Utama Bilik (09) Ulum Al-Quran 06.12.01 Kesinambungan di antara Ayat-ayat dan Surah-surah ( Bhg 01)

06.12.01 Kesinambungan di antara Ayat-ayat dan Surah-surah ( Bhg 01)

89
0
Iklan

#271218 Bilik (09) Ulum al-Quran – Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)

Oleh : Bro Syarief

06.12.01 Kesinambungan di antara Ayat-ayat dan Surah-surah – الْمُنَاسَبَاتُ بَيْنَ الْآيَاتِ وَالسُّوَرِ (Bhg 01)

Sebagaimana pengetahuan mengenai Sebab Nuzul memberi kesan terhadap kefahaman dan pentafsiran ayat, begitu juga peranan kesinambungan di antara ayat-ayat membantu pentafsiran yang baik dan memberi kefahaman yang mendalam. Disebabkan itulah, sebahagian ulama memberikan perhatian istimewa untuk menulis bab ini dalam karya yang khusus.

Di dalam bahasa arab, perkataan Munasabah (المناسبة) membawa maksud Muqarabah (المقاربة) dengan erti menghampiri (dalam bentuk sifat) atau menyerupai.

Adapun di bawah topik ini, ia merujuk kepada hubung kait di antara frasa dengan frasa di dalam satu ayat, atau ayat dengan ayat yang terdapat di lokasi yang berbeza, malah di antara surah dengan surah.

Faedah mengetahui Munasabah (المناسبة) atau hubung kait ini adalah untuk menggarap kesesuaian makna (mengikut konteks), membuktikan mukjizat al-Quran dari sudut bahasanya, (juga membuktikan) ketepatan penjelasannya, sistematiknya kata-katanya dan hebatnya gaya (bahasanya).

Sebagaimana Allah sendiri menggambarkan di dalam ayat berikut,

كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

“(Al-Quran ialah) Sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

[Hud(11):1]

az-Zarkasyi (w.794H) menyebutkan,

وَفَائِدَتُهُ: جَعْلُ أَجْزَاءِ الْكَلَامِ بَعْضِهَا آخِذًا بِأَعْنَاقِ بَعْضٍ، فَيَقْوَى بِذَلِكَ الِارْتِبَاطُ وَيَصِيرُ التَّأْلِيفُ حَالُهُ حَالُ الْبِنَاءِ الْمُحْكَمِ الْمُتَلَائِمِ الْأَجْزَاءِ

‘Faedah (dari ilmu munasabah ini): Ia menjadikan bahagian-bahagian ayat-ayat al-Quran ini saling mendokong sebahagian ayat-ayat yang lain, lalu ia menguatkan kadar hubung kait dan keadaan penulisan ini menjadi bahagian binaan yang kukuh dengan bahagian-bahagian cabangnya saling selaras dan sesuai.’

[al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran]

Ibn al-‘Arabi (w.542H) pula menyebutkan,

ارْتِبَاطُ آيِ الْقُرْآنِ بَعْضُهَا بِبَعْضٍ، حَتَّى تَكُونَ كَالْكَلِمَةِ الْوَاحِدَةِ، مُتَّسِقَةَ الْمَعَانِي، مُنْتَظِمَةَ الْمَبَانِي، عِلْمٌ عَظِيمٌ

‘Saling kaitan sebahagian ayat-ayat al-Quran dengan sebahagian yang lainnya, sehingga kesemua itu menjadi bagaikan satu kalimah yang sama, makna-maknanya seiring (tidak bercanggah), binaannya tersusun.. ini merupakan ilmu yang hebat.’

[Siraj al-Muridin]

(Bersambung..)

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, Cet. ke-7, m/s 91-92.
__
#BroSyariefShares
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً

Artikel sebelumnyaHadis 77: Selipar Tidak Berbulu Bertali Qibal
Artikel seterusnyaPLAYLIST KULIAH VIDEO YOUTUBE TAFSIR SURAH-SURAH MUSABBIHAT (2019 – 2022)

Komen dan Soalan