Utama Bilik (28) Bidaah Nusantara BAB 17: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Menunggu Kubur Selepas Kematian

BAB 17: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Menunggu Kubur Selepas Kematian

260
0
Iklan

Antara amalan yang telah menjadi kebiasaan umat nusantara sejak sekian lama ialah menunggu di kubur dengan membaca al-Qur’an secara beramai-ramai selepas berlaku kematian. Kebiasaannya keluarga si mati akan memanggil pelajar-pelajar tahfiz atau pondok untuk melakukan amalan tersebut. Pelajar-pelajar ini akan diberi ‘ganjaran’ selepas selesai melaksanakan upacara tersebut.   

Menurut Himpunan Fatwa Negeri Kedah Darul Aman yang mengandungi pendapat-pendapat dan keputusan-keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman yang disusun oleh Sahibus Samahah Datuk Setia Jaya Datuk Paduka Syaikh ‘Abdul Majid bin Muhammad Nur, di mana pada halaman 40 dalam Bab Jenazah ada dinyatakan:

Soalan:

Adakah Islam menyuruh menunggu kubur orang yang baru mati kerana membaca al-Qur’an di atasnya selama 3 hari atau 4 hari dengan malamnya?

Jawapan:

Harus menunggu kubur orang yang baru mati kerana membaca al-Quran di atasnya.

 

Fatwa Negeri Kedah di asaskan daripada qaul Imam an-Nawawi رحمه الله:

قالوا: و يستحب ان يقراء عنده شيء من القرآن و ان ختموا القرآن كان افضل

Terjemahan:

Mereka (yakni para ulama as-Syafi`iy) berkata: “Dan adalah mustahab untuk dibacakan di sisinya sesuatu daripada al-Qur’an dan jika sekiranya dikhatamkan keseluruhan al-Qur’an ianya adalah lebih utama (afdhal)“.

(Al-Majmu’, 5:164)

Amalan menunggu kubur menurut pendapat Imam as-Syuyuti رحمه الله:

و رأيت في التواريخ كثيرا في تراجم الأئمة يقولون: و اقام الناس على قبره سبعة ايام يقرءون القرآن، و أخرج الحافظ الكبير ابو القاسم بن عساكر في كتابه المسمى تبين كذب المفتري فيما نسب إلى الامام ابي الحسن الأشعري سمعت الشيخ الفقيه ابا الفتح نصر الله بن محمد بن عبد القوي المصيصي يقول: توفي الشيخ نصر بن ابراهيم المقدسي في يوم الثلاثاء التاسع من المحرم سنة تسعين و اربعمائة بدمشق و اقمنا على قبره سبع ليل نقرأ كل ليلة عشرين ختمة 

Terjemahan:

(Dan telah aku lihat) dalam kitab-kitab sejarah tatkala menceritakan riwayat hidup para Imam (pemuka agama) banyak menulis:- “Dan telah berdiri manusia di sisi kuburnya 7 hari membaca mereka al-Qur’an.” Dan telah dikeluarkan oleh al-Hafidz al-Kabir Abul Qasim Ibnu ‘Asaakir di dalam kitabnya yang berjudul “Tabyiin Kadzibil Muftari Fi Ma Nusiba ilal Imam Abil Hasan al-‘Asy’ariy” رحمه الله bahawa dia telah mendengar asy-Syaikh al-Faqih Abul Fath NashrUllah bin Muhammad bin ‘Abdul Qawi al-Mashishi berkata: “Telah wafat asy-Syaikh Nashr bin Ibrahim al-Maqdisi pada hari Selasa 9 Muharram 490H di Damsyik. Kami telah berdiri (berhenti, berada) di kuburnya selama 7 malam, kami membaca al-Qur’an pada setiap malam dan 20 kali khatam”.

(Al-Hawi lil Fatawa, 2:194)

Ulama’ asy-Syafi’iy dan kebanyakan ustaz-ustaz di nusantara menggunakan dalil berikut untuk melakukan amalan menunggu kubur. Manakala bagi pengikut tarekat, apabila salah seorang ahli tarekat meninggal dunia, mereka akan menunggu di kubur saudaranya itu untuk beberapa malam:

قَالَ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللهُ : وَيُسْتَحَبُّ أنْ يُقْرَأ عِنْدَهُ شَيْءٌ مِنَ القُرآنِ ، وَإنْ خَتَمُوا القُرآنَ عِنْدَهُ كَانَ حَسَنَاً

Terjemahan:

Dan disunatkan membaca di sisinya sesuatu daripada al-Qur’an, dan sekiranya dikhatamkan al-Qur’an di sisinya adalah lebih baik.”

 

Antaranya pendapat Imam an-Nawawi رحمه الله sendiri di dalam Riyadhus Salihin. Selepas menukilkan hadith-hadith di bawah bab:

باب الدعاء للميت بعد دفنه والقعود عند قبره ساعة للدعاء لَهُ والاستغفار والقراءة

“Bab berdoa untuk si mati selepas pengebumian, dan duduk seketika di sisi kuburnya untuk berdoa dan memohon keampunan”

 

Imam an-Nawawi رحمه الله menukilkan kata-kata yang disandarkan kepada al-Imam asy-Syafi’iy رحمه الله sendiri.

Tahqiq:

Membaca al-Qur’an di kuburan ini bid’ah atau khilaf?

Apabila ada pendapat mengatakan tidak boleh membaca al-Qur’an di kubur, ramai yang akan menjawab dengan tuduhan kaum muda, salafi, wahabi dan sebagainya.

Mereka menempelak, “jangan halang kami, kami bermazhab Syafi’iy”, menurut mereka Imam asy-Syafi’iy رحمه الله menukilkan ianya sunat.

Benarkah dakwaan ini?

Syaikh Sayyid Sabiq sendiri menaqalkan di dalam fiqh sunnah bahawa tidak makruh bahkan hukumnya sunat di dalam bab membaca al-Qur’an di kuburan dan ianya adalah pendapat Imam asy-Syafi’iy رحمه الله.

Sebahagian ulama’ menyandarkan kata-kata ini kepada al-Imam asy-Syafi’iy رحمه الله,

 

قَالَ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللهُ : وَيُسْتَحَبُّ أنْ يُقْرَأ عِنْدَهُ شَيْءٌ مِنَ القُرآنِ ، وَإنْ خَتَمُوا القُرآنَ عِنْدَهُ كَانَ حَسَنَاً

Terjemahan:

Dan disunatkan membaca di sisinya sesuatu daripada al-Qur’an, dan sekiranya dikhatamkan al-Qur’an di sisinya adalah lebih baik.”

Tahqiq:

Ini dinafikan oleh sebahagian ilmuan, antaranya Dr Mahir Yasin al-Fahl daripada darul hadith Iraq, dalam komentarnya terhadap Riyadhus Salihin, beliau berpendapat, nukilan bukanlah asal daripada Imam asy-Syafi’iy رحمه الله, tetapi ashabnya. Kemudian beliau meminta kita merujuk kepada kitab al-Majmu’ yang merupakan sebuah lagi karya Imam an-Nawawi رحمه الله. (Riyadus Salihin, tahqiq oleh Dr Maher Yasin al-Fahl 1/477)

Imam an-Nawawi رحمه الله menukilkan di dalam kitabnya al-Majmu’:

يستحب أن يمكث على القبر بعد الدفن ساعة يدعو للميت ويستغفر له

نص عليه الشافعي واتفق عليه الاصحاب قالوا ويستحب أن يقرأ عنده شئ من القرآن وإن ختموا القرآن كان أفضل-5/294

Terjemahan:

Dan disunatkan menunggu seketika di kubur setelah pengebumian, mendoakan si mati dan memohon keampunan baginya. Ini telah dinaskan(disebutkan) oleh Imam asy-Syafi’iy dan dipersetujui oleh ashab. Menurut mereka(ashab): disunatkan membaca di sisinya sesuatu daripada al-Qur’an, dan sekiranya dikhatamkan al-Qur’an di sisinya adalah lebih baik.”

(Al-Majmu’, 5/294)

 

Imam asy-Syafi’iy hanya menyebut sunatnya menunggu seketika untuk mendoakan si mati dan memohon keampunan baginya, pendapat selebihnya ialah dari ashab (kelompok mazhab Syafi’iy).

 

Pendapat muktamad Imam asy-Syafi’iy: 

Pendapat sebenar Imam asy-Syafi’iy رحمه الله mengenai membaca dan mengkhatam Al Qur’an di kubur, nukilan Imam Ibn Kathir رحمه الله di dalam tafsir beliau ketika mentafsirkan ayat وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسانِ إِلَّا مَا سَعى- 

Tidaklah mendapat akan manusia itu melainkan apa yg telah dia usahakan sendiri

(An-Najm:39)

Beliau menyebut:

وَمِنْ هَذِهِ الْآيَةِ الْكَرِيمَةِ اسْتَنْبَطَ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ وَمَنِ اتَّبَعَهُ، أَنَّ الْقِرَاءَةَ لَا يَصِلُ إِهْدَاءُ ثَوَابِهَا إِلَى الْمَوْتَى، لِأَنَّهُ لَيْسَ مِنْ عَمَلِهِمْ وَلَا كَسْبِهِمْ وَلِهَذَا لَمْ يَنْدُبْ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُمَّتَهُ وَلَا حَثَّهُمْ عَلَيْهِ وَلَا أَرْشَدَهُمْ إِلَيْهِ بِنَصٍّ وَلَا إِيمَاءٍ، وَلَمْ يُنْقَلْ ذَلِكَ عَنْ أَحَدٍ مِنَ الصَّحَابَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ، وَلَوْ كَانَ خَيْرًا لَسَبَقُونَا إِلَيْهِ

Daripada ayat ini, Imam asy-Syafi’iy dan sesiapa yang mengikutinya telah membuat kesimpulan bahawa bacaan yang dihadiahkan kepada si mati tidak sampai pahalanya, kerana ia bacaan bukanlah sebahagian daripada amalan mereka mahupun usaha mereka(si mati). 

Oleh itu Rasulullah ﷺ tidak mensunnahkan ummatnya dan tidak menggalakkan mereka melakukannya, dan baginda tidak pula menunjukkan kepadanya dengan nas dan tidak juga dengan isyarat, dan yang demikian itu tidak pula dinaqalkan daripada para sahabat رضي الله عنهم. Sekiranya ia baik sudah tentulah mereka berlumba-lumba ke arahnya.

(Tafsir Ibnu Kathir, Tahqiq: Muhd Husin Shamsuddin, cetakan dari Kutub al-Ilmiyyah Beirut, 1419H. 7/431)

 

Ulasan/Rumusan:

Amalan menunggu di kubur dan mengkhatam al-Qur’an di kubur untuk mayat adalah bid’ah dan kebetulan amalan ini semakin berkurangan dan kita harapkan semoga ianya akan berkubur begitu sahaja amalan bid’ah ini, insyaAllah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan