Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Poligami – Ke Mana Arah Tujuannya

Poligami – Ke Mana Arah Tujuannya

1200
0
Iklan

Dalam Islam berpoligami harus jika suami berkemampuan memberi nafkah zahir dan batin. Perlu dibuat giliran kepada para-para isterinya. Jika suami gagal memenuhi nafkah zahir dan batin dengan adil, di akhirat nanti dia akan berjalan dlm keadaan sengit sebelah.

Suami diberi tanggungjawab untuk menyara isteri dan keluarganya. Kewajipan ini tidak sepatutnya dianggap sebagai perkara yang ringan, malah ia harus dipikul dengan sebaik-baiknya. Kita boleh merujuk kepada Surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka…”

Dalam perundangan Islam, satu syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang lelaki sebelum berkahwin adalah keupayaan membiayai keperluan hidup yang sempurna dan selesa bagi isteri dan keluarga.

Islam telah mengajar bahawa sesuap makanan yang disuapkan oleh seorang suami ke mulut isterinya dalam saat bahagia atau ketika isteri sedang sibuk sehingga tidak sempat makan merupakan suatu kebaikan yang sentiasa digalakkan.

Pasangan suami isteri perlu diingatkan agar menunjukkan peradaban yang sebaik dari segi fizikal atau akhlak.

Setiap perkahwinan mesti memenuhi hubungan semula jadi di antara lelaki dan wanita dalam segenap segi.

Perkara yang disebut di atas perlu ditekankan terutama sekali dalam perkahwinan poligami. Kita boleh merujuk kepada Surah An-Nisa’ yang antara lain menyatakan:

….Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang saja…Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Suami yang telah berpoligami harus menyedari bahawa dia memikul tanggungjawab yang amat besar dan tidak seharusnya berlaku zalim terhadap isteri.

Dalam konteks ini, nafkah yang wajib diberikan oleh suami bukan hanya nafkah zahir, tetapi juga batin.

Jika tinggal di Kuala Lumpur maka Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 akan dirujuk. Seksyen 59 (1) memberikan kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan suami memberi bayaran nafkah kepada isteri sedia ada.

Seksyen ini menyatakan bahawa “Tertakluk kepada hukum syarak mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri”.

Sebagai seorang isteri, berikut ialah keadilan yang anda perlu sentiasa ingatkan kepada suami anda:

 

Penting Untuk Suami Adil Kepada Dirinya Sendiri

Apakah maksud adil kepada diri sendiri? Ertinya suami yakin dia boleh berlaku adil kepada isteri-isteri dan anak-anak di samping mampu menyara dan mengurus kehidupan mereka dengan cara terbaik menurut syariah.

 

Adil Kepada Isteri Adalah Isteri Mendapat Hak Mereka Daripada Suami

Ini termasuk kemesraan hubungan jiwa, dan nafkah yang berupa makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Hukumnya WAJIB. Suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal untuk setiap isteri dan anak-anak mengikut kemampuan suami.

Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):

“Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari Kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah.”Riwayat Ahmad bin Hanbal

 

Menunaikan Nafkah

Walaupun isteri mempunyai pendapatan atau harta yang lebih berbanding suami, ini tidak bermakna suami boleh mengurangi nafkahnya dan memberikan bahagian isteri itu pula kepada isterinya yang lain.

Diingatkan bahawa isteri boleh membantu suami dalam soal nafkah tetapi mestilah di atas keredhaan isteri dan bukan atas paksaan suami.

 

Tiada Perbezaan Dalam Prinsip Adil

Tiada beza antara isteri yang asalnya gadis atau janda, isteri muda atau isteri tua, tahap pendidikan, tahap kedudukan, pangkat dan harta dan sebagainya. Setiap isteri berhak menerima hak mereka secara adil dan saksama.

 

Pembahagian Masa

Apabila membahagikan masa untuk isteri masing-masing, suami hendaklah menginap di rumah setiap isteri pada jumlah hari atau masa yang sama banyaknya. Ini termasuklah jika isteri dalam keadaan haid kerana perkahwinan bukanlah tentang hubungan seks semata-mata.

 

Berikan Kasih Sayang Kepada Isteri Seadil-Adilnya

Oleh kerana hal perasaan ini sesuatu yang adakalanya sukar dijelaskan, maka Allah menyebutnya;

“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan)” Surah an Nisa ayat 129.

Sukarnya berlaku adil dalam kasih-sayang, sehingga Aisyah menyebut;

“Daripada Aisyah bahawasanya Nabi SAW membahagikan antara isteri-isterinya maka dia boleh mengadili dengan baik. Namun dalam soal kasih-sayang, dia berdoa: “Ya Allah inilah pembahagianku mengikut apa yang aku miliki, maka janganlah Kamu mencelaku pada perkara yang Kamu miliki sedangkan aku tidak miliki.” Riwayat al Tirmizi

 

Adil Terhadap Anak-Anak

Suami bukan sahaja perlu adil kepada isteri, malah anak-anak juga mesti mendapat perlindungan dan kasih-sayang yang sama. Tiada anak dari isteri tertentu yang istimewa dan mendapat perhatian lebih. Semua anak mendapat perhatian yang sama.

Islam menuntut keadilan dalam berpoligami agar rumah tangga yang dibina terpelihara dan kekal bahagia. Poligami yang berlaku tanpa ilmu hanya akan memporak-perandakan institusi keluarga dan memberi kesan buruk kepada pandangan luar terhadap agama.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan