Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-81 hingga Ke-85

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-81 hingga Ke-85

180
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-81

وَلَو كانوا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَالنَّبِيِّ وَما أُنزِلَ إِلَيهِ مَا اتَّخَذوهُم أَولِياءَ وَلٰكِنَّ كَثيرًا مِّنهُم فٰسِقونَ

Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi dan kepada apa yang diturunkan kepadanya (Nabi), nescaya mereka tidak akan mengambil orang-orang musyrikin itu menjadi penolong-penolong, tetapi kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang fasik.

وَلَو كانوا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَالنَّبِيِّ

Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi

Jika mereka dapat beriman kembali kepada Allah ‎ﷻ dan ikut sunnah Nabi, tentu sifat mereka akan menjadi lain.

وَما أُنزِلَ إِلَيهِ

dan kepada apa yang diturunkan kepadanya (Nabi),

Dan kalaulah mereka beriman kepada wahyu dalam Kitab Taurat yang diturunkan kepada para Nabi itu; kalau zaman mereka, kenalah mereka beriman dengan Kitab Taurat dan Injil dan kalau zaman sekarang, maka kena beriman kepada wahyu Al-Qur’an. Jangan tinggalkan pemahaman kepada Al-Qur’an ini. Kalau kita tinggalkan, maka kita akan jadi seperti umat terdahulu yang sesat daripada kebenaran.

مَا اتَّخَذوهُم أَولِياءَ

nescaya mereka tidak akan mengambil orang-orang musyrikin itu menjadi wali,

Jika mereka beriman dengan Allah ‎ﷻ, dengan Nabi dan dengan wahyu, nescaya orang beriman tidak akan menjadikan golongan kafir musyrik itu sebagai wali – sebagai teman rapat dan penolong kerana Allah ‎ﷻ, Nabi dan wahyu menentang syirik dan mereka tidak akan suka untuk berkawan rapat dengan golongan yang mengamalkan syirik.

وَلٰكِنَّ كَثيرًا مِّنهُم فٰسِقونَ

tetapi kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang fasik.

Namun malangnya ramai dalam kalangan mereka yang fasik dan tidak mengikut agama sendiri. Mereka itu fasik yang bermaksud keluar daripada taat kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak tahu apa yang mereka perlu taati; dan kalau mereka tahu pun, mereka tidak prihatin dan tidak ambil kisah dengan apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat.

Tafsir Ayat Ke-82

Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu tahap kedegilan Yahudi dan Musyrikin lebih kurang sama sahaja. Ini adalah kerana hubungan rapat mereka dan persamaan akidah di antara mereka. Semoga kita diselamatkan daripada mereka.

۞ لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النّاسِ عَدٰوَةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا اليَهودَ وَالَّذينَ أَشرَكوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا الَّذينَ قالوا إِنّا نَصٰرىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّ مِنهُم قِسّيسينَ وَرُهبانًا وَأَنَّهُم لا يَستَكبِرونَ

Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النّاسِ عَدٰوَةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا اليَهودَ

Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi

Kita boleh lihat bagaimana orang yang paling keras menentang orang beriman adalah golongan Yahudi. Sampai ke hari ini, kita boleh lihat bagaimana mereka itu menentang dan menjalankan usaha untuk memusnahkan Islam.

Ini adalah kerana Islam telah membuka rahsia kesesatan mereka dan tipu helah yang mereka telah lakukan zaman berzaman. Ini banyak disebut dalam surah Baqarah. Surah terawal dalam Al-Qur’an sudah menceritakan tentang kesesatan dan diayah palsu mereka. Bayangkan, surah yang awal sudah sebut tentang mereka.

Jadi kalau Islam berkembang dan semakin ramai yang masuk Islam, tentulah mereka susah lagi untuk mengawal dunia. Oleh itu, mereka akan tetap cuba menjatuhkan Islam. Dan cara yang mereka lakukan adalah pelbagai kerana usaha mereka memang kuat.

وَالَّذينَ أَشرَكو

dan orang-orang musyrik.

Selain daripada Yahudi, yang amat memusuhi Islam adalah golongan kafir syirik. Mereka (musyrikin dan Yahudi) kadang-kadang bergabung dalam menentang Islam. Golongan musyrik amat berlawanan sekali dengan Islam.

Kalau zaman sekarang, kita boleh lihat bagaimana golongan Hindu amat membenci Islam. Kalau di negara yang mereka kuat, seperti India, mereka telah memusnahkan masjid-masjid dan juga menumpahkan darah umat Islam dengan banyak sekali. Dan apabila ada pertempuran antara Palestin dan Israel, kita boleh nampak ada sokongan kepada Yahudi itu daripada golongan ekstremis Hindu. Mereka sokong kerana kebencian mereka yang sama terhadap Muslim. Kerana itulah pegangan manusia: (Musuh kepada musuh aku adalah kawan aku).

وَلَتَجِدَنَّ أَقرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا الَّذينَ قالوا إِنّا نَصٰرىٰ

Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”.

Sebaliknya, orang yang paling mudah bersahabat, atau mudah kasih kepada orang beriman adalah mereka yang kata mereka itu Nasara (Kristian). Sebab itu pada zaman Nabi, orang Nasara lebih banyak masuk Islam berbanding golongan Yahudi.

Ini termasuklah Raja Najashi iaitu raja Habashah, tempat umat Islam telah melakukan hijrah yang pertama. Ini kerana mereka itu lebih mesra kepada orang Islam, mereka lebih mudah menerima dakwah. Terutama sekali mereka yang ada prihatin kepada agama, kerana mereka mencari kebenaran dan mereka boleh nampak kesalahan yang ada dalam agama Kristian.

ذٰلِكَ بِأَنَّ مِّنهُم قِسّيسينَ وَرُهبانًا

Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib,

Ini juga adalah kerana mereka ada ciri-ciri yang boleh menjadi orang baik dan beriman. Bukanlah kesemua daripada mereka, tetapi ada dalam kalangan mereka, iaitu golongan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat mereka.

Dua golongan ini jenis yang tidak sombong untuk menerima kebenaran. Mereka prihatin kepada agama, dan mereka telah mencari-cari kebenaran dan kerana itu mereka boleh terima kebenaran apabila kebenaran itu sampai kepada mereka.

Lafaz قِسّيسينَ adalah golongan para pendeta mereka, iaitu juru khutbah dan ulama’ mereka; bentuk tunggalnya adalah qasisun dan qissun, adakalanya dijamakkan dalam bentuk qususun. Sedangkan kalimah رُهبانًا adalah bentuk jamak daripada rahib yang ertinya ‘ahli ibadah’, diambil daripada akar kata rahbah yang ertinya ‘takut’.

وَأَنَّهُم لا يَستَكبِرونَ

kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.

Mereka mengenangkan ajaran Nabi Isa عليه السلام mengajak kepada kelembutan. Maka, mereka itu memang ramai yang berhati lembut.

Mereka juga jenis yang tidak mencari kedudukan dalam dunia. Yang mereka mahu adalah kebenaran kerana itu mereka tidak sombong untuk menerima kebenaran. Walaupun mereka terpaksa meninggalkan kedudukan mereka yang tinggi dalam agama mereka.

Sehingga sekarang ada paderi dan ahli agama mereka yang meninggalkan Kristian dan masuk Islam. Dan daripada merekalah, kita dapat tahu banyak sumber-sumber kesesatan dan rahsia mereka.

Sebagai contoh, kita tahu pergerakan mereka untuk mengkristiankan umat Melayu di negara ini dengan menggunakan duit dan cara-cara dakwah mereka. Ini adalah kerana, mereka yang telah terlibat dalam usaha itu telah masuk Islam dan membuka rahsia itu. Maka,kerana itu kita kena berhati-hati dengan gerakan ini. Caranya adalah dengan memberi ilmu yang benar kepada masyarakat kita kerana yang masuk agama Kristian itu kerana tertipu dengan diayah mubaligh mereka. Sedangkan agama Kristian itu bukannya ada kekuatan pun, tetapi orang jahil tetap boleh tertipu.

Tafsir Ayat Ke-83

Sambungan tentang sifat orang Nasara kepada Islam.

وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ ۖ يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ

Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad s. a. w.).

وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ

Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul

Ada dalam kalangan Nasara yang berhati baik, prihatin kepada kebenaran. Mereka juga belajar tentang Kitab Injil mereka. Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang sekumpulan 30 orang dari Habashah yang datang mengadap Nabi ﷺ dan dibacakan Al-Qur’an kepada mereka. Dan apa terjadi apabila mereka mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan kepada mereka?

تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ

kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata

Apabila mereka dengar Al-Qur’an dibacakan kepada mereka dan mereka faham, kamu akan tengok mata mereka dicucuri air mata. Hati mereka telah tersentuh dan kesannya adalah mereka akan menangis.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi ‘mata’ dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi ‘mata air’.

مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ

disebabkan kebenaran yang telah mereka ketahui

Ini berlaku apabila memahami makna yang ada dalam Al-Qur’an kerana mereka faham makna yang disampaikan kepada mereka. Mereka nampak kebenaran Al-Qur’an yang sama dengan apa yang mereka tahu daripada kitab mereka sendiri. Antaranya, mereka lihat sifat Nabi Muhammad ﷺ itu sama sahaja seperti yang disebut dalam kitab tentang kedatangan Nabi akhir zaman.

Oleh kerana itu, yang akan mendapat reaksi ini adalah mereka yang kenal agama sahaja dan yang berhati lembut dan mahu kepada kebenaran. Ini kerana mereka nampak kebenaran dalam ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Kalau orang biasa dan tidak kisah tentang kebenaran, mereka mungkin tidak nampak.

Allah ‎ﷻ menceritakan tentang air mata mereka kerana Allah ‎ﷻ menilai tinggi perasaan mereka itu dan titisan air mata mereka. Mereka menangis kerana tersentuh dengan kebenaran dan ini adalah harga air mata yang mahal. Sampaikan Allah ‎ﷻ memasukkan dalam Al-Qur’an tentang kejadian itu. Pernah Abu Bakr رضي الله عنه berkata tentang ayat ini: “Itulah yang kami biasa lakukan, sebelum hati kami menjadi keras!” (Masya Allah, ini amat menakutkan, kerana kita sendiri tidak menitis air mata apabila membaca ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Adakah kerana hati kita telah keras sampaikan tidak tersentuh dengan kebenaran?)

Daripada ayat ini, sepatutnya menggerakkan kita untuk menyampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ kepada mereka. Kerana mereka itu mempunyai hati yang lembut dan mudah untuk menerima kebenaran. Mereka sendiri bukannya orang jahat, malah mereka banyak menolong orang lain, tidak kira agama. Oleh itu, kena lakukan dakwah cara lembut kepada mereka.

يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ

seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi

Apabila hati mereka telah terbuka dan mata mereka telah mengalirkan air mata, maka lidah mereka pun berkata: “Kami juga telah beriman. Maka jadikanlah kami daripada golongan yang bersaksi atas keimanan.”

Sampai sekarang memang ada lagi jenis mereka yang sebegini. Semakin hari semakin ramai puak Kristian yang masuk Islam setelah mereka melihat kebenaran. Kita pun tahu daripada statistik yang menunjukkan negara barat semakin ramai penduduknya yang masuk Islam berduyun-duyun. Nanti tidak lama lagi mereka akan lebih ramai daripada kita, kerana orang kita tidak menjaga agama ini. Maka Allah ‎ﷻ akan tukarkan kepada orang lain.

Tafsir Ayat Ke-84

Ini kata-kata mereka lagi.

وَما لَنا لا نُؤمِنُ بِاللهِ وَما جاءَنا مِنَ الحَقِّ وَنَطمَعُ أَن يُدخِلَنا رَبُّنا مَعَ القَومِ الصّٰلِحينَ

Mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, padahal kami sangat ingin agar Tuhan kami memasukkan kami ke dalam golongan orang-orang yang saleh?”.

وَما لَنا لا نُؤمِنُ بِاللهِ

Mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah?

Mereka kata takkanlah mereka tidak mahu beriman kepada Allah ‎ﷻ sedangkan Dia adalah Tuhan kepada semua alam ini? Jika mereka tidak beriman juga, maka bodohlah mereka.

وَما جاءَنا مِنَ الحَقِّ

dan kepada kebenaran yang datang kepada kami?

Dan mereka kata takkanlah mereka tidak beriman kepada kebenaran sedangkan kebenaran itu sudah datang pun kepada mereka. Benda yang benar di hadapan mata, tetapi kalau tidak mahu percaya lagi, maka itu adalah sesuatu yang amat bodoh.

Begitulah kalau kebenaran sudah masuk meresap ke dalam hati manusia. Mereka sanggup bertukar pendirian. Malangnya ada dalam kalangan orang Islam sendiri yang apabila disampaikan dengan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai dalil dan ditambah dengan hadith pun, mereka sanggup tolak lagi.

وَنَطمَعُ أَن يُدخِلَنا رَبُّنا مَعَ القَومِ الصّٰلِحينَ

kami sangat ingin agar Tuhan kami memasukkan kami ke dalam golongan orang-orang yang saleh

Mereka sangat ingin dimasukkan bersama golongan yang soleh kerana kalau soleh sahaja, baru boleh masuk syurga. Mereka juga mahu masuk syurga dan selamat bersama-sama orang yang selamat. Mereka mengharap sangat dan sebab itu digunakan lafaz طمَعُ yang bermaksud ‘tamak’ kerana mahu sangat kepada syurga.

Yang paling awal berkata begini adalah Najashi dan juga mereka yang beriman dari penduduk Habashah. Apabila ada beberapa sahabat yang telah berhijrah ke sana, mereka telah menyampaikan dakwah kepada puak Kristian di sana dan ada yang menerima Islam dengan rela.

Jadi ayat-ayat ini menunjukkan perbezaan ketara antara Yahudi dan Nasrani. Golongan Yahudi itu kufur, begitu juga golongan Nasrani. Akan tetapi kufur mereka tidak sama. Yahudi itu ‘kufur degil’ (tahu kebenaran tetapi tetap tolak); sedangkan Nasrani itu ‘kafir jahil’ (mereka tolak kebenaran kerana salah faham tentang agama). Maka,apabila disampaikan ajaran yang benar kepada mereka, mereka boleh terima.

Tafsir Ayat Ke-85

Ini adalah jenis ayat Tabshir Ukhrawi (berita gembira dengan pembalasan baik di akhirat).

فَأَثٰبَهُمُ اللهُ بِما قالوا جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ وَذٰلِكَ جَزاءُ المُحسِنينَ

Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan, (iaitu) syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, sedang mereka kekal di dalamnya. Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan (yang ikhlas keimanannya).

فَأَثٰبَهُمُ اللهُ بِما قالوا

Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan,

Allah ﷻ perkataan mereka kerana iktikad mereka pun begitu juga. Mereka bukan cakap sahaja, tetapi mereka pegang dalam hati mereka apa yang mereka katakan. Dan mereka teruskan dengan masuk Islam dan beramal dengan kebaikan dan taat kepada hukum Allahﷻ. Maka Allah ﷻ balas mereka dengan syurga.

جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya,

Allah ﷻ ke dalam kebun-kebun syurga. Nikmat yang ada dalam syurga itu amat banyak sekali sampaikan tidak dapat dijelaskan. Allahﷻ cuma jelaskan yang ada sungai-sungai yang mengalir di dalam syurga itu untuk kegunaan ahli syurga.

Ini memberi isyarat kepada keindahan dan kenikmatan kerana orang-orang Arab itu amat sukakan kepada air kerana tempat mereka tidak banyak air. Jadi kalau ada sungai di tempat tinggal, itu memang nikmat besar sangat.

خٰلِدينَ فيها

sedang mereka kekal di dalamnya.

Kalau duduk di syurga itu sekejap sahaja, tidaklah nikmat sangat. Namun Allah ﷻ janji yang mereka akan kekal di dalam syurga itu. Dan memang sesiapa yang masuk syurga akan kekal di dalamnya. Tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila.

وَذٰلِكَ جَزاءُ المُحسِنينَ

Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan

Itu adalah balasan bagi mereka yang memiliki hati yang baik. Walaupun mereka baru kepada Islam, tetapi mereka itu memang sudah orang yang baik. Orang yang baik sebelum masuk Islam, mereka akan terus kekal baik selepas masuk Islam.

Begitulah kalau golongan Kristian itu sudah kenal agama Islam dan wahyu daripada Allah  ﷻ. Akan tetapi kalau kita tidak sampaikan kepada mereka wahyu Allah ﷻ ini, lalu bagaimana mereka hendak tahu? Adakah kita sudah jalankan tugas kita untuk sampaikan dakwah kepada mereka?

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan