Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-133 hingga Ayat Ke-135

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-133 hingga Ayat Ke-135

406
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Ayat Ayat Ke-133

Beginilah cara Nabi Ya’qub عليه السلام memberi wasiat agama kepada anak-anak baginda. Dan lihat bagaimana jawapan anak-anak baginda.

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي قالوا نَعبُدُ إِلٰهَكَ وَإِلٰهَ آبائِكَ إِبراهيمَ وَإِسماعيلَ وَإِسحاقَ إِلٰهًا واحِدًا وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.

أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ

Adakah kamu hadir ketika ajal sudah hampir kepada Nabi Ya’qub?

Setelah diberitahu tentang wasiat Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ya’qub عليه السلام itu, Ahli Kitab jawab yang wasiat baginda lain, bukan begitu. Maka, Allah ‎ﷻ tanya kembali kepada mereka, adakah mereka hadir waktu wasiat itu disampaikan? Atau mereka pakai dengar-dengar sahaja apa yang disampaikan oleh pendeta-pendeta mereka?

Sekarang, Allah ‎ﷻ tanya soalan ini kepada kita pula. Adakah kita hadir waktu itu? Tentulah kita tidak ada masa itu. Tuhan tanya itu kerana hendak memberitahu kepada kita. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beritahu, kita pun tidak tahu.

Ketika telah datang alamat-alamat kematian kepada Nabi Ya’qub ‎عليه السلام, baginda telah memanggil kesemua anak-anaknya.

إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ

Ketika Nabi Ya’qub berkata kepada anaknya:

Nabi Ya’qub عليه السلام adalah cucu kepada Nabi Ibrahim عليه السلام, anak kepada Nabi Ishak عليه السلام. Ada 12 orang anaknya semua sekali.

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي

“Apakah yang kamu akan sembah selepas aku?”

Maksud ‘selepas aku’ adalah ‘selepas aku mati’.

Perkara yang penting yang ditanya oleh Nabi Ya’qub عليه السلام kepada anak-anaknya adalah apakah yang mereka akan sembah apabila baginda sudah tiada nanti. Baginda menggunakan perkataan مَا تَعْبُدُونَ – apakah yang akan kamu sembah – Kalau baginda tanya siapakah yang kamu akan sembah, tentulah mereka sudah tahu jawapannya – Allah ‎ﷻ. Tetapi Nabi Ya’qub عليه السلام menggunakan perkataan ‘apa’ kerana manusia boleh menyembah macam-macam – berhala, harta, perempuan, pangkat dan sebagainya.

Perkataan مِنْ بَعْدِي – selepas aku tiada – itu bermaksud suatu jangkamasa yang lama sesudah baginda tiada di dunia ini. Itulah yang dirisaukan oleh baginda. Kerana baginda tahu, kalau selepas baginda mati sahaja, tentulah anak-anaknya masih akan sembah Tuhan. Tetapi kalau lama selepas itu bagaimana? Belum tentu lagi. Jadi baginda hendak pastikan yang walaupun baginda sudah lama mati, mereka akan hanya menyembah Allah ‎ﷻ. Baginda beri wasiat supaya mereka ingat wasiat bapa mereka.

قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ

Anak-anaknya jawab: “Kami sembah Tuhan kamu dan Tuhan kepada datuk nenek kamu Ibrahim dan Ismail dan Ishak

Inilah tanda yang anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام itu beriman belaka. Maka jangan kita kutuk mereka.

Menarik jawapan mereka itu: mereka kata mereka akan menyembah Tuhan, Tuhan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام, Nabi Ismail عليه السلام dan Nabi Ishak عليه السلام. Ini menunjukkan Tuhan kepada semua Nabi itu adalah Tuhan yang sama. Bukan lain-lain – bukanlah Tuhan Nabi Ibrahim عليه السلام lain dan Tuhan Nabi Ya’qub عليه السلام lain. Ini adalah tempelak kepada Ahli Kitab yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ daripada rumpun yang sama. Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa Tuhan kepada semua Nabi-Nabi itu termasuk Nabi Muhammad ﷺ adalah Tuhan yang sama.

إِلَٰهًا وَاحِدًا

Iaitu Tuhan yang satu

Tuhan yang sama – Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tekankan bahawa ilah hanya ada Satu sahaja, iaitu Allah ‎ﷻ. Sebagaimana yang telah diterima juga oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dan keturunan baginda, keturunan Nabi Ya’qub عليه السلام. Maka Yahudi dan Nasara sebenarnya ikut siapa? Takkan tidak ikut pegangan akidah Nabi-nabi mereka sendiri?

وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

dan adalah kami kepada Tuhan itu berserah diri bulat-bulat”

Yang memberi jawapan sebegini adalah anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام. Satu lagi nama Nabi Ya’qub عليه السلام adalah ‘Israil’. Bermakna, mereka itu semua adalah Bani Israil – Anak-anak Israil – anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام.

Nabi Ya’qub عليه السلام mempunyai 12 orang anak, maka Bani Israil ada 12 suku semuanya. Anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام yang 12 orang itu telah mengatakan bahawa mereka itu ‘Muslim’. Jadi apa alasan kepada Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ untuk tidak mahu menerima Islam, sedangkan datuk nenek mereka sendiri mengaku bahawa mereka adalah Muslim?

Bani Israil tidak menerima Islam kerana mereka telah lupa apakah pegangan agama nenek moyang mereka dahulu. Begitu juga orang Islam sekarang. Kita telah lupa apakah pegangan agama datuk nenek kita dahulu. Agama kita adalah agama Islam yang tulen. Tetapi oleh kerana kita telah lama dijajah oleh Barat, maka mereka telah mencemarkan agama kita. Mereka telah memasukkan budaya mereka ke dalam masyarakat kita. Sampaikan kita menjadi keliru.

Contohnya, kita boleh lihat bagaimana majlis perkahwinan kita telah ada elemen-elemen barat. Budaya agama Hindu pun ada juga. Kita sudah tidak pasti mana satu amalan agama yang benar. Barat telah mengajar datuk nenek kita untuk hanya mengamalkan Islam dalam hal-hal tertentu sahaja – semasa nikah, semasa mati dan sebagainya – tetapi dalam perkara yang lain, pegang sedikit-sedikit sahaja. Jadi keturunan kita sebelum ini, tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya.

Maka, kita pun sangka begitulah amalan agama yang benar. Padahal, ia tidak begitu. Kalau kita hendak mengamalkan amalan Islam yang sebenar, tidak mahu terlibat dalam persandingan majlis perkahwinan contohnya, ramai yang melenting marah dan kata kita tidak sayangkan adat Melayu. Padahal, bersanding itu tidak ada dalam adat Islam. Kalau kita pergi jauh lagi sebelum zaman mereka, kita akan nampak bagaimana keturunan kita yang dahulu mengamalkan Islam yang lebih tulen.

Maka, anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام itu adalah orang yang baik-baik. Itu adalah keturunan Bani Israil dan mereka berbangga dengan keturunan mereka itu. Tetapi, janganlah kita hanya bercakap tentang kehebatan orang terdahulu. Kita pun kenalah juga amalkan sebagaimana mereka juga. Kena tengok apakah akidah dan agama mereka supaya kita boleh ikut rapat.

Tafsir Ayat Ke-134

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم ما كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

تِلْكَ أُمَّةٌ

Itulah suatu umat

Iaitu dari Nabi Ibrahim عليه السلام, Nabi Ishak عليه السلام, Nabi Ismail عليه السلام dan seterusnya; mereka itu telah mengesakan Allah ‎ﷻ. Mereka di dalam satu pegangan akidah yang sama.

قَدْ خَلَتْ

zaman mereka telah berlalu;

Bani Israil amat berbangga dengan keturunan mereka yang dahulu. Mereka sentiasa mengajar anak-anak mereka tentang kisah umat-umat yang terdahulu. Tetapi kisah mereka telah lama berlalu.

لَهَا مَا كَسَبَتْ

bagi mereka balasan dari apa yang mereka lakukan

Umat-umat terdahulu itu telah melakukan amalan-amalan mereka. Mereka akan mendapat balasan daripada amalan-amalan mereka. Kalau mereka buat baik, mereka akan mendapat balasan baik.

وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ

dan bagi kamu akan dapat balasan dari apa yang kamu lakukan

Amalan umat terdahulu adalah untuk mereka. Balasan untuk kita pula adalah apa yang kita lakukan. Kita tidak akan mendapat habuan daripada amalan umat-umat terdahulu itu. Kita kena buat amalan kita sendiri.

Maka jangan berbangga sangat kalau kita keturunan Nabi, keturunan ulama’ itu dan ini, tetapi pegangan agama kita salah. Ramai yang berbangga dan rasa selamat kalau mereka keturunan orang alim, orang baik-baik.

وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

dan kamu tidak akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan;

Kita tidak akan ditanya tentang apa yang umat-umat terdahulu telah lakukan. Yang kita kena tanya adalah amalan kita sahaja. Itu sahaja yang akan ditanya. Jangan kita jadi macam Bani Israil yang hanya berbangga dengan amalan datuk nenek mereka, tetapi lupa hendak berbuat amalan baik untuk diri mereka sendiri.

Ramai antara kita hanya menceritakan tentang kehebatan ulama’-ulama’ terdahulu, keturunan kita yang dahulu, namun lupa tentang diri kita sendiri. Kita ceritakan tentang Tok Kenali contohnya, tetapi kita tidak mengikut jejak langkahnya. Tidak ada siapa pun tanya siapa datuk nenek mereka yang terdahulu.

Begitu juga salah faham dengan golongan Habib sekarang. Ramai yang sedang ikut mereka tanpa usul periksa. Ini adalah salah kerana tidak semestinya apa yang mereka bawakan itu benar walaupun mereka keturunan Nabi pun.

Orang jahil sahaja yang mahu mengikuti mereka – iaitu mereka yang tidak tahu agama sendiri sampaikan ajaran yang sesat pun boleh diterima.

Kita juga tidak perlu hendak fikirkan apa yang jadi kepada golongan terdahulu yang tidak mengamalkan sunnah, tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan sebagainya.

Memang bukan tanggungjawab kita untuk tahu. Mereka akan dapat balasan mereka dan kita akan dapat balasan atas perbuatan kita.

Tafsir Ayat Ke-135

وَقالوا كونوا هودًا أَو نَصارىٰ تَهتَدوا ۗ قُل بَل مِلَّةَ إِبراهيمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ

Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah dia dari orang-orang musyrik”.

وَقَالُوا كُونُوا هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ

Dan mereka berkata: Jadilah kamu Yahudi atau Nasara

Ini adalah ayat muqaddar – Yahudi kata kena ikut Yahudi baru terpimpin dan Nasara kata ikut mereka baru terpimpin. Tidaklah mereka kata: “Ikutlah salah satu antara Yahudi dan Nasara, kamu akan terpimpin.”

Cuma Allah ‎ﷻ tidaklah bahagikan ayat ini begini: Yahudi kata kena ikut Yahudi; Nasara kata kena ikut Nasara. Ini adalah kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah i’jaz – memendekkan kalimah supaya nampak cantik. Allah ‎ﷻ tidak perlu menggunakan bahasa yang penuh.

Begitulah ajaran mereka yang suka mengangkat kelebihan puak. Tetapi agama Allah ‎ﷻ tidak begitu. Allah ‎ﷻ tidak mementingkan puak tetapi Allah ‎ﷻ memandang iman dan amal sahaja.

Namun begitu memang ada pendapat yang mengatakan, mereka sama-sama berkata: “Masuklah Yahudi atau Nasara.” Ini kerana mereka benci kepada Islam. Mereka kata: “Masuklah salah satu daripada Yahudi atau Nasara, asalkan jangan Islam!” Allahu a’lam.

تَهْتَدُوا

nescaya kamu akan terpimpin;

Mereka kononnya sangka Yahudi atau agama Nasara itulah yang betul, bukannya Islam. Itu adalah kata-kata mereka sahaja. Yahudi dan Nasara sebenarnya tidak baik sesama mereka. Tetapi apabila mereka menentang agama Islam, mereka bergabung. Mereka kata biarlah masuk Yahudi atau Nasrani, asalkan bukan Islam.

Mereka bersatu menentang kita, tetapi yang sedihnya kita pula yang berpecah belah sesama kita. Di mana-mana kita lihat perpecahan sesama Muslim. Semua membezakan antara kumpulan masing-masing (Syiah, Sunnah, ASWJ, Aswaja, Tabligh, Salafi, dan lain-lain lagi). Mereka tidak melihat yang mereka semuanya ‘Muslim’. Ini adalah salah satu dari Talbis Iblis. Iblis dan syaitan memang suka umat Islam berpecah dan kita semua telah termakan dengan bisikan syaitan itu. Tahniah semua.

قُلْ بَلْ

Kata kepada mereka: Bahkan sebenarnya;

Allah ‎ﷻ suruh kita menolak kata-kata mereka itu. Kita kena tolak kerana agama mereka itu tidak benar. Agama mereka telah lama dirosakkan oleh pemuka agama mereka. Maka Allah ‎ﷻ suruh katakan: “Kami tidak akan ikut Yahudi dan Nasara.”

مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا

ajaran Nabi Ibrahimlah yang lurus:

Sebaliknya katakan yang kita sebenarnya ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام yang juga asal bagi agama Yahudi dan Nasara itu. Tetapi bukannya mengikut syariat baginda, tetapi mengikut ajaran baginda untuk tidak syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Ada ‘idhofah’ (penambahan) dalam ayat ini. Ada lafaz yang dihazafkan (tidak dimasukkan). Yang lengkapnya adalah: “Kami hanya akan ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.”

وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan tidaklah Nabi Ibrahim itu termasuk orang yang pernah buat syirik kepada Allah;

Selalu disebutkan kepada kita dalam Al-Qur’an bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام adalah satu manusia yang tidak pernah membuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah sifat baginda yang terhebat. Bayangkan baginda seorang diri sahaja yang mengamalkan tauhid pada zamannya. Selepas itu baginda dakwah kepada isterinya. Lepas itu anak saudara baginda, iaitu Nabi Luth عليه السلام.

Mereka sahaja yang muwahhid pada zaman itu. Kemudian baginda telah menghabiskan masanya hanya untuk berdakwah kepada orang lain namun tidak ada yang mahu menerima Islam. Kerana itulah kalau lihat hadith tentang para Nabi, Nabi Ibrahim عليه السلام memang tidak banyak pengikut.

Tetapi kenapa ditekankan dalam ayat ini yang baginda tidak musyrik? Kerana di dalam sejarah Ahli Kitab, Nabi Ibrahim عليه السلام di hujung hayatnya telah berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Begitu teruk sekali mereka ubah kitab mereka sampaikan mereka kata seorang Rasul yang mulia telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Maka, Allah ‎ﷻ telah membersihkan nama baginda dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat yang lain. Kerana itulah kalimah penolakan yang digunakan adalah ما dan bukan لا kerana apabila ما digunakan, ia hendak menolak pemahaman salah manusia.

Satu lagi sebab, Orang Mekah perasan mereka juga Hanif (lurus) kerana mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini adalah kebiasaan bangsa Arab dahulu, sesiapa yang ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام mereka gelar Hanif. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak kata bahawa yang Hanif itu bukan mereka, gelaran itu mereka sahaja gelar diri mereka sendiri dalam masa yang sama, mereka telah melakukan syirik.

Jadi Allah ‎ﷻ kutuk mereka dengan mengatakan mereka itu perasan sahaja mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Hanif Ibrahim adalah Hanif yang tauhid tidak syirik. Tetapi Hanif Musyrikin Mekah itu pula mengandungi ajaran syirik, maka memang tidak sama. Oleh sebab itu Allah ‎ﷻ beri penekanan Nabi Ibrahim عليه السلام tidak berfahaman dan beramal dengan amalan syirik dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat yang lain.

Memang begitulah manusia, ramai yang perasan mereka muwahhid. Termasuklah umat Islam di negara ini pun. Mereka sangka mereka telah faham tauhid dan agama mereka agama yang tauhid. Tetapi kerana jahil dengan wahyu dan tidak tahu mana tauhid dan mana syirik, ramai yang mengamalkan syirik tanpa sedar.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan