Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-53 hingga Ke-55

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-53 hingga Ke-55

343
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-53

Allah ‎ﷻ akan bongkarkan dengan adanya peperangan dengan mereka. Apabila berlaku peperangan, Allah ‎ﷻ akan tunjukkan bagaimana orang munafik itu akan tolong orang kafir. Apabila itu terjadi, tentu orang Islam akan kehairanan kerana mereka duduk di sebelah orang kafir pula dalam peperangan.

Padahal sebelum itu mereka sudah bersumpah untuk menjadi orang Islam. Maka, waktu itu akan terbongkarlah ketaatan mereka kepada siapa sebenarnya. Jadi kalau zaman sekarang, tengoklah kepada siapa orang kita akan berpihak.

وَيَقولُ الَّذينَ ءآمَنوا أَهٰؤُلاءِ الَّذينَ أَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم ۙ إِنَّهُم لَمَعَكُم ۚ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فَأَصبَحوا خٰسِرينَ

Dan orang-orang yang beriman akan mengatakan: “Inikah orang-orang yang bersumpah sungguh-sungguh dengan nama Allah, bahawasanya mereka benar-benar berserta kamu?” Rosak binasalah segala amal mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang merugi.

وَيَقولُ الَّذينَ ءآمَنوا

Dan orang-orang yang beriman akan mengatakan:

Akan ‎ﷻ berkata orang beriman dengan kehairanan, apabila melihat tindakan puak-puak munafik itu.

أَهٰؤُلاءِ الَّذينَ أَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم ۙ إِنَّهُم لَمَعَكُم

“Inikah orang-orang yang bersumpah sungguh-sungguh dengan nama Allah, bahawasanya mereka benar-benar berserta kamu?”

Inikah orang-orang yang pernah bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ, dan waktu itu mereka bersungguh-sungguh bersumpah, bahawasanya mereka akan bersama orang mukmin? Namun jelas sekali, semasa perang dan semasa ada konflik, orang munafik itu duduk bersama orang kafir.

حَبِطَت أَعمٰلُهُم

Rosak binasalah segala amal mereka,

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, segala amalan baik yang mereka buat dahulu tidak sah belaka. Mungkin mereka ada membuat amal kebaikan, ada salat, ada tolong orang lain. Namun semuanya itu tidak ada nilai belaka. Semuanya akan dikosongkan, tidak ada pahala.

فَأَصبَحوا خٰسِرينَ

lalu mereka menjadi orang-orang yang merugi.

Maka, mereka akan jadi golongan yang sangat-sangat rugi kerana mereka balik bertemu Allah ‎ﷻ di akhirat dalam keadaan tangan kosong – tidak ada pahala langsung.

Tafsir Ayat Ke-54

Sebelum ini telah disebut tentang kita tidak boleh berkawan rapat dengan Yahudi Nasara. Ini adalah berbahaya jika berkawan rapat dengan Yahudi Nasara kerana boleh menyebabkan kita jatuh murtad dengan terikut-ikut cara fahaman mereka. Tambahan pula waktu ayat ini diturunkan, ada konflik di antara umat Islam dan mereka. Jadi bahaya kalau ada rahsia umat Islam terbongkar.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا مَن يَرتَدَّ مِنكُم عَن دينِهِ فَسَوفَ يَأتِي اللهُ بِقَومٍ يُحِبُّهُم وَيُحِبّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤمِنينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الكٰفِرينَ يُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ وَلا يَخافونَ لَومَةَ لائِمٍ ۚ ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Walaupun khitab (ditujukan) ayat ini ditujukan kepada ‘orang beriman’ namun ia adalah kepada orang beriman yang tidak sempurna, iaitu golongan munafik. Ini kerana iman mereka lemah. Merekalah tujuan utama diturunkan ayat ini kerana mereka berkawan rapat dengan golongan Yahudi dan Nasara. Akan tetapi jangan lupa apa yang terjadi itu adalah pengajaran bagi kita zaman berzaman.

Mereka ditegur kerana kalau baik dengan Yahudi Nasara, boleh menyebabkan orang Islam jadi murtad. Kalau dikaji, orang Islam yang jadi murtad itu kerana berkawan rapat dengan mereka.

Mereka berkawan sampaikan terikut-ikut dengan cara hidup dan fahaman sesat mereka. Ini adalah kerana kesalahan mereka sendiri juga, kerana Allah ‎ﷻ sudah melarang daripada berkawan rapat dengan dua golongan itu, tetapi kalau tidak endah kepada nasihat agama dan mereka tidak ambil kisah, maka kesan buruknya berbalik kepada mereka juga akhirnya.

مَن يَرتَدَّ مِنكُم عَن دينِهِ

barangsiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya,

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu apakah kesannya kepada sesiapa yang murtad daripada agama sebenar. Ada jumlah muqaddar di sini: ia adalah tidak memudaratkan sesiapa kalau mereka murtad. Allah ‎ﷻ tidak rugi, umat Islam tidak rugi, tetapi mereka yang rugi.

Meninggalkan Islam itu boleh menjadi dua cara: memang meninggalkan Islam terus (dengan pernyataan daripada mulut yang mengatakan sudah keluar Islam), atau hanya dengan meninggalkan iman. Maknanya, mereka tidaklah isytihar keluar Islam, masih lagi menggunakan nama Islam, masih lagi duduk bersama orang Islam, tetapi iman mereka sudah kurang atau tiada.

Maka, perkara ini yang kita kena jaga sangat. Ini adalah kerana iman itu turun dan naik. Iman itu terkesan juga keadaan persekitaran dan orang yang kita berkawan rapat. Mereka mungkin tidak sampai keluar daripada Islam terus, tetapi mereka sudah jauh daripada Allah ‎ﷻ dan agama. Ini pun bahaya juga.

فَسَوفَ يَأتِي اللهُ بِقَومٍ يُحِبُّهُم وَيُحِبّونَهُ

maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya,

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan sesiapa pun. Maka Allah ‎ﷻ boleh menggantikan mereka dengan orang lain, iaitu dengan Allah ‎ﷻ mematikan mereka dengan apa cara sekali pun. Dan selepas itu Allah ‎ﷻ akan datangkan kaum lain yang Allah ‎ﷻ kasih kepada mereka.

Maksudnya ini adalah tentang generasi baru. Maknanya, kalau generasi sekarang tidak mahu kepada agama, sudah tidak berguna, Allah ‎ﷻ boleh sahaja gantikan dengan lapisan generasi yang lain. Senang sahaja bagi Allah ‎ﷻ untuk melakukannya. Ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain, iaitu firman-firman-Nya berikut ini:

{وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ}

dan jika kalian berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kalian) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kalian (ini). [ Muhammad:38 ]

Dan sekarang kita akan lihat satu persatu golongan baru ini. Maka, kalau kita tidak mahu ditukar, kita kena ada sifat-sifat ini. Perkara sifat mereka, Allah ‎ﷻ kata Dia kasih kepada mereka. Kenapa Allah ‎ﷻ kasih kepada mereka? Kerana mereka kasih kepada Allah ‎ﷻ. Maknanya, Allah ‎ﷻ balas kasih mereka itu. Ini seperti yang disebut dalam [ Ali Imran:31 ]

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu

Maka, kasih daripada Allah ‎ﷻ akan didapati kalau mengikuti agama-Nya dan untuk ikuti agama-Nya, kena ikut apa yang diajar dan disampaikan oleh Rasulullah ﷺ. Dan ini hanya boleh didapati dengan mengamalkan amalan sunnah dan meninggalkan amalan bid’ah. Maka kena belajar apakah yang sunnah, dan tinggalkan yang bid’ah. Tinggalkan ajaran pelik-pelik yang entah datang dari mana.

Kasih adalah amat penting dalam agama kerana apabila kita sayang kepada seseorang, tentu kita mahu lakukan apa sahaja yang disukai oleh orang yang kita kasih itu. Kita pun akan selalu hendak bersama dengan dia, panggil dia selalu, hendak bagi dia gembira dan sebagainya.

Jadi kasih kepada Allah ‎ﷻ amat penting supaya kita menjadi taat dan rapat dengan Dia. Dan kita boleh dapat kelebihan ini jika kita mengikut manhaj (metode agama) yang telah ditetapkan. Itulah manhaj Al-Qur’an dan Sunnah.

Bagaimana hendak mendapat kasih ini? Ingatlah yang kasih boleh dipupuk. Kita bukan kena tunggu sahaja kasih ini datang dengan sendiri tetapi kita kena cari. Cari bagaimana? Iaitu dengan mengenal sifat-sifat Allah ‎ﷻ. Ini dapat dipelajari kalau kita belajar tentang Asmaul Husna kerana Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dengan memberitahu Nama-namazNya yang baik dan indah.

أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤمِنينَ

yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin,

Dan sifat mereka lagi, mereka itu golongan yang baik. Jika tadi tentang kasih dengan Allah ‎ﷻ, sekarang kasih sesama Muslim pula. Mereka bersikap lemah lembut kepada orang mukmin. Inilah tanda mereka: apabila mereka berurusan dengan orang beriman, mereka akan merendahkan diri mereka.

Kerana mereka nampak bahawa ada persamaan yang ketara antara mereka dan orang beriman itu: sama-sama mengucap syahadah, sama-sama mengamalkan Islam yang sebenar. Oleh kerana itu, kita akan lihat yang mereka itu sentiasa ringan tangan untuk membantu orang Islam yang lain.

Maka, tidak perlulah berdebat atau mencari pasal dengan sesama Muslim. Cari titik persamaan iaitu mencari kebenaran. Apa yang benar, kita terima. Kalau berdebat, maka debat dengan baik. Tujuan hendaklah benar, iaitu hendak mencari kebenaran. Dan jika tidak sependapat, jangan maki memaki, caci mencaci. Kita kan sesama Muslim? Tinggalkan perdebatan yang tidak perlu. Lihatlah hadith di bawah:

عَنْ أَبِيْ أُمَامَةَ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَا زَعِيْمٌ بِبَيْتٍ فِيْ رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِيْ وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِيْ أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ. رواه ابوداود.

Daripada Abu Umamah, dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun bersifat gurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.”
(Sunan Abu Daud)

أَعِزَّةٍ عَلَى الكٰفِرينَ

yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir,

Dan mereka itu keras dan tegas kepada orang kafir (iaitu yang menentang Islam). Maksudnya, mereka tidak tunduk kepada orang kafir. Mereka tunjukkan kuasa mereka apabila berurusan dengan orang kafir.

Dahulu memang orang Yahudi dan Nasara ada kuasa, tetapi sekarang tidak lagi, maka para sahabat diingatkan jangan lagi berbaik dengan mereka. Itulah sikap kita terhadap musuh Islam.

Namun bukanlah maksud ayat ini menyuruh kita benci pula kepada jiran-jiran kita orang kafir itu. Cuma jangan tunduk kepada mereka dan jangan ikut cara hidup mereka. Kita berada dalam kedudukan yang lebih tinggi daripada mereka. Kita sembah Allah ‎ﷻ tetapi mereka tidak sembah Allah ‎ﷻ. Kita yang kena ajak mereka untuk sembah Allah ‎ﷻ juga.

Ini memang sifat orang Mukmin kerana disebutkan oleh Allah‎ ﷻ dalam ayat yang lain, iaitu:

{مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ}

Muhammad itu adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. [ Fath:29 ]

Malangnya zaman sekarang, kita boleh lihat bahawa perkara yang terbalik yang terjadi. Orang Islam itu, kalau berurusan dengan orang kafir, amat lembut dan hormat namun jika dengan orang Islam, mereka seperti benci pula. Mereka nampak orang kafir pula yang lebih bagus daripada orang Islam. Pelbagai benda buruk ditujukan kepada orang Islam yang lain, tuduhan yang berbagai-bagai diberikan. Ini amat memalukan.

يُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ

yang berjihad di jalan Allah

Ada lagi sifat mereka yang disebut dalam ayat ini. Mereka itu tidak duduk diam sahaja. Mereka akan berjuang di jalan Allah ‎ﷻ. Mereka menyampaikan agama Allah ‎ﷻ supaya manusia kenal Allah ‎ﷻnwalaupun sampai berperang dengan orang kafir yang menentang.

Ini memerlukan pengorbanan. Hendak belajar agama itu sendiri kena ada pengorbanan dan hendak kenalkan Allah ‎ﷻ kepada orang lain juga memerlukan pengorbanan. Dan jihad itu tidak semestinya jihad dengan pedang. Kita sekarang tidak ada perang maka jihad bagi kita adalah jihad dengan lisan, iaitu jihad dakwah. Ini pun jihad juga sebenarnya.

Maka kena ada sifat dakwah dalam diri kita, iaitu hendak menyampaikan agama yang benar kepada manusia. Takkan kita tidak sedih mengenangkan orang lain yang menyembah dan menghambakan diri kepada selain Allah ‎ﷻ? Jika kita ada ubat yang baik untuk manusia, takkan kita hendak simpan sendiri, bukan? Maka ‘ubat’ apakah yang lebih baik bagi dunia dan akhirat (bukan untuk dunia sahaja) kita kalau bukan agama Islam ini? Tidakkah kita mahu kongsikan dengan orang lain?

Lihatlah banyak sekali sifat mereka yang Allah ‎ﷻ sebut. Maka, kalau kita tidak berjuang dalam dakwah, Allah ‎ﷻ akan menggantikan kita dengan generasi lain. Ini amat menakutkan kita, kerana kita tanyalah diri kita sendiri: apakah yang kita telah lakukan untuk menyampaikan agama dan Allah ‎ﷻ kepada orang lain?
Hendak dapat semangat dakwah ini adalah satu lagi sifat yang penting kena ada.

وَلا يَخٰفونَ لَومَةَ لائِمٍ

dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.

Satu lagi, mereka tidak terkesan dengan celaan orang yang mencela. Asalkan mereka sedang melakukan aktiviti untuk agama Allah ‎ﷻ, mereka tidak peduli apa yang orang lain akan kata. Ini kerana jika kita menjalankan tugas kita untuk menyampaikan dakwah, memang akan ada yang menentang: jangan katakan orang kafir, orang yang mengaku Islam sendiri pun akan lawan kita.

Malangnya, adakah kita berani? Ramai yang tidak sanggup untuk menghadapi celaan orang lain. Hendak berhenti daripada menyertai majlis bid’ah orang lain pun sudah susah; kalau ada yang ajak pergi majlis Tahlil, sudah susah hendak tolak, akhirnya pergi juga kerana takut nanti digelar ‘wahabi’.

Hendak beritahu tentang Al-Qur’an dan Sunnah pun takut, takut orang kata kita ini memandai pula. Ingatlah, orang akan tetap kata macam-macam. Jika kita hendak mencari redha manusia, memang kita boleh buat senyap sahaja. Namun, kalau hendak cari redha Allah ‎ﷻ, kita terpaksa hadapi mereka. Jangan takutlah kepada orang yang jahil, orang jahil memang akan kata macam-macam.

Contohnya kalau ada yang sebut kalimah ‘wahabi’, tahulah yang mereka itu orang yang jahil sebenarnya. Kalau tidak percaya, tanya balik kepada mereka apakah maksud ‘wahabi’ itu? Tergagap-gagap mereka hendak jawab nanti. Kerana mereka ikut sahaja kata orang lain sebenarnya. Mereka bukan tahu pun. Kita hendaklah kasihankan kepada mereka sebenarnya, maka kena sampaikan ajaran yang benar kepada mereka. Senyum, kemudian cakap: “Mari saya jelaskan kekeliruan anda ya….”

Oleh itu, sifat yang kena ada dengan kita adalah kasihan kepada mereka, bukannya takut. Jangan kita nanti termasuk dalam golongan yang menyesal di akhirat kelak seperti yang disebut dalam hadith di bawah:

هِ الْعَبْدِيِّ الْمَدَنِيِّ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عليه وسلم قال: “إن اللَّهَ لَيَسْأَلُ الْعَبْدَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، حَتَّى إِنَّهُ لَيَسْأَلُهُ يَقُولُ لَهُ: أيْ عَبْدِي، رَأَيْتَ مُنْكَرًا فَلَمْ تُنْكِرْهُ؟ فَإِذَا لَقَّن اللَّهُ عَبْدًا حُجَّتَهُ، قَالَ: أيْ رَبِّ، وَثِقْتُ بِكَ وَخِفْتُ النَّاسَ”.

Imam Ahmad dan Imam Ibnu Majah meriwayatkan melalui hadith Abdullah ibnu Abdur Rahman Abu Tuwalah, daripada Nahar ibnu Abdul lah Al-Abdi Al-Madani, daripada Abu Sa’id Al-Khudri daripada Nabi ﷺ yang telah bersabda: Sesungguhnya Allah ‎ﷻ benar-benar akan bertanyakan hamba-Nya di hari kiamat, hingga Dia benar-benar bertanyakannya, dengan pertanyaan, “Hai hamba-Ku, bukankah engkau pernah melihat perkara yang mungkar, lalu mengapa engkau tidak mencegahnya?” Maka apabila Allah ‎ﷻ telah mengajarkan kepada seseorang hamba hujah (alasan) yang dikatakannya, maka si hamba berkata, “Ya Tuhanku, saya percaya kepada-Mu, tetapi saya takut kepada manusia.”

ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ

Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya,

Jika mereka mempunyai sifat-sifat itu, itu adalah kurniaan daripada Allah ‎ﷻ. Maknanya sifat-sifat yang telah disebut di atas, bukanlah semata-mata usaha kita sendiri sahaja, tetapi kena ada taufiq daripada Allah ‎ﷻ untuk menggerakkan kita. Namun begitu, untuk mendapatkannya, kena minta kepada Allah ‎ﷻ supaya berikan kepada kita. Allah ‎ﷻ beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah ‎ﷻ beri kepada yang sesiapa yang kehendaki. Jika dia tidak hendak, Allah pun tidak beri.

وَاللهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.

Dan ingatlah yang Allah ‎ﷻ ada banyak pemberian-Nya lagi. Kita kena harapkan semua itu daripada Allah ‎ﷻ. Dan jangan lupa minta dan doa kepada-Nya. Jangan kita mengharap kepada makhluk kerana makhluk tidak ada apa-apa jika Allah ‎ﷻ tidak beri kepada mereka. Semuanya daripada Allah ‎ﷻ maka hendaklah kita letak pengharapan kita kepada Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ tahu siapa yang mempunyai sifat-sifat yang telah disebut atas tadi. Allah ‎ﷻ juga tahu siapa yang patut dapat sifat-sifat itu. Semoga kita pun termasuk dalam golongan itu. Semoga kita tidak ditukar dengan golongan lain. Sekarang ya orang Melayu contohnya adalah umat Islam. Tetapi kalau kita tidak jaga agama ini dengan sebenarnya (dengan mengamalkan sunnah), kita takut Allah ‎ﷻ ganti dengan golongan lain pula.

Tafsir Ayat Ke-55

Kalau kita tidak boleh buat hubungan rapat dengan Yahudi Nasara, lalu siapa yang kita boleh rapat? Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini.

إِنَّما وَلِيُّكُمُ اللهُ وَرَسولُهُ وَالَّذينَ ءآمَنُوا الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ وَهُم رٰكِعونَ

Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan salat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).

إِنَّما وَلِيُّكُمُ اللهُ وَرَسولُهُ

Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya,

Sebenarnya yang melindungi kamu, yang kamu patut rapat adalah Allah ‎ﷻ. Dan cara untuk rapat dengan Allah ‎ﷻ adalah melalui Rasul-Nya. Oleh itu, kena rapat dengan Allah ‎ﷻ dan Rasul. Allah ‎ﷻlah wali kita yang sebenarnya. Dan Rasulullah ﷺ telah memberi ajaran kepada kita bagaimana menjadikan Allah ‎ﷻ sebagai pelindung kita. Salah satunya adalah dengan mengikut ajaran daripada Rasulullah ﷺ.

Kita boleh lakukan perkara ini dengan belajar tafsir Al-Qur’an dan sunnah Nabi. Itulah amalan yang kita kena lakukan untuk mengamalkan ayat ini. Budaya ilmu perlu diterapkan dalam masyarakat kita kecil lagi.

وَالَّذينَ ءآمَنُوا

dan orang-orang yang beriman,

Dan kita kena rapat dengan orang mukmin yang lain, iaitu hidup dalam jamaah islamiah. Berbaik-baiklah sesama Muslim dan Mukmin yang lain.

Allah ‎ﷻ cuma sebut ‘orang yang beriman’ sahaja. Ini terlalu luas, siapakah mereka. Maka bagaimana kita boleh tahu siapa mereka? Maka Allah ‎ﷻ teruskan dengan memberitahu sifat-sifat mereka:

يُقيمونَ الصَّلَوٰةَ

yang mendirikan salat

Mereka mendirikan salat. Ini adalah contoh ibadat yang diwajibkan kepada manusia, berkenaan dengan menjaga hubungan dengan Allah ‎ﷻ. Ada banyak lagi ibadah-ibadah lain, tetapi Allah ‎ﷻ beri contoh salat, kerana salat adalah ibadat yang paling utama. Maka, salat hendaklah diamalkan seperti yang sepatutnya dengan menjaga syariat dan kaifiatnya sesuai dengan sunnah.

وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ

dan menunaikan zakat,

Dan dalam bentuk amalan kemanusian, Allah ‎ﷻ sebut mereka menunaikan zakat iaitu mereka menjaga hubungan sesama manusia lain. Dengan mengeluarkan zakat, bukan sahaja kita menunaikan perintah Allah ‎ﷻ, tetapi kita merapatkan hubungan sesama manusia juga.

وَهُم رٰكِعونَ

seraya mereka tunduk

Dan mereka itu tunduk patuh kepada segala arahan Allah ‎ﷻ. Mereka mudah turut segala arahan dan hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Ini adalah salah satu daripada maksud tunduk dalam ayat ini.

Atau, ada juga pendapat yang kata ia bermaksud rukuk dalam salat. Jadi, ia adalah sambungan daripada ibadah salat yang disebut sebelum ini. Ditambah tentang rukuk dalam ayat ini kerana hendak membezakan salat kita dan solat Ahli Kitab yang lain. Mereka juga salat, akan tetapi rukun rukuk tidak ada dalam salat mereka.

Ada juga yang tafsir: mereka merendahkan diri dengan orang lain, tidak sombong. Jadi ini adalah tentang akhlak sesama manusia. Dengan manusia, jangan kita menyombong diri. Kenalah berbaik dengan mereka. Akhlak ini penting. Apakah maksud ‘akhlak’ secara ringkas? Ia adalah menjadi makhluk yang terbaik. Jangan tata tertib kita dan jaga cara komunikasi dan cara berhubung dengan manusia yang lain.

Juga boleh bermaksud mereka tidaklah berbangga dengan amalan kebaikan yang mereka telah lakukan. Mereka merendah diri. Tidaklah mereka sangka mereka telah melakukan banyak ibadah. Mereka tidak terkena belitan iblis bab ‘ghurur’. Orang yang terkena ghurur itu sangka amalan mereka telah banyak dan mereka sudah selamat dan pasti masuk syurga. Ini amat bahaya.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan