Utama Blog Halaman 173

Melabel Dan Menuduh Orang Bukan Kerja Islam

0

UiTO Channel: Ustaz Emran Ahmad:
Melabel dan menuduh orang bukan kerja Islam

Perbuatan menuduh seseorang tokoh, ilmuan atau individu dengan tuduhan buruk atau memberikan gelaran yang tidak baik bukanlah kerja orang yang beriman.

Apatah pula apabila terlalu banyak ruang untuk bersangka baik, perbezaan pendapat yang layak dihormati dan diraikan atau sudut pandang yang mungkin belum difahami oleh satu sama lain.

Disebut oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah (wafat 795 hijrah);

ومن علامات العلم النافع : أن صاحبه لا يدعى العلم، ولا يفخر به على أحد، ولا ينسب غيره إلى الجهل إلا من خالف السنة وأهلها فإنه يتكلم فيه غضباً للَّه لا غضباً لنفسه ولا قصداً لرفعتها على أحد

‘Di antara tanda-tanda bahawa ilmu seseorang itu bermanfaat ialah apabila pemiliknya tidak mendakwa dirinya sebagai seorang yang alim dan tidak berbangga-bangga dengannya terhadap orang lain.

Dan dia juga tidak menggelar orang yang lain sebagai jahil kecuali kepada mereka yang menyelisihi al-sunnah dan golongan ahli sunnah. Sesungguhnya jika dia berkata-kata yang sedemikian itu pun adalah disebabkan marah kerana Allah bukan kerana marah untuk dirinya sendiri dan bukan untuk mengangkat dirinya kepada sesiapa pun.’

[Fadl ‘Ilm as-Salaf ‘ala ‘ilm al-Khalaf, Ibn Rajab al-Hanbali]

# Pendek kata, orang yang suka menuduh orang lain sebagai Wahabi ini, kalau bukan kerana dia ada masalah jiwa, mungkin dia ada masalah otak yang sangat ketara!

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-37 hingga Ke-39

0

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-37

Dalam ayat sebelum ini, Firaun suruh Haman buat menara tinggi.

أَسبابَ السَّماواتِ فَأَطَّلِعَ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ وَإِنّي لَأَظُنُّهُ كاذِبًا ۚ وَكَذٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرعَونَ سوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبيلِ ۚ وَما كَيدُ فِرعَونَ إِلّا في تَبابٍ

“(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa a.s; dan sesungguhnya aku percaya Musa a.s itu seorang pendusta!” Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta ia dihalangi dari jalan yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan”.

أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ

“Jalan naik ke langit”,

Untuk pergi dari satu langit ke langit yang lain. Kononnya Firaun hendak naik ke langit dengan menaranya itu.

فَأَطَّلِعَ إِلَىٰ إِلَٰهِ مُوسَى

“Supaya aku boleh tengok sendiri Tuhan Musa a.s”.

Kenapa Firaun hendak ke langit untuk melihat Tuhan? Kerana Nabi Musa a.s beritahu beliau yang Allah SWT berada di langit. Sebab itulah dia memerintahkan supaya dibina menara yang tinggi untuk dia mendaki ke langit tersebut.

Maknanya, Firaun pun tahu yang Nabi Musa a.s kata Allah SWT di langit. Jadi, kalau orang kita kata ‘Allah SWT ada di mana-mana’, ‘Allah SWT wujud tanpa bertempat’, itu maknanya fahaman mereka itu berlainanlah dengan fahaman Nabi Musa a.s.

وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ كَاذِبًا

“Dan sesungguhnya aku yakin yang dia pendusta besar”.

Dia kata Nabi Musa a.s itu pembohong besar kerana Nabi Musa a.s kata ada Tuhan di langit yang bernama Allah SWT. Dia hendak kata yang dia sahaja tuhan, dan tidak ada tuhan yang lain. Dia kata Nabi Musa a.s menipu sahaja. Sebab itu dia buat helah, kononnya hendak naik ke langit dan tengok sendiri yang memang tiada sesiapa pun di langit itu.

وَكَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ

“Begitulah, dihiasi elok kepada Firaun segala keburukan yang diamalkannya”

Dinampakkan cantik sahaja hujah-hujah Firaun itu kepada dirinya. Dia rasa dia pandai dan bijak kerana boleh memberikan hujah-hujah yang sebegitu. Padahal, mana boleh lihat Dzat Allah SWT. Dia rasa bangga kerana dia telah memalukan Nabi Musa a.s.

Begitulah juga, ramai penentang sunnah bagi hujah yang entah apa-apa, tetapi mereka sangka hujah mereka telah ‘power’. Sebagai contoh mereka kata: “Ha! kalau tidak boleh buat bidaah, maka jangan naik keretalah… naik unta macam Nabi Muhammad SAW tu naik unta… hahaha…” Mereka tidak sedar yang hujah mereka amat bodoh, tetapi mereka sangka mereka telah pandai sangat sebab bagi hujah macam itu.

وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ

“Dan dia telah dihalang dari jalan benar”

Dia telah dijauhkan dari jalan yang benar kerana dia telah menolak kebenaran dari awal lagi. Dia tidak buka hatinya untuk dengar dahulu apa yang hendak disampaikan oleh Nabi Musa a.s. Bila tolak dari mula lagi, memang akan jadi begitulah.

Maka kalau anda susah hendak terima lagi hujah jalan sunnah ini, janganlah tolak terus, dengarlah dulu. Cuba buka minda anda. Jangan terus tolak, jangan terus kutuk, jangan terus hendak cemuh, takut nanti membinasakan diri.

وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلَّا فِي تَبَابٍ

“Dan tidaklah tipu daya Firaun melainkan dalam kebinasaan”.

Ini adalah Idkhal Ilahi (pencelahan Tuhan). Kerana mungkin timbul persoalan di fikiran pembaca Al-Quran, adakah berjaya apa yang hendak dilakukan oleh Firaun itu? Allah SWT mencelah di hujung ayat ini untuk memberitahu yang tipu daya Firaun itu tidak berjaya. Tidak ada menara yang dibina.

Tafsir Ayat Ke-38:

Ini adalah hujah balas dari Lelaki Mukmin itu apabila Firaun kata hendak bina menara yang tinggi:

وَقالَ الَّذي آمَنَ يا قَومِ اتَّبِعونِ أَهدِكُم سَبيلَ الرَّشادِ

“Dan berkatalah pula orang beriman itu: “Wahai kaumku! Turutlah (nasihatku), aku akan menunjukkan kepada kamu jalan yang benar”.

وَقَالَ الَّذِي آمَنَ

“dan berkata orang yang beriman itu”,

Lelaki Mukmin itu tidak mahu layan pun kata-kata Firaun itu. Buat apa layan lawak dan kata-kata bodoh orang yang tidak beriman? Dia meneruskan dakwahnya kepada kaumnya itu.

يَا قَوْمِ اتَّبِعُونِ

“Wahai kaumku, ikutilah sahaja aku”

Kenapa Lelaki Mukmin itu cakap ikut dirinya, sedangkan Nabi Musa a.s masih ada lagi? Maksudnya, ikut beliau yang telah beriman dengan Allah SWT dan Nabi Musa a.s. Ikutlah hujah-hujahnya itu.

أَهْدِكُمْ سَبِيلَ الرَّشَادِ

“Aku akan pimpin kamu kepada jalan yang benar”.

Bila Firaun cakap macam ayat sebelum ini di dalam majlis bersama rakyatnya itu, Lelaki Mukmin itu nampak orang seperti percaya dengan Firaun dan semakin mahu ikut jejak langkah Firaun. Maka dia kata cepat-cepat ajak mereka ikut dia. Seperti kita nampak anak kita sedang lepak dengan orang hisap dadah. Hendak syarah di situ sudah tidak sempat. Kita ajak dia balik terus supaya nanti kita nasihatkan dia di rumah.

Lelaki Mukmin itu mengajak kaumnya kepada jalan yang benar, bukannya jalan yang diajak oleh Firaun itu seperti yang disebut oleh Firaun dalam ayat ke-29. Lelaki Mukmin itu hendak memberitahu jalan yang Firaun ajak itu adalah jalan yang sesat dan jalan yang dia ajak itulah jalan yang benar. Jalan yang benar adalah dengan beriman kerana itulah jalan yang selamat untuk dunia dan akhirat.

Tafsir Ayat Ke-39

Ini adalah ayat tazhid (tolak) dari dunia dan targhib (ajak) kepada Akhirat. Sesungguhnya kesesatan manusia banyak disebabkan oleh cintakan dan tertarik dengan keindahan dunia sahaja. Allah SWT mengingatkan kepada kita yang membaca Al-Quran ini supaya jangan tertipu dengan kehidupan dunia.

يا قَومِ إِنَّما هٰذِهِ الحَياةُ الدُّنيا مَتاعٌ وَإِنَّ الآخِرَةَ هِيَ دارُ القَرارِ

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal”.

يَا قَوْمِ إِنَّمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا مَتَاعٌ

“Wahai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini adalah kesenangan sementara sahaja”.

Kehidupan dunia sekejap sahaja dan tidak lama lagi ia akan hancur – kita semua akan mati dalam masa yang singkat. Keindahan dunia yang kita bangga-banggakan dan kejar siang dan malam ini tidak kekal lama, tidak boleh dibawa mati pun. Jadi jangan tertumpu kepada dunia semata hingga lupakan tentang akhirat.

Allah SWT mengingatkan kepada kita bahawa dunia itu hanya kesenangan yang sedikit lagi hina. Bukan tidak ada kesenangan langsung, tetapi amatlah sedikit dan hina jika hendak dibandingkan dengan akhirat. Perkataan مَتَاعٌ dalam bahasa Arab adalah kain buruk yang digunakan oleh wanita untuk halang darah haid dari keluar. Begitulah Allah SWT gunakan perumpamaan مَتَاعٌ untuk nisbah kepada dunia.

Allah SWT tahu sifat hamba-Nya, maka Dia beri peringatan dalam ayat ini. Allah SWT ajar manusia untuk korbankan dunia bagi dapatkan akhirat.

Lelaki Mukmin itu berkata begitu kerana dia nampak rakyatnya mementingkan dunia. Mereka mendambakan pemberian keduniaan dari Firaun. Sebab mereka lihat susah hidup mereka kalau mereka tidak ikut kata Firaun itu. Kehidupan mereka bergantung sepenuhnya pada Firaun bukan kepada Allah SWT. Itu sebabnya mereka susah hendak terima kebenaran.

Lelaki Mukmin itu hendak memberitahu mereka bahawa yang mereka harapkan dari Firaun itu adalah angan-angan kosong sahaja kerana yang menjadi kaya-raya adalah Firaun sahaja dan konco-konconya. Rakyat yang lain hanya dapat saki baki sahaja. Maka, janganlah tertipu.

Lelaki Mukmin ini tinggal dalam istana Firaun. Tentulah kedudukan beliau amat tinggi dalam masyarakat. Tetapi, dengan berkata seperti apa yang telah dikatakannya itu, dia boleh kehilangan segala-galanya dalam dunia. Namun dia tidak peduli kerana dia lebih mementingkan akhirat dari kedudukan keduniaannya.

وَإِنَّ الْآخِرَةَ هِيَ دَارُ الْقَرَارِ

“Dan sesungguhnya akhirat itu adalah tempat kekal”.

Di akhiratlah kita semua akan kekal dan tidak akan ke mana-mana. Sama ada kekal dalam syurga atau kekal dalam neraka jika mengamalkan syirik. Jika dunia ini hanya tempat persinggahan sahaja, jadi kenapa hendak pentingkan dunia sedangkan ia cuma sebentar sahaja.

Ingatlah yang semasa di akhirat kelak, tidak guna harta dan duit dunia, tetapi menggunakan amal kebaikan kita di dunia. Nilai di akhirat kelak adalah pahala, bukannya harta.

Maka, jika kita susah dan derita sedikit semasa di dunia ini, apalah salahnya kerana kita akan mendapat balasan yang lebih banyak lagi kekal di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam.

Rasuah, Tulang Sulbi dan Jasad Baru

0

1. Apakah benar Hadis ini adalah mengenai rasuah?

Sabda Nabi SAW:
“Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: “Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak?! Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkuknya.” [al-Bukhari].

Status hadis:
Sahih, hadis utama berkenaan rasuah. Ini adalah definisi rasuah di sisi sunnah.

2. Betulkah tulang sulbi kita tidak akan hancur?
Ya, tidak hancur.

مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُوْنَ ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً . فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Jarak antara dua tiupan Sangkakala itu empat puluh. Kemudian Allah SWT menurunkan hujan dari langit, lalu mereka tumbuh seperti tumbuhnya sayuran. Semua bahagian manusia akan hancur kecuali satu tulang, iaitu tulang ekor. Dari tulang ekor itulah manusia diciptakan pada hari Kiamat.” [Bukhari: 4554 dan Muslim: 5253]
Dari tulang sulbi itulah manusia akan diciptakan semula.

3. Maksudnya kita akan ada jasad baru, jasad inilah yang akan terima azab atas semua dosa?
Jasad baru. Ia benda mudah bagi Allah SWT.

Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-10 hingga Ke-12

0

Cabang-Cabang Iman

Cabang Iman Ke-10

Cinta sejati kepada Allah SWT

Iman dengan perasaan kecintaan kepada Allah SWT. Maka, lawan kecintaan kepada Allah SWT adalah kecintaan yang mensyirikkan Allah SWT.

Analogi cinta Allah SWT dan cinta yang mensyirikkan Allah SWT:

Seorang lelaki yang mengahwini janda yang mempunyai seorang anak perempuan. Dia berkahwin tetapi dengan harapan hendak berzina dengan anak si janda tadi.

Kita mencintai Allah, tetapi harapkan Rasul dan aulia-Nya yang memberi manfaat dan mudarat kepada kita, ini cinta Allah SWT yang palsu. Cinta sejati pada Allah SWT itulah cabang yang ke-10.

Bagaimanakah cinta sejati dengan Allah SWT? Segala apa yang Allah SWT suruh hamba-Nya cintai, kita cinta semata-mata mengharapkan Allah SWT membalas cinta kita dengan redha-Nya.

Maka, tasdiqkan lah dalam hati bahawa:

saya cintakan Rasulullah SAW, cintakan ibu bapa, cintakan ahli keluarga , guru-guru dan semua makhluk Allah ini kerana cinta saya pada Allah SWT. Saya cinta semua ini dengan berharap Allah SWT balaslah cinta saya dengan redha-Nya.

Taqrir dan tablighkan rasa cinta kerana Allah SWT. Mafhum satu hadis orang yang menzahirkan rasa cintanya kepada saudaranya, dengan berkata “aku mencintai kamu kerana Allah”.

Hadisnya:

“Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al Mutsanna berkata, telah menceritakan kepada kami Abdul Wahhab Ats Tsaqafi berkata, telah menceritakan kepada kami Ayyub, dari Abu Qilabah, dari Anas bin Malik, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau bersabda: “”Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali karena Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka”””

Maka, dapatlah kemanisan Iman.

Bagaimana mahu amal dengan cinta Allah SWT ini? Tunaikanlah cinta seorang kekasih:

  • menyukai perkara yang dicintai-Nya
  • membenci perkara yang dibenci-Nya.

Kata penyair: Jika kekasih mu menyukai nama-nama yang disebut dengan sebutan lisannya, jadilah pencinta lisannya.

Ya Allah campakkanlah perasaan cinta sejati kepada-Mu ke dalam hati kami dalam setiap saat dan detik. Amin.

Cabang Iman Ke-11

Takut kepada Allah SWT

Walaupun takut ini bukan perkataan tepat untuk terjemah Khauf, itu perkataan yang paling mendekati makna tersebut.

Takut kepada Allah, lawannya adalah takut kepada apa sahaja yang mensyirikkan Allah SWT.

Kita takut akan melanggar perintah Allah, lawannya kita takut selain dari Allah SWT lalu kita berani melanggar perintah Allah SWT.

Apa yang kita mahu tasdiqkan di dalam hati? Benarkanlah ancaman dan amaran Allah SWT.

  • amaran didatangkan dengan bala kerana syirik dan dosa.
  • amaran akan siksaan di dalam kubur.
  • amaran akan susahnya di Mahsyar dan hari Hisab.
  • amaran akan di tempatkan di neraka.
  • takut akan segala yang akan menambah dosa.

Benarkan lah setiap amaran dan ancaman ini!

Taqrirkan dan sampaikan ancaman-ancaman ini supaya timbul rasa takut. Seperti mana kita beri amaran pada anak-anak kita bahayanya bercampur gaul dengan kawan-kawannya yang buruk akhlaknya.

Seorang yang khauf pada Allah SWT akan memilih dan melaksanakan amal yang tidak dimarahi bahkan yang jauh dari ancaman dan amaran Allah SWT.

“Telah bercerita kepada kami ‘Abdullah telah bercerita kepada ku ayah ku, telah bercerita kepada kami Hasan bin Musa, telah bercerita kepada kami Hammad bin Salamah, dari ‘Ashim bin Bahdalah, dari Syahr bin Hausyab, dari Mu’adz bin Jabal, dari Nabi Shallallahu’alaihiwasallam beliau bersabda; “”Lambung-lambung mereka jauh dari tempat tidur, mereka menyeru Rabb mereka dengan takut dan harapan.”” Rasulullah Shallallahu’alaihiwasallam bersabda; “”Qiyamullailnya seorang hamba.”””

Semoga Allah mengurniakan akan sifat khauf pada-Nya di dalam hati kita. Amin.

 

Cabang Iman Ke-12

Sifat Ar Roja’ (Harap)

Sifat harap pada Allah SWT.

Jika terjemah atau didefinisikan Ar Roja’ ini adalah tamak (mahukan semua/ sebanyak mungkin) kurniaan rahmat, berkat, hidayah, taufik dan redha Allah SWT. Orang yang ada sifat Ar Roja’ ini, dia akan lakukan paling maksima:

  • Jika doa hendakkan syurga, berdoa syurga Firdaus.
  • Jika doa mohon keampunan, doa diampunkan dosa yang telah lalu, yang akan datang, dengan niat dan tanpa niat .

seperti doa seorang yang tamak akan dunia ini.

Ar Roja’ sifat harap pada Allah SWT untuk diberikan segala janji-janji kebaikan yang Allah SWT telah janjikan.

Tasdiqkan dalam hati segala janji-janji Allah SWT, mahukan, tamakkan serta harapkan semuanya kita akan dapat.

Taqrirkan dan sampaikan akan harapan kita pada janji-janji Allah SWT:

  • Semoga dapatlah aku ini syurga Firdaus.
  • Semoga dapatlah aku redha Allah SWT.
  • Semoga dapatlah aku tengok wajah Allah SWT di sana nanti.

Berbuatlah amalan dengan rasa tamak kan janji-janji Allah SWT. Mahukan yang paling maksimum, paling optimum dari setiap janji-janji Allah SWT.   Bila diperbuat dengan harapan yang sebegitu, amalan kita akan jadi ‘extra ordinary’ fokus dan berkualiti.

Semoga Allah SWT berikan dan kurniakan sifat Ar Roja’ seperti yang dikurniakan kepada para sahabat RadhiaAllahu anhum, kepada kita semua dan seluruh umat Muhammad SAW hingga hari kiamat. Amin.

Ya Allah memberi nikmat ini adalah teramat mudah bagi-Mu maka, mudahkanlah kurniaan ini bagi kami.

 

Allahu a’lam.

MAJLIS ILMU BUKAN MEDAN HUMOR

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian:

MAJLIS ILMU BUKAN MEDAN HUMOR

Ali bin Abi Thalib mengatakan,

تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ ، فَإِذَا عَلِمْتُمُوهُ فَاكْظِمُوا عَلَيْهِ

“Pelajarilah ilmu agama. Jika kalian telah berjaya mempelajarinya maka peliharalah (ilmu tersebut),

وَلاَ تَشُوبُوهُ بِضَحِكٍ وَلاَ بِلَعِبٍ فَتَمُجَّهُ الْقُلُوبُ

Jangan dinodai dengan gelak ketawa dan main-main kerana hati akan menolak ilmu yang dinodai dengan gelak ketawa”

[Sunan ad-Darimi, no 593]

Sufyan ats Tsauri mengatakan,

إياكم والبطنة فإنها تقسي القلب

“Hindarilah kegemukan karena kegemukan itu mengeraskan hati.

واكظموا العلم بالوقار ولا تكثروا الضحك فتمجه القلوب

Peliharalah ilmu dengan sikap tenangdan janganlah banyak ketawa kerana ilmu yang tercampur banyak ketawa itu ditolak oleh hati”

[Hilyah al-Auliya 7/78]

Disalin dari FB Ust Aris Munandar fb.me/arismunandarjogja

#BroSyariefShares

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-35 dan Ke-36

0

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-35

Jumlah Badaliah. Ini adalah ayat Idkhal Ilahi di mana Allah SWT menerangkan siapakah mereka.

الَّذينَ يُجادِلونَ في آياتِ اللهِ بِغَيرِ سُلطانٍ أَتاهُم ۖ كَبُرَ مَقتًا عِندَ اللهِ وَعِندَ الَّذينَ آمَنوا ۚ كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللهُ عَلىٰ كُلِّ قَلبِ مُتَكَبِّرٍ جَبّارٍ

“(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah SWT dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka. Besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi Allah SWT dan di sisi orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah SWT materikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!”

الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آيَاتِ اللهِ

“Orang-orang yang membantah tentang ayat-ayat Allah SWT”

Itulah mereka yang menolak ayat-ayat Allah SWT itu dengan mempersoalkannya, menolaknya. Firaun dan pengikutnya mengatakan yang mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s itu adalah ‘sihir’.

Kalau zaman sekarang, ayat-ayat Allah SWT adalah ayat Al-Quran. Ramai yang membantah ayat Al-Quran, antaranya dengan menunjukkan terdapat perbezaan antara ayat-ayat Al-Quran itu.

Ataupun mereka mentafsir ayat-ayat Allah SWT dengan cara yang salah. Ataupun, apabila kita beritahu mereka tentang maksud sesuatu ayat itu, mereka akan tolak dan berhujah dengan kita menidakkan apa yang kita beritahu kepada mereka. Padahal mereka sendiri tidak belajar tafsir, tetapi boleh pula mereka kata apa yang kita sampaikan dari tafsir itu pula yang salah. Ini amat pelik, orang yang tidak belajar, kata tafsiran kita pula yang salah.

Ini adalah peringkat ketiga kesesatan manusia. Peringkat Pertama: mereka ragu-ragu tentang agama; Peringkat Kedua: mereka akan berada dalam kesesatan kerana mereka telah ada ragu-ragu; Peringkat Ketiga: mereka membantah; Peringkat Keempat: apabila mereka terus membantah, Allah SWT akan ‘kunci mati’ hati mereka dari beriman – Khatmul Qalbi.

Jangan ada sikap begini dalam diri kita. Jika tidak setuju, jangan bantah lagi, tunggu dan lihat.

بِغَيْرِ سُلْطَانٍ أَتَاهُمْ

“dengan tanpa bukti yang di bawa kepada mereka”,

Mereka membantah atau memberi hujah-hujah mereka itu tanpa ada bukti. Ataupun mereka tafsir sendiri ayat-ayat Al-Quran tanpa belajar tafsir, tetapi mereka buat macam mereka tahu. Kita memang meraikan perbezaan pendapat dan percambahan ilmu. Namun, jika hendak berhujah, kenalah bawa dalil, jangan pakai tolak sahaja tanpa beri dalil dan hujah yang nyata.

Ramai yang tidak belajar, tetapi memandai hendak tafsir sendiri ayat-ayat Al-Quran. Mereka merujuk kepada sumber-sumber yang tidak boleh dipercayai, maka mereka telah salah faham. Ini adalah amat bahaya. Kita kena belajar tafsir dengan guru yang tahu ilmu-ilmu tafsir. Kalau kita silap memilih guru dan sumber pembelajaran, kita akan terjatuh ke dalam lembah kesesatan.

كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللهِ وَعِندَ الَّذِينَ آمَنُوا

“Amat besar kemurkaan di sisi Allah SWT dan di sisi orang-orang yang beriman”.

Besar sekali salah mereka itu, sampaikan Allah SWT murka kepada mereka yang membantah ayat-ayat Allah SWT. Jangan main-main kalau Allah SWT telah marah.

Ada dua yang disebut telah marah dalam ayat ini: Allah SWT dan orang-orang yang beriman. Bukan Allah SWT sahaja yang marah, tetapi orang-orang yang beriman juga akan marah. Orang-orang yang beriman, apabila mendengar orang menyalahgunakan ayat-ayat Allah SWT, sepatutnya marah dengan perbuatan orang itu.

Dan orang yang beriman itu tidak tengok sahaja, tetapi dia akan mempertahankan ayat-ayat Allah SWT. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh Lelaki Mukmin itu – dia telah bangun mempertahankan dakwah Nabi Musa a.s a.s. walaupun ia boleh membahayakan nyawanya sendiri.

كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ اللهُ عَلَىٰ كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ

“Demikiannya Allah SWT kunci setiap hati yang sombong, ganas terhadap manusia”.

Inilah Peringkat Keempat dan peringkat terakhir dari kesesatan manusia. Hati mereka akan dikunci mati dari terima kebenaran. Maksudnya, setiap hati yang ada sifat sombong dan ganas itu akan dikunci oleh Allah SWT. Mereka sombong dengan Allah SWT dan ganas dengan manusia. Kesannya: walaupun dia ditunjukkan dengan kebenaran, dia tidak boleh faham dan tidak akan terima – kerana Allah SWT telah kunci mati hatinya.

Lihatlah apa yang terjadi kepada Firaun, apabila dia membantah ayat-ayat Allah SWT, dan bersikap ganas kepada orang mukmin, maka Allah SWT telah kunci mati hatinya, sampaikan walaupun datang kepadanya berbagai-bagai dalil kebenaran, dia tidak juga boleh beriman.

Tafsir Ayat Ke-36

Lihatlah apa jawapan Firaun setelah mendengar syarah dari Lelaki Mukmin itu – bukannya dia hendak beriman, tetapi dia tetap hendak lawan juga. Ini adalah kata-katanya yang mencelah syarahan yang disampaikan oleh Lelaki Mukmin itu. Dia rasa kalau dia tidak mencelah, Lelaki Mukmin itu akan menyebabkan ramai orang akan beriman dengan Nabi Musa a.s.

وَقالَ فِرعَونُ يا هامانُ ابنِ لي صَرحًا لَعَلّي أَبلُغُ الأَسبابَ

“Dan Firaun pula berkata: “Hai Haman! Binalah untuk ku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan-jalan (yang aku hendak menujunya)”.

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ

“Dan berkata Firaun, “Wahai Haman”,”.

Firaun hendak lawan dengan ejekan. Selepas mendengar kata-kata Lelaki Mukmin itu, beliau telah datang dengan satu lagi hujah untuk mempermain-mainkan agama. Dia tukar kepada topik yang lain. Dia buat begitu kerana hendak mengalih pandangan rakyat yang juga sedang mendengar Lelaki Mukmin itu dan pernah mendengar syarahan dan dakwah dari Nabi Musa a.s. Begitulah, apabila seseorang itu menentang ayat-ayat Allah SWT, Allah SWT akan menzahirkan kebodohannya.

Kadang-kadang kita memberitahu satu perkara yang serius, tetapi orang yang tidak beriman akan tukar topik dan buat lawak untuk mempermain-mainkan kita. Sebagai contoh, kita sebut tentang bidaah, mereka akan buat lawak – “Kalau macam tu, tak boleh pakai keretalah kita, kena pakai unta sahaja kalau nak ke mana-mana! Sebab Nabi tidak pakai kereta, Nabi pakai unta!”. Itu adalah kata-kata sinis dari orang yang bodoh jahil.

ابْنِ لِي صَرْحًا

“Bina untuk aku satu menara tinggi”

Perkataan صَرْحًا bermaksud menara yang cantik, yang dihias. Firaun suruh Haman membina satu menara tinggi untuknya.

لَّعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبَابَ

“supaya aku sampai ke jalan-jalan”.

الْأَسْبَابَ adalah dari kata ‘sabab’ yang bermaksud ‘cara’ – cara untuk sampai ke satu-satu tempat, kepada satu-satu maksud. Sebagai contoh, sebab apa kita memanjat pokok Tamar? Sebab hendak kutip buat Tamar. Dia suruh Haman bina menara tinggi itu kononnya dia hendak jumpa Tuhan Nabi Musa a.s. Dia sebenarnya hendak ejek, kerana Nabi Musa a.s kata Allah SWT di langit – maka dia hendak tengok Tuhan Nabi Musa a.s yang dikatakan itu.

Nota: Lihat bagaimana Nabi Musa a.s sendiri pernah ajar kaumnya yang ‘Allah SWT di langit’. Jadi akidah Allah SWT di langit ini adalah dari dahulu lagi.

Jadi Firaun telah cuba untuk mengalih pandangan rakyatnya kepada Dzat Allah SWT. Padahal Allah SWT hanya boleh dikenali dengan Sifat-Nya, bukannya boleh berjumpa dengan Dia semasa di dunia. Begitulah juga golongan yang kurang belajar, mereka banyak membincangkan tentang keberadaan Allah SWT di Arasy. Padahal kita tidak perlu pun berbincang tentang perkara itu, kerana tidak menambah iman pun untuk sembang perkara ini.

Haman ini adalah menteri kanan Firaun.

Allah SWT jarang sebut nama individu dalam Al-Quran. Kerana nama tidak penting, yang penting adalah kisah dan pengajaran itu. Jadi apabila Allah SWT sebut nama, ada sesuatu yg hendak disampaikan.

Pengkritik Al-Quran ada mengkritik Al-Quran kerana nama Haman dalam sejarah Mesir tidak ada. Jadi mereka kritik maklumat Al-Quran tentang Haman ini.

Tetapi perkembangan terkini dalam arkeologi, memang terjumpa nama Haman ini. Jadi, ia telah menguatkan hujah yang mengatakan Al-Quran tidak pernah tersilap. Cuma kadang-kadang pengetahuan manusia yang tidak sampai lagi.

 

Allahu a’lam.

Masalah Ruam, Kegatalan, Demam dan Kencing Berdarah

0

1. Mengapakah jika kita duduk lama di atas lantai seperti melipat kain, ketika hendak bangun terasa sakit di bahagian perut. Saya pernah menjalani pembedahan untuk melahirkan anak ketiga (kembar) dari belakang. Usia saya sekarang adalah 40 tahun keatas. Apakah ia tanda-tanda ‘menopause’? 

Tidak pasti apakah yang menyebabkan sakit perut, kemungkinan ada ‘nerve compression’(mampatan saraf) pada tulang belakang yang pernah dibedah.

 

2. Ibu-ibu hamil digalakkan untuk mengambil omega untuk kebaikan janin. Betulkah pengambilan omega perlu dihentikan pada bulan kelapan kehamilan kerana dipercayai omega mencairkan darah dan dibimbangi risiko tumpah darah semasa bersalin nanti?

Pengambilan omega memang digalakkan semasa mengandung dan setakat ini tiada lagi kes pendarahan jika diamalkan secara berterusan semasa mengandung. Pendarahan hanya berlaku jika ianya diambil secara berlebihan. Walau bagaimanapun, patuhi nasihat doktor yang merawat anda semasa mengandung.

 

3. Saya jarang bersarapan pada awal pagi. Jika saya makan di awal pagi saya akan mengalami sakit perut, loya dan juga sering alami muntah-muntah. Kebiasaannya saya makan pada pukul 11.00 pagi. Mengapa saya alami masalah ini?

Waktu sarapan adalah di antara jam 7 pagi hingga 9 pagi. Selepas waktu itu sudah tidak dipanggil sarapan lagi. Punca sakit perut dan loya berkemungkinan kerana makanan yang tidak sesuai untuk sarapan atau berkemungkinan kerana perut dan usus yang tidak sihat.

Sebenarnya kita boleh ‘train’(latih) perut kita untuk menerima makanan. Contohnya, jika kita jarang memakan sayur, perut kita akan rasa sakit dan kembung. Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan memakannya sedikit dahulu dan tambah lagi setelah beberapa hari dan seterusnya. Begitu juga dengan sarapan pagi, mulakan dengan makan sedikit dan kita tambah lagi kuantiti/jumlah makanan selepas beberapa hari dan seterusnya.

 

4. Penyakit apakah yang selalu menyebabkan kulit kaki sering mengelupas dan apakah langkah untuk mengatasi masalah ini?

Kulit kering dan mengelupas adalah berkemungkinan kerana:

  1. Kurang kelembapan
  2. Reaksi kepada sabun atau pencuci lantai yang ‘harsh'(kasar) untuk kulit
  3. ‘Eczema’
  4. Jangkitan kulat

 No. 3 dan 4 kebiasaannya mengalami kegatalan. Apabila kita sudah tahu apakah puncanya barulah kita boleh mengubatinya.

 

5. Benarkah bahawa ubat-ubatan tidak dikenakan GST sepertimana yang diiklankan di televisyen?

Ubat-ubatan ada yang tidak dikenakan GST dan ada yang dikenakan GST

 

6. Saya ingin bertanya kepada doktor kenapakah saya makan banyak tetapi tidak gemuk?

Besar kemungkinan kadar metabolisme asas tuan tinggi. Tetapi jika ada tanda-tanda seperti tangan asyik basah kerana peluh, menggigil, berdebar debar, terasa bahang, bola mata rasa hendak terkeluar, buatlah pemeriksaan. Kemungkinan hormon tiroid tinggi.

 

7. Anak lelaki saya berusia 5 tahun. Jika dia mengalami demam saya akan bawa ke klinik. Apabila pulang dari klinik dia beransur sihat tanpa memakan sebarang ubat. Saya merasa pelik bagaimana ini boleh terjadi

Alhamdulillah, seperti rindu kepada doktor sahaja. Demam biasanya disebabkan oleh kuman virus dan akan pulih sendiri. Tempoh kesembuhannya bergantung kepada sistem imuniti individu. Ubat yang diberikan hanya untuk memberi sedikit keselesaan dan bukannya untuk menyembuhkan demam atau selsema.

 

8. Apakah punca masalah kencing berdarah? Kawan saya telah meminum sebiji lemon beserta kulitnya dicampur dengan madu dan minyak zaitun. Keesokannya dia berasa sakit dan mendapati ada darah di dalam air kencing. Ia berlaku sekali itu sahaja.

Punca-punca kencing berdarah adalah seperti:

  • Batu karang
  • Jangkitan pada salur kencing dan pundi
  • Kanser pada pundi
  • Radang pada buah pinggang dan lain-lain lagi

Kebiasaannya jika sekali sahaja kita tidak boleh berbuat apa-apa apabila ujian pada air kencing yang tiada darah secara mikroskopik.

 

9. Apakah normal bagi seorang lelaki jika selepas kencing akan keluar cecair putih kepekatan?

Cecair pekat yang keluar selepas kencing itu ialah cairan dari ‘prostate’ dan normal bagi lelaki terutama bagi mereka-mereka yang melakukan aktiviti fizikal yang berat.

 

10. Kulit saya mengalami tompokan merah. Kemungkinan alahan atau gigitan serangga. Rawatan apakah yang sesuai untuk menghilangkan tanda parut dan kemerahan serta rasa gatal bila terkena panas?

Boleh cuba krim vitamin E. Namun kebiasaannya warna hitam pada parut akan hilang selepas tiga bulan.

 

11. Ruam sering timbul pada kulit saya terutama di kawasan kulit yang ditutup oleh pakaian dalam. Saya kerap bertemu doktor untuk menyelesaikannya. Kebiasaannya doktor akan berikan preskripsi krim. Oleh kerana terlalu kerap berulang ke klinik akhirnya saya membeli krim di farmasi saja. Setakat ini krim yang cepat berkesan bila digunakan adalah Candid B. Adakah sebarang kesan sampingan jika saya gunakan ia dalam jangkamasa yang panjang untuk mencegah ruam yang timbul pada kulit?

Candid B merupakan kombinasi dua jenis ubat iaitu steroid dan ‘antifungal’(antikulat). Jika digunakan dengan sapuan yang nipis inshaa Allah kesan sampingannya adalah minima. Selain dari itu boleh juga amalkan dengan kerap mandi dan menukar pakaian dalam.

 

12. Adakah ruam itu terjadi disebabkan oleh kekurangan vitamin tertentu? Selalunya saya mandi hanya dua kali sehari. Ruam akan timbul bila kulit berpeluh. Setiap bulan ruam akan timbul sekurang-kurangnya seminggu

Setakat pengetahuan saya ruam bukan disebabkan kekurangan vitamin tertentu. Ia berkemungkinan disebabkan oleh kelembapan badan kita atau material pakaian dalam yang kita pakai. Lebih baik jika kita dapat memastikan pakaian dalam dari jenis kain kapas dan mandi lebih dari tiga kali sehari. Apabila kulit kita lembap ia akan memudahkan pertumbuhan kulat yang menjadi punca ruam dan kegatalan.

 

13. Bolehkah krim vitamin E menghilangkan kegatalan? Bila bertemu doktor di klinik beliau memberikan krim steroid.

Krim vitamin E adalah untuk menghilangkan parut. Steroid perlu disapukan sedikit sahaja. Jangan sapu sehingga nampak putih bertompok-tompok tetapi sapu secara perlahan-lahan sehingga hilang warna putih. Jangan ditenyeh.

 

14. Kenapakah saraf tubuh kita bergetar? Seperti menggigil. Apakah penyakitnya? Setakat ini saya bertemu dengan dua orang wanita yang mengalaminya. Saya berasa tidak selesa ketika bersalam dengannya. Seolah-olah dia menarik tenaga saya kepadanya.

Mungkin mereka terdiri dari:

  • Warga emas
  • Orang yang ada ‘essential tremor’ (ketar)
  • ‘Parkinson’s disease’
  • Orang yang mempunyai kerosakan pada sistem koordinasi.

 

15. Bolehkah kita cegah dari terjadinya kerosakan pada sistem koordinasi itu?

Sistem koordinasi rosak disebabkan oleh strok, ketumbuhan, ‘syphilis’ dan lain-lain lagi. Oleh itu, perlu dielakkan dari mendapat penyakit ini namun ketumbuhan adalah sesuatu yang di luar daripada kawalan kita.

 

16. Tangan anak saya selalu berpeluh dengan banyak. Anak saya berumur 14 tahun. Apakah yang menyebabkan tangannya berpeluh dengan banyak? Bagaimanakah cara untuk mengubatinya?

Jika berpeluh dengan banyak sehingga mengotorkan buku ini kita panggil ‘polyhidrosis’. Untuk mengubatinya perlu bertemu dengan doktor pakar kerana kadang-kadang ia melibatkan pembedahan mikro untuk memotong saraf yang merangsang kelenjar peluh. Jika tidak begitu teruk saya rasa boleh gunakan krim. Berjumpalah dulu dengan doktor pakar untuk kepastian.

 

17. Apakah pendapat doktor mengenai diet Atkins? Adakah ia baik atau tidak?

Atkins diet mengandungi protein dan lemak yang tinggi serta sangat rendah karbohidrat. Kemungkinan perlu diubah sedikit jumlah/kuantiti keperluan makanan harian :

  1. Sayur-sayuran – 4 hingga 6 cawan
  2. Protein yang cukup (sebahagiannya dari tumbuhan) – 1/4 pinggan
  3. Lemak yang bagus – Omega 3, 9
  4. Karbohidrat kompleks dari ‘wholemeal’ bijirin, kekacang dan beras perang – 1/4 pinggan
  5. Air kosong yang bersih. 2L dan 1L dari buah-buahan, sayur-sayuran dan lauk (sup)

 

18. Adakah ubat Ibuprofen dan Paracetamol bagus untuk memulihkan demam? Atau Paracetamol sahaja sudah cukup?

Kedua-duanya boleh digunakan apabila demam. Paracetamol mempunyai antidemam yang lebih baik. Jika menggunakan Ibuprofen pada demam denggi akan menyebabkan pendarahan lebih teruk. Oleh itu perlu berhati-hati.

 

19. Doktor, apakah fungsi Ibuprofen sebagai agen antibiotik atau ‘pain-killer’? Adakah Paracetamol sudah memadai sebagai anti-demam?

Ibuprofen ialah ‘anti-inflammatory’(antiradang) dan sedikit ‘antipyretic’ (dapat menurunkan suhu badan). Kita jarang menggunakan Ibuprofen untuk demam. Kita hanya gunakan Paracetamol. Namun saya tidak pasti jika kombinasi Paracetamol dan Ibuprofen ini wujud atau tidak kerana belum pernah jumpa lagi.

 

20. Sahabat saya mengalami sakit lutut yang agak kronik. Sebelum ini dia pernah mendapat rawatan menggunakan kaedah suntikan jel ke dalam lutut namun masih tiada perubahan. Doktor ada menasihatkan dia selain memakan ubat glucosamine sulfate 500 – 3 kali sehari, dia perlu juga melakukan senaman. Dia juga memakan Habbatus sauda dan minyak zaitun. Apakah pandangan doktor jika dia menambah kolagen sebagai makanan tambahan?

Bolehlah cuba tetapi saya tidak pasti akan keberkesanannya. Beliau juga boleh cuba terapi PRP (Platelet Rich Plasma) dan jikalau sangat mengganggu, boleh buat ‘total knee replacement’.

 

21. Benarkah penggunaan fluorida tidak bagus untuk kesihatan dan kesejahteraan umat manusia sejagat?

Setahu saya golongan antifluorida yang sentiasa mendakwa dari dulu bahawa fluorida beri banyak keburukan seperti kanser terhadap kesihatan tubuh badan. Seperti juga golongan antivaksin. Berjela-jela panjang alasan mereka tetapi belum terbukti secara ilmiah. Jika dari segi kesihatan gigi, fluorida sangat membantu proses ‘remineralisation’ (proses ke arah mengembalikan kekuatan dan fungsi dalam struktur gigi). 

Cuma untuk kanak-kanak, penjaga perlu memantau mereka supaya tidak menelan ubat gigi yang mengandungi fluorida. Jika perbuatan ini menjadi amalan kanak-kanak tersebut, ia boleh menyebabkan ‘dental fluorosis’(kecacatan enamel gigi yang disebabkan oleh pengambilan fluorida yang berlebihan). ‘Water fluoridation’ (penambahan fluorida terkawal untuk bekalan air bagi mengurangkan kerosakan gigi) pun bagus tetapi ada hadnya mengikut ppm air.

Mungkin sejarah kenapa fluorida digunakan boleh membantu. Kebiasaannya golongan-golongan ini lupa akan sejarah. Jika mereka tahu sejarah, mereka tidak akan persoalkan.

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-34 dan Ke-35

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-34:

وَإِذ قُلنا لِلمَلائِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكافِرينَ

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam a.s”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir”.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ

“Maka ketika dititahkan kepada malaikat: sujudlah kamu kepada Adam a.s

Allah SWT perintah malaikat dan jin untuk sujud kepada Nabi Adam a.s. Ini adalah dalil kepada kemuliaan Nabi Adam a.s dan juga keturunannya. Allah SWT muliakan Bani Adam a.s.

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman dalam [Isra: 70]

۞ وَلَقَد كَرَّمنا بَني آدَمَ وَحَمَلناهُم فِي البَرِّ وَالبَحرِ وَرَزَقناهُم مِنَ الطَّيِّباتِ وَفَضَّلناهُم عَلىٰ كَثيرٍ مِمَّن خَلَقنا تَفضيلًا

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam a.s, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”.

فَسَجَدُوا

“semua sekali sujud”

Semua para malaikat telah sujud kepada Nabi Adam a.s. Bagaimanakah cara sujud itu adalah khilaf di kalangan ulama. Imam Jalalain kata, ia hanya sekadar tunduk hormat sahaja, bukan macam sujud meletakkan dahi atas bumi seperti dalam solat kerana sujud seperti dalam solat itu hanya khusus antara hamba dan Allah SWT sahaja. Pendapat ini kuat. Tetapi ada juga ulama yang kata sujud yang seperti sujud dalam solat. Allahu a’lam.

إِلَّا إِبْلِيسَ

“kecuali Iblis

Semua malaikat sujud tetapi tidak Iblis. Perkataan ‘Iblis’ itu maksudnya ‘putus asa dari rahmat’. Sampai bila-bila dia tidak akan dapat rahmat kerana dia pernah derhaka kepada Allah SWT. Dia adalah yang paling kecewa untuk duduk dalam syurga. Tidak ada harapan.

Allah SWT beri arahan kepada ‘malaikat’ dan kemudian sebut Iblis pula. Tetapi bukanlah ayat ini mengatakan yang Iblis itu malaikat. Kita kena tahu bahawa iblis itu adalah bangsa jin, tetapi kerana Iblis itu sudah lama beribadat kepada Allah SWT, dia telah diletakkan bersama dengan para malaikat.

أَبَىٰ

“dia enggan

Semua malaikat sujud, tetapi iblis enggan. Perkataan ini bermaksud – tidak mahu mengikut arahan orang yang ada kuasa atas kita. Kadang-kadang ada kawan minta tolong dengan kita, tetapi kita enggan – itu adalah enggan juga tetapi bukan kepada orang yang berkuasa atas kita.

Keengganan Iblis itu adalah dosa besar kerana enggan menurut perintah Allah SWT. Allah SWT telah beri arahan khusus namun dia enggan.

وَاسْتَكْبَرَ

“dan dia sombong”

Kenapa dia enggan? Kerana ada perasaan sombong dalam hati. Kerana dia rasa dia besar. Sepatutnya dia taat sahaja kepada Allah SWT. Dia fikir dia lebih mulia sebab dia dijadikan dari api dan lebih mulia dari makhluk yang dijadikan dari tanah.

Iblis juga sombong kerana dia telah lama hidup dan telah lama beribadat kepada Allah SWT. Jadi dia rasa dia lebih layak dari Adam a.s. Kerana padanya, Adam a.s baru sahaja dijadikan dan tidak buat ibadat lagi pun. Dia rasa ibadat dia telah banyak. Maka ini pun bahaya kerana ada orang yang rasa senang diri sebab sangka yang dia ahli ibadat, pergi umrah banyak kali, maka dia rasa dia tentu hebat. Ini bahaya.

Apakah yang Iblis hendak? Dia sebenarnya hendakkan pangkat. Tetapi bukan pangkat yang tinggi pun. Kita sebagai manusia selalunya berebut pangkat pemimpin, pangkat tinggi dalam kerajaan dan sebagainya. Apa yang diberikan kepada Adam a.s adalah pangkat menjadi ‘hamba’ kepada Allah SWT. Itu adalah pangkat dalam agama juga. Ini bermakna, itu pun ada juga yang hendak berebut. Bukan setakat pangkat yang tinggi sahaja.

Jadi, kita boleh lihat bagaimana dalam masyarakat, ada yang berebut pangkat untuk jadi imam surau, berebut hendak menjadi siak masjid, atau jadi ahli jawatankuasa dalam surau. Pangkat dalam agama pun ada orang yang berebut. Jadi, berhati-hatilah. Jika kita pun seperti itu, maka kita telah mengikuti perangai Iblis.

Pada iblis, api itu jenis duduk di atas dan tanah duduk di bawah. Maka, dia fikir dia lebih mulia. Dia sendiri pakai reka fahaman sebegitu. Maknanya dia guna akal untuk tolak wahyu. Maknanya Allah SWT ajar kepada kita, yang guna akal tolak wahyu telah menjadi Iblis, maka kalau kita pun guna akal tolak wahyu, jadi iblis lah juga.

وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

“Maka jadilah dia dari kalangan yang kafir”

Maknanya, iblis telah melakukan dua kesalahan: enggan untuk taat dan sombong. Kita pun ada juga bersifat begitu. Hukum telah diberitahu tetapi masih enggan untuk ikut kerana degil. Begitu juga, ada yang sombong untuk terima ajaran yang benar, kerana mereka rasa mereka lebih pandai, lebih hebat dan lebih tinggi dari segi kedudukan.

Ada orang yang apabila diajak belajar tentang tauhid, enggan terima kerana sombong tidak mahu belajar. Mereka sombong kerana ingat mereka telah tahu.

Dari ayat ini, Allah SWT juga hendak mengatakan bahawa Iblis itu telah kafir sebelum disuruh sujud kepada Adam a.s lagi. Kerana perkataan yang digunakan adalah ‘كَانَ’, iaitu bermaksud yang telah lepas. Cuma dia menyembunyikan kekafirannya itu. Manusia pun ada juga yang sebegitu. Mereka simpan dalam hati sifat kekufuran mereka, tidak ditunjukkan. Pada mata manusia, mereka nampak macam orang Islam, tetapi dalam hati mereka, sebenarnya kufur.

Soalan: Apakah ubat kesombongan?

Jawapan: Kenali diri kita yang tidak ada hak apa pun untuk menjadi sombong.

Tafsir Ayat Ke-35:

وَقُلنا يا آدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ وَكُلا مِنها رَغَدًا حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّالِمينَ

“Dan Kami berfirman: “Wahai Adam a.s! TinggAllah SWT engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ

“Maka dititahkan kepada Nabi Adam a.s: Tinggallah kamu dan pasangan kamu dalam syurga”;

Allah SWT beri izin kepada Nabi Adam a.s untuk tinggal di dalam syurga.

Perkataan ‘سكن’ yang digunakan itu pun sudah bermaksud bahawa Nabi Adam a.s dan Hawa tidak akan tinggal lama di Syurga itu. Kerana makna perkataan itu dalam bahasa Arab adalah untuk tinggal sekejap sahaja dan akan meneruskan perjalanan ke tempat lain.

Dalam dalam ayat ke-30 Surah Baqarah ini pun Allah SWT telah berfirman kepada malaikat bahawa Dia hendak menjadikan khalifah di bumi. Maka, memang tempat Adam a.s adalah di bumi, bukan terus duduk di Syurga.

Dalam ayat ini Allah SWT bercakap terus kepada Nabi Adam a.s (dan tidak kepada Hawa sekali) kerana dia adalah ketua keluarga. Ketua keluarga dalam sesebuah keluarga itu adalah lelaki. Lelakilah yang kena sampaikan ajaran agama kepada anak dan isterinya.

وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا

‘‘dan kedua-dua kamu makanlah dengan penuh selera”

Makanlah seberapa banyak yang mahu, gunalah apa sahaja. Tidak ada sekatan.

حَيْثُ شِئْتُمَا

“di mana sahaja kamu ingini”

Maknanya, buatlah apa yang kamu berdua hendak buat, tetapi ada syarat:

وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ

“Jangan kamu hampiri pokok ini”

Ada pokok larangan. Ingat, nama pokok itu bukanlah ‘Pokok Khuldi’, tetapi ia adalah sejenis pokok. Tidak ada dalam nas yang sahih yang menyebut nama pokok itu. Yang kata nama pokok itu ‘Pokok Khuldi’, adalah Iblis, jadi kita tidak boleh pakai nama itu. Ada juga mufassirin yang kata pokok gandum, tetapi tidak dapat dipastikan dengan jelas.

Allah SWT titahkan dua perkara: titah suruhan dan titah larangan. Titah suruhan itu luas (buat apa sahaja, makanlah apa sahaja) tetapi titah larangan itu satu sahaja. Iaitu jangan dekati satu pokok. Pokok apa kita tidak tahu. Nabi tidak beritahu dan sahabat pun tidak tanya. Kita pun tidak perlu untuk tahu.

Oleh itu, satu sahaja larangan. Jika diikutkan mudah sangat sepatutnya. Yang lain buatlah apa hendak buat. Arahan yang bentuk umum dan satu larangan. Tetapi perangai manusia, yang dilarang itulah yang mereka hendak buat. Kadang-kadang bukan mereka hendak buat pun, tetapi kerana bisikan syaitan yang dengki kepada manusia.

Allah SWT hendak beritahu dalam ayat ini yang syariat Allah SWT itu mudah sahaja. Banyak benda yang boleh buat. Ada beberapa kerat larangan sahaja.

Begitu juga, yang disuruh buat adalah sikit sahaja dalam hal ibadat. Bukan kena buat ibadat sepanjang hari pun. Yang jadi berat itu adalah apabila manusia reka sendiri benda yang tidak disuruh dalam syarak. Iaitu yang menambah-nambah perkara yang bidaah yang kemudian menyusahkan manusia.

نَ

“maka kamu berdua akan jadi orang yang zalim

Ada muqaddar (tambahan) dalam ayat ini. Iaitu kalimah “kalau kamu dekat juga pokok itu).

Maknanya selepas Allah SWT beritahu larangan, Allah SWT beritahu juga apa yang akan terjadi kalau mereka langgar juga larangan itu, iaitu mereka akan dikira sebagai orang yang zalim. Ini adalah ancaman dari Allah SWT. Mereka akan dikira sebagai zalim kerana melanggar perintah dan akan masuk neraka.

Soalan: Sebenarnya arahan daripada Allah SWT mudah sahaja dan boleh dilakukan, tetapi disebabkan bisikan syaitan manusia jadi derhaka. Jadi cara untuk taat perintah Allah SWT, adakah kita kena kalahkan syaitan? Bagaimanakah caranya?

Jawapan: Di dalam Al-Quran disebut syaitan tidak ada kuasa ke atas mereka yang bertaqwa dan muhsin. Maka kena tingkatkan keimanan kita.

إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

“Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya.” [An-Nahl: 99]

Soalan: Adakah ini bermaksud Allah SWT turunkan Nabi Adam a.s a.s sebagai khalifah di bumi bukanlah disebabkan Nabi Adam a.s a.s telah melanggar perintah Allah SWT dan telah dikeluarkan dari syurga atau atas sebab hasutan iblis tetapi kerana Allah SWT sendiri telah menetapkan begitu sebagaimana dalam Al-Baqarah: 30?

Jawapan: Semua dalam perancangan Allah SWT. Ada hadis bagaimana Nabi Musa a.s. telah menyalahkan Nabi Adam a.s a.s. Lihat apakah jawapan baginda:

Imam Bukhari menuturkan, “Qutaibah bercerita kepada kami, Ayyub bin An-Najjar bercerita kepada kami, dari Abu Salamah, dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW, beliau bersabda, ‘Musa mendebat (Adam a.s), ia berkata padanya, ‘Kaulah yang telah mengeluarkan manusia (dari syurga) kerana dosa yang kau lakukan dan kau membuat mereka sengsara.’

Adam a.s berkata, ‘Hai Musa, kaulah yang dipilih Allah SWT dengan risalah dan kalam-Nya, patutkah kau mencelaku atas suatu hal yang telah ditakdirkan Allah SWT padaku sebelum Ia menciptakanku, atau atas takdirnya padaku sebelum Ia menciptakanku?”

Rasulullah SAW kemudian berkata, ‘Adam a.s akhirnya mengalahkan Musa’.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-6

0

Tafsir Surah Al-‘Alaq

Tafsir Ayat Ke-6:

كَلّا إِنَّ الإِنسانَ لَيَطغىٰ

“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas”

Dalam surah At-Tiin sebelum ini, telah diberitahu bagaimana kalau manusia melampau arahan Allah, maka mereka akan dijatuhkan serendah-rendahnya.

Seterusnya dalam bahagian berikut Surah Al ‘Alaq, Allah SWT menyatakan lagi mengenai sifat orang yang melampaui batas berserta punca (pada ayat ke-7 nanti).

كَلّا

Boleh diterjemahkan sebagai satu kata penekanan! Ia adalah untuk mengatakan kepastian mengenai apa yang akan disebutkan selepas ini.

Atau;

Ia boleh difahami sebagai ketegasan Allah kepada mereka yang melawan kehendak-Nya. Umpama kemurkaan Allah kerana sepatutnya manusia mendekatkan diri kepada Allah SWT, selepas Allah telah beri segala-galanya kepada mereka namun manusia ingkar kepada Allah SWT.

طغىٰ

Bermaksud perbuatan seseorang yang melampaui batas, walaupun sebenarnya ia tahu kebenaran sebenar.

Untuk memudahkan kefahaman tentang makna melampaui batas, kita lihat satu contoh sifat dari Surah [Al Mukminun: 5 – 7].

Kita hayati dulu antara ciri-ciri orang yang berjaya:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6)

“Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela”;

Namun sebaliknya:

فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

“Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas”

Soalan: Adakah jika seseorang itu tidak mahu ikut ajaran Al-Quran yang secara tidak langsung telah tidak taat dan melanggar hukum Allah.

Jawapan: Itulah sebenar-benar sifat melampaui batas. Telah ada petunjuk, tetapi berani mencari petunjuk yang lain.

لَوْ أَنزَلْنَا هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُۥ خَٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ ٱللَّهِ ۚ وَتِلْكَ ٱلْأَمْثَٰلُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

“Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir”.[Al-Hasyr: 21].

Kemurkaan Allah SWT adalah terhadap semua perkara, cuma sifat Tughyan yang paling dahsyat ialah mengingkari Al-Quran atau mencari selainnya.

Di dalam Al-Quran, “Togho” (atau Tughyan) ini disebutkan secara umum, melainkan ada satu nama yang Allah sebut khusus sebagai pelampau tersebut.

Orang tersebut ialah:

اذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ

“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas” [Taha: 24].

Ya, nama orang yang disebut secara jelas sebagai Toghut ialah Firaun. Ia adalah kerana Firaun teramat ingkar, melawan seruan Allah SWT. Bahkan berusaha pula membunuh pesuruh Allah (Nabi Musa as ). Perkara paling melampau ialah, sehingga sanggup mengaku sebagai Tuhan.

Firaun memang ‘Super Power Rangers’. Iblis pun tidak mengaku jadi tuhan. Sebab itu namanya tertulis dalam Al-Quran sebagai pelampau. Nama Firaun tercatat sebagai orang dikatakan Allah sebagai “Togho” (atau Tughyan) walaupun sememang ramai orang yang melampaui batas.

Soalan: Bagaimanakah mereka yang memberi gelaran kepada seseorang itu sebagai Fir’aun atau Maha Fir’aun?

Jawapan: Tidak boleh beri gelaran pada orang dengan gelaran yang dia tidak suka.

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُوا۟ خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَآءٌ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا۟ بِٱلْأَلْقَٰبِ ۖ بِئْسَ ٱلِٱسْمُ ٱلْفُسُوقُ بَعْدَ ٱلْإِيمَٰنِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُو۟لَٰئِكَ هُمُ ٱلظَّلِمُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.[Al-Hujurat: 11].

Ujian kepada seseorang itu kerana menjadi ahli maksiat, namun ujian juga kepada kita untuk mendoakan atau menghina diri mereka. Maka, sama-sama kita jaga hati kita, iaitu: hati-hati.

Itu adalah contoh secara individu, namun ada juga contoh “kaum” yang telah melampaui batas (Togho/Tughyan)

Dalam Surah [An Najm: 50-53]

وَأَنَّهُ أَهْلَكَ عَادًا الْأُولَىٰ

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang membinasakan kaum “Aad” yang pertama (kaum Nabi Hud),

وَثَمُودَ فَمَا أَبْقَىٰ

Dan kaum “Thamud” (kaum Nabi Soleh). Maka tidak ada seorang pun (dari kedua-dua kaum itu) yang dibiarkan hidup.

وَقَوْمَ نُوحٍ مِّن قَبْلُ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا هُمْ أَظْلَمَ وَأَطْغَىٰ

Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas.

Sebagai ringkasan ilmu baru:

Individu yang “melampau” dalam Al Quran: Firaun

Kaum yang melampaui dalam Al Quran: Aad, Tsamud dan kaum Nabi Nuh as.

Kaum Nabi Soleh a.s memang hebat, malangnya teknologi mereka tidak digunakan untuk taat kepada Allah SWT.

Oleh itu, kita telah mengetahui ciri-ciri “Togho” (Tughyan) serta contoh yang terdapat dalam Al- Quran.

Tazakkur kita:

Walau bagaimanapun, semoga sifat yang kita pelajari ini dapat memberi kita pengajaran agar menjadi hamba Allah yang taat.

Bukanlah kita mempelajari sifat dan istilah ini untuk menunding jari kepada orang lain, dengan menggelar fulan itu ialah Toghut, atau si fulan ini pelampau.

Boleh jadi kita sendiri sedang dalam bahaya, mendekati kepada sifat ini (tidak menyalurkan kurniaan pada jalan Allah).

Contoh:

– Kita mudah berjalan kepada perkara yang tidak berfaedah, namun tidak mampu berjalan ke rumah Allah.

– Kita berhabisan masa untuk melayan drama, ikuti siri demi siri. Namun, tidak kesempatan untuk belajar Al-Quran walau sebentar.

– Kita sanggup menghabiskan duit untuk perihal dunia, namun untuk urusan ibadah kita sebaliknya.

Ibrah dan Kesimpulan:

1. Hati-hati dengan sifat Tughyan. Ia bukan sahaja boleh berlaku kepada Firaun, namun terhadap diri kita, iaitu dengan mengingkari nikmat serta memilih jalan yang salah untuk hidup atas dunia.

Contoh: Boleh pilih bekerja dengan baik dan dapat gaji, tetapi hendak juga mencuri duit orang.

2. Sifat Tughyan ini sangat besar kesannya. Oleh itu, ambillah iktibar untuk diri sendiri. Mudah-mudahan dengan melihat diri dan membersihkan dari sifat Tughyan, akan turut memberikan contoh yang baik kepada yang lain.

لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَىٰهُمْ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ ۗ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنفُسِكُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ٱبْتِغَآءَ وَجْهِ ٱللَّهِ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

“Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allahlah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keridhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, niscaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikit pun tidak akan dianiaya (dirugikan)”.[Al-Baqarah: 272]

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-A’diyat – Tafsir Ayat Pertama hingga Ke-5

0

Tafsir Surah Al-A’diyat

Maksud: Kuda perang yang berlari kencang

Surah ke: 100 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 14 )

Bilangan ayat: 1

Kategori: Makkiyyah

40 kalimat, 169 huruf.

Kaitan dengan surah sebelum ( Az-Zalzalah ) :

Di dalam Surah Az-Zalzalah, telah disebutkan bagaimana bumi akan bergoncang dengan kuat (gempa) dan mengeluarkan segala kandungan dalam isi bumi. Ia akan mengadu tentang perbuatan manusia yang selama ini hidup di atasnya.

Manakala Surah Al-A’diyat, Allah SWT memberi gambaran sifat manusia, menjelaskan kenapakah bumi terlalu marah dengan perbuatan manusia.

Apakah yang manusia telah lakukan selama ini? Kerakusan, tidak pedulikan kesan perbuatan mereka.

Surah ini juga akan menerangkan bagaimana sifat manusia yang kufur, tidak mensyukuri nikmat Allah SWT, selalu tidak berpuas hati sahaja dengan apa yang mereka ada.

Tafsir Ayat Pertama:

وَالعادِياتِ ضَبحًا

“Demi kuda perang yang berlari kencang dengan termengah-mengah”,

Allah mula menceritakan tentang kuda dan bagaimana kuda itu sanggup buat kerja untuk tuan dia. Kuda itu sanggup berlari laju mengikut arahan tuannya, sampai keluar suara letih yang boleh kedengaran.

Surah ini dimulakan dengan Allah SWT “Bersumpah”. Huruf Wau َو sebagai isyarat bahawa ia adalah satu sumpah.

Ada beberapa sebab utama apabila Allah SWT menggunakan sumpahan :

1.Apabila ada perkara yang besar yang hendak disampaikan ( pernah dibincangkan dalam Surah At-Tiin )

2. Untuk menarik perhatian pendengar, serta membawa perkara yang dekat dengan manusia.

Oleh itu, 5 ayat pertama dari surah ini adalah untuk menarik perhatian masyarakat Arab untuk mendengar apa yang hendak dikatakan. Oleh itu digunakan kisah kuda yang boleh menarik perhatian mereka.

اْلَعاِديَاِت

Diambil dari kata dasar ع د و yang antara lain bermaksud permusuhan.

Ia memberi isyarat bagaimana suatu serangan sedang berlaku. Kalau kita fikirkan kepada pendengar dari kabilah Arab, sudah tentu kita dapat rasakan ia akan menarik perhatian kerana sifat mereka pada masa itu suka berperang dan menguji kekuatan.

ضَبحًا

Bermaksud : Helaan bunyi nafas.

Ia digunakan dalam ayat ini dalam bentuk adjektif untuk menerangkan bagaimana kuda-kuda itu berbunyi melepaskan nafas mereka dengan laju kerana mereka sedang berlari dengan laju.

Seolah-olah, ayat ini menarik imaginasi manusia untuk membayangkan serta merasai minat untuk mengetahui lebih lanjut.

Tafsir Ayat Ke-2:

فَالمورِياتِ قَدحًا

Dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya)

Huruf ف yang digunakan dalam ayat ini memberi isyarat yang ia adalah sambungan dari pertama.

Dalam surah Al-A’diyat ini, kisah kuda merupakan satu sumpah yang panjang.

Sebab itu antara sambungan ayat dengan huruf FA. Berbeza contohnya dalam surah Tiin. ( WA tiin WA Zaitun WA Tursinin WA haza….)

المورِياتِ

Bermaksud perbuatan yang menyebabkan api keluar.

Pergerakan kuda itu telah menyebabkan percikan api. Ini kerana kuda-kuda itu mempunyai ladam dari besi. Apabila ladam itu memijak kepada batu di bumi dengan kuat, maka ia akan menyebabkan percikan api.

Ini membawa satu pemandangan yang amat hebat sekali! Ia menambahkan kehebatan untuk melanjutkan ayat yang seterusnya dalam surah ini.

قَدحًا

Bermaksud : Pukulan yang amat kuat.

Kaki-kaki kuda itu menghentak bumi dengan kuat kerana ia sedang bergerak dengan laju. Bunyinya juga adalah kuat dan kita telah sebut sebelum ini bagaimana hentakan itu akan menyebabkan percikan api.

Seorang penunggang kuda, kena berani. Jika takut, kuda akan bermain-main. Mesti berada dalam keadaan cergas dan segar, jika tidak kuda juga akan lesu. Tidak boleh terlalu yakin / sombong, silap langkah kuda akan berlari membuli penunggang. Memang ini sifat yang hebat seorang penunggang kuda Islam satu masa dahulu.

Tafsir Ayat Ke-3:

فَالمُغيراتِ صُبحًا

“Dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi”,

Kuda-kuda itu sanggup menyerang pada waktu subuh atas arahan tuannya, sedangkan waktu itu adalah waktu kebanyakan manusia sedang lena.

المُغيراتِ

Bermaksud : serangan.

Ia bermaksud serangan yang kuat, serangan dari atas. Sekarang mereka yang menyerang itu berada tinggi di atas kuda, di atas dari mangsa mereka.

صُبحًا

Serangan ketika waktu Subuh adalah satu dari strategi yang dilakukan. Melihatkan waktu tersebut kebanyakan manusia lena.

Namun seperti kita ketahui, orang Islam yang berjiwa hebat tidak ada masalah sama ada Subuh atau tidak. Sebab orang Islam memang bangun awal, bersedia untuk Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-4:

فَأَثَرنَ بِهِ نَقعًا

Maka ia menerbangkan debu,

فَأَثَرنَ

Ia dari kata أثار yang bermaksud “menaikkan”.

نَقعًا

Debu tanah.

Terdapat 3 kalimah yang digunakan dalam Al-Quran untuk debu:

– Naq’a

– Ghabara

– Habaa [al manthoorah]

بِهِ

Dengannya.

Apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ia mungkin merujuk kepada:

  1. Tempat. Lokasi itu menjadi samar kerana debu-debu itu.
  2. Merujuk kepada debu. Menakjubkan kerana waktu subuh, tanah masih lembab. Tetapi ayat ini memberitahu debu masih tetap bertebaran.
  3. Boleh juga merujuk kepada hentakan kaki kuda-kuda itu yang menyebabkan debu-debu naik ke udara.

Tafsir Ayat Ke-5:

فَوَسَطنَ بِهِ جَمعًا

Dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh,

فَوَسَطنَ

Bermaksud menyerbu masuk ke tengah-tengah pihak lawan atau pihak yang diserang.

Dalam kisah ini, pasukan berkuda yang telah disebut dari ayat pertama lagi itu, telah masuk menyerbu ke tengah-tengah pihak yang diserang.

Apakah yang ingin digambarkan pada ayat ini?

1 – Keberanian. Sehingga lazimnya pasukan berperang mengambil kesempatan menyerang dari tepi, tetapi golongan pada ayat ini meluru ke tengah musuh.

2 – Mereka menyerang dengan berkumpulan.

جَمعًا

Bermaksud semua sekali.

Tidak ada tinggal di belakang untuk mengawal atau sebagai pasukan bantuan. ‘Semua sekali’ itu boleh juga bermaksud pasukan yang menyerang dan diserang dua-dua berperang sesama sendiri.

Ibrah dan kesimpulan :

1. Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan sesuatu makhluk itu sebagai sia-sia, tetapi sebagai manfaat kepada manusia untuk mengambil iktibar dari kejadian tersebut.

Dalam konteks kuda, manusia bukan sahaja digalakkan untuk mengambil manfaat secara fizikal ( berkuda, berlatih memimpin dan menjaga kuda ), bahkan sifat-sifat kekuatan dalaman juga harus dicontohi.

Betapa kuda makhluk yang hebat, namun sedia untuk dilatih dan digunakan dalam banyak perkara. Apatah lagi manusia yang terbaik kejadiannya, sepatutnya mempunyai sikap yang lebih baik lagi.

2. Secara tidak langsung dalam permulaan surah ini, Allah SWT bercakap / menarik perhatian manusia dengan perkara yang hampir di sisi mereka. Memberikan pengajaran kepada kita agar mempelajari cara terbaik untuk berkomunikasi.

Setidaknya dalam kita menyampaikan ilmu atau pengajaran, raikan persekitaran dengan baik. Tidak bercakap dengan “syok sendiri” namun orang lain tidak faham dan tidak dapat memberikan perhatian.

3. Dalam dunia begitu moden ini, pemanfaatan kuda memang telah jauh berkurang. Kini aktiviti berkuda lebih banyak dijadikan sebagai hobi atau olahraga.

Namun simbolik yang sama tidak akan berubah, iaitu kuda hari ini boleh dilambangkan sebagai pengangkutan yang hebat, laju, kuat, digemari atau disayangi.

Namun apakah yang perlu diberi perhatian terhadap nikmat Allah SWT seumpama ini?

Sambungan nanti dalam firman Allah SWT yang seterusnya :

إِنَّ الإِنسانَ لِرَبِّهِ لَكَنودٌ

“Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya”,

Allahu a’lam.

Popular

Iklan

Iklan