Utama Blog Halaman 124

Kirim Pahala melalui Sedekah al-Fatihah?

0

Kirim pahala melalui sedekah al-Fatihah kepada Ibu bapa yang telah meninggal dunia?

 🔴 Memandangkan ulama’ mempunyai dua pendapat di dalam isu “menyampaikan pahala orang yang hidup kepada orang yang mati”, adakah boleh seorang anak yang soleh menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada ibu bapanya yang telah meninggal dunia berdasarkan hadith di bawah?

Hadith Nabi SAW:

   إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به من بعده , أو ولد صالح يدعو له  

Terjemahan:

“Apabila mati anak Adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : sedeqah jariah, ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya dan anaknya yang soleh yang mendoakannya” (HR. Muslim no 1631)

Apabila terdapat dua pendapat ulama, kita perlu mentarjihkan pendapat yang paling kuat. Itu adalah metod (kaedah) untuk beramal dengan perkara khilafiah.

Adapun isu memberi sedekah bacaan al-Fatihah, ia bukanlah perkara khilafiah. Jikalau kita hendak memberi sedekah kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia, maka sedekahkanlah tanah, harta benda ataupun wang ringgit, bukannya dengan bersedekah bacaan al-Fatihah.

🔴 Apakah maksud “anak soleh yang mendoakannya” seperti yang disebut di dalam hadith di atas?

“Anak soleh yang mendoakannya” di dalam hadith tersebut ialah anak yang mukmin, menjalankan syariat agama dan tidak melakukan dosa besar. Doa anak yang soleh dan amalan solehnya memberi manfaat kepada ibu bapanya.

Ulasan

Amalan mengirim pahala ini bermaksud kita memiliki pahala tersebut dan berkuasa pula untuk memindahkan pahala itu seperti yang dikehendaki.

Sesiapa yang mencipta konsep “mengirim” pahala ini sudah termasuk ke dalam zon mengganggu (interference) tugasan malaikat dan kuasa Allah SWT.

Allahu a’lam.

 

Konvensyen UiTO Ke-2 2016 – Kertas Kerja 5: Menilai Niat Menurut Neraca Sunnah

0

Konvensyen UiTO Ke-2 2016

Kertas Kerja 5

Menilai Nilai Menurut Neraca Sunnah

[ Mohd ‘Adlan Mohd Sharifuddin @Adou ]

Niat adalah satu perkara yang sangat penting dalam Islam sehingga ia dibahaskan dengan panjang lebar di dalam kitab-kitab para ‘ulama’ terutama kitab fiqh. Kertas kerja ini menjelaskan beberapa sudut pandang yang berbeza dengan yang biasa dibincangkan di dalam bidang fiqh dari beberapa aspek seperti kepentingan perbuatan berbanding niat, keterbatalan lafaz di lidah, kepentingan berusaha berbanding berniat, kepentingan azam, serta maksud niat daripada hadis. Daripada perbincangan yang dibawakan, seseorang muslim dapat menilai niat menurut neraca sunnah dan mendekatkan diri dengan kehendak agama dalam persoalan agama.

Ulasan lanjut mengenainya boleh dicapai melalui link:

https://drive.google.com/open?id=1gCw3dEGrdwg5ZxrYNX_JTUUFZXY3UN2t

Adakah amalan tertentu pada malam Nisfu Sya’ban?

0

Ada kah amalan tertentu pada malam Nisfu Sya’ban?

Menurut pendapat Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Sya’ban:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, dengan membaca doa tertentu dan melakukan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas solat maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yaasin dan solat dua rakaat dengan niat dipanjangkan umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak ada asalnya dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggah nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid’ah dan sengaja diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan di dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah dengan mengikuti salaf, segala keburukan itu ialah bid’ah golongan selepas mereka (para sahabah, tabi’in dan tabi tabi’in).

Setiap yang diadakan-adakan itu bid’ah, dan setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka”.

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu‘asarah Jilid 1, Halaman 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

 

 

 

 

 

Konvensyen UiTO Ke-2 2016 – Kertas Kerja 4: Sunnah vs Logik Akal

0

Konvensyen UiTO Ke-2 2016

Kertas Kerja 4 – Sunnah vs Logik Akal [ Ustaz Huzaifah Hadis ]

Firman Allah:

بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ ۗ وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya. [ An-Nahl: 44 ].

Dalam ayat ini jelas bahawa diturunkan az-Zikr (peringatan iaitu al-Quran) adalah untuk diterangkan, dijelaskan bukan sekadar disampaikan tanpa penerangan dan penjelasan. Siapakan yang menjelaskan? Tidak lain tidak bukan ialah jasad mulia Rasulullah SAW sama ada dari segi perbuatannya, percakapannya atau pun pengikrarannya terhadap sesuatu isu tersebut atau pun larangannya.

Dakwaan menyatakan bahawa baginda Rasulullah SAW sekadar posmen yang menghantar surat semata ialah dakwaan yang tidak disertai bukti.

Ayat ini menyentuk tentang topik yang ingin saya terangkan pada hari ini iaitu Sunnah vs Logik Akal.

Sila rujuk rencana seterusnya:  Sunnah vs Logik Akal

 

 

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-19 hingga Ke-23

0

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut akidah musyrikin Mekah yang menyembah dan berdoa kepada malaikat yang dikatakan sebagai anak Tuhan.

Tafsir Ayat ke-19

 Allah SWT beri dalil menolak kata-kata Musyrikin Mekah itu.

وَجَعَلُوا المَلٰئِكَةَ الَّذينَ هُم عِبٰدُ الرَّحمٰنِ إِنٰثًا ۚ أَشَهِدوا خَلقَهُم ۚ سَتُكتَبُ شَهٰدَتُهُم وَيُسئَلونَ

Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya).

وَجَعَلُوا الْمَلٰئِكَةَ الَّذِينَ هُمْ عِبٰدُ الرَّحْمَٰنِ إِنٰثًا

Dan mereka pula menjadikan malaikat-malaikat itu – yang juga hamba-hamba Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan.

Itulah hakikat para malaikat – hamba Allah SWT. Mereka bukanlah anak-anak perempuan Allah SWT. Allah SWT tidak memerlukan anak. Kalau hendak kata mereka itu anak Allah SWT, kenalah bawa dalil. Tentu mereka tidak dapat bawa dalil kerana itu adalah tipu sahaja. Allah SWT tidak mempunyai anak perempuan dan tidak juga mempunyai anak lelaki.

Adakah patut mereka kata para malaikat itu perempuan? Kalau begitu, mereka kata malaikat-malaikat itu lemah lah sebab mereka sendiri juga ada berkata yang perempuan itu lemah – main dengan barang perhiasan sahaja dan tidak dapat mempertahankan diri mereka. Nampak sangat tidak kena.

أَشَهِدُوا خَلْقَهُمْ

Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu?

Mereka yang pandai-pandai berkata malaikat itu anak perempuan, adakah mereka lihat sendiri yang Allah SWT menjadikan mereka sebagai anak perempuan-Nya?

Adakah mereka sendiri nampak yang malaikat-malaikat itu berjantina perempuan atau mereka pandai-pandai sahaja mengatakan perkara yang tidak mereka tahu?

Macam orang kita yang mengatakan satu-satu perkara dalam agama, manakah dalil mereka? Jangan pandai-pandai cakap sahaja. Kebanyakannya pandai cakap sahaja.

سَتُكْتَبُ شَهٰدَتُهُمْ

Akan dituliskan penyaksian mereka

Segala kata-kata mereka akan ditulis. Begitu juga dengan kata-kata kita, akan ditulis. Jadi, jangan kita berkata sembarangan. Amat ramai yang mulut mereka hanya pandai berkata-kata tanpa dalil. Mereka macam tidak tahu yang setiap patah perkataan mereka akan ditulis.

Bayangkan pula: siapakah yang akan menulis kata-kata mereka itu? Bukankah yang menulis itu adalah Malaikat Kaatibin yang sentiasa bersama dengan kita? Bolehkan anda bayangkan ironisnya perkara ini? Mereka kata malaikat-malaikat itu perempuan, sedangkan malaikat itulah yang jadi tukang tulis kepada kata-kata mereka.

وَيُسئَلُونَ

dan mereka akan ditanya kelak

Mereka akan dipersoalkan dengan kata-kata mereka serta akan menerima balasannya kalau apa yang mereka katakan itu adalah penipuan sahaja.

Siapakah pula yang akan bertanya kepada mereka? Bukankah yang bertanya itu juga nanti adalah malaikat juga kerana dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang Allah SWT tidak mahu berkata-kata dengan mereka.

Ayat ini mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan apa yang kita katakan. Ingatlah bahawa apa sahaja yang kita katakan akan ditulis. Termasuk juga apa yang kita tulis – dalam Facebook, dalam Twitter dan dalam mana-mana media sekali pun.

Oleh itu, jikalau kita memperkatakan dan memberikan maklumat yang tidak benar, maka berhati-hatilah, ia akan menyusahkan kita nanti. Beginilah juga kita kena mengajar dan menegur anak-anak kita yang berkata macam-macam.

Kalau kita lihat mereka menipu, kita kena ingatkan kepada mereka: “Husna, ingatlah yang Allah SWT akan menulis apa yang Husna cakapkan ini. Nanti Allah akan tanya Husna kenapa cakap begini, begitu? Berani ke Husna hendak cakap depan Allah SWT nanti?”

Tafsir Ayat ke-20

Ini adalah ayat Syikayah (rungutan dari Allah SWT). Marilah kita dengar apakah hujah Musyrikin Mekah itu untuk membenarkan perbuatan syirik mereka itu.

Mereka kononnya berdalil, tetapi bukan dengan dalil yang sahih. Perkara yang akan disebutkan nanti adalah contoh dalil bukan jenis ilmu. Ia adalah contoh bukan dalil tetapi dikatakan sebagai ‘dalil’. Mereka keliru antara ‘kehendak’ dan ‘redha’ Allah SWT. ‘Kehendak’ dan ‘redha’ Allah SWT bukan perkara yang sama, tetapi mereka kata sama.

Kehendak Allah berbentuk umum – apa-apa sahaja terjadi dalam alam ini adalah atas kehendak Allah SWT tetapi redha Allah SWT adalah khusus. Jadi hujah yang mereka berikan adalah bathil. Kita kena faham, kalau Allah SWT benarkan, tidak semestinya Allah SWT redha.

وَقالوا لَو شاءَ الرَّحمٰنُ ما عَبَدنٰهُم ۗ مّا لَهُم بِذٰلِكَ مِن عِلمٍ ۖ إِن هُم إِلّا يَخرُصونَ

 Dan mereka berkata: “Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah malaikat itu”. (Sebenarnya) mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun mengenai kata-kata mereka (yang demikian), mereka hanyalah orang-orang yang berdusta!

وَقَالُوا لَوْ شَاءَ الرَّحْمَٰنُ مَا عَبَدْنٰهُم

Dan mereka berkata: “Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah mereka itu”.

Musyrikin akan beri hujah mereka: Kalau bukan Allah SWT yang kehendaki, tidaklah kami puja malaikat, Nabi atau wali-wali selain Allah SWT itu. Ini adalah satu alasan yang selalu digunakan oleh manusia yang ingkar. Mereka kata apa yang mereka buat itu semuanya adalah atas kehendak Allah SWT.

Kalau Allah SWT tidak suka, tentunya perkara itu tidak terjadi. Maknanya, mereka menyalahkan Allah SWT pula. Mereka kata, mereka buat syirik itu kerana Allah SWT hendak mereka buat begitu. Maknanya, mereka kata Allah SWT suka mereka buat syirik!

Itulah salah faham manusia dan Allah telah menyebut kata-kata mereka dalam surah [ al-An’am: 107 ]:

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكُوا

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya;

Ramai yang menggunakan hujah ini dalam menghalalkan perbuatan mereka. Ada yang kata: “Kalau Allah SWT takdirkan, tentu aku akan solat”, “Kalau Allah SWT hendak aku jadi baik, tentu Dia dah jadikan aku orang baik”, “Aku jadi begini sebab Allah SWT takdirkan aku jadi begini lah…”.

Macam-macam lagi hujah-hujah batil yang mereka berikan. Mereka tidak faham dengan maksud takdir Allah SWT. Mereka keliru dengan Qada’ dan Qadar. Mereka tidak faham apakah perbezaan antara apa yang Allah SWT suka, dan apa yang Allah SWT benarkan.

Kalau Allah SWT benarkan sesuatu perkara yang salah terjadi, bukanlah ia bermakna Allah SWT suka. Allah SWT boleh sahaja membenarkan sesuatu perkara itu terjadi tetapi dalam keadaan Allah SWT murka kerana kalau manusia hendak sangat buat perkara mungkar, Allah SWT akan benarkan. Namun akan dikenakan dengan balasan di akhirat kelak!

Hanya perkara yang Allah SWT suruh kita buat sahaja yang boleh dikira Allah SWT suka dengan perbuatan itu. Oleh kerana perasaan beginilah yang menyebabkan orang kafir terus berada dalam kekafiran. Lihatlah penganut Hindu pada Hari Thaipusam mereka.

Mereka akan menanggung Kavadi yang amat berat sambil dicucuk-cucuk tubuh mereka. Selepas dicabut Kavadi dari tubuh mereka, tubuh mereka tidak berdarah langsung dan tidak jadi apa-apa. Molek sahaja keadaan mereka – tidak ada luka, tidak ada sakit apa-apa.

Perjalanan majlis syirik mereka itu juga berjalan dengan lancar sahaja. Tidaklah ada guruh gempita, taufan juga tidak turun. Tidaklah terjadi macam dalam filem Hindustan, bila Dewa tidak suka, ribut sabung-menyabung.

Pada mereka, kalau Tuhan tidak menahan atau melarang perbuatan mereka yang sebegitu, tentulah pada mereka, itu menunjukkan yang Tuhan suka dengan perbuatan mereka itu. Sudahlah perbuatan mereka itu tidak dihalang oleh Tuhan, ia ‘menjadi’ pula iaitu tujuan mereka melakukan upacara Thaipusam dan Kavadi itu adalah untuk menambahkan rezeki mereka.

Pada tahun itu, memang rezeki mereka semakin banyak pula! Tentulah mereka lebih yakin lagi bahawa Tuhan suka dengan apa yang mereka lakukan. Mereka kata, kalau Tuhan tidak suka, tidaklah Dia akan berikan apa yang mereka mahu. Jadi, manusia ada menggunakan alasan yang apa yang mereka lakukan itu ‘menjadi’, maka ia tentulah benar.

Orang kita pun banyak menggunakan hujah yang sama. Sebagai contoh, ada yang mengamalkan ilmu keramat seperti Ilmu Kebal, Ilmu Menghilangkan Diri, Menunduk Orang dan sebagainya. Mereka mendapat kelebihan itu selepas mereka melakukan sesuatu amalan dan selalunya juga, selepas mereka berpantang dari makan sesuatu jenis makanan.

Apabila apa yang mereka kehendaki itu menjadi, maka bertambah yakinlah mereka yang amalan mereka itu benar. Pada mereka, kalau menjadi, bermakna betullah amalan itu.

Ingatlah bahawa sesuatu amalan itu ‘menjadi’, bukanlah dalil bahawa apa yang mereka lakukan itu benar. Ini telah dijelaskan dalam Surah Fussilat. Mereka yang buat amalan yang salah seperti berQasidah di stadium pula berkata: Kalau salah, takkan ramai yang datang. Stadium tidak runtuh pun! Allah SWT suka dengan apa yang kami lakukan, sebenarnya.

Itulah kejahilan mereka dan kejahilan mereka itu kerana tidak belajar. Begitulah manusia, apabila tidak belajar senang ditipu. Apabila ada yang kata mereka keturunan Nabi, semua pakat percaya dan ikut sahaja.

مَّا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ

Mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun tentangnya

Mereka berkata-kata dan berhujah tanpa ilmu pengetahuan. Mereka tidak tahu tentang syirik. Mereka tidak belajar, macam orang-orang kita juga. Mereka pandai berkata-kata sahaja, tetapi ia keluar dari akal yang jahil.

Keduanya, mereka yang berkata tentang anak perempuan Allah SWT itu tidak ada langsung ilmu tentangnya. Mereka hanya mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh tok nenek dan guru-guru mereka. Mereka tidak ada ilmu. Mereka sendiri tidak mahu belajar.

إِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

mereka hanyalah orang-orang yang berdusta!

Apabila mereka tidak boleh bawa dalil tentang hal agama, maka mereka dikira sebagai berdusta. Apa yang mereka keluarkan sebagai hujah itu adalah tanggapan dan agakkan sahaja. Ia tidak lebih dari andaian sahaja. Mereka sahaja yang sangka hujah mereka betul.

Oleh itu, bagaimana pula dengan masyarakat kita yang mengatakan banyak perkara dalam hal agama, tetapi tidak boleh bawa dalil, melainkan mereka kata: “ada dalam kitab itu dan ini”, “ustaz itu kata itu dan ini”.

Ramai juga yang menggunakan akal mereka sahaja – mereka agak-agak sahaja yang sesuatu perkara itu benar. Itu semua adalah hujah yang bathil dan tidak ada nilai. Itu semua adalah dusta!

Tafsir Ayat ke-21

Allah SWT ajar lagi kita bagaimana berhujah dengan penentang kebenaran,iaitu minta dalil dari mereka.

أَم ءآتَينٰهُم كِتٰبًا مِّن قَبلِهِ فَهُم بِهِ مُستَمسِكونَ

Pernah kah Kami memberikan mereka sebelum al-Quran ini sebuah Kitab (yang membenarkan dakwaan mereka), lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu?

 أَمْ آتَيْنٰهُمْ كِتٰبًا مِّن قَبْلِهِ

Atau pernah kah Kami memberikan mereka sebuah Kitab sebelum al-Quran ini

Apakah dalil mereka yang membenarkan dakwaan mereka, apabila mereka kata Allah SWT suka dengan perbuatan syirik mereka itu atau tentang malaikat itu anak perempuan Allah SWT? Adakah mereka merujuk kepada kitab dari Allah SWT yang membenarkannya? Adakah?

Tentulah tidak ada. Bangsa Arab tidak pernah mendapat kitab. Kalau mereka ada kitab wahyu lain, bolehlah hendak buat kira dan bawa berbincang, tetapi tidak ada juga.

Mereka itu pakai hujah akal mereka sahaja, tetapi malangnya ramai dari kalangan masyarakat kita juga pakai hujah akal sahaja. Bila hendak berhujah dalam hal agama, mereka boleh pakai akal sahaja sedangkan agama ini kita kena bawa dalil.

فَهُم بِهِ مُسْتَمْسِكُونَ

lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu?

Mereka tidak ada Kalam Allah SWT langsung untuk membenarkan kata-kata mereka. Mereka cuma ikut kata guru mereka dan tok nenek mereka sahaja.

Tidak ada kitab langsung yang boleh menyokong dakwaan mereka itu. Padahal kalau kitab-kitab dahulu seperti Taurat dan Injil melarang kepada perbuatan syirik. Ini mengajar kita bahawa dalil yang sah adalah dari wahyu Allah SWT.

Tafsir Ayat ke-22

Kalau mereka tidak ada dalil kepada perbuatan syirik mereka, maka apakah hujah mereka? Ini adalah dalihan mereka lagi untuk membenarkan apa yang mereka lakukan. Lihatlah bagaimana hujah ini juga dikeluarkan oleh orang kita juga.

بَل قالوا إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّهتَدونَ

(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

بَلْ قَالُوا إِنَّا وَجَدْنَا ءآبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ

Bahkan mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama,

Kalimah أُمَّةٍ boleh bermaksud banyak perkara dan dalam ayat ini bermaksud ‘agama’.

Kalau kita tanya kepada mereka kenapa mereka beramal dengan apa yang mereka amalkan, mereka akan kata kerana mereka ikut apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka dan kalau ditanya kepada tok nenek mereka, tok nenek itu akan kata mereka juga ikut apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka pula.

Mereka juga merujuk kepada guru-guru dan ustaz-ustaz mereka yang telah berlalu. Guru-guru itu telah mati tetapi ajaran salah mereka masih ada lagi. Hujah dari datuk nenek ada dua jenis: ada yang benar dan ada yang salah.

Kalau yang benar dan disandarkan kepada dalil maka kita bolehlah hendak ikut tetapi kita kena ingat, bukan semua boleh diikuti. Kena ikut yang benar dan macam mana kita hendak tahu mana betul atau salah? Kena bandingkan dengan al-Quran dan hadis tetapi ramai tidak buat bandingan, mereka pakai ikut sahaja.

Ini kerana mereka sendiri tidak belajar tafsir al-Quran, jadi macam mana mereka hendak tahu mana salah dan benar? Beginilah yang banyak terjadi kepada masyarakat kita. Mereka hanya mengikut sahaja. Mereka telah dilahirkan dalam suasana agama yang sebegitu, dan mereka tidak pernah mempersoalkan.

Mereka tidak menggunakan akal mereka yang waras dan kritis. Mereka ikut buta sahaja. Sebagai contoh, dari kecil lagi mereka telah melalui Majlis-majlis Tahlil, Doa Selamat dan Kenduri Arwah. Jadi, kerana mereka lahir-lahir dan membesar dalam suasana bidaah, mereka rasa bidaah itulah yang benar tetapi hendak bagi sedap sikit, mereka katalah itu ‘bidaah hasanah’.

وَإِنَّا عَلَىٰ ءآثٰرِهِم مُّهْتَدُونَ

dan sesungguhnya kami merasa mendapat petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

Mereka ikut apa yang diajar dan dibuat oleh orang-orang terdahulu dan mereka rasa apa yang mereka lakukan itu adalah betul. Mereka rasa jalan itu adalah jalan yang mendapat petunjuk. Mereka rasa kalau orang dahulu buat begitu, tentu tidak salah apa yang mereka lakukan.

Mereka amat menghormati apa yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu. Kalau kita tegur mereka, mereka akan marah dan mereka berkata: “Takkan kamu hendak kata mereka dulu itu masuk neraka semuanya?” Mereka juga mungkin berkata: “benda ini ulama dulu sudah lama bahas, kenapa hendak ditimbulkan lagi?”.

Ingatlah bahawa dalil kita bukanlah amalan orang terdahulu tetapi dari al-Quran dan Sunnah. Kalau apa yang dilakukan oleh orang yang terdahulu itu tidak dapat disokong dengan dalil yang sahih, maka tinggalkanlah dahulu.

Tafsir Ayat Ke-23

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana orang-orang Musyrikin Mekah itu hanya ikut amalan tok nenek mereka sahaja. Bukan mereka sahaja yang kata begitu, malah orang-orang kufur sebelum mereka turut berkata begitu juga, sama sahaja. Orang sekarang juga termasuk kebanyakan dari masyarakat Melayu kita turut berkata perkara yang sama juga kerana akidah mereka sama sahaja, akidah kufur.

وَكَذٰلِكَ ما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ في قَريَةٍ مِّن نَّذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّقتَدونَ

Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”.

وَكَذَٰلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِّن نَّذِيرٍ

Dan demikianlah; Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran,

Allah SWT telah menghantar Rasul kepada setiap negeri dan tempat, untuk menyampaikan ajaran tauhid dan cara menjalankan kehidupan. Kalau zaman sekarang, tidak ada Rasul lagi, maka yang menyampaikan ajaran tauhid kepada umat adalah penyebar-penyebar tauhid.

Itulah guru-guru yang mengajar Tafsir al-Quran dan juga Sunnah Nabi SAW. Mereka meluangkan masa dan tenaga untuk mengeluarkan manusia dari kesesatan syirik tetapi, setelah mereka datang dan menyampaikan, apa yang terjadi apabila penyebar tauhid itu sampai? Adakah manusia menerima mereka dengan tangan terbuka?

إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا ءآبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ

melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama,

Akan ada sahaja yang menentang. Mereka yang berkata begitu adalah orang yang ada kedudukan dalam masyarakat. Mereka hidup mewah dalam dunia. Mereka hidup kaya kerana cara hidup yang diamalkan dalam masyarakat itu. Kalau agama ditegakkan, maka mereka akan hilang punca pendapatan mereka.

Maka mereka tidak suka kalau agama yang benar ditegakkan. Sebagai contoh, kalau semua amalan bidaah tidak dilakukan lagi oleh masyarakat, maka hilanglah pendapatan ustaz-ustaz, guru-guru dan tok imam dalam menjadi kepala Majlis Tahlil, Doa Selamat, Baca Talqin, Solat Hajat dan macam-macam lagi.

Itulah sebabnya mereka marah benar kalau dikacau amalan-amalan itu. Mereka akan kata yang mereka memegang pegangan agama yang telah lama ada dan diamalkan oleh masyarakat mereka. Sebagai contoh, mereka sudah mengamalkan Majlis Tahlil dari dulu lagi. Kalau ditanya mereka belajar dengan siapa amalan itu, mereka akan kata dengan guru atau orang dulu-dulu.

Apabila ditanya orang dulu belajar dengan siapa, mereka sudah tidak tahu. Maknanya, hujungnya tidak tahu siapa yang mula-mula mengajar. Maknanya, tidak tahu siapa yang mula-mula ‘reka’ amalan itu dan amalan Majlis Tahlil ini hanya diamalkan di daerah Nusantara kita ini sahaja – Malaysia, Indonesia dan Pattani.

Kajian yang dilakukan setakat ini, hanya sampai kepada ajaran Wali Songo di Indonesia sahaja. Kemungkinan merekalah yang memulakannya.

Banyak amalan agama yang diamalkan oleh masyarakat kita sekarang, tidak tahu asal usulnya. Macam sekarang, semua orang memanggil nama Nabi SAW dengan panggilan Sayyidina tetapi tidak tahu siapakah yang mula-mula sekali menggunakan gelaran itu untuk Nabi SAW.

Namun yang pastinya, Nabi SAW tidak menggelar diri baginda begitu, dan para sahabat juga tidak menggelar baginda SAW begitu, termasuklah isteri-isteri baginda SAW. Padahal, mereka lagi sayang kepada baginda SAW, lagi hormat kepada baginda. Nabi SAW juga tidak pernah suruh dipanggil begitu, sebaliknya, kalau dilihat kepada hadis yang ada, terdapat larangan dari baginda SAW untuk menggelar baginda dengan gelaran ‘Sayyid’.

Abdullah bin al-Syikhir radhiallahu ‘anh berkata: Aku bersama rombongan Bani ‘Amir telah berkunjung menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. (Ketika bertemu) kami berkata: “Anda sayyidina.” Namun Rasulullah SAW terus membalas: “al-Sayyid ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala.” Lalu kami berkata: “Namun anda adalah yang paling utama dan paling mulia di antara kami!”

Rasulullah SAW menjawab: “Berkatalah dengan apa yang kalian katakan atau sebahagian dari apa yang kalian katakan, akan tetapi janganlah kalian terpengaruh dengan syaitan.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4172/4806]

Dan di dalam hadis yang lain:

Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkata, bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Muhammad! Wahai Sayyidina dan wahai putera sayyidana! Orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami!”

Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Wahai manusia! Aku mengingatkan kalian untuk bertaqwa, janganlah sehingga kalian terikut-ikut dengan syaitan. Aku Muhammad bin Abdullah, hamba Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah! Aku tidak menyukai kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.” [Musnad Ahmad, no: 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]

Begitulah kalau kita tanya kepada mereka kenapa mereka melakukan amalan yang tidak ada dalil itu, iaitu amalan-amalan bidaah. Mereka akan beri jawapan yang sama sahaja. Iaitu amalan mereka itu bukanlah baru, tetapi telah lama diamalkan. Ia telah lama diamalkan oleh tok nenek mereka.

وَإِنَّا عَلَىٰ ءآثٰرِهِم مُّقْتَدُونَ

dan sesungguhnya kami atas jejak mereka, kami ikuti”.

Mereka akan ikut tanpa usul periksa lagi. Pada mereka, itulah cara mengamalkan agama yang betul. Walaupun mereka tidak boleh beri dalil untuk amalan mereka itu, mereka hendak ikut juga.

Mereka rasa kalau telah lama diamalkan oleh tok nenek, oleh guru-guru dahulu, tentulah ia benar tetapi lihatlah, dalam hal agama sahaja mereka ikut cara lama. Kalau hal kehidupan, tidak pula. Kalau hendak makan, mereka akan cari makanan jenis baru.

Mereka hendak kenderaan, mereka akan pakai kenderaan yang hebat-hebat kerana mereka kata, ada cara yang lebih baik dari orang-orang dahulu kerana mereka akan kata, dari kajian sains, ada cara yang lebih baik tetapi kenapakah dalam amalan agama, mereka hendak pakai amalan tok nenek juga?

Allahu a’lam.

Hal Perosak Kelebihan Khutbah Jumaat

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

~Tadabbur Kalamullah 6 Rabiulawal 1437H~

وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا ۚ قُلْ مَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ مِنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ ۚ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:” Pahala balasan yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki[Surah al-Jumu’ah 11]

#Berkata Prof.Hamka dalam tafsir al-Azhar:

“Ayat ini diturunkan disebabkan berlakunya satu kejadian yang tidak menyenangkan iaitu sahabat-sahabat Nabi meninggalkan Nabi yang sedang berkhutbah jumaat diatas mimbar kerana mendengarkan berita kepulangan rombongan perniagaan dari negeri Syam yang diiringi dengan gendang, kompang, bunyi-bunyian yang riuh rendah mengalu-alukan kepulangan mereka”

#Mereka lebih terpesona dengan hiburan dan keuntungan perniagaan sehingga meninggalkan Rasul yang sedang berkhutbah. Ini merupakan satu kerugian dari segi budi pekerti dan kesopanan. Sedangkan Allah menjanjikan ganjaran pahala yang besar dalam ibadah solat dan khutbah jumaat.

#Ketika khutbah jumaat sedang berlangsung, kita dilarang menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang boleh melalaikan kita daripada mendengar khutbah. Nabi saw memberi amaran:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمْعَةِ: (أَنْصِتْ) وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Jika kamu berkata kepada sahabatmu, “Diamlah” sementara imam sedang berkhutbah di hari jumaat, sungguh ia telah berbuat sesuatu yg sia-sia(Muttafaqun Alaih)

Dalam riwayat Imam at-Tirmizi terdapat kalimah tambahan:

ومن لغا فلا جمعة له

“..Barangsiapa berbuat sia-sia, maka tidak ada pahala solat jumaat untuknya“(Hadis hasan sahih)

Dlm riwayat lain disebutkan:

ومن لغا وتخطَّى رقاب الناس، كانت له ظهرًا

Dan barangsiapa yang berbuat sia-sia dan melangkahi bahu-bahu manusia, maka Jumaatnya itu hanya dinilai solat Zuhur.” (HR Abu Dawud. Hadis Hasan)

#Jelaslah bahawa ketika khatib sedang berkhutbah, hendaklah dengar dan beri sepenuh tumpuan. Tidak boleh (dilarang) menyibukkan diri dengan jual beli, makan minum, bermain anak kunci motor/kereta, bermain henfon, berwasap, berfb, beryoutube, bermain anak batu, bersembang, bercakap-cakap, mengutip derma dan segala hal yang menyebabkan hilangnya fokus kepada khutbah yang sedang disampaikan.

Pastikan kita pulang dari masjid membawa ganjaran pahala yang melimpah-limpah bukannya pulang dengan tangan kosong atau membawa dosa yang sangat bertimbun-timbun. Bertaubatlah...♡

🐊Ust naim
https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

Telegram:
Telegram.me/tadabburkalamullah
(Buka link👆dan klik join)

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-16 hingga Ke-18

0

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-16:

أَمِ اتَّخَذَ مِمّا يَخلُقُ بَناتٍ وَأَصفٰكُم بِالبَنينَ

Patutkah Tuhan mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya menjadi anak-anak perempuan-Nya, dan Dia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

أَمِ اتَّخَذَ مِمَّا يَخْلُقُ بَنَاتٍ

Patutkah Dia mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya menjadi anak-anak perempuan-Nya,

Adakah patut Musyrikin Mekah mengatakan yang Allah SWT mengambil malaikat sebagai anak perempuan-Nya? Tidak pernah Allah SWT berkata begitu.

Ini hanyalah kerana kesesatan mereka sahaja. Mereka sahaja yang memandai-mandai setelah dibisikkan oleh syaitan untuk menyesatkan mereka. Mereka kata, anak perempuan Allah SWT itu (para malaikat) lahir kerana Allah SWT kahwin dengan jin. Masha Allah! Teruk sekali fahaman mereka.

وَأَصْفٰكُم بِالْبَنِينَ

dan Dia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

Tidak mungkin Allah SWT ambil anak perempuan dan berikan anak lelaki kepada Musyrikin Mekah? Itu adalah pembahagian yang tidak patut.

Allah SWT telah berfirman tentang perkara ini dalam surah [ Najm: 21-22 ]:

أَلَكُمُ الذَّكَرُ وَلَهُ الْأُنثَىٰ

Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah SWT anak perempuan (yang kamu benci)?

تِلْكَ إِذًا قِسْمَةٌ ضِيزَىٰ

Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.

Allah SWT berfirman lagi dalam surah [ Nahl: 62 ]:

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ مَا يَكْرَهُونَ وَتَصِفُ أَلْسِنَتُهُمُ الْكَذِبَ أَنَّ لَهُمُ الْحُسْنَىٰ لَا جَرَمَ أَنَّ لَهُمُ النَّارَ وَأَنَّهُم مُّفْرَطُونَ

Dan mereka mengadakan bagi Allah SWT apa yang mereka sendiri tidak menyukainya; dalam pada itu, lidah mereka memperkatakan perkara yang dusta, (kononnya) bahawa mereka akan beroleh kesudahan yang baik di sisi Allah SWT. Tidak syak lagi, bahawa bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang disegerakan (masuknya ke dalam neraka).

Maksud ayat ini adalah: Mereka sendiri tidak suka kepada anak perempuan, tetapi mereka berikan pula anak perempuan untuk Allah SWT. Ini amat tidak patut.

Dan Allah SWT berfirman lagi dalam surah [ Isra’: 40 ]:

أَفَأَصفاكُم رَبُّكُم بِالبَنينَ وَاتَّخَذَ مِنَ المَلائِكَةِ إِناثًا ۚ إِنَّكُم لَتَقولونَ قَولًا عَظيمًا

Maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diri-Nya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.

Untuk diri mereka, mereka hendakkan anak lelaki tetapi untuk Allah SWT, mereka beri anak perempuan pula. Padahal kepada mereka, anak perempuan itu tidak bagus sampaikan ada yang menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka.

Pada mereka, anak lelaki menguntungkan kerana boleh membantu dalam kehidupan mereka, sedangkan anak perempuan akan menghabiskan harta mereka kerana perlu dijaga. Sudahlah dijaga sampai besar, nanti selepas kahwin terus mengikuti dan berkhidmat dengan suaminya sahaja. Begitulah anggapan mereka.

Lihatlah bagaimana mereka memberikan apa yang mereka tidak suka kepada Allah SWT. Mereka tidak menilai Allah SWT dengan yang sepatutnya dan tidak menghargai Allah SWT sebenarnya. Mereka tidak suka anak perempuan, tetapi mereka beri anak perempuan kepada Allah SWT.

Tidaklah Allah SWT memerlukan anak, walaupun anak lelaki tetapi Allah SWT menceritakan bagaimana salahnya pemahaman Musyrikin Mekah itu.

Tafsir Ayat ke-17

Mereka kata Allah SWT ada ‘anak perempuan’. Bagaimana pula kalau mereka yang dapat anak perempuan?

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِما ضَرَبَ لِلرَّحمٰنِ مَثَلًا ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا وَهُوَ كَظيمٌ

Padahal apabila diberitahu kepada salah seorang dari mereka dengan (berita bahawa ia beroleh anak perempuan seperti) yang dijadikannya sekutu yang sejenis dengan Allah Yang Maha Pemurah, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِمَا ضَرَبَ لِلرَّحْمَٰنِ مَثَلًا

apabila diberikan dengan berita gembira kepada salah seorang dari mereka dengan yang dijadikan mereka sebagai misal kepada Allah Yang Maha Pemurah,

Ini bermaksud kalau salah seorang dari Musyrikin Mekah, diberikan dengan berita yang mereka mendapat anak perempuan.

Kalimah بُشِّرَ bermaksud ‘diberikan dengan berita gembira’ dan ia juga boleh digunakan sebagai kata-kata perli. Macam kalau Allah SWT kata: “berikan mereka dengan ‘berita gembira’ akan dimasukkan ke neraka”.

Tentulah masuk neraka bukanlah berita gembira dan Allah SWT tahu yang mereka tidak suka mendapat anak perempuan, maka ‘berita gembira’ yang dimaksudkan adalah sebagai satu perli sahaja. Perli itu begini: Kamu berikan anak perempuan kepada Allah SWT, sekarang kamu juga dapat anak perempuan. Tahniah! Kamu dapat sama macam yang Tuhan ada!

Mereka telah jadikan ‘misal’ kepada Allah SWT iaitu yang mereka kaitkan dengan Allah SWT. Perkara yang dimaksudkan adalah ‘anak perempuan’. Tidak disebut ‘anak perempuan’ dalam ayat ini.

Al-Quran menggunakan bahasa isyarat yang merujuk kepada ayat-ayat sebelumnya kerana sebelum ayat ini adalah ayat tentang mereka memberikan ‘bahagian-bahagian’ kepada Allah SWT. Mereka kata Allah SWT mengambil anak perempuan.

Jadi, ayat ini bermaksud: Apabila mereka diberitahu yang mereka mendapat anak perempuan. Apa yang terjadi apabila mereka diberikan dengan berita itu?

ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا

mukanya menjadi gelap

Kalimah ظَلَّ dari ظ ل ل yang antara lain bermaksud ‘naungan’, juga bermaksud ‘berterusan’. Kalau sesuatu kawasan itu dinaungi dengan awan, maka ia menjadi gelap, bukan? Maka ini isyarat kepada wajah musyrikin Mekah yang dapat berita dia dapat anak perempuan.

Mukanya sampai gelap dan keruh muka mereka apabila mendapat berita itu. Itu adalah tanda mereka sedih sangat dan berterusan perasaan itu tidak berhenti. Bukan sahaja mereka sedih, tetapi mereka juga marah, malu dan macam-macam perasaan lagi dalam hati mereka.

وَهُوَ كَظِيمٌ

 sedang dia menahan perasaan dalam hati.

Mereka menahan kemarahan, kesedihan, malu dan bermacam perasaan mereka supaya orang tidak perasan yang mereka tidak suka dengan anak perempuan itu. Mereka tidak mahu orang tahu kerana itu akan menambahkan lagi malu mereka.

Lihatlah bagaimana marah dan tidak sukanya mereka apabila diberi berita yang mereka mendapat anak perempuan kerana mereka memang tidak mahu anak perempuan. Sampaikan ada yang apabila isteri mereka mengandung, mereka akan bawa isterinya itu ke kawasan pendalaman supaya jauh dari manusia lain.

Mereka akan duduk dalam khemah dan suami itu akan siap-siap gali lubang. Kalau isterinya melahirkan anak perempuan, terus dimasukkan ke dalam lubang yang telah siap digali dan dikambus dan kalau anak lelaki, barulah dibawa balik dan ditunjukkan kepada kaumnya yang lain.

Ada yang sampai tidak balik ke rumah jika mereka mendapat berita yang isteri mereka telah melahirkan anak perempuan. Mereka akan menyorok daripada khalayak ramai kerana malu.

Ini ada disebut di dalam ayat [ Nahl: 57-59 ]:

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ الْبَنَاتِ سُبْحَانَهُ وَلَهُم مَّا يَشْتَهُونَ

Dan mereka mengatakan Allah SWT mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki).

 وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ

Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

 يَتَوَارَىٰ مِنَ الْقَوْمِ مِن سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.

Dalam hal ini, Golongan Syiah telah memfitnah Saidina Umar dengan mengatakan yang Umar telah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Pernah dengar, kan? Cerita ini tersebar dalam masyarakat kita dan semua orang seperti menerima bahawa ianya adalah benar.

Ketahuilah yang itu adalah fitnah kepada Saidina Umar kerana tidak ada dalil yang sahih yang mengatakan beliau ada membunuh anak perempuannya. Ketahuilah yang beliau dari bangsa Quraish dan bangsa Quraish tidak membunuh anak perempuan mereka.

Hanya puak tertentu dari bangsa Arab sahaja yang melakukannya, bukan semua dan kalaulah Umar membunuh anak perempuannya, bagaimana pula ada Habsah yang berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW? Kenapa tidak dibunuh juga?

Jadi, berhentilah kita mengatakan yang Umar membunuh anak perempuannya kerana beliau sudah mati dan kalau kita fitnah dia, bagaimana kita hendak meminta maaf? Janganlah tertipu dengan diayah yang dibawa oleh Syiah yang telah lama masuk dalam masyarakat kita.

Mereka memang benci dengan Saidina Umar dan mereka sanggup reka cerita palsu untuk menipu manusia. Maka janganlah berterusan dalam kejahilan. Memang sejarah yang kita ada kena dibersihkan kerana banyak yang salah, dan ini adalah salah satu darinya.

Tidak suka mendapat anak perempuan itu bukan sahaja terjadi kepada Musyrikin Mekah, tetapi kepada orang pada zaman sekarang juga. Ada yang tidak suka kalau mereka mendapat anak perempuan. Mereka rasa anak perempuan itu tidak menguntungkan. Dalam hati mereka, mereka mahukan anak lelaki tetapi sebenarnya anak perempuan lebih mulia dari anak lelaki.

Lihatlah dalam ayat [ Syura: 49 ]:

لِّلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Bagi Allah SWT jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Allah SWT sebut ‘anak perempuan’ dahulu sebelum sebut ‘anak lelaki’. Dari susunan itu, kita dapat isyarat bahawa Allah SWT mendahulukan dan memuliakan anak perempuan kerana kita faham bahawa susunan ayat-ayat al-Quran bukanlah tidak sengaja tetapi membawa isyarat tertentu.

Ada hadis dari Nabi SAW yang menyebut kelebihan mereka yang menjaga anak perempuan.

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.” Seorang lelaki bertanya: “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah SAW?” Sabda baginda: “Juga untuk dua anak perempuan.” Seorang lelaki berkata, “atau untuk seorang wahai Rasulullah SAW?” Rasulullah SAW menjawab: “Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Di dalam hadis yang lain:

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a.,dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Maka, beruntunglah mereka yang diberikan kurnia anak perempuan oleh Allah SWT!

Tafsir Ayat ke-18

Allah SWT membuka apakah yang dalam hati mereka yang tidak suka dengan anak perempuan.

أَوَمَن يُنَشَّؤُا فِي الحِليَةِ وَهُوَ فِي الخِصامِ غَيرُ مُبينٍ

Patutkah (yang dikatakan anak Allah SWT itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang ia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?

 أَوَمَن يُنَشَّأُ فِي الْحِلْيَةِ

Patutkah yang dibesarkan dalam perhiasan,

Ayat ini menceritakan tentang anak perempuan. Mereka itu biasa diberikan dengan barang perhiasan dari kecil lagi, dari bayi lagi. Bayangkan, selalunya anak perempuan yang belum berjalan juga sudah dipakaikan dengan loket dan gelang.

Bandingkan dengan anak-anak lelaki zaman itu: mereka bergaul dengan unta, binatang ternak, pedang dan lain-lain lagi yang sesuai dengan anak lelaki dan memang masyarakat Arab waktu itu mementingkan kekuatan badan dan kebolehan berperang.

Kalau anak-anak lelaki zaman sekarang, mereka main dengan kereta mainan, dengan pistol mainan dan lain-lain lagi yang menunjukkan sifat kelelakian mereka. Bukanlah kita hendak mengatakan ini salah, cuma hendak memberitahu kebiasaan yang dilakukan oleh ibu bapa kepada anak perempuan mereka dan apa yang dilakukan dalam kehidupan mereka.

Hendak menceritakan sifat perempuan itu bagaimana – mereka adalah makhluk yang lemah yang perlu dilindungi oleh mereka yang kuat. Allah SWT telah jadikan mereka memang begitu.

Allah SWT bertanya kepada musyrikin Mekah: Inikah yang kamu kaitkan dengan Aku? Kamu kaitkan Aku dengan makhluk yang lemah? Kamu hendak kata yang malaikat-malaikat itu lemah macam perempuan?

وَهُوَ فِي الْخِصَامِ غَيْرُ مُبِينٍ

dan sedang dia semasa berdebat tidak jelas?

Dalam berdebat untuk mendapatkan hak mereka dalam masyarakat. الْخِصَامِ adalah jenis perdebatan untuk mempertahankan diri. Memang begitu keadaan perempuan. Mereka tidak pandai berdebat dan kalau mereka berkata, tidaklah jelas macam lelaki. Mereka lebih kepada ikut perasaan. Keadaan di waktu itu juga mementingkan kekuatan badan dan kata-kata untuk mempertahankan diri. Begitu juga zaman sekarang.

Orang perempuan selalunya tidak pandai berdebat. Mereka susah untuk menegakkan hak mereka dan banyak bergantung kepada orang lelaki yang menjadi wali mereka. Mereka juga tidak pandai menggunakan kekerasan dan senjata serta tidak terlibat dalam peperangan kerana tubuh badan mereka yang lemah.

Mereka selalunya hanya akan menggunakan senjata mereka yang paling ampuh: Tangisan. Allah SWT tanya balik kepada musyrikin Mekah, adakah mereka seperti ini yang kamu kaitkan dengan Dia? Lihatlah betapa lemahnya orang-orang perempuan itu. Adakah patut mereka yang lemah di dalam masyarakat itu dikaitkan dengan Allah SWT? Tentulah tidak patut. Mereka sendiri juga tidak suka kalau mendapat anak perempuan.

Jadi ini adalah satu tafsir kepada ini. Allah SWT menyebut sifat-sifat yang ada pada perempuan itu.

Tafsir kedua kepada ayat ini:

Ini adalah kata-kata mereka yang telah diberikan dengan anak perempuan. Mereka menangisi nasib malang yang telah diberikan kepada mereka. Pada mereka, mereka telah diberikan dengan anak yang hanya hidup di dalam perhiasan sahaja. Mereka kena menghabiskan harta mereka untuk menjaga anak-anak perempuan mereka itu.

Apabila anak-anak perempuan itu dewasa, mereka begitu lemah sampaikan untuk mempertahankan diri mereka sendiri juga tidak boleh. Maknanya pada mereka, anak-anak perempuan itu langsung tidak dapat membantu ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi kalau ada pertelingkahan/peperangan.

Apabila anak itu sudah dewasa dan boleh berkahwin, mereka akan terus mengikut suami mereka. Bukannya berkhidmat untuk ibu bapa yang telah membesarkan mereka tetapi telah pergi kepada keluarga lain pula. Itulah rungutan mereka yang tidak suka bila mereka diberikan dengan perempuan.

Ini adalah tafsiran kedua dan dua-dua boleh dipakai.

 

Allahu a’lam.

 

NOTA FIQH DOA MUSTAJAB 27

0

27. Berdoa ketika terdengar kokokan ayam jantan(ad diik)

Ini untuk orang Islam yang menetap di kampung, desa atau diluar bandar yang membela ayam dan kaldai di Tanah Arab.
Dalil hadith:
Dari Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda,

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ، فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا، وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Terjemahan: “Apabila kamu mendengar ayam Diik berkokok, mintalah kurnia Allah SWT (berdoalah), kerana dia melihat para malaikat. Dan apabila kamu mendengar renggekan kaldai, mintalah perlindungan kepada Allah SWT dari syaitan, kerana dia melihat syaitan.”
(HR. Bukhari 3303 dan Muslim 2729).
Qadhi ‘Iyadh berkata,

كأن السبب فيه جاء تأمين الملائكة على دعائه واستغفارهم له وشهادتهم له بالإخلاص والتضرع

“Seolah-olah sebabnya adalah adanya pengaminan malaikat (malaikat mengaminkan) terhadap doa dan memintakan pengampunan bagi mereka yang ikhlas dan sukarela.
(Tuhfatul Ahwadzi 9:300)
Menurut qadhi Iyadh, jika mendengar suara kaldai, hendaklah berlindung dengan Allah SWT.

وفائدة الأمر بالتعوذ لما يخشى من شر الشيطان وشر وسوسته فيلجأ إلى الله في دفع ذلك

“Faedah dari perintah agar ber-ta’awwudz kerana dikhuatirkan kejelekan atau kejahatan dari syaitan dan was-was, maka segeralah berlindung kepada Allah SWT untuk mencegah hal tersebut.
Jika kaldai tidak ada di Malaysia, maka bila kita mendengar salakan anjing.
Dalil hadith:

وعَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ( إِذَا سَمِعْتُمْ نُبَاحَ الْكِلَابِ وَنَهِيقَ الْحُمُرِ بِاللَّيْلِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ ، فَإِنَّهُنَّ يَرَيْنَ مَا لَا تَرَوْنَ ) رواه أبو داود (5103)، وصححه الألباني في ” صحيح أبي داود “.

Terjemahan: Apabila kalian mendengar salakan anjing dan renggekan kaldai pada malam hari, maka mintalah perlindungan (ta’awwudz) kepada Allah SWT, kerana mereka melihat sesuatu yang tidak kalian lihat’
(HR Abu Daud, al Bukhari di dalam Adabul Mufrad dan Ibnu Abi Syaibah di dalam musnafnya, no 29797, disahihkan Syaikh al-Albani)

 

 

Nota:

Disalin dari Dr Abu Ammar Yasin Qadhi, kitab doa: Silahul Mukmin.

NOTA FIQH DOA MUSTAJAB 26

0

26. Berdoa selepas waktu zawal(matahari condong ke barat)

Dalil hadith:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ السَّائِبِ : (( أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي أَرْبَعًا بَعْدَ أَنْ تَزُولَ الشَّمْسُ قَبْلَ الظُّهْرِ وَقَالَ : إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِي فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ )) ، (( وعَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ يُصَلِّي أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ بَعْدَ الزَّوَالِ لا يُسَلِّمُ إِلا فِي آخِرِهِنَّ (رواه الترمذي في الصلاة باب ما جاء في الصلاة بعد الزوال (440) وقال : حسن غريب ، وأحمد (14849) ، وصححه الألباني في صحيح الترمذي)

Terjemahan:
Dari Abdullah bin As-Saib, beliau mengatakan bahawa Rasulullah saw biasa menunaikan solat 4 rakaat setelah waktu zawal (matahari condong ke barat), sebelum solat Zuhur (dilaksanakan).
Nabi saw bersabda,

إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِى فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ

“Ini adalah waktu dibukakannya pintu langit. Aku suka jika amalan solehku naik pada saat itu.”
(HR. Tirmidzi, no. 478 dan Ahmad, 5: 418.)
Imam Tirmidzi rahimahuLlah mengatakan bahawa hadith ini hasan ghareeb (dha’if). Menurut pendapat Syaikh al-Albani, hadith ini sahih, sahih Tirmidzi, Syaikh Ahmad Syakir, sahih, musnad Ahmad.

 

Nota:

Disalin dari Dr Abu Ammar Yasin Qadhi, kitab doa: Silahul Mukmin.

Konvensyen UiTO Ke-2 2016 – Sirah Nabawiyyah: Antara Dua Garis

0

KONVENSYEN UITO KE-2 2016

Kertas Kerja 2

Sirah Nabawiyyah: Antara Dua Garis

SIRAH ANTARA DUA GARIS

Menelurusi kehidupan Rasulullah SAW dalam catitan-catitan sirah yang telah ditulis oleh muarrikhin (ilmuan sirah) seawal kurun pertama Hijrah (tahun 1-99H) sehingga kurun ini (15H), dari satu tajuk ke satu tajuk, dari seorang penulis kepada seorang penulis membuat kita sedar bahawa betapa banyaknya catitan tentang insan yang paling mulia ini.

Sesuatu yang diusahakan berkali-kali dan berulang-ulang oleh manusia dari mula keberadaannya hingga kini, menunjukkan bahawa telah terbit di dalam hati manusia cinta dan perasaan rindu yang membuak yang hanya dapat dilepaskan dengan menulis setiap keindahan dan kesempurnaan yang dicintai.

Faham dan Perasaan

[ Kamu semua akan ditanya esok mengenai perihal diriku, maka apa yang nak kamu jawab? Maka kata mereka semua: Kami menyaksikan bahawa engkau telah pun menyampaikan, menunaikan dan menasihati kami – Rahiqul Makhtum ].

Bagaimana kita boleh menyaksikan bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan dengan sempurna, sekiranya kita tidak menelusuri sirah Nabawiyyah ini dengan penuh kefahaman dan perasaan? – BuQays

 

Sila baca seterus: Sirah Nabawiyyah: Antara Dua Garis

Popular

Iklan

Iklan