Utama Blog Halaman 101

02.17.01 AL-MUDHTHORIB

0

BroSyarief:
asSalaamu ‘alaikum, saya kongsikan nota seterusnya. Semoga bemanfaat.

#310517 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.17.01 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

AL-MUDHTHORIB (المضطرب)

Dari sudut bahasa, perkataan al-Mudhthorib (المضطرب) berasal dari kata nama al-Idhthirob (الاضطراب) yang bermaksud kekurangan atau kerosakan pada sesuatu perkara atau sistem.

Adapun dari sudut istilah, ia merujuk kepada satu hadits yang diriwayat melalui pelbagai bentuk yang berbeza-beza, dalam keadaan sama kekuatannya, tetapi tidak dapat dihimpunkan dan tidak juga boleh ditarjihkan; sama ada perbezaan itu datang dari seorang periwayat yang sama atau dari periwayat-periwayat yang berbeza-beza.

Sekiranya perbezaan tersebut jelas menunjukkan percanggahan yang menyelisihi seorang periwayat atau sekumpulan periwayat yang lain, tanpa ada ruang untuk ditarjihkan, maka ia boleh dinilai dibawah kategori Syaz atau Munkar.

Syarat-syarat berlakunya al-Idhthirob (الاضطراب):
– Hendaklah bentuk-bentuk yang pelbagai itu datang dari jalan-jalan periwayatan yang sama kekuatan sanadnya, kerana jika salah satu riwayat lebih dan yang lain lemah, maka ditarjihkan riwayat yang lebih kuat, dan riwayat yang lebih lemah tu dinilai Syaz atau Munkar.
– Tiada ruang untuk dihimpunkan di antara kesemua bentuk tersebut, kerana jika boleh dihimpunkan, maka diamalkan kesemua bentuk itu lebih utama.

Secara umumnya, Idhthirob biasa berlaku pada sanad, dan boleh juga berlaku pada matan, tetapi sangat jarang berlaku penilaian ulama hadits meletakkan hukum Mudhthorib terhadap hadits disebabkan Idhthirob pada matan, berbanding Idhthirob pada sanad.

1. Idhtirob pada Sanad.

Contohnya pada hadits yang diriwayatkan oleh ‘Ali ibn Abi Thalib, dari Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – bahawa dia menyebutkan,

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ : الْحَمْدُ للهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ، وَلْيَقُلْ له: يَرْحَمُكَ اللهُ، وَليَقُولُ هُوَ: يَهْدِيكُمُ اللهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

“Sekiranya salah seorang dari kalian bersin, hendaklah dia menyebut: ALHAMDULILLAH ‘ALA KULLI HAL, dan dijawab kepadanya: YARHAMUKALLAH!, dan kemudian dibalas kembali: YAHDIKUMULLAHU WA YUSHLIHU BAALAKUM.”

[al-‘Ilal al-Kabir]

Jalan-jalan periwayatan hadits ini tertumpu pada ‘Abdur-Rahman ibn Abi Layla, di mana terdapat terdapat perbezaan sanad periwayat-periwayat yang meriwayatkan darinya. Antaranya:

i- Yahya al-Qattan, ‘Ali ibn Mushir, Mansur ibn Abi al-Aswad, Abu ‘Awaanah, dan Ibn Abi Zi’b, dan selain mereka; menyebutkan (riwayat mereka):

عن محمد بن عبد الرحمن بن أبي ليلى، عن أخيه عيسى، عن أبيه، عن علي

Dari Muhammad ibn ‘Abdir-Rahman ibn Abi Layla, dari abangnya Isa, dari ayahnya, dari ‘Ali (dan menyebutkan matan di atas).

ii- Dan ianya menyelisih jalan periwayatan oleh Syu’bah ibn al-Hajjaj dan ‘Adi ibn ‘Abdir-Rahman al-Haytsam, yang menyebutkan (riwayat mereka):

عن محمد بن عبد الرحمن بن أبي ليلى، عن أخيه عيسى، عن أبيه عبد الرحمن بن أبي ليلى، عن أبي أيوب الأنصاري

Dari Muhammad ibn ‘Abdir-Rahman ibn Abi Layla, dari abangnya Isa, dari ayahnya Abdur-Rahman ibn Abi Layla, dari Abu Ayyub al-Anshori (dan menyebutkan matan di atas).

Terdapat Idhthirob yang berpunca dari Muhammad ibn Abdir-Rahman, kerana dia seorang yang buruk hafalannya, sebagai disebutkan oleh at-Tirmizi.

(Bersambung..)

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi, Cet. ke-6, m/s 248-249.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

ISU TAHDZIR

0

ISU TAHDZIR

Terdapat 3 isu Tahdzir:

1. Isu Tahdzir (تَّحْذِيْرُ) ulama’ dalam kalangan Salafiyah.

Secara istilah, tahdzir adalah memberi amaran kepada umum akan bahaya tokoh tertentu terhadap agama. Ia ada asalnya:

َقَالَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي النَّاسِ فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ ثُمَّ ذَكَرَ الدَّجَّالَ فَقَالَ إِنِّي لَأُنْذِرُكُمُوهُ وَمَا مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا أَنْذَرَهُ قَوْمَهُ لَقَدْ أَنْذَرَ نُوحٌ قَوْمَهُ

“Ibnu ‘Umar r.a.a berkata: Rasulullah SAW berdiri di hadapan manusia lalu memuji Allah dengan pujian yang pantas untuk-Nya, kemudian beliau menceritakan tentang Dajjal, sabda baginda: “Sungguh, aku benar-benar memperingatkan kalian bahaya fitnah Dajjal. Tidak ada seorang nabi pun melainkan telah mengingatkan bahaya fitnah Dajjal kepada kaumnya. Sungguh Nabi Nuh AS (juga) telah mengingatkan kaumnya.” [ HR Bukhari ].

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي أُنَاسٌ يُحَدِّثُونَكُمْ مَا لَمْ تَسْمَعُوا أَنْتُمْ وَلَا آبَاؤُكُمْ فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ
“Dari Abu Hurairah ra dari Rasulullah SAW , bahawasanya baginda bersabda: “Akan ada orang-orang pada akhir umatku berbicara kepada kalian dengan sesuatu yang kalian belum pernah mendengarnya dan tidak pula moyang kalian. Maka berhati-hatilah dengan mereka” [ HR Muslim ].

Asasnya memang ada. Contoh lain, Imam Malik memberi amaran akan Ibn Ishaq, bahawa Ibn Ishaq adalah Dajjal. Tahdzir semacam ini dibolehkan, akan tetapi apa yang berlaku di zaman kita ialah fenomena tahdzir adalah di sebabkan khilafiah dan furu’ ad deen. Jadi, kita kena pastikan tahdzir yang ditujukan kepada seorang ulama’ itu ada asalnya, bukan atas dasar perbezaan ijtihadiah atau ulama’ tersebut ada masalah peribadi dengan orang yang ditahdzirnya. Sebagai contoh, al Bani vs al Booti ada masalah peribadi. Maka pengikut al Bani tidak boleh mentahdzir al Booti hanya kerana sengketa gurunya, begitu juga dengan pengikut al Booti.

2. Kenapa Saudi terkehadapan dalam isu mentahdzir orang lain?

Ini adalah kerana Saudi merupakan orang yang menguasai dua tanah suci, Haramain. Asal kerajaan Saudi ni adalah gandingan keluarga Abu Syaikh atau keluarga Muhammad Abdul Wahab yang memegang tampuk urusan agama di Arab Saudi. Keluarga Muhammad Abdul Wahab mendirikan madrasah Muwahidun, penegak tauhid dan pembasmi bid’ah serta khurafat di Nejd, Unaizah, Riyadh dan kemudian Mekah dan Madinah. Oleh kerana sudah biasa dengan mata pedang, maka mereka menegakkan manhaj Muwahidun dengan kuasa atas nama sunnah. Kebenaran hanya satu, boleh mendedahkan ahli bid’ah dan ahli musyrik adalah agenda utama silabus Saudi.

Kerja utama ulama’ Saudi ialah mentahqiq kitab lama, menjarah ulama’-ulama’ silam, yang mana boleh dipakai dan yang tidak boleh dipakai. Kebanyakan tesis Masters dan PHD IPTA agama Saudi adalah tahqiq atau membuat koreksi dan semakan semula terhadap karya klasik. Selepas itu muncul generasi muhaqqiq seperti Syaikh Rabi al Madkhali, Syaikh Muqbil Hadi dari Yaman, muridnya URD yang memegang panji-panji radd, tahqiq, dan tahdzir.

Ini asal usul tahdzir yang bermula di Arab Saudi. Memandangkan ia bermula dengan pedang, maka pedanglah yang akan digunakan untuk menyelamatkan dunia Islam dari syirik, bid’ah dan kufur menurut mereka.

3. Saudi vs Ikhwan Muslimin (IM)

Saudi sentiasa curiga dengan apa jua yang datang dari Mesir. Mesir adalah tentera pertama yang datang memerangi King Saudi 1. Ini tidak akan dilupakan oleh Saudi. Begitu juga dengan pengaruh al Azhar yang tidak disenangi oleh Saudi. Selepas itu kemunculan jamaah IM pada tahun 1928 oleh ustaz Hassan al Banna. Pada ketika Saudi diperintah oleh raja-raja yang adil seperti King Faisal, Saudi merupakan tempat perlindungan IM sewaktu ditindas di Mesir. Ramai yang datang mencari perlindungan, termasuklah Muhammad al Wakil, Muhammad Qutub, Muhammad al Ghazali, Qardhawi, Syed Sabiq.

IM dan Saudi memang rapat dan tiada masalah langsung sehinggalah Revolusi Arab atau ‘Arab Spring’ di Tunisia pada bulan Januari 2011 yang melihat kejatuhan Algeria, Tunisia, Libya dan Mesir. ‘Arab Spring’ kemudiannya meletus di Iraq dan Syria. Pihak intelegensia CIA, Mossad dan Saudi mendapati semua ‘Arab Spring’ didalangi oleh IM. Maka, fatwa bersama Teluk pada tahun 2014, IM diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas dan diharamkan dari GCC (7 negara Teluk Arab). Semua negara Teluk Arab kecuali Qatar mengharamkan IM dari bumi mereka.

4. Ulama’ Saudi vs IM

Apabila GCC mengharamkan IM, maka ulama’-ulama’ Saudi semuanya mengeluarkan tahdzir kepada dunia Arab dan Islam akan bahaya pergerakan IM dan ideologi IM. Secara kebetulan tokoh no 1 IM, Dr Syaikh al Qaradawi ada menetap di Qatar sebagai PR (Permanent Resident) maka, sudah tentu beliau juga menjadi sasaran tahdzir Saudi, manakala Mesir memohon dari Qatar dan GCC Council untuk ekstradisi Dr Syaikh al Qardhawi ke Mesir bagi perbicaraan ‘ala rimba.’

Siapakah Dr Syaikh al Qardhawi ini? Beliau pada asalnya adalah aktivis IM dan murid kepada Hasan al Banna sendiri. Beliau menyertai IM sejak berusia 12 tahun dan mendapat PhD dari al Azhar pada tahun 1972. Sekarang beliau berusia 92 tahun, residen Qatar dan menulis sebanyak 125 buah kitab dalam pelbagai genre dan subjek.

Dr Syaikh al Qardhawi merupakan seorang syaikhul Islam abad ini, ulama’ yang terbilang dan menguasai semua bidang ilmu. Jelas tertera di dalam kitabnya fatwa muasirat atau fatwa semasa, manhaj dan fatwanya adalah adil dan muqaran (membandingkan pendapat semua mazhab dan imam). Walau pun ada beberapa fatwanya yang kontroversi seperti larangan melawat Jurusalem, ucapan “Merry Christmas”, hukum janggut, khitan wanita, euthanasia (mercy killing), semua itu adalah furu’ dan khilafiah agama dan tidak boleh sama sekali mencela beliau dengan tahdzir.

5. Tahdzir Salafiyah terhadap Dr Syaikh al Qardhawi dan Dr MAZA dalam isu ungkapan “Merry Christmas” atau Selamat Hari Natal.

Dr Syaikh al-Qardhawi antara yang paling awal mencetuskan kontroversi ketika mengeluarkan fatwa bersama Majlis Fatwa Eropah, di mana beliau adalah pengerusinya. Dr Syaikh al Qardhawi membolehkan ungkapan ‘Merry Christmas’ dengan mengambil kira keadaan 20 juta penganut Kristian Qibti (Coptic Church di Mesir) dan minoriti Islam yang menjadi rakyat USA dan EC.

Hujah Dr Syaikh al Qardhawi ialah jika wanita Kristian boleh dinikahi, sembelihan kitabiah boleh dimakan, maka kenapa ada masalah dengan ungkapan ‘Merry Christmas’?. Apakah bersetubuh dengan wanita Kristian, menyintai isteri Kristian lebih kecil dari ungkapan ‘Merry Christmas’?

Salafiyah membantah fatwa tersebut kerana ‘Merry Christmas’ adalah isu akidah. Jika ungkapan ‘Merry Christmas’ akan merosakkan akidah pengucapnya kerana membenarkan Jesus anak Tuhan dan pendustaan kelahiran Jesus di musim sejuk sedangkan Jesus lahir musim panas, maka sudah tentu ini adalah takwil yang ghuluw. Sahibul Samahah Dr MAZA mendokong fatwa Eropah dan Dr Syaikh al Qardhawi kerana isu hubungan baik dengan orang Kristian.

Terdapat banyak dalil yang menyokong:

إِنَّمَا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمْ وَظَٰهَرُوا۟ عَلَىٰٓ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُو۟لَٰئِكَ هُمُ ٱلظَّلِمُونَ
Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim [ Al-Mumtahanah: 9 ].

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةً لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّا نَصَٰرَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri. [ Al-Ma’idah: 82 ].

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا۟ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ أَوْ رُدُّوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَسِيبًا
Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu [ An-Nisa: 86 ].

Allahu a’lam.

Versi Bacaan sebelum Tidur

0

Imam Al-Bukhari رحمه الله‎ telah meriwayatkan doa sebelum tidur dengan pelbagai versi dalam ‘Sahih Al-Bukhari’.

Lafaznya adalah seperti di bawah.

١. بِاسْمِكَ أَمُوتُ وَأَحْيَا
٢. اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَمُوتُ وَأَحْيَا
٣. بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوتُ وَأَحْيَا
٤. اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوت
٥. بِاسْمِكَ نَمُوتُ وَنَحْيَا

🔴 Mengapakah ia boleh menjadi pelbagai versi bacaan sedangkan Imam Al-Bukhari رحمه الله‎ meriwayatkan daripada dua jalur sahabat sahaja iaitu Huzaifah dan Abu Dzar رضي الله عنهما.

Contoh:
Dalam riwayat melalui Huzaifah رضي الله عنه sendiri telah berbeza cara bacaannya.

🔴 Adakah semua riwayat tersebut dibaca oleh Nabi ﷺ dengan cara yang berbeza-beza atau ada kesilapan perawi selepas daripada sahabat yang membaca doa tersebut?

🔴 Apakah lafaz yang sahih daripada semua lafaz tersebut?

Contoh:
Dalam ‘Sahih Muslim’ yang diriwayatkan dari Al-Baraa’ رضي الله عنه juga lafaz yang berbeza.

اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَبِاسْمِكَ أَمُوتُ

🔵 Pertamanya, secara keseluruhan kita lihat dahulu apakah sebab-sebab berlaku kepelbagaian riwayat terhadap hadith.

1. Kebolehan dan kemampuan menghafal yang berbeza dalam kalangan perawi. Jadi, dalam bab ini perlu dilakukan kaedah mengumpulkan hadith ke dalam satu tajuk dan buat rujuk silang. Barulah dapat diketahui siapa perawi yang tersalah akibat kesalahan hafazan yang menyebabkan lafaz hadith berubah-ubah.

2. Suatu peristiwa yang berulang-ulang dan berlaku perbuatan Nabi ﷺ yang berbeza-beza mengikut situasi berbeza. Maka, terdapat perawi A meriwayatkan hadis A dan perawi B meriwayatkan hadis B pada waktu yang berlainan. Ia banyak berlaku dalam bab ibadat.

3. Perawi menceritakan suatu perbuatan Nabi ﷺ dalam keadaan yang pelbagai bentuk.

Contoh:
‘Aisyah رضي الله عنها‎ ada meriwayatkan bab salat malam Nabi ﷺ.

◾️ Kadang kala ‘Aisyah رضي الله عنها‎ menceritakan bilangan rakaat.

◾️ Ada kiraan sekali bilangan termasuk (campurkan ) dengan salat sunat Isya’.

◾️ Ada yang termasuk (campurkan) dengan salat witir dan sebagainya.

4. Perbezaan matan hadith berbeza mengikut orang yang dimaksudkan di dalam hadith.

5. Orang yang dimaksudkan dalam hadith berbeza mengikut keadaan dan setiap hadith merujuk kepada setiap keadaan tersebut yang berbeza-beza.

Contoh:
Mimpi orang beriman.

◾️ Ada lafaz separuh daripada 46 kenabian.

◾️ Ada lafaz daripada 45 kenabian.

◾️ Ada pendapat mimpi orang beriman.

◾️ Ada pendapat mimpi orang salih dan sebagainya.

Jadi, ia berbeza mengikut keadaan orang yang bermimpi di dalam hadith.

6. Matan hadith yang berbeza kerana ia tidak memaksudkan makna tertentu akan tetapi hanya isyarat kepada suatu makna yang musytarak (sama makna) di antara semua hadith.

Maka, jam’u kesemua riwayat di atas asas ini.

Contoh:
Nabi ﷺ bercerita mengenai kadar haudh (perigi). Berlaku banyak riwayat tentang nama-nama bandar dan kadar jarak antara keduanya. Jadi, ulama’ mengatakan bukan nama bandar yang menjadi isu, tetapi ia hanya menceritakan tentang betapa jauhnya bandar dan betapa dalamnya perigi tersebut.

7. Sebahagian perawi meriwayatkan berdasarkan kefahaman beliau dan menafsirkan dalam riwayat tersebut berdasarkan kekuatan hafazan yang dimilikinya. Inilah yang dinamakan riwayat dengan makna.

Maka, boleh berlaku terkadang perawi tertukar pelbagai lafaz dan termasuk lafaz yang bukan lafaz asal hadith (idraj) dan sebagainya. Apabila dibuat kaedah mengumpulkan riwayat baharulah diketahui bahawa hadith ini berlaku masalah matan.

8. Tarjih antara riwayat yang mana ia berlaku ta’khir dan taqdim, iaitu berlaku satu hadith terlewat daripada satu hadith lain. Jadi, ia membuatkan ulama’ untuk mentarjih antara riwayat tersebut dengan melihat masa di antara dua kejadian. Ia akan mengambil hadith yang terbaru dan mansukh hadith yang terkemudian.

Contoh:
Hadith Nabi ﷺ salat bersama Abu Bakar رضي الله عنه di akhir-akhir kewafatan baginda. Khilaf ulama’ tentang:

◾️ Siapakah imam?

◾️ Siapakah makmum?

Ini kerana berlaku pelbagai riwayat yang saling bercanggah antara satu sama lain. Ini adalahkerana berlaku taarudh dan perbezaan lafaz di antara hadith.

Untuk merungkaikan taarudh jenis ini teramatlah panjang perbahasannya yang perlu disebut kerana ulama’ ada kaedah khusus dalam merungkaikan taarudh sebegini.

Berbalik kepada soalan tadi, memang betul kesemua riwayat tadi ada dalam ‘Sahih Al-Bukhari’ dan perbezaan lafaz antara semua matan berlaku ziyadah (pertambahan) dan juga taqdim dan ta’khir (lafaz depan ke belakang dan lafaz belakang ke depan).

Punca berlaku kepada perubahan jenis ini adalah kerana dua ihtimal (kemungkinan):

1. Ikhtilaf munasabat seperti di ulasan nombor 2 dan 3.

2. Disebabkan riwayat dengan makna seperti di ulasan nombor 7.

Perbezaan lafaz sebegini tidak mencacatkan kesahihan hadith ini namun, secara para usul iaitu jam’u kesemua riwayat dan boleh baca secara ikhtiyari (pilihan). Lagipun perbezaan lafaz-lafaz tersebut bukanlah jenis yang boleh menerbitkan istinbath baru yang lain. Jika jenis ini maka, perlu dikumpul riwayat terlebih dahulu.

Wallahu a’lam.

@ustazdaud
#berinteraksidenganhadis

Isu Majlis Tahlil

0

🔴 Bagaimana dalam isu majlis tahlil secara berjamaah di mana hampir setiap kenduri diselitkan dengan bacaan tahlil dari jamaah surau atas jemputan tuan rumah?

🔵
Bacaan tahlil yang jika difahami dengan zikir “la ilaha illallah” adalah zikir yang harus dibaca pada setiap masa. Namun, ibadah zikir adalah tauqifi iaitu semata-mata bergantung dengan nas untuk layak dianggap sah dari sudut syara’. Ia tidak boleh dikhususkan cara tertentu melainkan ia ada dikhususkan syara’.

Zikir secara berjemaah berlaku khilaf dalam kalangan ulama’ mazhab yang terdahulu dan kemudian.

Namun, saya lebih cenderung dengan pandangan Imam Malik رحمه الله‎ dalam bab ini yang menyatakan ia “laisa min amri al-qadim” ia tidak dilakukan oleh golongan terdahulu iaitu salaf.

Imam Malik رحمه الله‎ menganggapnya sebagai bid’ah kerana yang masyru’ zikir secara berjamaah dan dikuatkan suara adalah talbiah dan zikir dengan tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Selalunya dalam majlis tahlil ada bacaan Al-Quran secara berjemaah. Ia juga menjadi khilaf ulama’. Namun, secara peribadi saya cenderung kepada Mazhab Maliki dalam hal ini dengan menganggapnya tidak sunnah. Pun demikian, ada ulama’ Mazhab Maliki semisal Abu Zaid Al-Fasi رحمه الله‎ menyatakan syarat iaitu mesti tartil dan bertajwid serta waqf pada tempat yang sama. Jika tidak, akan mengakibatkan taqti’ iaitu memutuskan bacaan bukan pada waqf yang betul dan mengakibatkan kesalahan makna.

Berkata Al-Jazari رحمه الله‎:

والأخذ بالقرآن لازمُ,لم يجودِ القرآن آثمُ
لأنه به الإله أنزلَ,وهكذا منه إلينا وصلَ

“Baca Al-Quran itu mesti bertajwid, betapa dosanya tanpa tajwid kerana Tuhan yang turunkan, bagaimana ia sampai, begitulah diperturunkan”.

Nasihat saya, jika diundang ke majlis tahlil kenduri usahlah menyisihkan diri. Boleh terima ajakan tersebut dan memenuhi undangan.

Jika kita di suruh menjadi tekong tahlil, bacalah doa kebaikan untuk tuan rumah agar dimurahkan rezeki dan diberkati hartanya.

Jika kita hanya tetamu, bacalah sendiri zikir-zikir warid yang sahih daripada Rasululllah ﷺ.

Jika kita sebagai tuan rumah bukan kita yang menganjurkannya tetapi bacalah doa yang baik-baik.

Wallahua’lam.

@ustazdaud
#berinteraksidenganhadis

Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-29 hingga Ke-33

0

Tafsir Surah Al-Jathiyah Tafsir Ayat ke-29

Sambungan Takhwif Ukhrawi

هٰذا كِتٰبُنا يَنطِقُ عَلَيكُم بِالحَقِّ ۚ إِنّا كُنّا نَستَنسِخُ ما كُنتُم تَعمَلونَ
Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!”
هَٰذَا كِتٰبُنَا
Inilah Kitab Kami,

Inilah firman Allah ﷻ yang merujuk kepada Kitab Amalan setiap makhluk. Allah ﷻ yang menjadikan kitab itu dan kerana itu Allah ﷻ kata: ‘Kitab Kami’. Allah ﷻ yang mengarahkan para malaikat untuk menulis segala perbuatan manusia di dalam Kitab Amalannya.

يَنطِقُ عَلَيْكُم بِالْحَقِّ
ia memperkatakan terhadap kamu dengan yang benar,

Allah ﷻ menggunakan perkataan يَنطِقُ dalam ayat ini. Ia memberi isyarat bahawa Kitab itu akan berkata-kata. Jadi, ini bukanlah kitab biasa. Ia hanya mengatakan perkara yang benar sahaja. Tiada yang kurang dan tidak akan ditambah dari yang dilakukan oleh makhluk.

✍🏻Seperti disebut dalam [ Kahf: 49 ]
وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

إِنَّا كُنَّا نَسْتَنسِخُ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
kerana sesungguhnya Kami telah menulis segala yang
kamu telah lakukan!

Kalimah نَسْتَنسِخُ dari kata dasar ن س خ yang bermaksud ‘menghapuskan sesuatu’ atau ‘memansuhkan sesuatu’. Namun, apabila digunakan dalam wazan إستِنسَخ, ia membawa maksud menulis, menyalin seperti perkataan nuskhah yang
bermaksud salinan kitab.

Seperti kita salin dari sesuatu kitab yang lain. Oleh itu, ia bermaksud semasa kita melakukan sesuatu malaikat ‘menyalin’ apa kita lakukan. Bayangkan, apa sahaja yang kita tulis dalam SMS, dalam Whatsapp, dalam twitter dan Facebook, malaikat pun salin apa yang kita tulis itu. 📍

Maka, ingatlah semasa kita menulis semua itu, malaikat sedang menyalin apa yang kita tulis itu. Kita sangka perkara itu kecil sahaja, tetapi itu pun ditulis oleh malaikat. Kadang-kadang perkara kecil itulah yang menyebabkan orang sakit hati, orang marah, orang berkelahi kerananya. Maka, kita akan lihat bagaimana perkara yang kita sangkakan kecil, rupanya besar di mata Allah ﷻ. Namun malaikat hanya mencatat sahaja. Mereka tidak tahu kita ikhlas atau tidak. Sebab itu ada amalan yang memang kita telah lakukan, tetapi Allah ﷻ suruh buang sahaja, kerana Allah ﷻ tahu yang kita tidak ikhlas semasa melakukannya.

Tafsir Ayat ke-30
Tabshir Ukhrawi

فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ فَيُدخِلُهُم رَبُّهُم في رَحمَتِهِ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ المُبينُ
Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmat-Nya; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.
فَأَمَّا الَّذِينَ ءآمَنُوا

Adapun orang-orang yang beriman

Iaitu orang-orang yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Mereka itu tahu apakah tauhid dan apakah syirik. Oleh kerana itu mereka meninggalkan syirik dan mengamalkan ajaran tauhid sahaja dalam kehidupan mereka.

وَعَمِلُوا الصّٰلِحَاتِ
dan beramal soleh,

Bukan sahaja mereka itu beriman, tetapi mereka juga menunjukkan iman mereka dengan mengerjakan amalan-amalan ibadat.

Amalan ibadat yang mereka lakukan itu adalah mengikut amalan ajaran Nabi sahaja dan tidak melakukan amalan bid’ah. Amalan yang bid’ah, tidak dinamakan ‘amalan soleh’. Amalan bid’ah adalah amalan sia-sia.

فَيُدْخِلُهُمْ رَبُّهُمْ فِي رَحْمَتِهِ
maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmat-Nya;

Apabila Allah ﷻ berfirman yang mereka itu dimasukkan ke dalam ‘rahmat-Nya’, itu bermaksud Allah ﷻ akan selamatkan mereka dari neraka dan masukkan ke dalam syurga. Ini kerana kita tidak akan dapat masuk ke dalam syurga melainkan dengan rahmat Allah ﷻ.

📍Ini juga sebagai dalil bahawa kita masuk syurga atas rahmat Allah ﷻ. Ini kerana kalau dengan amalan kita sepanjang hidup walau bagaimana baik pun, tidak cukup lagi kalau dibandingkan dengan nikmat syurga yang amat besar itu.

Tidak cukup ‘tambang tiket’ hendak masuk ke dalam syurga dengan amalan kita sahaja. Hanya kerana rahmat Allah ﷻ lah sahaja kita dapat masuk syurga. Jadi, kena berharap yang Allah ﷻ merahmati kita dan untuk dapatkan rahmat Allah ﷻ itu, kenalah pula beramal.

Maknanya, tidak dapat lari dari amal juga. Walaupun amal kita tidak cukup, tetapi kita kena beramal kerana kita berharap Allah ﷻ akan merahmati kita dengan amal kita yang sedikit itu.

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْمُبِينُ
yang demikian itu ialah kemenangan yang jelas.

Lafaz الْفَوْزُ bermaksud kemenangan selepas selamat dari bahaya. Mereka yang dapat masuk syurga itu bermaksud mereka juga telah terlepas dari azab neraka, dan itu adalah kemenangan yang amat besar. Kalau dapat masuk ke dalam syurga, barulah boleh dikatakan kemenangan yang jelas. Kalau setakat menang hujah di dunia, tetapi di akhirat nanti akan memasukkan mereka ke dalam neraka, itu bukanlah kemenangan namanya. Ramai golongan ahli bid’ah di negara ini yang berkedudukan tinggi, pandai berhujah menggunakan akal mereka untuk membolehkan amalan bid’ah mereka. Maka ramailah yang tertipu dengan hujah mereka kerana mereka pandai berkata-kata. Memang mereka mungkin menang kalau di dunia tetapi adakah mereka akan menang di akhirat kelak? Bolehkah mereka berhujah dengan Allah ﷻ?

Tafsir Ayat ke-31
Takhwif Ukhrawi

Bagaimana pula dengan nasib orang yang ingkar?

وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا أَفَلَم تَكُن ءآيٰتي تُتلىٰ عَلَيكُم فَاستَكبَرتُم وَكُنتُم قَومًا مُّجرِمينَ

Adapun orang-orang yang
kafir, (maka mereka akan ditempelak dengan dikatakan kepada mereka): “Bukankah ayat-ayatKu telah disampaikan dan dibacakan kepada kamu, lalu kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?

وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا

Ada pun orang-orang yang ingkar,

Dalam ayat ini dikatakan orang ‘kafir’, tetapi kita terjemahkan sebagai orang yang ‘ingkar’. Ini kerana sebenarnya, orang yang kafir itu adalah orang yang ingkar. Maka kalau kita beragama Islam, tetapi ingkar dengan arahan Allah ﷻ, adakah kita masih boleh mengaku kita orang Islam? Mungkin di mata manusia, kita masih lagi digelar muslim, tetapi apakah pula pandangan Allah ﷻ kepada kita? Itu yang kita kena fikirkan.

أَفَلَمْ تَكُنْ ءآيٰتِي تُتْلَىٰ عَلَيْكُم
Bukankah ayat-ayatKu telah dibacakan ke atas kamu

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini. Tidak diberitahu siapakah yang berkata-kata. Yang berkata-kata itu adalah Allah ﷻ.

Soalan ini ditanya sebelum mereka dihumban ke dalam neraka. Allah ﷻ sendiri berkata dalam ayat ini; Allah ﷻ bertanya kepada mereka, tidakkah ayat Al-Quran pernah dibacakan kepada mereka? Tentulah ada. Agaknya, apakah jawapan mereka yang dalam keadaan berlutut dan menundukkan kepala itu? Adakah mereka boleh menjawab kepada Allah ﷻ? Adakah kita sanggup hendak kata kepada Allah ﷻ waktu itu: “Maaf Allah ﷻ, aku tidak sempat hendak belajar, aku sibuk dengan kerja, aku sibuk dengan keluarga….”. Ayat ini mengajar kita bahawa kita kena dakwah manusia dengan Al-Quran. Kita kena bacakan ayat Al-Quran kepada manusia. Lebih-lebih lagi kita kena bacakan ayat tauhid. Lihatlah bagaimana soalan yang Allah ﷻ tanya kepada mereka adalah tentang Al-Quran. Menunjukkan betapa pentingnya Al-Quran itu.

📍Kita kena baca Al-Quran itu dan tadabbur selalu dan kena fahamkan serta mengamalkan apa yang disampaikan dalam Al-Quran itu. Tidak dapat tidak, kita kena belajar keseluruhan 30 juzuk Al-Quran itu.
فَاسْتَكْبَرْتُمْ
lalu kamu berlaku sombong,

Iaitu, mereka sombong hendak belajar dan mendengar penjelasan pendakwah tentang agama dan tentang Al-Quran.

Mereka juga sombong hendak ikut arahan-arahan Allah ﷻ dalam Al-Quran itu walaupun ia telah jelas.

Mereka tidak jelas adalah kerana tidak mahu belajar, mendengar dan membuka hati mereka kepada kebenaran. Maknanya, mereka bukannya tidak tahu langsung berkenaan Al-Quran, tetapi mereka sombong. Sikap sombong hendak mendengar, ikuti dan menerima kerana mereka rasa diri sudah besar, berasa hebat dan tahu banyak pasal agama. Selain itu mereka juga berasa selamat dan pasti masuk syurga. Adakah begitu? Tentu tidak, bukan?

Kadang-kadang manusia membuat kesilapan dengan melihat siapakah yang memberi nasihat itu. Kalau nampak macam orang yang tidak penting atau tidak ada kedudukan, mereka buat tidak layan sebab mereka sombong. Mereka rasa mereka lebih bagus dari orang yang memberi nasihat kepada mereka. Ini kerana mereka lihat diri lebih tinggi kedudukan dan kekayaan dari mereka yang memberi nasihat itu. Sepatutnya mereka melihat apakah nasihat yang disampaikan, bukannya melihat siapakah yang menyampaikannya.

Hanya kerana sombong, kadang-kadang manusia marah kalau kita beri nasihat kepada mereka. Mereka melenting balik kalau diberi nasihat. Mereka rasa kita macam merendahkan diri mereka dengan beri nasihat sebegitu.

Padahal, kita memberi nasihat sebagai peringatan sahaja. Mereka pun boleh beri nasihat kepada kita balik, apa salahnya?

وَكُنتُمْ قَوْمًا مُّجْرِمِينَ
serta kamu menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?

Oleh kerana mereka tidak mahu belajar dan memahami Al-Quran maka, mereka tidak tahu manakah yang salah dan manakah yang benar. Mereka hanya ikut apa yang disampaikan kepada mereka oleh guru-guru yang tidak semestinya benar.

📍Kalau mereka belajar Tafsir Al-Quran, mereka akan tahu bahawa ada perkara yang dilakukan selama hari ini adalah salah. Mereka dapat bandingkan ajaran manusia dan ajaran dari Al-Quran.

Namun, kerana tidak mahu belajar maka, mereka terus melakukan kesilapan itu tanpa henti. Sebagai contoh, banyak amalan bid’ah yang mereka lakukan. Mereka sangka sedang buat perkara baik dan mendapat pahala, tetapi sebenarnya mereka sedang mengumpul dosa.

Tafsir Ayat ke-32

Sambungan kata-kata Allah ﷻ dari ayat sebelum ini.

Allah ﷻ mengingatkan kembali apa kata-kata mereka semasa di dunia. Allah ﷻ memberitahu yang sebab kedua mereka masuk ke dalam neraka adalah kerana menolak adanya akhirat.

وَإِذا قيلَ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَالسّاعَةُ لا رَيبَ فيها قُلتُم مّا نَدري مَا السّاعَةُ إِن نَّظُنُّ إِلّا ظَنًّا وَما نَحنُ بِمُستَيقِنينَ

Dan apabila dikatakan (kepada kamu): Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar dan hari Qiyamah tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya kamu berkata: Kami tidak mengetahui apa dia hari Qiyamah itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali meyakininya.

” وَإِذَا قِيلَ

Dan apabila dikatakan

Allah ﷻ mengingatkan bagaimana mereka dulu pernah juga diberi dakwah. Pernah juga dikatakan kepada mereka tentang agama dan lebih-lebih lagi tentang Qiyamah semasa di dunia. Bukannya tidak datang pemberi dakwah dan penyebar tauhid kepada mereka semasa di dunia dahulu.
إِنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ
Sesungguhnya janji Allah adalah benar,

Telah diberitahu kepada mereka bahawa janji Allah ﷻ itu benar iaitu janji Allah ﷻ untuk memasukkan mereka yang ingkar ke dalam neraka. Manakala yang beriman dan membuat amalan yang soleh akan dimasukkan ke dalam syurga.
وَالسَّاعَةُ لَا رَيْبَ فِيهَا
dan Hari Qiyamah tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya

Iaitu Hari Qiyamah pasti akan terjadi, Allah ﷻ pasti akan buat. Cuma bila terjadinya, tidak ada sesiapa pun yang tahu melainkan Allah ﷻ sahaja. Telah diberitahu berkali-kali tentang perkara ini kepada mereka. Apabila telah diberitahu perkara-perkara di atas, apakah jawapan balasan dari mereka?

قُلْتُم مَّا نَدْرِي مَا السَّاعَةُ
kamu semua berkata: `Kami tidak mengetahui apa dia Hari Qiyamah itu;

Lihatlah apa kata mereka apabila Hari Qiyamah diingatkan kepada mereka. Mereka tidak mengaku yang mereka tahu tentang Hari Qiyamah. Maknanya, mereka tidak percaya. Mereka buat-buat tidak tahu.

إِن نَّظُنُّ إِلَّا ظَنًّا
kami hanya mengira ia sebagai sangkaan sahaja,

Mereka ini adalah jenis orang yang dipanggil agnostik. Mereka itu selalunya ahli saintis. Jadi kononnya semua perkara kena dibuktikan dengan sains. Kalau sains tidak dapat buktikan, mereka tidak mahu menerima. Mereka sangka mereka pandai kerana berpendidikan tinggi dan ada buat banyak kajian.

Namun, sebenarnya mereka amat bodoh. Mereka kata kejadian hari Qiyamah itu hanya sangkaan-sangkaan manusia yang bodoh sahaja, tetapi sebenarnya merekalah yang bodoh. Terdapat pula yang tidak berapa yakin dengan akhirat itu. Mereka rasa macam ada akhirat itu, tetapi kadang kala mereka rasa mungkin tidak ada. Ini pun manusia yang ada masalah.

وَمَا نَحْنُ بِمُسْتَيْقِنِينَ

dan kami tidak sekali-kali meyakininya.

Mereka tidak yakin tentang akan datangnya Hari Qiyamah itu. Mereka kata ia hanya syak orang-orang yang bodoh sahaja. Pada mereka, Qiyamah itu tidak benar. Mereka pun jenis tidak mahu mencari kebenaran dan tidak kisah. Jika mereka jenis yang hendak mencari kebenaran, tentu akan terjumpa bukti-bukti dan hujah-hujah yang mengatakan Hari Qiyamah itu pasti terjadi.

Namun, kerana mereka sendiri tidak mahu Hari Qiyamah itu terjadi, jadi hati mereka telah berat kepada mengatakan Hari Qiyamah itu tidak akan terjadi. Oleh kerana tidak percaya kepada akhiratlah yang menyebabkan manusia melakukan banyak kesalahan dan dosa. Akhirnya, mereka akan masuk ke Neraka dan akan rasa amat rugi sekali.

Namun, apa lagi mereka akan buat? Waktu itu sudah terlambat.

Tafsir Ayat ke-33

Sambungan Takhwif Ukhrawi.

Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang tidak percaya dengan Hari Qiyamah.

Bila manusia tidak yakin benar-benar dengan adanya Hari Qiyamah, mereka tidak takut melakukan dosa. Maka, apa yang akan terjadi pada Hari Qiyamah itu nanti? Allah ceritakan untuk menakutkan kita.

وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ
Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

وَبَدَا لَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا عَمِلُوا
Dan nyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan,

Dosa-dosa yang manusia telah lakukan semasa di dunia akan menjelma di hadapan mata mereka.

Dosa-dosa itu akan menjelma dalam bentuk fizikal, boleh nampak manakah dosa mereka. Maknanya, dosa mereka semasa di dunia sudah menjadi azab neraka. Semasa mereka buat dosa itu di dunia, nampak macam tidak ada apa-apa. Tetapi kesannya akan menjelma di akhirat kelak. Bayangkan betapa terkejutnya nanti!

وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِءونَ
serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

Dulu mereka ejek-ejek tidak percaya kepada Hari Akhirat, sekarang sudah nampak di depan mata mereka. Azab itu akan meliputi mereka, sampai mereka tidak boleh lari lagi! Na’uzubillah min zalik! Mereka juga dulu tidak percaya kepada azab-azab yang dijanjikan kepada mereka, malah dijadikan sebagai bahan ejekan sahaja. Sebagai contoh, mereka kata: “Ah, kami tak kisah kalau makan buah Zaqqum tu, sedap kot buah tu!”.

Nah, di akhirat nanti mereka akan diseliputi dengan azab-azab itu.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Jatsiyah
(Ayat 29 – ayat 33)

📍Anggota tubuh menjadi saksi di Mahsyar semasa diberi buku amalan?

🔵 Itu sebelum dimasukkan ke dalam neraka, telah dibawa sampai ke luar neraka dan kemudian tubuh badan mereka berkata-kata. Rujuk Surah [ Fussilat ].

📍Adakalanya bukannya kita tidak tahu perkara itu salah dan berdosa, tetapi tetap juga dosa dilakukan. Bagaimana hendak timbulkan rasa takut berbuat dosa itu?

🔵 Buat juga dosa walaupun tahu kerana hati tidak yakin ada akhirat. Rasa macam tahu, tetapi tidak yakin. Maka, kena selalu baca ayat-ayat tentang akhirat. Bila selalu baca, akan timbul takut dalam hati kerana kadang kala dengan intelek sahaja tidak cukup. Kena bawa ke dalam hati.

📍Dosa-dosa itu akan menjelma waktu di dataran Mahsyar atau setelah manusia itu dicampak ke dalam neraka?

🔵 Ketika di Mahsyar dan juga di Neraka sekali.

📍Adakah ini dalil tidak boleh jawab “tidak tahu” depan Allah ﷻ? “Bukankah ayat-ayat-Ku telah dibacakan ke atas kamu?

🔵 Ya, tepat sekali. Semasa di akhirat nanti tidak ada alasan lagi atas kesalahan yang kita telah lakukan.

📍Adakah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah itu kita masuk syurga setelah kita beramal dengan ikhlas, tidak melakukan perkara bid’ah serta maksiat walau sebesar zarah ?

🔵 Rahmat itu hak Allah ﷻ. Allahyang tentukan. Kalau kita beramal soleh dan ikhlas sekali pun, tidak cukup untuk masukkan kita ke dalam syurga. Maka kena terus beramal dan berharap.

Allahu a’lam.

Adakah Laduni Adalah Wahyu?

0

UiTO Bilik (01) Fiqh Sunnah

🔴Bolehkah Sheikh jelaskan tentang ilmu ini menurut kefahaman salaf.

1. Ladunni
2. Kasyaf

– Ada pendapat mengatakan ilmu ladunni khusus untuk para nabi sahaja.

– Geng tareqat kata ilmu ladunni dan kasyaf dianugerah kepada wali-wali mereka.

🔴 Sekarang adakah lagi ilmu laduni yang diwarisi?

Sheikh THTL al-Jazani: Memang tidak ada ladunni ni, ilmu memang kena belajar. Ilmu laduni khayalan sufi dan syiah sahaja.

Untuk isu laduni ini.
Sila lihat ayat 65 al-Kahfi

(وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا

“Dan kami telah ajarkan kepadanya (Nabi khidhir) dari sisi Kami suatu ilmu”. (Al Kahfi: 65))

Orang sufi dan syiah ubah kalimah ladunna kepada ladunni. Ladunna dalam ayat tersebut adalah wahyu kepada Nabi Khidir akan 3 perkara ghaib:
Pertama: Nabi Khidir merosakkan kapal-kapal yang berlabuh di satu muara,
Kedua: Nabi Khidir membunuh budak kecil dan
Ketiga: Nabi Khidir membaiki dinding yang roboh.

Allah wahyukan kepada Nabi Khidir akan rahsia tiga perkara ghaib ini. Maka orang ‘spin’ ladunna, kepada ladunni, bahawa orang sufi juga mendapat ladunna dan dapat mengetahui benda ghaib. Maka laduni adalah ilmu khusus kepada wali-wali Allah seperti Nabi Khidir.

Ini tidak betul sama sekali. Sebab ilmu ghaib hanya dengan wahyu, maka Nabi Khidir seperti Nabi-nabi yang lain, memang menerima wahyu, ladunna. Nabi Muhammad saw pun tahu benda ghaib sebab wahyu juga, itulah ladunna.

Kena faham bahasa istilah arab dalam Al-Quran, baru kita tidak kena spin.

Contoh ada wali yang tidur dengan bini muridnya untuk menyucikan perempuan tersebut, (kononnya sebab)laduni (dan) murid percaya.

Laduni = Tersingkapnya alam ghaib atau ilmu hakikat dengan cara kasyaf (terbukanya hijab antara makhluk dan khaliq) dan tajalli (hubungan langsung dgn Allah tanpa perantara).

Pemikiran ilmu laduni dipelopori oleh Hisyam Ibnu Al-Hakam (wafat 199H), seorang penganut Syi’ah yang mahir ilmu kalam. Ia berasal dari Kufah.
Minhaj As-Sunnah, Syaikh Islam Ibnu Taimiyah, hal. 226

Maka laduni/kasyaf adalah berasal dari syiah dan doktrin ilmu dalam tasawwuf.

Sebab tu Ayatullah syiah hebat. (Sebab) dapat laduni.

(Ini) Tareqat Abu Sangkan Indon, laduni, berguru direct (terus) dengan Allah

Tak payah Al-Quran dan as-Sunnah, direct je, laduni.

Memang menarik, skim cepat faqih. malas nak belajar, berguru, senang direct dengan Allah sahaja.

🔴 Sahihkah Nabi Idris as, Nabi Ilyas as, Nabi Khidir as dan Nabi Isa as ,masih hidup?

♻️ Tidak sahih, khususnya Khidr dah wafat. Dalil:

وما جعلنا لأحدٍ من قبلك الخلد أفإن مت فهم الخالدون (سورة الأنبياء: 34)

 “Kami tidak menjadikan hidup abadi (immortal) bagi seorang manusiapun sebelum kamu (Muhammad), maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal?”. 

(QS. Al Anbiya’ : 34)

🔴Benarkah 4 golongan ini hidup berpanjangan

– syaitan, dajjal, nabi isa, nabi khidir

Ustaz Adli Khalim: Iblis memang dapat keizinan Allah.

Tentang Dajjal, kita tidak pasti bila dia dilahirkan. Ada satu hadits yang sebut: “Setiap Nabi yang diutuskan pasti akan mengingatkan kaum masing-masing tentang Dajjal…”

Nabi `Isa tidak panjang sangat kehidupannya di dunia.

Khidir cuma hidup di zaman Nabi Musa. Ketika Al-Bukhari ditanya tentang Khidir, beliau jawab dengan hadits: “100 tahun selepas malam ini, tiada orang hidup di bumi ini akan hidup lagi.”

Wallahu a`lam.

Tafsir Surah Al-Ahqaf – Tafsir Ayat Ke-3 hingga Ke-5

0

Tafsir Surah Al-Ahqaf
Tafsir Ayat ke-3

Dalil Aqli kepada Tauhid. Allah ﷻ suruh kita lihat pada alam ini sebagai dalil. Ayat ini juga ada mengandungi Zajrun.

ما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ وَالَّذينَ كَفَروا عَمّا أُنذِروا مُعرِضونَ
(Ingatlah), tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu (yang padanya dijalankan pembalasan); dan orang-orang yang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka mengenainya.

ما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ
Tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar.

Tidaklah Allah ﷻ jadikan alam ini sia-sia sahaja. Allah ﷻ jadikan alam ini untuk zahirkan kebenaran yang Allah ﷻ sahaja pencipta, tempat puja dan seru dalam berdoa.

وَأَجَلٍ مُّسَمًّى
dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu

Allah ﷻ telah tetapkan yang alam ini akan musnah juga akhirnya apabila telah sampai masa. Masa itu telah Allah ﷻ tetapkan, tetapi Dia sahaja yang tahu. Alam ini adalah tempat ujian sahaja bagi makhluk dan apabila telah selesai ujian untuk manusia, ia akan dihancurkan.

Macam juga pencawang pada bangunan yang digunakan semasa membina bangunan. Apabila bangunan sudah siap, pencawang itu semua akan dimusnahkan kerana tidak ada gunanya lagi.

Apabila sampai waktu Qiyamah dan masa bumi dihancurkan, tidak akan ada penangguhan lagi walau sesaat. Ia tidak terjadi lebih awal daripada yang ditentukan Allah ﷻ.

وَالَّذينَ كَفَروا عَمّا أُنذِروا مُعرِضونَ
dan orang-orang yang ingkar, apabila diberi peringatan, mereka sentiasa berpaling

Ini adalah ayat Zajrun. Manusia yang ingkar dan tidak endah kepada peringatan dan ancaman yang diberikan kepada mereka. Walau berkali-kali disampaikan kepada mereka, mereka tidak mahu mendengar dan taat kepada arahan Allah ﷻ.

Mereka itu tidak kisah kepada ancaman hari Qiyamah yang pasti akan datang itu. Apabila diajak kepada tauhid, mereka sentiasa sahaja menolak (bukan sekali tetapi setiap kali).

Mereka itu nanti adalah antara yang amat-amat rugi di akhirat kelak kerana tidak membuat persiapan untuk menghadapi akhirat. Sebaliknya mereka buat amalan yang salah, antaranya seru kepada selain dari Allah ﷻ dalam doa mereka.

Tafsir Ayat ke-4:

Tuntutan dan cabaran kepada golongan musyrik untuk mengemukakan bukti.

قُل أَرَءيتُم مّا تَدعونَ مِن دونِ اللهِ أَروني ماذا خَلَقوا مِنَ الأَرضِ أَم لَهُم شِركٌ فِي السَّمٰوٰتِ ۖ ائتوني بِكِتٰبٍ مِّن قَبلِ هٰذا أَو أَثٰرَةٍ مِّن عِلمٍ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): “Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain dari Al-Quran ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang yang benar (tentang dakwaan kamu itu)!

قُل أَرَءيتُم ما تَدعونَ مِن دونِ اللهِ
Katakanlah: “Adakah kamu fikirkan tentang makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah?

Allah ﷻ mengajar Nabi untuk bertanya dan berhujah dengan puak yang menentang ajaran tauhid. Gunakanlah akal. Kalau hendak seru sesiapa: sama ada wali, Nabi, malaikat atau jin, tanya sama ada mereka ada jasa.

أَروني ماذا خَلَقوا مِنَ الأَرضِ
Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini?

Adakah mana-mana tempat yang wali, Nabi atau malaikat itu ada mencipta sesuatu dari tidak ada kepada ada? Tentu tidak ada kerana kuasa mencipta dan menjadikan hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Musyrikin Mekah pun tahu perkara ini.

أَم لَهُم شِركٌ فِي السَّمٰوٰتِ
Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit?

Atau adakah sembahan-sembahan selain Allah ﷻ itu ada menolong Allah ﷻ membuat langit atau bumi itu, kalau pun dia tidak membuat semuanya. Adakah turut berkongsi membuat dengan Allah ﷻ? Tentu juga tidak ada. Ini kerana Allah ﷻ tidak memerlukan sesiapa pun untuk bantu Dia.

ائتوني بِكِتٰبٍ مِّن قَبلِ هٰذا
Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) sebelum dari Al-Quran ini,

Atau, kalau memang mereka tidak boleh mencipta atau berkongsi dalam mencipta, tunjukkan kitab wahyu sebelum Al-Quran yang menyatakan seru selain Allah ﷻ itu boleh. Bawalah apa-apa sahaja Taurat atau Injil sebab kamu Arab Mekah tidak menerima AlQuran kan?

أَو أَثٰرَةٍ مِّن عِلمٍ
atau sebarang keterangan dari ilmu

Atau bawakan ke mari saki baki peninggalan ilmu wahyu yang boleh dijadikan hujah yang mengatakan boleh seru selain Allah ﷻ. Kenalah bawa cebisan ilmu yang boleh dipercayai – jangan bawa kisah dongeng pula.

Kalau sebutir kitab lengkap tidak ada kerana sudah dimakan anai-anai, sekurang-kurangnya, bawa sehelai pun jadi lah. Bolehkah?

إِن كُنتُم صٰدِقينَ
kalau betul kamu orang-orang yang benar

Kamu kuat sangat hingga berkata boleh seru selain Allah ﷻ, maka bawalah dalil yang kamu ada atau kamu hanya bercakap kosong sahaja? Apakah kamu dapat ilmu itu dari tok nenek kamu sahaja atau kamu yang reka? Jika tidak boleh membawa dalil, maka tentunya itu adalah fahaman sesat.

Tafsir Ayat ke-5

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللهِ مَن لّا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ وَهُم عَن دُعائِهِم غٰفِلونَ
Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah ke hari Qiyamah, sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak menyedari permohonan mereka.

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللهِ
Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang selain dari Allah,

Ada lagikah yang lebih sesat daripada orang yang menyeru selain daripada Allah ﷻ? Tidak ada. Merekalah yang paling sesat sekali. Allah ﷻ amat marah kepada mereka yang menyeru selain Allah ﷻ.

مَن لّا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ
yang tidak dapat menyahut hinggalah ke hari Qiyamah,

Mereka yang diseru itu tidaklah dapat menyahut seruan mereka yang menyeru itu sampai ke hari Qiyamah pun. Mereka yang menyeru itu sebenarnya bertepuk sebelah tangan sahaja. Serulah banyak mana pun, yang diseru tidak akan sahut, kerana mereka telah mati.

Kalau malaikat, bukan kerja mereka untuk mendengar permintaan dari manusia. Orang yang mati tidak boleh mendengar seruan orang yang hidup. Kalau malaikat mendengar pun, mereka tidak boleh menolong manusia yang menyeru, kerana mereka hanya taat kepada suruhan Allah ﷻ.

Kalau Allah ﷻ tidak benarkan atau arahkan mereka berbuat apa-apa, mereka tidak akan buat. Mereka yang diseru itu sudahlah tidak mendengar, dan kalau mereka mendengar pun, mereka tidak dapat tolong buat apa pun.

وَهُم عَن دُعائِهِم غٰفِلونَ
dan makhluk-makhluk yang mereka seru itu tidak menyedari permohonan kepada mereka.

Allah ﷻ menjelaskan dalam ayat ini, mereka yang diseru itu: sama ada Nabi, wali atau malaikat, tidak menyedari pun seruan yang diberikan kepada mereka.

Mereka itu telah tiada di dunia ini dan tidak dapat mendengar (mereka dalam alam Barzakh), dan malaikat tidak dijadikan untuk menyahut seruan bagi yang menyeru mereka.

Malaikat hanya mendengar arahan dari Allah ﷻ sahaja. Oleh itu, yang menyembah itu hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf ( Ayat ke-3 hingga ke-5 )

📍Amalan bid’ah biasanya orang akan cakap ”benda baik apa salahnya”. Jika kita sudah tegur berkali-kali tetapi masih tidak mahu berubah, kita akan terlepas dari soal jawab?
🔵 Ya, kerana sudah ada alasan di hadapan Allah ﷻ. “Aku sudah sampaikan”.

📍Ramai yang masih bertawassul menggunakan selawat kepada Nabi antaranya ketika hendak makan ubat, berurut dan memasak makanan akan baca selawat. Amalan begini tidak bolehkan?
🔵 Tidak boleh. Itu tawassul dengan Nabi Muhammad ﷺ dan salah. Namun, benda halus ini bila kita tegur, dia akan kata: selawat pun tidak boleh ke?

📍Setiap ayat Al-Quran ada roh dan kesan tersendiri. Justeru, benarkah selawat merupakan ayat penyejuk jiwa?
🔵 Selawat bukan ayat Al-Quran. Selawat itu mendoakan Nabi ﷺ. Kita selawat kerana hendak selawat dan bukan kerana itu dan ini.

📍Amalan berselawat ketika awal berdoa atau akhir berdoa dan adakah dikira tawassul juga?
🔵 Ini bab halus sebab susah orang hendak faham. Saya cuba jelaskan. Sewaktu dalam doa boleh selawat kerana selawat itu ibadat. Selawat itu ibadah, bukan kerana Nabi Muhammad ﷺ.
Kita berdoa supaya Allah ﷻ berikan keberkatan dan kedudukan baik kepada baginda ﷺ berharap Allah ﷻ beri kebaikan kepada baginda. Ini kerana baginda sudah berkorban mengajar agama kepada kita. Oleh sebab itu kita berselawat ke atasnya.
Namun, kalau hendak makan ubat selawat, basuh sayur dan nasi hendak juga selawat maka, ini ada masalah. Ini kerana yang melakukannya mengharapkan keberkatan dari baginda. Malah, ini adalah syirik. Halus sangat perkara ini. Kena duduk fikir lama sedikit.

📍Boleh kah kita berdoa setiap kali selesai membaca Al-Quran?
🔵 Boleh. Memang molek.

📍Ada seorang ustaz cakap, bila kita berselawat kepada Nabi ﷺ (hanya berselawat kepada Nabi ﷺ bukan selawat berdoa buat tawassul) Nabi ﷺ mendengar selawat kita kerana malaikat telah menyampaikan selawat kita kepada baginda di alam berzakh sana. Adakah ini benar?
🔵Ya. Malaikat akan sampaikan dan bukan baginda ﷺ dengar sendiri.

📍Kalau kita banyak berselawat kepada Nabi ﷺ, adakah baginda akan memberi syafaat kepada kita di hari akhirat nanti?
🔵 Ya, salah satu punca boleh dapat syafaat tetapi bab syafaat ini panjang perbincangannya. Ia disebut dalam banyak ayat berlainan. Semoga nanti kita dapat jumpa dan memahaminya kerana banyak salah faham masyarakat kita bab syafaat ini.

Allahu a’lam.

Tawasul Yang Dibolehkan Dan Siapakah Berkelayakan?

0

DARI MEJA REKTOR
Panel: Cikgu Rahim

Soalan: Assalamualaikum.. saya ingin bertanya, kalau kita minta orang doakan kita, sebagai contoh katanya: “doakanlah aku, mudah-mudahan aku cepat sembuh”.. adakah ini dikira tawassul juga?

Ustaz Solah UiTO: Waalaikumussalam
Ya di kira tawassul tapi tawassul yang boleh. Cuma masyarakat Malaysia zaman sekarang kadang-kadang melampau bila minta orang doakan, jika tidak melampau maka boleh.

Asalkan dia tidak ragu dengan Allah, dia tidak anggap doanya tidak maqbul melainkan orang doakan, dia tidak buruk sangka kepada Allah. Dia tidak minta orang lain melainkan dia juga turut berdoa. Akidah tauhidnya kukuh dan jenis tidak putus asa berdoa sendiri pada Allah, dia tidak kata aku sudah doa dah masa minta orang lain doakan. Jika cukup syarat-syarat ini boleh la,bukan sunat pun, harus sahaja. Harus sahaja tapi yang sunatnya minta sendiri kerana berdoa pasti Allah maqbul kan..

‏﴿١٨٦﴾ وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

(186) Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
(Al Baqarah 2:186)

Jika tidak cukup syarat maka jangan minta orang doakan sebab bahaya kepada akidahnya. Bahaya kerana mungkin perbuatannya itu asbab kepada syirik akbar, contoh minta dengan orang yang sudah mati atau minta perkara yang melampau batas syariat. Yang tentu saja bahaya boleh kecundang akidah tauhidnya, sebab itu dalam hadith ada sebut orang-orang yang dapat masuk syurga tanpa hisab ialah orang yang tak minta orang lain doakan jampi..sebab jika minta maka orang itu dalam dua,samada dia tetap kukuh tauhidnya atau syirik, maka akan di hisab kelak tapi kalau dia tidak minta orang lain, pasti akidah tauhidnya tidak goyang.

Soalan:
Assalamualaikum Ustaz, minta penjelasan. Adakah sedekah al-Fatihah kepada arwah bapa atau kepada Nabi kita juga tidak dibolehkan?

Cikgu Rahim:
Kepada yang bertanya, kita ikut sunnah.
Tidak ada (amalan begitu) dalam hadith atau amalan para sahabat. Yang ada, kita berdoa kepada Allah, pohon keampunan kepada arwah bapa atau bantu sekolah agama dan sedekahkan pahala untuk arwah ayah.

Setiap amalan baik umat auto dapat kepada nabi saw kerana baginda yang memulakan dakwah islam.

Yang terbaiknya, baiki hati dengan al-Quran dan as-Sunnah. Jadi kena tadabbur al-Quran dan belajar ilmu hadith. UiTO telah sediakan pensyarah-pensyarah untuk tujuan murni ini.

Soalan: Alhamdulilah. Terima kasih CR, cuma saya sebagai masyarakat di Johor, secara umumnya dan telah menjadi kebiasaan membuat kenduri-kenduri arwah. Aapakah hukumnya. Minta penjelasan sekali lagi . Terima kasih banyak-banyak.

Cikgu Rahim: Pada masa saya menjadi penolong pengetua MRSM Kuala Klawang, budak-budak hindu selalu pohon cuti untuk hadir kenduri arwah sempena hari, minggu, tahun. Saya tanya kenduri apa, dia kata cukup 1 tahun..😇

Soalan: MRSM ada budak hindu ke?

Cikgu Rahim: Ada, dasar Tun M 10% non bumiputera.

100 Sunnah
1 Sunnah 1 hari
19/100

Adab ke masjid

1⃣ Bersegera ke masjid
2⃣ Berdoa ketika pergi ke masjid
3⃣ Berjalan dengan bersahaja dan tenang.
4⃣ Berjalan kaki
5⃣ Berdoa ketika masuk masjid
6⃣ Mendahulukan kaki kanan ketika masuk masjid
7⃣ Mara ke saf pertama.
8⃣ Berdoa ketika keluar masjid.
9⃣ Mendahulukan kaki kiri sewaktu keluar masjid.
1⃣0⃣ Solat tahiyatul masjid.

Dalil-dalil InsyaAllah disusuli kemudian.

06.07.05 Riwayat yang Pelbagai pada Satu Sebab Nuzul

0

Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum.. nota seterusnya siap. Semoga bermanfaat.

#060617 Bilik (09) Ulum al-Quran – Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)

06.07.05 Riwayat yang Pelbagai pada Satu Sebab Nuzul – تَعَدُّدُ الرِّوَايَاتِ فِي سَبَبِ النُّزُولِ

#NotaBroSyarief #UlumQuran #UiTOBilik09

6. Jika riwayat-riwayat yang pelbagai itu tidak dapat dikumpulkan kerana berbeza jarak masa setiap riwayat, maka terdapat kemungkinan berlakunya penurunan ayat atau surah yang sama beberapa kali dan berulang-ulang.

Contohnya riwayat berikut daripada al-Musayyab, katanya,

أَنَّ أَبَا طَالِبٍ، لَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ دَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَعِنْدَهُ أَبُو جَهْلٍ فَقَالَ ‏”

Ketika mana Abu Thalib sedang nazak, Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – masuk bertemu dengannya, dan pada waktu itu Abu Jahl ada berada di sisinya, lalu Nabi berkata:

‏أَىْ عَمِّ، قُلْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ‏.‏ كَلِمَةً أُحَاجُّ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللَّهِ”‌‏.‏

“Wahai bapa saudaraku, katakanlah ‘La ilaaha illa-alLaah’, kalimah yang akan aku jadikan hujjah untukmu dengannya di hadapan Allah nanti.”

فَقَالَ أَبُو جَهْلٍ وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أُمَيَّةَ يَا أَبَا طَالِبٍ، تَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ

Lalu Abu Jahl & ‘Abdullah ibn Abi Umayyah menyampuk,

‘Wahai Abu Thalib, engkau ingin meninggalkan agama Abdul Muttolib?’

فَلَمْ يَزَالاَ يُكَلِّمَانِهِ حَتَّى قَالَ آخِرَ شَىْءٍ كَلَّمَهُمْ بِهِ عَلَى مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ‏.‏

Mereka berdua berterusan mendesaknya sehingga dia menyebutkan perkataan terakhir dari apa yang mereka katakan di atas agama Abdul Muttolib.

فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ”‌‏.‏

Maka Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – pun berkata, “Aku akan memohon keampunan untukmu selama aku tidak dilarang dari melakukannya.”

فَنَزَلَتْ ‏مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ

Lalu turunlah ayat, “Tidaklah selayaknya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman untuk memohon keampunan bagi orang-orang yang syirik..” [at-Taubat (9):113]

[HR al-Bukhari & Muslim]

Adapun sebuah riwayat lagi daripada ‘Ali, menyebutkan,

سَمِعْتُ رَجُلًا يَسْتَغْفِرُ لِأَبَوَيْهِ وَهُمَا مُشْرِكَانِ

‘Aku mendengar seorang lelaki memohon keampunan untuk kedua orang tuanya yang musyrik,

فَقُلْتُ لَهُ أَتَسْتَغْفِرُ لِأَبَوَيْكَ وَهُمَا مُشْرِكَانِ

Lalu aku bertanya kepadanya: ‘Engkau memohon keampunan untuk kedua orang tuamu dalam keadaan mereka musyrik?’

فَقَالَ أَوَلَيْسَ اسْتَغْفَرَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ وَهُوَ مُشْرِكٌ

Lalu dia menjawab: Bukankah Ibrahim pernah memohon keampunan untuk ayahnya yang musyrik?

فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ

Akupun menyebutkan hal itu kepada Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – lalu turunlah ayat tersebut.

[HR at-Tirmizi]

Dalam riwayat yang lain pula, daripada Ibn Mas’ud, dia menyebutkan,

خَرَجَ النَّبِيُّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَوْمًا إِلَى الْمَقَابِرِ، فَجَلَسَ إِلَى قَبْرٍ مِنْهَا، فَنَاجَاهُ طَوِيلًا ثُمَّ بَكَى،

Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – keluar pada suatu hari ke kawasan perkuburan, lalu dia duduk berhampiran salah sebuah kubur, lalu berdoa panjang kemudian dia pun menangis..

فَقَالَ: إِنَّ الْقَبْرَ الَّذِي رَأَيْتُمُونِي أُنَاجِي فِيهِ، قَبْرُ أُمِّي آمِنَةَ بِنْتِ وَهْبٍ وَإِنِّي اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي زِيَارَتِهَا، فَأَذِنَ لِي فِيهِ، فَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي الِاسْتِغْفَارِ لَهَا، فَلَمْ يَأْذَنْ لِي فِيهِ، وَنَزَلَ عَلَيَّ

(Setelah itu) Dia berkata: “Sesungguhnya kubur yang kalian lihat aku berdoa padanya itu adalah kubur ibuku Aminah bint Wahb, dan aku meminta izin dari Tuhanku untuk menziarahinya lalu Dia membenarkan; lalu aku meminta keizinanNya untuk memohon keampunan untuknya, Dia tidak membenarkan, dan turun kepadaku ayat tersebut.”

[HR al-Hakim]

Maka, dikumpulkan kesemua riwayat-riwayat ini dan difahami bahawa berlaku berbilang penurunan bagi surah atau ayat yang sama. Ini adalah apa yang disebutkan oleh sebahagian para ulama di dalam bidang ini.

Namun begitu, penulis menolak pandangan terdapatnya penurunan beberapa kali bagi surah atau ayat yang sama kerana tidak jelas apa hikmahnya bagi pengulangan penurunan tersebut, malah dia melihat masih boleh diusahakan tarjih (seperti yang disebutkan dalam nota 06.07.03) dalam keadaan tidak dapat dihimpunkan kesemua riwayat tersebut.

Malah dalam contoh riwayat-riwayat di atas, didapati bahawa riwayat al-Bukhari dan Muslim jauh lebih kuat dari riwayat-riwayat yang lain, maka ditarjihkan bahawa ayat tersebut turun ketika kematian Abu Talib.

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, Cet. ke-7, m/s 85-87.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Soalan:
Mungkinkah ayat quran yg sama pernah turun berkali- kali utk asbabun nuzul yg berbeza?

Maaf Bro…tiba-tiba saja saya terlintas persoalan 👆😇

BroSyarief:
Kalau mengikut nota di atas, itu kemungkinan yang asal yang dipegang oleh sebahagian ulama. Cuma seperti yang disebutkan di hujung nota, Syaikh Manna’ Qattan beranggapan sebaliknya.

Saya dah baiki sedikit nota di atas dengan tambahan ‘surah atau ayat yang sama’, bukan surah sahaja.

Apa faedahnya atau hikmahnya pengulangan surat atau ayat diturunkan berkali-kali?

Imam az-Zarkasyi (w.794H) menyebutkan,

وَقَدْ يُنَزَّلُ الشَّيْءَ مَرَّتَيْنِ تَعْظِيمًا لِشَأْنِهِ ، وَتَذْكِيرًا بِهِ عِنْدَ حُدُوثِ سَبَبِهِ خَوْفَ نِسْيَانِهِ ،

‘Ada keadaan di mana diturunkan sesuatu (ayat/surah) itu dua kali untuk menunjukkan pentingnya perkara tersebut, dan sebagai mengingatkan apabila timbul sebabnya kerana bimbang ia dilupakan,

وَهَذَا كَمَا قِيلَ فِي الْفَاتِحَةِ : نَزَلَتْ مَرَّتَيْنِ ، مَرَّةً بِمَكَّةَ ، وَأُخْرَى بِالْمَدِينَةِ ، وَكَمَا ثَبَتَ فِي ” الصَّحِيحَيْنِ

Ini adalah seperti apa yang dikatakan (berlaku) pada (sebab nuzul) surah al-Fatihah, di mana ianya turun dua kali. Sekali di Mekah, dan seterusnya di Madinah. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dalam kedua-dua Sahih (al-Bukhari & Muslim).’

[al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran]

Hujan Rahmat, Bukan Hujan Musibah

0

TAZKIRAH HARIAN UiTO:
☆Tadabbur Kalamullah 1 Rabiulakhir 1438H☆

فَلَمَّا رَأَوْهُ عَارِضًا مُسْتَقْبِلَ أَوْدِيَتِهِمْ قَالُوا هَٰذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا ۚ بَلْ هُوَ مَا اسْتَعْجَلْتُمْ بِهِ ۖ رِيحٌ فِيهَا عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya” [Surah al-Ahqaf 24]

#Hujan yang turun ada ketikanya membawa rahmat yang menggembirakan seluruh makhluk Allah swt. Namun perlu diingat jika hujan yang datang terlalu deras tanpa henti kemungkinan satu musibah atau teguran daripada Allah swt. Sama-sama kita berwaspada dan bermuhasabah.

#Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah r.ha:

وَكَانَ إِذَا رَأَى غَيْمًا أَوْ رِيحًا عُرِفَ فِى وَجْهِهِ . قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوُا الْغَيْمَ فَرِحُوا ، رَجَاءَ أَنْ يَكُونَ فِيهِ الْمَطَرُ ، وَأَرَاكَ إِذَا رَأَيْتَهُ عُرِفَ فِى وَجْهِكَ الْكَرَاهِيَةُ . فَقَالَ يَا عَائِشَةُ مَا يُؤْمِنِّى أَنْ يَكُونَ فِيهِ عَذَابٌ عُذِّبَ قَوْمٌ بِالرِّيحِ ، وَقَدْ رَأَى قَوْمٌ الْعَذَابَ فَقَالُوا (هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا)

“Jika Rasulullah saw melihat mendung atau angin, maka raut wajahnya pun berbeza.” Aisyah berkata: “Wahai Rasululah, jika orang-orang melihat mendung, mereka akan begitu girang. Mereka mengharap-harap agar hujan segera turun. Namun berbeza halnya dengan engkau. Jika melihat mendung, terlihat wajahmu menunjukkan tanda tidak suka.” Baginda pun bersabda: “Wahai Aisyah, apa yang dapat membuatku merasa aman? Siapa tahu ini adalah azab. Dan pernah suatu kaum diberi azab dengan datangnya angin (setelah itu). Kaum tersebut (iaitu kaum ‘Ad) ketika melihat azab, mereka mengatakan: “Ini adalah awan yang akan menurunkan hujan kepada kita.(HR Bukhari dan Muslim)

*Yang dimaksudkan oleh Nabi saw adalah seksaan yang menimpa kaum ‘Ad sebagaimana disebutkan dalam ayat surah al-Ahqaf diatas.

#Apabila datang hujan lebat yang luar biasa dan tidak henti-henti, maka Anas bin Malik r.a menceritakan bahawa Nabi saw akan memohon pada Allah agar cuaca kembali menjadi cerah. Nabi saw akan berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا,اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالْجِبَالِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turukanlah hujan ke dataran tinggi, gunung-gunung, bukit-bukit, perut lembah dan tempat tumbuhnya pepohonan” (HR Bukhari dan Muslim)

#Syaikh Soleh as-Sadlan mengatakan: “Doa di atas dibaca ketika hujan semakin lebat atau khuwatir hujan akan membawa bahaya”

Semoga Allah menurunkan pada kita hujan yang membawa manfaat, bukan hujan yang membawa musibah. Semoga kita dipermudahkan untuk kembali taat pada Allah dan dijauhkan dari berbagai macam musibah. Aamiiin

*Ampunilah segala dosa, kesalahan, kesilapan dan kekhilafan kami, Ya Allah*

🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah

https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

Saluran Telegram Dr. Rozaimi Romle:

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t

Sunnah Harian Rasululullah

Berdoa ketika angin bertiup dengan kencang

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ إِذَا عَصَفَتِ الرِّيْحُ قَالَ: (( اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا ، وَخَيْرَ مَا فِيْهَا ، وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا ، وَشَرِّ مَا فِيْهَا ، وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ )) [ رَوَاهُ مُسْلِمٌ: 2085 ]

Diriwayatkan dari ‘Aisyah ra. ia berkata: “Jika angin bertiup dengan kencang Nabi –shallallahu ‘alaihi wasallam- mengucapkan: “Allaahumma inni as aluka khairaha, wa khaira maa fiiha, wa khaira maa ursilat bihii, wa a’uudzu bika min syarrihaa, wasyarri maa fiiha wasyarri maa ursilat bihi.

(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu akan kebaikannya dan kebaikan yang ada padanya serta kebaikan sebab dikirimnya ia, dan aku belindung dari keburukannya dan keburukan yang ada padanya serta keburukan sebab dikirimnya ia.”
(HR. Muslim).

Salam dr sahih ke doa ni..

Dr Rozaimi menjawab :

Waalaikumussalam,
✅ Sahih

Popular

Iklan

Iklan