Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-146 dan Ke-147

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-146 dan Ke-147

708
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-146

الَّذينَ آتَيناهُمُ الكِتابَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم ۖ وَإِنَّ فَريقًا مِنهُم لَيَكتُمونَ الحَقَّ وَهُم يَعلَمونَ

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka Kitab,

Iaitu golongan Ahli Kitab yang telah diberikan dengan Kitab Taurat dan Injil. Mereka itu sepatutnya orang yang sudah berilmu dan memang mereka tahu banyak perkara. Tetapi mereka sengaja sembunyikan perkara sebenar itu.

يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ

mereka mengenalinya (Nabi Muhammad dan sifatnya) sepertimana mereka kenal anak-anak mereka sendiri;

Mereka boleh kenal Nabi Muhammad ﷺ kerana telah ada tertera penerangan tentang Nabi Muhammad ﷺ dalam kitab mereka. Malah sifat-sifat Nabi ﷺsama seperti yang ada dalam kitab mereka. Mereka tahu yang Nabi akhir zaman itu akan datang ke Yathrib.

Kata Ibnu Salam رضي الله عنه (seorang sahabat yang asalnya pendeta Yahudi yang masuk Islam), “Sesungguhnya ketika aku melihatnya, maka aku pun segera mengenalinya, sebagaimana aku mengenal anakku sendiri, bahkan lebih kuat lagi mengenal Muhammad ﷺ.”

Kenapa diberikan perumpamaan ‘anak’ dalam ayat ini? Kerana tentulah kita kenal anak kita sendiri kerana kita sudah biasa sangat dengan anak kita. Tengok kelibat mereka dari jauh pun kita sudah kenal kerana itu anak kita sendiri.

Macam juga kita kenal sifat-sifat Imam Mahdi dan Dajjal dari kitab-kitab kita. Sebab kita selalu dengar kisah mereka disebut-sebut.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang memang ulama’-ulama’ Ahli Kitab itu kenal sungguh dengan Nabi Muhammad ﷺ sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka. Seorang ayah tentunya kenal anak dia lebih lagi daripada seorang anak kenal ayah dia. Kerana ayah tengok anak semenjak dari kecil lagi, tetapi seorang anak cuma kenal ayah dia bila sudah dewasa.

Oleh kerana dia kenal anak dia dari kecil lagi, seorang ayah itu akan tahu segala tanda pada anak itu. Begitulah ulama’ Yahudi mengenali Nabi Muhammad ﷺ.

Ada juga yang mengatakan bahawa هُ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada kiblat. Iaitu Ahli Kitab itu kenal kiblat ke Kaabah itu seperti mereka kenal anak mereka sendiri. Ini adalah kerana ayat-ayat sebelum ini adalah tentang kiblat.

Ada juga yang mengatakan bahawa هُ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada Al-Qur’an. Iaitu Ahli Kitab itu kenal Al-Qur’an itu seperti mereka kenal anak mereka sendiri kerana kebenaran yang ada di dalamnya juga sama seperti apa yang telah ada dalam kitab mereka.

Manakah yang benar? Ketiga-tiganya boleh dipakai.

وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ

Dan sesungguhnya ada segolongan di antara mereka menyembunyikan kebenaran;

Golongan ulama’ mereka menyembunyikan kebenaran kepada golongan awam mereka. Mereka sudah tahu apakah yang benar tetapi mereka sembunyikan untuk menjaga kedudukan mereka iaitu kebenaran bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul akhir zaman.

Atau menyembunyikan yang kiblat ke Mekah itu adalah kiblat yang benar.

Atau menyembunyikan yang Al-Qur’an itu adalah Kitab daripada Allah ‎ﷻ juga.

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedangkan mereka tahu;

Mereka tahu kebenaran, tetapi mereka kata kepada anak murid mereka bahawa Nabi akhir zaman itu mesti daripada kalangan Yahudi. Ada yang kata, memang Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul, tetapi Rasul untuk orang Arab sahaja.

Macam sekarang, guru-guru selalu kata kena ikut Al-Qur’an dan Sunnah. Tetapi apabila datang golongan yang membawa Sunnah, mereka kata tidak boleh pula ikut golongan yang hendak ikut sunnah itu.

Mereka tahu bahawa apa yang diajar oleh mereka yang mengajar berdasarkan sunnah itu adalah benar, tetapi mereka masih lagi tidak mahu nak ikut.

Tafsir Ayat Ke-147

Allah ‎ﷻ beri penegasan dalam ayat ini.

الحَقُّ مِن رَبِّكَ ۖ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ

Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ

Sesungguhnya kebenaran itu daripada Tuhan kamu;

Kalimah الْحَقُّ (kebenaran) yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Itulah kebenaran yang kita kena ikut. Allah ‎ﷻ telah bawa kebenaran dengan kedatangan Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi ulama’ Ahli Kitab telah menyembunyikan kebenaran itu. Ulama’ Ahli Kitab juga telah menipu golongan awam mereka dengan mengatakan bahawa kiblat ke Baitul Haram itu tidak ada dalam kitab mereka.

Mereka menyembunyikan ilmu itu daripada masyarakat. Termasuk juga mereka telah menyembunyikan maklumat itu daripada orang Arab Madinah yang telah masuk Islam. Mereka menggunakan kedudukan mereka yang telah lama menganut agama Yahudi dan Kristian untuk menipu masyarakat waktu itu. Mereka kata mereka yang lebih layak untuk diikuti kerana orang Arab tidak pernah diturunkan kitab oleh Allah ‎ﷻ sebelum itu.

Begitu jugalah yang terjadi dalam masyarakat kita sekarang. Ada orang-orang agama seperti ustaz-ustaz yang telah mendapat kedudukan dalam agama tetapi menipu dalam hal agama. Mereka ada yang kata mereka tidak pernah mendengar larangan Allah ‎ﷻ tentang sesuatu amalan bidaah. Contohnya, mereka kata Nabi ﷺ tidak pernah melarang untuk mengadakan majlis kenduri arwah. Dan oleh kerana mereka telah ada kedudukan, atau mereka telah terkenal kerana telah masuk dalam media massa dan sebagainya, masyarakat lebih memandang mereka sebagai yang ada autoriti dalam agama.

Padahal, hujjah mereka itu adalah hujah yang batil kerana memang Nabi ﷺ sudah melarang mengadakan kenduri pada hari kematian. Dan banyak lagi hujah-hujah mereka yang bukan diambil dari Al-Qur’an dan Sunnah untuk membenarkan kesalahan dalam fahaman dan amalan dalam masyarakat.

Mereka pakai hujah akal sahaja atau pendapat manusia, tanpa merujuk kepada nas yang sahih. Tetapi kerana mereka telah ada kedudukan, pandangan mereka telah diambil kira oleh mereka yang jahil. Ini telah menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Masyarakat awam menjadi keliru tentang manakah pendapat yang benar. Kebanyakan daripada masyarakat tentunya akan memilih golongan agamawan yang telah terkenal, tambahan lagi amalan yang mereka lakukan itu telah sebati dalam masyarakat, jadi mereka sangka tidak mungkin salah pula?

فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

dan janganlah kamu sekali-kali termasuk orang yang ragu-ragu;

Iaitu, janganlah kamu ragu-ragu apabila kebenaran telah datang. Kedatangan Nabi Muhammad ﷺ itu memang benar; kiblat ke Kaabah itu memang benar; Al-Qur’an itu memang benar.

Begitu jugalah kita, janganlah kita termasuk orang yang keliru apabila nas yang sahih telah diberikan. Jangan kita termakan dengan kata-kata mereka yang hanya memberikan dalil yang batil sahaja untuk menguatkan hujah mereka. Ingatlah bahawa pegangan pertama kita adalah Al-Qur’an dan Sunnah yang sahih. Jangan kita ragu-ragu apabila telah diberikan dengan nas-nas seperti itu.

Kita pun telah tahu bahawa Al-Qur’an dan Sunnah itu adalah rujukan utama kita, jadi kenapa hendak ragu-ragu? Kenapa hendak melebihkan pandangan manusia daripada apa yang Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya telah sampaikan? Belajarlah agama dan carilah maklumat sebanyak mungkin dan bukalah minda untuk memikirkan manakah pandangan yang lebih kuat – ‘kata Allah ‎ﷻ’ atau ‘kata manusia’?

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan