Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-213

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-213

489
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-213

Ini adalah dorongan/targhib jihad yang ke-enam.

كانَ النّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيّينَ مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ لِيَحكُمَ بَينَ النّاسِ فيمَا اختَلَفوا فيهِ ۚ وَمَا اختَلَفَ فيهِ إِلَّا الَّذينَ أوتوهُ مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ بَغيًا بَينَهُم ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذينَ ءَامَنُواْ لِمَا اختَلَفوا فيهِ مِنَ الحَقِّ بِإِذنِهِ ۗ وَاللَّهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).

كانَ النّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu

Kita kena menjalankan jihad ini kerana asalnya seluruh umat manusia adalah Muslim belaka dan kita kena kembalikan manusia kepada Tauhid itu.

Perkataan واحِدَةً dalam ayat ini bermaksud ‘tauhid’. Semua umat manusia asalnya berpegang kepada fahaman tauhid yang sama sahaja.

Fahaman kafir ini adalah fahaman yang baru sebenarnya kerana umat manusia pada zaman Nabi Nuh عليه السلام yang kafir semuanya telah mati belaka.

Selepas kejadian Banjir Besar itu, semua umat adalah Muslim belaka dan tidak ada orang kafir di dunia ini selepas itu.

Lagi satu hujah yang membuktikan umat manusia ini asalnya adalah atas akidah tauhid kerana Nabi Adam عليه السلام memang sudah berada di atas akidah tauhid.

Kekafiran itu datangnya kemudian. Maknanya, bapa kita yang pertama adalah atas pegangan tauhid sebenarnya.

Perpecahan manusia kepada yang berpegang dengan tauhid dan yang syirik itu datangnya kemudian. Syaitanlah yang membisikkan fahaman kesyirikan kepada manusia supaya manusia duduk bersama dengan mereka di dalam neraka.

Maka ada manusia yang terima pujukan syaitan dan menjadi kafir dan musyrik dan sesetengahnya lagi kekal di atas akidah tauhid.

Jadi tugas kitalah untuk menjadikan umat manusia itu semuanya di atas akidah tauhid kembali.

Oleh itu untuk menghapuskan orang kafir atas muka bumi ini ataupun supaya berkurangnya orang kafir di dunia ini, bermaksud jihad perlu dijalankan.

Jikalau jihad dijalankan, insya Allah umat Islam akan semakin ramai dan orang kafir akan berkurangan. Tentulah dengan cara-cara dan syaratnya. Tidaklah terus bunuh orang kafir itu.

فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيّينَ مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ
maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran

Untuk memperbetulkan keadaan yang telah kacau bilau ini maka Allah ‎ﷻ telah bangkitkan para Rasul untuk mengajarkan balik akidah tauhid kepada manusia dan menjadikan umat manusia umat yang satu kembali.

Tugas para Rasul itu adalah memberi berita gembira kepada mereka yang taat dan memberi ancaman kepada mereka yang tidak taat.

Maka, oleh kerana para Rasul sudah tiada lagi pada zaman sekarang, maka tugas itu terbeban ke atas kita umat Islam ini.

Maka orang yang sudah belajar tentulah kena menjalankan tugas tegur menegur ini. Tetapi memang sudah menjadi kebiasaan manusia yang ditegur akan melenting.

Maka ini biasa sahaja. Ini adalah kerana sifat degil manusia sahaja. Maka kita tetap kena tegur sahaja. Jangan takut dengan kata-kata manusia.

وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ
dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang yang mengandungi kebenaran,

Allah ‎ﷻ tidak menurunkan para Rasul itu dengan tangan kosong tetapi mereka diberikan dengan Kitab Kalam Allah ‎ﷻ. pada zaman kita ini, kita telah diberikan dengan Al-Qur’an.

Maka, oleh kerana para Rasul itu berdakwah dengan kitab Wahyu, maka kita pun kenalah menggunakan Al-Qur’an ini untuk berdakwah kepada manusia.

Jangan tinggalkan Al-Qur’an dalam metode dakwah sama sekali. Malangnya, ramai yang gunakan bermacam-macam cara tetapi tidak menggunakan Al-Qur’an.

Kita kena belajar tafsir Al-Qur’an ini supaya kita boleh sampaikan kepada manusia. Bagaimana kita hendak sampaikan kepada manusia kalau kita sendiri tidak tahu tafsir Al-Qur’an?

لِيَحكُمَ بَينَ النّاسِ فيمَا اختَلَفوا فيهِ
untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan

Tujuan kitab-kitab wahyu itu diturunkan bukanlah untuk disorok tetapi digunakan sebagai sumber hukum kepada manusia. Kitab dari Allah ‎ﷻ itu menjadi kayu ukur untuk membezakan manakah fahaman yang benar dan manakah fahaman yang salah.

Ia digunakan untuk menentukan mana yang benar dan mana yang tidak. Oleh itu kalau ada perbezaan pendapat, kena rujuk kepada wahyu.

Banyak sekali perbezaan pendapat dalam kalangan umat, tetapi ramainya tidak rujuk pun kepada wahyu sebagai kata putus. Ini kerana ramai yang jahil tentang ilmu wahyu ini.

Sedangkan ia amat jelas kepada mereka yang belajar. Yang tidak jelas hanyalah kepada mereka yang tidak belajar atau mereka yang degil setelah mengetahuinya.

وَمَا اختَلَفَ فيهِ إِلَّا الَّذينَ أوتوهُ مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ
tidaklah mereka berselisih padanya melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata,

Perpecahan yang terjadi itu bukanlah sebelum kedatangan para Nabi ataupun sebelum kitab Allah ‎ﷻ diturunkan, tetapi ia terjadi selepas adanya para Nabi dan kitab wahyu disampaikan kepada mereka.

Maknanya perpecahan itu terjadi selepas manusia telah diberitahu manakah yang salah dan manakah yang betul. Mereka berselisih bukan kerana jahil tetapi mereka berselisih kerana mereka degil.

Dari ayat ini kita dapat tahu bahawa antara yang memesongkan agama ini adalah orang yang tahu tentang agama.

Mereka menggunakan agama untuk kepentingan dan kedudukan mereka kerana mereka nampak agama ini boleh digunakan.

Mereka nampak agama boleh digunakan untuk dapat duit, boleh dapat kedudukan dan sebagainya.

Maka ramai yang ambil peluang. Mereka itulah yang dinamakan ulama’ suu’ – ulama yang jahat. Jangan sangka semua ulama’ atau ustaz itu sama sahaja.

Ramai yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan mereka sahaja.

Ataupun kerana mereka memang jahil kerana walaupun kitab wahyu sudah ada, tetapi mereka tidak mempelajarinya.

Samalah juga dengan masyarakat kita yang tidak faham maksud yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Jangan kata masyarakat awam sahaja, malah ada guru-guru agama yang banyak mengajar sekarang pun tidak tahu pun tafsir Al-Qur’an kerana mereka tidak pernah belajar tafsir Al-Qur’an lagi.

Kita sahaja yang sangka mereka mahir tentang Al-Qur’an, tetapi cubalah tanya guru-guru anda, adakah mereka telah belajar tafsir Al-Qur’an? Jangan terkejut dengan jawapan yang diberikan nanti.

بَغيًا بَينَهُم
kerana hasad dengki sesama sendiri.

Perpecahan itu terjadi kerana ada sifat dengki dalam diri mereka yang tidak mahu orang lain jadi baik. Mereka hendak mereka sahaja yang nampak baik pada mata masyarakat.

Ataupun mereka dengki kalau orang lain lebih tinggi kedudukannya daripada mereka kerana mereka nampak kedudukan mereka akan jatuh dan mereka sudah tidak dapat mengawal masyarakat lagi.

Inilah yang dilakukan oleh ulama’-ulama’ jahat yang menggunakan agama untuk kepentingan mereka.

Ulama’-ulama’ sebeginilah yang tidak mahu masyarakat faham agama kerana jikalau masyarakat bodoh, maka senanglah untuk mereka mengawal masyarakat itu.

Sudahlah mereka itu ada yang jahil, dan mereka membodohkan masyarakat lagi dengan menggunakan hujah dan dalil yang batil di dalam membolehkan ajaran mereka yang salah.

فَهَدَى اللَّهُ الَّذينَ ءَامَنُواْ لِمَا اختَلَفوا فيهِ مِنَ الحَقِّ بِإِذنِهِ
Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka, dengan izin-Nya.

Allah ‎ﷻ tetap memberi pimpinan hidayah kepada orang yang mahu beriman. Kalau manusia hendak beriman, Allah ‎ﷻ akan memperjelaskan mana yang benar antara perselisihan manusia itu.

وَاللَّهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Persoalan yang banyak timbul dalam masyarakat awam sekarang adalah: manakah pihak yang benar? Masyarakat awam amat keliru kerana terlalu banyak ahli agama yang berlainan pendapat. Mereka tertanya-tanya manakah pihak yang benar sebenarnya?

Inilah jawapan Allah ‎ﷻ kepada kita semua. Kalau kita mahu beriman kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan tunjukkan kebenaran itu kepada kita.

Oleh itu hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya tunjukkan kebenaran itu walaupun ia berada di pihak yang lain daripada kita. Ikhlaskan dalam doa kita, kata kita betul-betul mahu kebenaran… “Tolonglah tunjukkan kepada aku”.

Malangnya ramai dalam kalangan kita yang menutup kebenaran dari sampai kepada kita apabila kita hanya mahu melihat kebenaran dari pihak kita sahaja.

Kalau kita ikhlas mahukan kebenaran, Allah‎ ﷻ pasti akan tunjukkan kebenaran itu kepada kita.

Sebahagian besar tentang agama ini adalah tentang akhlak. Malah ia lebih penting daripada ilmu sebenarnya. Ini kerana kita menambah ilmu agama supaya akhlak kita semakin baik.

Bukannya kita belajar ilmu agama ini untuk kita menghentam pihak-pihak yang lain dengan mengatakan mereka salah dan kita benar. Jadi jikalau kita mahukan kebenaran maka hendaklah kita menjaga akhlak kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan