Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-96 hingga Ke-100

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-96 hingga Ke-100

683
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-96

Ini adalah jawapan kepada satu lagi kesamaran dalam fahaman Yahudi Nasara iaitu tentang Kiblat di Mekah. Ini apabila kiblat berpindah ke Kaabah semasa Nabi di Madinah.

Mereka tidak dapat terima Mekah sebagai kiblat. Mereka kata kiblat mereka (BaitulMaqdis) lebih lama dari kiblat umat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Mereka berhujah: kalau sudah lama, kenapa hendak pakai kiblat yang baru pula? Lalu Allah memberikan penjelasan dalam ayat ini sebagai bukti bahawa tidak salah Nabi Muhammad apabila beralih ke Mekah sebagai kiblat.

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (ialah Baitullah) yang di Bakkah

Sekarang Allah beritahu kita yang Rumah Ibadat yang pertama dibina untuk manusia sebagai rumah ibadat adalah Ka’abah di Mekah. Ia untuk semua manusia, bukannya untuk bangsa tertentu sahaja. Ini kerana agama Islam ini adalah untuk semua manusia. Ia adalah agama yang terbuka untuk semua orang memasukinya (dan memang kena masuk Islam pun). Jadi tidaklah agama Islam ini terhad seperti agama Yahudi yang hanya kepada bangsa mereka sahaja.

‘Bakkah’ adalah nama lama bagi Mekah. Allah sebutkan juga sejarah Mekah itu sebagai makluman. Ia ada juga disebut dalam Kitab Suci Yahudi dan Nasara. Tetapi mereka telah tukar kepada ‘Sakkah’ dan mereka kata ia adalah tempat lama yang tidak diketahui lagi, tidak boleh jumpa. Mereka tutup maklumat itu daripada orang ramai. Mereka telah pusing maklumat supaya umat mereka tidak tahu tentang Bakkah (Mekah).

مُبَارَكًا

yang berkat

Sekarang Allah beritahu sifat Mekah itu. Kelebihan Mekah itu ialah ia diberi Keberkatan oleh Allah. Maksudnya diganda pahala apabila beribadat di dalamnya, dibandingkan dengan masjid lain sebanyak seratus ribu kali ganda. Tanah Haram juga ada keberkatan yang kita sendiri mungkin tidak tahu.

Ini mengingatkan kita bahawa keberkatan pada apa-apa atau sesiapa sahaja, ditentukan oleh Allah. Kena ada dalil yang sesuatu itu berkat. Bukan manusia yang pandai-pandai kata ianya berkat. Sebagai contoh, ada yang kata orang balik Mekah itu ada berkat; atau guru itu ada berkat; atau kubur itu ada berkat; dan sebagainya. Itu semua tidak ada dalil maka hendaklah ditolak. Jangan kita terlibat dalam perkara rekaan-rekaan seperti itu.

Inilah yang dinamakan ‘tabarruk’. Ia memang ada dalam Islam. Akan tetapi kenalah ada dalil. Malangnya ramai golongan yang mereka-reka berkat baru. Sampai sekarang yang paling teruk adalah mengambil berkat dengan logo capal. Ini tidak ada dalil sahih dan cara tabarruk yang amat salah.

وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ

dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi sekelian alam.

Dan Mekah itu sebagai hidayat. Maknanya di tengah-tengah Mekah itu ada Ka’abah dan setiap umat Islam kena hadap kepadanya dalam solat. Hidayat itu nisbah kepada kiblat tawajjuh, iaitu tempat untuk kita hadapkan wajah kita (fokuskan pandangan).

Kerana itu tidak diterima solat kalau mengadap ke tempat yang lain. Melainkan kalau kita berada di tempat yang kita tidak tahu mana kiblat, barulah boleh kalau kita solat mengadap mana-mana arah. Tetapi sebelum itu, kita kena usaha untuk cari di manakah kiblat terlebih dahulu.

Dengar kata, Syiah sudah mula menukar kiblat mereka. Ada nampak di media bagaimana mereka solat mengadap arah selain dari Mekah. Ini adalah satu perbuatan yang amat salah sekali. Kalau dulu, persamaan kita dengan mereka adalah kiblat yang sama sahaja, sebab yang lain memang sudah tidak sama. Namun, kali ini, nampaknya kiblat kita dan mereka pun sudah berlainan.

Semoga masyarakat kita kenal siapakah Syiah ini dan tidaklah tertipu dengan diayah mereka. Kita kena sebarkan kesesatan mereka ini supaya masyarakat kita sedar.

Tafsir Ayat Ke-97

فِيهِ ءآيَاتٌ بَيِّنٰتٌ مَّقَامُ إِبْرٰهِيمَ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ ءآمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِينَ

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

فِيهِ ءآيٰتٌ بَيِّنَاتٌ

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata

Pada kiblat itu ada tanda dan kelebihan-kelebihan lain yang jelas nyata kepada kita. Kita tengok Ka’abah dan Mekah itu pun sudah terpesona. Kalau sesiapa yang pernah tengok Ka’abah berdepan akan tahu hebatnya perasaan waktu itu.

مَّقَامُ إِبْرٰهِيمَ

Maqam Nabi Ibrahim

Salah satunya yang hebat adalah Maqam Ibrahim. Ia adalah tempat Nabi Ibrahim berdiri semasa membina Kaabah. Ia adalah sebagai kenang-kenangan susah payah baginda membina Ka’abah.

Jangan ada pula yang salah faham maksud ‘makam’ di sini macam kubur pula – takut ada sangka di sinilah kubur Nabi Ibrahim. Ia hanyalah ada bekas tapak kaki baginda. Akan tetapi sekarang tidaklah nampak kerana telah ditutup di dalam bekasnya.

Ada kelebihan pada Maqam Ibrahim ini. Disunatkan solat di situ selepas menunaikan Tawaf.

وَمَن دَخَلَهُ كَانَ ءآمِنًا

Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia

Sesiapa yang masuk Tanah Haram ini aman daripada musuh. Kuasa zalim tidak boleh masuk dan ini dijamin oleh Allah. Bandingkan dengan satu lagi tempat suci, BaitulMaqdis. BaitulMaqdis itu telah berapa kali diserang dan dimasuki. Tetapi tidak berlaku kepada Baitullah kerana Allah beri jaminan.

Daripada segi hukum pun telah dilarang untuk berbunuhan di dalam Tanah Haram. Jangan kata nyawa manusia, pokok-pokok dan binatang pun dilarang untuk diganggu.

Sesiapa yang masuk Tanah Haram juga akan rasa aman di dalam hatinya. Kalau sesiapa yang pernah pergi ke sana, akan dapat rasa perasaan ini. Sebab itulah sesiapa yang sudah pergi ke sana, akan teringin sahaja untuk kembali lagi kerana satu perasaan yang tidak dapat digambarkan.

Juga boleh bermaksud, sesiapa yang mengerjakan Haji dan Hajinya diterima, dia akan selamat dari neraka.

Perkataan ‘haji’, ada kena mengena dengan kalimah ‘hujjah’. Iaitu apabila kita sudah menjalankan ibadat Haji, ia menjadi hujjah kepada kita untuk selamat dari api Neraka. Maka kena simpan niat untuk mengerjakan Haji.

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya

Bagi menyempurnakan tuntutan agama, Allah mewajibkan manusia untuk menunaikan Haji ke Mekah. وَلِلَّهِ maksudnya pekerjaan Haji itu dilakukan ‘kerana Allah’. Bukan kerana nak pergi melancong, bukan kerana malu dengan orang lain, bukan kerana lain, tetapi kerana Allah.

‘Haji’ dan ‘hujjah’ datang dari kata dasar yang sama. Sesuatu yang tidak boleh dibangkang – indisputable. Sepertimana juga Al-Qur’an akan menjadi hujah ke atas kita – sama ada kita ikut atau tidak, ia akan jadi hujah untuk kita atau terhadap kita. Kalau kita ikut ia akan berhujah bagi pihak kita; kalau kita tidak ikut dan tidak endah sahaja, maka ia akan menjadi hujah melawan kita. Oleh itu, sesiapa yang mengerjakan Haji dan Hajinya diterima, maka itu adalah hujah untuk dirinya dimasukkan ke dalam syurga.

Haji itu wajib kepada mereka yang mampu untuk pergi menunaikannya. Maknanya mereka yang ada bekalan dan kenderaan untuk sampai ke sana. Bekalan untuk pergi dan bekalan semasa di sana.

Termasuk dalam makna سَبِيلًا (jalan) ini, bermaksud perjalanan ke Mekah itu juga kena selamat. Kalau ada kemampuan tetapi jalan tidak selamat, mungkin ada perang, atau kejadian alam yang menghalang, maka tidak wajib kepada orang itu untuk mengerjakan Haji sampailah ia selamat.

Zaman sekarang, ada macam-macam lagi sekatan – mungkin visa hendak masuk tidak dapat, passport kita ditahan kerajaan atau apa-apa sahaja lagi. Kalau zaman sekarang, virus Covid menyebabkan tidak dapat dikerjakan Haji seperti biasa. Macam negara kita, kena tunggu giliran untuk menunaikan Haji sebab ada kuota untuk setiap negara. Bukannya kita boleh terus ke sana kalau kita hendak (walaupun ada duit).

وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِينَ

Dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sekalian makhluk.

Sesiapa yang ingkar dengan kewajipan Haji ini, mampu untuk pergi, jalan pun selamat, tetapi dia tidak pergi juga, maka Allah beritahu yang Allah tidak berkehendak kepada ibadat hamba-Nya.

Kaya itu maksudnya ‘tidak perlu’, iaitu Allah tidak perlukan pun ibadat kita. Kalau tidak ada hamba yang beribadah langsung kepada Allah, tidaklah Allah berkurang kekuasaan-Nya, tidak berubah langsung kedudukan Allah. Ia tidak membahayakan Allah langsung, tetapi akan bahaya kepada hamba itu kerana dia akan diazab kerana tidak menunaikan kewajipan yang perlu dipenuhinya.

Ma sha Allah, berapa orang yang sudah mampu untuk pergi menunaikan Haji ke Mekah, tetapi masih menangguhnya lagi. Semoga kita tidak termasuk golongan ini.

Tafsir Ayat Ke-98

Ini adalah teguran pertama kepada Ahli Kitab, setelah kesamaran mereka dihilangkan. Sepatutnya mereka sudah masuk Islam kerana sudah diperjelaskan dengan lengkap selama ini. Kalau tidak beriman juga, itu hanya kerana mereka degil sahaja, bukan kerana jahil.

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَاللَّهُ شَهِيدٌ عَلَىٰ مَا تَعْمَلُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan?”

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab!

Ini adalah kata-kata daripada Allah ditujukan terus kepada Ahli Kitab. Kita pun kena sampaikan ayat ini kepada Ahli Kitab juga. Kerana mungkin tidak sampai kepada mereka kalau kita tidak dakwahkan, kerana mereka tidak membaca Al-Qur’an.

لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ

Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah,

Allah tegur mereka secara terus. Mereka masih menolak walaupun mereka tahu yang Islam adalah agama yang benar. Tetapi mereka sanggup tolak dan pusingkan kebenaran. Mereka sanggup pusing perkataan Bakkah dengan mereka tukar kepada Sakkah.

Dan banyak lagi keterangan lain yang mereka tukar kerana mereka ini memang puak yang degil.

وَاللَّهُ شَهِيدٌ عَلَىٰ مَا تَعْمَلُونَ

padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan

Mereka diingatkan bahawa Allah melihat segala perbuatan mereka dan dicatat apa yang mereka lakukan. Jangan mereka sangka yang mereka akan selamat di akhirat nanti. Mereka mungkin selamat di dunia, tetapi tidak di akhirat nanti.

Maka, jangan mereka sangka yang mereka akan diselamatkan oleh Nabi-Nabi mereka nanti. Mereka tidak akan selamat. Bagaimana mereka sangka yang Nabi mereka akan menyelamatkan mereka sedangkan mereka menolak ajaran Nabi mereka sendiri?

Tafsir Ayat Ke-99

Ini adalah teguran kedua. Sudahlah mereka sendiri kufur, mereka hendak kufurkan orang lain pula. Ini lebih teruk lagi.

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ ءآمَنَ تَبْغُونَهَا عِوَجًا وَأَنتُمْ شُهَدَاءُ وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (ugama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? “Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab!

Ini Allah suruh kita cakap kepada Ahli Kitab. Jadi kena ambil perhatian. Pertama yang disuruh beritahu adalah Nabi Muhammad SAW, tetapi sekarang Nabi SAW sudah tiada, maka kitalah yang kena ambil tugas baginda. Maka jangan lepaskan peluang dan tanggungjawab ini.

لِمَ تَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ ءآمَنَ

Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan-jalan Allah?

Kenapa kamu menghalang orang yang mahu beriman, atau orang yang telah beriman? Yang hendak mula kenal-kenal Islam kamu halang, dan yang sudah muslim kamu kacau supaya mereka jadi murtad. Kenapa kamu buat begitu?

تَبْغُونَهَا عِوَجًا

mencari-cari supaya agama itu nampak bengkok,

Kamu halang mereka dengan bertanya soalan-soalan yang boleh meragukan mereka. Kamu sengaja mencari kelemahan (yang kamu reka) dan kesilapan dalam agama. Mereka lakukan ini dengan menggunakan propaganda karut. Kalau tidak ada ilmu dan baca sahaja apa yang ada di internet itu, boleh jadi sesat agaknya.

Maka jangan terpedaya dengan helah dan tohmahan mereka. Kalau belajar agama dengan molek, In sha Allah tidak akan keliru dan terpedaya dengan kata-kata mereka. Bahayanya kepada mereka yang jahil. Mereka yang agama sendiri pun tidak kenal. Jadi, apabila ada orang Kristian yang datang dan bertanya tentang agama Islam, boleh terpedaya dan terpercaya pula.

Beginilah yang banyak terjadi dengan anak-anak muda kita. Emak ayah memang tidak pentingkan agama, tinggalkan anak begitu sahaja tanpa pengetahuan agama, biarkan sahaja mereka berkawan dengan sesiapa sahaja. Sampaikan anak jahil agama dan ada yang berkawan dengan mubaligh Kristian. Mubaligh-mubaligh itu menggunakan berbagai-bagai tipu daya dan helah untuk menyesatkan anak-anak muda kita. Akhirnya ramai yang terjerumus.

Kita pun tidak pasti berapa ramai daripada kalangan anak muda kita yang telah murtad, sedangkan kerajaan tidak mahu memberitahu perkara yang sebenar kerana mereka pun tidak ambil kisah (dan takut rakyat jadi resah). Pada mereka, yang penting adalah keadaan negara tidak kacau bilau kerana kalau mereka beritahu kisah sebenar, takut ada kacau bilau pula dalam negara.

وَأَنتُمْ شُهَدَاءُ

padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)?

Sedangkan kamu tahu yang perkara yang kamu buat itu adalah salah. Kamu sendiri tahu yang agama Islam itu benar, bukan? Tetapi kerana mereka degil dan ikut hawa nafsu mereka, maka mereka tidak kisah semua itu. Mereka tidak kisah dengan bisikan hati mereka sendiri yang nampak kebenaran Islam itu.

وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Ini adalah ayat ancaman daripada Allah. Kalau buat juga, maka tunggulah akibatnya nanti. Allah tahu apa yang mereka buat. Tidak perlu takut dengan cubaan mereka. Allah akan jaga agama-Nya. Mereka yang buat perkara itu tidak akan menang. Dan mereka akan menerima azab yang pedih nanti. Kerana Allah bukan tengok sahaja, Allah akan beri balasan yang setimpal nanti.

Tafsir Ayat Ke-100

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ كٰفِرِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak daripada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Ayat sebelum ini telah sebut bagaimana pihak Ahli Kitab itu cuba hendak memesongkan agama orang Islam. Sekarang khitbah (disampaikan khutbah) Allah kepada orang Islam pula. Dengar baik-baik.

إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ

Jika kamu taat akan sesuatu puak daripada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu,

Kalau kamu termakan pujuk rayu dan terkeliru dengan tohmahan-tohmahan mereka iaitu percaya dengan tohmahan mereka (kerana tidak ada ilmu).

يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ كٰفِرِينَ

nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

Kamu kamu termakan tohmahan mereka, kamu boleh jadi murtad. Jadi jangan ikut mereka pula. Oleh itu, kena waspada selalu. Jangan masuk perangkap mereka.

Maka kita kena berikan pendidikan agama kepada anak-anak kita. Ceritakan kepada mereka tentang Islam dan tentang bahaya dugaan di luar sana. Jangan sibuk hendak beri makan dan pelajaran akademik sahaja kepada anak-anak. Kamu sendiri kenalah juga belajar, supaya boleh nasihat anak itu sikit. Jangan sibuk hendak cari harta sahaja. Memang anak isteri perlukan makan dan pakai, tetapi agama lebih penting lagi.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan