Utama Blog Halaman 180

Bala dan Solusinya

0

Bala dan Solusinya

Malam tadi Ayahaji mengajar surah Al-Waqi’ah di Kelang, timbul bab seseorang yang kena bala. Persoalannya, bagaimana hendak hilangkan bala ini? Kita ditimpa bala apabila menanam, sentiasa saja rosak tanaman, bila berniaga, jatuh merudum, tidak pulih-pulih, bila menternak, jatuh merudum juga. Macamana hendak selamatkan keadaan ini atau hendak perbaiki semula perniagaan itu?

Bab bala: Kenapa kena bala dan bagaimana cara untuk memulihkan keadaan jika berlaku.

Rahmat dan bala datang dari Allah SWT. Allah SWT uji manusia dengan rahmat dan bala ini. Oleh kerana bala datang dari Allah SWT, maka hanya Allah SWT yang dapat menghilangkan bala.

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Dan apa bala saja yang kena pada kamu daripada bala yang banyak adalah akibat daripada apa dosa yang kamu buat. Tetapi dosa kamu yang banyak itu Kami telah maafkan. [ Ash-Shura: 30 ]

Maksudnya: Bala datang kerana dosa manusia buat. Tetapi Allah SWT kata, dosa-dosa telah banyak Allah SWT ampun. Jadinya, dosa apa yang tidak diampun sampai tertimpa bala ini? Dosanya ialah dosa syirik dan bid’ah, yang manusia buat tetapi tidak minta ampun kerana tidak tahu mereka buat syirik dan bid’ah itu akibat daripada lalai belajar tafsir dan hadis.

Banyak ayat-ayat tentang mereka yang kena bala ini. Ini diantaranya:

وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَنْدَادًا لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ

Dan apabila manusia ditimpa oleh sesuatu bala, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya (iaitu dengan rendah diri, mula ke masjid, jadi warak tiba-tiba); kemudian apabila Allah SWT memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada-Nya, lupalah dia akan segala bala yang menimpanya yang menyebabkannya merayu kepada Allah SWT sebelum itu dan dia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah SWT, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah SWT. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka. [ Az-Zumar: 8 ]

Maksudnya: Bila bala datang mereka terus berdoa, “Ya Allah, Ya Allah” dengan tulus ikhlas. Doa ini telah makbul, insya Allah, tetapi mereka hendak doa itu terus menjadi. Mereka tidak sabar. Mereka mahu bila ditimpa bala, doa, berjaya, selesai. Kalau begitu, apa guna Allah SWT beri ujian bala itu. Kena saja, doa, selesai. Tidak berkesanlah ujian itu pada manusia. Apabila doanya Allah SWT makbul, mereka pula lupa pada Allah SWT yang memakbulkan doanya. Mereka tidak berterima kasih, memang tidak patut berbuat begitu.

Lantas mereka mula kembali pada buat dosa syirik dan bid’ah lagi. Malah, mereka jadikan “andaada” sekutu-sekutu bagi Allah SWT.

Contoh “andaada” ini:

1. Tok-tok Guru yang buat air tawar
2. Bomoh-bomoh yang mandikannya dengan air bunga.
3. Keris-keris, batu-batu geliga, azimat-azimat dan lain-lain.

Akibat daripada menggunakan perantaraan dalam berdoa pada tok guru, tok bomoh atau perantaraan melalui benda iaitu keris, geliga dan sebagainya, mereka telah berbuat syirik pada Allah SWT. Inilah yang dinamakan sesat. Sebab itu Allah SWT kata “andaada-andaada” ini yang menyesatkan mereka. Akhirnya, selepas bala diberi, lalu diselamatkan Allah SWT, kemudian sesat pula dari jalan Allah SWT. Lalu Allah SWT kata bersedap-sedaplah kamu hidup dalam kekufuran kamu di dunia. Enjoylah! Kerana kamu ini pemilik Neraka sebenar.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan berkata Tuhan kamu “Berdoalah pada Aku saja nescaya Aku akan perkenankan doa kamu. (Ayat amaran dalam ayat ini pula) Sekiranya kamu sombong takbur dalam ibadat doa kamu pada Aku (iaitu suruh orang lain juga sebagai perantara dalam baca doa ini), Aku akan masukkan kamu dalam neraka jahannam hina dina. [ Ghafir: 60 ]

Ayat ini suruh kita baca doa terus pada Allah SWT. Surah Al-fatihah, ayat 5 “Wa iyyakanasta’iin,” maksudnya, pada Kamu sahaja Ya Allah kami minta pertolongan.

Nabi Adam AS pernah makan pokok khuldi yang telah dilarang Allah SWT. Dia telah dihalau keluar dari syurga. Dia berdoa dengan berbagai cara supaya Allah SWT makbulkan doanya. Mengikut riwayatnya, Nabi Adam AS turun ke dunia di tempat lain dan Siti Hawa RHA turun di tempat lain. Suami isteri ini tidak jumpa satu sama lain. Allah SWT hanya terima cara berdoa yang Allah SWT hendak. Cara lain Allah SWT tidak mahu. Maknanya Allah SWT mengajar Nabi Adam AS cara-cara atau lafaz berdoa.

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.[ Al-A’raf: 23 ]

Lalu Nabi Adam AS berdoa dengan doa di atas. Selesailah masalah Nabi Adam AS.

Begitu juga dengan Nabi Yunus AS. Dia telah tinggal umatnya yang engkar pada ajakan tauhid, naik kapal, dibuang ke laut, lalu ditelan ikan. Kemudian Nabi Yunus AS berdoa, “Laailaahailla anta subhanakainnikuntumminazzoolimin.” Mengikut riwayatnya, empat puluh hari Nabi Yunus AS berada dalam perut ikan, lalu Allah SWT makbulkan doanya. Dengan itu, cara berdoa untuk selesai bala ialah bertaubat dengan guna zikir taubat. Bacalah zikir “laailaahailla anta” itu, sepuluh kali atau tiga puluh kali atau berapa kali sehingga kita mula rasa jemu. Baca perlahan-lahan sambil ingat makna. Kemudian, baca doa Nabi Adam AS, kemudian baca,
“Wahai Tuhanku, aku pohon ampun segala dosa-dosa syirik bid’ah yang aku pernah buat. Selamatkanlah aku dari Neraka-Mu dan masukkan aku ke Syurga-Mu. Singkaplah, angkatlah daripadaku bala ini.”

Buat tiap-tiap waktu selepas solat sehingga selesai musibah itu. Insya Allah, Allah SWT akan makbulkan.

Allahu a’lam.

HADITS MATRUK (المتروك)

0

Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum, nota seterusnya telah siap. Ringkas sahaja mengenai hadits matruk.

#211216 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.12.01 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي)

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

HADITS MATRUK (المتروك)

Dari sudut bahasa, perkataan MATRUK (المتروك) berasal dari kata at-Tark (الترك) yang bermaksud tinggalkan (ie. leave), berlawanan dengan ambil.

Adapun dari sudut istilah, ia merujuk kepada mana-mana hadits di mana pada sanadnya terdapat periwayat yang tertuduh bohong (مُتَّهّمٌ بِالْكَذِب) atau pelaku keburukan atau kejahatan (الفِسْق).

Sebab kepada tuduhan bohong tersebut diketahui bahawa dia berbohong dengan sesama manusia, walau tidak dikenal pasti dia pernah berbohong (mereka hadits) di atas nama RasululLah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

Contoh:

al-Hakim (w.405H) meriwayatkan dari jalan sanad Ishaq ibn Bisyr al-Kaahili, sehingga kepada Abu Dzar radhiyalLaahu ‘anhu, bahawa katanya:

مَا كُنَّا نَعْرِفُ الْمُنَافِقِينَ إِلَّا بِتَكْذِيبِهِمُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، وَالتَّخَلُّفَ عَنِ الصَّلَوَاتِ، وَالْبُغْضِ لِعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

“Kami dahulu tidaklah mengenal orang-orang munafiq itu kecuali (pasti mereka melakukan) pembohongan di atas nama Allah dan RasulNya, (mereka juga) sering meninggalkan solat berjemaah, dan (jelasnya) kebencian mereka terhadap ‘Ali radhiyalLaahu ‘anhu”

az-Zahabi (w.748H) menyebutkan: Ishaq ibn Bisyr seorang yang tertuduh bohong (مُتَّهّمٌ بِالْكَذِب).

Kedudukan hadits Matruk (المتروك): Ianya di bawah di hadits palsu (الموضوع), dan ia tidak akan berpeluang naik ke peringkat Hasan li Ghayrihi (الحسن لغيره).

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Adli Khalim:
Bro, kiranya Matruk ni atas sikit je la daripada Maudhu`?

A’fif Azani:
Matruk nii terlampau dhaif

BroSyarief:
Kalau ikut apa yang disebutkan oleh Prof Abullayts di dalam tulisannya, ia kurang teruk berbanding Maudhu’. walLaahu a’lam

Mengajar Kalimah Shahadah

0

Mengajar Kalimah Shahadah

Beginilah caranya mengajar orang baru akan kalimah syahadah.

Ayahaji: Kita perbaharui kalimah syahadah kita, boleh?

Orang: Boleh.

Ayahaji: Asyhadu, aku bersaksi iaitu aku berjanji, bersumpah, berikrar padaMu Tuhanku Allah. Apakah makna “Laailaahaillallah”?

Orang: Tiada Tuhan melainkan Allah.

Ayahaji: Apa orang kafir kata masa awak kata: Tiada tuhan melainkan Allah. Adakah mereka marah awak kata gitu?

Orang: Tidak marah.

Ayahaji: Nabi SAW kata pada guru-guru Musyrikin Mekah dulu, “Wahai orang Quraisy semua, jika aku kata pada kamu semua, ada orang-orang sedang bersiap-siap untuk serang kita di belakang bukit sana, kamu percaya atau tidak?

Musyikin Mekah itu semua berkata, “Ya kami percaya sebab kamu kami diberi gelaran Al-Amin, yang dipercayai, tidak cakap bohong, jujur dan amanah.”

“Kalau begitu, percayalah laailaahaillallah.”

Semua Musyrikin Mekah itu bangun berdiri lalu berkata, “Muhammad, kamu pembohong!”

Kenapa mereka kata Nabi SAW berbohong sedangkan sebelumnya mereka kata Nabi SAW seorang Al-Amin?

Orang itu terpesir.

Ayahaji: Kalimah tauhid itu adalah berkenaan berhala-berhala yang mereka letak di Kaabah. Ada sesuatu tentang berhala ini. Berhala mereka berjumlah 360 berhala iaitu maksud laailaahaillallah ada sabit dengan berhala Uzza, Latta, Mannat, Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS yang mereka buat berhala. Uzza ada ulama syariat Nabi Ibrahim AS dan begitu juga Latta. Mannat pula seorang bomoh iaitu berhala itu untuk fokus pada Uzza, Latta dan Mannat yang sudah mati. Mereka hanya hendak bodek Uzza dan Latta serta Mannat sebagai perantaraan sahaja. Tujuan untuk rapat dengan Uzza, Latta dan Mannat adalah supaya rapat dengan mereka ini agar hajat dimakbulkan!

Orang itu terpesir.

Ayahaji: Maknanya laailaahaillallah ialah tiada perantara dalam beribadat, berdoa, berzikir, beriktikaf dan lain-lain melainkan pada Allah SWT sahaja.

Orang itu terpesir, kemudian berkata: Betul.

Sekiranya kita ucap laailaahaillallah dalam setiap solat tetapi oleh kerana tauhid dalam kalimah syahadah ini tidak jelas, kita masih buat jugalah tawassul dan bid’ah. Kekufuran ini perlu diajar semula Islamnya supaya kita faham bahawa itulah syirik pada Allah SWT. Kita perlu kembali pada tauhid semula. Orang yang faham tauhid dalam kalimah syahadah ini, mereka jadi berani menegur kekufuran dalam masyarakat.

Ayahaji: Wa asyhadu anna Muhammadur Rasulullah, apa pula maksudnya?

Orang: Dan saya berjanji, berikrar, bersumpah.

Ayahaji: Janji pada siapa?

Orang ke-2: Pada Nabi Muhammad.

Ayahaji: Mana boleh janji dengan Nabi SAW, dia sudah mati. Janji dengan siapa?

Orang 1: Janji dengan Allah.

Ayahaji: Betul tetapi janji apa?

Orang 1: Janji bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah.

Ayahaji: Kenapa awak janji depan Allah SWT bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah?

Orang 1: Kerana dia Rasulullah.

Orang 2: Kerana ada diperintah Allah.

Ayahaji: Memang dia Rasul Allah dan memang kita diperintah. Tapi Allah SWT tidak paksa kita. Awak tidak jawab soalan. Kenapa awak janji Nabi Muhammad itu Rasul Allah?

Orang 1: Kerana dia mengajar agama.

Orang 2: Kerana dia baik budi pekerti.

Ayahaji: Memang betul kata-kata awak itu tetapi awak tidak jawab soalan. Kenapa awak mengaku dia Rasul Allah?

Kedua-dua mereka terdiam, terpesir.

Ayahaji: Bahasa kita dan bahasa Arab tidak sama. Maksudnya ialah kita berjanji depan Allah SWT bahawa kita hendak ikut ajaran Nabi Muhammad Rasul Allah. Betul?

Orang 1 dan 2: Betul.

Ayahaji: Kita mengucap sekali.

Lalu merekapun mengucaplah dengan fokus depan mereka ada Allah SWT. Kalau mereka tidak nampak Allah SWT, maka Allah SWT memang tengok mereka. Sesudah mengucap itu, Ayahaji tanya mereka.

1. Ayahaji: Adakah awak hendak taat apa awak janji?

Orang 1 dan 2: Ya.

2. Ayahaji: Adakah awak hendak ikut ajaran orang-orang yang bukan daripada perintah Allah SWT dan Rasul SAW?

Orang 1 dan 2: Nak ikut hanya ajaran Rasulullah sahaja.

3. Ayahaji: Adakah awak hendak buat bid’ah yang Nabi SAW tidak ajar?

Orang 1 dan 2: Tidak mahu.

4. Ayahaji: Jika awak ikut juga amalan-amalan yang tidak Nabi SAW ajar?

Orang 1 dan 2: Tidak mahu.

5. Ayahaji: Apakah akan jadi jika awak langgar dengan buat bid’ah yang Nabi SAW tidak ajar?

Orang 1 dan 2: Batallah kalimah syahadah kedua.

6. Ayahaji: Apakah maksud batal kalimah syahadah yang awak kata itu?

Orang 1 dan 2: Kufur pada Allah SWT.

Kemudian mereka terdiam, terpesir di atas kata-kata mereka sendiri.

Allahu a’lam.

:: DUNIA INI HIJAU DAN MANIS ::

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

:: DUNIA INI HIJAU DAN MANIS ::

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

” إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ

Sesungguhnya dunia ini manis lagi hijau.

وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا

Sesungguhnya Allah menyerahkan urusan dunia ini kepada kalian.

فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Lalu Allah akan melihat bagaimana kalian melakukannya.

فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ

Berhati-hatilah dengan dunia, dan berhati-hatilah dengan wanita.

فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ

Sesungguhnya ujian yang pertama berlaku kepada Bani Israel adalah berkaitan wanita. [Sahih Muslim, Kitab al-Riqaq, hadis no: 2742]

Faedah hadis:

1- Dunia ini zahirnya cantik dan menyeronokkan. Maksud ‘hijau’ ialah dunia ini sangat indah apabila kita lihat. Maksud ‘manis’ pula ialah dunia ini sungguh menyeronokkan untuk manusia berlazat-lazat padanya.
2- Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi untuk menguruskan hal duniawi.
3- Kita akan dipersoalkan di akhirat kelak tentang bagaimana kita menguruskan dunia yang merupakan amanah kepada kita.
4- Kita perlu berhati-hati dengan ujian kehidupan di dunia.
5- Salah satu ujian yang paling berat ialah berkaitan hubungan lelaki dan perempuan.
6- Lelaki paling berat menghadapinya kerana mereka lazimnya sering keluar dari rumah dan akan kerap bertemu wanita-wanita yang bukan isteri mereka.
7- Walaupun hadis ini menerangkan wanita adalah ujian kepada lelaki, bukan bermaksud lelaki bukan ujian kepada wanita. Dalam al-Quran disebutkan kisah isteri pembesar yang diuji dengan kehadiran Nabi Yusuf. Dalam al-Quran juga ada arahan menundukkan pandangan kepada lelaki dan perempuan.

*Dapatkan update tazkirah melalui telegram, klik di sini http://telegram.me/alkahfiservices

| www.fb.com/AlkahfiServices | www.alkahfi.com.my |

UiTO Channel: Tazkirah Harian
UiTO Bilik(105) Qawa’id Fiqh
Ahli Panel: Ustaz Nasim

Pautan:

https://telegram.me/joinchat/A0jOFDvr-qWKUHQBRAGhsA

Pengalaman Tabligh dari dalam Kubur

0

Pengalaman Tabligh dari dalam kubur

Ustaz Rosman@Ayahaji: Suatu hari dulu seorang bapa saudara ayahaji meninggal dunia. Tinggalkan 3 orang anak perempuan. Ayahaji serta ustaz Solah dan seorang pelajar ustaz Solah turun ke dalam kubur untuk tanam jenazah.

Semasa tengah/sedang kambus tanah, seseorang telah hulur tanah yang sudah dibaca-baca kan kepada Ayahaji untuk diletakkan pada jenazah. Asalnya, letak tanah yang dikepal adalah untuk menghalang jenazah dari terbalik sambil tetap di dalam kubur. Kali kedua dia hulur lagi tanah yang dikepal-kepal sambil dibaca-baca itu. Orang-orang lain pun sudah buat perkara yang sama.

Ayahaji kata: “Cukuplah tanah-tanah itu. Ini bukan ajaran nabi kita. Tidak boleh hendak halang azab Allah kerana baca-baca pada tanah ini.”

Mereka terkejut belaka. Mereka pun mula tiada (hilang) seorang demi seorang daripada kubur itu. Akhirnya tinggal Ayahaji, ustaz Solah serta 3 orang pelajar ustaz Solah yang menimbus tanah kubur itu.

Pelajar A: Mereka semua pakat lari ya Ayahaji?

Ustaz Rosman@Ayahaji: Memang lari pasal/kerana suara Ayahaji dari dalam kubur. Ayahaji dengan jubah putih hampir satu jam hendak timbus kubur yang menjadi besar kerana tanah pasir dan dalam. Bila sudah siap ada orang hendak buat tahlil.

Ayahaji kata: “Tak payah. Bukan ajaran nabi ini”

Datang seseorang dengan anak perempuan arwah sambil membawa bekas air.

Ayahaji tanya sepupu perempuan itu. “Apa air ni?”(ini air apa?) Dia jawab untuk disiram pada kubur.

Ayahaji kata:”Arwah dah tak boleh minum sebab dah mati. Siapa ajar pada Nur ni?”

Dia tunjuk kepada jirannya itu.

Ayahaji kata: “Janganlah ajar kepada sepupu saya perkara yang salah. Ajarlah dia yang baik-baik”

Masya Allah! Mereka semua lari kerana Ayahaji ikut sunnah. Biarkan kami 5 orang timbus kubur yang besar. Jiran-jirannya ghaib.
Pelajar B: Masya Allah! Susah hendak jaga/pelihara sunnah.

Ustaz Rosman@Ayahaji: Keluarga ayahaji pesan sesama mereka. “ Kita jangan beritahu Haji Man kalau keluarga kita mati. Beritahu esoknya selepas ditanam. Serabut kita.”

Berita itu sampai juga kepada Ayahaji. Ayahaji tidak peduli. Semoga menjadi sesuatu (manfaat) untuk semua pelajar-pelajar Ayahaji. Semoga Allah SWT hidupkan sunnah Rasulullah SAW di bumi kita ini.

Apabila kebenaran itu sampai akan hancurlah kebatilan.(Al-Quran.) Bila kita berani buat sahaja mereka pula yang mula takut. Tetapi jika kita tunjuk takut, Allah SWT buat mereka berani dengan kita yang penakut hendak tegakkan HAQ Allah SWT.

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

dan Katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. [QS.al-Isra’ :81]

Daripada maksud hadis:

Akan ada suatu masa, satu kumpulan yang kecil sahaja. Aku tidak baca ayat-ayat Al-Quran kepada mereka dan kamu sahabat-sahabat juga tidak baca ayat-ayat Al-Quran kepada mereka. Aku tidak baca hadis-hadisku kepada mereka dan kamu sahabat-sahabatku tidak baca hadis-hadisku kepada mereka. Mereka hanya percaya sungguh Al-Quran dan Hadis. Tiada siapa yang membantu mereka kecuali Allah SWT. Mereka itu terasing daripada masyarakat. Ibadat-ibadat mereka 50x (lima puluh kali) ganda daripada ibadat-ibadat kamu sahabat-sahabatku. Mereka menyediakan jalan bagi orang-orang yang kemudian.
Isu tanah-tanah yang dikepal-kepal menurut loghat kelantan. Maksudnya, mereka ambil tanah dan baca ayat-ayat tertentu pada tanah itu supaya orang mati itu tidak diazab di dalam kubur bila diletakkan pada mayat. Itu ajaran tok guru bukan ajaran Rasullullah SAW.

Itulah bid’ah.

Wallahu a’lam.

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-26

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-26

Latar belakang ayat: Ayat ini adalah jawapan bagi kesamaran kedua yang ada pada Musyrikin Mekah dan mereka yang tidak beriman dengan Al-Quran.

Kesamaran pertama: kita telah belajar bagaimana mereka tidak yakin bahawa Al-Quran itu dari Allah SWT. Maka, Allah SWT telah mencabar mereka untuk buat suatu surah yang sama dengan Al-Quran. Sudah tentu mereka tidak boleh buat.

Kesamaran kedua: Manusia apabila mereka tidak boleh lawan dengan menggunakan hujah, mereka mula akan menghina. Mereka beri gelaran untuk menghina dan memberi aib. Ini datang dari bisikan syaitan. Ini adalah sifat manusia yang mudah termakan dengan bisikan syaitan.

Seperti zaman sekarang, apabila ada yang tidak dapat berhujah dengan golongan yang sunnah, mereka akan beri gelaran wahabi kepada mereka. Berilah berbagai-bagai-bagai dalil akhirnya mereka akan kata, “Ah!puak wahabi memang begitu!”.

Selepas tidak dapat mendatangkan surah yang sama seperti Al-Quran, puak kafir Mekah telah mengkritik Al-Quran. Mereka kata ada kekurangan dalam Al-Quran. Namun hujah mereka itu amat lemah sekali. Mereka tidak peduli kerana pada mereka asal sahaja mereka dapat mengkritik. Tidak peduli sama ada kritikan itu bijak atau tidak.

Oleh yang demikian, orang yang degil akan menggunakan kata-kata yang buruk apabila mereka tiada hujah. Mereka hendak burukkan juga perkara yang benar supaya ditolak oleh manusia yang lain. Mereka hendak jatuhkan juga orang lain dengan cara memburukkan individu yang memberi hujah tersebut.

Jadi, ayat ini adalah kritikan mereka yang jahil untuk mencela Al-Quran.

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini, sama ada Musyrikin Mekah atau Yahudi, sememangnya mereka tidak boleh lawan hujah-hujah kuat yang diberikan oleh Allah. Maka, Musyrikin Mekah yang kehabisan idea telah pergi ke Madinah (yang bernama Yathrib waktu itu) untuk berjumpa dengan pendita-pendita Yahudi dengan tujuan untuk mencari hujah untuk melawan dan mengalahkan Nabi Muhammad SAW dan bukannya untuk mencari kebenaran.

Apabila Musyirikin Mekah berjumpa dengan ahli kitab, ahli kitab pun mengambil kesempatan ke atas mereka. Ahli Kitab telah nampak bahawa ini adalah ruang dan peluang untuk menjatuhkan Islam dari dalam kerana mereka tahu Musyrikin Mekah itu adalah jenis tidak ada kitab dan jahil. Ahli kitab ini boleh bercakap apa sahaja dan akan dipercayai oleh Musyrikin Mekah itu.

Maka, ahli kitab ini telah membuat kajian tentang ayat-ayat Al-Quran yang Nabi sampaikan itu. Mereka kata dalam ayat-ayat itu ada perumpamaan tentang lalat, lebah, labah-labah dan nyamuk. Mereka pun beritahu kepada Musyrikin Mekah yang datang itu bahawa tidak layak jika Kalam Allah menggunakan perumpamaan yang remeh temeh macam itu. Mana mungkin Allah yang Maha Mulia dan Maha Besar itu menggunakan benda-benda kecil sebagai contoh! Maka Yahudi kata, Al-Quran itu pastinya bukanlah Kalam Allah.

Musyrikin Mekah itu pun membawa balik apa yang diberitahu oleh Yahudi itu dan menjajakan kisah itu di Mekah. Tujuannya adalah untuk menjatuhkan Nabi Muhammad SAW. Inilah nasib orang jahil yang tiada neraca untuk membandingkan antara perkara yang benar dan yang salah.

Mereka hanya ikut apa yang orang kata dan percaya bulat-bulat walaupun hujah yang diberikan itu tidak kuat. Maka, berpeluanglah Yahudi untuk cuba menjatuhkan Islam melalui penduduk Mekah.

Ataupun mungkin juga Musyrikin Mekah sendiri dengar ayat-ayat Al-Quran tentang perumpamaan itu dan mereka kritik terus sebab mereka memang hendak menolaknya. Jadi, sama ada mereka diberi idea oleh Yahudi atau mereka sendiri yang dapat idea itu (dibisikkan oleh syaitan).

Begitulah latar belakang ayat ini. Inilah kepentingan belajar tafsir, supaya kita dapat tahu apakah latar belakang ayat kerana jika tidak, agak sukar hendak memahaminya jika baca sendiri.

إِنَّ اللَّهَ لا يَستَحيي أَن يَضرِبَ مَثَلًا

“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja”,

Maka Allah SWT telah memberi jawapan dalam ayat ini tentang kesamaran mereka itu. Allah SWT tidak malu untuk menggunakan bandingan dengan makhluk yang kecil supaya bandingan itu dapat memberi hidayah kepada manusia dan memberi kesan kepada pemahaman manusia. Allah SWT tidak kisah hendak mengajar makhluk-Nya dengan menggunakan makhluk-Nya sekecil mana pun.

Menggunakan perumpamaan adalah salah satu cara yang berkesan untuk mengajar manusia. Allah SWT tahu diri kita maka, Allah SWT sudah jadikan satu cara belajar, iaitu untuk kita beri pemahaman tentang perkara yang baru, kita bandingkan dengan perkara yang mereka telah tahu.

Sebagai contoh, kita hendak ajar anak kita tentang kabinet kerajaan. Kita gunakan hierarki dalam keluarga kerana mereka sudah faham tentang keluarga kita. Kita kata kepadanya: “Perdana menteri itu macam abahlah dan Timbalan Perdana Menteri itu macam ibu” dan sebagainya. Maka, banyak ayat-ayat bandingan atau analogi yang digunakan di dalam Al-Quran.

ما بَعوضَةً فَما فَوقَها

“(seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih kecil daripadanya”.

Allah juga ada menggunakan contoh-contoh binatang kecil yang lain seperti lalat. Bagaimanakah Allah gunakan lalat sebagai perumpamaan? Iaitu dengan menunjukkan betapa lemahnya sembahan mereka itu hinggakan tidak boleh hendak halau lalat yang singgah padanya. Allah SWT hendak tunjuk betapa bodohnya mereka.

Labah-labah pula dijadikan sebagai perumpamaan lemahnya pergantungan mereka kepada sembahan mereka yang selain Allah SWT. Ianya seperti sarang labah-labah, malah lebih teruk lagi.

Allah SWT tidak malu, sebab semua itu Dia juga yang cipta. Manusia tidak boleh cipta sayap nyamuk pun. Memang ada lagi makhluk yang lebih kecil dari nyamuk. Hadis Nabi berkenaan dengan sebelah sayap iaitu lebih kecil lagi daripada keseluruhan badan nyamuk.

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Seandainya dunia ini sama nilainya dengan sayap nyamuk di sisi Allah SWT, nescaya Dia tidak akan memberikan minuman dari dunia itu kepada orang kafir, meskipun hanya seteguk air” (HR. Tirmidzi. Syeikh Albani menshahihkan hadis ini).

Mereka sangka nyamuk itu benda kecil, tetapi sekecil-kecil nyamuk, kalau kita tidur dia kacau, boleh tidak tidur jadinya.

Sekecil-kecil nyamuk, bila bawa virus malaria, satu negara boleh hapus.

Sekecil-kecil nyamuk, jika bawa denggi, satu keluarga, satu kampung boleh demam.

Sekecil-kecil nyamuk, entah berapa ramai yang dapat rezeki kerana nyamuk – berniaga buat kelambu, buat ubat nyamuk, klinik dan hospital yang jaga orang demam dan bermacam lagi.

فَأَمَّا الَّذينَ آمَنوا فَيَعلَمونَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَبِّهِم

“orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka”.

Disebabkan mereka beriman, mereka terima bahawa perumpamaan itu dari Allah SWT. Walaupun mereka mungkin tidak faham dengan perumpamaan itu kerana untuk memahami sesuatu misalan yang dibuat oleh Allah SWT, memerlukan intelek dan pengajian juga. Kena belajar dengan orang yang sudah tahu. Bila diberitahu persamaan antara kedua perumpamaan itu, barulah kita, “Oh! itu maksudnya.”

Perumpamaan itu penting untuk diketahui kerana ada sebab yang hendak disampaikan oleh Allah SWT. Kadangkala perumpamaan itu tidak jelas kepada yang tidak belajar. Walaupun seorang mukmin itu tidak faham apakah maksud perumpamaan Allah SWT itu, tetapi dia terima bahawa itu adalah dari-Nya. Mereka terima seadanya namun, tetap juga kena belajar kerana sampai bila hendak jadi jahil?

وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَيَقولونَ ماذا أَرادَ اللَّهُ بِهٰذا مَثَلًا

“dan orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?”

Orang yang baca Al-Quran ini ada beberapa jenis. Ada yang baca untuk mencari kebenaran, maka mereka akan mendapat maklumat yang akan menguatkan iman mereka; dan ada yang membaca sebab hendak menolaknya, maka mereka akan berjumpa dengan sesuatu yang dia rasa sebagai hujah untuk menolak Al-Quran itu. Jika belajar Al-Quran untuk tolak, maka seseorang itu akan sesat, tetapi jika baca sebab hendak faham dan ikut maka, Allah akan beri hidayah kepada orang itu.

Amat berbahaya jika sebelum baca Al-Quran, mereka sudah ada pemahaman yang salah. Jadi, bila mereka baca Al-Quran, mereka ‘jumpa’ pula hujah mereka untuk menyokong fahaman salah mereka itu. Pernah saya membaca pendapat seorang gay. Bila dia baca Al-Quran, dia kata ada pula ayat-ayat Al-Quran yang mengatakan dalam syurga nanti Allah akan beri budak-budak lelaki untuk ahli syurga!

يُضِلُّ بِهِ كَثيرًا

“Dengan Al-Quran itu boleh menyesatkan kebanyakan manusia”.

Sama ada dimaksudkan dengan perumpamaan itu atau dengan Al-Quran sendiri, boleh menyebabkan orang menjadi sesat kerana pada asalnya mereka memang tidak beriman. Ada orang yang tidak belajar tafsir Al-Quran dengan benar, maka mereka tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah SWT. Mereka cuba hendak faham sendiri dan fahaman itu salah. Ataupun mereka diajar oleh guru yang tidak juga belajar tafsir Al-Quran, maka mereka akan tersesat. Itulah bahayanya kalau faham Al-Quran bukan dengan cara pemahaman para sahabat dan salafussoleh. Kita pun banyak dengar tentang golongan Anti-Hadis, bukan? Itulah mereka yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran sendiri untuk menyokong hujah sesat mereka. Ada banyak lagi golongan lain sebenarnya.

وَيَهدي بِهِ كَثيرًا

 “Dan dengan Al-Quran juga boleh memberi hidayat kepada ramai manusia”.

Kalau seseorang itu membaca Al-Quran kerana hendak mencari kebenaran, orang yang baca Al-Quran akan berjumpa dengan kebenaran tersebut. Berapa banyak kita dengar kisah orang kafir, diberikan dengan Al-Quran, mereka baca sendiri dan mereka jumpa kebenaran di dalamnya. Allah SWT beri mereka faham kerana mereka ada keinginan ke arah tersebut. Jika hati sudah mahu kepada kebenaran, Allah akan bawa orang itu sedikit demi sedikit kepada kebenaran.

وَما يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الفاسِقينَ

“dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab Al-Quran itu melainkan orang- orang yang fasik”.

Allah tidak akan menyesatkan seseorang dengan Al-Quran, melainkan kepada orang yang fasik iaitu yang memang hendak tolak Al-Quran. Fasik itu bermaksud keluar dari taat, iaitu mereka yang tidak mahu ikut wahyu. Dalam hati mereka memang sudah ada kejahatan, hendak puaskan nafsu dia sahaja, memang mereka akan jadi sesat. Orang-orang sebegini kerana mereka hendak sesat, maka Allah beri mereka peluang untuk menjadi sesat.

Allahu a’lam.

Hadis 58: Bai’ah Dan Belahan Baju Rasulullah SAW

0

Panel: ADÖULINÉ Lacharouphe

58- حَدَّثَنَا أَبُو عَمَّارٍ الْحُسَيْنُ بْنُ حُرَيْثٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا زُهَيْرٌ، عَنْ عُرْوَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ قُشَيْرٍ، عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَهْطٍ مِنْ مُزَيْنَةَ لِنُبَايِعَهُ، وَإِنَّ قَمِيصَهُ لَمُطْلَقٌ، أَوْ قَالَ: زِرُّ قَمِيصِهِ مُطْلَقٌ. قَالَ: فَأَدْخَلْتُ يَدِي فِي جَيْبِ قَمِيصِهِ فَمَسَسْتُ الْخَاتَمَ.

58- Telah bercerita kepada kami Abu `Ammar Al-Husayn bin Hurays, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu Nu`aym, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Zuhayr, daripada `Urwah bin `Abdi Llah bin Qusyayr, daripada Mu`awiyah bin Qurrah, daripada bapanya, dia berkata:

Saya telah mendatangi Rasula Llah pada sekumpulan daripada Muzaynah untuk kami membai`ahnya, dan sesungguhnya qamisnya sungguh adalah terbuka, atau dia berkata: Butang qamisnya terbuka. Dia berkata: Maka saya telah memasukkan tangan saya ke dalam bukaan dada qamisnya dan saya telah menyentuh khatam.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menceritakan tentang Qurrah bin Iyas Al-Muzaniy yang datang kepada Rasulu Llah untuk membai`ahnya. Bai`ah ialah sesuatu yang penting dalam Islam. Ini kerana pemimpin sesebuah negara, dia memerlukan mandat dan sokongan daripada rakyat di bawahnya. Justeru, setiap wakil rakyat hendaklah datang dan membai`ah pemimpin negara yang dilantik.

Bai`ah ini ialah perjanjian untuk menta`ati pemimpin dalam segala hal, kecuali maksiat kepada Allah. Bai`ah ialah suatu akujanji atau sumpah setia kepada seorang pemimpin sehingga pemimpin itu mati, atau dia melepaskan jawatannya kepada orang lain. Bai`ah dilakukan dengan kata-kata – iaitu ucapan bai`ah – dan perbuatan – iaitu bersalaman –. Untuk wanita, bai`ah dilakukan hanya dengan kata-kata sahaja. Dengan berbai`ah, setiap wakil rakyat – sekali gus setiap rakyat – sebenarnya telah berjanji untuk menta`ati pemimpin yang dilantik itu, dalam segala keputusan dan tindakannya.

Apabila setiap muslim mengetahuï dengan jelas tentang bai`ah, maka mereka akan bersatu di bawah satu panji dan di bawah satu kepimpinan, seterusnya mewujudkan satu ummah yang bersatu. Pemimpin akan memimpin rakyat – dengan `adilnya atau zalimnya – dan dia akan dipatuhi dan dita`ati selagi tidak menyuruh melakukan maksiat kepada Allah. Dalam sistem ini, para `ulama’, atau mufti, atau ilmuwan akan berperanan untuk menasihati pemimpin, dan apa juga yang diputuskan dan dilakukan oleh pemimpin itu, adalah urusannya dengan Tuhan untuk dihisab di akhirat. Sebagai wakil rakyat – sekali gus semua rakyat –, mereka akan ta`at dan terus berada di bawah satu kesatuan ummah.

Umat Islam tidak boleh mengkhianati pemimpin yang dilantik. Mereka tidak boleh keluar memberontak atau memprotes pemimpin yang telah dibai`ah oleh wakil rakyat. Justeru, perbuatan keluar ke jalan-jalan untuk menurunkan atau memecat pemimpin adalah haram dan tidak menepati ajaran Islam, walaupun pemimpin itu zalim dan menyusahkan rakyat. Jika ada sesiapa yang mengajak rakyat keluar memerangi, memprotes atau memberontak terhadap pemimpin, maka ketahuïlah bahawa orang – atau pihak – itu ialah syaytan yang berhasrat meruntuhkan kesatuan ummah dan kedaulatan Islam.

Rakyat hendaklah bersabar, dan menyampaikan permasalahan mereka kepada wakil rakyat atau para `ulama’, yang akan menegur dan memandu pemimpin yang dibai`ah.

Dalam hadis ini, Qurrah bin Iyas Al-Muzaniy menyebut bahawa qamis Nabi adalah terbuka, iaitu di bahagian lehernya. Disebut dalam ayat berikutnya, (atau butang qamisnya terbuka), dan ini menunjukkan bahawa qamis Nabi mempunyaï belahan di bahagian lehernya, seperti baju Melayu. Belahan di leher ini adalah bahagian untuk memasukkan kepala dan mengeluarkannya. Pada bahagian itu terdapat belahan sehingga ke dada.

Disebut dalam hadis ini bahawa Nabi tidak membutang atau mengancing butang lehernya, justeru, belahan dadanya adalah terbuka. Ini menunjukkan bahawa perbuatan sesetengah orang yang tidak mengancing butang lehernya sehingga ke atas – dan kita menyangka bahawa mereka ialah orang yang bermasalah dan tidak berdisiplin dalam berpakaian – adalah lebih menepati sunnah, daripada mereka yang membutang lehernya sehingga ke atas.

Bukaan di dada qamis itu adalah cukup luas sehingga Qurrah bin Iyas Al-Muzaniy boleh memasukkan tangannya ke dalam baju Nabi dan menyentuh bahagian belakang dada Nabi, iaitu di bahagian khatam atau mohor kenabian yang terletak di antara dua bahunya.

Hadis ini juga mengisyaratkan bahawa sebelum membai`ah Nabi, Qurrah bin Iyas Al-Muzaniy telah mengetahuï tentang kewujudan mohor kenabian tersebut, dan ketika dia membai`ah, dia mengambil kesempatan untuk menyentuh – tanpa melihat – mohor tersebut. Justeru, wakil rakyat yang ingin membai`ah seseorang pemimpin, mereka hendaklah tahu dan mengenali pemimpin yang akan dibai`ah, bukanlah mereka membai`ah orang yang tidak dikenali. Walaupun sedikit, mereka hendaklah tahu tentang pemimpin tersebut, sekurang-kurangnya secara umum.

Sebagai pemimpin pula, kadangkala, untuk seseorang membai`ah mereka memerlukan sesuatu sebagai bukti, atau untuk meyakinkan diri mereka. Justeru, ketika itu, pemimpin bolehlah menunjukkan atau membuktikan diri mereka, contohnya jika wakil rakyat itu ingin melihat sijilnya – untuk membuktikan tahap pendidikannya – maka dia hendaklah menunjukkannya. Atau jika wakil rakyat itu ingin melihat kepalanya tanpa perhiasan kepala – untuk membuktikan kemudaan tanpa ubannya – maka hendaklah pemimpin itu membuka dan menanggalkan kopiahnya atau songkoknya atau serbannya atau apa-apa perhiasan kepalanya. Ketika itu, pemimpin tidak harus berasa malu, atau dipermainkan, atau dihina, kerana ini ialah haq seorang wakil rakyat sebelum membai`ah, selagi mereka tidak meminta apa yang tidak dibenarkan oleh syara`.

Disebut dalam Musnad Ahmad, sebagai sambungan kepada hadis ini:

قَالَ عُرْوَةُ: فَمَا رَأَيْتُ مُعَاوِيَةَ وَلَا ابْنَهُ، شِتَاءً وَلَا حَرًّا، إِلَّا مُطْلِقَيْ أَزْرَارِهِمَا، لَا يَزُرَّانِ أَبَدًا

Berkata `Urwah: Maka saya tidak melihat Mu`awiyah dan tidak anaknya, ketika musim sejuk dan tidak ketika panas, melainkan kedua-duanya terbuka butang-butang mereka berdua, mereka berdua tidak mengancing selama-lamanya.

Ini menunjukkan bagaimana perkara sekecil tidak mengancing butang leher telah diambil dan dijadikan sebagai amalan oleh Mu`awiyah bin Qurrah dan anaknya, sebagai tanda cinta mereka kepada Nabi dan sunnah Nabi. Justeru, marilah kita bersama-sama membaca tentang Nabi dan menghayati riwayat tentang kehidupannya, agar kita dapat mengikut dan menuruti apa yang dilakukan oleh Nabi sebagai sunnahnya, dan meninggalkan apa yang tidak dilakukan oleh Nabi. Semoga kita lebih dekat dengan sunnah Nabi dan akan terhindar daripada bid`ah atau rekaan yang tidak berasal daripada Nabi.

*******
*******
*******

.

Tafsir Surah Al-Bayyinah – Tafsir Ayat Ke-3 & Ke-4

0

Tafsir Surah Al-Bayyinah

 Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

1.Bukti dan dalil berkaitan dua elemen dalam Al-Bayyinah.

2. Sifat Nabi SAW yang berakhlak dengan Al-Quran.

3. Sifat Al-Quran yang disucikan, memberi isyarat supaya kita mengikut jalan tersebut.

Seterusnya kita akan meneruskan perbincangan bagi sambungan seterusnya dengan ayat ke-3. Sebenarnya perbincangan ayat ke-2, ke-3 dan ke-4 masih membincangkan sekitar perkara yang sama.

Menjelaskan sifat Al-Bayyinah ( Al-Quran dan Rasul ) itu sebagai:

Mutohharah ( Suci )

Kerana itu perlu ada tatacara untuk berada dengan Al-Quran. Contoh umum : dengan menjaga diri dari hadas, bacaan yang terdapat hukum tajwid dan lain-lain.

Qayyimah ( Lurus )

Sifat Al-Bayyinah tersebut lurus membawa manusia kembali kepada Allah SWT.

Penyatuan

Kerana isyarat dari Allah SWT menyatakan kepada mereka yang sebaliknya ( Ahli Kitab yang tidak beriman ), menjadi pecah belah disebabkan dalil ( petunjuk ) Allah yang turut menceritakan perihal kitab dan diri mereka.

Tafsir Ayat Ke-3:

فيها كُتُبٌ قَيِّمَةٌ

“di dalamnya terdapat (isi) Kitab-kitab yang lurus”.

كُتُبٌ

Perkataan “Kutub” dipanggil ‘kitab-kitab’ dalam Bahasa Arab.

Di sini ia juga boleh digunakan dengan maksud hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

Kerana itu kita dapat melihat banyak dalil ( hukum ) menggunakan kalimah dr huruf : Kaf – Ta – Ba ini

فيها كُتُبٌ

“di dalamnya terdapat Kitab-kitab ( isi kandungan yang pelbagai).”

Boleh difahami maksud ayat di sini:

Terdapat di dalamnya hukum, dan perkara lain yang menjadi panduan kepada manusia sepanjang zaman. Kerana itu ia berbunyi “kutub”

قَيِّمَةٌ

“yang lurus…”

Ia bermaksud tegak, teguh, berdiri lurus. Ia juga bermaksud boleh meluruskan benda yang tidak lurus. Sememangnya jalan kembali kepada Allah SWT untuk lurus, hanya manusia sahaja yang kadang-kadang tersesat mengikut jalan yang salah.

Tafsir Ayat Ke-4:

وَما تَفَرَّقَ الَّذينَ أوتُوا الكِتابَ إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّنَةُ

 “Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab ( kepada mereka ) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata”.

Sebelum kita bahaskan ayat ini, perlu kita ulangkaji pelajaran ayat yang pertama kerana ayat ke-4 ini sangat dekat perbincangan dengan ayat yang pertama, iaitu firman Allah SWT :

لَم يَكُنِ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتابِ وَالمُشرِكينَ مُنفَكّينَ حَتّىٰ تَأتِيَهُمُ البَيِّنَةُ

 “Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata”,

Dalam ayat pertama : Allah SWT memberitahu kita bahawa Ahli Kitab dan Musyrikin tidak akan meninggalkan amalan dan fahaman mereka, selagi tidak sampai kebenaran ( bukti yang nyata ) kepada mereka.

Namun ayat ke-4 sekali lagi Allah SWT memperlihatkan keadaan yang “lebih khusus” kepada kita:

وَما تَفَرَّقَ

“Dan tidaklah berpecah belah..”

Sebenarnya bukanlah tiada langsung dari kalangan Ahli Kitab ( Yahudi dan Nasrani ) yang memasuki agama Islam, bahkan sebenarnya ada yang menyahut seruan Nabi SAW.

Firman Allah SWT di dalam Surah [Al-Ankabut: 46]

وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ فَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمِنْ هَٰؤُلَاءِ مَن يُؤْمِنُ بِهِ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا الْكَافِرُونَ

 Dan demikianlah Kami turunkan pula kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Al-Quran ini. Maka orang-orang yang Kami berikan Kitab ( Taurat dan Injil ) ada yang beriman kepada Al-Quran, dan juga sebahagian dari orang-orang beriman kepadanya; dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang berdegil dalam kekufurannya.

 Contoh:

1.Dari kalangan Nasrani : Raja Najasyi ( Habsyah )

Dalam Sirah, Raja Najasyi menyembunyikan keislaman beliau. Akan tetapi akhirnya diketahui akan agamanya apabila Nabi SAW menyeru umat Islam pada masa tersebut melakukan solat jenazah ghaib bersama Baginda SAW ( mafhum HR Bukhari ).

2. Dari kalangan Yahudi : Abdullah Bin Salam

Abdullah bin Salam awalnya adalah seorang pemimpin agama Yahudi di Madinah. Sebagai seorang pemimpin agama Yahudi, beliau mengetahui isi kandungan dari Taurat.

Oleh kerana itu, beliau mengetahui akan hadirnya nabi yang terakhir. Maka setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW, beliau pun memeluk agama Islam.

Beliau juga mengajak kaumnya ( dari kalangan Yahudi ) untuk mempercayai kerasulan Nabi Muhammad SAW, tetapi kaumnya menolak dan menganggap Abdullah bin Salam sebagai pembohong, kerana memeluk agama Islam.

أوتُوا الكِتابَ

Sedikit perbincangan balaghah ( ilmu Bahasa Arab ):

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini ( أُوتُوا الْكِتَابَ ) bermaksud :

“Yang telah diberikan dengan kitab wahyu…”

Ia dalam bentuk “mabni alal majhul” ( berbentuk pasif : kerana tidak diberitahu siapakah yang telah memberi Kitab kepada mereka ) dan inilah kalimah yang selalu kita baca dalam Al-Quran.

Ia merujuk kepada Ahli Kitab ( Yahudi dan Nasrani ) kerana mereka telah diberikan dengan Kitab Wahyu (Taurat dan Injil).

Ia selalunya bermakna mereka sedang disebut dalam konteks yang negatif – ada perkara yang tidak baik yang mereka lakukan dan Allah sedang murka dengan mereka.

Kalimah lain yang lebih kurang sama juga digunakan untuk merujuk kepada mereka juga dengan berbunyi ( آتَيْنَاهُمَا الْكِتَابَ )

“Mereka yang telah Kami berikan Kitab…”

Selalunya ia digunakan dalam bentuk positif, ada perbuatan mereka yang baik dan ada perkara baik yang akan disebut tentang mereka.

ada “Naa” dekat situ yang bermaksud “Kami”

Kalau diperhatikan, hanya Ahli Kitab SAHAJA yang disebut dalam ayat ini, sedangkan dalam Ayat Pertama sebelum ini, golongan Musyrikin pun juga disebut.

Mengapa hanya disebut Ahli Kitab sahaja dalam ayat ini?

Jadi ayat ini khusus memperkatakan tentang kesalahan yang dilakukan oleh “Ahli Kitab” berkenaan Al-Bayyinah itu. Kita kena ingat kembali bahawa mereka itu telah ada kitab sebelum Al-Quran. Namun mereka telah berpecah jauh dari ajaran yang benar setelah Rasul mereka tiada. Maka, sepatutnya apabila datang Nabi Akhir Zaman, ia menjadi ikutan mereka dan mendekatkan kembali mereka kepada kebenaran.

Pada ayat ini, Allah SWT ingin memberikan pengajaran kepada kita yang telah menerima wahyu ( Al Al-Quran ) agar tidak menjadi seperti Ahli Kitab kerana sepatutnya kita yang telah memperoleh petunjuk dari Allah SWT akan lebih mudah untuk taat dan mendekati Allah SWT. Adapun orang Kafir Musyrik tidak sama dengan golongan seperti orang mendapat Al-Kitab.

Ini kerana hujah mereka pun hanya berdasarkan ikut-ikutan semata.

Dalilnya:

Firman Allah SWT di dalam Surah [Az Zukhruf: 21 – 22].

أَمْ آتَيْنَاهُمْ كِتَابًا مِّن قَبْلِهِ فَهُم بِهِ مُسْتَمْسِكُونَ

 “Pernahkah Kami memberikan mereka sebelum Al-Quran ini sebuah Kitab (yang membenarkan dakwaan mereka), lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu”?

 بَلْ قَالُوا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِم مُّهْتَدُونَ

 “(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

 Ibrah dan kesimpulan: 

1. Dalam ayat ini, Allah SWT mengingatkan kita agar mengikuti apa yang diwahyukan Allah SWT iaitu Al-Quran! Dengan itu, kita sepatutnya akan bersatu dan berada di bawah petunjuk yang sama.

Macam main bola, ada 11 orang pemain dalam satu kumpulan. Tetapi jika semua mengikut model strategi yang sama, maka kita tetap bersatu walaupun dalam posisi yang berbeza.

2. Janganlah jadi seperti ahli kitab, yang telah memiliki ilmu pengetahuan. Namun tetap ingkar terhadap seruan kerana “takut” melepaskan kepentingan serta mempunyai hasad dengki pula kepada pembawa kebenaran.

3. Sesungguhnya kaum musyrikin apatah lagi, mereka lebih buruk dan malang. Kerana langsung tiada ilmu dan pedoman. Sehingga Allah SWT sendiri “tidak mahu” berbicara tentang hal mereka lagi pada ayat ke-4. Maksudnya, kalau kita termasuk perangai atau sifat ini, jawapannya kita lebih teruk dari geng ahli Kitab.

Fitnah akhir zaman kena sentiasa ingat untuk jaga diri dan keluarga. Ibarat dalam keadaan berjaga-jaga apa sahaja isu, hal “nak sokong negara yang mana betul” atau apa-apa, kita lihat semula diri kita dengan Al-Quran. Zaman Rasulullah SAW bila mana ada masalah besar, semua orang tunggu apa yang Rasulullah SAW hendak cakap sama ada Al-Quran atau Hadis.

Allahu a’lam.

 

Jangan Seru, Sembah, Zikir selain daripada Allah SWT

0

Jangan Seru, Sembah, Zikir selain Allah

Ustaz Rosman@Ayahaji:

وَمَن يَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ لَا بُرْهَانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّمَا حِسَابُهُ عِندَ رَبِّهِ (QS 23:117) إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ

Dan barangsiapa menyembah tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalilpun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung.
[ Surah Al-Mu’minun 23:117 ].

Tafsir:

Dan sesiapa yang menyeru, memuja, berzikir, beribadat atau menyamakan Allah dengan pujaan lain dan dia pula tidak boleh membawa bukti tentangnya, maka sesungguhnya hisab amal mereka di sisi Allah tidak akan berjaya bagi orang-orang yang ingkar. Tiada nama Allah SWT bersama Nabi Muhammad SAW di Masjidil haram, tiada juga di Masjid Nabawi. Hanya ada nama Allah SWT bersama Nabi Muhammad SAW di Malaysia sahaja.

Kita tidak mengantung nama Agong bersama Perdana Menteri juga tiada gambar Sultan bersama Menteri Besar. Gambar-gambar mereka digantung di bawah gambar Agong atau Sultan namun kita pula tergamak letak nama Allah SWT bersama Rasulullah SAW dan diletakkan sama tinggi pula. Ianya ada di semua masjid-masjid, surau-surau dan mimbar-mimbar. Masa kini, bagi setengah-tengah orang yang jahil, mereka menganggap Rasulullah SAW seolah-olah ada kuasa tuhan pula. Oleh sebab itulah mereka bertawassul dengan Rasulullah SAW sepertimana Kristian bertawassul dengan Nabi Isa AS. Kita perlu memperbetulkan kesamaran ini, kalau tidak suatu hari anak cucu kita menganggap Rasulullah SAW macam tuhan juga. Nauzubillah himinzaalik.

Perkara mengenai zikir bersama Nabi Muhammad SAW ini sudah berulangkali ayahaji ajar yakni jangan berbuat zikir bersama Nabi Muhammad SAW. Berzikir HANYA kepada Allah SWT sahaja. Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Tiada perintah dari Nabi Muhammad SAW supaya kita berzikir ‘Laailaahaillallah Muhamadur Rasulullah’. Yang ada ialah ‘Laailaahaillallah’ sahaja. Sesiapa yang berzikir kepada Allah SWT bersama dengan orang lain bermakna dia sudah syirik kepada Allah SWT.

Berpuluh-puluh lagi ayat-ayat lain mengenai bab ni. Perkara ini termasuk di dalam bab usyul tafsir. Jika tidak faham bab ini, maka ayat-ayat seperti di atas (Surah Al-Mu’minun 23:117) tidak akan faham.

Akibatnya ada tarekat yang baca ‘Laailaahaillallah Muhammadur Rasulullah, Fiikulilamhatin adadama wasiahu ilmulah’. Ini bukanlah ayat dari Al-Quran. Bukan juga dari hadis Nabi Muhammad SAW. Lafaznya nampak molek tetapi berzikir dengan wirid tersebut adalah zikir rekaan. Di dalamnya ada menyebut nama Allah SWT dan nama Nabi Muhammad SAW. Maka zikir ini zikir syirik kepada Allah SWT. Bidaah pada ugama Allah SWT. Berbohong pula kepada Allah SWT dengan mengatakan Allah SWT hendak beri pahala. Ini juga syirik kepada Allah SWT.

Tiada mana-mana hadis Nabi Muhammad SAW yang zikirnya ada nama Nabi Muhammad SAW. Semua nama Allah SWT sahaja. Maka patutlah kita jangan buat. Yang sudah buat, kita bertaubat sahaja. Insya Allah, DIA akan ampunkan.

Soalan:

Pelajar A:

Ayahaji, sejauh mana kah kita boleh menyebut nama Nabi Muhammad SAW di dalam doa sebagai mengambil berkat atas namanya?

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Pelajar A, tidak boleh mengambil berkat daripada Rasulullah SAW. Berkat hanya milik Allah SWT. Kita hanya berselawat kepada Nabi Muhammad SAW yakni membaca doa untuk baginda sahaja. Seperti kita membaca doa untuk kedua ibu bapa. Dengan doa itu Allah SWT akan beri berkat. Insya Allah.

Pelajar B:

Boleh Ayahaji cerita sedikit berkenaan guru Ayahaji yang memadam nama Nabi Muhammad SAW supaya tidak digandingkan dengan nama Allah SWT? Perkara ini memang masih samar-samar bagi ramai orang. Mereka kata: “kita tahu Nabi Muhammad SAW itu Rasul, bukannya kata Nabi Muhammad SAW itu sekutu tuhan”. Itulah kata-kata tanpa dalil hanya sangkaan sendiri sahaja.

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Pelajar B, guru ayahaji iaitu Maulana Nik Ahmad yang berada di Paya Purnama, dialah yang mengajar ayahaji berkenaan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu. Dialah yang mengajar ayahaji usyul tafsir yang dia panggil ‘masalatul Illah’ yakni kekeliruan dalam Ilah atau Tuhan.

Pelajar A:

Maka salahlah anggapan masyarakat bahawa apabila berdoa perlu ada selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Perintah Allah SWT kepada para malaikat dan manusia supaya berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. (maksudnya ‘harus’ lah ya jika berselawat ketika berdoa kepada Allah SWT?)

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Benar Pelajar A.

Pelajar A:

Meletakkan nama Nabi Muhammad SAW dalam doa kepada Allah SWT agar cepat dimakbulkan apakah syirik?

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Katakan lah Allah itu Maha Esa iaitu tiada berkongsi Allah SWT dengan sesiapa pun dalam pentadbiran kerajaan-Nya. Pelajar A, membaca selawat adalah membaca doa kepada Nabi Muhammad SAW selepas itu kita membaca doa apa yang menjadi hajat kita. Insya Allah dimakbulkan. Jangan sabitkan dengan membaca selawat nabi sebagai penyempurna hajat kita. Itulah yang dikatakan condong kepada syirik.

Pelajar A:

Apakah ada dalil membaca doa kepada Nabi Muhammad SAW (selawat) ketika kita berdoa atau termasuk kias pada firman Allah SWT supaya berselawat kepada Nabi Muhammad SAW?

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Boleh membaca selawat tetapi tidak semestinya. Seperti kita membaca doa buat ibu bapa, itu pun serupa.

Pelajar B:
Ayahaji, bolehkah ayahaji terangkan apa yang guru ayahaji ajar mengenai letak nama Nabi Muhammad SAW bersama nama Allah SWT?

Ustaz Rosman@Ayahaji:

Salam Pelajar B. Daripada gambar di atas adalah ketara nama Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW berada di peringkat yang sama tinggi dan di sebelah masing-masing. Perlu kita tahu bahawa Allah SWT adalah Tuhan kita dan Nabi Muhammad SAW adalah utusan-Nya sahaja. Nabi Muhammad SAW ditugaskan oleh Allah SWT untuk menyebarkan wahyu Allah SWT. Buat apa sahaja yang Allah SWT perintahkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Nabi Muhammad SAW tidak ada apa-apa kuasa, ilmu, rezeki, dan lain-lain melainkan apa-apa yang Allah SWT beri kepadanya. Nabi Muhammad SAW tidak ada kuasa menyembuhkan penyakit tetapi Allah SWT yang berkuasa. Nabi Muhammad SAW tidak tahu ilmu ghaib melainkan apa-apa ilmu yang Allah SWT telah beri kepadanya. Secara ringkasnya, apa sahaja yang Nabi Muhammad SAW ada semuanya daripada anugerah Allah SWT kepadanya.

Nabi Muhammad SAW bukan pencipta langit dan bumi. Bukan berkongsi kuasa dengan Allah SWT atas apa-apa kuasa Allah SWT. Nabi Muhammad SAW sendiri meminta rezeki daripada Allah SWT juga memohon kepada Allah SWT apabila Nabi Muhammad SAW sakit.
Kita pula, kerana kemuliaan sifat-sifat, kata-kata, budi pekerti Nabi Muhammad SAW, dan lain-lain, mula lupa bahawa Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang manusia seperti kita. Bezanya, Nabi Muhammad SAW diberi wahyu kita pula belajar wahyu itu.

Jangan kita memuja atau mendewakan Nabi Muhammad SAW lebih daripada sepatutnya sehingga kita membaca selawat ketika kita ambil ubat. Ini condong pada syirik. Jangan kita buat maulud yang tidak diajar Nabi Muhammad SAW atau diamalkan oleh para sahabat.

Berbalik pada gambar di atas, sudah ketara Nabi Muhammad SAW dipuja sehingga sama taraf dengan Allah SWT. Letak sama tinggi. Kita tidak letak gambar Perdana Menteri setaraf dengan Agong atau Menteri Besar setaraf dengan Sultan. Kita berasa tidak betul jika dibuat begitu tetapi kepada Nabi Muhammad SAW kita sanggup buat Nabi Muhammad SAW setaraf dengan Allah SWT. Ini ada hampir di semua masjid-masjid, surau-surau di Malaysia.

Tidak terdapat nama Nabi Muhammad SAW di masjidil haram, hanya nama Allah SWT. Di masjid Nabawi pula nama Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW diletakkan berasingan sebab Nabi Muhammad SAW tidak ada apa-apa kuasa Allah SWT.

Ini berlaku di serata Malaysia yakni di rumah-rumah, di jam-jam, di ukiran-ukiran juga di kedai-kedai. Semua ini amalan bidaah yang orang Malaysia buat bukan bangsa lain. Suatu hari orang kemudian akan kata Nabi Muhammad SAW ada kuasa sesuatu daripada Allah SWT. Lalu berhenti puja Allah SWT dan puja pula Nabi Muhammad SAW. Ini juga adalah jenis syirik kepada Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-15 dan Ke-16

0

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-15

Allah SWT menceritakan tentang Diri-Nya dan tentang Hari Kiamat.

رَفيعُ الدَّرَجاتِ ذُو العَرشِ يُلقِي الرّوحَ مِن أَمرِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ لِيُنذِرَ يَومَ التَّلاقِ

“Dia lah Yang Maha tinggi darjat kebesaran-Nya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan kekuasaan-Nya); Ia memberikan wahyu dari hal perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (yang telah dipilih menjadi Rasul-Nya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan”,

رَفيعُ الدَّرَجاتِ

“Dia lah Yang Maha tinggi darjat kedudukan-Nya”,

Allah SWTlah yang paling tinggi kedudukan-Nya. Tidak ada yang lebih tinggi darjat dari darjat Allah SWT.

Sudahlah Dia mempunyai darjat yang paling tinggi, Dialah juga yang menaikkan darjat seseorang yang dikehendaki-Nya. Maksudnya, Allah SWT akan naikkan darjat mereka yang membela tauhid. Allah SWT juga menaikkan darjat mereka yang ada ilmu.

ذُو العَرشِ

“yang mempunyai Arasy”

Arasy adalah makhluk Allah SWT yang paling besar dan hebat. Ia adalah makhluk Allah SWT yang paling tinggi. Allah SWT masukkan tentang Arasy dalam ayat ini kerana Allah SWT boleh naikkan darjat mereka yang membela tauhid.

Allah SWTlah tuan Arasy yang Maha Tinggi dan Maha Hebat itu. Oleh itu, kalau Arasy itu pun dipunyai oleh Allah SWT, maka Allah SWT itu sendiri tentu lebih hebat. Jadi, ayat ini untuk menceritakan keagungan dan kekuasaan-Nya.

يُلقِي الرّوحَ مِن أَمرِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ

“Dia memberikan wahyu dari perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya”,

Perkataan الرّوحَ boleh membawa banyak maksud. Bukan setakat ‘roh’ yang kita faham sahaja. Roh juga boleh bermaksud Malaikat Jibrail. Roh juga boleh bermaksud ‘Al-Quran’. Jadi, kena disesuaikan dengan ayat.

‘Roh’ dalam ayat ini bermaksud ‘wahyu’. Tidak ada khilaf di kalangan ulama tafsir, ‘roh’ dalam ayat ini, bermaksud ‘wahyu’. Wahyu itu diberikan dengan perintah-Nya, kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Allah SWTlah yang memilih sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima wahyu itu. Tidak ada sesiapa pun yang mempunyai hak untuk menentukan siapa yang mendapat wahyu itu. Allah SWT juga tidak tersalah pilih sesiapa yang dikehendaki-Nya itu. Jadi, tidak ada sesiapa yang layak mempersoalkan keputusan yang Allah SWT telah buat. Maka, salahlah pemahaman sesetengah golongan Syiah yang sampai sanggup mengatakan yang Jibrail telah tersalah pilih memberi wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka kata, Allah SWT suruh beri wahyu kepada Saidina Ali, tetapi Jibrail pula yang tersalah pilih beri wahyu kepada Nabi Muhammad SAW.

Semua makhluk adalah hamba-Nya, jadi ikut Allah SWT kepada siapa yang Dia hendak beri wahyu itu. Maka, salahlah juga puak Yahudi yang mempersoalkan Allah SWT kerana memberi wahyu dan pangkat kenabian kepada Nabi Muhammad SAW. Seperti yang kita telah tahu, mereka hanya mahu mengikut Nabi dari kalangan mereka sahaja. Oleh itu, apabila wahyu diberikan kepada bangsa Arab, mereka tidak dapat terima.

لِيُنذِرَ يَومَ التَّلاقِ

“supaya Ia memberi amaran tentang Hari Pertemuan”,

Apakah tujuan wahyu yang diturunkan kepada kita? Untuk mengingatkan kita kepada Hari Kiamat. Kerana rahmat-Nyalah kita diperingatkan dengan Hari itu. Memang banyak ayat Al-Quran yang mengingatkan kita tentang Hari Kiamat. Rasanya tidak ada satu muka surat dalam Al-Quran pun yang tidak menyebut tentang Hari Kiamat. Kerana ianya amat penting. Dan kita kena teruskan rahmat itu dengan menyampaikan ajaran tauhid ini kepada manusia. Kena beri peringatan kepada manusia tentang datangnya Hari Kiamat.

Kenapa Hari Kiamat dinamakan dengan ‘Hari Pertemuan’? Iaitu apabila manusia bertemu dengan amalan mereka yang telah mereka lakukan di dunia. Mereka akan dibalas berdasarkan amalan itu. Kalau amalan baik, akan dibalas baik; dan kalau amalan buruk, pun akan dibalas juga. Oleh itu, ingatlah yang amalan kita semasa di dunia, tidak akan hilang begitu sahaja. Kita akan berjumpa dengan amalan kita itu. Ada yang gembira dan ada yang menyesal pada hari itu.

Selain dari itu, manusia juga akan berjumpa sesama sendiri. Semua sekali akan berkumpul di satu tempat. Yang menzalimi akan bertemu dengan yang dizalimi. Kalau di dunia, bolehlah mereka selamat, tetapi di Hari Kiamat, mereka tidak akan selamat.

Ahli keluarga yang sudah lama tidak bertemu juga akan bertemu. Manusia juga akan bertemu dengan Nabi mereka. Sebagai contoh, kita akan dapat bertemu dengan Nabi Muhammad SAW di Telaga Kautsar kalau kita mengamalkan sunnah. Kalau amalkan bidaah, tidak ada harapan.

Pada hari itu, pertemuan itu juga bermaksud pertemuan dengan Allah SWT SWT. Bagaimana cara kita nak jumpa Allah SWT SWT? Adakah kita hendak bertemu dengan Allah SWT SWT dalam Allah SWT SWT suka kepada kita atau Allah SWT SWT benci kepada kita? Tentunya kita hendak Allah SWT SWT suka dengan kita, kasih kepada kita. Jika demikian, hendaklah kita menjalankan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Pada hari itu juga, roh akan bertemu kembali dengan tubuh badan.

Pada hari itu juga, penduduk bumi akan bertemu dengan penduduk langit. Selama hari ini, kita mendengar sahaja kisah mereka.

Mereka yang berbuat syirik juga akan bertemu dengan sembahan syirik mereka. Kalau menyembah wali, jin, maka mereka akan bertemu dengan wali dan jin mereka itu. Waktu itu mereka akan menyesal yang amat sangat. Sepatutnya mereka menyembah Allah SWT sahaja, tetapi mereka sembah entiti lain pula. Semua yang disembah itu tidak mengaku yang mereka pernah suruh manusia sembah mereka. Jadi rugilah segala perbuatan sembahan mereka kepada entiti-entiti itu.

Dari segi bahasa, wahyu adalah mesej yang diberikan secara rahsia. Iaitu mesej kepada seseorang tetapi orang lain tidak tahu.

Wahyu dalam ayat ini bermaksud mesej kepada para rasul yang berbentuk syariat agama.

Namun, dalam Al-Quran juga Allah SWT berfirman Dia wahyukan kepada ibu Nabi Musa a.s dan lebah.

Wahyu seperti ini bermaksud ‘ilham’. Ia bukan dalam bentuk syariat. Wahyu dalam bentuk ilham dan petunjuk kehidupan – untuk manusia. Malah binatang seperti lebah pun dapat.

Tafsir Ayat Ke-16:

Jumlah badaliah (penjelasan) kepada ayat sebelum ini. Bagaimana keadaan pada ‘Hari Pertemuan’ itu? Allah SWT beri gambarannya dalam ayat ini.

يَومَ هُم بارِزونَ ۖ لا يَخفىٰ عَلَى اللهِ مِنهُم شَيءٌ ۚ لِمَنِ المُلكُ اليَومَ ۖ ِللهِ الواحِدِ القَهّارِ

“Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah SWT sesuatu pun dari hal keadaan mereka. (Allah SWT berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? “Dikuasai oleh Allah SWT Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!”

يَوْمَ هُم بَارِزُونَ

“Pada hari mereka dibangkitkan”

Iaitu pada hari mereka dibangkitkan dari kubur masing-masing. Kalau tidak kubur, maka mereka akan dikeluarkan dari alam Barzakh. Ada makhluk yang ada kubur dan ada yang tidak, umpamanya mereka yang mati dibaham harimau – mereka tidak ada kubur, tetapi mereka akan dizahirkan ke Mahsyar.

Semua akan jelas kelihatan, tidak boleh menyorok di mana-mana. Tidak kira di mana mereka mati dahulu, mereka akan tetap dibangkitkan dan akan dikumpulkan di satu tempat (Mahsyar). Tidak kira sama ada tubuh badan mereka hancur atau dibakar dan telah menjadi abu – semua akan dibangkitkan dan terpampang kelihatan kepada semua. Mereka akan dibangkitkan dengan bertelanjang bulat. Waktu itu, tidak boleh menyorok apa-apa.

لَا يَخْفَىٰ عَلَى اللهِ مِنْهُمْ شَيْءٌ

“Tidak tersembunyi sedikit pun kepada Allah SWT SWT tentang mereka itu”.

Semua sekali akan dihadapkan di hadapan Allah SWT. Tidak akan ada yang tersembunyi. Tidak akan tersembunyi amal zahir ataupun amal batin dari Allah SWT. Hendaklah kita berusaha di dunia ini supaya amal yang baik sahaja yang akan zahir.

Bayangkan, semua sekali akan bertelanjang di hadapan Allah SWT. Kita semua akan menghadap Allah SWT dalam keadaan asal kita. Semua dalam keadaan berlutut bersaf-saf dalam keadaan telanjang. Memang tidak ada apa yang tersembunyi dari Allah SWT semasa di dunia pun, tetapi pada hari akhirat nanti, nampak jelas tanpa syak lagi kepada semua. Kalau di dunia, ada yang sangka ada perkara yang Allah SWT tidak tahu. Di Hari Kiamat nanti, semua akan jelas yang tidak ada apa yang tersembunyi dari Allah SWT. Barulah mereka akan sedar dengan sesedar-sedarnya.

لِّمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ

“Pada hari ini kerajaan ini milik siapa?”

Pada hari itu, Allah SWT akan tanya kepada semua: Kerajaan ini milik siapa pada hari ini?

Ada dua pendapat tentang kejadian ini: Sama ada Allah SWT tanya kepada semua makhluk atau Allah SWT tanya itu semasa makhluk semua sudah mati. Kenapa Allah SWT tanya kalau tiada ada sesiapa yang boleh jawab? Kerana Allah SWT hendak sabitkan kekuasaan mutlak-Nya. Hanya Dia sahaja yang Maha Hidup.

Atau, Allah SWT tanya dua kali: sekali waktu semua telah mati, dan kali kedua selepas semua makhluk dibangkitkan.

لِلهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

“Milik Allah SWT Tuhan yang tunggal yang Maha Esa dan Maha Mengalahkan”.

Inilah jawapan makhluk kepada soalan Allah SWT tadi. Pada hari itu, semua makhluk akan jawab yang kerajaan adalah milik tunggal Allah SWT.

Dua kali ayat ini keluar, lagi sekali semasa tiupan sangkakala pertama. Waktu itu, tiada makhluk yang jawab sebab semua telah mati. Tuhan sendiri jawab waktu itu. Di Mahsyar, dikatakan sekali lagi ayat ini, dan makhluk semuanya akan jawab.

Cuba bayangkan keadaan di masa itu. Tiada siapa berani bersuara. Melainkan bisik-bisik sahaja. Mereka hanya berani bertanya-tanya sesama sendiri: “Dah berapa lama dah tunggu ni?” Berpeluh-peluh semuanya. Semua tidak bergerak ke mana-mana. Mahsyar itu keadaannya rata macam air. Maka, hendaklah kita jawab dengan jawapan ini semasa kita di dunia lagi (Allah SWT yang memiliki segala kerajaan). Tunduk kepada Allah SWT sahaja dalam akidah dan syariat. Kalau kita tunduk semasa di dunia lagi, maka kita akan selamat di akhirat. Jangan kita hanya sebut di Mahsyar sahaja, tidak selamat kalau begitu.

 

Allahu a’lam.

Popular

Iklan

Iklan