Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Masalah Ruam, Kegatalan, Demam dan Kencing Berdarah

Masalah Ruam, Kegatalan, Demam dan Kencing Berdarah

519
0
Iklan

1. Mengapakah jika kita duduk lama di atas lantai seperti melipat kain, ketika hendak bangun terasa sakit di bahagian perut. Saya pernah menjalani pembedahan untuk melahirkan anak ketiga (kembar) dari belakang. Usia saya sekarang adalah 40 tahun keatas. Apakah ia tanda-tanda ‘menopause’? 

Tidak pasti apakah yang menyebabkan sakit perut, kemungkinan ada ‘nerve compression’(mampatan saraf) pada tulang belakang yang pernah dibedah.

 

2. Ibu-ibu hamil digalakkan untuk mengambil omega untuk kebaikan janin. Betulkah pengambilan omega perlu dihentikan pada bulan kelapan kehamilan kerana dipercayai omega mencairkan darah dan dibimbangi risiko tumpah darah semasa bersalin nanti?

Pengambilan omega memang digalakkan semasa mengandung dan setakat ini tiada lagi kes pendarahan jika diamalkan secara berterusan semasa mengandung. Pendarahan hanya berlaku jika ianya diambil secara berlebihan. Walau bagaimanapun, patuhi nasihat doktor yang merawat anda semasa mengandung.

 

3. Saya jarang bersarapan pada awal pagi. Jika saya makan di awal pagi saya akan mengalami sakit perut, loya dan juga sering alami muntah-muntah. Kebiasaannya saya makan pada pukul 11.00 pagi. Mengapa saya alami masalah ini?

Waktu sarapan adalah di antara jam 7 pagi hingga 9 pagi. Selepas waktu itu sudah tidak dipanggil sarapan lagi. Punca sakit perut dan loya berkemungkinan kerana makanan yang tidak sesuai untuk sarapan atau berkemungkinan kerana perut dan usus yang tidak sihat.

Sebenarnya kita boleh ‘train’(latih) perut kita untuk menerima makanan. Contohnya, jika kita jarang memakan sayur, perut kita akan rasa sakit dan kembung. Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan memakannya sedikit dahulu dan tambah lagi setelah beberapa hari dan seterusnya. Begitu juga dengan sarapan pagi, mulakan dengan makan sedikit dan kita tambah lagi kuantiti/jumlah makanan selepas beberapa hari dan seterusnya.

 

4. Penyakit apakah yang selalu menyebabkan kulit kaki sering mengelupas dan apakah langkah untuk mengatasi masalah ini?

Kulit kering dan mengelupas adalah berkemungkinan kerana:

  1. Kurang kelembapan
  2. Reaksi kepada sabun atau pencuci lantai yang ‘harsh'(kasar) untuk kulit
  3. ‘Eczema’
  4. Jangkitan kulat

 No. 3 dan 4 kebiasaannya mengalami kegatalan. Apabila kita sudah tahu apakah puncanya barulah kita boleh mengubatinya.

 

5. Benarkah bahawa ubat-ubatan tidak dikenakan GST sepertimana yang diiklankan di televisyen?

Ubat-ubatan ada yang tidak dikenakan GST dan ada yang dikenakan GST

 

6. Saya ingin bertanya kepada doktor kenapakah saya makan banyak tetapi tidak gemuk?

Besar kemungkinan kadar metabolisme asas tuan tinggi. Tetapi jika ada tanda-tanda seperti tangan asyik basah kerana peluh, menggigil, berdebar debar, terasa bahang, bola mata rasa hendak terkeluar, buatlah pemeriksaan. Kemungkinan hormon tiroid tinggi.

 

7. Anak lelaki saya berusia 5 tahun. Jika dia mengalami demam saya akan bawa ke klinik. Apabila pulang dari klinik dia beransur sihat tanpa memakan sebarang ubat. Saya merasa pelik bagaimana ini boleh terjadi

Alhamdulillah, seperti rindu kepada doktor sahaja. Demam biasanya disebabkan oleh kuman virus dan akan pulih sendiri. Tempoh kesembuhannya bergantung kepada sistem imuniti individu. Ubat yang diberikan hanya untuk memberi sedikit keselesaan dan bukannya untuk menyembuhkan demam atau selsema.

 

8. Apakah punca masalah kencing berdarah? Kawan saya telah meminum sebiji lemon beserta kulitnya dicampur dengan madu dan minyak zaitun. Keesokannya dia berasa sakit dan mendapati ada darah di dalam air kencing. Ia berlaku sekali itu sahaja.

Punca-punca kencing berdarah adalah seperti:

  • Batu karang
  • Jangkitan pada salur kencing dan pundi
  • Kanser pada pundi
  • Radang pada buah pinggang dan lain-lain lagi

Kebiasaannya jika sekali sahaja kita tidak boleh berbuat apa-apa apabila ujian pada air kencing yang tiada darah secara mikroskopik.

 

9. Apakah normal bagi seorang lelaki jika selepas kencing akan keluar cecair putih kepekatan?

Cecair pekat yang keluar selepas kencing itu ialah cairan dari ‘prostate’ dan normal bagi lelaki terutama bagi mereka-mereka yang melakukan aktiviti fizikal yang berat.

 

10. Kulit saya mengalami tompokan merah. Kemungkinan alahan atau gigitan serangga. Rawatan apakah yang sesuai untuk menghilangkan tanda parut dan kemerahan serta rasa gatal bila terkena panas?

Boleh cuba krim vitamin E. Namun kebiasaannya warna hitam pada parut akan hilang selepas tiga bulan.

 

11. Ruam sering timbul pada kulit saya terutama di kawasan kulit yang ditutup oleh pakaian dalam. Saya kerap bertemu doktor untuk menyelesaikannya. Kebiasaannya doktor akan berikan preskripsi krim. Oleh kerana terlalu kerap berulang ke klinik akhirnya saya membeli krim di farmasi saja. Setakat ini krim yang cepat berkesan bila digunakan adalah Candid B. Adakah sebarang kesan sampingan jika saya gunakan ia dalam jangkamasa yang panjang untuk mencegah ruam yang timbul pada kulit?

Candid B merupakan kombinasi dua jenis ubat iaitu steroid dan ‘antifungal’(antikulat). Jika digunakan dengan sapuan yang nipis inshaa Allah kesan sampingannya adalah minima. Selain dari itu boleh juga amalkan dengan kerap mandi dan menukar pakaian dalam.

 

12. Adakah ruam itu terjadi disebabkan oleh kekurangan vitamin tertentu? Selalunya saya mandi hanya dua kali sehari. Ruam akan timbul bila kulit berpeluh. Setiap bulan ruam akan timbul sekurang-kurangnya seminggu

Setakat pengetahuan saya ruam bukan disebabkan kekurangan vitamin tertentu. Ia berkemungkinan disebabkan oleh kelembapan badan kita atau material pakaian dalam yang kita pakai. Lebih baik jika kita dapat memastikan pakaian dalam dari jenis kain kapas dan mandi lebih dari tiga kali sehari. Apabila kulit kita lembap ia akan memudahkan pertumbuhan kulat yang menjadi punca ruam dan kegatalan.

 

13. Bolehkah krim vitamin E menghilangkan kegatalan? Bila bertemu doktor di klinik beliau memberikan krim steroid.

Krim vitamin E adalah untuk menghilangkan parut. Steroid perlu disapukan sedikit sahaja. Jangan sapu sehingga nampak putih bertompok-tompok tetapi sapu secara perlahan-lahan sehingga hilang warna putih. Jangan ditenyeh.

 

14. Kenapakah saraf tubuh kita bergetar? Seperti menggigil. Apakah penyakitnya? Setakat ini saya bertemu dengan dua orang wanita yang mengalaminya. Saya berasa tidak selesa ketika bersalam dengannya. Seolah-olah dia menarik tenaga saya kepadanya.

Mungkin mereka terdiri dari:

  • Warga emas
  • Orang yang ada ‘essential tremor’ (ketar)
  • ‘Parkinson’s disease’
  • Orang yang mempunyai kerosakan pada sistem koordinasi.

 

15. Bolehkah kita cegah dari terjadinya kerosakan pada sistem koordinasi itu?

Sistem koordinasi rosak disebabkan oleh strok, ketumbuhan, ‘syphilis’ dan lain-lain lagi. Oleh itu, perlu dielakkan dari mendapat penyakit ini namun ketumbuhan adalah sesuatu yang di luar daripada kawalan kita.

 

16. Tangan anak saya selalu berpeluh dengan banyak. Anak saya berumur 14 tahun. Apakah yang menyebabkan tangannya berpeluh dengan banyak? Bagaimanakah cara untuk mengubatinya?

Jika berpeluh dengan banyak sehingga mengotorkan buku ini kita panggil ‘polyhidrosis’. Untuk mengubatinya perlu bertemu dengan doktor pakar kerana kadang-kadang ia melibatkan pembedahan mikro untuk memotong saraf yang merangsang kelenjar peluh. Jika tidak begitu teruk saya rasa boleh gunakan krim. Berjumpalah dulu dengan doktor pakar untuk kepastian.

 

17. Apakah pendapat doktor mengenai diet Atkins? Adakah ia baik atau tidak?

Atkins diet mengandungi protein dan lemak yang tinggi serta sangat rendah karbohidrat. Kemungkinan perlu diubah sedikit jumlah/kuantiti keperluan makanan harian :

  1. Sayur-sayuran – 4 hingga 6 cawan
  2. Protein yang cukup (sebahagiannya dari tumbuhan) – 1/4 pinggan
  3. Lemak yang bagus – Omega 3, 9
  4. Karbohidrat kompleks dari ‘wholemeal’ bijirin, kekacang dan beras perang – 1/4 pinggan
  5. Air kosong yang bersih. 2L dan 1L dari buah-buahan, sayur-sayuran dan lauk (sup)

 

18. Adakah ubat Ibuprofen dan Paracetamol bagus untuk memulihkan demam? Atau Paracetamol sahaja sudah cukup?

Kedua-duanya boleh digunakan apabila demam. Paracetamol mempunyai antidemam yang lebih baik. Jika menggunakan Ibuprofen pada demam denggi akan menyebabkan pendarahan lebih teruk. Oleh itu perlu berhati-hati.

 

19. Doktor, apakah fungsi Ibuprofen sebagai agen antibiotik atau ‘pain-killer’? Adakah Paracetamol sudah memadai sebagai anti-demam?

Ibuprofen ialah ‘anti-inflammatory’(antiradang) dan sedikit ‘antipyretic’ (dapat menurunkan suhu badan). Kita jarang menggunakan Ibuprofen untuk demam. Kita hanya gunakan Paracetamol. Namun saya tidak pasti jika kombinasi Paracetamol dan Ibuprofen ini wujud atau tidak kerana belum pernah jumpa lagi.

 

20. Sahabat saya mengalami sakit lutut yang agak kronik. Sebelum ini dia pernah mendapat rawatan menggunakan kaedah suntikan jel ke dalam lutut namun masih tiada perubahan. Doktor ada menasihatkan dia selain memakan ubat glucosamine sulfate 500 – 3 kali sehari, dia perlu juga melakukan senaman. Dia juga memakan Habbatus sauda dan minyak zaitun. Apakah pandangan doktor jika dia menambah kolagen sebagai makanan tambahan?

Bolehlah cuba tetapi saya tidak pasti akan keberkesanannya. Beliau juga boleh cuba terapi PRP (Platelet Rich Plasma) dan jikalau sangat mengganggu, boleh buat ‘total knee replacement’.

 

21. Benarkah penggunaan fluorida tidak bagus untuk kesihatan dan kesejahteraan umat manusia sejagat?

Setahu saya golongan antifluorida yang sentiasa mendakwa dari dulu bahawa fluorida beri banyak keburukan seperti kanser terhadap kesihatan tubuh badan. Seperti juga golongan antivaksin. Berjela-jela panjang alasan mereka tetapi belum terbukti secara ilmiah. Jika dari segi kesihatan gigi, fluorida sangat membantu proses ‘remineralisation’ (proses ke arah mengembalikan kekuatan dan fungsi dalam struktur gigi). 

Cuma untuk kanak-kanak, penjaga perlu memantau mereka supaya tidak menelan ubat gigi yang mengandungi fluorida. Jika perbuatan ini menjadi amalan kanak-kanak tersebut, ia boleh menyebabkan ‘dental fluorosis’(kecacatan enamel gigi yang disebabkan oleh pengambilan fluorida yang berlebihan). ‘Water fluoridation’ (penambahan fluorida terkawal untuk bekalan air bagi mengurangkan kerosakan gigi) pun bagus tetapi ada hadnya mengikut ppm air.

Mungkin sejarah kenapa fluorida digunakan boleh membantu. Kebiasaannya golongan-golongan ini lupa akan sejarah. Jika mereka tahu sejarah, mereka tidak akan persoalkan.

Komen dan Soalan