Utama Bilik (130) Tazkirah Ramadhan 2015 Soal Jawab mengenai Zakat Fitrah

Soal Jawab mengenai Zakat Fitrah

220
0
Iklan

ZAKAT FITRAH:

S : Apakah makna Zakat Fitrah ?

J : Mengeluarkan makanan pokok seberat satu Sa’ (tiga kg) menjelang akhir bulan Ramadhan.

S : Apakah sebabnya kita wajib mengeluarkan zakat fitrah ?

J : Sebagai tanda syukur terhadap nikmat Allah SWT kepada hamba-Nya setelah dapat menamatkan dan menyempurnakan selama sebulan puasa Ramadhan.

S : Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan?

J : Pada asalnya setiap individu wajib keluarkan 1 (satu) sha’ makanan pokok, seperti kurma, beras, gandum dan lain-lain.

Walau pada asalnya zakat fitrah wajib dibayar oleh setiap diri (individu) berkenaan, namun BOLEH jika ada pihak lain dengan rela hati membayar bagi pihaknya, seperti suami bayar untuk isterinya, anak bayar utk ibu bapanya, majikan bayar untuk pembantu rumahnya dan lain-lain.

S : Apakah hukum membayar zakat ke negeri lain?

J: Jika membayar zakat di negeri lain, bukan negeri si pembayar zakat hukumnya boleh kerana hajat sebab ada kemungkinan di negerinya tiada fakir miskin. Tetapi jika bukan kerana hajat, disebabkan dalam negerinya masih banyak fakir miskin, maka hukumnya tidak boleh.

S : Bolehkah zakat fitrah dikeluarkan melebihi dari kadar yang telah ditetapkn ?

J : Dalam hal ini sangat tergantung kepada niat seseorang. Jika dia melebihkan kadar itu sebagai suatu kemestian, maka haram hukumnya kerana zakat fitrah adalah ibadat yang sudah ditetapkan kadarnya oleh Nabi SAW tetapi jika dengan niat sedekah maka hukumnya dibolehkan. Sebaiknya jika dengan niat sedekah elok kiranya dibuat berasingan antara zakat fitrah dengan sedekah.

S : Apakah hukum zakat fitrah dengan duit bukan dengan bahan makanan pokok?

J : Fuqahaa’ berbeza pendapat dalam hal ini. Sebahagian daripada mereka membolehkan dan ada pula yang melarang.

Malaysia ikut pendapat Omar bin Abd Aziz, Hasan al-Basriy, Atha’, Al-Thauriy dn Imam Abu Hanifah. Oleh itu, kita perlu ikuti ketentuan Jabatan Agama Negeri masing-masing.

S : Bila masanya kita wajib membayar zakat fitrah ?

J : Wajib bayar zakat fitrah pada pagi Eidul Fitri sebelum solat Eid. Juga boleh dikeluarkan zakat fitrah beberapa hari sebelum Eidul Fitri.

S : Apakah hukum lambat bayar zakat fitrah sesudah solat Eidul Fitri ?

J : Zakat fitrah jika dibayar sebelum solat Eid maka ia zakat yang diterima. Namun, jika dibayar setelah solat Eid maka ia hanya bernilai sedekah biasa. Kecuali jika terlupa atau ketiadaan fakir miskin maka zakat fitrahnya tetap diterima jika dibayar ketika ingat atau ketika adanya fakir miskin.

 

Ustaz Dr Abdullah Yasin (UDAY)

Mekah al-Mukarramah; 25 Ramadhan 1439 / 10 Jun 2018

Komen dan Soalan