Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-165 hingga Ke-167

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-165 hingga Ke-167

2580
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah 
Tafsir Ayat Ke-165

Ayat zajrun, iaitu ayat ancaman daripada Allah‎ ﷻ. . Ini adalah kepada mereka yang tidak menggunakan akal dan hati mereka untuk berfikir.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دونِ اللَّهِ أَندادًا يُحِبّونَهُم كَحُبِّ اللَّهِ ۖ وَالَّذينَ آمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ ۗ وَلَو يَرَى الَّذينَ ظَلَموا إِذ يَرَونَ العَذابَ أَنَّ القُوَّةَ لِلَّهِ جَميعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَديدُ العَذابِ

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya milik bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا

Ada juga di antara manusia yang mengambil pujaan-pujaan lain selain daripada Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini telah disebutkan jasa-jasa Allah ‎ﷻ. Maka, kalau Allah ‎ﷻ sahaja yang berjasa, maka puja Allah ‎ﷻlah sahaja sepatutnya. Namun ada yang puja juga selain Allah ‎ﷻ. Apabila disebut ‘selain Allah’, ada empat perkara yang mereka puja selain Allah ‎ﷻ iaitu: Roh Nabi, Wali, Jin, Malaikat.

Perkataan أَنْدَادًا bermaksud benda yang mereka puja sama seperti Allah ‎ﷻ. Kalimah ini asalnya bermaksud ‘tandingan’. Sembahan-sembahan itu menjadi tandingan kepada Allah ‎ﷻ pula. Sedangkan Allah ‎ﷻ tidak ada tandingan. Mereka percaya ada sedikit sebanyak kuasa Allah ‎ﷻ yang ada pada pujaan mereka itu. Mereka ganti Allah ‎ﷻ dengan أَنْدَادًا dalam sesetengah perkara.

يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ

Mereka sayang kepada pujaan-pujaan mereka itu seperti mereka sayang kepada Allah;

Mereka bukan puja sahaja tetapi mereka kasih kepada pujaan mereka itu. Mula-mula tidak begitu, namun lama kelamaan jadi begitu. Sebagai contoh, ibadah iktikaf. Iktikaf di masjid dilakukan adalah ibadah untuk Allah ‎ﷻ di masjid tetapi ada yang bertapa di kubur tok wali, yang tawaf kubur wali pun ada kerana mereka sayang sangat kepada tok wali itu.

Antara pujaan yang dimaksudkan adalah tok guru mereka, guru-guru mereka dan ustaz-ustaz mereka. Apabila ayat Al-Qur’an dibawakan kepada mereka, mereka tolak hujah ayat-ayat Al-Qur’an itu dan mereka bawa hujah tok guru mereka. Mereka kata ‘guru kami kata begini dan begitu’.

Ini dipanggil ‘syirik tok guru’. Sebagai contoh, apabila kita beritahu bahawa tauhid itu kena berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja, mereka akan jawab: “takkanlah tok guru-tok guru itu salah, mereka pun pandai juga”. Mereka kata lagi: “takkan guru mereka itu nak masuk neraka” dan berbagai-bagai lagi alasan yang mereka berikan. Mereka kata ada tok guru yang kata boleh pakai perantaraan (tawassul).

Ini juga dinamakan shirk fi hubb (syirik dalam kecintaan). Mereka lebih cintakan benda lain dan makhluk lain lagi daripada Allah ‎ﷻ. Apabila هُمْ dimasukkan dalam perkataan يُحِبُّونَهُمْ itu, ia bermaksud yang dicintai itu adalah benda-benda yang tidak bernyawa dan bernyawa sekali. Kalau hanya merujuk kepada benda-benda yang tidak bernyawa, perkataan yang digunakan adalah يحبونها.

Kita sepatutnya sayang Allah ‎ﷻ dalam hati kita. Namun masalahnya, banyak antara kita yang membezakan antara intelek dan sayang. Kita tahu sesuatu itu benar, tetapi tidak masuk ke dalam hati kita. Sebab itu orientalis yang belajar tentang Allah ‎ﷻ dan agama Islam, tidak masuk Islam. Mereka cuma belajar sahaja tentang Islam, tetapi mereka tidak sayang kepada Islam kerana cinta tidak masuk ke dalam hati mereka. Kerana itulah dalam bab ibadah, ia adalah perbuatan yang dilakukan kepada sesuatu yang kita cintai. Maka kita sembah Allah ‎ﷻ dengan perasaan cinta kepada-Nya.

وَالَّذينَ آمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ

Dan orang-orang yang beriman lebih sayang kepada Allah;

Bagaimana pula sifat orang mukmin? Tidak ada yang lain yang mereka lebih sayang lebih daripada Allah ‎ﷻ. Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka dan diterangkan apakah maksudnya, mereka senang untuk terima.

Apakah tanda cinta? Sesiapa yang mencintai sesuatu/seseorang, mereka akan sentiasa menyebut-nyebutnya. Apakah yang kita selalu sebutkan dalam hidup kita? Adakah sukan, fesyen, filem, politik, teknologi? Apa yang kita selalu sebutkan itulah yang kita sayangkan sangat. Kalau kita sentiasa menyebut-nyebut perkara itu selain daripada Allah ‎ﷻ, maka kita sayangkan perkara itu lebih daripada Allah ‎ﷻ.

وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ

Dan ketika orang-orang yang buat syirik itu, melihat api neraka

Inilah ayat zajrun. Ini adalah ancaman kepada orang yang degil. Kalaulah orang yang membuat syirik itu boleh nampak apa yang mereka akan terima.

أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

tahulah mereka bahawa kekuatan itu hanya milik Allah semua sekali.

Apabila nampak azab di hadapan mata, barulah nanti orang-orang yang berbuat syirik itu akan nampak kekuatan Allah ‎ﷻ kerana waktu itu tidak ada pelindung lagi selain daripada Allah ‎ﷻ. Pujaan mereka semasa mereka hidup di dunia dahulu, seperti Roh Nabi, wali, jin dan malaikat tidak dapat menolong mereka langsung.

Semasa mereka di dunia, mereka tidak menggunakan akal mereka yang sihat untuk melihat kekuatan Allah ‎ﷻ. Macam seorang budak yang tidak takut kepada polis sebab tidak nampak polis tetapi apabila mereka ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap, barulah mereka nampak takut dan rasa hendak terkincit. Begitulah juga manusia yang melakukan syirik di akhirat kelak. Mereka akan nampak kekuatan Allah ‎ﷻ pada waktu itu.

وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ

dan Allah itu sangat keras azab yang Dia akan beri.

Mereka akan dikenakan dengan azab yang amat keras. Namun pada waktu itu sudah terlambat kerana mereka hanya nampak azab itu apabila di akhirat kelak. Waktu itu sudah terlambat untuk melakukan apa-apa. Maka di dunia inilah kita hendak bersedia dan melakukan amal yang benar. Hendaklah belajar supaya kita dapat kefahaman yang tepat seperti kehendak Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-166

Ini pula adalah berkenaan tok guru yang mengajar ilmu salah. Segala perbuatan salah dalam agama dan amalan selalunya bukanlah anak murid buat sendiri, tetapi diajar oleh guru-guru dan pemimpin yang sesat.

Mereka ikut sahaja apa yang diajar kepada mereka tanpa usul periksa. Sekarang Allah ‎ﷻ hendak menceritakan apakah yang pemimpin-pemimpin itu akan kata di akhirat kelak.

إِذ تَبَرَّأَ الَّذينَ اتُّبِعوا مِنَ الَّذينَ اتَّبَعوا وَرَأَوُا العَذابَ وَتَقَطَّعَت بِهِمُ الأَسبابُ

(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.

إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا

Ketika pemimpin-pemimpin ajaran sesat itu melepaskan diri;

Yang dimaksudkan dengan pemimpin-pemimpin itu adalah guru-guru yang mengajar ajaran yang salah kepada anak-anak murid mereka. Mereka mengajar bukan ilmu dari Al-Qur’an dan sunnah.

Banyak yang menggunakan kitab karangan manusia sahaja. Tidak tentu betul kitab-kitab itu. Umat sepatutnya belajar Al-Qur’an dan Hadith terlebih dahulu baru boleh belajar kitab-kitab yang lain.

Ini kerana apabila mereka sudah mahir dengan Al-Qur’an dan Hadith, mereka akan dapat menilai sama ada kata-kata manusia itu betul atau tidak.

Malangnya kita sekarang dalam zaman yang hanya mengikut tanpa usul periksa. Hanya apabila seseorang ustaz itu terkenal, ramai pengikut, sudah masuk tv, masyarakat kita akan pandang mereka sebagai hujah utama mereka. Bukan Al-Qur’an dan sunnah lagi yang mereka ikut, tetapi manusia.

Masalahnya, mengikut orang ini pun satu masalah yang besar dalam masyarakat kita. Bukan dalam hal agama sahaja. Dalam hal kehidupan pun begitu juga kerana ada yang tidak kisah pun hal agama dan pemimpin mereka bukanlah ikutan-ikutan mereka dalam agama.

Sebagai contoh, yang muda hanya menjadikan artis-artis sebagai model kehidupan mereka. Padahal artis-artis itu kebanyakannya tidaklah mempunyai akhlak yang baik untuk diikuti.

Namun itulah yang terjadi sekarang. Amat menakutkan apakah yang akan terjadi kepada mereka. Kadang-kadang mereka mengikut orang lain adalah kerana mereka takut mereka dilihat ganjil dalam masyarakat.

Mereka takut kalau mereka berpakaian lain daripada orang lain. Mereka takut kalau mereka bertudung dan menutup aurat, orang akan melihat mereka pelik.

Begitulah juga dalam hal agama. Ramai yang takut kalau mereka tidak pergi kenduri yang ada majlis bersanding, orang akan kutuk mereka.

Mereka takut kalau mereka tidak pergi ke Majlis Tahlil, nanti apa orang akan kata. Mereka takut mereka dikatakan tidak bergaul dengan masyarakat.

Mereka sanggup melakukan perkara syirik, hanya supaya mereka dianggap sebahagian daripada masyarakat. Itulah sebabnya mereka mengikut ustaz itu, ustaz ini, imam itu dan imam ini.

Macam sekarang, yang popular adalah golongan Habib yang entah datang dari mana, sebab dahulu tidak ada. Maka golongan inilah yang mereka ikuti dan sanjungi. Nanti orang-orang yang mereka ikuti itu akan berlepas diri dari mereka.

مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا

daripada orang-orang yang mengikutinya;

Iaitu anak-anak murid mereka yang mereka ajar dahulu semasa di dunia. Anak-anak murid itu hanya ikut sahaja membuta-tuli.
Guru-guru sesat dan pemimpin itu berlepas diri dari bertanggungjawab.

Dia kata bukan dia yang paksa anak-anak murid dia ikut sesat macam dia. Dia kata anak-anak murid itu sahaja yang sesat sendiri kerana ada dia ajak juga tetapi ada yang tidak ikut pun.

وَرَأَوُا الْعَذَابَ

ketika mereka melihat api neraka;

Kedua-dua pihak akan melihat api neraka itu – yang mengikut dan juga yang kena ikut. Apabila tengok sahaja api neraka, tok guru itu melepaskan diri daripada anak-anak murid mereka.

وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ

dan putuslah pertalian antara mereka;

Waktu itu, terputus segala hubungan antara mereka. Tidak ada lagi hubungan antara guru dan murid. Putus sudah hubungan kasih sayang antara mereka.

Dahulu semasa di dunia, anak murid itu puja dan sanjung guru dia sampai sujud pun ada. Dia puji dan angkat melambung – guru itu cahaya lah, boleh buat itu dan ini lah, guru dia hafal itu dan ini dan macam-macam lagi yang mereka puji. Namun, sudah tidak berlaku di akhirat nanti.

Pada hari itu, bukan sahaja antara guru dan murid, tetapi juga antara suami dan isteri. Antara ibu dan anak.

Tafsir Ayat Ke-167

Apa pula kata pengikut mereka yang sesat? Mereka itu telah sesat kerana telah mengikut guru mereka yang sesat.

وَقالَ الَّذينَ اتَّبَعوا لَو أَنَّ لَنا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنهُم كَما تَبَرَّءوا مِنّا ۗ كَذٰلِكَ يُريهِمُ اللَّهُ أَعمالَهُم حَسَراتٍ عَلَيهِم ۖ وَما هُم بِخارِجينَ مِنَ النّارِ

Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!” Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.

وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا

Dan berkata orang-orang yang mengikuti;

yang mengikuti tok guru ajaran salah semasa di dunia.

لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً

“Kalaulah kami ada peluang untuk kembali semula ke dunia”

Ini adalah khayalan semata-mata. Tidak akan akan ada peluang untuk kembali ke dunia. Banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an berkenaan mereka yang menyesal dan hendak pulang ke dunia kembali. Namun ini tidak mungkin kerana dunia telah hancur.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu, eloklah buat kebaikan dan jaga agama semasa hidup ini lagi, kerana sudah tidak ada peluang kedua di akhirat. Jangan ambil mudah tentang agama – ada ustaz itu kata ini boleh, itu boleh, kamu terus ikut sahaja. Nanti kamu menyesal tidak sudah.

فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ

tentu kami akan melepaskan diri daripada mereka

Iaitu daripada guru-guru mereka atau ikutan-ikutan mereka semasa di dunia dahulu.

كَمَا تَبَرَّءُوا مِنَّا

sepertimana mereka sekarang melepaskan diri dari kami pada hari ini

Kejadian ini terjadi di Padang Mahsyar. Mereka ingat guru-guru itu akan membela mereka, tetapi tidak. Guru-guru itu pun ada masalah mereka sendiri.

كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ

Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amalan-amalan mereka itu

Allah ‎ﷻ cerita sebab hendak beritahu betapa mereka amat menyesal. Amalan-amalan mereka dahulu, mereka amat bangga. Mereka amalkan setiap hari. Mereka rasa bangga sebab mereka dapat belajar amalan itu yang guru mereka beri khas kepada mereka.

Dia pun tidak tahu dari mana amalan itu asalnya, tetapi bila guru dia bagi, dia berasa bangga sungguh. Dia amalkan sampai tidak tidur malam. Kalau ada orang tegur amalan dia salah, melenting dia. Macam-macam kata nista dia akan keluarkan untuk mempertahankan amalan salahnya itu.

Namun apa akan jadi dengan amalannya itu?

حَسَرَاتٍ عَلَيْهِمْ

menjadi bahan penyesalan ke atas mereka;

Mereka akan menyesal kerana belajar daripada guru yang salah itu yang telah mengajar mereka amalan-amalan yang salah. Antaranya guru-guru itu mengajar cara melakukan tawassul yang mereka kata baik.

Allah ‎ﷻ akan tunjukkan kepada mereka amalan-amalan yang salah semasa di dunia dahulu sebagai salah satu seksa kepada mereka. Sudahlah diseksa dengan bahan api dan pukulan dan sebagainya, ditambah lagi dengan seksaan mental dengan ditunjukkan apakah perbuatan mereka yang menyebabkan mereka masuk neraka itu.

Perkataan حَسَرَاتٍ itu bukan sahaja bermaksud ‘menyesal’ tetapi menyesal dan menyesal dan menyesal tanpa sudah.

وَمَا هُمْ بِخَارِجِينَ مِنَ النَّارِ

Dan mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka.

Penyelesalan mereka itu tidak akan dapat mengeluarkan mereka dari neraka. Kalau di dunia, ada orang yang buat salah dan menyesal dengan kesalahan mereka, kita akan lembut hati dan beri mereka peluang. Namun ini tidak akan berlaku di neraka nanti.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan