Utama Blog Halaman 143

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-49 dan Ke-50

0

 

Tafsir Ayat Ke-49

Ini adalah ayat Syikayah (rungutan). Sekarang Allah SWT menceritakan sifat-sifat orang-orang yang kufur itu. Bagaimanakah psikologi mereka dalam menghadapi masalah dan dugaan dalam hidup?

لا يَسأَمُ الإِنسانُ مِن دُعاءِ الخَيرِ وَإِن مَسَّهُ الشَّرُّ فَيَئوسٌ قَنوطٌ

Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau dia ditimpa kesusahan maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya.

لَا يَسْأَمُ الْإِنْسَانُ مِنْ دُعَاءِ الْخَيْرِ

Tidak jemu-jemu insan itu berdoa untuk kebaikan;

Mereka sentiasa mahukan kebaikan datang kepada mereka. Mereka mahu rumah cantik, duit banyak, kesihatan yang baik dan sebagainya. Mereka tidak jemu-jemu mengharap semua itu. Tidak jemu-jemu mereka berdoa. Mereka tidak jemu hendak mendapatkan harta dan kesenangan di dunia. Kalau mereka yang kafir, mereka akan tetap rajin berdoa kepada tuhan sembahan mereka seperti berhala, dewa, dan sebagainya.

Dan banyak yang Allah SWT telah berikan kepada mereka kerana Allah SWT Maha Pemurah. Dan apabila diberikan kebaikan kepada mereka, mereka tidak bersyukur pun. Mereka perasan mereka layak dapat nikmat itu, maka mereka tidak bersyukur.

Ini dinamakan ‘kufur nikmat’. Iaitu pakai nikmat Allah SWT tetapi tidak bersyukur kepada Allah SWT. Ini adalah perangai orang kafir. Maka, kita sebagai orang Islam, jangan jadi begini. Apabila Allah SWT telah berikan nikmat kepada kita, jangan kita lupa bahawa itu adalah pemberian dari Allah SWT.

Mereka yang tidak beriman itu hanya doa tentang hal dunia sahaja. Ini mengajar kita supaya kita jangan doa untuk kebaikan dunia sahaja. Orang kafir itu hanya minta panjang umur, sihat tubuh badan dan rezeki sahaja tetapi mereka tidak minta kebaikan di akhirat. Memang boleh minta kebaikan dunia, tetapi jangan minta itu sahaja. Kerana kebaikan akhirat lebih penting dari kebaikan dunia.

وَإِنْ مَسَّهُ الشَّرُّ

Dan apabila dirasakan kepada mereka bala,

Apabila perkataan إِنْ digunakan, itu menunjukkan perkara itu jarang-jarang berlaku. Selalunya mereka akan dapat kebaikan, tetapi sekali-sekala mereka akan diberikan dengan kesusahan. Itu pun sebagai ujian sahaja. Allah SWT memang akan mengenakan ujian kepada makhluk-Nya. Dan dunia ini memang tempat ujian pun.

Tambahan pula, perkataan yang digunakan adalah مَسَّ (dirasakan), iaitu bermaksud ‘rasa sedikit’. Bukanlah masalah yang diberikan kepada mereka itu masalah yang besar sangat pun.

فَيَئُوسٌ

mereka putus asa

Mereka rasa nasib mereka akan terus malang. Mereka tidak nampak kebaikan akan datang kepada mereka di masa hadapan hanya kerana waktu itu mereka bernasib malang.

Padahal, nasib masih boleh berubah lagi. Namun, Allah SWT menceritakan sifat mereka yang tidak beriman. Apabila mereka dapat nasib yang teruk, mereka terus ingat sampai bila-bila mereka akan jadi begitu. Mereka tidak mengharap kepada Allah SWT.

قَنُوطٌ

hilang daya usaha;

Mereka putus asa sampai tidak boleh buat kerja. Tidak boleh berusaha lagi. Mereka bersifat pesimistik sungguh. Mereka akan baring sahaja di rumah, menangisi nasib mereka.

Mereka akan kata: “kenapalah nasib aku ini malang sangat?”, “Kenapalah Tuhan buat aku jadi begini?”. Mereka hanya menangisi nasib sahaja, tidak buat apa-apa. Mereka tidak buat apa-apa usaha untuk mengubah kedudukan mereka. Mereka hanya menyerah kepada takdir sahaja.

Jadi, ini adalah perangai orang kufur, maka kita jangan buat perangai seperti ini.

Mereka lupa kepada Allah SWT, mereka tidak berpaling kepada Allah SWT. Sepatutnya, apabila masalah menimpa, waktu itulah kita kembali buat baik, kembali buat amal ibadat yang baik, berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah SWT supaya Allah SWT berikan kebaikan kembali kepada kita. Tetapi mereka tidak begitu. Mereka jadi murung, hanya menangisi masalah yang mereka hadapi itu.

Kita kena ada usaha dalam hidup kita. Kalau kita kena buang kerja, kita kena usaha untuk mendapatkan pekerjaan baru. Kalau kita ditinggalkan kekasih, isteri, suami dan sebagainya, itu bukan penghujung hidup. Kita masih boleh lagi dapat pengganti mereka. Boleh lagi kita usaha untuk dapat pasangan hidup yang baru. Seperti kata pepatah Melayu: bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor.

Tetapi, orang yang tidak beriman, mereka terus sangka mereka tidak akan dapat pasangan lain. Mereka ingat hendak mati sahaja, mereka rasa lebih baik mereka mati sahaja. Sampai ada juga yang bunuh diri.

Sepatutnya kita usaha seboleh mungkin dan serahkan nasib kita kepada Allah SWT. Dan jangan lupa berdoa kepada Allah SWT. Berdoa terus kepada Allah SWT, jangan minta orang lain doakan untuk kita. Itu juga adalah tawassul yang tidak patut dilakukan. Jangan minta tok imam doakan, guru doakan atau sesiapa sahaja, doa terus sahaja kepada Allah SWT. Jangan bertawassul kepada Nabi, wali atau malaikat dalam doa kita. Jangan lupa yang surah-surah Hamim Tujuh ini adalah tentang berdoa dan seru terus kepada Allah SWT sahaja tanpa melalui perantara.

Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah dalam berdoa. Musyrikin Mekah dulu, mereka seru kepada roh-roh wali, Nabi dan malaikat untuk minta diselesaikan masalah mereka. Apabila masalah tidak selesai, mereka akan putus asa dengan roh-roh pujaan itu dan kembali berdoa kepada Allah SWT.

Mereka memang ada berdoa kepada Allah SWT dalam hal yang besar tetapi dalam hal-hal kecil, mereka akan berdoa kepada roh-roh pujaan mereka yang selain dari Allah SWT. Sebab pada mereka, Allah SWT telah beri sebahagian dari kuasa mengurus kepada makhluk-Nya yang terpilih.

Tetapi dalam mereka minta kepada roh-roh pujaan itu, kadangkala tidak selesai pun masalah mereka dan tidak menjadi perkara yang mereka minta. Maka mereka pun doa terus kepada Allah SWT dan ada yang Allah SWT makbulkan. Namun, apabila selesai masalah mereka itu, atau mereka dapat yang mereka kehendaki, mereka tidak kata perkara itu selesai kerana Allah SWT tetapi mereka kata ia dari sebab lain.

Puak musyrikin memang tidak jemu meminta kepada sembahan-sembahan mereka untuk kebaikan dunia. Macam-macam cara mereka akan lakukan untuk mendapatkannya. Tapi bila masalah tak selesai, mereka jadi putus asa dan putus harap.

 

Tafsir Ayat Ke-50

Ini sambungan sikap mereka dari ayat sebelum ini:

وَلَئِن أَذَقناهُ رَحمَةً مِنّا مِن بَعدِ ضَرّاءَ مَسَّتهُ لَيَقولَنَّ هٰذا لي وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُجِعتُ إِلىٰ رَبّي إِنَّ لي عِندَهُ لَلحُسنىٰ ۚ فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذينَ كَفَروا بِما عَمِلوا وَلَنُذيقَنَّهُم مِن عَذابٍ غَليظٍ

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah dia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah dia (dengan sikap tidak bersyukur): “Ini ialah hak ku (hasil usaha ku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhan ku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisi-Nya (seperti kesenangan ku sekarang ini)!” Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.

Salah satu fahaman al-Jabariah adalah Allah SWT tidak mengiktiraf usaha manusia. Jadi, seseorang yang berfahaman al-Jabariah mereka tidak perlu berusaha. Pada mereka, usaha mereka tidak ada nilai langsung. Semua mereka letak kepada Allah SWT. kalau sakit, salahkan Allah SWT, kalau gagal ‘exam’, mereka kata Allah SWT yang bagi gagal. Padahal, mereka tidak jaga kesihatan, tidak belajar.

وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ رَحْمَةً مِنَّا

Dan sekiranya Kami beri dia suatu rahmat dari Kami

Rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat am, iaitu rahmat yang semua orang boleh dapat. Tidak kira sama ada mereka itu beriman atau tidak.

Allah SWT ingatkan kita dalam ayat ini bahawa nikmat itu sebenarnya dari Allah SWT. Tidaklah lama Allah SWT berikan kesusahan kepada manusia. Sekejap sahaja sebenarnya, maka kita hanya perlu bersabar dan berusaha sahaja. Selepas sekian lama, Allah SWT akan berikan kebaikan kepadanya balik.

مِنْ بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ

selepas kesusahan dirasakan kepadanya

Selepas mereka ditimpa malang, Allah SWT akan beri mereka keluar dari masalah itu. Perniagaan mereka yang jatuh, dapat naik balik. Kesihatan mereka dulu teruk, mereka sekarang telah sihat balik, dan sebagainya.

لَيَقُولَنَّ هَٰذَا لِي

maka si kufur itu akan berkata: ini adalah hasil dari usaha aku;

Orang kufur itu tidak bersyukur kepada Allah SWT, padahal sebelum itu dia yang berdoa kepada Tuhan, namun, bila dah dapat dia kata hasil usaha dia pula. Dia lupa yang masalahnya itu telah diselesaikan oleh Allah SWT.

Dia anggap memang dia layak dapat kebaikan itu, jadi dia tidak bersyukur kepada Allah SWT yang sebenarnya telah memberi kepadanya nikmat itu. Ramai orang yang lupa bahawa segala kebaikan yang mereka dapat itu sebenarnya kurniaan dari Allah SWT. Bukan Allah SWT kena beri, tetapi Allah SWT hendak beri kerana kemurahan-Nya.

Begitulah masalah dengan manusia. Bila waktu susah, senang hendak ingat Allah SWT, tetapi kadang-kadang bila dapat kesenangan, amat susah hendak ingat kepada Allah SWT.

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً

Dan aku tidak yakin hari kiamat itu akan berlaku.

Mereka sangka mereka akan hidup berterusan. Mereka sangka mereka tidak akan ditimpa malang lagi. Mereka sangka mereka tidak akan mati. Mereka lupa yang mereka tunggu masa sahaja hendak mati. Tetapi kerana sibuk dengan kesenangan keduniaan, mereka lupa tentang kematian, tentang hari Kiamat dan tentang akhirat.

وَلَئِنْ رُجِعْتُ إِلَىٰ رَبِّ

Dan sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku,

Mereka tidak yakin hari Kiamat itu akan berlaku. Tetapi mereka kata, kalau-kalaulah memang hari kiamat itu akan terjadi…. kalau-kalau…..

إِنَّ لِي عِنْدَهُ لَلْحُسْنَىٰ

maka tentu aku akan dapat kebaikan dari sisi Tuhan.

Kerana dia dapat kebaikan di dunia, dia rasa dia adalah ‘orang yang terpilih’. Mereka sangka, kalau terpilih di dunia, tentunya mereka pun terpilih di akhirat kelak.

Padahal, tidak begitu sebenarnya. Kejayaan dan kedudukan di dunia, bukanlah tanda kejayaan di akhirat. Bukanlah kesenangan dan kejayaan di dunia itu sebagai tanda yang Allah SWT sayang kepada kita. Ramai yang salah faham tentang perkara ini, termasuklah orang Islam sekali pun.

Ramai juga yang sedap hati, sangka mereka akan dapat kebaikan di akhirat kelak. Antara sebab mereka fikir begitu adalah sebab dulu dia banyak derma. Tetapi dia derma itu bukan kerana Allah SWT. Dia tidak akan derma kalau tidak dapat projek. Ada kepentingan yang dia mahukan dengan derma itu.

Semasa derma pun panggil orang media ramai-ramai datang untuk rakam pemberiannya itu supaya dia boleh berbangga dan menunjuk kepada orang lain – ini adalah riak. Sebenarnya, telah batal ibadat derma itu kerana dia buat bukan kerana Allah SWT tetapi kerana hendak tunjuk kepada manusia lain.

Bukan ibadat derma sahaja, tetapi ibadat-ibadat lain pun kalau kita buat tidak ikhlas dan mengharapkan pujian dari orang lain, maka akan terbatal ibadat itu.

فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِمَا عَمِلُوا

Kemudian Kami akan cerita balik kepada mereka terhadap apa yang mereka telah lakukan.

Begitulah sifat mereka yang kufur ingkar kepada Allah SWT dan mereka yang ada fahaman yang salah tentang dunia. Allah SWT ceritakan dalam ayat ini sebagai peringatan kepada pembaca Al-Quran, supaya jangan jadi begitu.

Allah SWT juga ingatkan berkali-kali dalam Al-Quran yang manusia akan dimatikan dan akan dibawa menghadap Allah SWT. Dan apabila sampai kepada-Nya, segala perbuatan kita semasa di dunia dulu akan diceritakan balik iaitu dengan dibuka Kitab Amalan kita.

Tujuan Allah SWT cerita balik itu bukan sebab hendak buat wayang, tetapi kerana hendak balas balik perbuatan mereka itu.

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Dan Kami akan beri mereka azab yang berat.

Orang yang selalu dapat benda yang bagus, mereka sudah tidak boleh hendak susah sikit pun. Kalau susah sikit pun, mereka rasa rimas dan mula hendak memberontak, hendak komen sana sini. Biasalah, orang besar memang selalu begitu.

Namun, di akhirat nanti, mereka itu akan diberikan dengan azab yang berat. Bayangkan mereka itu kalau susah sedikit di dunia pun sudah tidak boleh terima, bayangkan mereka akan dapat azab yang teruk sekali di akhirat nanti. Agaknya, mereka boleh tahan kah? Tentu tidak boleh. Mereka akan tetap merasainya sendiri nanti.

Allahu a’lam.

06.07.01 RIWAYAT YANG PELBAGAI PADA SATU SEBAB NUZUL

0

Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)

Panel: BroSyarief

AsSalaamu ‘alaikum, saya kongsikan nota terbaru. Kita masih lagi dalam bab berkaitan Sebab Nuzul atau Sebab Penurunan al-Quran.

 

Riwayat yang Pelbagai pada Satu Sebab Nuzul – تَعَدُّدُ الرِّوَايَاتِ فِي سَبَبِ النُّزُولِ

Terdapat keadaan di mana sebab nuzul bagi satu ayat, mempunyai berbilang atau pelbagai riwayat yang berbeza-beza yang menyebut mengenainya. Para ulama dalam hal ini terbahagi kepada beberapa keadaan seperti berikut:

1. Sekiranya bentuk yang disebutkan pada kesemua riwayat-riwayat tersebut tidak jelas seperti menggunakan lafaz:

نزلت هذه الآية في كذا

‘Ayat ini turun pada/kerana (peristiwa/orang) sekian..’

Atau lafaz:

أحسبها نزلت في كذا

‘Aku mengagak bahawa ayat sekian turun pada/kerana (peristiwa/orang) sekian..’

Maka ia menunjukkan bahawa tiada percanggahan di antara riwayat-riwayat tersebut, malah ia adalah bentuk pentafsiran bagi kefahaman maksud ayat tersebut, bukan sebab nuzul bagi ayat tersebut.

2. Sekiranya pada salah satu riwayat menyebutkan lafaz yang tidak jelas menunjukkan ianya sebab nuzul, sedangkan pada riwayat yang lain jelas menyebutkan lafaz sebab nuzul, maka yang dipegang adalah riwayat yang jelas.

Contohnya pada riwayat sebab nuzul bagi ayat berikut:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

“Isteri-isteri kalian adalah (bagaikan) ladang kalian, maka datangilah ladang kalian sebagaimana yang kalian mahu..” [al-Baqarah(2):223]

Sebuah riwayat dari Nafi’ menyebutkan,

قَرَأْتِ ذَاتَ يَوْمٍ: “نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ” فَقَالَ ابْنُ عُمَرَ: أَتَدْرِي فِيمَ أُنْزِلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ؟ قُلْتُ: لَا، قَالَ: نَزَلَتْ فِي إِتْيَانِ النِّسَاءِ فِي أَدْبَارِهِنَّ “

Aku membacakan ayat (seperti di atas), lalu Ibn ‘Umar bertanya:

‘Adakah engkau tahu ayat ini turun kerana tentang apa?’

Aku mengatakan: ‘Aku tidak tahu.’

Katanya: ‘Ia turun berkaitan isu berhubungan dengan isteri melalui dubur mereka.’

[Fathul Bari]

Riwayat yang menyebutkan kata-kata Ibn ‘Umar tidak menyebutkan dengan lafaz yang jelas bahawa ia sebab nuzul.

Namun, terdapat riwayat yang lebih jelas menyebutkan sebab nuzul dari Jabir, katanya:

كَانَتْ الْيَهُودُ تَقُولُ إِذَا جَامَعَهَا مِنْ وَرَائِهَا جَاءَ الْوَلَدُ أَحْوَلَ، فَنَزَلَتْ : نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ

‘Orang Yahudi dahulu mengatakan: ‘Sekiranya seorang suami mendatangi isterinya dari belakangnya, anaknya akan lahir dalam keadaan juling’; lalu turunlah ayat (seperti di atas..)’

[HR al-Bukhari]

Maka, riwayat Jabir inilah yang menjadi pegangan kerana kata-katanya jelas menunjukkan bahawa peristiwa ini sebagai sebab nuzul bagi ayat tersebut.

Adapun riwayat Ibn ‘Umar bukanlah bukti sebab nuzul, tetapi ia boleh difahami sebagai penetapan hukum atau pentafsiran.

(Bersambung..)

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, m/s 83.

LELAKI DAYUS TIDAK AKAN MASUK SYURGA

0

UiTO Channel oleh Ustaz Emran Ahmad

Lelaki Dayus tidak akan masuk syurga

(لايدخل الجنة ديوث)

1. Ada banyak hadis yang menyebut bahawa lelaki yang dayus tidak akan masuk ke syurga dan larangan berbuat dayus.

Maksud dayus ialah lelaki yang membiarkan isteri dan ahli keluarganya berbuat maksiat.

Orang lelaki perlu menjadi pelindung kepada isteri dan keluarganya. Dia sepatutnya menjaga mereka bukan sekadar daripada bahaya dunia tetapi juga daripada api neraka.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka….” (At-Tahrim : 6)

2. Lelaki yang membiarkan isteri, anak gadis dan wanita dalam ahli keluarganya membuat perkara yang haram, menyalahi syarak, menulis kenyataan yang pelik-pelik, mengucapkan perkara yang tidak wajar dan menyalahi agama adalah dianggap dayus.

3. Orang lelaki tidak perlu takut atau berusaha untuk mencari perhatian wanita, sebaliknya lelaki perlu memimpin mereka agar menjadi muslimah yang bertaqwa.

4. Wanita memerlukan lelaki seperti lelaki memerlukan kepada wanita. Namun pada hari ini hanya kelihatan orang lelaki yang terlalu kemaruk kepada wanita berbanding sebaliknya.

Hal ini perlu diubah. Orang lelaki perlu berani berkata ‘STOP, ENOUGH’ dan ‘LISTEN’ kepada kaum wanita.

Tidak perlulah pakai kaki dan tangan atau memukul mereka.

Itu perbuatan orang hilang akal.

5. Lelaki perlu diperkasakan kembali, semangat perwira dan pendekar perlu disemai semula agar bersemi dengan syariat Allah lalu menjadi ‘rijal-rijal’ di jalan Allah.

Caranya orang lelaki perlu sibuk dengan ilmu, tambah pengalaman seperti mengembara, mencari rezeki dan meluaskan pengetahuan.

Biarkan perempuan tergila-gilakan, namun usah dilayan wanita yang hanya ingin menjadikan kita sebagai hamba perasaan mereka.

6. Apabila sudah menjadi orang yang berkebolehan, bantulah golongan yang lemah, membela mereka yang ditindas dan menjadi muslim dan mukmin yang bertaqwa.

Kemudian mintak bonda pilihkan pasangan, biar beratur perempuan di depan rumah. Biar masing-masing minta simpati untuk dipilih sebagai teman dan isteri.

Ketika itu carilah yang ikhlas dan merendah diri, yang sedia berkhidmat sebagai ibu dan isteri. Adapun yang berlagak macam profesional dan macam hanya dia seorang yang boleh bercakap ‘English’…

Tunjukkan jalan ke ‘toilet’ atau kubur yang berhampiran.

7. Berpoligami atau tidak, itu pilihan dan kemampuan masing-masing, sesuai dengan keperluan dan keadaan individu tersendiri.

Namun jangan sampai diikat hidung oleh isteri kerana dayus dan bimbang dengan ugutan, konon takut kena tidur luar atau terpaksa makan mee maggi.

Bukan lelakinya namanya jika takut kepada isteri…

Ruh pendekar dan pejuang masakan takut bini…

Mana mungkin lahir dari generasi ini, pembebas baitul maqdis jika masih gentar dengan ancaman feminis!

Kisah Seorang Bermusafir Jauh Untuk Mengesahkan Hadis

0

Tazkirah Harian UiTO:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله وَبَرَكَاتُه. بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله. اللهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ اٰلِه فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ الله

صباح الخير

اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَاجْتِنَابَهُ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 4. Hadis Nombor 2823.

Maksudnya :

Mahmud bin Khidasy Al-Baghdadi menceritakan kepada kami, Muhammad bin Yazid Al-Wasithi memberitahukan kepada kami, Ashim bin Raja’ bin Haiwah memberitahukan kepada kami, dari Qais bin Katsir berkata :”Seseorang dari Madinah datang kepada Abu Darda’ sedangkan dia berada di Damasqus lalu dia berkata :”Apakah yang mendorong kamu datang kemari hai saudara ku ?” Dia menjawab :”hadis yang sampai kepada ku bahawa kamu menceritakannya dari Rasulullah S.A.W”. Abu Darda’ bertanya :”Apakah kamu datang untuk keperluan lain ?” Dia menjawab :”Tidak”, Abu Darda’ bertanya :”Apakah kamu datang untuk perdagangan ?” Dia menjawab :”Tidak”, Dia berkata :”Aku tidak datang selain untuk mencari hadis ini”. Abu Darda’ berkata :”Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda :”Barang siapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu maka Allah memudahkan jalan baginya jalan ke syurga. Dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayapnya kerana redha terhadap orang yang mencari ilmu. Dan sesungguhnya orang pandai dimintakan ampun oleh apa (siapa) yang berada dilangit dan dibumi, sehingga ikan-ikan di air. Keutamaan orang pandai atas orang ahli ibadah adalah seperti keutamaan bulan atas semua bintang. Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar maupun dirham, sesungguhnya mereka hanya mewariskan ilmu, maka barang siapa mengambil ilmu, maka dia telah mengambil bahagian yang sempurna”. Kami tidak mengetahui hadis ini selain dari hadis ‘Ashim bin Raja’ bin Hayawah, dan sanadnya yang ada pada ku bersambung seperti ini, iaitu Mahmud bin Khidasy menceritakan kepada kami hadis ini, tetapi hadis ini diriwayatkan dari ‘Ashim bin Raja’ bin Hayawah, dari Dawud bin Jamil, dari Katsir bin Qais dari Abid Darda’ dari Nabi S.A.W dan hadis ini lebih sahih daripada hadis Mahmud bin Khidasy.

 

JAUH BERJALAN, TIDAK MEMBAZIR MASA!

Kata al-Sya’bi:

لَوْ أَنَّ رَجُلًا سَافَرَ مِنْ أَقْصَى الشَّامِ إِلَى أَقْصَى الْيَمَنِ فَحَفِظَ كَلِمَةٍ تَنْفَعُهُ فِيمَا يَسْتَقْبِلُهُ مِنْ عُمُرِهِ رَأَيْتُ أَنَّ سَفَرَهُ لَا يَضِيعُ

“Kalaulah seseorang lelaki bermusafir daripada hujung bumi Syam hingga ke hujung bumi Yaman dan beliau hafaz serta memelihara satu kalimah yang bermanfaat untuk masa depan umurnya, aku berpendapat bahawa permusafirannya itu tidak dikira sebagai pembaziran. ( al-Rihlah fi Tolab al-Hadith, m. 26 )

Petikan daripada buku ‘Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu’ karya SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Asas Ilmu Hadis: AL-MAZIID FI MUTTASIL AL-ISNAD

0

02.15 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).

 

AL-MAZIID FI MUTTASIL AL-ISNAD (المزيد في متصل الإسناد)

Dari sudut bahasa, perkataan Al-Maziid (المزيد) berasal dari perkataan az-Ziyaadah (الزيادة) yang bermaksud penambahan.

al-Muttasil (المتصل) pula bermaksud bersambung, tidak terputus.

Istilah ‘Al-Maziid fi Muttasil al-Isnad’ (المزيد في متصل الإسناد) di sudut ilmu hadits merujuk kepada apa yang ditambah oleh periwayat pada sanad yang zahirnya kelihatan bersambung, tidak terputus.

Di antara contoh-contohnya:

1. Terdapat sebuah riwayat dari ‘Abdullah ibn Saalim, dari az-Zubaidi, dari az-Zuhri, dari Habib mawla ‘Urwah, dari ‘Urwah ibn az-Zubayr, dari ‘Aisyah – radhiyalLaahu ‘anha – (dia menyebutkan:)

أَنَّ الحولاء بنت تويت مَرَّتْ بِهَا وَعِنْدَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: هَذِهِ الحولاء، وَزَعَمُوا أَنَّهَا لَا تَنَامُ اللَّيْلَ،

al-Hawla bint Tuwait lalu di hadapannya dan di sisinya (pada waktu itu) adalah RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -, lalu ‘Aisyah berkata:

‘Dia ini al-Hawla, dan ramai orang mendakwa bahawa dia tidak tidur malam.’

فَقَالَ: “لَا تَنَامُ اللَّيْلَ؟ خُذُوا مِنَ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَوَاللَّهِ لَا يَسْأَمُ اللَّهُ حَتَّى تَسْأَمُوا

Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – pun menjawab:

“Dia tidak tidur malam? Ambillah amalan yang kalian mampu (untuk melaksanakannya – ie. amalan sunat -). Demi Allah! Allah tak akan bosan, sehinggalah kalian sendiri yang dilanda kebosanan!”

Melihat kepada sanad, nama Habib mawla ‘Urwah merupakan tambahan (الزيادة) dari ‘Abdullah ibn Salim, kerana periwayat-periwayat yang lain (yang seperingkat dengannya) seperti Yahya ibn Sa’id, Yunus, & Syu’aib ibn Abi Hamzah yang juga meriwayatkan dari az-Zuhri tanpa menyebutkan nama Habib, dan sebahagian mereka menyebutkan dengan jelas bahawa az-Zuhri mendengar secara langsung dari ‘Urwah. [Fathul Mugits]

2. Sebuah lagi riwayat dari ‘Abdullah ibn al-Mubarak, katanya [HR Muslim]:

Sufyan menceritakan kepada kami, dari ‘Abdur-Rahman ibn Yazid, Busr ibn ‘UbaydilLah telah menceritakan kepadaku, katanya: Aku mendengar Idris, katanya: Aku mendengar Waatsilah berkata: Aku mendengar Abu Martsad berkata: Aku mendengar RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – bersabda:

لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا

Dalam contoh ini terdapat 2 penambahan ada 2 tempat:

i- Tambahan nama periwayat ‘Sufyan’ adalah kesilapan dari salah seorang periwayat (di bawah) yang meriwayatkan dari Ibn al-Mubarak, kerana sejumlah periwayat-periwayat yang Tsiqah – seperti Ibn Mahdi, Hasan ibn ar-Rabi’ dan Hannad ibn as-Sariy – mereka meriwayatkan dari Ibn al-Mubarak, dari ‘Abdur-Rahman ibn Yazid tanpa perantaraan Sufyan, malah sebahagian mereka menyebutkan lafaz yang jelas bahawa Ibn al-Mubarak mendengar secara langsung dari ‘Abdur-Rahman.

ii- Tambahan nama periwayat ‘Abu Idris’ yang merupakan kesilapan Ibn al-Mubarak sendiri, kerana sejumlah periwayat-periwayat yang Tsiqah – seperti ‘Ali ibn Hujr, al-Walid ibn Muslim dan ‘Isa ibn Yunus – mereka meriwayatkan dari ‘Abdur-Rahman ibn Yazid, dari Bust, dari Watsilah, tanpa perantaraan Abu Idris, malah sebahagian mereka menunjukkan lafaz jelas bahawa Busr mendengar secara langsung dari Waatsilah.

[al-‘Ilal at-Tirmizi]

Syarat-syarat menolak penambahan (الزيادة) sebegini:

  • Hendaklah yang tidak melakukan tambahan itu lebih kuat kredibilitinya berbanding yang menambah.
  • Terdapatnya lafaz yang jelas mendengar secara langsung pada riwayat yang tiada tambahan.

Sekiranya kedua-kedua atau salah satu syarat ini tiada, maka tambahan itu diterima, malah sanad yang tiada tambahan tersebut dinilai sebagai terputus sanadnya.

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi, Cet. ke-6, m/s 245.

Hadis 83: Sentuh Al-Quran Dalam Keadaan ‘Suci’

0

Panel: Abu Tolhah SolahuddinS

Syarah Kitab Bulughul Maram

Assalamualaikum semua..

بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد لله على نعمه والصلوة والسلام على رسوله الكريم.اللهم انفعنا بما علمتنا و علمنا ما ينفعنا و زدنا علما. رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي، أما بعد،

Alhamdulillah boleh diberi peluang hari ni adakan kelas, setelah lama ketiadaan kelas dalam bilik ni.

Diharap semoga Allah permudahkan usaha ini.

Malam ini kita sambung hadis 83

Hadis 83

ِعَنْ عَبْدِ اَللَّهِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ رَحِمَهُ اَللَّهُ; ( أَنَّ فِي اَلْكِتَابِ اَلَّذِي كَتَبَهُ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِعَمْرِو بْنِ حَزْمٍ: أَنْ لَا يَمَسَّ اَلْقُرْآنَ إِلَّا طَاهِرٌ ) رَوَاهُ مَالِكٌ مُرْسَلاً وَوَصَلَهُ النَّسَائِيُّ وَابْنُ حِبَّانَ وَهُوَ مَعْلُولٌ

Dari Abdullah Ibnu Abu Bakar رضي الله عنه sesungguhnya dalam surat yang ditulis oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada Amr Ibnu Hazm bahawa “tidak boleh menyentuh Al-Qur’an kecuali orang yang suci. Diriwayatkan oleh Malik secara Mursal dan di-wasol-kan oleh an Nasa’i dan Ibnu Hibban. Dan hadis ini Ma’lul.

Darjat hadis

Hadis ini Sohih.

Cuma ibn Hajar mengatakan hadis ini Ma’lul kerana ada illat bahawa hadis ini dari riwayat sulaiman bin daud al yamani. Dia secara ittifaq ulama hadis mengatakan dia Matruk (lemah tidak diterima). Namun yang sebenarnya dia adalah Sulaiman bin Daud al Khaulani. Dia seorang tsiqah dan beliau diberi pujian oleh Abu Zar’ah, Abu Hatim, Uthman bin Said dan jemaah dikalangan huffaz yang lain.

Syarah hadis

1. ‘Amr bin Hazm beliau adalah ‘Amr bin Hazm al Khazraji al Ansori dikalangan Bani Najar رضي الله عنه . Beliau diutuskan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم ke Najran sebagai pemimpin,guru dan Qadhi di sana. Umurnya ketika itu tidak lebih dari 17 tahun. Nabi صلى الله عليه وسلم utuskan surat padanya. Kandungan surat itu berupa hukum-hukum faraidh, sodaqat (zakat) dan diyat (pampasan kematian). Surat ini sangat masyhur dikalangan ulama hadis. Berkata ibn Abd alBarri ia(surat ini) mirip riwayat yang mutawatir. Ini kerana dikalangan ulama menerima baik hadis tentang surat Nabi kepadanya. Berkata imam asy Syafie ulama tidak mengambil hadis ini melainkan kerana sungguhnya ia sabit dikalangan mereka.

2. Hadis ini dalil bahawa menyentuh mushaf Al Quran mesti suci. Suci di sini suci dari najis dan hadas kecil serta hadas besar. Dan ini sesuai dengan pendapat jumhur ulama termasuk imam-imam 4. Dan hal ini sangat ma’ruf dikalangan sahabat.

3. Maksud suci asalnya suci dari kotoran Najis. Dan maksud pada hadis ini suci dengan makna suci dari kotoran najis dan suci dari hadas besar serta hadas kecil. Antara lain maksud suci juga, suci dari syirik dan kufur serta suci dari maksiat dosa. Ini lebih besar dari sekadar suci dari hadas besar atau hadas kecil. Kerana walaupun suci dari hadas belum tentu seseorang itu sucikan dirinya dari akidah kufur dan syirik serta perbuatan dosa.

Melalui hadis ini ada isyarat teguran kepada orang yang memegang Al Quran atau membacanya perlu berubah kepada akidah yang benar dan malan yang benar. Jangan lah berdegil untuk terima kebenaran Al Quran. Sekiranya dia sedia suci dari hadas maka sepatutnya dia juga sedia suci dari kekufuran dan syirik serta maksiat.

4. Manakala sekiranya menyentuh mushaf Al Quran secara berlapik seperti kain,kayu, pensil, penggaris atau bawa dalam beg atau dalam kotak maka itu tak mengapa. Kerana maksud larangan di sini adalah sentuhan kulit.

5. Maksud Al Quran yang disentuh pula ialah mushaf Al Quran samada kulit jilidnya atau kertas dalamnya. Manakala buku tafsir Al Quran atau buku yang ada beberapa ayat-ayat Al Quran pula tidak mengapa. Begitu juga Al Quran yang ada dalam telefon pintar.
WaAllahu a’lam.

6. Faedah : Ada masalah hukum tentang menyentuh mushaf Al Quran bagi kalangan kanak-kanak, atau menyentuh helaian Al Quran yang tercerai dari mushaf atau tulisan sebahagian Al Quran di papan bagi tujuan belajar, atau sebagainya. Kerana sudah menjadi adat sejak dulu kala, kaum muslimin mengajar kanak-kanak belajar Al Quran. Kanak-kanak biasanya tidak berwudhu dan sukar hendak pastikan mereka sentiasa berwudhu kerana banyak masa mereka dengan membaca Al Quran dari mushaf. Maka dikalangan jumhur ulama’ berpendapat tidak mengapa sekiranya Dharurat (berlaku kesukaran). Ini kerana sekiranya kanak-kanak dilarang memegang Al Quran nescaya mereka tidak dapat belajar Al Quran dengan sempurna. Dan lebih-lebih lagi mereka masih bukan mukallaf. Maka hukum disini diberi pengecualian dari hukum di atas.
Dan Allah jua yang Maha Mengetahui

Habis di sini kelas malam ini.. Kita sambung hari selasa depan pula in sya Allah.

Jika ada pertanyaan boleh tanya..nanti dijawab kemudian in sya Allah.

 

Soalan : assalamualaikum ustaz..Adakah wanita sedang haidh boleh memegang dan membaca tafsir al quran (aitu al-quran yang di sertai dengan tafsirnya..) Dan adakah wanita haidh masih boleh teruskan amalan membaca al mathurat walaupun sedang haidh?.Trm ksh.

Waalaikumussalam.. Ya boleh pegang..dan boleh baca.

 

Soalan: apa yang saya faham kalau perempuan yang sedang period, baca terjemahan tade masalah, tapi kalau nak baca ayat quran takleh eh?

Boleh juga..kerana perempuan nak jaha hafalan Al Quran sukar jika tidak membaca dan pegang.

 

Soalan : Adakah ini bermakna kaum kafir tidak boleh sentuh mushaf?

Lihat sebab juga..jika kerana ingin mendalami Al Quran maka boleh..sekira nak persendakan Al Quran maka hendak lah ditegah.

Ciri-Ciri Orang Bertaqwa

0

تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَن كَانَ تَقِيًّا

“Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa” [Surah Maryam ayat 63 ].

Taqwa ialah memelihara diri daripada murka dan seksa Allah SWT dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.Imam Abu Hamid al-Ghazali telah meletakkan taqwa kepada 3 tingkatan:

  1. Membersihkan hati daripada syirik.
  2. Membersihkan hati daripada dosa dan maksiat.
  3. Membersihkan hati daripada bid’ah.

Perkara yang perlu dilakukan bagi mencapai taqwa dalam kehidupan:

  1. Menuntut ilmu.
  2. Menjaga soal kehalalan dan keberkatan rezeki.
  3. Memelihara anggota badan daripada dosa dan maksiat.
  4. Memohon kepada Allah SWT agar dianugerahkan sifat taqwa.
  5. Membangunkan ibadah dan kebaikan dengan bersungguh-sungguh.
  6. Mengimarahkan masjid-masjid dan surau-surau.
  7. Mencari dan berkawan dengan sahabat yang bertaqwa.
  8. Sentiasa berada dalam persekitaran atau suasana yang baik dan tidak lalai.

Ganjaran atau hadiah kepada orang bertaqwa ialah Syurga. Hanya dengan taqwa seseorang itu akan mendapat jaminan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Allahu ‘alam.

Tafsir Surah Quraisy – Tafsir Ayat Ke-3 dan Ke-4

0

Pada sesi lepas, kita telah membincangkan :

  1. Keadaan Quraisy yang sangat tenang dalam berdagang (umpama rehlah).
  2. Keselamatan dalam urusan perdagangan mereka.

Maka, setelah Allah SWT menerangkan nikmat-nikmat tersebut, ada perkara yang Allah SWT ingatkan kita semua untuk dilakukan.

 

Tafsir Ayat Ke-3:

فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ

Maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).

Kalimah

فَليَعبُدوا

Bermaksud : Maka hendaklah kamu semua “menghambakan” diri .

Maksud “hamba” adalah lebih besar kerana ada orang yang menyembah Allah SWT tetapi tidak menghambakan diri kepada Allah SWT.

Mereka melakukan ibadah seperti solat dan puasa, tetapi mereka tidak menghambakan diri sepenuhnya, ibarat mereka tidak mengikut arahan Allah SWT yang lain.

Juga ayat ini boleh bermaksud: supaya hati mereka menjadi lembut, maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuan kepada rumah ini (Ka’bah).

Ini kerana kelebihan yang Allah SWT berikan itu, hendaklah mereka mentauhidkan Allah.

Kalimah :

هٰذَا البَيتِ

Rumah ini

Ka’bah (rumah ibadat) itu dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Ka’bah itulah yang menyebabkan kedudukan mereka tinggi di mata masyarakat Arab yang lain.

Kerana itulah mereka tidak diserang dalam perjalanan perdagangan mereka. Ini kerana ramai orang menghormati mereka dan tidak berani menyerang mereka.

Dan kerana itulah ekonomi mereka kuat; inilah juga rumah yang Allah SWT selamatkan dari serangan Tentera Abrahah; dan rumah inilah yang Allah SWT telah berjanji untuk menjadikannya selamat dan diberi dengan makanan.

Oleh kerana peranan Baitullah/Ka’bah ini amat penting dan kerana itu Allah SWT sebut dalam ayat ini.

 

Tafsir Ayat Ke-4 :

الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ

Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Ayat ini merujuk kepada kaum Quraisy yang telah diberikan nikmat makanan dan keamanan dari Allah seperti yang telah disebut oleh Nabi Ibrahim a.s. dalam doa baginda [ Al-Baqarah: 126 ].

Kalimah

جوعٍ

Bermaksud lapar yang bersangatan

Kalimah

خَوفٍ

Bermaksud takut yang juga yang amat sangat.

Ini boleh kita dapati dari kaedah Bahasa Arab, Allah SWT menggunakan lafza yang disertakan tanwin (baris dua).

Cara Allah menjauhkan mereka dari “kelaparan” itu adalah dengan membenarkan kaum Quraisy melakukan perjalanan perdagangan.

Oleh itu mereka dapat mencari rezeki dengan banyak. Malah Allah SWT selamatkan perjalanan kafilah perdagangan mereka dengan tidak diserang oleh orang lain.

Allah sebut juga keadaan ini di dalam Surah [ Al-Ankabut (29) : 67 ]

أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم ۚ أَفَبِالباطِلِ يُؤمِنونَ وَبِنِعمَةِ اللَّهِ يَكفُرونَ

Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh) ? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?

Mengapa Allah sebut tentang ‘lapar’, dan bukannya tentang ‘miskin’?

Ini bertepatan dengan doa Nabi Ibrahim a.s :

وَارزُقهُم مِنَ الثَّمَراتِ

dan berilah rezeki kepada mereka dari buah-buahan.

Akhir sekali dalam surah ini, kita telah banyak menyebutkan mengenai kelebihan yang telah diberikan kepada Quraisy.

Oleh yang demikian sepatutnya dengan segala nikmat yang jelas nyata itu, menjadikan mereka hamba yang baik, lembut hati terhadap Allah SWT dan buat kebaikan di atas muka bumi ini. Namun keadaan mereka nanti ada dalam bersambung dalam yang surah seterusnya, iaitu Surah Al-Ma’un.

 

Tambahan dari saya :

  1. Allah tidak menyebutkan perkataan kaya / miskin pada ayat ini tetapi Dia menggunakan lafaz lapar (lawannya = kenyang)
  2. Ini mengajar kita akan nikmat yang sebenar bukan pada kaya semata, tetapi kecukupan dan terselamat dari lapar.
  3. Contoh, ada yang kaya, tetapi “berpantang” dari pelbagai makanan

 

Ibrah dan kesimpulan :

Pertama :

Pada surah ini, sangat jelas peringatan Allah SWT agar manusia sentiasa fokus mengabdikan diri pada Allah SWT sama ada dalam kesusahan, apatah lagi apabila mendapat nikmat dari Allah SWT.

Kedua :

Setiap kesenangan dan nikmat yang diperoleh hari ini adalah atas pemberian Allah SWT. Manusia hanya berusaha / bekerja dan berharap kepada Allah SWT.

Oleh itu, janganlah kita menjadi sombong dengan merasakan setiap kesenangan yang diperolehi hari ini seumpama usaha diri sendiri semata-mata.

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقْنَٰكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. [ Al-Baqarah 2: 172 ].

Allahu a’lam.

Poligami – Ke Mana Arah Tujuannya

0

Dalam Islam berpoligami harus jika suami berkemampuan memberi nafkah zahir dan batin. Perlu dibuat giliran kepada para-para isterinya. Jika suami gagal memenuhi nafkah zahir dan batin dengan adil, di akhirat nanti dia akan berjalan dlm keadaan sengit sebelah.

Suami diberi tanggungjawab untuk menyara isteri dan keluarganya. Kewajipan ini tidak sepatutnya dianggap sebagai perkara yang ringan, malah ia harus dipikul dengan sebaik-baiknya. Kita boleh merujuk kepada Surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka…”

Dalam perundangan Islam, satu syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang lelaki sebelum berkahwin adalah keupayaan membiayai keperluan hidup yang sempurna dan selesa bagi isteri dan keluarga.

Islam telah mengajar bahawa sesuap makanan yang disuapkan oleh seorang suami ke mulut isterinya dalam saat bahagia atau ketika isteri sedang sibuk sehingga tidak sempat makan merupakan suatu kebaikan yang sentiasa digalakkan.

Pasangan suami isteri perlu diingatkan agar menunjukkan peradaban yang sebaik dari segi fizikal atau akhlak.

Setiap perkahwinan mesti memenuhi hubungan semula jadi di antara lelaki dan wanita dalam segenap segi.

Perkara yang disebut di atas perlu ditekankan terutama sekali dalam perkahwinan poligami. Kita boleh merujuk kepada Surah An-Nisa’ yang antara lain menyatakan:

….Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang saja…Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Suami yang telah berpoligami harus menyedari bahawa dia memikul tanggungjawab yang amat besar dan tidak seharusnya berlaku zalim terhadap isteri.

Dalam konteks ini, nafkah yang wajib diberikan oleh suami bukan hanya nafkah zahir, tetapi juga batin.

Jika tinggal di Kuala Lumpur maka Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 akan dirujuk. Seksyen 59 (1) memberikan kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan suami memberi bayaran nafkah kepada isteri sedia ada.

Seksyen ini menyatakan bahawa “Tertakluk kepada hukum syarak mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri”.

Sebagai seorang isteri, berikut ialah keadilan yang anda perlu sentiasa ingatkan kepada suami anda:

 

Penting Untuk Suami Adil Kepada Dirinya Sendiri

Apakah maksud adil kepada diri sendiri? Ertinya suami yakin dia boleh berlaku adil kepada isteri-isteri dan anak-anak di samping mampu menyara dan mengurus kehidupan mereka dengan cara terbaik menurut syariah.

 

Adil Kepada Isteri Adalah Isteri Mendapat Hak Mereka Daripada Suami

Ini termasuk kemesraan hubungan jiwa, dan nafkah yang berupa makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Hukumnya WAJIB. Suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal untuk setiap isteri dan anak-anak mengikut kemampuan suami.

Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):

“Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari Kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah.”Riwayat Ahmad bin Hanbal

 

Menunaikan Nafkah

Walaupun isteri mempunyai pendapatan atau harta yang lebih berbanding suami, ini tidak bermakna suami boleh mengurangi nafkahnya dan memberikan bahagian isteri itu pula kepada isterinya yang lain.

Diingatkan bahawa isteri boleh membantu suami dalam soal nafkah tetapi mestilah di atas keredhaan isteri dan bukan atas paksaan suami.

 

Tiada Perbezaan Dalam Prinsip Adil

Tiada beza antara isteri yang asalnya gadis atau janda, isteri muda atau isteri tua, tahap pendidikan, tahap kedudukan, pangkat dan harta dan sebagainya. Setiap isteri berhak menerima hak mereka secara adil dan saksama.

 

Pembahagian Masa

Apabila membahagikan masa untuk isteri masing-masing, suami hendaklah menginap di rumah setiap isteri pada jumlah hari atau masa yang sama banyaknya. Ini termasuklah jika isteri dalam keadaan haid kerana perkahwinan bukanlah tentang hubungan seks semata-mata.

 

Berikan Kasih Sayang Kepada Isteri Seadil-Adilnya

Oleh kerana hal perasaan ini sesuatu yang adakalanya sukar dijelaskan, maka Allah menyebutnya;

“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan)” Surah an Nisa ayat 129.

Sukarnya berlaku adil dalam kasih-sayang, sehingga Aisyah menyebut;

“Daripada Aisyah bahawasanya Nabi SAW membahagikan antara isteri-isterinya maka dia boleh mengadili dengan baik. Namun dalam soal kasih-sayang, dia berdoa: “Ya Allah inilah pembahagianku mengikut apa yang aku miliki, maka janganlah Kamu mencelaku pada perkara yang Kamu miliki sedangkan aku tidak miliki.” Riwayat al Tirmizi

 

Adil Terhadap Anak-Anak

Suami bukan sahaja perlu adil kepada isteri, malah anak-anak juga mesti mendapat perlindungan dan kasih-sayang yang sama. Tiada anak dari isteri tertentu yang istimewa dan mendapat perhatian lebih. Semua anak mendapat perhatian yang sama.

Islam menuntut keadilan dalam berpoligami agar rumah tangga yang dibina terpelihara dan kekal bahagia. Poligami yang berlaku tanpa ilmu hanya akan memporak-perandakan institusi keluarga dan memberi kesan buruk kepada pandangan luar terhadap agama.

Allahu a’lam.

Ikut Nabi saw.. Kita dibelakang Nabi saw..

0

100 Sunnah : 1 Sunnah 1 hari : 16/100

  1. Berpakaian
  2. Mengucapkan “bismillah” ketika menanggal atau mengenakan pakaian.

Nabi saw membaca doa ketika memakai pakaian.

اللهم إني أسألك من خيره وخير ما هو له وأعو ذبك من شره وشر ما هو له

Ya Allah aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan dari tujuan dibuatnya, dan aku berlindung kepadaMu dari keburukannya dan keburukan tujuan dibuatnya” HR Abu Daud, At Tirmizi, Ahmad.

Memulakan memakai sesuatu dari kanan, sebaliknya menanggal mula dengan kiri.

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya. Surah Al-Hasyr (59:7)

Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah.
Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah..

Itulah fikrah kita. Itulah manhaj kita. Ikut Nabi saw, Kita dibelakang Nabi saw..

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. Surah Al-Ahzab (33:21)

Nabi adalah contoh teladan yg baik..

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ

dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemauan hawa nafsunya. Surah An-Najm (53:3)

إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ

Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). Surah An-Najm (53:4)

Pembicaraan nabi saw adalah wahyu. Kita perlu rujuk al quran dan sunnah nabi saw. Kita perlu taubat dan segera belajar. Islam adalah ajaran Allah.

Islam bukan cukup dengan dakwaan atau keturunan. Kita wajib belajar ilmu islam, khusus bab keimanan atau aqidah.

Sekian.

Cikgurahim.

Popular

Iklan

Iklan