Utama Blog Halaman 155

Kepercayaan Pada Akhirat

0

Kepercayaan Pada Akhirat

Tafsir Al-Insan: Ayat Pertama hingga Ke-9 – sebagai Dalil Kepercayaan Pada Hari Akhirat

Bahagian 1

Dalam surah Al-Qiyamah, Allah SWT memberitahu bahawa ahli Neraka adalah:

1. Dalam keadaan sedar ketika nyawa sedang dicabut.

2. Malaikat bertanya; siapakah yang boleh selamatkan kamu dari kematian?

3. Orang engkar itu berkata dukun atau doktor kerana masih lagi dia tidak beriman kepada Allah SWT; hendak minta tolong kepada doktor atau bomoh juga.

4. Yakinlah dia bahawa dia akan mati.

5. Tidak boleh buat apa-apa lagi kecuali kepit kaki kiri dengan kanan, sambil nantikan nyawa dicabut.

6. Yakinlah dia bahawa dia akan kembali menghadap Tuhan-nya.
[Al-Qiyamah: 26 – 30]

Sebab-sebab engkar:

1. Tidaklah Dia membenarkan tauhid iaitu mengEsakan Allah SWT

2. Tidak solat

3. Tolak ayat-ayat Allah SWT

4. Berpaling daripada terima ajakan tauhid.

5. Tetapi dia balik jumpa keluarganya dengan sombong kerana boleh mengejek-ngejek orang yang mengajaknya pada tauhid.
[Al-Qiyamah: 31 – 33].

Inilah ringkasan dari Al-Qiyamah. Surah Al-Insan ini pula, manusia akan bertemu dengan amal-amal baik atau buruk masing-masing. Orang engkar akan diazab dengan azab khas.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ هَلْ أَتَىٰ عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا
[Al-Insan: 1]

Ayah Aji mengajar surah ini dengan menyebut demi berkat nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ayat ini bermula dengan soalan khas daripada Allah SWT terhadap kita.

Bab 1
Sungguh-sungguh telah datang kepada manusia suatu waktu di mana pada waktu dahulu tidak pernah wujud.

Bab 2
Tidaklah dia terjadi apa-apapun kerana Allah SWT belum menciptanya.

Bab 3
Tidaklah dia disebut-sebut sama ada namanya atau sifatnya atau rupa parasnya, iaitu, Allah SWT mengungkit penciptaan-Nya akan kita semua. Sebelum ini, ibubapa kita pun tidak tahu akan lahirnya diri kita sendiri sama ada lelaki atau perempuan.

Pelajar: Macamana yang dikatakan kepit kaki tu Ayah Aji?

Ayah Aji: Al-Qiyamah: 29 mengatakan bahawa betis kiri kepit betis kanan, maksudnya, sudah tidak boleh hendak buat apa-apa lagi semasa hendak dicabut nyawa atau di Mahsyar.

إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا
[Al-Insan: 2]

Allah SWT mengungkit penciptaan-Nya.

Bab 1
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari sperma yang bercampur dengan benih perempuan.

Bab 2
Iaitu dengan tujuan untuk Kami uji mereka siapa di antara mereka yang terbaik amalannya.

Bab 3
Maka Kami telah jadikan untuknya alat-alat yang mereka boleh guna mencari kebenaran:

A. Pendengaran – alat mendengar, supaya mereka belajar.

B. Penglihatan – alat melihat, supaya mereka boleh membaca kitab Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Kedua alat ini disertakan dengan hati atau akal supaya mereka boleh memilih jalan benar atau sesat.

إِنَّا هَدَيْنَاهُ السَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرًا وَإِمَّا كَفُورًا
[Al-Insan: 3]

Bab 1
Sungguh-sungguh Kami menunjukkan mereka jalan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW untuk mereka memilih.

Bab 2
Sama ada yang bersyukur iaitu mengEsakan Allah SWT sahaja.

Bab 3
Dan sama ada yang engkar pada ajakan tauhid.

إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ سَلَاسِلَ وَأَغْلَالًا وَسَعِيرًا
[Al-Insan: 4]

Bagi mereka yang engkar tauhid

Bab 1
Sesungguhnya Kami telah sediakan khas untuk orang-orang engkar tauhid rantai-rantai besi.

Bab 2
Dan ditambat tangan mereka pada leher.

Bab 3
Dan dipanggang ke api yang menyala-nyala.

إِنَّ الْأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِنْ كَأْسٍ كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورًا
[Al-Insan: 5]

Bagi mereka yang bersyukur iaitu menerima ajakan tauhid.

Bab 1
Sesungguhnya orang-orang yang baik iaitu:

1. yang berakal waras.

2. yang mendirikan solat dan beramal soleh sepertimana Nabi SAW ajar.

3. yang menyebarkan agama tauhid ini kepada semua manusia.

Bab 2
Akan minum dari gelas-gelas perak atau emas arak-arak yang bercampuran kafuura.

عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ اللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا
[Al-Insan: 6]

Kafuura itu apa?

Bab 1
Kafuura adalah sejenis mata air yang dicampur pada arak Syurga yang tidak mabuk dan tidak pening kepala apabila diminum serta tiada keladak pun.

Bab 2
Ahli Syurga Allah SWT akan meminumnya di dalam Syurga.

Bab 3
Mereka boleh pancarkan atau alirkan ke arah mana mereka hendak pancarkan atau alirkan.

Maksudnya:

Air sungai dalam Syurga boleh diubah-ubah arah mengikut kehendak ahli Syurga itu. Contohnya, masuk ikut pintu depan, naik ke tingkat-tingkat atas, keluar ikut pintu dapur atau alihkan ke siling, ke semua bilik-bilik.

Sungai-sungai dalam Syurga ada 4 untuk setiap penghuni Syurga. Sungai dunia, dalam parit besar tanah, ada air mengalir. Tetapi sungai-sungai di Syurga mengalir tanpa ada bekas macam sungai dunia hanya airnya sahaja yang mengalir mengikut arahan tuannya dan ada mata-mata air. Kafuura yang berbau wangi serta lazat bercampur dengan sungai arak. Tiga sungai lagi ialah dari madu, susu dan air biasa. Wallahua’lam.

Siapakah mereka penghuni Syurga ini?

يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا
[Al-Insan: 7]

Bab 1
Mereka ini menunaikan nazar-nazar mereka bila mereka bernazar dahulu di dunia, iaitu, bila bernazar, mereka tunaikan. Kalau tidak dapat tunai nazar, hendaklah membayar kifarah nazar tersebut. Satu nazar, kifarahnya, beri makan 10 orang miskin sehari.

Ada orang berjanji hendak derma. Dia hendaklah tahu dia telah berjanji atau bernazar dengan Allah SWT tetapi dia berkata kepada orang yang dia hendak derma sama seperti berkata kepada Allah SWT. Contohya, dia berjanji hendak belajar. Jika dia tidak belajar, itu juga perlu kifarah nazar.

Bab 2
Dan mereka takut pada hari yang azabnya merata-rata iaitu mereka takut hendak buat syirik dan bid’ah serta dosa-dosa besar dan kecil. Mereka takut Allah SWT tidak terima keampunan dosa mereka. Mereka takut kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang Allah SWT hendak buat kepada mereka sedangkan mereka ini golongan yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا
[Al-Insan: 8]

Mereka memberi makan kepada orang-orang miskin dan anak-anak yatim serta tawanan perang dari makanan yang mereka suka makan, iaitu, tidak boleh beri makanan yang buruk atau yang hampir-hampir basi. Apa yang kamu suka makan itulah juga makanan yang di derma kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim serta tawanan perang.

Pada zaman Nabi SAW dan sahabat, tawanan perang itu adalah orang-orang kafir. Jika kamu berikan makanan yang kurang dari itu pun boleh tetapi tidak boleh makanan yang hampir basi.

إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنْكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا
[Al-Insan: 9]

Syarat selain daripada perkara ini.

Bab 1
Sesungguhnya pemberian makanan kamu itu untuk mencari redha Allah SWT. Dari hadis [Tirmizi: 1910], boleh menghapuskan dosa.

Bab 2
Kamu tidak ingin apa-apa balasan daripada mereka; buat kerana suka.

Bab 3
Dan tidak meminta atau berharap orang berterima kasih kepada kamu. Begitulah untuk mereka yang ada harta. Bagi ulama-ulama yang miskin pula, derma mereka ialah ilmu agama yang mereka ada. Mereka tidak mengharapkan balasan upah atau ucapan terima kasih daripada orang-orang yang mereka ajar.

Pelajar A: Bolehkah buat derma dengan mengharap balasan dari Allah SWT?

Pelajar B: Inilah tawassul dengan amalan soleh

Pelajar C: “Ada orang berjanji hendak belajar. Jika dia tidak belajar, itu juga perlu kifarah nazar”. Maksudnya, kalau pernah terlintas di hati, rasa macam hendak derma, tetapi tidak derma sebab mungkin terlupa atau tiba-tiba ada hal keperluan lain, kena kifarah jugakah?

Ayah Aji: Itu bukan nazar. Kalau kata kepada ustaz atau sesiapa atau kepada Allah SWT, itulah nazar. Kalau hendak derma pada agama, simpan sahaja dalam hati, bila ada duit, dermalah. Kalau kita bernazar kemudian kita tidak tunai, jika Allah SWT kehendaki, Allah akan beri kepada orang itu bala. Pernah sorang mudir madrasah beritahu Ayah Aji, ada seorang hendak derma beras, sekian-sekian banyak sebulan, di madrasahnya. Dia pula ada gudang beras. Jumlah beras itu sikit sahaja yang dia nazar. Bertahun-tahun dia derma, kemudian suatu hari dia tidak tunaikan nazarnya lagi. Akibatnya, semua duit simpanannya habis dan stok berasnya, bernilai beratus ribu, pun habis. Dia ditimpa bala sehingga dia bertaubat dan tunaikan semula nazarnya itu. Jadi nazar ini jangan dibuat ringan. Kalau tidak boleh hendak tunaikan mestilah dia tebus dengan kifarah nazar.

Kifarah Nazar

Satu cupak beras seorang, untuk 10 orang miskin. Satu cupak agak-agak dalam 1.5 ke 2 kg beras. Agak-nya dalam RM50 beras untuk 10 orang miskin atau kepada pelajar-pelajar madrasah. Semua Ayah Aji beritahu itu dari [Al-Maidah: 89].

Dahulu kiraan dalam cupak, 4 cupak satu gantang. Sekarang kita guna kilogram. Ayah Aji kata agak-agak satu cupak bersamaan 1.5 ke 2 kg. Oleh itu, satu cupak seorang miskin bersamaan dengan 2 kg. 10 orang bersamaan dengan 20 kg dengan nilai RM2.50 per kg bersamaan dengan RM50. Kalau terlupa, maka baik bayar fidyah.

Wallahua’lam.

Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-32 hingga Ke-36

0

Cabang-Cabang Iman

Cabang Iman Ke-32:

Bersyukur

“Telah menceritakan kepada kami Abu Nu’aim berkata, telah menceritakan kepada kami Mis’ar, dari Ziyad berkata; aku mendengar Al Mughirah radliallahu ‘anhu berkata; “”Ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bangun untuk mendirikan shalat (malam) hingga tampak bengkak pada kaki atau betis, Beliau diminta keterangan tentangnya. Maka Beliau menjawab: “”Apakah memang tidak sepatutnya aku menjadi hamba yang bersyukur?”””

Antara amalan menzahirkan kesyukuran meningkatkan pengabdian.

Tasdiqkan lah dalam setiap amal dan perbuatan kita adalah semata-mata nikmat dan rahmat dari ALLAH SWT.

Sampaikanlah akan kelebihan bersyukur.

Amalkan dengan sentiasa bersyukur.

Cabang Iman Ke-33

Menjaga lisan (lidah)

Dengan lidah kita boleh ucap atau lafaz Syahadatain dan dengan lidah juga kita boleh tergelincir ke lembah syirik.

Betapa banyak sunnah Nabi SAW melalui lidah dan sebegitu juga banyaknya maksiat boleh dilakukan oleh lidah.

Tasdiqkan lah bahawa memelihara lidah adalah satu tuntutan dan bahagian amal yang sangat-sangat penting.

Tablighkan lah sunah-sunnah berkaitan amalan lisan dan ancaman-ancaman maksiat lisan.

Amalkanlah dengan melazimkan lidah kita dengan sunah, tilawah Al-Qur’an, menyampaikan agama, bercakap yang benar, melazimkan zikir dan doa masnun, dan pelbagai lagi sunnah lisan. Elak dari bercakap sesuatu di luar ilmu kita.

“Telah menceritakan kepada ku Ahmad bin Isykab, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Fudlail, dari ‘Umarah bin Alqa’qa’, dari Abu Zur’ah, dari Abu Hurairah, radliyallahu’anhu, ia berkata, “”Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “”Ada dua kalimat yang disukai Ar-Rahman, ringan di lisan dan berat di timbangan, iaitu SUBHANALLAH WABIHAMDIHI dan SUBHAANALLAAHIL’AZHIIM.””” Al-Bukhari dalam Sahihnya.

Ringan di lidah, berat di timbang.

Cabang Iman Ke-34

Menjaga Amanah

Amanah adalah suatu tugas atau kerja yang diberikan kepada seseorang.

Amanah biasa dikaitkan dengan sesuatu kurniaan atau pemberian.

Misalnya manusia dikurniakan akal dan diberi jawatan khalifah di muka bumi dan dengan jawatan itu amanahnya adalah untuk memakmurkan alam ini.

Amanah apabila bergelar ibu atau bapa.

Amanah apabila bergelar umat Nabi Muhammad SAW

Maka tasdiqkan lah bahawa betapa banyak AMANAH yang Allah SWT pikulkan kepada insan, bahkan ia lagi besar apabila insan itu beriman dengan perintah di dalam Al-Quran dan contoh daripada Sunnah Rasulullah SAW.

Sampaikanlah akan amanah-amanah tersebut dan ancaman mereka yang mencuaikan amanah.

Amallah dengan mengetahui amanah-amanah yang terpikul dan akan ditanya kelak dan tunaikanlah amanah sebaik mungkin seperti mana Rasulullah SAW telah menunaikan amanah risalah ALLAH SWT.

Mafhum hadis setiap manusia adalah gembala dan akan ditanya akan hal gembalanya.

Cabang Iman Ke-35

Haram Membunuh

Allah SWT mengharamkan membunuh jiwa tanpa sebab.

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.[Al-Ma’idah – 32].

Balasan bagi mencabut nyawa manusia adalah qisas, yakni dibalas dengan setimpal, yakni dicabut nyawa pelakunya.

Tasdiqkan lah akan pengharaman perkara ini.

Tablighkan lah akan haramnya perkara ini dan ancaman qisas di dunia dan balasan berat di akhirat

Amallah dengan menjadi manusia yang selamat jiwanya daripada niat mahu mencabut nyawa orang lain tanpa sebab. Cegahlah perkara ini dari dilakukan oleh orang lain.

Cabang Iman Ke-36

Menjaga Kehormatan

Kehormatan yang dimaksudkan di sini adalah berkaitan dengan faraj dan zakar.

Kemaluan manusia adalah sumber kepada maksiat zina dan maksiat seks yang lain seperti homoseksual.

Dalam Al-Qur’an disebut:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [ Al-Isra’: 32].

Tasdiqkan lah akan perintah Allah SWT menjaga kehormatan ini dan pelbagai ancaman terhadap mereka yang melewati batas ini, termasuk di hudud dan di takzir.

Sampaikanlah akan buruknya amalan zina dan maksiat seks ini yang akibatnya sangat rumit di dunia ini dan seksanya amat berat di sana.

Amallah dengan menjaga kehormatan dari perkara-perkara yang boleh mencetus kepada maksiat berkaitan seks, antaranya pergaulan bebas, menonton bahan lucah dan sebagainya. Mulakan dengan membina kehidupan yang terhormat dengan menutup aurat yang sempurna dan menjaga pandangan mata.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-‘Asr – Tafsir Ayat Ke-2

0

Tafsir Surah Al-‘Asr

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan ayat yang pertama :

1. Hikmah dari kedudukan Surah Al-‘Asr dan sumpahan Allah SWT dalam Al-Quran.

2. Beberapa pengertian “masa” yang boleh difahami dari Al-‘Asr.

3. Iktibar dari surah seumpama modal yang terus berjalan, mencetuskan rasa pentingnya untuk bersegera menambah amal kebaikan selagi sempat di atas dunia

Setelah Allah SWT membicarakan mengenai masa, maka ia seumpama modal. Oleh itu dalam pemberian “modal” tersebut, Allah SWT mengingatkan kepada kita mengenai suatu risiko yang dipanggil kerugian!

Tafsir Ayat Ke-2:

إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ

Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,

إِنَّ

“Sesungguhnya” . Bermaksud : Tidak syak lagi.

Kalimah penekanan ini (taukid) digunakan untuk memberi lebih penekanan agar pendengar memberi perhatian. Ayat ini pada mulanya disampaikan kepada musyrikin Mekah, kerana mereka tidak yakin dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Maka Allah SWT berikan penekanan dalam ayat-Nya ini.

Namun, ayat ini bukanlah ditujukan kepada musyrikin Mekah sahaja atau kepada orang kafir sahaja, namun ianya ditujukan kepada semua manusia. Ia adalah pengajaran kepada seluruh manusia kerana selagi manusia dapat hidup atas dunia, bermakna dia mempunyai “masa” yang diberikan oleh Allah SWT.

Oleh kerana itu juga dalam ayat seterusnya, Allah SWT meletakkan pengecualian. Jadi ayat ini merujuk kepada semua manusia. Pengecualian hanya kepada mereka yang melakukan empat perkara yang akan disebut dalam ayat seterusnya nanti.

Taukid : (kalimah arab) yang bermaksud penguat. Dalam Bahasa Arab, ada bentuk ayat yang menggunakan taukid. Ia untuk menguatkan lagi maksud ayat tersebut. Contoh dalam Bahasa Melayu:

  1. Saya hendak ke pasar
  2. Saya betul-betul hendak ke pasar

Tidak selalu umur dan kematangan jalan seiring, tetapi kita kena akui ia berkaitan rapat sebab itu ada juga dalam Al-Quran, kisah Rasul-rasul yang memperoleh “hikmah” (kematangan / kebijaksanaan) setelah umur tertentu contoh surah [ Yusuf (12): 22 ]:

Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Dalam ayat ini, kalimah yang digunakan untuk merujuk kepada manusia adalah :

الإِنسانَ

Ia adalah diambil dari kalimah Nisyaan – bermaksud pelupa.

Ini kerana sememangnya manusia itu bersifat pelupa. Oleh sebab itu manusia perlu selalu diingatkan agar mereka tidak menuju kepada kebinasaan, lalai, alpa dan lain-lain.

Oleh itu kalimah الإِنسانَ ini amat sesuai digunakan dalam ayat ini, walaupun terdapat juga kalimah lain yang boleh digunakan kalau hendak merujuk kepada manusia.

Seperti:

al Fard ~

الفرد

an Nafs ~

النفس

an Naas ~

الناس

Apabila dikatakan / digunakan kalimah :

الإِنسانَ

Kita telah membincangkan, kebiasaan bentuk lafaz “Al-Insaan” dan “An-Naas” seolah-olah sama, namun ia mempunyai pendekatan Allah SWT yang berbeza.

Al-Insan : semua manusia, TETAPI boleh jadi juga mereka yang terkecuali.

An-Naas : semua manusia, kebiasaannya tidak terkecuali.

(seperti dalam pelajaran Al-Aa’diyat dan Al-Qariah)

Contoh dalam surah Al-Insan ( dalam surah Al-Aa’diyat ):

Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. [ Al-‘Aadiyaat (100): 6 ]

Di sini boleh bermaksud, tidak semua juga yang melampaui batas dengan Allah.

An-Nass ( dalam surah Al-Qariah ):

(Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelekatu yang terbang berkeliaran [ Al-Qaari’ah 101: 4 ].

Bermaksud, SEMUA manusia terlibat dalam proses kiamat ini.

Seterusnya kalimah :

لَفي خُسرٍ

Benar-benar dalam kerugian.

Huruf :

ل

Yang digunakan dalam kalimah juga adalah kalimah penekanan (taukid) juga. Ia digunakan untuk menguatkan sumpah.

Begitu juga kalimah :

في خُسرٍ

Ia juga adalah satu penekanan. Kerana dari segi bahasa Arab, boleh sahaja digunakan :

لخاسر

atau

لقد خسر

Tetapi digunakan lafaz surah Al-Asr bagi memberi isyarat bahawa mereka itu benar-benar “tenggelam” dalam kerugian itu.

Kalimah

خُسرٍ

Juga di dalam bentuk isim (kata nama) dan bukan dalam bentuk fi’il (kata kerja / perbuatan). Kalau digunakan bentuk isim, ia lebih kuat lagi dari fi’il.

Contoh untuk mudah faham:

Ayat 1 : Tuan Haji Adnan pandai membuat kopi (ayat yang menunjukkan perbuatan).

Ayat 2 : Tuan Haji Adnan memang “Barista”

( Barista = Suatu sektor pekerjaan khas membuat kopi yang berasas “espresso”. Kata barista dari bahasa Itali ).

Dari kedua-dua contoh ini, dapat kita rasai iaitu penjelasan kedua lebih terus untuk menunjukkan:

– Penekanan

– Sifat yang terus kepada subjek tertinggi

Semoga kita dapat rasai ayat ini, benar-benar Allah ingin menyedarkan manusia. Bahawa ingat lah, “kamu orang yang rugi”…kemudian nanti ada pengecualian.

Di dalam Al-Quran, terdapat 3 cara penggunaan “Khusr” (rugi):

  1. Khassaara
  2. Khusraan.
  3. Khusr

Pertama : Khassaar

خسار

Digunakan apabila seseorang itu telah dalam masalah, kemudian dia menambah lagi masalah tersebut.

Seperti yang Allah gunakan di dalam Surah Nuh (71) : 21 ~

قالَ نوحٌ رَبِّ إِنَّهُم عَصَوني وَاتَّبَعوا مَن لَم يَزِدهُ مالُهُ وَوَلَدُهُ إِلّا خَسارًا

Nuh berkata: “Ya Tuhan ku, sesungguhnya mereka telah menderhakai ku dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka,

Dalam ayat ini, Nabi Nuh as menjelaskan keingkaran mereka. Kemudian ditambah kesesatan atas kederhakaan tersebut.

Kedua : Khusraan

خسران

Kerugian yang paling teruk, sehingga ada penambahan ن di hujung kalimah.

Seperti yang Allah gunakan di dalam Surah Hajj (22) : 11 ~

وَمِنَ النّاسِ مَن يَعبُدُ اللَّهَ عَلىٰ حَرفٍ ۖ فَإِن أَصابَهُ خَيرٌ اطمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِن أَصابَتهُ فِتنَةٌ انقَلَبَ عَلىٰ وَجهِهِ خَسِرَ الدُّنيا وَالآخِرَةَ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الخُسرانُ المُبينُ

Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.

Ketiga : Khusr

Ia dalam bentuk yang umum – menunjukkan bahawa secara umum, manusia itu semuanya dalam keadaan yang rugi. Kita boleh dapati contoh kalimah ini di dalam surah Al-‘Asr ini.

Oleh itu, berhati-hatilah kita semua dari terjebak dalam kerugian tatkala bertemu Allah. Hidup hanya sekali, maka jangan disia-siakan waktu umur yang berbaki ini untuk menyiapkan bekalan ke negeri kita yang sebenar.

Ikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT yang terdapat dalam Al-Quran, buku “manual kehidupan yang tiada keraguan”.

  1. Rugi pertama : sudah ingkar tambah sesat pula.
  2. Rugi kedua : rugi dunia dan akhirat
  3. Rugi ketiga : umum

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Sekali lagi penekanan mengenai modal masa yang Allah SWT berikan. Logiknya atas dunia juga, kelebihan mendapat pinjaman modal bagi suatu usaha / pekerjaan BUKAN perkara yang boleh dipandang mudah. Ia akan dipertanggung-jawabkan kepada penerima.

Begitu juga soal pemberian modal masa dari Allah, ia adalah perkara yang besar dan perlu “dibelanjakan” sehemat mungkin agar terhasil amal kebajikan di sisi Allah SWT.

Kedua :

Peringatan umum kepada semua manusia, bahawa kita sebenarnya sedang kerugian. Walaupun pada hakikatnya dilihat hebat pada mata kasar.

Ini kerana jika “kehebatan” atas dunia tidak bersandarkan 4 pengecualian dalam Surah Al-‘Asr, maka takut-takut kehebatan dunia yang diperolehi tidak dapat membantu untuk selamat di alam akhirat.

Ketiga :

Allah yang menjadikan manusia, Allah jua yang Maha Mengetahui hakikat hidup hamba-Nya atas dunia. Oleh itu kita perlu kembali kepada manual yang telah diberikan oleh pencipta kita (yakni Al-Quran).

Allahu a’lam.

Neraka Dinyalakan 1000 Tahun (Palsu), Al-Gharuba, Dengar Azab Kubur

0

1. Apakah status hadis di bawah?
Rasulullah SAW bertanya:
“Mengapa aku melihat kau berubah muka (wajah)?” Jawab Jibril: “Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dihidupkan nyalaan api Neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui bahawa Neraka Jahannam itu benar, siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar, untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya”.
Lalu Rasullulah SAW bersabda:
“Ya Jibril, jelaskan padaku sifat Jahannam”.
Jawab Jibril: “Ketika Allah menjadikan Jahanam, maka dinyalakan selama 1000 tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan 1000 tahun sehingga putih, kemudian 1000 tahun lagi sehingga hitam, lalu menjadi hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya.

Tahqiq:

الراوي : عمر بن الخطاب | المحدث : الألباني | المصدر : ضعيف الترغيب
الصفحة أو الرقم: 2125 | خلاصة حكم المحدث : موضوع

Al-Albani, palsu, perawi bermasalah, Salaam bin Thawil.

2. Di Malaysia ini ada banyak jamaah, apakah ciri-ciri jamaah terbaik yang ditekankan di dalam Al-Quran?
Ciri utama:
Golongan yang sedikit dan asing di akhir zaman. Dalil:

بدأ الإسلام غريباً وسيعود غريباً كما بدأ فطوبى للغرباء

“Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing”. [Muslim: 208]
Ciri kedua:
Melakukan islah atau perbaikan. Dalil:

قيل يا رسول الله ومن الغرباء؟ فقال: الذين يصلحون إذا فسد الناس

Rasulullah SAW ditanya, “Wahai Rasulullah siapa yang asing itu (Al-Ghuraba)?” Rasulullah bersabda: ”Iaitu orang-orang yang mengadakan perbaikan di tengah manusia yang berbuat kerosakan”. [Ahmad, Sahih al-Jaami’: 7368]
Ciri ketiga:
Membaiki sunnah dari ahli bid’ah. Dalil:

هم الذين يصلحون ما أفسد الناس من سنتي

“Mereka adalah orang-orang yang memperbaiki sunnahku yang dirosakkan manusia”. [Tirmizi:2630, hasan sahih]

3. Apakah status hadis di bawah ini?
Ahli kubur diazab dengan azab ahli kubur, hanya didengar oleh semua makhluk kecuali manusia.

Sahih, muttafaqun alaih

حديث عَائِشَةَ، قَالَتْ: دَخَلَتْ عَلَيَّ عَجُوزَانِ مِنْ عُجُزِ يَهُودِ الْمَدِينَةِ، فَقَالَتَا لِي، إِنَّ أَهْلَ الْقُبُورِ يُعَذَّبُونَ فِي قُبُورِهِمْ، فَكَذَّبْتُهُمَا وَلَمْ أُنْعِمْ أَنْ أُصَدِّقَهُمَا؛ فَخَرَجَتَا وَدَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَقُلْت لَهُ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّ عَجُوزَيْنِ، وَذَكَرْتُ لَهُ؛ فَقَال: صَدَقَتَا، إِنَّهُمْ يُعَذَّبُونَ عَذَابًا تَسْمَعُهُ الْبَهَائِمُ كُلُّهَا فَمَا رَأَيْتُهُ بَعْدُ فِي صَلاَةٍ إِلاَّ تَعَوَّذَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Hadis dari Aisyah ra yang berkata,
“Datang berziarah kepada saya dua wanita tua dari saudari wanita-wanita Yahudi penduduk Madinah. Keduanya berkata kepada saya, ”Sesungguhnya penduduk kubur itu akan disiksa di kuburan-kuburan mereka. Saya mendustakan perkataan dua wanita Yahudi tersebut dan saya tidak suka membicarakan perkataan mereka.
Kemudian mereka berdua keluar dan masuklah Nabi SAW kepadaku maka aku berkata kepada beliau, Wahai Rasulullah sesungguhnya ada dua wanita tua, dan aku menceritakan kisah tadi (tentang wanita Yahudi yang mengatakan ada siksa kubur). Lalu beliau bersabda, “Kedua wanita Yahudi itu benar, sesungguhnya penduduk kubur itu akan disiksa dengan siksaan yang akan didengarkan oleh seluruh binatang ternak. Maka sejak itu saya tidak pernah melihat beliau melaksanakan solat kecuali beliau meminta perlindungan dari azab kubur.” [Lu’ Lu’ wal Marjan: 343]
Hadis ini menjelaskan pada peringkat awal, Aisyah ra menolak azab kubur sehingga Nabi SAW mengesahkan apa yang diceritakan oleh wanita Yahudi. Kenapa Aisyah ra tidak percaya azab kubur sebab akidah Islam menyebut, azab hanya dilaksanakan selepas hari Kiamat, selepas manusia dibangkitkan. Maka jika ada azab kubur, bila mayat dihisab amalannya?

Fenomena Hilangnya Amanah

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله وَبَرَكَاتُه

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

اللهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ اٰلِه فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ الله💚💚💚

اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَاجْتِنَابَهُ،
بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0116.

Dari Hudzaifah r.a., katanya: “Kami menerima dua buah hadis dari Rasulullah S.A.W, yang satu telah ku lihat kenyataannya, sedangkan yang satu lagi masih ku tunggu-tunggu.

Rasulullah S.A.W bersabda kepada kami, “Sesungguhnya amanah itu bertempat di hati sanubari seseorang. Kemudian Al Quran turun, lalu mereka belajar dari Al Quran dan Sunnah.

Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda pula tentang hilangnya amanah. Sabda beliau, “Seorang sedang tidur, lalu dicabut amanah dari hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti noktah. Kemudian ia tidur lagi, lalu dicabut pula amanah dari hatinya maka kini tinggallah bekasnya seperti lepuh yang membengkak di tangan atau di kaki yang terkena bara panas, dan lepuh itu mengandung air sedikit. Ketika itu, amanah hampir saja hilang sehingga orang mencarinya ke mana-mana.

Ketika dikatakan orang: Di sana ada amanah! Mereka sama berkata: alangkah sabarnya dia; atau alangkah baiknya dia; dan atau alangkah cerdiknya dia. Tetapi yang sebenarnya batin orang itu kosong dari iman.

Kata Hudzaifah, “Dahulu, ketika amanah masih dipegang orang erat-erat, aku bisa berdagang dengan siapa pun. Jika dengan orang muslim, ia berlaku jujur kerana agamanya, dan jika dengan orang Nasrani atau dengan orang Yahudi, kejujuran itu pun terdapat pada majikannya. Tetapi sekarang, aku tak hendak berdagang lagi melainkan dengan orang-orang tertentu, seperti si Anu dan si Anu yang masih memegang amanah erat-erat.


«108» الرابع عشر: عن أَبي صَفوان عبد الله بنِ بُسْرٍ الأسلمي رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُول الله صلى الله عليه وسلم: ((خَيرُ النَّاسِ مَنْ طَالَ عُمُرهُ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ)). رواه الترمذي، وَقالَ: ((حديث حسن)).
((بُسْر)) بضم الباء وبالسين المهملة.
في هذا الحديث: فضلُ طول العمر إذا أُحسن فيه العمل.
وفي بعض الروايات: ((وشركم

108. Keempatbelas: Dari Abu Shafwan iaitu Abdullah bin Busr al-Aslami r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang usianya dan baik kelakuannya.”

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Malaikat dan Shahadah

0

Malaikat dan Shahadah

Soalan: Bolehkah Ayah Aji perjelaskan terjemahan serta tafsir surah Qaf ayat 17-19?

Ayah Aji:

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ * مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
[Qaf: 17 – 18]

Di dalam surah Qaf, Khalifah Umar ra berpesan kepada amir-amir yang dilantik supaya membaca surah Qaf sampai An-Nas dalam setiap solat jemaah amir-amir itu. Bila kita belajar surah-surah ini, ternyata ia membaiki hati manusia tentang kepercayaan tauhid lebih-lebih lagi dalam bab kepercayaan hari Akhirat.

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ

Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.

Tafsir – Dua malaikat itu dari Tafsir Ibn Kathir ialah Rakib dan Atib. Mereka menyaksikan dan menulis perbuatan-perbuatan hamba itu. Di kanan dan di kiri bermaksud semua arah. Biasanya begitulah percakapan orang Arab. Begitu juga bila Allah SWT berkata: atas bawah atau depan belakang atau timur barat bermaksud semua arah. Walau bagaimanapun ada mufassir kata kiri dan kanan adalah seperti ayat itu. Tetapi bagi Ayah Aji, ia bermaksud semua arah, iaitu malaikat yang mencatit amal-amal manusia dari semua perbuatan-perbuatan yang nyata sahaja.

Dari ayat lain dan juga hadis, malaikat-malaikat ini tidak tahu apa yang ada di dalam hati. Mereka hanya catat apa yang zahir sahaja sebab hanya Allah SWT sahaja tahu apa yang berada di dalam hati seperti ikhlas atau tidak perbuatan-perbuatan itu.

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
[Qaf: 18]

Tidak terlepas dari perkataan atau perbuatan manusia itu melainkan ada di sisinya malaikat rakib iaitu malaikat yang mengawas dari gangguan setan/jin, atid iaitu malaikat yang mencatat amalan-amalan manusia. Ada juga mufassir berkata rakib yang mencatat sebelah kanan dan atib yang mencatat di sebelah kiri. Wallahua’lam.

Intisari kedua ayat.

1. Ada dua malaikat yang diutuskan kepada setiap manusia.

2. Satu pengawas dan satu lagi mencatat amal manusia atau dua malaikat mencatat di kiri dan kanan.

3. Malaikat-malaikat itu tidak tahu apa yang ada di dalam hati orang itu.

4. Mereka hanya catat yang zahir sahaja.

Dari Al-Quran dan hadis, bermaksud, malaikat-malaikat ini akan menjadi saksi kepada orang itu di perbicaraan Mahsyar. Orang itu ditanya malaikat-malaikat ini akan kata benar tetapi Allah SWT kata campak amalan-amalan mereka itu.
Malaikat itu berkata, “Ya Allah kamilah saksi perbuatàn orang ini”.

Allah SWT bertanya, “Adakah kamu tahu apa yang ada di dalam hatinya?”

Malaikat-malaikat itu menjawab, “Tidak”.

Allah SWT kata, “Aku tahu apa yang di dalam hatinya iaitu ikhlas atau dengan tujuan selain Allah”.

Pelajar A: Kita sendirikah yang kena buktikan keihklasan kita di mahkamah Allah SWT nanti?

Ayah Aji: Benarlah begitu. Kalau kita ada buat syirik bid’ah, maka, kita pasti akan menyesal kerana akaun amal soleh semua terbatal.

الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
[Al-Baqarah: 27]

Al-Baqarah: 27 juga membincangkan bab ini. Ayat ini sangat penting untuk kita faham.

Bab 1

Orang-orang yang merubah atau membatal perjanjian Allah SWT iaitu perjanjian mereka dengan Allah SWT, Allah SWT saksi selepas orang itu mengukuhkannya. Ayah Aji hendak tanya adakah kita buat perjanjian dengan Allah SWT kemudian kita merubah atau menukarkannya? Perjanjian itu ialah kalimah syahadah yang kita ikrar depan Allah SWT iaitu:

Asyhadu: Aku berjanji, berikrar, bersumpah, bersaksi pada-Mu Allah.

Laailahaillallah: tiada lagi yang layak disembah, dipuja, didoa, disolat, dan lain-lain melainkan kepada Allah SWT sahaja, iaitu tiada lagi perantaraan dalam ibadat, doa, zikir dan lain-lain melainkan hanya pada Allah SWT sahaja.

Waasyhadu anna muhammadur Rasulullah: Dan aku juga berjanji, berikrar, bersumpah pada-Mu Allah bahawa aku hendak ikut hanya sunnah Rasulullah SAW sahaja.

Jika salah satu daripada kalimah syahadah ini kita engkar, maka kufurlah kita. Oleh itu, kalimah syahadah ada dua bahagian:

1. berjanji tidak hendak syirik pada Allah SWT

2. berjanji hendak ikut sunnah Rasulullah SAW sahaja

Maka jika kita syirik, kalimah syahadah ini terbatal, hilang lenyap segala amal soleh. Itulah maksud ayat Al-Quran mereka yang rugi pada diri sendiri.
Juga bermaksud, kita perlu ikut sunnah Rasulullah SAW sahaja. Maka buat bid’ah yang tidak diajar Nabi dalam ibadah dan akidah, bermaksud, membatalkan perjanjian ini juga.

Pelajar B: Apa pandangan Ayah Aji tentang “syirik kerana jahil”? Adakah Allah SWT tidak terima amalan soleh yang dilakukannya?

Ayah Aji: Kalau syirik kerana jahil itu tidak mengapa (dibolehkan), bagaimana dengan orang kafir? Mereka pun tidak tahu mereka buat syirik. Musyrikin Mekah dahulu pun tidak tahu syirik mereka buat kepada Allah SWT. Allah SWT tetap kata mereka kafir. Oleh kerana Al-Quran dan sunnah telah ada, maka patutnya mereka belajar tafsir Al-Quran dan hadis. Belajar pun percuma (free) sahaja bagi ulama-ulama sunnah. Yang tidak sunnah sahaja ambil duit.

Ayat-ayat Al-Quran banyak memberitahu kita yang di dalam Al-Quran ada petunjuk kalau kita belajar. Tetapi bila kita tidak belajar, petunjuk itu mereka tidak tahu. Bila tidak belajar tafsir, Allah SWT sebut sebagai mereka yang sombong.

Golongan ahli Neraka terdiri daripada mereka yang sombong dari belajar atau terima ajakan tauhid ini. Surah [ Jumaah: 2 ] pula mengatakan Al-Quran ini diturunkan kepada mereka yang ummi oleh satu Rasul. Maksudnya, ummi ini tidak pandai membaca, menulis, iaitu, mereka yang tahu bahasa Arab, tulis bahasa Arab kepada orang-orang bukan Arab.

Al-Quran dihuraikan dalam bentuk cerita dan sesiapa sahaja boleh faham. Kita sahaja di kempen oleh penjahat-penjahat yang mengatakan Al-Quran ini tinggi, tidak layak bagi kita. Al-Quran hanya untuk orang tahu bahasa Arab. Kalau hendak belajar perlu 12 kitab dahulu dipelajari.

Semua itu tidak tepat. Ulama yang mengajar perlu tahu 12 kitab itu. Para pelajar tidak perlu. Kalau hendak jadi alim patutlah belajar 12 kitab itu. Apakah kitab-kitab itu? Iaitu, kitab bahasa Arab; nahu, sorof, balaghah dan mantik, kemudian, hadis 6 kitab besar, kemudian, fekah. Bila bilang kitab-kitab itu berjumlah 10 atau 12 kitab. Ringkasannya, kitab-kitab bahasa Arab dan hadis Nabi SAW.

Janganlah kita tertipu dengan rasukan setan manusia ini. Pelajar-pelajar sekarang bukan hendak menjadi alim tetapi hendak tahu perintah dan larangan Allah SWT dan Rasul SAW. Akibat bisikan setan manusia ini, kita tidak belajar, jadi tidak tahu syirik kufur, perintah dan larangan. Akibatnya kita pula bertanya kalau kita tidak tahu apa itu syirik, Allah SWT tidak akan masukkan ke dalam Neraka sebab kita orang Islam. Tetapi sebabnya kita sombong dengan Allah SWT yang mencipta kita sendiri tetapi bercita-cita hendak masuk Syurga.

Bila tanya macamana keadaan Syurga? Mereka kata ada bidadari, ada istana, tempatnya sedap, akan dapat apa yang diminta. Tetapi tidak tahu sebenarnya Syurga macamana sedangkan telah diberitahu dengan terperinci di dalam Al-Quran dan hadis.

Sekiranya kita tidak tahu Syurga itu, adakah kita ini benar-benar beriman pada Syurga?

Sekiranya kita tidak tahu keadaan Neraka, adakah kita ini benar-benar beriman dengan Neraka?

Atau adakah kita ini termasuk mereka yang tidak beriman dengan hari Akhirat?

Wallahua’lam.

Pelajar A: Saya ada kawan berbangsa India. Saya tanya dia kitab apakah yang paling tinggi? Dia kata kitab Veda. Saya tanya lagi ada baca atau tidak? Dia kata orang biasa tidak boleh baca kitab itu. Orang tinggi-tinggi macam sami sahaja boleh baca kemudian dalam hati saya, saya kata dalam kitab Veda lah ada menceritakan tentang Allah SWT dan Rasulullah SAW tetapi mereka halang orang-orang India ini baca kitab Veda itu. Nampaknya terjadi pula kepada orang-orang Melayu. Kita dihalang dari membaca Al-Quran.

Ayah Aji: Serupa kan?

Pelajar A: Serupa Ayah Aji, rasanya syaitan ini guna metode yang sama sahaja dari dahulu sebab dari dahulu dia berjaya tipu manusia ikut cara ini. Sebab Iblis itu satu. Itu pendapat saya.

Pelajar B: Setan pun juga, maka geng sama, sesat pun cara sama.

Ayah Aji: Benar Pelajar A dan Pelajar B.

Allahu a’lam.

Lari Dari Rezeki, Ruh Berkomunikasi, Rukyah Mandiri

0

1. Anak Adam lari dari rezekinya.
“Jika seandainya anak Adam lari dari rezekinya sebagaimana dia lari dari kematian, pastilah dia menjumpai rezekinya tersebut sebagaimana kematian akan menjemputnya”. [Abu Nu’aim]

Tahqiq:

قال الألباني في “السلسلة الصحيحة” 2 / 672 :
952 – لو أن ابن آدم هرب من رزقه كما يهرب من الموت لأدركه رزقه كما يدركه الموت “.( حسن )”
رواه أبو نعيم في ” الحلية ” ( 7 / 90 ، 7 / 246 ) و ابن عساكر ( 2 / 11 / 1 )
عن المسيب بن واضح حدثنا يوسف بن سباط حدثنا سفيان الثوري عن محمد بن المنكدر
عن جابر مرفوعا .

Menurut Al-Albani, Hasan, Silsilah Al-Sahihah: 952.

2. Apakah dalilnya yang mengatakan Allah SWT mengizinkan ruh berkomunikasi dengan orang hidup untuk menyampaikan sesuatu?
Dalil-dalil:

وَالرُّؤْيَا ثَلَاثَةٌ فَرُؤْيَا الصَّالِحَةِ بُشْرَى مِنْ اللَّهِ وَرُؤْيَا تَحْزِينٌ مِنْ الشَّيْطَانِ وَرُؤْيَا مِمَّا يُحَدِّثُ الْمَرْءُ نَفْسَهُ

“Mimpi itu ada tiga:
(1) Mimpi yang baik sebagai khabar gembira dari Allah SWT.
(2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan, datangnya dari syaitan.
(3) mimpi yang timbul kerana ilusi angan-angan atau khayal seseorang.” [Muslim]

Dari Ibn Abbas ra,
Diriwayatkan dari Said bin Jubair, dari Ibnu Abbas ra, beliau menjelaskan tafsir Az-Zumar: 42

إِنَّ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ وَالْأَمْوَاتِ تَلْتَقِي فِي الْمَنَامِ فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ مِنْهَا، فَإِذَا أَرَادَ جَمِيعُهَا الرُّجُوعَ إِلَى الْأَجْسَادِ أَمْسَكَ اللَّهُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ عِنْدَهُ، وَأَرْسَلَ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِلَى أَجْسَادِهَا

Sesungguhnya ruh orang yang hidup dan ruh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan ruh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan ruh orang yang masih hidup ke jasadnya. [Tafsir At-Tobari 21:298, tafsir Al-Qurthubi 15:260, An-Nasafi 4:56, Zadul Masir Ibnul Jauzi 4:20]

3. Kepada orang-orang yang selalu diminta rukyah, bolehkah saya beritahu kepada mereka bahawa sebaik-baik rukyah adalah pada diri sendiri?
Sahih, rukyah terbaik ialah merukyah mandiri. Dalilnya:

وعَنْ عُثْمَانَ بْنِ أَبِى الْعَاصِ أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ضَعْ يَدَكَ عَلَى الَّذِى يَأْلَمُ مِنْ جَسَدِكَ وَقُلْ بِاسْمِ اللَّهِ. ثَلاَثًا. وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ: أَعُوذُ بِعِزَّةِ اللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ،قال: فَفَعَلْتُ فَأَذْهَبَ اللهُ مَا كَانَ بِي – رواه مسلم

Dari Uthman bin Abu al-Ash bahawasanya dia mengadukan rasa sakit kepada Rasulullah SAW:
“Letakkan tanganmu di atas bahagian tubuhnya yang sakit lalu ucapkan Bismillah tiga kali, setelah itu ucapkan sebanyak tujuh kali ‘A’udzubi ‘izzatillahi wa qudratihi min syarri maa ajidu wa uhadziru.’ (Aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuasaan Allah dari keburukan yang aku rasakan dan yang aku khuatirkan). Lalu aku baca doa ini, setelah itu Allah menghilangkan rasa sakit yang sebelumnya aku rasakan.” [Muslim]

Tabligh Bomoh

0

Tabligh Bomoh

أَوَلَا يَرَوْنَ أَنَّهُمْ يُفْتَنُونَ فِي كُلِّ عَامٍ مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ ثُمَّ لَا يَتُوبُونَ وَلَا هُمْ يَذَّكَّرُونَ

Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)? [Taubah: 127]

Orang-orang yang engkar tauhid ini, setiap tahun, akan ditimpa bala sekali atau dua kali setahun tetapi mereka tetap juga tidak bertaubat kepada Allah. Tidaklah mereka dapat peringatan dari Al-Quran dan hadis sebab tidak belajar.

Semasa berada di Ipoh dahulu, Ayah Aji tabligh akan seorang bomoh. Di bilik bomoh ini penuh gambar-gambar wali songo, tok kenali, dan lain-lain. Ayah Aji rasa macam duduk dalam kuil. Ayah Aji duduk jugalah kerana hendak tabligh kepadanya.

Sebulan dua selepas itu, seorang perempuan telefon Ayah Aji dari Ipoh. Menangis-menangis merayu. Ayah Aji tanya dia dapat nombor telefon bimbit Ayah Aji ini daripada siapa? Dia kata bomoh itu yang berikan. Bomoh itu meminta Ayah Aji bantu dia ubatinya kerana di sihir orang. Tetapi Ayah Aji tidak syak begitu. Mesti sesuatu perkara besar wanita ini minta tolong Ayah Aji. Ayah Aji berkata kepadanya esok Ayah Aji akan ke Ipoh bertemu janji untuk berjumpa di rumah bomoh itu pada jam 12.00 tengahari.

Esoknya bila berjumpa dengan wanita dan bomoh di rumah bomoh itu, Ayah Aji minta supaya Ayah Aji boleh bercakap dengan wanita bersama bomoh itu.

Ayah Aji minta supaya orang-orang yang hendak berbomoh dengannya tunggu sehingga Ayah Aji selesai. Bercakaplah kami bertiga. Bomoh itu memberitahu, dia sudah berubat sihir itu sudah 6 bulan, tidak sembuh-sembuh. Jadi dia minta Ayah Aji bantu dia.

Ayah Aji tanya pada wanita itu, yang berumur 46 tahun, yang mempunyai empat orang anak yang sudah besar, dan suami yang tidak ada kerja tetap.

Bila wanita ini mula bercakap, bomoh itu tertidur sambil duduk. Berdengkur lagi. Ayah Aji tanya wanita itu adakah bomoh itu mandi-mandikan bunga untuknya. Dia kata ya, malah sudah dua kali dimandi bunga. Mandi berdua sahaja dengan bomoh itu.
Masya Allah!

Ayah Aji: Kak tahu dari mana kak kena sihir?

Wanita: Bomoh itu yang beritahu.

Ayah Aji: Dia tahu dari mana kak kena sihir?

Wanita: Saya beritahunya suami saya tidak sentuh saya sudah 2 tahun sedangkan kami tidur sekatil.

Ayah Aji: Oh, maknanya dia tidak tahu, lalu mengagak sahaja. Lalu dia mandi-mandikan kak. Bayar berapa? Ada diminta bayaran bukan?

Wanita: Ya.

Ayah Aji: Macamana dia boleh kata kak kena sihir?

Wanita: Suami saya tidak sentuh saya sudah 2 tahun walaupun tidur bersama. (Mengalir airmatanya macam paip, teresak-esak.)

Ayah Aji: Sabarlah, ini ujian Allah SWT pada kak. (Lagi kuat nangisnya.) Kak bukan kena sihir, suami kak itu mungkin ada sesuatu masalah. Kak baca doa kepada Allah SWT. Ini bukan cerita sihir. Ini bab berdoa. Kak hendak dia kembali jadi suami yang baik bukan?

Wanita: Ya

Ayah Aji: Nah, itulah maksudnya berdoa.

Wanita: Ayah Aji tolong doalah saya. Ayah Aji tolonglah buat solat hajat untuk saya.

Ayah Aji: Bukankah ayat Al-Fatihah “kepada-Mu sahaja Allah aku beribadat dan kepada-Mu sahaja Allah aku meminta pertolongan”? Kenapa kak minta tolong dengan Ayah Aji? Solat hajat itu pula bukan dari ajaran nabi kita Muhammad Rasulullah SAW. Ayah Aji tidak boleh buat. Kaklah patut berdoa terus kepada Allah. Insya Allah, Allah SWT akan makbul doa kak.

Wanita: Betul begitu Ayah Aji tetapi bukankah Ayah Aji ini tok guru? Saya ini dosa banyak.

Ayah Aji: Sebab itulah doa kak tidak makbul. Allah SWT tahu bercakap loghat Perak.

Tahulah Ayah Aji bahawa akidahnya rosak lalu Ayah Aji ajar tauhid ini pada kak itu selama 2 jam. Kemudian Ayah Aji ajar kepadanya cara-cara berdoa dalam bahasa Melayu. Tidak ada satu pun ayat Al-Quran atau bahasa Arab. Kak itu pun berdoa. Lama doanya. Menangis sekali. Bila selesai, Ayah Aji berkata “Insya Allah, Tuhan kita akan makbulkan doa kak”.

Bila selesai, wanita itu hendak bayar duit pada Ayah Aji. Ayah Aji kata tidaklah Ayah Aji datang dari Tok Bali Kelantan untuk menerima upah. Upah itu hanya daripada Allah SWT sahaja.

Bomoh itu yang tertidur mula jaga. Dua setengah jam dia tidur, tidak dengar apa-apapun cerita wanita itu. Malam itu Ayah Aji tidur di hotel bajet di Ipoh. Keesokan harinya pagi-pagi lagi Ayah Aji balik. Masa sampai di Lenggong, wanita itu telefon. Dia kata hajatnya makbul malam tadi. Alhamdulillah pujian itu hanya milik Allah SWT.

Ayah Aji terus ke madrasah Maulana Hadi. Ayah Aji cerita peristiwa itu kepadanya. Ayah Aji bertanya, “Ustaz, kenapa bomoh itu tertidur bila sahaja wanita itu bercakap?” Maulana Hadi berkata, “Setan yang dia asyik puja tidak beri dia dengar wahyu Allah, akibatnya dia tertidur.”

Pelajar A: Apakah peranan bomoh itu dengan wanita dan pasangannya tadi

Ayah Aji? Pasangan itu berbomoh apa?

Ayah Aji: Bomoh itu tuduh wanita itu di sihir. Itu bukan sihir. Suaminya hendak dera isterinya. Mereka dahulu bercerai talak tiga. Wanita itu berkahwin lain. Jodoh tidak panjang, bercerai pula. Lalu suami pertamanya rujuk balik dan kahwin semula dengan bekas isterinya. Bila dia hendak bersetubuh dengan isteri dia terbayang isterinya sedang bersetubuh dengan orang lain iaitu suami keduanya. Cemburu buta sahaja. Dia hendak dera isterinya. Lalu dia tidak usik isterinya selama dua tahun itu. Wanita itu pergi berbomoh dan berjumpa dengan bomoh ini yang kebetulan Ayah Aji ada tabligh kepadanya beberapa bulan sebelum itu.

Dahulu Ayah Aji dan Mak Aji selalu keluar rumah dan tabligh pada sesiapa sahaja yang Ayah Aji berjumpa. Ayah Aji bukan daripada kumpulan Tabligh.

Ayah Aji buat sendiri-sendiri bersama Mak Aji. Ya. Beginilah terjadi kepada ramai orang. Lebih-lebih lagi perempuan. Sampai kena rogol oleh bomoh. Janganlah sesiapa berbomoh. Berbomoh ini bermaksud kita ada hajat. Oleh itu, berdoalah. Inilah maksud tauhid dalam berdoa.

Berbalik pada soalan bomoh itu, Ayah Aji tidak mahu dibiarkan dia dalam pemujaan kepada wali-wali, nabi-nabi, malaikat-malaikat. Banyak gambar wali songo, tok kenali dan lain-lain dalam bilik bomohnya. Anak saudara bomoh itu adalah salah seorang daripada murid Ayah Aji. Ayah Aji mengajarnya di rumahnya pada mulanya dia seorang sahaja yang tidak terima ajakan tauhid ini. Selepas itu barulah dia terima dan belajar tafsir Al-Quran dengan Ayah Aji dan Maulana Hadi. Ayah Aji mengajar di Ipoh sudah dekat 6 atau 7 tahun, dua kali sebulan, dua minggu sekali.

Ayah Aji selalu bertanya khabar tentang bomoh itu, yakni bapa saudaranya.

Ayah Aji mengajar tentang berhala, iaitu:
1. Berhala dari patung-patung
2. Gambar-gambar wali-wali dan para malaikat atau para nabi.

Bila sahaja dia faham bahawa gambar pun adalah jenis berhala apabila gambar itu diletakkan untuk mendapat berkat dan lain-lain, dia pun mula tabligh kepada bomoh, bapa saudaranya. Lama dia tabligh. Setiap kali tabligh, dia kemukakan ayat-ayat Al-Quran.

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ ۚ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ ۖ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ * فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ إِنْ كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ * هُنَالِكَ تَبْلُو كُلُّ نَفْسٍ مَا أَسْلَفَتْ ۚ وَرُدُّوا إِلَى اللَّهِ مَوْلَاهُمُ الْحَقِّ ۖ وَضَلَّ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَفْتَرُونَ

Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu”; sesudah itu kami putuskan perhubungan baik di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang mereka sembah itu (sebagai berlepas diri): “Bukanlah kami – yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!

“(Allah mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.

Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan merasai) akan apa yang telah dikerjakan dan mereka dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan adilnya); dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.
[Yunus 28-30].

Dia dia tunjuk Yunus: 28-30 kepada bapa saudaranya, barulah bapa saudaranya terkejut kerana mendapat tahu bahawa nabi-nabi, wali-wali dan para malaikat tidak tahu menahu salamnya, Al-Fatihah yang dia baca kepada mereka dan apa-apa seruan yang dia seru kepada wali-wali atau malaikat atau nabi-nabi itu. Kemudian, dia beritahu Ayah Aji, bapa saudaranya sudah menerima ajakan tauhid ini. Dia sudah buang segala amalan bid’ah yang syirik kufur kepada Allah dengan Bismillahirahmannirrahim.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Murid-murid bomoh ini juga pun terima. Apabila orang-orang datang untuk berbomoh dengannya, dia hanya ajar cara-cara berdoa kepada Allah SWT sahaja.

Alhamdulillah, Subhanallah, Allahu Akbar!

Pelajar B: Ayat Al-Quran ayat Al-Kursi dibuat barang kemas dan azimat. Adakah dikira sebagai berhala juga?

Ayah Aji: Bukan berhala. Ada kesilapan sedikit sahaja. Patut baca ayat Al-Quran atau ayat Al-Kursi kemudian baca doa, itulah yang benar.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-16 dan Ke-17

0

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-16

Ayat Takhwif Duniawi. Mereka menentang pesanan dan dakwah yang disampaikan oleh Nabi mereka, Hud a.s. Maka, mereka telah diberikan azab seksa semasa di dunia lagi.

فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا صَرصَرًا في أَيّامٍ نَحِساتٍ لِنُذيقَهُم عَذابَ الخِزيِ فِي الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَخزىٰ ۖ وَهُم لا يُنصَرونَ

“Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan.”

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا

Kami utuskan kepada mereka itu azab angin ribut yang kencang

Angin itu adalah jenis angin yang amat sejuk. Apabila mereka kena angin itu, mereka jadi beku kekerasan. Mereka mati dalam keadaan berdiri kerana kesejukan. Maknanya Allah SWT beri azab sejuk kepada mereka. Macam-macam cara Allah SWT boleh berikan azab.

فِي أَيَّامٍ نَحِسَاتٍ

dalam beberapa hari yang penuh sial

Hari-hari itu adalah hari yang sial kerana mereka tidak berpeluang untuk bertaubat.

Bilangan hari itu kurang dari sepuluh hari. Iaitu selama tujuh malam lapan hari seperti disebut dalam [ Haqqah:7 ]. Bayangkan kalau angin puting beliung yang selama 5 minit berpusing di sesuatu tempat pun akan menyebabkan hancur luluh satu-satu kawasan itu. Tetapi kepada kaum Aad, angin itu sudahlah sejuk, mengganas selama tujuh hari dan tujuh malam. Memang hancur terus semuanya.

Allah SWT kata hari itu adalah hari yang sial kepada mereka. Tetapi, kepada kita, tidak ada hari yang sial sebenarnya. Macam kita sekarang, ada yang kata tidak boleh kahwin pada bulan Muharram kerana kalau kahwin dalam bulan Muharram, ia adalah sial.

Dan ada juga dalam kalangan masyarakat kita yang pilih hari-hari tertentu sebagai sial juga. Itu semua adalah fahaman yang karut. Tetapi apa yang Allah SWT maksudkan adalah hari yang spesifik dikenakan kepada kaum itu adalah hari yang sial untuk mereka.

لِنُذِيقَهُمْ عَذَابَ الْخِزْيِ

Supaya Kami dapat rasakan kepada mereka itu azab yang menghinakan

Kerana sebelum ini mereka berlagak kerana mereka kata mereka kuat. Sekarang, mereka dihadapkan dengan satu lagi kuasa yang lebih kuat dari mereka.

Berapa kuat pun mereka, mereka tidak dapat menahan dari azab itu. Mereka jatuh bergelimpangan seorang demi seorang. Terus hancur apa yang mereka usahakan selama ini.

Azab itu dikatakan sebagai ‘menghinakan’ kerana mereka habis hayat di dunia ini disebabkan azab dari Allah SWT. Nanti semua orang akan tahu di akhirat kelak. Manusia lain akan tahu yang mereka teruk sangat sampaikan diberi azab semasa di dunia lagi.

فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

dalam kehidupan dunia

Sebenarnya, jarang Allah SWT memberikan azab kepada manusia yang ingkar semasa mereka di dunia. Disebabkan teruk sangat kaum Aad itu, Allah SWT telah beri azab kepada mereka semasa mereka di dunia lagi.

Ia menjadi peringatan kepada kita bahawa Allah SWT boleh sahaja menurunkan azab kepada kita semasa di dunia.

وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَخْزَىٰ

dan bagi mereka azab di akhirat kelak lebih teruk lagi.

Walaupun mereka telah menerima azab semasa di dunia, tetapi azab itu walau bagaimana teruk pun, tidaklah sama dengan azab di akhirat kelak. Mereka ini sudahlah kena azab di dunia, azab di akhirat pun mereka akan kena lagi.

Azab di akhirat itu lebih menghinakan lagi. Lebih teruk lagi. Kenapa? Kerana kalau azab di dunia, apabila mati, azab itu tidak kena kepada kita lagi.

Seperti mereka yang kena seksa di dunia ini dengan orang lain, mereka akan minta supaya mereka dimatikan sahaja, kerana mereka tahu, jika sudah mati, mereka tidak akan rasa azab itu lagi. Di akhirat kelak, tidak ada kematian. Seperti hendak mati, tetapi tidak mati-mati. Hampir hendak mati, dihidupkan balik. Berterusan sampai bila-bila. Masya Allah!. Adakah sanggup kita terima azab sedemikian?

وَهُمْ لَا يُنْصَرُونَ

Dan mereka tidak akan diberi pertolongan

Tidak akan mendapat bantuan dari sesiapa pun dan dari arah mana pun. Tujuh malam lapan hari mereka dilanda dengan angin itu yang ada kesejukan di dalamnya. Kita selalunya takut dengan azab api. Tetapi Allah SWT sebut tentang azab sejuk dalam ayat ini. Sejuk pun adalah sesuatu yang menyeksakan.

Di neraka nanti, kita selalu dengar tentang api yang panas yang membakar kita. Namun, mungkin kita tidak pernah dengar bahawa di neraka juga ada tempat yang sangat sejuk. Ya, memang ada.

Sudahlah mereka kena azab yang teruk di dunia, mereka juga akan kena azab di akhirat kelak dan mereka tidak akan dapat ditolong oleh sesiapa pun. Tidak akan ada sesiapa pun yang akan menolong mereka.

Tafsir Ayat Ke-17

Sekarang kita masuk kepada kaum yang lain pula.

وَأَمّا ثَمودُ فَهَدَيناهُم فَاستَحَبُّوا العَمىٰ عَلَى الهُدىٰ فَأَخَذَتهُم صاعِقَةُ العَذابِ الهونِ بِما كانوا يَكسِبونَ

Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.

وَأَمَّا ثَمُودُ

Dan adapun kaum Tsamud,

Dari segi sejarah, Kaum Tsamud ini datangnya selepas Kaum Aad. Allah SWT banyak cerita tentang Aad dan Tsamud ini kerana Arab Mekah memang tahu kisah mereka, dan lalu di kawasan mereka dalam musafir perdagangan mereka.

فَهَدَيْنَاهُمْ

Kami tunjuk kepada mereka hidayah.

Dengan dibangkitkan kepada mereka seorang Rasul. Rasul yang diutuskan kepada mereka adalah Nabi Saleh as. Mesej yang disampaikan kepada mereka sama sahaja seperti yang disampaikan oleh rasul-rasul yang dahulu dan kemudian darinya, iaitu sembah Allah SWT sahaja.

Kalimah فَهَدَيْنَاهُمْ dari segi bahasa bermaksud “Kami beri hidayah kepada mereka”.

Namun, untuk orang kafir, apabila dikatakan diberikan ‘hidayah’ kepada mereka, ia bermaksud sebagai tunjuk jalan sahaja. Penunjuk jalan sudah sampai kepada mereka, tetapi mereka sahaja yang tidak mahu terima.

Kalau sudah peluk Islam, barulah boleh diterjemahkan sebagai ‘pimpin’. Iaitu mereka yang telah beriman, apabila hidayah diberikan kepada mereka, ia memimpin mereka ke jalan yang lurus.

فَاسْتَحَبُّوا الْعَمَىٰ عَلَى الْهُدَىٰ

Mereka lebih suka/sayang kepada buta (kegelapan hati) dari memilih hidayat Allah SWT.

Mereka telah tahu manakah kebenaran, tetapi mereka masih juga hendak terima kesesatan. Maka, banyaklah bantahan mereka kepada seruan Nabi Saleh as.

Atas keengganan mereka, mereka telah mengemukakan satu syarat untuk mereka beriman. Kalau syarat itu dipenuhi, mereka kata mereka bersedia untuk beriman dan menuruti ajaran Nabi Saleh as. Mereka telah minta kepada Nabi Saleh as sebagai bukti kenabian, untuk mengeluarkan unta dari batu.

Nabi Saleh as telah memohon kepada Allah SWT supaya diperkenankan apa yang mereka minta itu. Allah SWT memperkenankan tetapi dengan syarat juga iaitu air yang mereka minum perlu dibahagi hari. Satu hari untuk Kaum Tsamud dan satu hari lagi untuk unta itu.

Pada hari yang diperuntukkan unta itu minum, penduduk kaum Tsamud tidak boleh mengambil air itu. Dan pada hari untuk kaum Tsamud mengambil air, unta itu akan pergi jauh ke padang pasir dan tidak bertemu manusia. Kaum Tsamud bersetuju dengan syarat itu.

Setelah syarat itu dipersetujui, unta itu pun dijadikan dengan izin Allah SWT dan berlakulah pembahagian air untuk beberapa waktu lamanya. Ada sebahagian dari kaum itu beriman dan sebahagian lagi memilih kebutaan dari petunjuk seperti yang disebut dalam ayat ini.

Maknanya, mereka memilih kegelapan daripada mendapat hidayat Allah SWT. Mulanya kehidupan mereka aman dengan bimbingan Nabi Saleh as. Tetapi, dari godaan iblis, terdapat golongan pemuda yang tidak senang dengan ketenteraman itu.

Mereka itu adalah peminum tuak dan marah apabila air perlu dibahagi hari. Kerana air tuak mesti dicampurkan dengan air biasa untuk dibancuh. Dan pada suatu hari, pekedai tidak ada air biasa dan hari itu pula adalah hari unta minum. Pada malam itu, mereka melanggar janji dengan mengambil air dari telaga padahal hari itu adalah hari unta. Apabila ada yang marah mereka, timbul keinginan dalam hati mereka untuk membunuh terus unta itu.

Oleh itu, pada hari Nabi Saleh as berdakwah ke tempat lain, mereka telah pergi membunuh unta itu.

Bukan itu sahaja, mereka kemudiannya telah merancang hendak membunuh Nabi Saleh as sendiri. Namun, perancangan Allah SWT melebihi segalanya. Sebelum sempat mereka hendak membunuh Nabi Saleh as, mereka telah dikenakan dengan azab.

فَأَخَذَتْهُمْ صَاعِقَةُ

Maka Kami timpa ke atas mereka sambaran petir

Dalam ayat ini, disebut mereka disambar petir. Dalam ayat yang lain ada disebut mereka didengarkan dengan pekikan yang kuat. Dalam ayat lain, ada pula disebut mereka didatangi dengan gempa.

Dari sini, kita boleh dapat tahu bahawa semuanya itu dikenakan kepada kaum Tsamud ini. Satu persatu mereka dikenakan dengan azab sampaikan mereka mati kesemuanya.

الْعَذَابِ الْهُونِ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

azab yang menghinakan kerana apa yang mereka lakukan.

Iaitu kerana akibat akidah syirik kepada Allah SWT. Mereka tidak mahu terima hidayah yang Allah SWT telah tawarkan.

Mereka telah memungkiri janji yang mereka buat sendiri dengan Allah SWT supaya tidak melanggar hari yang dibahagikan penggunaan air itu. Mereka kemudiannya telah membunuh unta itu dan kemudian mereka telah merancang untuk membunuh Nabi Saleh as sendiri.

Jadi, apa yang dikenakan kepada mereka ini adalah atas apa yang mereka lakukan. Ia adalah salah mereka sendiri. Maknanya, Allah SWT tidak zalim. Azab yang Allah SWT kenakan kepada mereka itu memang patut dikenakan kepada mereka.

Soalan:

Benar kah tadabbur Al-Quran memerlukan 15 cabang ilmu? Apakah ilmu tersebut? Bukankah tadabbur ertinya, merefleksikan diri dengan Al-Quran, agar kita dapat ambil apa pengajaran yg terkandung di dalamnya?

Jawapan:

Ada yang menggunakan hujah ini untuk melarang belajar tafsir dan tadabbur tafsir. Ia dianggap menjadikan pemahaman kepada Al-Quran ini seolah-olah mustahil dan tidak akan dapat dicapai oleh manusia, kecuali manusia istimewa. Tetapi ini berlawanan dengan ayat Al-Quran [ Qamar: 17 ] dan banyak lagi ayat-ayat lain:

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُدَّكِرٍ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Jadi kalau ada yang berhujah kena ada 15 cabang ilmu baru boleh belajar tafsir dan tadabbur ayat-ayat Al-Quran, maka ini adalah syubhat iblisiyah (yang dilontarkan Iblis) untuk memalingkan manusia dari mencari kebenaran.

Syaikh asy-Syinqîthi rahimahullah mengatakan, “Apabila maksud mereka bahawa mempelajari keduanya (al-Qur`ân dan Sunnah) merupakan perkara sulit, tidak mampu dilakukan siapa pun, ini pernyataan batil sebab mempelajari Al-Quran dan Sunnah jauh lebih mudah berbanding mempelajari ra`yu dan ijtihad yang banyak tersebar (di kitab-kitab Ulama). Allâh Azza wa Jalla telah mengulang-ulang beberapa kali firman-Nya: “Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Qurân untuk (menjadi) pelajaran, maka adakah orang yang (mau) mengambil pelajaran?”[Al-Qamar: 17]

Mempelajari al-Quran dan Sunnah di masa sekarang juga semakin mudah dibandingkan di masa lalu. Syaikh asy-Syinqîthi rahimahullah menegaskan, “Hendaknya engkau tahu bahawa mempelajari Kitâbullâh dan Sunnah Rasûlullâh SAW di masa sekarang jauh lebih mudah daripada di masa-masa permulaan Islam, kerana adanya kemudahan dalam mengetahui segala hal yang berkaitan dengannya, seperti masalah nâsikh dan mansûkh, âm dan khâsh, pemilihan hadis sahih dan lemah. Masalah-masalah tentang itu sudah teliti, dirapikan dan dibukukan. Jadi, semuanya dapat dijangkau dengan mudah hari ini.

Jadi, 15 cabang ilmu itu disusun oleh mufassir utk menjaga kesucian tafsir. Jangan memandai untuk tafsir sendiri ayat Al-Quran kerana boleh salah faham dan salah tafsir. Dan banyak juga yang terjadi apabila baca sahaja terjemahan dan buat fahaman sendiri.

Maka kita dalam kelas ini bukan hendak tafsir sendiri ayat Al-Quran tetapi menyampaikan apa yang telah ditafsirkan oleh para ulama. Dan kita gunakan bahasa moden supaya orang biasa senang hendak faham kerana kadangkala kalau baca sendiri kitab tafsir, tidak boleh faham kerana bahasa lama yang digunakan.

Jadi, jangan takut untuk belajar tafsir Al-Quran, malah ia adalah wajib.

Allahu ‘alam.

Hanya Orang Berilmu Dapat Memahami

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

~Tadabbur Kalamullah 27 Safar 1437H~

وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ ۖ وَمَا يَعْقِلُهَا إِلَّا الْعَالِمُونَ

“Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu (yakni mencari perlindungan selain Allah) Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya”
[Surah al-Ankabut 43]

#Allah swt menyatakan bahawa hanya orang yang berilmu yang benar-benar memahami perintah dan larangan Allah.

#Mereka mengetahui tentang kehebatan kuasa dan perlindungan Allah swt. Manakala orang-orang yang tidak berilmu mereka meyakini ada perlindungan lain yang lebih berkuasa daripada Allah, sedangkan perlindungan selain Allah akan binasa.

#Inilah kehebatan dan kemuliaan kedudukan orang berilmu yang sepatutnya masyarakat menjadikan mereka sebagai tempat rujukan dan sumber panduan dalam melakukan sesuatu perkara.

#Orang berilmu tahu membezakan antara:
-Iman dan syirik
-Tawadhuk dan sombong
-Pahala dan dosa
-Tawakkal dan putus asa

#Wajib bagi setiap muslim mentaati Allah dan Rasul serta menyantuni orang-orang yang beriman. Maka sudah seharusnya mereka juga menghormati para ulama.

Ketahuilah bahawa para ulama adalah pewaris para Nabi yang memberikan cahaya ilmu di kegelapan darat dan laut. Dampingilah para ulamak

🐊Ust naim
https://www.facebook.com/ustazmuhamadnaim

Telegram:
Telegram.me/tadabburkalamullah
(Buka link👆dan klik join)

Popular

Iklan

Iklan