Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-49 hingga ke-52

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-49 hingga ke-52

266
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Maidah
Tafsir Ayat Ke-49

وَأَنِ احكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللهُ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم وَاحذَرهُم أَن يَفتِنوكَ عَن بَعضِ ما أَنزَلَ اللهُ إِلَيكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوا فَاعلَم أَنَّما يُريدُ اللهُ أَن يُصيبَهُم بِبَعضِ ذُنوبِهِم ۗ وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ لَفٰسِقونَ

dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.

وَأَنِ احكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللهُ

dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah,

Ini adalah suruhan Allah ‎ﷻ kepada manusia untuk berhukum dengan hukum Allah ‎ﷻ. Ayat seperti ini berulang-ulang dalam Surah Maidah kerana waktu surah ini diturunkan, Islam sudah ada negara dan kena ada hukum untuk menguruskan manusia.

وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم

dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.

Nabi Muhammad ﷺ diingatkan untuk berpegang dengan hukum yang ada dalam Al-Qur’an dan jangan ikut hawa nafsu mereka yang tidak mahu kepada kebenaran. Ada ramai manusia yang cuba hendak memesongkan diri mereka daripada undang-undang yang sebenar. Maka kita hendaklah berpaling daripada mereka dan jangan ikut mereka.

Dalam kes Yahudi, mereka hendak mengubah pendirian Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata mereka itu ketua golongan Yahudi dan kalau mereka masuk Islam, akan ramai yang akan masuk Islam sekali dengan mereka. Mereka bersedia untuk ikut Nabi kalau baginda ikut kehendak mereka di dalam menentukan satu penghakiman seperti yang mereka hendak. Maka, kerana itu Allah‎ ﷻ tekankan kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan diikut hawa nafsu mereka.

وَاحذَرهُم أَن يَفتِنوكَ عَن بَعضِ ما أَنزَلَ اللهُ إِلَيكَ

Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu.

Allah ‎ﷻ ingatkan kepada Nabi ﷺ dan kepada kita juga, untuk berwaspadalah dengan mereka. Mereka itu kalau boleh hendak menggelincirkan kita dengan bertanyakan pelbagai perkara yang telah diturunkan dalam wahyu. Kalau kita terikut dengan mereka, ia boleh melupakan kita daripada syariat sebenar.

Ramai musuh Islam yang cuba hendak merosakkan iman kita. Cara yang mereka gunakan, mereka akan banyak tanya sebab hendak mengenakan kita, hendak menjerat kita dengan soalan-soalan mereka. Mereka akan tanya banyak soalan dan mungkin daripada seratus soalan itu, terdapat satu soalan yang kita tidak boleh jawab. Jadi mereka kata kita sudah kalah. Padahal satu sahaja yang tidak dapat jawab.

فَإِن تَوَلَّوا فَاعلَم أَنَّما يُريدُ اللهُ أَن يُصيبَهُم بِبَعضِ ذُنوبِهِم

Jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka.

Allah ‎ﷻ memberi ancaman, sekiranya mereka berpaling daripada mengikut keputusan wahyu, maka ketahuilah yang Allah ‎ﷻ akan mengazab mereka. Yakinlah tentang perkara ini.

Allah‎ ﷻ akan menimpakan mereka dengan musibah, kesan daripada sebahagian dosa yang telah mereka lakukan di dunia. Di dunia lagi mereka akan dikenakan musibah dan di akhirat kelak mereka akan dikenakan dengan azab neraka. Begitulah, zaman berzaman ada sahaja yang meninggalkan Islam. Kita tidak perlu hairan kerana Allah ‎ﷻ telah jelaskan dalam ayat ini.

Mereka itu keluar Islam kerana mereka itu telah ditakdirkan akan diazab oleh Allah ‎ﷻ. Mereka sendiri yang menolak syariat yang Allah ‎ﷻ telah sediakan. Mereka ragu-ragu dengan hukum yang Allah‎ ﷻ telah gariskan kerana mereka semenjak asal lagi tidak kisah dengan hukum-hukum itu.

Sebagai contoh, mereka akan mempersoalkan Hukum Hudud sehinggakan mereka merasakan agama Islam ini tidak benar kerana memberikan hukum yang mereka rasa tidak sesuai dengan zaman sekarang.

Kesesatan mereka itu sebenarnya telah direncanakan oleh takdir Allah ‎ﷻ dan dalam kebijaksanaan-Nya terhadap mereka, iaitu Dia hendak memalingkan mereka dari jalan hidayah disebabkan dosa-dosa mereka yang terdahulu yang menyebabkan kesesatan dan pembangkangan mereka.

وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ لَفٰسِقونَ

Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.

Sedarlah yang kebanyakan manusia itu bersifat fasik. Lebih ramai yang tidak beriman daripada yang beriman. ‘Fasik’ maksudnya derhaka kepada Allah ‎ﷻ. Dan memang mereka itu ramai lagi daripada orang yang beriman, jadi jangan ikut suara majoriti. Kadang-kadang kita terikut-ikut dengan suara majoriti sampaikan kita pun terjerumus juga. Ada orang kita kata: “Tapi ramai sahaja orang buat?” Ini adalah hujah yang lemah sangat kerana kita bukannya kena ikut majoriti, sebaliknya kita kena ikut yang benar.

Ingatlah yang mereka yang duduk dalam Islam pun ramai yang masuk neraka. Ini berlaku kalau mereka tidak mahu menggunakan syariat daripada Al-Qur’an. Memang begitulah Allah ‎ﷻ sudah sebut seperti di dalam ayat ini. Walaupun mereka itu mengaku Muslim kerana tidak semestinya kalau mereka mengaku Muslim mereka akan terus beriman atau terus mengikut lunas-lunas agama Islam.

Tafsir Ayat Ke-50

Apabila manusia tidak mahu menggunakan syariat yang sebenar, mereka tentunya akan menggunakan yang tidak patuh syariah. Itulah dipanggil jahilyyiah kerana ia bukanlah syariat sebenar.

أَفَحُكمَ الجٰهِلِيَّةِ يَبغونَ ۚ وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللهِ حُكمًا لِّقَومٍ يوقِنونَ

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?

أَفَحُكمَ الجٰهِلِيَّةِ يَبغونَ

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki,

Sudah ada hukum syariat daripada Allah ‎ﷻ namun mengapakah hukum jahiliyyah juga yang mereka cari? ‘Jahil’ itu maksudnya mengikut perasaan sahaja, tidak menggunakan akal fikiran yang waras dan membuat apa sahaja yang timbul dalam hati. Juga termasuk membuat sesuatu dengan tergesa-gesa. Kerana bukankah semasa tergesa-gesa itu kita tidak menggunakan akal sangat bukan?

Malangnya, zaman sekarang memang manusia tidak menggunakan akal mereka yang waras. Mereka kebanyakannya mengikut perasaan sahaja. Lihatlah bagaimana kita termakan dengan iklan-iklan di media sampaikan kita beli dan memakai perkara yang kita tidak perlukan tetapi kerana kita hendak memuaskan nafsu kita dan hendak menunjuk-nunjuk sahaja kepada orang lain. Inilah jahiliyyah zaman moden sekarang – “consumerism”.

Jadi sekarang kita tahu satu lagi makna bagi ‘jahiliyah’ iaitu berhukum tidak menggunakan syariat. Ini disokong lagi dengan sebuah hadith:

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Hilal ibnu Fayyad, telah menceritakan kepada kami Abu Ubaidah An-Naji yang telah mencerita­kan bahawa ia pernah mendengar Al-Hasan berkata, “Barang siapa yang memutuskan perkara bukan dengan hukum Allah, maka hukum Jahiliyyah yang dipakainya.”

وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللهِ حُكمًا

dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah

Namun siapakah lagi yang lebih baik dalam memberi hukum daripada Allah ‎ﷻ? Tentu tidak ada yang lebih baik daripada Allah ‎ﷻ, bukan? Hukum daripada Allah ‎ﷻlah yang lebih sesuai dan tepat untuk kita kerana Allah ‎ﷻ yang menjadikan kita, jadi Dia tahu apa yang kita perlukan dan apa yang baik untuk diri kita. Seperti kita membeli kereta Proton, tentulah kena menggunakan manual yang dikeluarkan oleh syarikat Proton. Takkan hendak digunakkan manual daripada Audi pula?

لِّقَومٍ يوقِنونَ

bagi orang-orang yang yakin

Syariat itu diberikan kepada semua manusia, tetapi yang menggunakannya adalah mereka yang yakin sahaja; iaitu mereka yang yakin bahawa syariat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita itu adalah untuk kebaikan kita juga. Yakin bahawa itulah yang terbaik bagi kita. Dan kalau kita tidak mengamalkan syariat itu, kita sendiri yang akan rugi. Tapi siapakah yang boleh mendapat keyakinan ini?

Yang boleh terima adalah mereka yang mempelajari wahyu dan memikirkan kebaikan-kebaikan yang ada dalam hukum itu. Ini memerlukan pembelajaran dan penjelasan daripada yang arif. Kerana kalau kita sendiri fikirkan, mungkin tidak akan sampai kepada maksud yang hendak disampaikan.

Sebagai contoh, kita lihat orang yang direjam kerana zina itu sangatlah keras hukumannya. Tetapi kita tidak nampak kebaikan padanya. Ia menjaga zuriat keturunan. Kalau penzinaan tidak dielakkan, maka yang terjadi adalah anak-anak terbiar tanpa bapa yang sah.

Mungkin kita lihat hukum potong tangan itu ganas. Akan tetapi ia menjaga harta benda kita daripada dicuri. Orang yang sudah dicuri barangnya tahu apakah perasaan mereka apabila barang mereka dicuri.

Tafsir Ayat Ke-51

Ayat ini hendak mengajar dan memberitahu kita mengenai perangai Yahudi dan Nasrani. Setelah disebut perangai mereka dan setelah kita tahu perangai mereka, maka kenalah fikir-fikirkan sendiri, sama ada kita hendak berbaik dengan mereka atau tidak?

۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا اليَهودَ وَالنَّصٰرىٰ أَولِياءَ ۘ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَإِنَّهُ مِنهُم ۗ إِنَّ اللهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman rapat; sebahagian mereka adalah teman rapat bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا اليَهودَ وَالنَّصٰرىٰ أَولِياءَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman rapat;

Allah‎ ﷻ memberitahu kepada orang beriman, supaya jangan menjadikan dua golongan itu sebagai teman rapat – sebagai penasihat, pakar rujuk, pemimpin, tempat berlindung dan sebagainya. Dalam istilah dipanggil ‘muwalat’ iaitu perhubungan yang rapat. Jangan sekali-kali cuba buat buat begitu.

Ayat ini banyak diperbincangkan dalam kalangan para tafsir. Selalunya digunakan sebagai dalil untuk tidak berkawan dengan golongan Yahudi dan Nasrani. Dan orang kafir selalu mengatakan inilah ayat yang mengatakan orang Islam tidak akan berbaik dengan mereka.

Oleh kerana itu, ayat ini hendaklah dibaca dalam konteks penurunannya. Ayat ini diturunkan selepas umat Islam telah kuat dan tidak perlu lagi perlindungan daripada mereka. Mungkin dahulu, bangsa Arab rapat dengan mereka (semasa di Madinah) kerana mereka itu mempunyai kedudukan dalam masyarakat, kaya, ada perniagaan besar, pandai dalam agama dan sebagainya. Tetaapi keadaan telah berubah, Islam pula yang duduk di atas. Jadi tidak perlu kepada mereka lagi.

Waktu itu, memang telah ada perjanjian damai dengan puak Yahudi dan Nasrani yang berada di Madinah. Akan tetapi lama kelamaan mereka tidak menepati perjanjian itu. Mereka telah bersekongkol dengan Musyrikin Mekah untuk menjatuhkan umat Islam. Dalam masa yang sama, mereka ada mata-mata yang telah menyusup masuk dalam kalangan umat Islam. Mereka mengumpul maklumat rahsia dan strategik untuk menjatuhkan Islam. Kerana itulah tidak boleh berhubungan baik dengan mereka kerana mereka tidak boleh dipercayai.

Bukanlah ayat ini tidak membenarkan berkawan langsung dengan mereka tetapi berkawan biasalah sahaja, bukanlah berkawan rapat dan jangan bergantung dengan mereka. Ini kerana mereka akan mengajak kepada kemungkaran kalau kita rapat sangat dengan mereka. Mereka juga sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan kita. Kalau mereka dapat maklumat rahsia kita, mereka akan gunakan.

Bahawa Umar رضي الله عنه pernah memerintahkan Abu Musa Al Asyari رضي الله عنه untuk melaporkan kepadanya tentang semua yang diambil dan yang diberikannya (yakni pemasukan dan pengeluarannya) dalam suatu catatan lengkap. Dan tersebutlah bahawa yang menjadi setiausaha Abu Musa رضي الله عنه waktu itu adalah seorang Nasrani. Kemudian hal tersebut dilaporkan kepada Khalifah Umar رضي الله عنه. Maka Khalifah Umar رضي الله عنه merasa hairan akan hal tersebut, lalu beliau berkata, “Sesungguhnya orang ini benar-benar pandai, apakah kamu dapat membacakan untuk kami sebuah surat di dalam masjid yang datang dari negeri Syam?” Abu Musa Al-Asy’ari رضي الله عنه menjawab, “Dia tidak dapat melakukannya.” Khalifah Umar رضي الله عنه bertanya, “Apakah dia sedang mempunyai jinabah?” Abu Musa Al-Asy’ari رضي الله عنه berkata, “Tidak, tetapi dia adalah seorang Nasrani.” Maka Khalifah Umar رضي الله عنه membentakku dan memukul pahaku, lalu berkata, “Pecatlah dia.” Selanjutnya Khalifah Umar رضي الله عنه membacakan firman Allah ‎ﷻ: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi wali (kalian). (Al-Maidah: 51), hingga akhir ayat.

Kita bukanlah sampai hendak bermusuh dan mencari lawan dengan mereka kerana kita masih lagi mahu berdakwah kepada mereka dan kalau tidak boleh berkawan langsung, bagaimana hendak berdakwah kepada mereka?

بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ

sebahagian mereka adalah teman rapat bagi sebahagian yang lain.

Tidak perlu berkawan rapat dengan mereka kerana sesetengah mereka memang teman rapat sesetengah yang lain. Itu sesama mereka tidak apalah sebab sama-sama tidak mengikut wahyu. Namun kita jangan pula rapat sangat dengan mereka sampai terikut-ikut cara mereka kerana kalau kita rapat dengan mereka, kita boleh terpesona dengan cara hidup mereka dan menjauh pula daripada agama. Itu yang kita takutkan.

Mereka sebenarnya tidaklah rapat sangat sesama mereka, tetapi dikatakan mereka boleh rapat kerana mereka mempunyai musuh yang sama, iaitu Islam. Sebab itu mereka boleh menjadi rapat. Ini seperti pepatah: “Musuh kepada musuh aku adalah kawan kepadaku”.

وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَإِنَّهُ مِنهُم

Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka.

Allah ‎ﷻ memberitahu dalam ayat ini, sesiapa di antara kita orang Islam yang berbaik dengan menjadikan mereka sebagai teman rapat, kita pula dikira sebagai Yahudi dan Nasara. Bahaya kalau rapat sangat dengan mereka kerana kita boleh terikut-ikut dengan cara mereka.

Dalam hal keduniaan, memang mereka sekarang nampak maju dan moden, nampak pandai dan sebagainya. Cara hidup mereka memang menarik kerana mereka tidak kisah tentang agama. Tetapi kita kena mengingatkan diri kita dan ahli keluarga kita supaya jangan mengikut budaya mereka kerana kita sudah ada budaya kita sendiri.

Malangnya, ramai dalam kalangan Muslim yang sudah terikut dengan cara hidup mereka. Cara hidup kita sebagai orang Islam tidak jelas, tetapi hendak diikut cara hidup mereka pula. Ini adalah kerana cara hidup mereka telah ditayangkan dengan banyak sekali dalam media massa sampaikan nampak seolah-olah amat menarik pula. Ini amat bahaya dan kalau kita tidak berhati-hati, memang kita akan menjadi sebahagian daripada mereka.

Sepatutnya kita kena kenalkan manusia dengan cara Islam, namun sebaliknya pula yang terjadi. Bagaimana hendak memperkenalkan cara hidup Islam sedangkan kita sendiri tidak tahu? Ini amat menyedihkan sekali.

Daripada Muhammad ibnu Sirin yang mengatakan bahawa Abdullah ibnu Atabah pernah berkata, “Hendaklah seseorang di antara kalian memelihara dirinya, jangan sampai menjadi seorang Yahudi atau seorang Nasrani, sedangkan dia tidak menyedarinya.” Menurut Muhammad ibnu Sirin, yang dimaksud olehnya menurut dugaan kami adalah firman Allah ‎ﷻ yang mengatakan: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi wali (kalian). (Al-Maidah : 51), hingga akhir ayat.

Maknanya, ada kemungkinan seseorang itu orang Islam, namun hakikatnya dia adalah seorang Yahudi dan Nasrani.

إِنَّ اللهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Dan kalau kita terikut dengan cara hidup dan fahaman akidah mereka, kita boleh terjerumus dalam kesyirikan (ini adalah kezaliman yang paling besar). Dan kalau kita sudah terjerumus dalam fahaman syirik, Allah ‎ﷻ tidak akan memberikan hidayah dan pertolongan lagi kepada kita. Nauzubillahi min dzaalik.

Tafsir Ayat Ke-52

Ayat syikayah. Ini adalah rungutan Allah‎ ﷻ kepada orang-orang munafik. Jadi asal ayat ini adalah tentang sahabat-sahabat Nabi ﷺ yang degil. Siapakah mereka itu? Ingatlah yang mereka itu duduk dalam majlis Nabi ﷺ.

Dan kerana mereka duduk dalam majlis Nabi ﷺ, kenal Nabi ﷺ, maka mereka kena sedar tentang siapa Nabi ﷺ itu. Dan jangan lagi keliru untuk mengikut orang luar pula. Tetapi kerana mereka ada masalah itu, maka ini adalah ayat teguran kepada mereka dan menjadi pengajaran bagi kita supaya jangan jadi seperti mereka.

فَتَرَى الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ يُسٰرِعونَ فيهِم يَقولونَ نَخشىٰ أَن تُصيبَنا دائِرَةٌ ۚ فَعَسَى اللهُ أَن يَأتِيَ بِالفَتحِ أَو أَمرٍ مِّن عِندِهِ فَيُصبِحوا عَلىٰ ما أَسَرّوا في أَنفُسِهِم نٰدِمينَ

Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: “Kami takut akan mendapat bencana”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan daripada sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka.

فَتَرَى الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ يُسٰرِعونَ فيهِم

Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani)

Ayat ini berkenaan mereka yang mengaku Islam tetapi dalam hati mereka ada penyakit nifak. Mereka ragu-ragu dan tidak yakin dengan Islam. Mereka duduk dalam majlis Nabi ﷺ tetapi hati mereka tidak betul, tidak kemas, tidak yakin dengan Islam.

Tanda mereka adalah mereka mudah sangat terima Yahudi Nasara sebagai teman rapat. Mereka duduk dengan Nabi ﷺ tetapi hati mereka terikat kepada Yahudi Nasara. Kalau zaman sekarang, mereka itu duduk dengan orang-orang Islam, tetapi teringat kepada kawan mereka yang kufur itu. Kalau para sahabat yang munafik, mereka masih lagi terhegeh-hegeh hendak rapat dengan Yahudi dan Nasara itu.

Kenapa mereka masih rapat lagi dengan golongan musuh?

يَقولونَ نَخشىٰ أَن تُصيبَنا دائِرَةٌ

Mereka berkata: “Kami takut akan mendapat bencana”.

Apabila ditanya kepada mereka, kenapa mereka rapat lagi dengan Yahudi Nasara itu, mereka akan beri alasan. Mereka kata mereka bimbang kalau-kalau mereka ditimpa kesusahan, nanti hendak minta tolong kepada siapa waktu itu? Mereka kata kena berkawan rapat dengan Yahudi Nasara itu sebab mereka itu kaya dan kalau zaman sekarang, mereka itulah yang memiliki Bank Dunia, kekayaan, kuasa, teknologi, kepakaran itu dan ini. Maka ada lagi orang Muslim hendak berkawan dengan Yahudi dan Kristian yang tidak suka kepada Islam.

Memanglah mereka itu kaya raya terlajak sebab mereka kaut keuntungan dengan cara zalim. Mereka itu tidak kira halal haram atau sama ada perbuatan mereka menindas manusia atau tidak. Dan tidak dinafikan memang duit banyak dengan mereka kerana mereka hanya mementingkan keduniaan dan harta sahaja. Itu adalah kenyataan dari zaman dahulu lagi.

Waktu zaman Nabi ﷺ, puak Islam dan kafir sedang berperang dan golongan munafik itu takut kalau-kalau puak Islam yang kalah, jadi mereka rasa ada kebaikan kalau mereka siap-siap berkawan dengan orang kafir. Maknanya mereka hanya berfikir hendak selamatkan diri mereka. Ini adalah salah kerana tidak 100% serah diri kepada Islam. Mahu ambil kesempatan sahaja. Sepatutnya mereka kena beri sokongan sepenuhnya kepada umat Islam.

Padahal, kenapalah yang hendak bergantung kepada golongan kuffar itu lagi. Mereka bukan hendak menolong kita pun. Mereka akan mengambil kesempatan sahaja di atas kesusahan kita nanti. Lihatlah sekarang, kita semakin berhutang dengan Bank Dunia lagi teruk. Mereka akan mengenakan riba yang tinggi dan mereka akan kawal apa kata dan tindakan kita. Kita yang akhirnya terkongkong.

فَعَسَى اللهُ أَن يَأتِيَ بِالفَتحِ

Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan

Allah ‎ﷻ hendak beritahu: itu adalah sikap yang tidak betul, tidak sepatutmya berfikiran begitu. Kena yakinlah yang Allah ‎ﷻ akan memberi kemenangan pada kita ke atas Yahudi Nasara. Harta yang mereka longgokan itu, tunggu masa sahaja untuk diambil daripada mereka apabila sampai masanya.

Kalau pada zaman Nabi ﷺ, sebenarnya hanya menunggu masa mereka belot dalam perjanjian antara mereka dan Nabi ﷺ sahaja. Dalam sirah akan belajar bagaimana ada puak Yahudi yang memungkiri perjanjian antara Yahudi dan Islam dan kerana itu mereka telah dikalahkan dan harta benda mereka telah diambil semuanya.

أَو أَمرٍ مِّن عِندِهِ

atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya.

Atau Allah ‎ﷻ akan bongkarkan betapa teruknya puak munafik ini bagaimana mereka itu sebenarnya tidak ada kasih sayang kepada agama. Mereka duduk dengan orang Islam tetapi jiwa mereka sebenarnya kufur. Mungkin Allah ‎ﷻ bongkarkan rahsia mereka itu.

فَيُصبِحوا عَلىٰ ما أَسَرّوا في أَنفُسِهِم نٰدِمينَ

Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka.

Dan apabila Allah ‎ﷻ sudah bongkarkan rahsia dalam hati mereka, maka mereka akan menjadi menyesal atas perkara yang mereka sembunyikan dahulu. Mereka akan berasa sangat menyesal.

Bagaimanakah cara Allah ‎ﷻ akan bongkarkan apa yang ada dalam hati mereka?

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan