Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Bayyinah – Tafsir Ayat Ke-3 & Ke-4

Tafsir Surah Al-Bayyinah – Tafsir Ayat Ke-3 & Ke-4

527
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Bayyinah

 Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

1.Bukti dan dalil berkaitan dua elemen dalam Al-Bayyinah.

2. Sifat Nabi SAW yang berakhlak dengan Al-Quran.

3. Sifat Al-Quran yang disucikan, memberi isyarat supaya kita mengikut jalan tersebut.

Seterusnya kita akan meneruskan perbincangan bagi sambungan seterusnya dengan ayat ke-3. Sebenarnya perbincangan ayat ke-2, ke-3 dan ke-4 masih membincangkan sekitar perkara yang sama.

Menjelaskan sifat Al-Bayyinah ( Al-Quran dan Rasul ) itu sebagai:

Mutohharah ( Suci )

Kerana itu perlu ada tatacara untuk berada dengan Al-Quran. Contoh umum : dengan menjaga diri dari hadas, bacaan yang terdapat hukum tajwid dan lain-lain.

Qayyimah ( Lurus )

Sifat Al-Bayyinah tersebut lurus membawa manusia kembali kepada Allah SWT.

Penyatuan

Kerana isyarat dari Allah SWT menyatakan kepada mereka yang sebaliknya ( Ahli Kitab yang tidak beriman ), menjadi pecah belah disebabkan dalil ( petunjuk ) Allah yang turut menceritakan perihal kitab dan diri mereka.

Tafsir Ayat Ke-3:

فيها كُتُبٌ قَيِّمَةٌ

“di dalamnya terdapat (isi) Kitab-kitab yang lurus”.

كُتُبٌ

Perkataan “Kutub” dipanggil ‘kitab-kitab’ dalam Bahasa Arab.

Di sini ia juga boleh digunakan dengan maksud hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

Kerana itu kita dapat melihat banyak dalil ( hukum ) menggunakan kalimah dr huruf : Kaf – Ta – Ba ini

فيها كُتُبٌ

“di dalamnya terdapat Kitab-kitab ( isi kandungan yang pelbagai).”

Boleh difahami maksud ayat di sini:

Terdapat di dalamnya hukum, dan perkara lain yang menjadi panduan kepada manusia sepanjang zaman. Kerana itu ia berbunyi “kutub”

قَيِّمَةٌ

“yang lurus…”

Ia bermaksud tegak, teguh, berdiri lurus. Ia juga bermaksud boleh meluruskan benda yang tidak lurus. Sememangnya jalan kembali kepada Allah SWT untuk lurus, hanya manusia sahaja yang kadang-kadang tersesat mengikut jalan yang salah.

Tafsir Ayat Ke-4:

وَما تَفَرَّقَ الَّذينَ أوتُوا الكِتابَ إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّنَةُ

 “Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab ( kepada mereka ) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata”.

Sebelum kita bahaskan ayat ini, perlu kita ulangkaji pelajaran ayat yang pertama kerana ayat ke-4 ini sangat dekat perbincangan dengan ayat yang pertama, iaitu firman Allah SWT :

لَم يَكُنِ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتابِ وَالمُشرِكينَ مُنفَكّينَ حَتّىٰ تَأتِيَهُمُ البَيِّنَةُ

 “Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata”,

Dalam ayat pertama : Allah SWT memberitahu kita bahawa Ahli Kitab dan Musyrikin tidak akan meninggalkan amalan dan fahaman mereka, selagi tidak sampai kebenaran ( bukti yang nyata ) kepada mereka.

Namun ayat ke-4 sekali lagi Allah SWT memperlihatkan keadaan yang “lebih khusus” kepada kita:

وَما تَفَرَّقَ

“Dan tidaklah berpecah belah..”

Sebenarnya bukanlah tiada langsung dari kalangan Ahli Kitab ( Yahudi dan Nasrani ) yang memasuki agama Islam, bahkan sebenarnya ada yang menyahut seruan Nabi SAW.

Firman Allah SWT di dalam Surah [Al-Ankabut: 46]

وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ فَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمِنْ هَٰؤُلَاءِ مَن يُؤْمِنُ بِهِ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا الْكَافِرُونَ

 Dan demikianlah Kami turunkan pula kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Al-Quran ini. Maka orang-orang yang Kami berikan Kitab ( Taurat dan Injil ) ada yang beriman kepada Al-Quran, dan juga sebahagian dari orang-orang beriman kepadanya; dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang berdegil dalam kekufurannya.

 Contoh:

1.Dari kalangan Nasrani : Raja Najasyi ( Habsyah )

Dalam Sirah, Raja Najasyi menyembunyikan keislaman beliau. Akan tetapi akhirnya diketahui akan agamanya apabila Nabi SAW menyeru umat Islam pada masa tersebut melakukan solat jenazah ghaib bersama Baginda SAW ( mafhum HR Bukhari ).

2. Dari kalangan Yahudi : Abdullah Bin Salam

Abdullah bin Salam awalnya adalah seorang pemimpin agama Yahudi di Madinah. Sebagai seorang pemimpin agama Yahudi, beliau mengetahui isi kandungan dari Taurat.

Oleh kerana itu, beliau mengetahui akan hadirnya nabi yang terakhir. Maka setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW, beliau pun memeluk agama Islam.

Beliau juga mengajak kaumnya ( dari kalangan Yahudi ) untuk mempercayai kerasulan Nabi Muhammad SAW, tetapi kaumnya menolak dan menganggap Abdullah bin Salam sebagai pembohong, kerana memeluk agama Islam.

أوتُوا الكِتابَ

Sedikit perbincangan balaghah ( ilmu Bahasa Arab ):

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini ( أُوتُوا الْكِتَابَ ) bermaksud :

“Yang telah diberikan dengan kitab wahyu…”

Ia dalam bentuk “mabni alal majhul” ( berbentuk pasif : kerana tidak diberitahu siapakah yang telah memberi Kitab kepada mereka ) dan inilah kalimah yang selalu kita baca dalam Al-Quran.

Ia merujuk kepada Ahli Kitab ( Yahudi dan Nasrani ) kerana mereka telah diberikan dengan Kitab Wahyu (Taurat dan Injil).

Ia selalunya bermakna mereka sedang disebut dalam konteks yang negatif – ada perkara yang tidak baik yang mereka lakukan dan Allah sedang murka dengan mereka.

Kalimah lain yang lebih kurang sama juga digunakan untuk merujuk kepada mereka juga dengan berbunyi ( آتَيْنَاهُمَا الْكِتَابَ )

“Mereka yang telah Kami berikan Kitab…”

Selalunya ia digunakan dalam bentuk positif, ada perbuatan mereka yang baik dan ada perkara baik yang akan disebut tentang mereka.

ada “Naa” dekat situ yang bermaksud “Kami”

Kalau diperhatikan, hanya Ahli Kitab SAHAJA yang disebut dalam ayat ini, sedangkan dalam Ayat Pertama sebelum ini, golongan Musyrikin pun juga disebut.

Mengapa hanya disebut Ahli Kitab sahaja dalam ayat ini?

Jadi ayat ini khusus memperkatakan tentang kesalahan yang dilakukan oleh “Ahli Kitab” berkenaan Al-Bayyinah itu. Kita kena ingat kembali bahawa mereka itu telah ada kitab sebelum Al-Quran. Namun mereka telah berpecah jauh dari ajaran yang benar setelah Rasul mereka tiada. Maka, sepatutnya apabila datang Nabi Akhir Zaman, ia menjadi ikutan mereka dan mendekatkan kembali mereka kepada kebenaran.

Pada ayat ini, Allah SWT ingin memberikan pengajaran kepada kita yang telah menerima wahyu ( Al Al-Quran ) agar tidak menjadi seperti Ahli Kitab kerana sepatutnya kita yang telah memperoleh petunjuk dari Allah SWT akan lebih mudah untuk taat dan mendekati Allah SWT. Adapun orang Kafir Musyrik tidak sama dengan golongan seperti orang mendapat Al-Kitab.

Ini kerana hujah mereka pun hanya berdasarkan ikut-ikutan semata.

Dalilnya:

Firman Allah SWT di dalam Surah [Az Zukhruf: 21 – 22].

أَمْ آتَيْنَاهُمْ كِتَابًا مِّن قَبْلِهِ فَهُم بِهِ مُسْتَمْسِكُونَ

 “Pernahkah Kami memberikan mereka sebelum Al-Quran ini sebuah Kitab (yang membenarkan dakwaan mereka), lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu”?

 بَلْ قَالُوا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِم مُّهْتَدُونَ

 “(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

 Ibrah dan kesimpulan: 

1. Dalam ayat ini, Allah SWT mengingatkan kita agar mengikuti apa yang diwahyukan Allah SWT iaitu Al-Quran! Dengan itu, kita sepatutnya akan bersatu dan berada di bawah petunjuk yang sama.

Macam main bola, ada 11 orang pemain dalam satu kumpulan. Tetapi jika semua mengikut model strategi yang sama, maka kita tetap bersatu walaupun dalam posisi yang berbeza.

2. Janganlah jadi seperti ahli kitab, yang telah memiliki ilmu pengetahuan. Namun tetap ingkar terhadap seruan kerana “takut” melepaskan kepentingan serta mempunyai hasad dengki pula kepada pembawa kebenaran.

3. Sesungguhnya kaum musyrikin apatah lagi, mereka lebih buruk dan malang. Kerana langsung tiada ilmu dan pedoman. Sehingga Allah SWT sendiri “tidak mahu” berbicara tentang hal mereka lagi pada ayat ke-4. Maksudnya, kalau kita termasuk perangai atau sifat ini, jawapannya kita lebih teruk dari geng ahli Kitab.

Fitnah akhir zaman kena sentiasa ingat untuk jaga diri dan keluarga. Ibarat dalam keadaan berjaga-jaga apa sahaja isu, hal “nak sokong negara yang mana betul” atau apa-apa, kita lihat semula diri kita dengan Al-Quran. Zaman Rasulullah SAW bila mana ada masalah besar, semua orang tunggu apa yang Rasulullah SAW hendak cakap sama ada Al-Quran atau Hadis.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan