Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-195

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-195

3991
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-195

Kita sudah membaca ayat tentang peperangan. Peperangan memerlukan sumber kewangan yang banyak. Belanjawan setiap negara pun akan meluangkan bahagian yang banyak untuk tentera mereka. Begitu juga, Islam menganjurkan umatnya untuk mengeluarkan wang untuk menegakkan jihad fisabilillah.

Sekarang kita masuk ke bahagian kedua dalam usaha untuk menegakkan dakwah iaitu dengan infaq. Sebelum ini kita sudah belajar usaha yang pertama iaitu jihad. Kedua-duanya adalah seumpama dua sayap yang diperlukan untuk menjalin kerja dakwah dan menegakkan kalimah Tauhid di dunia.

Kalau sayap satu sahaja yang berfungsi, ia tidak akan memberi hasil apa-apa pun. Burung yang satu sayapnya rosak, tidak akan dapat terbang. Maka, infaq dan jihad kena berjalan seiringan.

وَأَنفِقوا في سَبيلِ اللَّهِ وَلا تُلقوا بِأَيديكُم إِلَى التَّهلُكَةِ ۛ وَأَحسِنوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Hendaklah kamu infaq pada jalan Allah;

Iaitu dengan memberi sedekah untuk membantu pada jalan Allah ‎ﷻ. Ada tiga jenis sedekah:

Pertama, Zakat – ini wajib dikeluarkan.

Kedua, sedekah sunat – ini adalah sunat.

Ketiga, sedekah fi sabilillah – ini juga wajib iaitu sedekah kepada orang yang sebar dan orang yang keluar berjihad ke jalan Allah ‎ﷻ.

Orang kita kurang sangat sedekah kepada agama. Kalau kepada orang lain atau sebab-sebab lain, banyak juga. Tetapi kalau dibandingkan sedekah biasa itu dengan sedekah untuk membantu agama, amat kurang sekali. Kalau kita tanya kepada orang yang perniagaan mereka yang telah jatuh, mereka selalunya tidak bersedekah kepada jalan agama. Padahal mereka banyak sedekah ke tempat lain.

Ada dua perkara yang utama berkenaan infaq ini:

Pertama, ia adalah penyempurnaan kepada jihad kerana jihad tidak dapat dilakukan jikalau tidak ada infaq. Ini kerana jihad memerlukan segala kelengkapan seperti kenderaan, senjata, makan minum dan sebagainya yang tentunya memerlukan sumber kewangan yang besar.

Makna infaq adalah ‘belanja harta’. Tetapi yang dikehendaki kepada kita adalah untuk belanja kepada jihad fi sabilillah. Manusia memang akan keluarkan duit untuk infaq, beli itu dan ini tetapi selalunya ia bukanlah untuk jihad fi sabilillah.

Kalau infaq yang Allah ‎ﷻ suruh adalah untuk jihad fi sabilillah, baru ada nilai di sisi Allah ‎ﷻ kerana ada hubungan dalam menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Infaq dalam ayat ini bukanlah infaq untuk perang sahaja tetapi untuk jalan Allah ‎ﷻ yang lain. Tetapi infaq untuk perang adalah salah satu yang amat penting sekali.

Kedua, Allah ‎ﷻ akan balas infaq fisabilillah yang dilakukan oleh manusia. Allah ‎ﷻ akan balas nilai infaq fisabilillah itu dengan 10 kali ganda sekurang-kurangnya semasa di dunia lagi dan akan dibalas di akhirat nanti dengan balasan syurga.

Jadi, ada dua perkara tentang infak ini iaitu ia bukan sahaja untuk menyempurnakan tuntutan jihad tetapi ia juga boleh meningkatkan rezeki untuk kita.

Sebagaimana jihad mempunyai syarat-syaratnya begitu juga dengan infak. Untuk membolehkan kita mendapat balasan daripada infaq yang kita telah lakukan maka ada lapan syarat yang perlu dipenuhi yang akan disebutkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an selepas ini. Jadi kalau hendakkan balasan daripada Allah ‎ﷻ seperti yang telah dijanjikan, maka kenalah syarat-syarat itu dipenuhi.

Daripada lapan syarat itu ada empat yang kena ada dan empat yang tidak boleh ada. Semuanya ada disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Jadi ia adalah syarat-syarat yang besar kerana datang daripada Allah ‎ﷻ sendiri.

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Dan jangan kamu campakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam jurang kebinasaan;

Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dengan tidak infaq. Infaq itu adalah kesempurnaan dan jikalau tidak infaq akan menyebabkan kebinasaan kepada diri kita.

Kita lihat banyak ayat ini ditampalkan di dinding-dinding dalam masjid. Selalunya dijadikan dalil untuk mengharamkan orang menghisap rokok. Ini kerana menghisap rokok itu membahayakan kesihatan dan dikira perbuatan itu menjerumuskan diri kepada kebinasaan dengan tangan sendiri. Itu adalah tafsiran yang salah sebab ayat ini bukan maksud begitu.

Untuk memahami ayat ini, kita kena lihat apakah asbabun nuzul ayat ini. Ada seorang lelaki yang masuk Islam lambat. Selepas Nabi ﷺ tiada, baru dia masuk Islam. Semasa dia kafir, dia selalu berperang dengan Islam. Tetapi selepas dia masuk Islam, dia ingin menebus kesalahannya dahulu dengan menyertai perang menentang orang kafir.

Semasa menentang tentera Rom, dia lihat ramai orang Islam takut hendak lawan orang Rom kerana mereka nampak tentera Rom terlalu ramai. Dia kesal dengan sikap tentera Islam itu dan dia berpidato mengatakan semasa dia menentang orang Islam dahulu, dia rasa takut sangat dengan tentera Islam. Tetapi sekarang, orang Islam pula takut kepada orang kafir.

Jadi dia terus masuk menyerang orang Rom seorang diri dan dia terbunuh. Ada sahabat melihat kejadian itu, maka beliau membacakan ayat yang kita sedang tafsir ini – bermaksud lelaki itu ‘menjerumuskan dirinya ke dalam kebinasaan’. Tetapi ada seorang sahabat Ansar yang mendengar kata sahabat itu, mengatakan ayat itu berkenaan mereka (orang Ansar). Dia kata dia lebih tahu maksud ayat itu kerana ia adalah tentang mereka (puak Ansar).

Mereka dahulunya telah banyak membantu Islam semenjak daripada Nabi ﷺ datang ke Madinah. Tetapi apabila Islam sudah semakin senang, mereka mengatakan bahawa sekarang sampailah masa untuk mereka membuat harta pula iaitu mereka rasa mereka tidak perlu lagi memberi derma kepada Islam.

Mereka berfikir sesama mereka sahaja tanpa merujuk kepada Nabi ﷺ. Padahal waktu itu Nabi ﷺ masih lagi mengarahkan para sahabat untuk terus menerus melakukan jihad dan infaq dan tidak pun suruh mereka berhenti. Oleh kerana ada segelintir daripada para sahabat yang sudah ada fikiran yang lain dari yang sepatutnya, maka Allah ‎ﷻ telah turunkan ayat ini sebagai teguran kepada mereka.

Mereka hendaklah terus infaq untuk jihad fisabilillah dan jangan campakkan diri ke dalam kebinasaan dengan tidak melakukan infaq. Maka, ayat ini diturunkan kerana kata-kata mereka yang hendak berhenti daripada memberi sedekah itu. Bermakna, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan adalah tidak menderma atau berhenti menderma di jalan Allah ‎ﷻ.

Walau bagaimana pun ayat ini juga boleh berbentuk umum dan boleh digunakan untuk perkara-perkara lain juga. Tetapi asal turun ayat ini adalah seperti yang disebut di atas. Oleh itu tahulah kita, jikalau tidak infaq di jalan Allah ‎ﷻ seperti mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan kerana harta yang tidak diinfaqkan ke jalan Allah ‎ﷻ tidak akan jadi subur dan akan disoal nanti oleh Allah ‎ﷻ ke mana kita salurkan.

Maka, jangan kita jadi bakhil dengan tidak berderma di jalan Allah ‎ﷻ. Jangan belanjakan wang di tempat lain yang tidak berfaedah. Kalau kita tidak membelanjakan wang ke jalan Allah ‎ﷻ, tetapi belanja di tempat lain, maka itu menunjukkan kita lebih sayangkan dunia daripada akhirat.

Apabila kita lebih sayangkan dunia, maka Allah ‎ﷻ tidak lagi bersama kita. Itulah puncanya nanti yang menyebabkan kebinasaan kita. Itulah makna ayat ini. Kebakhilan boleh menyebabkan kebinasaan kita.

وَأَحْسِنُوا

dan berbuat baiklah;

Satu syarat untuk infaq ini adalah ikhlas. Perkataan أَحْسِنُ dalam ayat ini bermaksud ikhlas kerana infaq yang tidak ikhlas tidak akan diberi ganjaran oleh Allah ‎ﷻ. Jadi, ini adalah syarat pertama daripada lapan syarat yang telah disebut sebelum ini.

Berbuat baiklah dengan sentiasa infaq kepada agama. Dalam hal infaq harta, hendaklah kita cemerlang iaitu buat dengan lebih lagi. Lebih daripada yang sepatutnya. Inilah satu lagi maksud ‘ihsan’. Kalau kita sudah memasukkan elemen taqwa dan faham tentang kepentingan jihad fi sabilillah, maka kita akan senang untuk mengeluarkan harta kita di jalan Allah ‎ﷻ.

Apa yang kita keluarkan dari harta itu adalah sebahagian daripada kita. Ini kerana harta kita adalah sebahagian daripada kita kerana kita telah meluangkan masa yang banyak untuk mendapatkan harta itu. Bermakna, kita kena belajar untuk memberikan sebahagian daripada diri kita. Jangan kita sangka yang wang itu hak kita sepenuhnya.

‘Ihsan’ dalam bentuk yang umum adalah berbuat baik secara keseluruhan. Bukan hanya dalam bentuk sedekah sahaja tetapi dalam semua perkara. Allah‎ ﷻ ingatkan kita untuk berbuat baik.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Sesungguhnya Allah amat sayang kepada orang yang berbuat baik.

Kena lihat balik makna ihsan. Daripada hadith, kita diberitahu bahawa konsep ihsan adalah kita berbuat sesuatu seperti kita melihat Allah ‎ﷻ. Kalau kita tidak dapat melihat Allah ‎ﷻ, maka tahulah bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat kita.

Maknanya, orang yang muhsin adalah orang yang sentiasa sedar bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihatnya. Dalam ayat sebelum ini, telah diberitahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ dekat dengan kita. Maka kalau kita dapat memasukkan fahaman itu ke dalam diri kita, senang untuk kita infaq di jalan Allah ‎ﷻ. Sebab kita tahu bahawa Allah ‎ﷻ menulis apa yang kita infaqkan itu di dalam kitab amalan kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan