Utama Blog Halaman 119

Tanda-Tanda Mendapat Lailatul Qadr (3)

0

TANDA-TANDA MENDAPAT LAILATUL QADR – (3)

Kalau pada dua siri nota terdahulu telah dijelaskan bahawa di antara tanda-tanda seseorang itu mendapat Lailatul Qadr, ialah (1) Iman dan istiqamah; (2) Banyak memberi manfaat kepada orang ramai, maka pada siri ke-3 ini dan terakhir akan dijelaskan pula tanda yang ke-3 iaitu Bersyukur kepada manusia lain.

BERSYUKUR KEPADA MANUSIA LAIN :

Untuk mencapai darjat taqwa seseorang belum memadai hanya memiliki iman dan istiqamah serta suka melakukan perbuatan yang mendatangkan banyak kebaikan kepada orang ramai, tetapi dia juga hendaklah pandai bersyukur kepada sesama manusia.

Walaupun di dalam Islam setiap Muslim mesti bersyukur kepada Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Pemberi rezeki, namun umat Islam masih lagi belum digolongkan bersyukur kepada Allah, andaikata dia tidak pandai bersyukur kepada sesama manusia. Hakikat ini dinyatakan sendiri oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya :

مَنْ لَمْ يَشْكُرِ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرِ اللهَ

Barangsiapa yang tidak bersyukur kepada sesama manusia, maka dia sebenarnya tidak bersyukur kepada Allah (HR Tarmidzi – Katanya Hadis Hasan Sahih)

HUKUM SEBAB MUSABAB :

Islam dibina di atas Hukum Sebab Musabab. Disebut juga Hukum Sebab Akibat atau Cause and Effect. Sebab pula maksudnya “usaha”. Maksudnya: Jika manusia menginginkan sesuatu maka dia mestilah berusaha untuk mencapainya. Jika Allah SWT kabulkan permintaannya melalui usaha tersebut, maka Allah SWT akan menganugerahkan permintaannya itu melalui tangan-tangan orang-orang tertentu.

Walaupun kita wajib bersyukur kepada Allah SWT kerana Dialah Maha Pencipta dan Dialah Maha Pemberi rezeki, namun kita juga wajib bersyukur kepada ibu bapa sebab mereka adalah sebagai penyebab kita wujud di muka bumi.

Walaupun kita wajib bersyukur kepada Allah kerana Dialah yang menyembuhkan segala penyakit kita, namun kita juga wajib bersyukur di atas pertolongan para doktor, sebab merekalah yang menjadi penyebab kita sembuh dari penyakit.

Walaupun kita wajib bersyukur kepada Allah di atas segala ilmu pengetahuan dan hidayah yang kita perolehi, namun kita jangan lupa untuk bersyukur kepada guru-guru atau pembimbing-pembimbing kita, sebab merekalah di antara penyebab kita mendapat hidayah dan ilmu pengetahuan.

Dari beberapa contoh di atas nyatalah betapa erat hubungan antara kesyukuran kita kepada Allah dengan kesyukuran kita kepada insan-insan tertentu yang menjadi penyebab kejayaan kita di dunia dan di akhirat.

Malahan dengan tegas Nabi SAW menyatakan: Jika kamu tidak bersyukur kepada manusia yang banyak jasanya kepada kamu, maka itu bermakna kamu tidak bersyukur kepada Allah.

NABI MUHAMMAD, PARA ULAMA DAN IBU BAPA

Nabi Muhammad SAW, para ulama dan ibu bapa adalah insan yang paling banyak jasanya kepada setiap kita. Berkat jasa baik dan bimbingan merekalah, akhirnya kita menjadi insan yang mulia dan sempurna.

Itulah sebabnya sikap enggan mengikuti Sunnah Nabi SAW maka akibatnya kita sukar mendapat Hidayah Allah, ibadat kita ditolak dan hancur tiada nilai di sisi Allah – Lihat Al-Hujurat : 2 ; Demikian juga sikap derhaka kepada ibu bapa boleh mengundang kemurkaan Allah – Lihat hadis sahih: Redha Allah tergantung kepada redha ibu bapamu kepadamu, dan murka Allah kepadamu sangat tergantung kepada murka ibu bapamu kepadamu. (HR Bukhari dan Muslim).

Abdullah Al-Mubarak (133-177H) berkata: Ulama’ lebih utama daripada ibu bapa kamu. Muridnya bertanya: Mengapa demikian? Beliau menjawab: Ibu bapa kamu hanya memelihara kamu dari api dunia, tetapi ulama menjaga kamu dari api akhirat.

Ibu bapa memang sangat berjasa sebagai penyebab kita makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan akademi. Dengan demikian  kita – insyaa Allah – terhindar dari kesusahan di dunia seperti kebuluran, kehausan, kemiskinan. Sedangkan para ulama’ pula mengajar kamu Aqidah, cara ibadat yang betul dan akhlak mulia. Bukankah faktor terakhir ini yang menjadi penyebab kita terhindar dari api neraka?

Demikian Tiga Sifat Utama Orang Yang Mendapat Lailatul Qadr, sebagai bukti dan kesan positif dari jerih payahnya beramal selama 10 hari pada akhir bulan Ramadhan.

Semoga kita memiliki ketiga-tiga sifat ini dan menjadi Muslim/Muslimat yang lebih baik pada masa-masa yang akan datang.

Ustaz Dr Abdullah Yasin (UDAY) Mekah Al-Mukarramah
29 Ramadhan 1439 / 14hb Jun 2018

Doa Akhir Ramadhan

0

Doa Akhir Ramadan

Ya Allah, jangan Kau biarkan Ramadhan pergi tanpa meninggalkan kesan keinsafan di hati kami.

Ya Allah, jangan biarkan Ramadhan pergi tanpa membawa himpunan amal dan doa kami.

Ya Allah, jangan biarkan Ramadhan pergi tanpa islah dan kebaikan terhadap keperibadian kami.

Ya Allah, jangan biarkan Ramadhan pergi tanpa keampunan dosa-dosa kami.

Ya Allah, jangan biarkan Ramadhan pergi tanpa meninggalkan jejak-jejak ke syurga untuk kami.

Ya Allah, janganlah Kau biarkan Ramadhan pergi sebelum Kau tutup rapat pintu azab dan neraka Mu daripada gelinciran kaki kami.

Ya Allah, lindungilah kami dari melakukan dosa dan kemaksiatan semasa dalam Ramadhan mahu pun selepas Ramadhan.

Ya Allah, sebelum mentari akhir Ramadhan berlalu pergi, Kau ampunilah kami dan Kau terimalah taubat kami.

 

Ya Allah, Kau sempatkanlah kami bertemu lagi dengan Ramadhan Al Mubarak yang akan datang.

Ya Allah, lindungilah semua anggota keluarga kami dari tipu daya dan fitnah dunia. Selamatkan setiap seorang dari kami dengan Iman dan taqwa.

Jadikan kami calon syurgaMu. Sempurnakan akhlak kami dan lindungi kami dari godaan syaitan dan hawa nafsu.

Ya Mujibbasailin.

Limpahilah kami dengan sifat-sifat kebaikan dan terpuji.

Jadikan kehidupan kami di dunia ini tenang dan penuh rahmah dan mawaddah.

Aamiin Ya Rabbal Alamiin.

Bingkisan Eid Mubarak 1439H

0

Bismillah..

Firman Allah SWT dalam surah [ al-Baqarah: 185 ]

‎شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

2.  Kini tiba masa untuk kita membesarkan Allah kerana petunjuk-Nya.

3.  Saya mengucapkan taqabalallah minna waminkum kepada muslimin dan muslimat yang membantu UiTO samada secara langsung atau tidak.

4.  Semoga latihan sebulan dalam bulan yang penuh kebaikan dan berkat dapat meningkatkan ketaqwaan kita bagi menghadapi ujian iman sebelas bulan berikutnya.

5.  Saya doakan rakan-rakan dikurniakan kekuatan untuk iltizam di atas jalan petunjuk sehingga ke akhir hayat.

‎وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى

“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa.” (QS. Al-Baqarah: 197)

Che Ab Rahim Mahmood

Rektor UiTO

UiTO.org

Tanda-Tanda Mendapat Lailatul Qadr

0

TANDA-TANDA MENDAPAT LAILATUL QADR

Semua orang mengharap mendapat Lailatul Qadr. Apakah tanda-tanda seseorang itu mendapat Lailatul Qadr ? Sebenarnya tidak ada seorang pun yang tahu dia telah mendapat Lailatul Qadr, apalagi sampai mengaku telah mendapat Lailatul Qadr. Namun demikian menurut sebahagian Ulama’ seseorang mampu mengetahui bahawa dia telah mendapat malam tersebut melalui perubahan sikap pada dirinya yang lebih positif berbanding sebelumnya.

Sebagaimana kita maklumi bahawa setiap ibadat yang diperintahkan oleh Allah pasti ada tujuannya. Jika tujuan ibadat tersebut terserlah nyata pada diri pelakunya, maka itu boleh dikatakan sebagai sempurna dan diterima ibadatnya itu.

Sebagai contoh: Tujuan ibadat solat ialah agar pelakunya merasa benci terhadap perbuatan keji dan kemungkaran, (Al-‘Ankabut : 45) ; Tujuan ibadat puasa agar pelakunya menjadi insan yang bertaqwa (Al-Baqarah: 183) ; Tujuan taubat agar pelaku merasa benci dengan dosa dan gembira melakukan amalan soleh (Al-Nisa’: 110).

Atas dasar itu, jika selesai melakukan ibadah puasa Ramadhan dan bersungguh-sungguh pula beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah dalam sepuluh terakhir Ramadhan untuk mendapat Lailatul Qadr, maka dia relatif menjadi insan yang lebih baik perilakunya setelah berakhir bulan Ramadhan, apakah daripada sudut Aqidahnya, Ibadatnya dan Akhlaknya.

Uday ingin merujuk kepada tiga hadis yang telah disebut pada nota sebelumnya sebagai pemangkin atau pemicu atau pendorong seseorang mencapai darjat TAQWA sebagai tujuan dan matlamat kita disuruh berpuasa. Walaupun tidak dinafikan bahawa ciri-ciri TAQWA sangat banyak, tetapi dalam pembahasan ini Uday ingin huraikan agak lebih luas maksud tiga hadis terdahulu, iaitu :

  1. Iman kepada Allah dan Istiqamah.
  2. Suka membantu orang lain.
  3. Bersyukur terhadap kebaikan orang lain.

IMAN DAN ISTIQAMAH

Iman dan istiqamah adalah dua perkara yang sangat penting. Hakikat ini tergambar di dalam hadis : ْقُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِم : Katakanlah : Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah kamu istiqamah. (HR Muslim)

IMAN kepada Allah adalah faktor yang paling utama di dalam Islam. Tanpa iman segala kebaikan tiada nilai di sisi Allah SWT. Hakikat ini dapat dilihat daripada beberapa sudut, antaranya :

1. Dua belas tahun pertama kenabian baginda Rasullulah SAW menumpukan dakwahnya kepada pengukuhan Akidah (Dua Kalimah Syahadat) kemudian barulah disusuli dengan perintah ibadah (Solat) sempena peristiwa Israk Mi’raj yang terjadi pada tahun yang ke 12 dari kenabian.

2.  Sifat pertama golongan Muttaqin (Orang yang bertaqwa) dalam Al-Quran disebut oleh Allah pada ayat ke (3) dari surah Al-Baqarah (orang yang beriman kepada ghaib) dan disusuli dengan (iman kepada wahyu) dan iman kepada Hari Akhirat (mereka yakin terhadap Hari Akhirat).

3.  Mendahulukan Mengucap Dua Kalimah Syahadat dalam urutan tertib Rukun Islam mendahului ibadah solat, puasa, zakat dan haji. Seseorang barulah dikatakan Muslim jika dengan rela hati mengucap Dua Kalimah Syahadat, bukan karena solatnya, puasanya, zakatnya atau hajinya.

ISTIQAMAH

Istiqamah selalu diertikan dengan teguh pendirian. Dengan kata ia adalah gabungan daripada istilah komited dan konsisten. Kadang-kadang Istiqamah ditakrifkan dengan contoh, seperti : Istiqamah itu bagaikan gunung. Gunung akan tetap kukuh dan tidak goyah walau dilanda panas, hujan, ribut, puting beliung. Demikianlah keadaan insan yang memiliki sifat istiqamah, dia tetap ingat dan taat kepada Allah, walaupun bagaimana keadaannya, apakah susah atau senang.

Syaikh Ali Mahfuz berkata: Istiqamah ialah mengikuti perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW sambil mengikutinya dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia.

Dengan kata lain : Dia sentiasa melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya secara jujur, bukan dibuat-buat. Ketaatannya kepada Allah semata-mata kerana Allah, bukan kerana takut atau segan kepada manusia.

Kalau pada siri (1) telah dijelaskan bahawa tanda-tanda utama dan pertama mereka yang mendapat Lailatul Qadr ialah Iman dan Istiqamah. Maka pada dua siri berikutnya Uday akan jelaskan pula tanda-tandanya yang lain, iaitu :

Siri (2) : Banyak Memberi Manfaat Kepada Orang Ramai.

Siri (3) : Pandai Bersyukur Kepada Sesama Manusia.

BANYAK MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG RAMAI

Untuk menjadi manusia yang terbaik belum cukup jika hanya berusaha memperbaiki diri sendiri dengan memiliki iman yang mantap dan istiqamah dalam beramal, tetapi kita juga mesti banyak berbuat baik kepada orang lain. Mungkin atas dasar inilah maka Rasulullah SAW bersabda :

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia ialah sesiapa yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. (HR Tabarani – Hasan)

Sungguh banyak dalil di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW yang sahih menyebut tentang galakan berbuat baik kepada pihak lain, antaranya :

1. Rugi jika tidak menasihati orang lain (dakwah).

Demi masa, seluruh manusia di dalam kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, menyampaikan kebenaran, dan berpesan dengan sabar. (Al-‘Asr : 1-3)

2. Mendapat kehinaan di dunia lagi.

Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang pada agama Allah dan perjanjian dengan sesama manusia. (Ali Imran : 112)

3.  Terhalang mendapat Redha Allah.

Redha Allah sangat tergantung kepada redha ibu bapa, dan murka Allah sangat tergantung kepada murka ibu bapa. (HR Ibnu Hibban – Sahih)

Dr. Yusuf Al-Qaradhawiy menyebut dalam kitabnya : Fiqh Al-Aulawiyyat (Fikih Keutamaan) : Amalan dalam Islam ada yang baik dan pula yang lebih baik. Amalan wajib lebih baik dari amalan sunat; Bersedekah secara sembunyi-sembunyi lebih baik dari bersedekah secara terang-terangan; Solat berjemaah lebih baik dari solat sendirian, dan lain-lain.

Demikianlah adanya, jika kebaikan yang kita lakukan itu dapat dinikmati atau dikecapi oleh orang yang lebih ramai, maka kebaikan itu lebih tinggi nilainya di sisi Allah dan lebih banyak ganjaran pahala yang kita berhak perolehi. Inilah antara lain rahsia yang tersirat di balik hadis Ibnu Hibban di atas.

Sesuatu yang boleh memberi manfaat atau kebaikan kepada orang ramai tidak semestinya dalam bentuk harta saja, tetapi juga boleh dalam apa pun jua, seperti penyebaran Al-Haq (ilmu pengetahuan yang benar), apakah melalui lisan atau tulisan dan lain-lain.

BEBERAPA CONTOH :

1. Menyediakan tempat pengajian.

Rasulullah SAW bersabda : Orang yang mengajak orang ramai kepada kebaikan mendapat pahala yang sama dengan orang yang melakukan kebaikan itu. (HR Ibnu Hibban – Sahih)

Semakin ramai murid yang mengikuti pengajiannya, atau semakin ramai jemaah yang menghadiri kuliah kelolaannya, maka akan semakin banyak pula pahala yang dia akan perolehi.

2.  Amalan yang berguna untuk jangka panjang.

Orang yang berakal ialah orang yang banyak ingat mati (akhirat) dan orang yang paling banyak membuat bekal untuk hidupnya sesudah mati. (HR Ibnu Majah dalam Sunannya)

Jika mati anak cucu Adam semua (amalannya) terputus kecuali tiga perkara : Sedekah jariyah, ilmu yang dapat diambil manfaat darinya dan anak soleh yang mendoakannya. (HR Muslim)

3.  Membantu Pembinaan Masjid dan Pusat Pendidikan Islam.

Orang yang banyak harta dan sihat boleh melakukan Haji dan Umrah beberapa kali dalam hidupnya. Tidak dinafikan bahawa dia akan mendapat pahala insya Allah untuk dirinya sendiri, tetapi jika dia hajikan atau umrahkan orang lain yang tidak mampu, lebih-lebih lagi dari kalangan kaum kerabatnya yang miskin, maka dia pasti akan mendapat ganjaran berlipat ganda.

Atau biaya Haji atau Umrah untuk kesekian kali itu dia salurkan atau limpahkan kepada Pembinaan Masjid atau Pusat-Pusat Pendidikan Islam – MaaSyaa Allah – berapa banyak orang ramai yg mendapat manfaat dari pembinaan masjid dan sekolah tersebut kelak ?

Mungkin setelah membaca NOTA ini para jemaah akan mendapat kesimpulan dan jawapan mengapa terdapat sesetengah insan yang sanggup kurangkan masa tidurnya dan korbankan masa rehatnya semata-mata mengharap ganjaran berpanjangan dari Allah ‘Azza Wa Jalla – Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan ini – Amin Ya Rabb.

DR ABDULLAH YASIN (UDAY)

Mekah al-Mukarramah

28hb Ramadhan 1439 / 13hb Jun 2018.

Allah SWT Menerima Doa Para Hamba-Nya

0

Allah SWT Menerima Doa Para Hamba-Nya.

Semoga bermanfaat..

قال الفضيل بن عياض :

‏Berkata Fudhil bin Iyad:

ﺗﻌﻠﻤﺖ ﺍﻟﺼﺒﺮ ﻣﻦ ﺻﺒﻲ ﺻﻐﻴﺮ؛
ﺫﻫﺒﺖ ﻣﺮّﺓ ﺇﻟﻰ ﺍﻟﻤﺴﺠﺪ ، ﻓﻮﺟﺪﺕ ﺍﻣﺮﺃﺓ ﺩﺍﺧﻞ ﺩﺍﺭﻫﺎ ﺗﻀﺮﺏ ﺍﺑﻨﻬﺎ ﻭﻫﻮ ﻳﺼﺮﺥ ،  ﻓﻔﺘﺢ ﺍﻟﺒﺎﺏ ﻭﻫﺮﺏ ، ﻓﺄﻏﻠﻘﺖ
دونه ﺍﻟﺒﺎﺏ

Saya telah belajar erti kesabaran daripada anak kecil; sekali saya dalam perjalanan ke masjid, saya dapati seorang wanita dalam rumahnya memukul anaknya sedang anak tadi meraung, lalu anak itu membuka pintu dan lari dari rumah, maka wanita tadi terus menutup pintu….

ﻗﺎﻝ: ﻓﻠﻘﻴﺖ ﺍﻟﻮﻟﺪ ﺑﻌﺪﻣﺎ ﺑﻜﻰ ﻗﻠﻴﻼً نظر يمينا ويسارا فلم يجد له مأوي فرجع الي امه فوجد الباب مغلقا فوضع خده على عتبة الباب ونام , فلما خرجت أمه  ورأته على تلك الحال , لم تمتلك إلا أن رمت بنفسها عليه وأخذت تقبله , وتقول يا ولدي أين تذهب عني من يؤويك سواي ألم أقل لك لا تخالفني ثم ضمته إلى صدرها وأدخلته إلى بيتها .

‏Kata Fudhail bin Iyad,

aku bertemu anak itu selepas dia menangis, dia menoleh ke kanan dan ke kiri, dia tidak ketemu tempat berlindung lalu dia pun pulang kepada ibunya.

Dia dapati pintu tertutup, maka dia letak pipinya di bendul pintu lalu tertidur di situ.

Apabila ibunya keluar dan dia melihat anaknya dalam hal keadaan itu, si ibu tidak dapat mengawal kesedihannya lalu segera mendakap anaknya seraya dikucup dan berkata wahai anakku ke mana kamu lari?

Siapa yang dapat melindungimu selain aku? Tidakkah sudah aku katakan jangan membantah kemudian dia memeluk anak itu lalu dibawa masuk ke dalam rumahnya..

ﻓﺒﻜﻰ ﺍﻟﻔﻀﻴﻞ ﺣﺘﻰ ﺍﺑﺘﻠﺖ ﻟﺤﻴﺘﻪ ﺑﺎﻟﺪﻣﻮﻉ ﻭﻗﺎﻝ:
ﺳﺒﺤﺎﻥ ﺍﻟﻠﻪ ، ﻟﻮ ﺻﺒﺮ ﺍﻟﻌﺒﺪ ﻋﻠﻰ ﺑﺎﺏ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﺰ ﻭﺟﻞ – ﻟﻔﺘﺢ ﺍﻟﻠﻪ ﻟﻪ !

Maka Fudhil menangis sehingga basah janggutnya dengan air mata dan berkata:

Maha Suci Allah, jika seorang hamba itu bersabar di hadapan pintu Allah Azzawajalla nescaya Allah pasti akan membuka baginya

ﻗﺎﻝ ” ﺃﺑﻮ ﺍﻟﺪﺭﺩﺍﺀ ” ﺭﺿﻲ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ :
 “ﺟﺪّﻭﺍ ﺑﺎﻟﺪﻋﺎﺀ ، ﻓﺈﻧﻪ ﻣﻦ ﻳﻜﺜﺮ ﻗﺮﻉ ﺍﻟﺒﺎﺏ ، ﻳﻮﺷﻚ ﺃﻥ ﻳﻔﺘﺢ ﻟﻪ”.

Berkata Abu Darda’ r.a “bersungguh-sungguhlah kamu berdoa, maka sesungguhnya siapa yang memperbanyakkan mengetuk pintu itu, hampir-hampirlah pintu itu akan dibuka untuknya”.

  فيامن لم يشعر بحلاوة الصيام والقيام والصدقة وتلاوة القرآن حتى الآن لاتيأس ولاتترك باب الله فإنه يوشك أن يفتح لك .. اصبر قليلا فقط .. لعل الله أن يفتح لك أبواب رحمته وعطائه ‏

Maka wahai orang yang masih belum merasai kemanisan puasa,qiam, sedekah dan tilawah al-Quran hingga ke saat ini jangan kalian putus asa dan jangan tinggalkan pintu Allah SWT.

Sesungguhnya hampir-hampir Allah SWT akan buka untukmu. Bersabarlah sedikit… Mudah-mudahan Allah SWT akan membukakan bagimu pintu-pintu rahmat serta kurniaan-Nya.

 تقبل الله منا ومنكم الصيام والقيام وصالح الأعمال.‏

Semoga Allah SWT menerima daripada kami dan kalian semua akan puasa, qiam dan amal-amal soleh.

وصل اللهم وسلم على نبينا محمد 💐💐

Hukum Mengerjakan Solat ‘Id

0

Hukum mengerjakan solat `Id.

أنَّ أعرابيًا جاءَ إلى رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ثائِرَ الرأسِ ، فقالَ : يا رسولَ اللهِ ، أخبرنِي ماذَا فرَضَ اللهُ عليَّ من الصَّلاةِ ، فقالَ : الصَّلَوَاتِ الخمْسَ إلا أنْ تَطَّوَّعَ شيئًا . فقالَ : أخبِرْني ما فَرَضَ اللهُ عليَّ من الصيامِ ، فقالَ : شَهْرُ رمضانَ إلَّا أنْ تَطَّوَّعَ شيئًا . فقالَ : أخْبِرنِي بمَا فَرَضَ اللهُ عليَّ من الزَّكَاةِ ، فقالَ : فَأَخْبَرَهُ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ شرائِعَ الإسلامِ ، قالَ : والذي أكْرَمَكَ ، لا أَتَطَوَّعُ شيئًا ، ولا أَنْقُصُ ممَّا فَرَضَ اللهُ عليَّ شيئًا . فقالَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ : أَفْلَحَ إنْ صَدَقَ ، أوْ : دخلَ الجنةَ إنْ صدقَ .

الراوي : طلحة بن عبيدالله | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري

الصفحة أو الرقم: 1891 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Seorang lelaki badui datang berjumpa Rasulullah ﷺ dengan keadaan kepalanya penuh debu, katanya: “Wahai Rasulullah! Khabarkan kepada ku apa yang difardukan Allah ke atas ku tentang solat.” Jawab baginda: “Solat 5 waktu, melainkan engkau ingin melakukan solat tambahan.” Dia berkata lagi: “Khabarkan kepada ku apa yang difardukan Allah ke atas ku tentang puasa.” Jawab baginda: “Puasa bulan Ramadhan, melainkan engkau melakukan ingin puasa tambahan.” Dia berkata lagi: “Khabarkan kepada ku apa yang difardukan Allah ke atas ku tentang zakat.” Kata Thalhah, Rasulullah ﷺ mengkhabarkan kepadanya tentang syari`at-syari`at Islam. Lelaki badui itu berkata: “Demi Dzat yang telah memuliakanmu, aku tidak ingin melakukan ibadah tambahan, namun aku tidak akan mengurangi apa yang Allah fardukan ke atas ku sedikit pun.” Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Dia akan beruntung jika dia berkata benar,” atau baginda bersabda: “Dia akan masuk syurga jika dia berkata benar.” – Shahih Al-Bukhari, no. 1891.

أُمرْنا أن نُخرِجَ الحُيَّضَ يومَ العيدين، وذواتِ الخُدورِ، فيشهدن جماعةَ المسلمين ودعوتَهُم، ويعتزلُ الحُيَّضُ عن مُصلاهُن ، قالت امرأةٌ: يا رسولَ اللهِ، إحدانا ليس لها جلبابٌ ؟ قال: لتُلبسْها صاحبتُها من جلبابِها.

الراوي : أم عطية نسيبة الأنصارية | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري

الصفحة أو الرقم: 351 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

“Kami diperintahkan untuk membawa keluar wanita yang sedang haid pada kedua-dua hari `Id, begitu juga dengan wanita pingitan, agar mereka menyaksikan jama`ah muslimin dan panggilan mereka. Wanita yang sedang haid menjauhi tempat solat mereka.” Berkata seorang wanita: “Ya Rasulullah! Salah seorang daripada kami tidak mempunyai jilbab.” Jawab baginda: “Hendaklah temannya meminjamkan jilbab kepadanya.” – Shahih Al-Bukhari, no. 351.

صليتُ مع رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ العيديْنِ . غيرَ مرةٍ ولا مرتينِ . بغيرِ أذانٍ ولا إقامةٍ .

الراوي : جابر بن سمرة | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم

الصفحة أو الرقم: 887 | خلاصة حكم المحدث : صحيح

“Aku (Jabir) solat kedua-dua `Id bersama Rasulullah ﷺ bukan sekali atau dua kali, tanpa azan dan tanpa iqamah.” – Shahih Muslim, no. 887.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Para `ulama’ berbeza pendapat tentang hukum mengerjakan solat `Id:

(a) Sebahagiannya mengatakan sunnah mu’akkadah, kerana dalam hadis Thalhah ketika seorang lelaki badui bertanya kepada baginda ﷺ tentang solat yang difardukan, lalu baginda hanya menjawab solat 5 waktu, sedangkan solat `Id tidak termasuk dalam solat 5 waktu.

(b) Sebahagian yang lain mengatakan fardu `ain, kerana dalam hadis Ummu `Athiyyah disebutkan bahawa baginda ﷺ memerintahkan supaya semua umat Islam, termasuklah wanita yang haid untuk menghadiri solat `Id. Bahkan, sekiranya seseorang wanita tidak mempunyai jilbab, dia harus meminjam daripada temannya. Ini menunjukkan bahawa solat ini wajib dihadiri oleh semua orang. Ditambah pula baginda sendiri tidak pernah meninggalkan solat `Id.

(c) Sebahagian yang lain pula mengatakan fardu kifayah, kerana dalam hadis Jabir disebutkan bahawa solat `Id tiada azan dan iqamah. Oleh itu, solat `Id sama seperti solat jenazah (yang hukumnya juga fardu kifayah).

#fiqhRamadhan

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-48 hingga Ke-51

0

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat ke-48

Masih tentang kisah Firaun dan Nabi Musa.

‎وَما نُريهِم مِّن ءآيَةٍ إِلّا هِيَ أَكبَرُ مِن أُختِها ۖ وَأَخَذنٰهُم بِالعَذابِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya; Dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali (bertaubat).

‎وَمَا نُرِيهِم مِّنْ ءآيَةٍ

Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa

‎Kalimah آيَةٍ (tanda-tanda) yg dimaksudkan dalam ayat ini adalah Mukjizat. Pertamanya, Nabi Musa telah diberikan mukjizat tongkatnya yang menjadi ular dan tangannya yang bercahaya. Dua jenis mukjizat itu telah ditunjukkan kepada Firaun dan barisan pembesarnya di istana Firaun.

Juga tanda-tanda itu juga boleh bermaksud ayat-ayat kalam Allah SWT yang Nabi Musa belajar dengan bapa mertuanya Nabi Syuaib yang diberikan kepada baginda semasa pertama kali baginda bercakap-cakap dengan Allah SWT di Bukit Thursina seperti yang diceritakan dalam Surah Taha.

Waktu Nabi Musa berdakwah kepada Firaun, baginda belum diberikan dengan Kitab Taurat lagi. Tanda yang dimaksudkan dalam ayat ini juga adalah bala bencana yang dikenakan kepada Mesir kerana mereka tidak mahu beriman. Ia dalam bentuk hukuman kepada mereka bila mereka tolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa. Ada sembilan bala semua sekali. Ini diceritakan dalam surah yang lain.

‎إِلَّا هِيَ أَكْبَرُ مِنْ أُخْتِهَا

melainkan tanda itu adalah lebih besar dari kakaknya (yang terdahulu daripadanya);

Mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa dinaiktaraf dari satu mukjizat ke satu mukjizat. Mulanya tongkatnya menjadi ular kecil, kemudian ular besar dan setelah itu menjadi ular yang lebih besar lagi yang memakan ular-ular jelmaan tukang sihir. Seterusnya tongkat itu telah membelah laut. Tongkat itu juga apabila diketuk kepada batu dapat mengeluarkan air.

Mukjizat itu semakin menjadi hebat. Kalau dimaksudkan ayat dalam bentuk hukuman atau bala yang dikenakan kepada Mesir yang sembilan jenis itu, ia semakin teruk dari yang sebelumnya. Apabila mereka minta pertolongan kepada Nabi Musa dan kemudian mereka memungkiri janji mereka, bala yang dikenakan semakin teruk lagi.

Ini biasa, seperti kalau anak kita degil, sudah diberi hukuman tetapi masih degil dan buat salah lagi, maka akan dikenakan dengan hukuman yang lebih berat.

‎وَأَخَذْنٰهُم بِالْعَذَابِ

Dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana),

Inilah sembilan bala yang dimaksudkan. Ini adalah azab semasa di dunia sahaja, nanti di akhirat akan kena azab lain pula. Penduduk Mesir telah dikenakan dengan sembilan bala supaya mereka dapat berfikir.

Disebut dalam [ A’raf: 130 dan 133 ]:

‎وَلَقَدْ أَخَذْنَا آلَ فِرْعَوْنَ بِالسِّنِينَ وَنَقْصٍ مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.

Terdapat di dalam ayat [ 133 ] pula:

‎فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُّفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Bala itu diberikan kepada mereka kerana mereka menolak dakwah dan ajakan tauhid dari Nabi Musa. Setiap kali bala itu diberi, ia lebih berat dari sebelumnya kerana mereka telah berjanji dan mereka tidak menepati janji mereka. Maka bala yang diberikan adalah lebih teruk dari sebelumnya. Akhirnya mereka telah dikenakan bala yang paling besar – mereka telah ditenggelamkan dalam Laut Merah.

Begitulah kalau ada penyebar tauhid sudah beri peringatan dan dia berkata: “kalau tidak ikut, jaga-jagalah…” – Kalau penyebar tauhid itu bercakap begitu dan mereka tolak, Allah SWT akan berikan bala atau musibah kepada yang menolak itu. Bala itu boleh jadi dalam berbagai cara. Tujuannya supaya mereka beringat dan kembali kepada akidah tauhid.

‎لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

supaya mereka kembali (bertaubat).

Bala-bala itu telah diberikan kepada mereka yang menolak supaya merendahkan diri dan ego mereka, supaya mereka kembali kepada Allah SWT dan tinggalkan amalan salah mereka. Mereka kembali menyembah Allah SWT sahaja dan jangan sembah selain Allah SWT. Ini kerana apabila kena kesusahan, mereka tidak sombong lagi dan senang untuk menerima nasihat dari orang.

Sepatutnya, apabila kita kena bala, kita kena kenangkan kesalahan kita yang menyebabkan kita kena bala itu dan segera kembali bertaubat dan kembali memperbetulkan iman dan amal kita. Itulah sebabnya Allah SWT turunkan bala kepada kita – untuk mengingatkan kita.

Kalau kita dikenakan dengan musibah seperti perniagaan jatuh, kita jatuh sakit, atau apa-apa masalah lain, kejadian itu sepatutnya menyebabkan kita kembali kepada Allah SWT. Ini kerana kita akan terkenang betapa tidak ada dayanya kita dan mula kita berdoa banyak-banyak kepada Allah SWT sambil memperbanyakkan ibadat kepada-Nya.

Bukannya kita pergi minta air tawar atau cincin Azimat dari mana-mana bomoh untuk menghilangkan bala dan musibah itu. Semua adalah perbuatan syirik yang lahir dari akidah syirik yang sudah ada dalam hati. Namun ramai yang buat macam ini dalam masyarakat kita.

Sebab itu perniagaan perbomohan masih ada lagi dan kesyirikan masih ada lagi. Bukannya juga kita amalkan doa tolak bala dan doa-doa yang mengarut yang entah dari mana. Ini banyak terdapat dalam pasaran dan ada sahaja yang memberikan doa-doa sebegini.

Sebaliknya amalkan doa-doa yang diajar oleh al-Quran dan dalam hadis yang sahih. Kalau tidak tahu juga, doa sahajalah dengan bahasa kita yang kita tahu, susun ayat sendiri. Itu adalah lebih baik dari amalkan amalan yang entah datang dari mana.

Selalunya doa itu pula diambil dari kitab sekian-sekian yang tidak dikenali dan bukan kitab yang muktabar. Kemudian adalah diberikan dalam kitab-kitab itu, khasiat doa dan amalan itu, orang ini dapat ini, orang itu dapat itu. Itu semuanya adalah kisah dongeng sahaja.

Ayat ini juga diberikan untuk memberi amaran kepada Musyrikin Mekah dan kita juga. Jangan sangka ayat-ayat al-Quran untuk orang kafir sahaja. Musyrikin Mekah juga dikenakan dengan bala untuk menyedarkan mereka.

Bala berupa kemarau yang panjang sampaikan makanan amat susah dicari. Mereka juga telah datang kepada Nabi Muhammad SAW untuk berdoa kepada Allah SWT supaya mengangkat bala itu. Namun, seperti juga Firaun dan pengikutnya, selepas bala itu diangkat, mereka tidak juga mahu beriman.

Jadi, kalau orang kita dikenakan dengan bala, kemudian mereka berdoa dan berjanji untuk jadi baik, jadi taat, tetapi selepas bala diangkat, kembali kepada keadaan lama, tidak ada bezanya dengan Firaun dan Musyrikin Mekah. Sama sahaja perangai mereka.

Jadi, kalau kita juga masih lagi mengamalkan amalan syirik, pergi jumpa bomoh, jumpa tok lebai, tok imam, Darul Syifa’ atau Darul apa-apa, kemudian amalkan zikir-zikir syirik, fahaman-fahaman syirik dan sebagainya, kita turut boleh dikenakan dengan bala juga.

Semoga kita diselamatkan dari bala-bala itu. Itulah sebabnya kita kena ajar dan sebarkan ajaran tauhid dan larang manusia dari buat amalan syirik. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Tafsir Ayat ke-49

Seperti yang kita telah sebut, selepas mereka dikenakan dengan bala itu, mereka telah datang bertemu dengan Nabi Musa untuk memujuk baginda berdoa supaya diangkat bala yang dikenakan kepada mereka itu.

Waktu itu mereka sudah agak yang apa yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana mereka sanggah Nabi Musa. Sebab itu mereka pergi minta tolong kepada baginda.

Ini adalah contoh kata-kata orang yang meletakkan syarat untuk mereka beriman. Sebagai contoh, ada yang berkata: kalau mereka dapat projek, mereka hendak belajar agama; kalau mereka berkata begitu, walaupun mereka dapat projek itu, mereka tidak akan beriman juga.

وَقالوا يٰأَيُّهَ السّاحِرُ ادعُ لَنا رَبَّكَ بِما عَهِدَ عِندَكَ إِنَّنا لَمُهتَدونَ

Dan (apabila bala bencana itu menimpa mereka), mereka merayu kepada Nabi Musa dengan berkata: “Wahai orang yang bijak pandai, pohonkanlah kepada Tuhanmu keselamatan untuk kami dengan (kemuliaan) pangkat Nabi yang diberikan kepadamu; sesungguhnya kami (sesudah itu) akan patuh beriman”.

وَقَالُوا يٰأَيُّهَ السَّاحِرُ

Dan mereka merayu dengan berkata: “Wahai Ahli Sihir,

Selepas bala dikenakan kepada mereka, mereka telah datang bertemu dengan Nabi Musa meminta pertolongan baginda untuk berdoa kepada Allah SWT. Mereka yang datang itu adalah pembesar Mesir. Lihatlah bagaimana mereka memanggil Nabi Musa dengan gelaran ‘Ahli Sihir’.

Ini adalah kerana zaman itu, mereka memandang tinggi kepada ahli sihir kerana ahli sihir itu adalah mereka yang dikira pandai dalam masyarakat. Merekalah orang yang pandai dalam hal macam-macam. Kalau ada masalah, masyarakat akan pergi kepada mereka untuk menyelesaikan masalah mereka.

Maka, panggilan mereka itu sebenarnya adalah panggilan hormat. Bukanlah Nabi Musa itu seorang ahli sihir dan tidak pernah baginda mengaku menggunakan sihir. Sebaliknya, baginda menentang sihir yang diamalkan oleh mereka tetapi mereka tetap gelar baginda dengan gelaran ‘Ahli Sihir’.

Begitulah manusia ada yang menggelar orang lain berdasarkan pemahaman mereka yang cetek dan jahil. Itulah sebabnya mereka yang tidak tahu apa-apa terus menggelar mereka yang mahu mengamalkan sunnah dengan gelaran ‘Wahabi’.

Padahal, mereka yang mengamalkan sunnah itu tidak pernah menggelarkan diri mereka dengan gelaran Wahabi. Mereka yang menggelar orang lain itu Wahabi juga tidak tahu apakah maksud Wahabi itu.

Oleh kerana itu, kalau ada sesiapa yang menggelar orang lain sebagai ‘wahabi’, secara otomatik sudah boleh tahu yang orang itu adalah orang yang jahil agama, yang mengikut sahaja apa panggilan orang lain.

Sampai sekarang juga permainan sihir masih ada lagi termasuk dalam masyarakat kita. Itulah mereka yang digelar bomoh, dukun dan pawang. Sekarang, untuk lebih mencantikkan lagi amalan itu, mereka menggelarkan diri mereka ‘ustaz’. Mereka pakai kopiah dan serban, tetapi sebenarnya yang mereka amalkan adalah ‘sihir’.

Mereka sangka amalan mereka adalah amalan yang benar, tetapi mereka sendiri juga tidak tahu yang mereka mengamalkan sihir dengan menggunakan jin. Cara termudah untuk tahu adalah, mereka-mereka itu boleh ‘scan’ jin. Mereka boleh scan jin sebab mereka sudah lama berkawan dengan jin.

Mereka juga tidak tahu mereka berkawan dengan jin. Ada yang sangka mereka berkawan dengan ‘wali Allah’. Cara untuk berkawan dengan jin, mereka kena melakukan amalan-amalan yang salah. Jikalau ada amalan mereka yang berbaur syirik dan ia adalah amalan bidaah, ia akan mengundang jin.

Semakin banyak jin, semakin ampuh ilmu mereka dan mereka boleh buat macam-macam. Sampai ada yang boleh terbang, boleh pergi ke mana-mana dalam sekelip mata, boleh tunjuk tupai di pokok dan tupai itu jatuh, dan macam-macam lagi.

Perkara yang menjadikan masyarakat keliru adalah kerana pengamal-pengamal sihir ini menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai amalan mereka. Jadi, orang yang jahil sangka tentulah ustaz-ustaz itu benar kerana menggunakan ayat al-Quran.

Pahahal, ia tetap juga sihir – cuma bezanya sihir guna ayat al-Quran. Ini kerana bukanlah sepatutnya ayat Quran digunakan sebagai azimat. Kalau masyarakat itu ada masalah akidah, mereka akan memandang tinggi ahli shir, bomoh, dukun dan pawang ini.

Mereka dijadikan tempat minta tolong jikalau masyarakat ada masalah. Macam-macam masalah akan dirujuk kepada mereka. Anak hilang, anak kena rasuk, tolak hujan, turunkan hujan, barang hilang, anak lari, isteri lari, suami lari dan beribu lagi perkara.

Sampai ada ‘Dukun Diraja’, ‘Pawang Diraja’, Raja Bomoh sedunia turut ada, dan sebagainya dalam kalangan masyarakat itu. Sama sahaja macam Negara Siam yang kafir itu. Mereka juga ada bomoh dan pawang Diraja mereka.

Maknanya, itu adalah pawang yang paling hebat dalam negara. Malah, negara kita lagi hebat, kita ada pula ‘Maharaja Bomoh‘ yang digemparkan dulu apabila kapal terbang MH370 hilang. Kita lihatlah bagaimana pengakuan yang dilakukannya dan apakah perbuatan bodoh dan khurafat yang dilakukannya.

Orang sesat seperti Maharaja Bomoh ini masih ada lagi kerana memang masyarakat kita pun memang suka benda-benda sebegitu. Jadi mereka masih ada kerja lagilah sebab ada orang cari mereka.

Panggilan mereka kepada Nabi Musa itu bukanlah dalam nada menghina, tetapi boleh dikatakan sebagai satu penghormatan dari mereka kepada Nabi Musa. Hanya kerana mereka sanjung Ahli Sihir, maka apabila mereka hendak minta tolong kepada Nabi Musa, mereka panggil baginda dengan gelaran itu sebagai pujian.

Namun ada juga pendapat yang mengatakan yang panggilan itu adalah sebagai panggilan untuk menghina Nabi Musa. Nabi Musa telah beritahu mereka bahawa baginda adalah ‘Rasulullah’ tetapi sebaliknya mereka tidak mengiktiraf panggilan itu malah memanggil baginda dengan panggilan ‘Ahli Sihir’. Maknanya, mereka tidaklah ikhlas apabila datang bertemu dengan baginda.

ادْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِندَكَ

pohonkanlah kepada Tuhanmu dengan janji yang diberikan kepadamu;

Inilah permintaan mereka kepada Nabi Musa. Janji yang dimaksudkan adalah janji yang doanya makbul kerana pada mereka, Allah SWT telah janji untuk bantu Nabi Musa kalau baginda berdoa atau janji Allah SWT kepada mereka bahawa jika mereka meninggalkan amalan syirik mereka, maka mereka akan diselamatkan daripada bala itu.

إِنَّنَا لَمُهْتَدُونَ

sesungguhnya kami (sesudah itu) akan menjadi orang mendapat hidayah

Maksudnya, mereka berjanji untuk beriman. Mereka kata, kalau Nabi Musa berdoa kepada Allah SWT dan bala itu diangkat, mereka akan beriman. Itu syarat yang mereka telah letakkan. Ini adalah cara orang yang tidak beriman kerana mereka letak syarat untuk beriman. Pada hal iman itu bukan boleh letak syarat baru hendak beriman. Memang kena terus beriman.

Sebagai contoh, ada kalangan masyarakat kita yang kata, kalau dapat harta, dapat projek, baru hendak buat Haji. Ini sudah main-main dengan agama dan ini salah. Ini kerana buat ibadah Haji memang sudah wajib.

Mereka ini adalah jenis yang tidak akan beriman, tidak akan buat amal, kerana perangai mereka sama macam Firaun.

Tafsir Ayat ke-50

Bila mereka berjanji hendak ambil agama tauhid, maka Allah SWT angkat azab daripada mereka. Namun mereka yang ambil agama kerana sudah tidak ada cara lagi, itu tanda orang yang tidak ada sifat juang. Mungkin juga kerana ada benda keduniaan yang mereka hendak. Maka iman mereka sebenarnya tidak berharga mana. Maka janganlah kita jadi begitu.

فَلَمّا كَشَفنا عَنهُمُ العَذابَ إِذا هُم يَنكُثونَ

Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, mereka terus mencabuli janjinya

فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ الْعَذَابَ

Setelah Kami angkat azab itu daripada mereka,

Memang Allah SWT telah makbulkan permintaan mereka kerana mereka telah berjanji untuk beriman. Nabi Musa telah pergi ke Bukit Thur untuk mendoakan mereka. Sangka baginda, memang mereka akan beriman. Maka baginda telah berdoa kepada Allah SWT, dan kerana Nabi Musa yang berdoa, maka bala itu semuanya telah diangkat.

إِذَا هُمْ يَنكُثُونَ

mereka terus mencabuli janji.

Semasa meminta tolong kepada Nabi Musa, mereka kata mereka akan beriman kalau bala itu diangkat tetapi apabila bala itu benar-benar diangkat, mereka mungkir janji. Mereka masih tidak mahu beriman. Mereka tidak mengaku yang mereka pernah berjanji begitu dan sengaja lupa apa yang mereka telah janjikan. Mereka tetap kufur.

Bukan sekali, tetapi banyak kali mereka memungkiri janji untuk beriman jikalau bala itu diangkat. Apabila diangkat satu bala, mereka masih tidak beriman. Maka Allah SWT turunkan bala lagi yang lebih teruk lagi. Mereka pergi minta tolong kepada Nabi Musa sekali lagi. Perkara ini berulang berkali-kali.

Begitu jugalah mereka yang berjanji untuk beriman, untuk datang kelas pengajian, untuk belajar tafsir dan sebagainya, kalau mereka mendapat apa yang dihajatkan. Sebagai contoh, ada yang berkata, “kalau ustaz doakan untuk saya, saya berjanji untuk beri beras 30 kampit kepada madrasah Ustaz”. Itu adalah kata-kata mereka yang tidak beriman.

Sepatutnya mereka sudah kena datang kelas, belajar agama dan infak kepada jalan agama. Namun mereka meletakkan syarat pula untuk buat benda-benda yang mereka memang patut buat. Selalunya mereka yang berkata begitu, mereka tidak tepati janji mereka.

Tafsir Ayat ke-51

Firaun adalah seorang yang pandai berhujah kerana itu banyak hujah Firaun ada dalam al-Quran ini. Kita boleh lihat bagaimana hujah-hujahnya itu dipakai sampai ke hari ini oleh berbagai jenis orang.

Kadang-kadang manusia berhujah dengan menggunakan hujah Firaun, tetapi mereka tidak perasan mereka cakap sama sahaja macam apa yang dikatakan oleh Firaun. Ini kerana mereka tidak belajar tafsir al-Quran, mereka juga tidak perasan kata-kata mereka sama sahaja dengan kata-kata Firaun.

Ini adalah salah satu dari hujahnya.

وَنادىٰ فِرعَونُ في قَومِهِ قالَ يٰقَومِ أَلَيسَ لي مُلكُ مِصرَ وَهٰذِهِ الأَنهٰرُ تَجري مِن تَحتي ۖ أَفَلا تُبصِرونَ

Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawahku? Tidakkah kamu melihatnya?

 وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ

Dan Firaun pula menyeru kepada kaumnya,

Selepas bala itu diangkat, Firaun telah memanggil kaumnya dan menyampaikan ‘Ucap Utama’ atau pengumuman penting darinya, sebab dia kena kawal keadaan kerana dia tidak mahu rakyatnya beriman kepada Nabi Musa. Bahaya kalau masyarakat sedar yang bala itu diangkat kerana doa Nabi Musa pula. Ini kerana kalau begitu, tentu ramai yang akan beriman dengan baginda. Jadi Firaun kena kawal keadaan.

قَالَ يٰقَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ

katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya?

Firaun kata kerajaan Mesir itu adalah kepunyaannya. Dia yang maha berkuasa di Mesir. Ini memang benar dari satu segi kerana Firaun adalah Raja Mesir. Firaun memerintah cara diktator. Dia adalah yang paling berkuasa di Mesir. Pembesar-pembesarnya pula adalah dari kalangan kaum kerabatnya juga. Maka, tidak ada yang lebih berkuasa dari Firaun.

وَهَٰذِهِ الْأَنْهٰرُ تَجْرِي مِن تَحْتِي

dan sungai-sungai ini mengalir di bawahku?

Ertinya ia dibawah perintahnya. Memang dia ada ilmu untuk mengubah aliran sungai itu untuk mudik ke hulu kembali. Dia boleh buat begitu dengan ilmu sihir. Begitu hebatnya Firaun waktu itu dengan ilmu sihirnya. Bukannya betul jadi, tetapi tipu pandangan mata sahaja.

Ada juga disebut dalam riwayat, bagaimana Sungai Nil itu hanya akan mengalir kalau diberikan dengan korban anak dara setiap tahun. Perkara itu berlangsung sampailah ke zaman Saidina Umar memerintah. Ini adalah ujian dari Allah SWT untuk menguji hamba-Nya.

Mungkin juga, maksudnya, dia boleh kawal laluan sungai itu dengan menutup aliran sungai ke tempat-tempat tertentu. Kalau ada orang yang dia tidak suka, dia akan suruh orang tutup laluan sungai itu ke tempat orang itu. Maka, susahlah orang untuk bercucuk tanam kerana sungai itu adalah punca rezeki untuk mereka.

Jadi Firaun gunakan asbab keduniaan sebagai hujah dia. Selain itu ia juga boleh bermaksud sungai itu mengalir di bawah istananya. Begitu hebat sekali istana Firaun, sampaikan boleh dibina di atas Sungai Nil.

أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Tidakkah kamu melihatnya?

Lihatlah bagaimana Firaun sedang kempen kepada rakyatnya supaya tetap ikut pemerintahannya. Dia halang rakyatnya dari ikut dan beriman kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.

Firaun kempen menggunakan pangkat (jah) dan maal (harta). Cara inilah yang digunakan oleh kebanyakan manusia untuk menyesatkan manusia lain.

Dia menceritakan kehebatannya dan apa yang dia telah buat untuk menguatkan hujahnya dengan memberi isyarat yang kalau mereka tidak ikut, mereka akan ada masalah nanti. Kesannya akan susah kehidupan mereka kalau tidak ikut apa yang dia suruh.

Samalah dengan apa yang dilakukan oleh orang politik sekarang. (Tiada kena mengena dengan mana-mana parti). Ungkit dan janji sana sini. Kemudian bagi ancaman pula. Mereka akan menggunakan kuasa politik yang mereka ada untuk memaksa rakyat ikut telunjuk mereka.

Lagi satu, Firaun telah mengambil kesempatan dengan kejadian bala itu dengan memberitahu kepada rakyatnya bahawa bala yang terjadi kepada mereka itu berhenti disebabkan olehnya. Dia kata sebab dialah yang bala itu diangkat. Sebenarnya, yang mengangkat bala itu adalah Allah SWT kerana mereka telah berjanji yang jikalau bala itu diangkat, mereka akan beriman.

Setelah bala itu diangkat, Firaun telah pusing cerita dengan mengatakan yang dia maha berkuasa dan Sungai Nil mengalir dibawah takluknya. Begitulah bijaknya Firaun mengambil kesempatan dan mengawal pemikiran rakyatnya.

Allahu a’lam.

Di manakah ditunaikan Zakat Fitrah?

0

Di manakah ditunaikan zakat fitrah?

فرض رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم زكاة الفطرِ طُهرَةً للصائمِ من اللغوِ والرفثِ وطُعْمَةً للمساكينِ من أدَّاها قبلَ الصلاةِ فهي زكاةٌ مقبولَةٌ ومنْ أدَّاها بعدَ الصلاةِ فهيَ صدقةٌ منَ الصدقاتِ

الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود

الصفحة أو الرقم: 1609 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه

Rasulullah ﷺ mewajibkan zakat fitrah untuk mensucikan orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan perkataan kotor, sekali gus untuk memberi makan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat `Id, maka itu adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat `Id, maka itu hanya sekadar sedekah. – Sunan Abi Dawud, no. 1609.

* hasan menurut Syu`aib Al-Arna’uth.

أمرنا رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بزكاةِ الفطرِ أن تُؤدَّى قبلَ خروجِ الناسِ إلى الصلاةِ قال فكان ابنُ عمرَ يُؤَدِّيها قبلَ ذلك باليومِ واليومينِ

الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود

الصفحة أو الرقم: 1610 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه

“Rasulullah ﷺ memerintahkan kami untuk menunaikan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar ke tempat solat.” Katanya: “Ibn `Umar menunaikannya sehari atau dua hari sebelum hari `Id.” – Sunan Abi Dawud, no. 1610.

* sahih menurut Syu`aib Al-Arna’uth.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Bagi individu yang berpegang kepada riwayat Ibn `Abbas (iaitu membayar zakat fitrah sebelum solat `Id), isu di manakah zakat fitrah perlu dibayar tidak akan timbul, kerana di bandar mana sahaja dia merayakan `Id, di situlah tempat dia membayar fitrah.

2. Bagi individu yang berpegang kepada riwayat Ibn `Umar (iaitu membayar zakat fitrah sehari atau 2 hari sebelum `Id), isu ini juga tidak akan timbul sekiranya dia merayakan `Id di bandar tempat dia bekerja (misalnya dia bekerja di Kota Bharu, dan akan merayakan `Id di Kota Bharu).

3.  Namun, bagi individu yang bekerja di bandar tertentu tetapi ingin merayakan `Id di kampung halaman (misalnya dia bekerja di Setiu, tetapi akan merayakan `Id di Kota Bharu), isu ini pasti akan timbul. Dan para `ulama’ telah berbeza pendapat dalam masalah ini:

(a) Sebahagian `ulama’ berpendapat zakat fitrah ditunaikan di tempat harta itu berada (di Setiu), sama seperti zakat harta yang perlu dikeluarkan di tempat harta itu berada.

(b) Sebahagian `ulama’ pula berpendapat zakat fitrah ditunaikan di tempat individu tersebut berada bermula pada malam `Id sehingga sebelum solat `Id. Inilah pendapat yang lebih tepat. Alasannya adalah zakat fitrah menjadi wajib kerana tibanya `Id, oleh itu seseorang harus menunaikan zakat fitrah di mana sahaja dia berada ketika masuknya Syawal.

 

IKHLASKANLAH NIATMU SEMATA-MATA KERANA ALLAH DALAM MENUNTUT ILMU.

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian:

IKHLASKANLAH NIATMU SEMATA-MATA KERANA ALLAH DALAM MENUNTUT ILMU.

Daripada Saidina ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiayallahu ‘Anhuma, bahawa Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wa Sallam pernah bersabda :

مَنْ طَلَبَ الْعِلْ

“Sesiapa yang menuntut ilmu dengan tujuan :

لِيُبَاهِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ

berbangga-bangga di kalangan para ulama, atau

لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ

berhujah dengan orang yang jahil, atau

لِيَصْرِفَ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ

untuk menarik perhatian orang ramai kepadanya

فَهُوَ فِي النَّارِ

Maka, tempatnya adalah dalam neraka.”

Hadith Sahih riwayat al-Imam Ibnu Majah rahimahullah.

Ya Allah, kurniakanlah keikhlasan kepada kami dalam setiap gerak langkah kami untuk menuntut ilmu agama-Mu.”

الفقير إلى عفو ربه، أبو عمار مدني، عفا الله عنه وعن والديه وعن إخوانه وعن جميع المسلمين.

 

Semenyih, Selangor. 7 Rabi’ul Awwal 1437H – 19 Disember 2015.

Disalin dari on.fb.me/1k820Ea

#BroSyariefShares

Soal Jawab mengenai Zakat Fitrah

0

ZAKAT FITRAH:

S : Apakah makna Zakat Fitrah ?

J : Mengeluarkan makanan pokok seberat satu Sa’ (tiga kg) menjelang akhir bulan Ramadhan.

S : Apakah sebabnya kita wajib mengeluarkan zakat fitrah ?

J : Sebagai tanda syukur terhadap nikmat Allah SWT kepada hamba-Nya setelah dapat menamatkan dan menyempurnakan selama sebulan puasa Ramadhan.

S : Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan?

J : Pada asalnya setiap individu wajib keluarkan 1 (satu) sha’ makanan pokok, seperti kurma, beras, gandum dan lain-lain.

Walau pada asalnya zakat fitrah wajib dibayar oleh setiap diri (individu) berkenaan, namun BOLEH jika ada pihak lain dengan rela hati membayar bagi pihaknya, seperti suami bayar untuk isterinya, anak bayar utk ibu bapanya, majikan bayar untuk pembantu rumahnya dan lain-lain.

S : Apakah hukum membayar zakat ke negeri lain?

J: Jika membayar zakat di negeri lain, bukan negeri si pembayar zakat hukumnya boleh kerana hajat sebab ada kemungkinan di negerinya tiada fakir miskin. Tetapi jika bukan kerana hajat, disebabkan dalam negerinya masih banyak fakir miskin, maka hukumnya tidak boleh.

S : Bolehkah zakat fitrah dikeluarkan melebihi dari kadar yang telah ditetapkn ?

J : Dalam hal ini sangat tergantung kepada niat seseorang. Jika dia melebihkan kadar itu sebagai suatu kemestian, maka haram hukumnya kerana zakat fitrah adalah ibadat yang sudah ditetapkan kadarnya oleh Nabi SAW tetapi jika dengan niat sedekah maka hukumnya dibolehkan. Sebaiknya jika dengan niat sedekah elok kiranya dibuat berasingan antara zakat fitrah dengan sedekah.

S : Apakah hukum zakat fitrah dengan duit bukan dengan bahan makanan pokok?

J : Fuqahaa’ berbeza pendapat dalam hal ini. Sebahagian daripada mereka membolehkan dan ada pula yang melarang.

Malaysia ikut pendapat Omar bin Abd Aziz, Hasan al-Basriy, Atha’, Al-Thauriy dn Imam Abu Hanifah. Oleh itu, kita perlu ikuti ketentuan Jabatan Agama Negeri masing-masing.

S : Bila masanya kita wajib membayar zakat fitrah ?

J : Wajib bayar zakat fitrah pada pagi Eidul Fitri sebelum solat Eid. Juga boleh dikeluarkan zakat fitrah beberapa hari sebelum Eidul Fitri.

S : Apakah hukum lambat bayar zakat fitrah sesudah solat Eidul Fitri ?

J : Zakat fitrah jika dibayar sebelum solat Eid maka ia zakat yang diterima. Namun, jika dibayar setelah solat Eid maka ia hanya bernilai sedekah biasa. Kecuali jika terlupa atau ketiadaan fakir miskin maka zakat fitrahnya tetap diterima jika dibayar ketika ingat atau ketika adanya fakir miskin.

 

Ustaz Dr Abdullah Yasin (UDAY)

Mekah al-Mukarramah; 25 Ramadhan 1439 / 10 Jun 2018

Popular

Iklan

Iklan