Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-101 hingga Ke-103

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-101 hingga Ke-103

880
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

TAfsir Ayat Ke-101

وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ وَأَنتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ ءآيَاتُ اللَّهِ وَفِيكُمْ رَسُولُهُ وَمَن يَعْتَصِم بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Qur’an), dan dalam kalangan kamu ada Rasul-Nya (Muhammad)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ

Dan bagaimana kamu menjadi kafir

Ini adalah ayat teguran kepada umat Islam yang jadi murtad. “Macam mana pula kamu boleh kufur ni…?” Maksudnya, memang tidak masuk akal kalau kamu kufur. Agama begini punya jelas pun boleh kufur lagi? Ini kerana jauh dari wahyu dan jahil tentang agama sendiri.

وَأَنتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ ءآيَاتُ اللَّهِ

padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah ke atas kamu

Padahal selalu ‘dibacakan’ ayat Al-Qur’an kepada kamu. Kalimah تُتْلَىٰ maksudnya orang itu bukan baca sendiri. Mereka yang jatuh murtad itu tentunya tidak baca Al-Qur’an, tidak belajar agama dengan betul. Jadi kalau mereka dengar pun, tentulah kerana ada orang lain yang bacakan dan sampaikan kepada mereka.

Ini isyarat bahawa yang dimaksudkan adalah orang yang lemah iman sebab tidak baca sendiri Al-Qur’an itu. Kalau baca pun tidak, tentulah faham pun tidak (tidak belajar tafsirnya). Akan tetapi walaupun mereka sendiri tidak baca, tetapi telah ada yang sampaikan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka kerana Al-Qur’an ini boleh didapati di mana-mana dan para pendakwah pun ramai. Jadi tidak boleh kata tidak pernah dengar langsung.

وَفِيكُمْ رَسُولُهُ

dan dalam kalangan kamu ada Rasul-Nya

Ayat Al-Qur’an adalah tafsir kepada perkataan آيَاتُ dalam ayat ini dan belajar sunnah adalah tafsir kepada perkataan رَسُولُهُ. Maksudnya, memang Nabi tidak ada dengan kita tetapi kita masih ada kitab hadith. Semua kitab itu tertulis sudah oleh ulama-ulama hadith untuk menyampaikan agama kepada kita, tetapi adakah orang-orang kita belajar?

Malangnya ramai tidak belajar dan jauh dari ilmu wahyu (Al-Qur’an atau hadith). Ini kerana mereka sibuk dengan perkara keduniaan yang lain. Ibu bapa pun tidak mementingkan  pelajaran agama kepada anak-anak. Dan kalau ada yang belajar agama sampai ke Pondok dan sampai ke Universiti, tidak belajar pun Tafsir Al-Qur’an dan syarah Hadith, tetapi belajar kitab-kitab yang lain. Kitab-kitab itu bertahun-tahun mereka belajar, tetapi Tafsir Al-Qur’an dan Hadith Nabi entah bila hendak belajar, tidak tahu.

Kesannya ramai yang keluar Islam sebab tidak belajar agama Islam dengan betul.

وَمَن يَعْتَصِم بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

Berpegang teguh itu dalam konteks ayat ini maksudnya tidak ikut percaya kepada diayah ahli kitab.

Sekarang, bukan sahaja kena jaga dengan Ahli Kitab, tetapi kena jaga dengan puak Syiah, ajaran sesat dan puak bid’ah. In sha Allah, kalau pemahaman kita mantap, kita tidak akan terkeliru dengan dakyah mereka.

Tafsir Ayat Ke-102

Ini adalah ayat targhib (ajakan) kepada jihad. Ini sebenarnya adalah pengulangan tajuk dalam Surah Baqarah. Ini adalah kerana Jihad pun sudah disebut dalam Surah Baqarah dan sekarang disambung dalam surah ini kerana Surah Ali Imran ini adalah kembar bagi Surah Baqarah. Seperti yang kita telah sebut, ada kaitan rapat antara Surah Baqarah dan surah Ali Imran.

Untuk memudahkan kita faham susunan ayat-ayat selepas ini, disenaraikan apakah topik-topik yang akan dibincangkan oleh ayat-ayat dari Surah Ali Imran ini nanti.
Ayat 102-129 tentang jihad.
Ayat 130-139 tentang infaq.
Ayat 140-179 tentang jihad semula
Ayat 180-184 tentang infaq semula
Ayat 185-186 tentang jihad dan infaq
Ayat 187-188 Ayat-ayat Zajrun.
Ayat 189-192 tentang tauhid
Ayat 193-195 tentang risalah
Ayat 195-199 tentang jihad dan infaq
Ayat 200 kesimpulan semula sekali, iaitu tentang Tauhid, Risalah, Jihad dan Infaq

Jadi, kita boleh lihat bagaimana topik-topik itu berselang seli antara satu sama lain. Begitulah cara Al-Qur’an berseli-seli tajuknya kerana Al-Qur’an bukanlah buku akademik yang meletakkan tajuk-tajuk tertentu.

Untuk menghadapi orang kafir, bukan boleh tunggu dan lihat sahaja apa yang mereka akan buat. Kita kena lakukan sesuatu untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Oleh kerana itu umat Islam kena jalankan jihad, baru mereka akan lemah. Kerana kalau dibiarkan sahaja mereka, akan beri bahaya kepada kita kerana mereka akan mengajak ke arah agama mereka dan cara hidup mereka.

Inilah yang kita kena cakna, ditakuti kita menjadi jauh dari agama kita yang mulia ini. Kita amat takut sangat agama ini lari daripada kita. Kalau kita tidak murtad pun, ditakuti anak cucu kita pula yang akan murtad pula kerana kita hanya berpeluk tubuh sahaja.

Sedarlah yang Allah SWT tidak akan selamatkan umat Islam yang mendiamkan diri. Allah SWT boleh sahaja tukar kita dengan umat lain yang lebih baik daripada kita. Maknanya, Allah SWT sedang beri peluang kepada kita untuk berjuang dalam menjalankan dakwah kepada Islam. Dan kalau kita tidak buat apa-apa, Allah SWT akan tukar kita dengan orang lain.

Namun, bukanlah kita hendak ajak jihad perang (Jihad Qital) sekarang (kerana jihad tidak boleh dilakukan sekarang kerana tidak cukup syarat). Ini kerana kita tidak ada khalifah lagi buat masa ini. Yang kita boleh jihad sekarang tanpa perlu tunggu Khalifah adalah menyampaikan ayat Al-Qur’an kepada manusia iaitu ‘Jihad Lisan’.

Ini kerana ‘Jihad Qital’ kena penuhi banyak syarat dan bukan semua orang boleh buat. Tetapi jihad dengan Al-Qur’an ini semua orang boleh buat. Jadi kena belajar semua ayat Al-Qur’an dan sampaikan kepada manusia lain kerana Allah SWT sudah susun Al-Qur’an ini dari Surah Fatihah sampai surah an-Nas untuk kita kenal Dia. Kalau belajar semua sekali dengan cara yang benar, in sha Allah tidak akan murtad, tidak akan sesat.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ

orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa,

Wahai manusia, hendaklah kamu takut dengan sebenar-benar takut kepada Allah SWT. Takut dalam ayat ini adalah takut kepada akidah syirik. Jangan langsung buat sesuatu yang boleh membawa kepada syirik,

Lafaz حَقَّ تُقَاتِهِ boleh bermaksud ‘taqwa kepada Allah SWT sebagaimana yang sepatutnya’. Ini adalah amat berat sekali untuk dilakukan. Adakah kita mampu melakukannya? Para sahabat takut kerana mereka tahu yang mereka sendiri tidak mampu untuk melakukannya. Kerana mereka tahu bahawa mereka tidak mampu hendak beribadat kepada Allah SWT sebagaimana yang selayaknya, tidak dapat bertaqwa sebagaimana yang Allah SWT kehendaki.

Ini biasa kerana kita semua insan yang lemah dan tidak mampu. Alhamdulillah, dalam Surah at-Taghabun, Allah SWT telah berfirman yang kita melakukan taqwa setakat yang kita mampu. Jadi kena baca ayat itu bersama ayat ini. Kalau tidak, memang kita akan dikira gagal sentiasa sahaja.

Apabila sudah begitu, maka ia kembali kepada diri kita sendiri. Kita kena nilai diri kita setakat mana yang kita mampu. Kita kena tahu setakat mana kemampuan kita kerana setiap orang mempunyai kemampuan yang berbeza-beza. Dan kita jangan ‘curi tulang’ pula iaitu, kita boleh buat lebih lagi, tetapi kita buat kurang dari yang kita boleh.

Orang lain tidak akan dapat tahu, tetapi kita sendiri akan tahu kerana kita kenal kemampuan kita, bukan? Ingatlah bahawa nanti kita akan mengadap Allah SWT dan akan dipersoal sama ada kita sudah melakukan yang terbaik yang kita boleh lakukan. Dengan orang lain kita boleh jawab: aku dah buat yang terbaik. Mereka tidak boleh menilai kita. Tetapi Allah SWT boleh menilai kita.

تَمُوتُنَّ إِلَّاوَلَا  وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Dalil yang menunjukkan bahawa ayat ini adalah peringatan supaya jangan syirik adalah kerana Allah SWT pesan supaya jangan mati melainkan dalam keadaan akidah Islam. Muslimin di sini bermaksud muwahhidun – mentauhidkan Allah SWT.

Ini amat penting kerana kalau ada amalan atau fahaman syirik, tidak ada peluang untuk dapat syafaat pun. Oleh itu, akidah kita kena jaga betul-betul kerana kalau mati ada syirik, tidak ada harapan langsung untuk masuk ke syurga. Jika kita buat dosa yang selain syirik, masih ada peluang untuk masuk syurga – sama ada Allah SWT masukkan dalam neraka dahulu, atau Allah SWT ampunkan terus. Tetapi dosa syirik Allah SWT telah beritahu yang Dia tidak akan ampun.

Allah ingatkan kita jangan mati melainkan dalam keadaan taat kepada arahan-Nya. Tetapi kita tidak boleh tentukan bila kita akan mati bukan? Maka, ini mengajar kita jangan langsung buat dosa kerana takut kalau kita mati semasa sedang melakukan dosa. Itu dinamakan su’ul khotimah – penutup yang buruk – kita tutup hayat kita di dunia dengan cara yang buruk.

Cara kita mati boleh dijadikan sebagai tanda apakah nasib kita di akhirat nanti. Ada tanda-tanda mati yang baik. Contohnya kalau kita mati sedang melakukan ibadah. Semoga kita mati semasa melakukan ibadah. Ini amat menakutkan sekali kerana kita tidak tahu lagi apa nasib kita.

Jadi ayat ini adalah muqaddimah sahaja kepada jihad. Belum nampak dengan jelas lagi sekarang. Akan nampak dengan jelas apabila semakin kita baca dan telusuri ayat-ayat selepas ini.

Tafsir Ayat Ke-103

Allah SWT beritahu yang kita kena buat seperti yang disuruh dalam ayat ini. Kalau kita lakukan, barulah kita akan capai apa yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah

Ulama sepakat mengatakan yang dimaksudkan dengan حَبْلِ اللَّهِ (Tali Allah) adalah Al-Qur’an.

Dan lafaz جَمِيعًا bermaksud ‘semua sekali’. Maksudnya, semua ayat-ayat Al-Qur’an itu. Jangan tolak walau satu pun ayat Al-Qur’an. Maka, kenalah belajar tafsir semua sekali ayat Al-Qur’an itu 30 juzuk. Jangan pilih-pilih pula mana yang kita suka. Kena luangkan masa dalam hayat kita ini supaya dapat belajar tafsir keseluruhan ayat Al-Qur’an.

Kata جَمِيعًا juga bermaksud ‘berjemaah’. Hendaklah kita bersama-sama dengan orang lain berpegang dengan Al-Qur’an. Oleh itu, hendaklah kita ramai-ramai kena belajar dan sebarkan Al-Qur’an ini. Janganlah kita faham sendiri sahaja dan biarkan orang lain terkontang-kanting tidak tahu hal agama ini.

Namun, belajar mestilah dengan cara yang benar. Kenalah talaqqi belajar dengan guru dan kemudian tambah dengan membaca kitab-kitab tafsir yang banyak ada di pasaran. Memang ada banyak tafsir dengan berbagai kitab tetapi secara dasarnya banyak persamaan antara tafsir itu. Itu sebagai penambahan maklumat kerana setiap kitab ada perkara khusus yang disentuh.

وَلَا تَفَرَّقُوا

dan janganlah kamu bercerai-berai;

Jangan kamu berpecah belah tentang Al-Qur’an. Kalau kita tidak pegang Al-Qur’an semua sekali, akan rosak agama dan umat pun akan pecah belah. Untuk umat bersatu, bukan dengan menggunakan hadith, tetapi dengan Al-Qur’an. Kerana dengan hadith, manusia boleh lagi berpecah jadi mazhab – kita pun lihatlah sekurang-kurangnya ada empat mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah pun. Bukanlah saya kata salah mazhab itu pula.

Kita sekarang hendak bincang tentang perpaduan. Hanya dengan Al-Qur’an, baru boleh bersatu. Ini adalah kerana Al-Qur’an mengajak kepada akidah tauhid dan hal akidah ini mazhab yang empat pun sama sahaja pendapat mereka. Kalau perbezaan bab fekah, zaman sahabat pun sudah ada perbezaan pendapat dan tidak membahayakan pun.

Dalam hal feqah, kita boleh bertolak ansur kerana ada banyak pendapat, tetapi hal akidah, kena pegang satu pendapat sahaja, iaitu yang disampaikan oleh Al-Qur’an. Terutama tentang tauhid dan furu’ aqidah. Oleh itu, janganlah ada yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an kalau prihatin dengan agama dan pengakhiran kita di akhirat kelak.

Semua sekali umat Islam kena belajar. Diingatkan sekali lagi untuk belajar dengan benar. Jangan gunakan ayat-ayat Al-Qur’an pula untuk tafsirkan dengan cara yang salah, yang menyebabkan perpecahan dalam umat pula. Ini pun ada juga terjadi dalam kalangan umat Islam di dunia. Sebagai contoh, ada yang gunakan ayat Al-Qur’an untuk berbunuhan pula.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita supaya jangan berpecah buat kumpulan lain selain dari kumpulan Muslim. Memang akan ada sahaja perbezaan pendapat, ini perkara biasa kerana kita semua manusia, pendidikan berbeza dan pemahaman pun berbeza. Tetapi kena tetap duduk dalam jemaah Islam.

Memang sebagai manusia akan ada sahaja perbezaan pendapat dan fahaman, namun jangan besarkan perbezaan itu. Kita sekarang sudah banyak sangat kumpulan dan persatuan. Semua dengan niat yang baik, janganlah kita taksub dengan kumpulan kita kerana kita semua bekerja untuk Allah SWT. Walaupun banyak kumpulan kecil, tetapi kumpulan yang terbesar adalah kumpulan jemaah Islam.

Dan kena pandai menangani perbezaan pendapat (ikhtilaf). Janganlah kerja hendak mencari salah orang sahaja. Ramai yang terbelit dengan masalah ini kerana tidak tahu menahu langsung tentang ikhtilaf. Yang kita kena buat selalu adalah ingat nikmat Allah SWT beri kepada kita (nikmat Islam dan dijadikan kita sebagai Muslim). Bayangkan kalau Dia masukkan kita dalam agama kafir, macam mana?

وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ

dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu

Ini adalah nikmat yang khusus diberikan kepada Arab Madinah yang dulunya berperang sesama mereka. Dengan nikmat Al-Qur’an, mereka jadi seperti adik beradik. Ini adalah contoh bagaimana Al-Qur’an dapat menyatukan manusia. Apabila tauhid kepada Allah SWT, Allah SWT boleh satukan hati. Oleh itu, perkara yang besar yang penting dijaga adalah akidah.

Memang kita sendiri boleh rasa bagaimana Al-Qur’an dapat menyatukan manusia. Cara paling senang kita tengok adalah kalau kita lihat orang yang selalu baca Al-Qur’an, kita akan hormat dia. Ini terjadi secara semulajadi. Apatah lagi kalau seorang yang hafiz Al-Qur’an, lagi kita akan hormat dia. Allah SWT yang timbulkan perasaan sayang dan hormat itu dalam hati kita kerana Al-Qur’an.

Perkataan فَأَلَّفَ digunakan yang bermaksud ‘seribu’ secara literal. Ia bermaksud benda yang pecah seribu dan dijadikan satu balik dan lekat balik. Pelekat itu adalah Al-Qur’an.

فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوٰنًا

maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu, orang-orang Islam yang bersaudara.

Kerana Al-Qur’an manusia boleh menjadi saudara seagama dan berpegang kepada satu sumber pegangan yang menyatukan kita. Ada beza antara ‘ikhwah’ dan ‘ikhwan’. Dua-dua perkataan ini kita selalu dengar tetapi apakah bezanya?

Ikhwah adalah talian persaudaraan kekeluargaan. Ikhwan pula adalah pertautan antara mereka yang mempunyai matlamat yang sama walaupun bukan keluarga darah daging. Tetapi apabila orang mukmin, walaupun bukan adik beradik, mereka seperti ikhwah sesama sendiri. Sudah jadi macam adik beradik. Namun, dalam ayat ini digunakan lafaz إِخْوَانًا kerana masih pada peringkat awal.

Oleh itu, jagalah persaudaraan Islam sesama kita. Lihatlah orang Islam yang lain sebagai orang yang sama sahaja dengan kita, sama-sama dalam akidah yang satu dan Tuhan yang satu. Janganlah pandang sangat perbezaan antara kita. Perbezaan memang akan tentu ada. Tetapi carilah apa perkara yang menyatukan kita. Pandanglah manusia lain dengan pandangan rahmah.

وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu.

Allah ingatkan Arab Madinah bagaimana mereka dahulu sudah duduk tepi jurang Neraka, tunggu mati sahaja untuk dimasukkan terus ke dalam neraka. Tetapi Allah SWT selamatkan mereka dengan beri fahaman tauhid kepada mereka.

Begitu juga, ramai daripada kita yang hanya tahu tauhid dengan sebenar selepas belajar tafsir Al-Qur’an. Ada yang menangis kerana mengenangkan apa yang mereka lakukan semasa mereka belum belajar tafsir, kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan dulu, akan menyebabkan mereka masuk terus ke dalam neraka kalau tidak bertaubat.

Namun, untuk bertaubat, hanya selepas mengetahui yang perbuatan itu salah dahulu. Berapa ramai lagi yang masih mengamalkan amalan syirik tanpa mereka sedari kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an?

كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Allah SWT menceritakan semua ini adalah untuk memberi hidayah kepada kita. Maka kita kenalah ambil pengajaran dari ayat-ayat Allah ini. Jangan kita baca begitu sahaja, hafal begitu sahaja tetapi tidak difahami apakah yang Allah SWT hendak sampaikan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan