Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-29 hingga Ke-33

Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-29 hingga Ke-33

401
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiyah Tafsir Ayat ke-29

Sambungan Takhwif Ukhrawi

هٰذا كِتٰبُنا يَنطِقُ عَلَيكُم بِالحَقِّ ۚ إِنّا كُنّا نَستَنسِخُ ما كُنتُم تَعمَلونَ
Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!”
هَٰذَا كِتٰبُنَا
Inilah Kitab Kami,

Inilah firman Allah ﷻ yang merujuk kepada Kitab Amalan setiap makhluk. Allah ﷻ yang menjadikan kitab itu dan kerana itu Allah ﷻ kata: ‘Kitab Kami’. Allah ﷻ yang mengarahkan para malaikat untuk menulis segala perbuatan manusia di dalam Kitab Amalannya.

يَنطِقُ عَلَيْكُم بِالْحَقِّ
ia memperkatakan terhadap kamu dengan yang benar,

Allah ﷻ menggunakan perkataan يَنطِقُ dalam ayat ini. Ia memberi isyarat bahawa Kitab itu akan berkata-kata. Jadi, ini bukanlah kitab biasa. Ia hanya mengatakan perkara yang benar sahaja. Tiada yang kurang dan tidak akan ditambah dari yang dilakukan oleh makhluk.

✍🏻Seperti disebut dalam [ Kahf: 49 ]
وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

إِنَّا كُنَّا نَسْتَنسِخُ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
kerana sesungguhnya Kami telah menulis segala yang
kamu telah lakukan!

Kalimah نَسْتَنسِخُ dari kata dasar ن س خ yang bermaksud ‘menghapuskan sesuatu’ atau ‘memansuhkan sesuatu’. Namun, apabila digunakan dalam wazan إستِنسَخ, ia membawa maksud menulis, menyalin seperti perkataan nuskhah yang
bermaksud salinan kitab.

Seperti kita salin dari sesuatu kitab yang lain. Oleh itu, ia bermaksud semasa kita melakukan sesuatu malaikat ‘menyalin’ apa kita lakukan. Bayangkan, apa sahaja yang kita tulis dalam SMS, dalam Whatsapp, dalam twitter dan Facebook, malaikat pun salin apa yang kita tulis itu. 📍

Maka, ingatlah semasa kita menulis semua itu, malaikat sedang menyalin apa yang kita tulis itu. Kita sangka perkara itu kecil sahaja, tetapi itu pun ditulis oleh malaikat. Kadang-kadang perkara kecil itulah yang menyebabkan orang sakit hati, orang marah, orang berkelahi kerananya. Maka, kita akan lihat bagaimana perkara yang kita sangkakan kecil, rupanya besar di mata Allah ﷻ. Namun malaikat hanya mencatat sahaja. Mereka tidak tahu kita ikhlas atau tidak. Sebab itu ada amalan yang memang kita telah lakukan, tetapi Allah ﷻ suruh buang sahaja, kerana Allah ﷻ tahu yang kita tidak ikhlas semasa melakukannya.

Tafsir Ayat ke-30
Tabshir Ukhrawi

فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ فَيُدخِلُهُم رَبُّهُم في رَحمَتِهِ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ المُبينُ
Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmat-Nya; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.
فَأَمَّا الَّذِينَ ءآمَنُوا

Adapun orang-orang yang beriman

Iaitu orang-orang yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Mereka itu tahu apakah tauhid dan apakah syirik. Oleh kerana itu mereka meninggalkan syirik dan mengamalkan ajaran tauhid sahaja dalam kehidupan mereka.

وَعَمِلُوا الصّٰلِحَاتِ
dan beramal soleh,

Bukan sahaja mereka itu beriman, tetapi mereka juga menunjukkan iman mereka dengan mengerjakan amalan-amalan ibadat.

Amalan ibadat yang mereka lakukan itu adalah mengikut amalan ajaran Nabi sahaja dan tidak melakukan amalan bid’ah. Amalan yang bid’ah, tidak dinamakan ‘amalan soleh’. Amalan bid’ah adalah amalan sia-sia.

فَيُدْخِلُهُمْ رَبُّهُمْ فِي رَحْمَتِهِ
maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmat-Nya;

Apabila Allah ﷻ berfirman yang mereka itu dimasukkan ke dalam ‘rahmat-Nya’, itu bermaksud Allah ﷻ akan selamatkan mereka dari neraka dan masukkan ke dalam syurga. Ini kerana kita tidak akan dapat masuk ke dalam syurga melainkan dengan rahmat Allah ﷻ.

📍Ini juga sebagai dalil bahawa kita masuk syurga atas rahmat Allah ﷻ. Ini kerana kalau dengan amalan kita sepanjang hidup walau bagaimana baik pun, tidak cukup lagi kalau dibandingkan dengan nikmat syurga yang amat besar itu.

Tidak cukup ‘tambang tiket’ hendak masuk ke dalam syurga dengan amalan kita sahaja. Hanya kerana rahmat Allah ﷻ lah sahaja kita dapat masuk syurga. Jadi, kena berharap yang Allah ﷻ merahmati kita dan untuk dapatkan rahmat Allah ﷻ itu, kenalah pula beramal.

Maknanya, tidak dapat lari dari amal juga. Walaupun amal kita tidak cukup, tetapi kita kena beramal kerana kita berharap Allah ﷻ akan merahmati kita dengan amal kita yang sedikit itu.

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْمُبِينُ
yang demikian itu ialah kemenangan yang jelas.

Lafaz الْفَوْزُ bermaksud kemenangan selepas selamat dari bahaya. Mereka yang dapat masuk syurga itu bermaksud mereka juga telah terlepas dari azab neraka, dan itu adalah kemenangan yang amat besar. Kalau dapat masuk ke dalam syurga, barulah boleh dikatakan kemenangan yang jelas. Kalau setakat menang hujah di dunia, tetapi di akhirat nanti akan memasukkan mereka ke dalam neraka, itu bukanlah kemenangan namanya. Ramai golongan ahli bid’ah di negara ini yang berkedudukan tinggi, pandai berhujah menggunakan akal mereka untuk membolehkan amalan bid’ah mereka. Maka ramailah yang tertipu dengan hujah mereka kerana mereka pandai berkata-kata. Memang mereka mungkin menang kalau di dunia tetapi adakah mereka akan menang di akhirat kelak? Bolehkah mereka berhujah dengan Allah ﷻ?

Tafsir Ayat ke-31
Takhwif Ukhrawi

Bagaimana pula dengan nasib orang yang ingkar?

وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا أَفَلَم تَكُن ءآيٰتي تُتلىٰ عَلَيكُم فَاستَكبَرتُم وَكُنتُم قَومًا مُّجرِمينَ

Adapun orang-orang yang
kafir, (maka mereka akan ditempelak dengan dikatakan kepada mereka): “Bukankah ayat-ayatKu telah disampaikan dan dibacakan kepada kamu, lalu kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?

وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا

Ada pun orang-orang yang ingkar,

Dalam ayat ini dikatakan orang ‘kafir’, tetapi kita terjemahkan sebagai orang yang ‘ingkar’. Ini kerana sebenarnya, orang yang kafir itu adalah orang yang ingkar. Maka kalau kita beragama Islam, tetapi ingkar dengan arahan Allah ﷻ, adakah kita masih boleh mengaku kita orang Islam? Mungkin di mata manusia, kita masih lagi digelar muslim, tetapi apakah pula pandangan Allah ﷻ kepada kita? Itu yang kita kena fikirkan.

أَفَلَمْ تَكُنْ ءآيٰتِي تُتْلَىٰ عَلَيْكُم
Bukankah ayat-ayatKu telah dibacakan ke atas kamu

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini. Tidak diberitahu siapakah yang berkata-kata. Yang berkata-kata itu adalah Allah ﷻ.

Soalan ini ditanya sebelum mereka dihumban ke dalam neraka. Allah ﷻ sendiri berkata dalam ayat ini; Allah ﷻ bertanya kepada mereka, tidakkah ayat Al-Quran pernah dibacakan kepada mereka? Tentulah ada. Agaknya, apakah jawapan mereka yang dalam keadaan berlutut dan menundukkan kepala itu? Adakah mereka boleh menjawab kepada Allah ﷻ? Adakah kita sanggup hendak kata kepada Allah ﷻ waktu itu: “Maaf Allah ﷻ, aku tidak sempat hendak belajar, aku sibuk dengan kerja, aku sibuk dengan keluarga….”. Ayat ini mengajar kita bahawa kita kena dakwah manusia dengan Al-Quran. Kita kena bacakan ayat Al-Quran kepada manusia. Lebih-lebih lagi kita kena bacakan ayat tauhid. Lihatlah bagaimana soalan yang Allah ﷻ tanya kepada mereka adalah tentang Al-Quran. Menunjukkan betapa pentingnya Al-Quran itu.

📍Kita kena baca Al-Quran itu dan tadabbur selalu dan kena fahamkan serta mengamalkan apa yang disampaikan dalam Al-Quran itu. Tidak dapat tidak, kita kena belajar keseluruhan 30 juzuk Al-Quran itu.
فَاسْتَكْبَرْتُمْ
lalu kamu berlaku sombong,

Iaitu, mereka sombong hendak belajar dan mendengar penjelasan pendakwah tentang agama dan tentang Al-Quran.

Mereka juga sombong hendak ikut arahan-arahan Allah ﷻ dalam Al-Quran itu walaupun ia telah jelas.

Mereka tidak jelas adalah kerana tidak mahu belajar, mendengar dan membuka hati mereka kepada kebenaran. Maknanya, mereka bukannya tidak tahu langsung berkenaan Al-Quran, tetapi mereka sombong. Sikap sombong hendak mendengar, ikuti dan menerima kerana mereka rasa diri sudah besar, berasa hebat dan tahu banyak pasal agama. Selain itu mereka juga berasa selamat dan pasti masuk syurga. Adakah begitu? Tentu tidak, bukan?

Kadang-kadang manusia membuat kesilapan dengan melihat siapakah yang memberi nasihat itu. Kalau nampak macam orang yang tidak penting atau tidak ada kedudukan, mereka buat tidak layan sebab mereka sombong. Mereka rasa mereka lebih bagus dari orang yang memberi nasihat kepada mereka. Ini kerana mereka lihat diri lebih tinggi kedudukan dan kekayaan dari mereka yang memberi nasihat itu. Sepatutnya mereka melihat apakah nasihat yang disampaikan, bukannya melihat siapakah yang menyampaikannya.

Hanya kerana sombong, kadang-kadang manusia marah kalau kita beri nasihat kepada mereka. Mereka melenting balik kalau diberi nasihat. Mereka rasa kita macam merendahkan diri mereka dengan beri nasihat sebegitu.

Padahal, kita memberi nasihat sebagai peringatan sahaja. Mereka pun boleh beri nasihat kepada kita balik, apa salahnya?

وَكُنتُمْ قَوْمًا مُّجْرِمِينَ
serta kamu menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?

Oleh kerana mereka tidak mahu belajar dan memahami Al-Quran maka, mereka tidak tahu manakah yang salah dan manakah yang benar. Mereka hanya ikut apa yang disampaikan kepada mereka oleh guru-guru yang tidak semestinya benar.

📍Kalau mereka belajar Tafsir Al-Quran, mereka akan tahu bahawa ada perkara yang dilakukan selama hari ini adalah salah. Mereka dapat bandingkan ajaran manusia dan ajaran dari Al-Quran.

Namun, kerana tidak mahu belajar maka, mereka terus melakukan kesilapan itu tanpa henti. Sebagai contoh, banyak amalan bid’ah yang mereka lakukan. Mereka sangka sedang buat perkara baik dan mendapat pahala, tetapi sebenarnya mereka sedang mengumpul dosa.

Tafsir Ayat ke-32

Sambungan kata-kata Allah ﷻ dari ayat sebelum ini.

Allah ﷻ mengingatkan kembali apa kata-kata mereka semasa di dunia. Allah ﷻ memberitahu yang sebab kedua mereka masuk ke dalam neraka adalah kerana menolak adanya akhirat.

وَإِذا قيلَ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَالسّاعَةُ لا رَيبَ فيها قُلتُم مّا نَدري مَا السّاعَةُ إِن نَّظُنُّ إِلّا ظَنًّا وَما نَحنُ بِمُستَيقِنينَ

Dan apabila dikatakan (kepada kamu): Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar dan hari Qiyamah tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya kamu berkata: Kami tidak mengetahui apa dia hari Qiyamah itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali meyakininya.

” وَإِذَا قِيلَ

Dan apabila dikatakan

Allah ﷻ mengingatkan bagaimana mereka dulu pernah juga diberi dakwah. Pernah juga dikatakan kepada mereka tentang agama dan lebih-lebih lagi tentang Qiyamah semasa di dunia. Bukannya tidak datang pemberi dakwah dan penyebar tauhid kepada mereka semasa di dunia dahulu.
إِنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ
Sesungguhnya janji Allah adalah benar,

Telah diberitahu kepada mereka bahawa janji Allah ﷻ itu benar iaitu janji Allah ﷻ untuk memasukkan mereka yang ingkar ke dalam neraka. Manakala yang beriman dan membuat amalan yang soleh akan dimasukkan ke dalam syurga.
وَالسَّاعَةُ لَا رَيْبَ فِيهَا
dan Hari Qiyamah tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya

Iaitu Hari Qiyamah pasti akan terjadi, Allah ﷻ pasti akan buat. Cuma bila terjadinya, tidak ada sesiapa pun yang tahu melainkan Allah ﷻ sahaja. Telah diberitahu berkali-kali tentang perkara ini kepada mereka. Apabila telah diberitahu perkara-perkara di atas, apakah jawapan balasan dari mereka?

قُلْتُم مَّا نَدْرِي مَا السَّاعَةُ
kamu semua berkata: `Kami tidak mengetahui apa dia Hari Qiyamah itu;

Lihatlah apa kata mereka apabila Hari Qiyamah diingatkan kepada mereka. Mereka tidak mengaku yang mereka tahu tentang Hari Qiyamah. Maknanya, mereka tidak percaya. Mereka buat-buat tidak tahu.

إِن نَّظُنُّ إِلَّا ظَنًّا
kami hanya mengira ia sebagai sangkaan sahaja,

Mereka ini adalah jenis orang yang dipanggil agnostik. Mereka itu selalunya ahli saintis. Jadi kononnya semua perkara kena dibuktikan dengan sains. Kalau sains tidak dapat buktikan, mereka tidak mahu menerima. Mereka sangka mereka pandai kerana berpendidikan tinggi dan ada buat banyak kajian.

Namun, sebenarnya mereka amat bodoh. Mereka kata kejadian hari Qiyamah itu hanya sangkaan-sangkaan manusia yang bodoh sahaja, tetapi sebenarnya merekalah yang bodoh. Terdapat pula yang tidak berapa yakin dengan akhirat itu. Mereka rasa macam ada akhirat itu, tetapi kadang kala mereka rasa mungkin tidak ada. Ini pun manusia yang ada masalah.

وَمَا نَحْنُ بِمُسْتَيْقِنِينَ

dan kami tidak sekali-kali meyakininya.

Mereka tidak yakin tentang akan datangnya Hari Qiyamah itu. Mereka kata ia hanya syak orang-orang yang bodoh sahaja. Pada mereka, Qiyamah itu tidak benar. Mereka pun jenis tidak mahu mencari kebenaran dan tidak kisah. Jika mereka jenis yang hendak mencari kebenaran, tentu akan terjumpa bukti-bukti dan hujah-hujah yang mengatakan Hari Qiyamah itu pasti terjadi.

Namun, kerana mereka sendiri tidak mahu Hari Qiyamah itu terjadi, jadi hati mereka telah berat kepada mengatakan Hari Qiyamah itu tidak akan terjadi. Oleh kerana tidak percaya kepada akhiratlah yang menyebabkan manusia melakukan banyak kesalahan dan dosa. Akhirnya, mereka akan masuk ke Neraka dan akan rasa amat rugi sekali.

Namun, apa lagi mereka akan buat? Waktu itu sudah terlambat.

Tafsir Ayat ke-33

Sambungan Takhwif Ukhrawi.

Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang tidak percaya dengan Hari Qiyamah.

Bila manusia tidak yakin benar-benar dengan adanya Hari Qiyamah, mereka tidak takut melakukan dosa. Maka, apa yang akan terjadi pada Hari Qiyamah itu nanti? Allah ceritakan untuk menakutkan kita.

وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ
Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

وَبَدَا لَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا عَمِلُوا
Dan nyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan,

Dosa-dosa yang manusia telah lakukan semasa di dunia akan menjelma di hadapan mata mereka.

Dosa-dosa itu akan menjelma dalam bentuk fizikal, boleh nampak manakah dosa mereka. Maknanya, dosa mereka semasa di dunia sudah menjadi azab neraka. Semasa mereka buat dosa itu di dunia, nampak macam tidak ada apa-apa. Tetapi kesannya akan menjelma di akhirat kelak. Bayangkan betapa terkejutnya nanti!

وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِءونَ
serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

Dulu mereka ejek-ejek tidak percaya kepada Hari Akhirat, sekarang sudah nampak di depan mata mereka. Azab itu akan meliputi mereka, sampai mereka tidak boleh lari lagi! Na’uzubillah min zalik! Mereka juga dulu tidak percaya kepada azab-azab yang dijanjikan kepada mereka, malah dijadikan sebagai bahan ejekan sahaja. Sebagai contoh, mereka kata: “Ah, kami tak kisah kalau makan buah Zaqqum tu, sedap kot buah tu!”.

Nah, di akhirat nanti mereka akan diseliputi dengan azab-azab itu.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Jatsiyah
(Ayat 29 – ayat 33)

📍Anggota tubuh menjadi saksi di Mahsyar semasa diberi buku amalan?

🔵 Itu sebelum dimasukkan ke dalam neraka, telah dibawa sampai ke luar neraka dan kemudian tubuh badan mereka berkata-kata. Rujuk Surah [ Fussilat ].

📍Adakalanya bukannya kita tidak tahu perkara itu salah dan berdosa, tetapi tetap juga dosa dilakukan. Bagaimana hendak timbulkan rasa takut berbuat dosa itu?

🔵 Buat juga dosa walaupun tahu kerana hati tidak yakin ada akhirat. Rasa macam tahu, tetapi tidak yakin. Maka, kena selalu baca ayat-ayat tentang akhirat. Bila selalu baca, akan timbul takut dalam hati kerana kadang kala dengan intelek sahaja tidak cukup. Kena bawa ke dalam hati.

📍Dosa-dosa itu akan menjelma waktu di dataran Mahsyar atau setelah manusia itu dicampak ke dalam neraka?

🔵 Ketika di Mahsyar dan juga di Neraka sekali.

📍Adakah ini dalil tidak boleh jawab “tidak tahu” depan Allah ﷻ? “Bukankah ayat-ayat-Ku telah dibacakan ke atas kamu?

🔵 Ya, tepat sekali. Semasa di akhirat nanti tidak ada alasan lagi atas kesalahan yang kita telah lakukan.

📍Adakah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah itu kita masuk syurga setelah kita beramal dengan ikhlas, tidak melakukan perkara bid’ah serta maksiat walau sebesar zarah ?

🔵 Rahmat itu hak Allah ﷻ. Allahyang tentukan. Kalau kita beramal soleh dan ikhlas sekali pun, tidak cukup untuk masukkan kita ke dalam syurga. Maka kena terus beramal dan berharap.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan