabi Isa عليه السلام.

Hanya selepas mereka mengaku Nabi Isa عليه السلام adalah tuhan, barulah mereka akan dilepaskan oleh Nabi Isa عليه السلام dan baginda akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Itu semua adalah angan-angan kosong mereka sahaja.

قُلْ أَأَنْتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ

Katakanlah: adakah kamu lebih mengetahui atau Allah yang lebih mengetahui?

Allah ‎ﷻ menempelak mereka: Takkan kamu lebih tahu daripada Allah ‎ﷻ? Maka senyap sahajalah dan ikutlah apa yang Allah ‎ﷻ suruh.

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَتَمَ شَهَادَةً عِنْدَهُ مِنَ اللَّهِ

Dan siapakah yang lebih zalim lebih dari seorang yang menyembunyikan penyaksiannya di sisi Allah?;

Apakah yang mereka sembunyikan? Dalam Taurat, Injil, Zabur atau Al-Qur’an sekalipun ada perjanjian tentang mereka mesti mengesakan Allah ‎ﷻ. Mereka tahu bahawa perbuatan mereka itu syirik tetapi mereka menyembunyikan kebenaran itu. Mereka ini adalah orang yang paling zalim sekali.

Begitulah kita umat Islam kalau menyembunyikan apa yang ada di dalam Al-Qur’an. Selalu ada ahli agama menyembunyikan apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu kerana tidak kena dengan agenda mereka. Mereka takut kalau mereka beritahu, akan ada yang tidak dapat terima, dan seterusnya tidak menerima mereka dan memanggil mereka mengajar lagi. Mereka ini nanti akan ditanya tentang apakah yang mereka telah lakukan ini.

Atau, mereka menyembunyikan apa yang tertulis dalam kitab mereka – yang Nabi akhir zaman akan datang. Nabi yang dimaksudkan itu adalah Nabi Muhammad ﷺ dan apabila Nabi Muhammad ﷺ telah hadir di kalangan mereka, mereka sedar yang baginda itulah Nabi yang dimaksudkan sebagai Nabi akhir zaman. Tetapi mereka sembunyikan fakta tersebut.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah lalai dari apa yang mereka lakukan;

Maksud ‘Allah ‎ﷻ tidak lalai’ maknanya Tuhan akan balas perbuatan mereka itu. Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkannya sahaja.

Kalau kita lihat daripada bahasa ayat ini, Allah ‎ﷻ masih lagi bercakap dengan Ahli Kitab secara terus. Akan ada dalam ayat seterusnya selepas ini di mana Allah ‎ﷻ tidak mahu bercakap dengan mereka lagi. Allah ‎ﷻ akan suruh Nabi Muhammad ﷺ sahaja beritahu kepada mereka.

Tafsir Ayat Ke-141

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم ما كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Mereka itu adalah satu umat yang telah berlalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.

تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ

Itulah dia umat yang sudah berlalu

Mereka itu sudah berada di zaman yang lepas. Mereka telah mati dan usaha mereka telah habis.

لَهَا مَا كَسَبَتْ

bagi mereka apa hasil dari apa yang telah mereka lakukan

Mereka yang telah berlalu itu akan mendapat hasil daripada perbuatan mereka. Sama ada perbuatan baik atau perbuatan buruk. Apa yang mereka usahakan semasa kehidupan mereka, mereka kena tanggung atau terima balasan baik atau buruknya.

وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ

dan bagi kamu hasil dari apa yang telah kamu lakukan

Dan kita juga akan mendapat hasil daripada perbuatan yang kita lakukan. Kita kena berusaha dengan amalan-amalan baik kita sendiri. Kita tidak ada kena mengena dengan datuk nenek kita yang telah lepas.

Janganlah jadi seperti Bani Israil yang mengagung-agungkan perbuatan nenek moyang mereka dahulu tetapi mereka tidak ikut dengan amalan baik mereka sendiri. Kalau kita melihat perbuatan datuk nenek kita dahulu baik, maka kita kenalah ikut perbuatan baik itu. Jangan cakap sahaja dan menyanjung apa yang mereka lakukan. Janganlah mengaku keturunan ulama’ ini dan itu, wali itu dan ini.

وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

dan kamu tidak akan ditanya terhadap apa yang dulu mereka lakukan

Kita tidak akan ditanya tentang orang lain yang datang sebelum kita. Yang kita akan ditanya adalah perbuatan kita sendiri. Mereka yang sudah lepas akan mendapat balasan daripada perbuatan mereka. Yang perlu kita risaukan adalah amalan-amalan dan iman kita. Bagaimana nanti kita akan berhadapan dengan Allah ‎ﷻ apabila kita dihadapkan dengan Buku Amalan kita nanti.

Allahu a’lam. 

BAB 7: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Fenomena Salat Hajat

0

Di nusantara, amalan salat hajat secara berjamaah sudah tidak asing lagi. Kebiasaannya salat hajat ini dilakukan bersempena dengan sesuatu peristiwa antaranya seperti anak-anak hendak menduduki peperiksaan, ketika hendak menunaikan haji atau umrah, ketika ada saudara mara yang sedang sakit, ketika musim kemarau serta banyak lagi peristiwa yang lain dalam rangka untuk memohon doa kepada Allah agar diperkenankan permohonan mereka.

Persoalannya, apakah ada dalil daripada nas yang sahih bagi amalan ini?

Dalil salat hajat: 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ فَلْيُحْسِنْ الْوُضُوءَ ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ ……. يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Ertinya: 

“Daripada Abdullah bin Abu Aufa, dia berkata, telah bersabda Rasulullah ﷺ, Barang siapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang daripada anak Adam (manusia), maka hendaklah dia berwudhu’ serta membaguskan wudhu’nya kemudian salat dua raka’at. Justeru (setelah selesai salat) hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi ﷺ, kemudian dia mengucapkan (doa): Laa ilaaha illallahul haliimul kariim (dan seterusnya sampai) ya arhamar rahimin”. (HR Tirmidzi (ini lafadz beliau), Hakim dan Ibnu Majah)

Adakah hadith ini sahih? 

Sanad hadith ini sangat lemah kerana pada sanadnya ada seorang perawi yang bernama Faaid bin Abdurrahman Abu al-Waruqa.

Imam Tirmidzi رحمه الله sendiri setelah meriwayatkan hadith ini beliau berkata: 

“Hadith ini gharib (asing), pada sanadnya ada pembicaraan (kerana) Faaid bin Abdurrahman telah dilemahkan di dalam hadith(nya)”.

Berkata Imam Bukhari رحمه الله, “Munkarul hadith (orang yang diingkari hadithnya)”.

Imam Bukhari juga pernah mengatakan, “Setiap perawi yang telah aku katakan kepadanya munkarul hadith, maka tidak boleh (diterima) riwayatnya”. (Mizanul I’tidal jilid 1:6)

Antara hadith lain yang menjadi hujah kepada amalan salat hajat ini adalah hadith Abu Darda’ yang berbunyi:

Daripada Maimun Abu Muhammad al-Mura’i al-Tamimi daripada Yahya bin Abi Kathir daripada Yusuf bin Abdullah bin Salam daripada Abu Darda’ رضي الله عنه  katanya: 

Wahai sekalian manusia! Aku telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ يُتِمُّهُمَا أَعْطَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ مُعَجِّلاً أَوْ مُؤَخِّرًا

Terjemahan:

“Sesiapa berwudhu’ dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan salat dua raka’at dengan sempurna, apa sahaja yang dimintanya akan diperkenankan oleh Allah sama ada cepat mahupun lambat”. (HR Ahmad dalam Musnadnya: 26225)

Hadith ini juga dhaif menurut Syeikh al-Albani, Syeikh Ahmad Syakir dan Syeikh Syu’aib al-Arna’ut, kerana perawi Maimun al-Mura’i dan sanadnya juga terputus.

Allahu a’lam.

Kesalahan Di dalam Salat / 29

0

Soalan: 

Apakah hukum membunyikan jari di dalam masjid?



Jawapan:

Hukum membunyikan jari ketika salat ialah makruh.

Dalil hadith:

Daripada Syu’bah mantan budak Ibnu Abbas رضي الله عنهما, beliau menceritakan:

صليت إلى جنب بن عباس ففقعت أصابعي فلما قضيت الصلاة قال : لا أم لك تقعقع أصابعك وأنت في الصلاة

“Aku pernah salat di samping Ibnu Abbas, kemudian aku membunyikan jariku. Setelah selesai salat beliau mengatakan, Kamu tidak sopan kerana membunyikan jari ketika sedang salat.” (HR. Ibnu Abi Syaibah, no. 7280 dan sanadnya dinilai hasan oleh Syaikh al-Albani رحمه الله‎ di dalam Irwa’ al-Ghalil).

Kesimpulannya, membunyikan jari hanya dilarang ketika salat, adapun ketika di luar salat tidak mengapa atau harus.

Allahu a’lam.

Soal Jawab Bersama Doktor: Masalah Buasir

1

Soalan:

Apakah tanda-tanda penyakit buasir?

Jawapan:
Buasir atau haemorroid yang diikuti dengan keradangan pada masalah usus perut, kolon, rektum dan anus dan merupakan perkara yang sering dialami oleh segelintir individu. Buasir ialah pembengkakan di salur rektum yang menyebabkan pendarahan dan sakit saat membuang air besar. Ia boleh berlaku kepada lelaki ataupun perempuan.

Apabila salur vena di dalam rektum membengkak, akan keluar bonjolan yang akan menyebabkan masalah kepada saluran rektum yang mendatangkan pelbagai komplikasi kronik. Kebiasaannya, penghidap buasir akan merasa tidak selesa, sering mahu buang air besar, perit, gatal pada bahagian dubur & diikuti dengan pendarahan apabila membuang air besar.

Soalan:

Apakah punca masalah buasir?

Jawapan:

Buasir adalah penyakit yang sering berlaku. Ia boleh terjadi kepada mana-mana individu tanpa mengira umur. Ia sering dikaitkan dengan meneran semasa membuang air besar dan keadaan sembelit. Wanita mengandung mungkin mengalami buasir kerana pembesaran janin menyebabkan tekanan ke bahagian dubur dan juga akibat perubahan hormon. Selain itu, berucap dengan kuat dan bersemangat, orang yang berlebihan berat badan, homoseksual, berdiri dalam jangka waktu yang lama setiap hari atau selalu mengangkat benda berat mungkin menghidapi masalah ini. Kesemua keadaan tersebut menyebabkan penambahan tekanan kepada salur vena di rektum dan dubur dan menyebabkan pembengkakan dan pembesaran.

Soalan:

Apakah rawatan yang sesuai untuk penyakit tersebut?

Jawapan:

Gejala penyakit ini seringkali boleh sembuh selepas beberapa hari tanpa memerlukan rawatan. Buasir yang berlaku semasa kehamilan selalunya bertambah pulih selepas melahirkan anak.

Perubahan gaya hidup membantu mengurangkan ketegangan pada saluran darah di dalam dan sekitar dubur anda. Antara cara mengelakkan masalah ini termasuklah:

  • Meningkatkan jumlah pengambilan serat dalam diet secara berperingkat- sumber serat yang baik adalah seperti buah, sayuran, beras, pasta dan roti bijirin penuh dan juga kekacang.
  • Banyakkan minum banyak cecair – terutamanya air putih dan cuba elakkan atau mengurangkan kafein dan alkohol
  • Segera ke tandas sekiranya terasa ingin membuang air besar- hal ini kerana najis akan menjadi lebih keras dan kering jika anda melengahkan waktu ke tandas dan anda menyebabkan anda perlu meneran. Ini adalah salah satu risiko buasir.
  • Kurangkan berat badan. Bersenam dapat membantu mencegah sembelit, mengurangkan tekanan darah, dan membantu menurunkan berat badan
  • Terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk buasir yang teruk. Salah satu daripada pilihan ini ialah (Banding). Prosedur bukan pembedahan ini dilakukan dengan menjerut jalur elastik yang sangat ketat di sekitar pangkal benjolan yang keluar untuk memotong bekalan darahnya. Benjolan tersebut akan tercabut sendiri selepas kira-kira seminggu.
  • Pembedahan boleh dijalankan untuk membuang atau mengecilkan buasir.

Popular

Iklan

Iklan