Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-228

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-228

1557
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-228

Apabila sudah disebut tentang cerai, maka akan ada apa yang dinamakan iddah – tempoh tunggu setelah bercerai. Hikmah diadakan iddah ini adalah kerana takut-takut ada benih suami pertama di dalam perut isteri yang diceraikan itu.

Kalau tidak ada iddah, seorang wanita ada berkemungkinan terus berkahwin dengan lelaki lain selepas bercerai dengan suaminya yang pertama. Padahal dia mungkin sudah bersetubuh dengan suami pertama dan sudah ada benih dalam perutnya. Dia pun kahwin dengan lelaki yang baru dan bersetubuh pula dan kemudian mengandung. Suami kedua sangka itu anaknya padahal itu adalah anak suami pertama.

Kalau ini terjadi, terdapat masalah seperti salah meletakkan nasab anak itu (letak bin nama bapa yang salah), salah kepada pemberian harta pusaka dan sebagainya, salah dalam perwalian perkahwinan dan sebagainya dan juga seorang lelaki kena tanggung anak orang lain pula (anak suami pertama).

Jadi, bagi mengelakkan perkara ini, Islam mewajibkan untuk menunggu selama tempoh iddah untuk wanita itu, kemudian baru boleh berkahwin lain supaya dapat memastikan tidak ada benih suami yang telah bercerai itu.

وَالمُطَلَّقٰتُ يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلٰثَةَ قُروءٍ ۚ وَلا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكتُمنَ ما خَلَقَ اللهُ في أَرحامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤمِنَّ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ وَبُعولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ في ذٰلِكَ إِن أَرادوا إِصلٰحًا ۚ وَلَهُنَّ مِثلُ الَّذي عَلَيهِنَّ بِالمَعروفِ ۚ وَلِلرِّجالِ عَلَيهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

وَالمُطَلَّقٰتُ يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلٰثَةَ قُروءٍ

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci

Kalimah yang digunakan adalah: Tiga kali quru’. Perkataan قُروءٍ ini ada makna yang bertentangan. Ia boleh bermakna ‘suci’ dan juga boleh bermakna ‘haid’ (tidak suci). Oleh itu, Imam Syafi’iy رحمه الله berkata ia bermaksud ‘tiga kali suci’ tetapi Imam Abu Hanifah رحمه الله betkata ia bermaksud ‘tiga kali haid’.

Syeikh Abu Umar ibnu Abdul Barr رحمه الله mengatakan, tidak ada perselisihan pendapat di kalangan ulama’ bahasa dan ahli fiqah, bahawa yang dimaksud dengan quru’ ialah haid dan suci; dan sesungguhnya mereka hanya berselisih pendapat tentang makna yang dimaksudkan daripada ayat ini, iaitu terdiri atas dua pendapat.

Ini adalah salah satu ayat yang ulama’ khilaf tentangnya dan ini adalah khilaf yang diterima kerana ada sandaran hukum tentangnya kerana kalimah itu boleh diterjemahkan kepada dua perkataan (suci atau haid), maka ada ulama’ yang memilih salah satu daripadanya.

Oleh itu, Imam Syafi’iy رحمه الله memilih kalimah قُروءٍ itu sebagai ‘bersih’, maka kalau seorang isteri itu dilafazkan talaq semasa dia dalam suci, maka itu sudah dikira sebagai قُروءٍ yang pertama. Kemudian dia akan haid dan kemudian dia suci yang kedua. Kemudian dia akan haid lagi dan suci yang ketiga. Maka apabila dia haid lagi, maka dia telah habis iddahnya. Maknanya, secara efektif, masa yang digunakan dalam Mazhab Syafi’iy lebih pendek.

وَلا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكتُمنَ ما خَلَقَ اللهُ في أَرحامِهِنَّ

Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka,

Isteri yang telah ditalaq itu tidak dibenarkan menyembunyikan jika sudah ada benih dalam perut mereka kerana mereka sahaja yang tahu. Mungkin ada isteri yang marah atau benci sangat kepada suaminya sampai dia tidak beritahu yang dia mengandung anak suaminya itu.

Mungkin dia hendak memendekkan masa iddahnya, atau dia hendak memanjangkan masa iddahnya, maka dia boleh melakukannya dengan tidak memberitahu kandungan yang di dalam perutnya itu.

Ini kerana iddah wanita yang mengandung dikira sebaik sahaja dia bersalin. Jadi kalau dia hendak memanjangkan masa iddahnya, dia boleh kata dia mengandung, maka kena tunggu sampai bersalin; kalau dia hendak memendekkan masa iddahnya, dia tidak beritahu yang dia mengandung. Kalau dia kata dia mengandung, sudah tidak kira tiga قُروءٍ, kena tunggu sampai bersalin pula dan dia mungkin tidak mahu.

Ayat ini adalah ayat amaran dan ancaman kepada sang isteri itu kerana mengandung atau tidak, dia sahaja yang tahu. Maka Allah ‎ﷻ memberi peringatan kepada mereka supaya berterus terang, jangan simpan apa yang ada dalam perut itu.

إِن كُنَّ يُؤمِنَّ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ

jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Menyembunyikan ada anak dalam dalam kandungan itu adalah haram dan seorang isteri tidak boleh melakukannya. Dia mesti memberitahu suaminya itu bahawa dia telah mengandung. Itu kalau mereka hendak jaga agama mereka. Kalau mereka beriman, mereka tidak akan menyembunyikan kebenaran.

وَبُعولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ في ذٰلِكَ

Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka

Suami mereka lebih berhak untuk rujuk mereka dalam kes talaq yang boleh rujuk. Bukan wanita yang ada hak itu. Seorang isteri kena terima rujuk suaminya itu, sama ada dia suka atau tidak.

إِن أَرادوا إِصلٰحًا

jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.

Selagi tidak habis tiga furu’ lagi, suami itu boleh rujuk sampai dua kali. Kalau sudah cerai kali ketiga, baru tidak boleh rujuk lagi. Kalau tidak suka pun, isteri itu kena tunggu dua kali rujuk itu.

وَلَهُنَّ مِثلُ الَّذي عَلَيهِنَّ بِالمَعروفِ

Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya

Hak yang seimbang sama seperti yang perlu ditunaikan kepada suami. Ada hak yang Allah ‎ﷻ suruh suami jaga dan ada yang disuruh isteri jaga. Begitu juga seorang isteri itu ada hak sebagai seorang manusia juga seperti dia boleh ada harta, boleh ada masa untuk dirinya, dia boleh membuat keputusan sendiri dan sebagainya.

Islam tidak merendahkan kedudukan wanita. Tidak seperti agama-agama lain yang merendahkan kedudukan wanita mereka, sampaikan wanita itu seolah-olah manusia kelas kedua dalam agama mereka. Kalau zaman dahulu, seorang wanita dalam agama lain tidak ada hak untuk bersuara, tidak ada hak untuk belajar, mempunyai harta dan sebagainya.

Jadi, adalah amat menyedihkan apabila ada tohmahan daripada golongan kafir dan Muslim sendiri yang mengatakan Islam merendahkan martabat wanita. Sedangkan Islam amat menjaga hak-hak wanita.

‘Makruf’ maksudnya buat baik walau hati tidak semestinya rasa senang untuk melakukannya. Namun begitu seorang yang mukmin akan tetap melakukannya kerana mereka sedar yang itu adalah tanggungjawab. Oleh itu, katakanlah hubungan sudah tidak baik, tetapi hak dan tanggungjawab tetap perlu dijalankan.

Tanggungjawab tidak sama antara suami dan isteri kerana lelaki dan perempuan berlainan sifat. Tanggungjawab suami selalunya di luar dan isteri di rumah. Tetapi bilangan sama dan setara – sama-sama ada tanggungjawab. Katakanlah lelaki ada sepuluh tanggungjawab, maka si isteri pun ada sepuluh tanggungjawab juga.

Begitu juga, isteri ada hak, sepertimana suami juga ada hak.

Manakala terdapat hadith Nabi ﷺ yang menyuruh kepada perkara tersebut berdasarkan hadith daripada Mu’awiyah al Qusyairi رضي الله عنه telah bertanya kepada Nabi ﷺ:

يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang daripada kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Baginda menjawab, “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”. (Riwayat Abu Daud no 2142 dan Ibn Majah no 1850)

Dalam ayat ini kita boleh lihat bagaimana hak isteri itu disebut dahulu sebelum disebut hak suami. Ini kerana seorang lelaki itu senang untuk mendapatkan haknya daripada wanita tetapi wanita susah untuk mendapatkan haknya daripada lelaki. Maka Allah ‎ﷻ sebut dahulu hak isteri itu.

وَلِلرِّجالِ عَلَيهِنَّ دَرَجَةٌ

dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan

Cuma ada sedikit kelebihan ke atas lelaki – dalam hal akad nikah, rujuk, cerai dan nafkah, ada kuasa hak pada suami dan tidak ada pada isteri. Selain daripada perkara-perkara itu, isteri pun ada hak dan mereka boleh melaporkan ketidakpuasan hati mereka kepada mahkamah. Perkara ini disebut dalam ayat [ Nisa: 34 ].

الرِّجالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّساءِ بِما فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلى بَعْضٍ وَبِما أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوالِهِمْ

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.

Janganlah potongan ayat ini digunakan sebagai dalil untuk mengatakan bahawa suami atau lelaki itu lebih tinggi darjat mereka daripada wanita. Ayat ini perlu dibaca dalam konteks ayat ini di mana seorang suami itu mempunyai kelebihan dalam hal nikah, cerai dan rujuk sahaja.

Kalau semua belajar Al-Qur’an dan agama, semua akan tahu hak masing-masing. Tetapi masalahnya, ramai yang belajar tentang hukum nikah cerai semasa kursus kahwin sahaja. Itu pun dua hari sahaja dan banyak perkara lawak sahaja yang diajarkan.

Oleh kerana itu, banyak masalah dalam masyarakat terjadi kerana jahil agama dan hukum. Sedangkan hukum Islam telah menjaga semua keperluan manusia dan adil. Manusia sahaja yang tidak tahu dan kerana itu ramai yang ambil kesempatan.

Ayat ini adalah ayat yang amat penting kerana ia menekankan hak wanita. Kita kena sedar yang sebelum Islam, pada zaman Jahiliyyah, kedudukan wanita itu seperti harta benda sahaja yang boleh dipindah milik dan dipusakai. Mereka tidak ada hak apa-apa pun dan mereka boleh dijual beli oleh lelaki yang memiliki mereka! Mereka bukan sahaja tidak layak untuk memiliki harta, malah mereka juga dikira sebagai harta benda.

Lelaki iaitu suami mereka memiliki isteri mereka itu sepenuhnya. Isteri itu kena ikut segala arahan suaminya tanpa soal (asalkan tidak melanggar hukum dan syarak). Kerana itulah ada yang sampai membunuh anak perempuan mereka kerana anak perempuan itu dikira seolah-olah bagaikan tidak ada nilai! Bahkan dalam agama lain, ada yang dibakar sekali dengan mayat suami mereka apabila suami mereka meninggal dunia.

Islam datang dengan mengajar umatnya untuk menghormati wanita. Mereka layak untuk memiliki harta. Mereka juga tidak boleh dipaksa untuk mengahwini sesiapa pun tanpa persetujuan daripadanya. Apabila suami mereka meninggal dunia, mereka layak untuk mendapat bahagian daripada harta suaminya itu.

Mereka juga dibenarkan untuk menguruskan kehidupannya sendiri, tidak boleh dipaksa untuk mengahwini sesiapa pun. Kalau suaminya tidak memberi nafkahnya, atau menzaliminya, wanita itu boleh mengadu ke qadhi dan perkahwinan itu boleh ditamatkan.

Namun jangan lupa bahawa lelaki itu masih ada satu tingkatan di atas wanita. Mereka itu dikawal dan dijaga oleh wali mereka (sama ada bapa atau suami mereka) untuk kebaikan mereka juga. Mereka tidaklah bebas untuk melakukan apa sahaja. Kebebasan itu mestilah dalam lingkungan agama kerana kalau mereka dibiarkan tanpa kawalan, akan menyebabkan kerosakan dalam masyarakat juga.

وَاللهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Walaupun suami itu mempunyai kelebihan atas wanita dalam hal nikah, rujuk dan cerai tetapi mereka hendaklah ingat bahawa Allah ‎ﷻ lebih berkuasa lagi untuk menentukan segala perkara. Jangan para lelaki menyalahgunakan kuasa pula.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan