Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-56 hingga Ke-60

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-56 hingga Ke-60

192
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-56

Apakah kelebihan mereka?

وَمَن يَتَوَلَّ اللهَ وَرَسولَهُ وَالَّذينَ ءآمَنوا فَإِنَّ حِزبَ اللهِ هُمُ الغٰلِبونَ

Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya parti Allah itulah yang pasti menang.

وَمَن يَتَوَلَّ اللهَ وَرَسولَهُ وَالَّذينَ ءآمَنوا

Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya,

Dalam ayat sebelum ini telah dianjurkan untuk menjadikan Allah ‎ﷻ, Rasul dan orang mukmin lain sebagai wali. Allah ‎ﷻlah pembantu dan pelindung kita yang sebenarnya. Allah ‎ﷻ sentiasa ada bersama dengan kita, ke mana sahaja kita pergi. Dan Rasulullah ﷺ walaupun tidak ada bersama dengan kita, akan tetapi ajarannya tetap segar untuk kita amalkan.

Akan tetapi ada orang yang mengambil selain Allah ‎ﷻ sebagai tempat pengharapan dia. Dia tidak mengendahkan agama. Dia lebih banyak berkawan baik dengan orang bukan Islam dan tidak bermesra dengan orang mukmin. Oleh itu Allah ‎ﷻ beri motivasi kepada mereka untuk berubah.

فَإِنَّ حِزبَ اللهِ هُمُ الغٰلِبونَ

maka sesungguhnya parti Allah itulah yang pasti menang.

Kalau mereka boleh ikut seperti yang dianjurkan sebelum ini, maka mereka dikira berada dalam parti Allah ‎ﷻ. Inilah parti yang terbaik. Sekarang ramai manusia sibuk sangat dengan parti politik seperti yang ada di negara kita ini, namun sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang Parti Dia. Mana satukah yang hendak dipilih? Hendak duduk dalam parti yang kebanyakannya hanya membuang masa dan membuat dosa itu atau duduk dalam parti yang Allah ‎ﷻ suruh kita masuk?

Apakah pula parti itu? Parti itu adalah sekumpulan manusia yang rapat yang ada agenda yang mereka hendak capai. Jangan keliru pula dengan ‘Hizbullah’ yang ada di Lebanon. Itu belum tentu parti Allah ‎ﷻ lagi.

Apakah yang Allah‎ ﷻ sebut tentang Parti Allah itu? Mereka sentiasa akan menang dan tidak akan kalah. Mereka itulah yang dominan. Kalau duduk dalam parti politik, belum tentu parti itu menang. Kalau menang pun, bukan dapat apa pun. Pemimpin sahaja yang menjadi kaya raya – yang tukang sorak, tukang tampal poster itu tidak dapat apa-apa pun, hanya banyak buang masa. Namun kalau duduk dalam parti Allah ini ‎ﷻ, pasti akan berjaya.

Dalam tafsir disebut yang sifat-sifat yang telah disebut ini ada pada diri para sahabat Rasulullah ﷺ. Oleh kerana itu mereka telah berjaya menangani musuh-musuh mereka. Sebagai contoh, Saidina Abu Bakr رضي الله عنه telah berjaya mengalahkan golongan Nabi palsu dan yang enggan membayar zakat; Saidina Umar رضي الله عنه pula telah berjaya mengalahkan musuh umat Islam pada waktu itu seperti Cyrus. Kalau pemimpin Islam dan umat Islam pun ikut jejak langkah mereka, kita pun boleh berjaya juga.

Tafsir Ayat Ke-57

Allah ‎ﷻ beri sebab kenapa kena putus hubungan dengan Yahudi dan Nasara.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا الَّذينَ اتَّخَذوا دينَكُم هُزُوًا وَلَعِبًا مِّنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ مِن قَبلِكُم وَالكُفّارَ أَولِياءَ ۚ وَاتَّقُوا اللهَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil jadi pemimpinmu, orang-orang yang membuat agamamu jadi buah ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Ini peringatan kepada orang yang mengaku beriman. Kalau rasa beriman itu, dengarlah firman Allah‎ ﷻ ini:

لا تَتَّخِذُوا الَّذينَ اتَّخَذوا دينَكُم هُزُوًا وَلَعِبًا

janganlah kamu mengambil orang-orang yang membuat agamamu jadi buah ejekan dan permainan,

Selepas ini akan disebut yang dimaksudkan adalah golongan Yahudi dan Nasara, tetapi sebenarnya lebih kepada nama kumpulan sahaja. Yang dimaksudkan di sini adalah sifat-sifat buruk mereka. Kita telah jelaskan dalam Surah Fatihah, Baqarah dan juga Ali Imran tentang sifat-sifat mereka. Oleh itu, bukan kita tolak bangsa mereka tetapi sifat buruk mereka. Ini adalah kerana mereka jadikan agama untuk mempersenda dan sebagai gurauan bagi mereka.

Mereka main-main dengan agama. Agama tidak penting bagi mereka. Mereka juga telah mengutuk agama Islam kita yang kita amalkan kerana tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka. Begitu juga, kalau mereka orang Islam, ini jenis yang kutuk amalan sunnah yang kita amalkan. Ramai dalam kalangan manusia yang seperti itu.

مِّنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ مِن قَبلِكُم

di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelummu,

Golongan pertama adalah Ahli Kitab. Mereka pun orang kafir juga, tetapi disebut secara khusus sebagai penekanan. Ini kerana mereka ini sepatutnya tahu tentang kebenaran yang dibawa Rasulullah ﷺ dan Al-Qur’an tetapi mereka pula yang menentang. Walaupun ada juga dalam kalangan mereka yang masuk Islam, namun kebanyakannya tidak. Sebaliknya mereka mempersendakan agama Islam.

Allah ‎ﷻ beritahu yang mereka juga dapat kitab sebelum kita juga. Tetapi mereka tidak beramal dengan kitab wahyu mereka itu. Begitu jugalah orang kita – sudah ada Al-Qur’an namun tidak faham kerana tidak belajar tafsir.

وَالكُفّارَ

dan orang-orang yang kafir

Dan juga termasuk golongan kafir yang lain-lain iaitu golongan musyrikin yang lain – Hindu, Buddha dan sebagainya. Mereka itu dikira kafir kerana menentang Islam. Kalau mereka tidak menentang, mereka itu hanya non-Muslim sahaja. Jadi kena faham siapakah yang digelar sebagai ‘kafir’ di dalam Al-Qur’an.

أَولِياءَ

jadi pemimpinmu,

Jangan jadikan mereka sebagai pemimpin kamu, penolong kamu dan teman rapat kerana kita tidak memerlukan mereka. Oleh kerana itu, kita kena ada polisi dalam hubungan kita. Kita kena rapat dengan orang yang seakidah dengan kita.

Mereka kena putuskan hubungan rapat dengan orang-orang kafir dahulu dan kena rapat dengan orang-orang mukmin kerana mereka masih baru lagi dalam agama Islam, maka mereka kena belajar daripada rakan-rakan yang sudah lama dan faham agama. Jika masih rapat dengan orang kafir lagi, boleh menyebabkan mereka keliru tentang agama.

Perkara yang sama juga kita kena jaga dengan anak-anak kita. Mereka masih tidak faham tentang agama kerana mereka masih belajar. Kalau mereka terlalu meluangkan masa dengan orang kafir, mereka pun akan jadi keliru tentang agama: antaranya mereka rasa tidak ada beza pun agama Islam dengan agama lain – mereka pun orang baik-baik juga.

Jadi akhirnya apabila kita mengajar mereka tentang agama Islam yang sebenar, mereka jadi keliru kerana fikiran mereka telah terganggu dengan fahaman-fahaman yang lain.

وَاتَّقُوا اللهَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Dan bertaqwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman.

Maksud ‘taqwa’ dalam ayat ini adalah jangan berbaik dengan orang kafir. Kena putuskan hubungan rapat dengan mereka. Kena taat dengan Allah‎ ﷻ tentang perkara ini.

 

Tafsir Ayat Ke-58

Sebelum ini disebut tentang mereka yang mempersenda agama Islam. Sekarang Allah ‎ﷻ beri contoh bagaimana mereka mempersendakan agama dan menjadikan Islam sebagai bahan jenaka.

وَإِذا نادَيتُم إِلَى الصَّلَوٰةِ اتَّخَذوها هُزُوًا وَلَعِبًا ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعقِلونَ

Dan apabila kamu menyeru (mereka) untuk (mengerjakan) sembahyang, mereka menjadikannya buah ejekan dan permainan. Yang demikian itu adalah kerana mereka benar-benar kaum yang tidak mahu mempergunakan akal.

وَإِذا نادَيتُم إِلَى الصَّلَوٰةِ اتَّخَذوها هُزُوًا وَلَعِبًا

Dan apabila kamu menyeru kepada salat, mereka menjadikannya buah ejekan dan permainan.

Perkara yang paling mereka persenda adalah salat. Apabila azan berkumandang, mereka akan buat-buat jenaka. Kalau kita ajak mereka, mereka menjadikan seruan itu sebagai persendaan dan main-main. Sedangkan syaitan pun takut dengan seruan azan itu, tetapi mereka tidak takut.

Kalau kita lihat zaman sekarang dalam filem pun, kadang-kadang orang kafir akan menjadikan azan itu sebagai bahan lawak. Kadang-kadang kita lihat “scene” (babak) dalam filem, di mana orang Islam sedang melakukan sesuatu yang mereka anggap sebagai bodoh, dan di belakang ada suara laungan azan.

Mungkin ada juga dalam kalangan orang kafir di negara ini yang membuat kutukan kepada azan kerana mereka marah apabila azan dilaungkan waktu mereka sedang tidur dan sebagainya.

Nota: sekali-sekala timbul isu ada orang tidak suka bunyi azan dikumandangkan kerana mengganggu mereka. Ada yang komen daripada Muslim dan malah ada daripada Non-Muslim. Ada yang diviralkan kononnya yang menegur itu tidak sensitif dengan agama Islam, dan sebagainya.

Kalau diperhatikan, yang memberi teguran itu bukanlah kerana bunyi laungan azan tetapi ceramah atau bacaan Al-Qur’an yang dikumandangkan di “speaker” masjid/surau. Ini adalah kerana salah pihak AJK masjid/surau yang kurang ilmu sebenarnya. Yang sepatutnya dilaungkan adalah azan, bukan selain darinya. Mereka yang telah mengganggu orang awam sebenarnya, tetapi mereka sendiri tidak sedar. Masyarakat negara kita tidak kisah kalau azan yang dilaungkan kerana sekejap sahaja. Yang mereka tegur adalah kerana selain darinya.

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعقِلونَ

Yang demikian itu adalah kerana mereka benar-benar kaum yang tidak mahu mempergunakan akal.

Ini terjadi kerana mereka kaum yang tidak memahami. Mereka tidak menggunakan akal mereka. Mereka tidak sedar bahawa syariat salat memang ada di dalam agama mereka. Cuma ia telah ditinggalkan oleh mereka.

Namun bagaimana mereka itu dikatakan tidak menggunakan akal, sedangkan mereka itu golongan yang pandai? Ya memang mereka pandai dalam hal keduniaan, akan tetapi dalam hal agama mereka bodoh. Ini biasa sahaja kerana ia adalah perkara yang berbeza kerana itulah kita boleh lihat golongan doktor, peguam atau jurutera yang beragama Hindu sanggup meminum air Sungai Ganges yang kotor itu. Pandai dalam hal keduniaan, tidak semestinya pandai dalam hal agama. Allah ‎ﷻ telah sebut dalam surah yang lain:

يَعلَمونَ ظٰهِرًا مِّنَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم عَنِ الآخِرَةِ هُم غٰفِلونَ

Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) daripada kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai. [Rum:7]

Kita takut, kalau orang Islam sendiri yang menjadikan salat sebagai bahan jenaka. Ia adalah perkara yang boleh diangkat daripada umat Islam kalau kita tidak menjaganya. Sekarang pun kita boleh lihat ramai sahaja dalam kalangan umat Islam yang salat main-main. Sekala sekala sahaja mereka (bila mereka suka), ada yang salat Hari Jumaat sahaja, ada yang langsung tidak salat dan selamba sahaja mereka mengaku sebagai Muslim. Ini maknanya, mereka telah ikut jejak langkah umat yang terdahulu sebelum kita.

Tafsir Ayat Ke-59

Allah‎ ﷻ suruh beritahu kepada mereka yang mempersendakan salat dan azan. Ini adalah ayat zajrun.

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ هَل تَنقِمونَ مِنّا إِلّا أَن ءآمَنّا بِاللهِ وَما أُنزِلَ إِلَينا وَما أُنزِلَ مِن قَبلُ وَأَنَّ أَكثَرَكُم فٰسِقونَ

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, apakah kamu memandang kami salah, hanya lantaran kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada apa yang diturunkan sebelumnya, sedang kebanyakan di antara kamu benar-benar orang-orang yang fasik?

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ هَل تَنقِمونَ مِنّا

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, apakah kamu memandang kami salah,

Tanya mereka balik kenapa mereka benci kepada kita, pandang serong kepada kita, hukum kita sesat dan sebagainya?

إِلّا أَن ءآمَنّا بِاللهِ

hanya lantaran kami beriman kepada Allah,

Tidak ada sebab yang munasabah pun melainkan kerana kita kata kita telah beriman kepada Allah ‎ﷻ. Dan itu bukan salah pun. Mereka pun sepatutnya beriman dengan Allah ‎ﷻ juga kerana kita mempunyai Tuhan yang sama.

وَما أُنزِلَ إِلَينا

dan kepada apa yang diturunkan kepada kami

Bukan sahaja kita beriman dengan Allah ‎ﷻ, trtapi kita juga telah beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ, iaitu Al-Qur’an. Al-Qur’an itu wahyu daripada Allah ‎ﷻlah juga, jadi kerana itu kamu hukum kami sesat?

وَما أُنزِلَ مِن قَبلُ

dan kepada apa yang diturunkan sebelumnya,

Kita bukan sahaja beriman dengan wahyu Al-Qur’an, tetapi kita juga beriman dengan wahyu yang telah diturunkan sebelum Al-Qur’an – termasuklah wahyu yang ahli kitab itu ada juga, Taurat, Injil dan Zabur. Maknanya, wahyu yang kita dapat kita beriman, wahyu yang mereka dapat pun kita beriman juga. Dan kerana itu sahaja, bukan kerana lain, kamu benci kami, hukum kami sesat?

Amat tidak patut sekali apa yang hati mereka lakukan. Dalam ayat-ayat yang lain, ini kerana mereka dengki dengan apa yang telah diberikan kepada umat Islam.

وَأَنَّ أَكثَرَكُم فٰسِقونَ

sedang kebanyakan di antara kamu benar-benar orang-orang yang fasik?

Katakan kepada mereka: “Kamu tidak suka kepada kami dan kata kami sesat, sedangkan kebanyakan daripada kamu itu bukan orang betul pun, fasik belaka”. Fasik maksudnya telah keluar daripada ketaatan. Golongan Ahli Kitab itu sudah mengikut agama yang tidak benar, sudah buat banyak kesalahan, agama yang banyak rekaan di dalamnya. Namun, kemudian apabila kita umat Islam hendak membuat kebaikan, taat kepada Tuhan, mereka terasa pula?

Jadi, ini adalah satu sifat manusia iaitu benci dan hasad apabila melihat orang lain membuat baik. Sedangkan orang yang buat baik itu tidak kacau pun mereka. Patutnya biarkanlah sahaja, bukan? Tetapi entah kenapa, mereka rasa sakit hati pula melihatnya. Maka Allah ﷺ sekarang beritahu kepada kita sifat mereka, supaya tidaklah kita dalam kehairanan kalau ramai yang tidak suka kepada agama Islam.

Malangnya, perkara ini terjadi juga dalam masyarakat Islam kita hari ini. Kalau ada orang yang hendak berbuat baik, ada sahaja yang sakit dan iri hati. Kenapakah pula boleh jadi perkara ini? Apalah salahnya jika kita hendak membuat baik? Kalau mereka tidak mahu buat benda baik, janganlah halang kami hendak berbuat benda baik pula? Ini adalah kerana, kalau ada orang yang buat baik, buat benda betul, itu akan menyebabkan mereka yang membuat salah itu yang nampak buruk. Jadi mereka akan serang sesiapa yang membuat perkara baik.

Sebagai satu contoh, katakanlah kita hendak membuat amal ibadat yang sunnah sahaja, yang bid’ah kita tidak mahu buat. Orang buat Majlis Tahlil kita tidak pergi, orang pergi melompat terkinja-kinja dalam Majlis Ya Hanana kita tidak pergi… tentu akan ada yang tidak suka kepada kita, kerana apabila kita tidak pergi, mereka terasa kita cakap yang amalan mereka buat itu salah.

Mereka sendiri yang terasa, padahal kita tidak cakap pun. Memang salah pun apa yang mereka lakukan itu, tetapi tidaklah kita serang majlis mereka, caci maki mereka, bukan? Namun mereka sendiri yang terasa. Mungkin kerana mereka sendiri tahu amalan itu tidak ada dalil. Jadi mereka mengharapkan SEMUA orang Islam buat, supaya tenang sedikit hati mereka (“Owh semua orang buat, takkan salah benda ini….”). Jadi bila kita tidak buat, maka mereka terasa hati dengan ketidakhadiran kita di majlis mereka. Sedangkan kita tidak hadir kerana itu majlis yang buang masa dan hanyalah rekaan dalam agama sahaja.

Dalam ayat ini, disebut ‘kebanyakan’ daripada Ahli Kitab itu dan tidak disebut semuanya kerana bukanlah semua daripada mereka menentang dan menolak agama Islam. Ada yang beriman dengan sebenarnya kepada agama mereka, dan kemudian apabila sampai Nabi Muhammad ﷺ, mereka pun beriman dengan baginda.

Tafsir Ayat Ke-60

Ini adalah natijah apabila mempersendakan agama.

قُل هَل أُنَبِّئُكُم بِشَرٍّ مِّن ذٰلِكَ مَثوبَةً عِندَ اللهِ ۚ مَن لَّعَنَهُ اللهُ وَغَضِبَ عَلَيهِ وَجَعَلَ مِنهُمُ القِرَدَةَ وَالخَنازيرَ وَعَبَدَ الطّٰغوتَ ۚ أُولٰئِكَ شَرٌّ مَّكانًا وَأَضَلُّ عَن سَواءِ السَّبيلِ

Katakanlah: “Apakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya dari (orang-orang fasik) itu di sisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, di antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan (orang yang) hamba thaghut?”. Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus.

قُل هَل أُنَبِّئُكُم بِشَرٍّ مِّن ذٰلِكَ مَثوبَةً عِندَ اللهِ

Katakanlah: “Apakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya daripada itu di sisi Allah,

Apa yang mereka buat itu teruk. Mereka mempersendakan agama, hukum kita sesat dan sebagainya. Dan mereka akan mendapat balasan yang setimpal nanti. Apakah balasan yang akan dikenakan kepada mereka? Sekarang Allah ‎ﷻ akan beritahu apakah balasan bagi mereka.

مَن لَّعَنَهُ اللهُ وَغَضِبَ عَلَيهِ

iaitu orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah,

Mereka akan dapat laknat daripada Allah ‎ﷻ. ‘Laknat’ itu maksudnya adalah ‘kutukan’. ‘Dikutuk’ ertinya “dijauhkan daripada rahmat-Nya”, dan ‘dimurkai’ ertinya “Allah murka kepada mereka dengan murka yang tidak akan reda sesu­dahnya untuk selama-lamanya. Maka ini adalah sesuatu yang amat buruk sekali.

وَجَعَلَ مِنهُمُ القِرَدَةَ وَالخَنازيرَ

di antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi

Murka Allah ‎ﷻ itu amat tinggi sehingga Allah‎ ﷻ zahirkan kemurkaan itu semasa di dunia lagi. Ini kerana ada yang Allah‎ ﷻ telah menukar mereka menjadi kera dan babi. Memang mereka menjadi kera dan babi yang sebenar.

Jangan pula ada yang kata, keturunan kera dan babi itu datang daripada mereka pula. Ini jelas daripada sebuah hadith:

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ: سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْقِرَدَةِ وَالْخَنَازِيرِ، أَهِيَ مِمَّا مَسَخَ اللَّهُ [تَعَالَى] ؟ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ لَمْ يُهْلِكْ قَوْمًا -أَوْ قَالَ: لَمْ يَمْسَخْ قَوْمًا-فَيَجْعَلْ لَهُمْ نَسْلا وَلَا عَقِبًا وَإِنَّ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ كانت قبل ذلك”.

Daripada Ibnu Mas’ud yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah ditanya mengenai kera dan babi, apakah kedua binatang itu berasal daripada kutukan Allah ‎ﷻ. Maka baginda ﷺ menjawab: Sesungguhnya Allah ‎ﷻ tidak pernah membinasakan suatu kaum —atau baginda mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ belum pernah mengutuk suatu kaum— lalu menjadikan bagi mereka keturunan dan anak cucunya. Dan sesungguhnya kera dan babi telah ada sebelum peristiwa kutukan itu.

وَعَبَدَ الطّٰغوتَ

dan menjadi hamba thaghut

Dan mereka dijadikan sebagai hamba kepada thaghut. Ini juga adalah salah satu daripada hukuman yang dikenakan kepada mereka. Thaghut adalah apa sahaja yang dijadikan ilah selain daripada Allah ‎ﷻ. Ia boleh fizikal atau non-fizikal seperti konsep, politik dan sebagainya. Apabila dikatakan mereka menjadi hamba, maknanya mereka telah dikawal oleh taghut itu. Mereka ikut telunjuk taghut sahaja dalam kehidupan mereka.

أُولٰئِكَ شَرٌّ مَّكانًا

Mereka itu lebih buruk tempatnya

Mereka akan duduk di tempat yang paling buruk sekali.

وَأَضَلُّ عَن سَواءِ السَّبيلِ

dan lebih tersesat dari jalan yang lurus.

Dan mereka itu paling sesat dari jalan yang benar. Sepatutnya kita berkehendak jalan yang lurus, tetapi mereka telah diberikan dengan jalan yang sesat. Mereka sangka mereka benar, tetapi sebenarnya mereka amat jauh daripada kebenaran.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan