Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Soal Jawab Bersama Doktor: Seputar Persoalan Kesihatan Bilik 50 – Bahagian 4/2020

Soal Jawab Bersama Doktor: Seputar Persoalan Kesihatan Bilik 50 – Bahagian 4/2020

219
0
Iklan

Pengambilan telur dalam sehari  

Soalan 1:

Berapa biji pengambilan telur rebus sehari yang sesuai untuk diet bagi yang berusia 40 tahun ke atas?

Jawapan:

Jika tiada menghidap apa-apa penyakit dan aktif, pengambilan 2 hingga 4 biji adalah memadai.

[Memakan sebiji telur dalam sehari merupakan salah satu daripada pelan pemakanan yang sihat kerana ia tidak memberikan kesan yang signifikan terhadap peningkatan risiko penyakit jantung bagi mereka yang dikategorikan sebagai individu sihat.

Telur bukanlah mengandungi lemak semata-mata kerana kandungan utama bagi telur ialah protein. Oleh itu, anda tidak akan menjadi gemuk sekiranya anda kerap makan telur. Namun, setiap apa yang anda makan, ia perlulah diambil secara berpada-pada dan tidak berlebih-lebihan.]

Alahan Ubat

Soalan 2:

Mohon pencerahan tindakan selanjutnya jika berlaku alahan kerana pengambilan ubat?

Jawapan:

Untuk kepastian, sila ke klinik berjumpa balik doktor yang sama,

[Alahan ubat jarang berlaku tetapi ianya boleh menyebabkan tindak balas daripada kurang berisiko hingga mengancam nyawa. Oleh itu, amat penting untuk menyemak ubat-ubat yang perlu diambil bagi mengelak kejadian alahan ubat yang boleh mengancam nyawa seperti anafilaksis. Pesakit hendaklah sentiasa memaklumkan anggota kesihatan tentang alahan ubat yang pernah dialami apabila menjalani rawatan atau mendapatkan ubat-ubatan.]

Tanda-tanda Buasir

Soalan 3:

Merujuk kepada keadaan kawan saya yang berpenyakit buasir, beliau ditahan wad kerana kurang darah dan tapak tangannya berwarna kuning.  Adakah tanda-tanda itu ada kena-mengena dengan penyakit buasir?

Jawapan:

Buasir akan selalu berdarah menyebabkan hemoglobin rendah dan tangan kekuningan kerana pucat disebabkan kekurangan darah.

[Pendarahan adalah gejala utama penyakit itu kerana 70 peratus daripada pesakit buasir akan mengalami pendarahan apabila mereka membuang air besar. 

Buasir boleh dibahagikan kepada empat peringkat dan setiap peringkat mempunyai gejala tersendiri:

  • Peringkat pertama selalunya menunjukkan gejala pendarahan ketika pesakit meneran apabila membuang air besar.
  • Peringkat kedua, buasir akan terkeluar sedikit apabila pesakit meneran untuk membuang air besar, tetapi naik semula selepas selesai meneran.
  • Peringkat ketiga pula adalah keadaan di mana buasir semakin membengkak dan terkeluar setiap kali membuang air besar, tetapi pesakit hanya perlu memasukkan semula buasir ini dengan jari.
  • Peringkat keempat, kesakitan ketika membuang air besar menjadi semakin teruk dan buasir boleh terkeluar dan ia memerlukan rawatan daripada pakar perubatan.]

Pengambilan ubat penahan sakit bagi pesakit kanser

Soalan 4:

Bolehkah pesakit kanser stage 4 mengambil ubat tahan sakit untuk mengurangkan sakit badan?

Jawapan:

Pengambilan ubat tahan sakit mengikut sukatan yang dibenarkan boleh diambil oleh pesakit kanser.

[Kebanyakan pesakit kanser mengalami kesakitan dari tahap sederhana ke teruk yang memerlukan rawatan dengan ubat penahan sakit.  Terdapat beberapa jenis ubat tahan sakit yang digunakan untuk melegakan kesakitan kanser tersebut. Walau bagaimanapun, ubat penahan sakit yang kuat tidak semestinya berkesan mengurangkan kesakitan ataupun sesuai untuk semua orang, oleh itu ubat tersebut perlu diambil atas nasihat doktor yang merawat.]

Bengkak akibat terjatuh atau kemalangan

Soalan 5:

Anak saya terjatuh dari tangga dan mengalami bengkak seperti dalam gambar yang tertera namun tiada gejala muntah-muntah dan masih aktif seperti biasa.  Adakah saya perlu membawanya berjumpa doktor untuk rawatan kerana bengkak yang dialami kebiru-biruan dan sakit apabila ditekan?

Jawapan:

Terdapat pendarahan dibawah kulit itu menyebabkan bahagian yang tercedera berwarna kebiruan.  Itu adalah kerana graviti darah turun ke bawah menyebabkan bahagian atas mata juga jadi lebam. Jika anak aktif dan tidak muntah biasanya tiada apa yang serius.

[Apabila hentakan berlaku, kulit mungkin terkoyak dan menyebabkan pendarahan tetapi jika luka itu besar dan membabitkan salur darah yang besar ia boleh menyebabkan pendarahan serius.  Selain luka, ada juga kecederaan kepada kulit kepala disusuli benjol saja yang boleh disebabkan oleh bengkak pada kulit atau pendarahan di bawah kulit apabila darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak.

Benjol di kepala yang disebabkan pendarahan di bawah kulit biasanya akan hilang dengan sendirinya dan boleh mengambil masa satu hingga dua minggu untuk hilang sepenuhnya. Mangsa mungkin akan rasa sakit di tempat benjolan itu dan mungkin lebih sakit jika benjol ditekan. Tuaman sejuk boleh mempercepatkan benjolan itu reda atau berkurang manakala tuaman panas dapat mengurangkan sakit tetapi perlu disusuli tuaman sejuk kerana panas akan menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak.]

Komen dan Soalan