Utama Fikih Asma'ul Husna ASMA’UL HUSNA: BAB 6 KESUNGGUHAN AHLUSUNNAH DALAM PERBAHASAN AL-ASMA’ AL-HUSNA (Sambungan)

ASMA’UL HUSNA: BAB 6 KESUNGGUHAN AHLUSUNNAH DALAM PERBAHASAN AL-ASMA’ AL-HUSNA (Sambungan)

220
0
Iklan

Metode mereka (ahli sunnah wal jamaah) dalam pembahasan ini tegak di atas dua landasan yang kukuh dan dasar yang kuat, iaitu penetapan tanpa penyerupaan dan penyucian tanpa pengingkaran. Mereka tidak menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat makhluk-Nya, sebagaimana mereka tidak menyerupakan Dzat Allah dengan dzat makhluk-Nya. Mereka tidak mengingkari sifat-sifat kesempurnaan dan kemuliaan-Nya yang telah disebutkan dalam Al-Qur’an dan sunnah Rasul Shallallahu Alaihi wa Salam. Bahkan mereka mengimani bahawa Allah tidak ada yang serupa dengan-Nya sesuatu apa pun dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

[Ahli sunnah terima sahaja segala sifat yang telah diberitahu kepada kita dalam nas, tanpa menyamakannya dengan sifat makhluk. Contohnya apabila dikatakan Allah‎ ﷻ ada qudrat, tentunya qudrat Allah ‎ﷻ tidak sama dengan qudrat makhluk. Allah ‎ﷻmendengar tetapi tentulah tidak sama dengan kita. Allah‎ ﷻ juga berkata-kata tetapi tidaklah sama dengan cara makhluk.

Senang sahaja untuk faham sifat Allah ‎ﷻ‎ ikut fahaman Sunnah.

Kita menyucikan sifat Tuhan daripada yang tidak patut bagi-Nya. Bila kita kata Tuhan tidak sama dengan makhluk, tidaklah bermakna kita menolak sifat yang Tuhan sebut dalam sunnah. Terdapat juga Ahli bid’ah ada yang menerima sifat Tuhan tetapi tamsil (menyerupakan). Seperti Syiah rafidhah: mereka kata mata Tuhan sekian dan sekian. Ini karut dan ini ajaran bathiniah yang menyamakan Tuhan dengan makhluk. Begitu juga dengan Kristian yang melukis rupa Tuhan siap ada janggut, tua dan sebagainya. Bayangkan sifat tua adalah sifat yang aib, tetapi mereka kenakan kepada Tuhan! Tuhan tidak tua dan tidak muda kerana itu adalah sifat manusia.

Kemudian ada pula yang hendak ‘menyucikan’ sifat Allah‎ ﷻ sampai langsung tidak boleh sama langsung. Mereka kata makhluk melihat, jadi Allah tidak melihat; manusia berkata-kata, maka Allah tidak berkata-kata.. dan lain-lain penolakan mereka. Asalkan makhluk ada sifat itu, mereka tolak. Ini juga salah.

Sedangkan untuk Ahli Sunnah, kita berada di tengah-tengah. Inilah jalan yang lurus. Kita ithbat sifat Tuhan seperti yang disebut dalam Sunnah tanpa tamsil (menyerupakan), dan kita mensucikan sifat Tuhan tanpa ta’til (mengosongkan). Kita tidak menolak terus sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang telah disebut dalam Sunnah.

Yang beri sifat Tuhan kepada kita adalah Allah ‎ﷻ sendiri, maka mana mungkin kita boleh menolaknya? Jangan reka fahaman-fahaman baru pula. Sebagai contoh fahaman yang kata: ‘Tuhan tidak bertempat’? Bilakah pula masanya ada dalil yang mengatakan Tuhan tidak bertempat?

Maka jangan nafikan sifat yang Allah‎ ﷻ telah sebutkan dalam nas. Memang Allah ‎ﷻ ada menafikan sifat-sifat tertentu. Akan tetapi itu semua adalah sifat-sifat kekurangan. Sebagai contoh, sifat buta, bisu, mati, beranak, beristeri. Ini sifat kekurangan yang dinafikan Tuhan kerana ia mengandungi aib. Kalau manusia beranak dan beristeri memang tidak ada masalah kerana kita memerlukan anak dan pasangan. Akan tetapi ia aib bagi Allah ‎ﷻ‎; Tuhan sekelian alam. Ini kerana kita manusia yang bekeperluan di mana, kita akan tua dan memerlukan anak, bukan? Namun Allah ‎ﷻ‎ tidak akan tua dan tidak memerlukan sesiapa.

Maka jika Allah‎ ﷻ bertempat pun, tidaklah ia sesuatu yang aib kerana bertempat itu sifat bagi yang wujud. Apa sahaja yang wujud, akan bertempat dan Allah ‎ﷻ‎ itu wujud. Yang wujud akan bertempat, bergerak dan buat sesuatu. ]

Iman seperti ini terhitung sebagai prinsip keimanan yang kukuh dan dasar yang kuat, yang tidak ada keimanan bagi orang yang tidak mengimaninya. Barangsiapa yang menolak sesuatu dari nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya, maka dia tidaklah beriman. Demikianlah orang yang mempertanyakan serta menyerupakannya dengan sifat makhluk, maka dia tidak beriman. Mahasuci Allah dari apa yang mereka sifatkan dan Mahatinggi Dia dari apa yang dikatakan oleh orang-orang yang zhalim.

[Maka iman seperti iman Ahli Sunnah wal Jamaah inilah yang benar. Jika tidak beriman seperti yang Allah ‎ﷻ telah sebut di dalam nas, maka telah kafirlah orang itu. Maka ini adalah perkara yang besar, bukan hal main-main. Kalau menolak mana-mana sifat Allah ‎ﷻ yang disebut dalam Al-Qur’an, maka dia telah kufur. Rukun iman itu mestilah beriman dengan sifat-sifat Allah ‎ﷻ seperti yang Dia telah sampaikan.

Jangan jadi seperti Nasrani yang percaya Tuhan wujud, tetapi mereka reka fahaman-fahaman lain tentang sifat Allah ‎ﷻ. Mereka kata Allah ‎ﷻ ada anak pula. Maka, mereka telah menjadi kafir kerana fahaman triniti mereka itu.

Mereka juga ada fahaman tuhan ada di mana-mana; ada yang masuk dalam wine, dalam roti, duduk gereja, dalam santos-santos mereka dan macam-macam lagi. Kemudian makan roti dan minum wine, jadi tuhan masuk dalam badan pula! Ini semua adalah fahaman mengarut yang direka-reka. Asalnya kerana tidak ada asas kepada sifat-sifat Allah ‎ﷻ.

Kalau dengan orang sufi lagi mengarut. Sampai yang sangka mereka itu sendiri adalah Tuhan, jelmaan Tuhan, atau Tuhan tajalli kepada dirinya. Ini kerana tidak belajar sifat-sifat Allah ‎ﷻ‎ yang benar.]

Nu’aim bin Hammad Rahimahullah berkata, “Barangsiapa yang menyerupakan Allah dengan sesuatu dari makhluk-Nya, maka dia kafir dan barangsiapa yang mengingkari apa yang Allah sifatkan diri-Nya dengannya, maka dia kafir. Tidaklah hal yang Allah dan Rasul-Nya sifatkan diri-Nya dengannya itu mengandung penyerupaan dengan makhluk.”

[Siapakah Nu’aim? Beliau adalah seorang ulama’ tabi’ tabi’in besar, guru kepada Imam Bukhari. Beliau kata sifat yang Allah‎ ﷻ sebut dalam Al-Qur’an dan hadith yang sahih tidak ada penyerupaan dengan makhluk, melainkan ia adalah sifat yang hakiki, yang benar.]

Imam Ahmad Rahimahullah berkata, “Allah tidak boleh disifati, melainkan dengan apa yang Allah sifati diri-Nya dengannya atau yang telah disifati oleh Rasul-Nya Shallallahu Alaihi wa Sallam dan tidak boleh melampaui batasan Al-Qur’an dan sunnah.”

[Kena terima yang Allah ‎ﷻ sendiri beritahu tentang Diri-Nya atau diberitahu oleh Rasul-Nya. Jangan kita memandai-mandai reka fahaman baru tentang Allah ‎ﷻ.]

Ibnu Abdi Barr Rahimahullah berkata, “Tidak boleh diyakini dalam masalah nama dan sifat Allah, melainkan yang telah tercantum dalam Al-Qur’an dan hadits yang sahih atau yang telah disepakati oleh para ulama. Apa yang disebutkan dalam hadits Ahad tentang hal tersebut atau selainnya, wajib untuk diterima dan tidak boleh dibantah.”

[Beliau adalah ulama’ besar Maghribi (negeri-negeri Islam sebelah barat) seperti Mesir. Sumber selain Al-Qur’an dan Sunnah adalah ijmak (kesepakatan) ulama-ulama salaf.

Hadith jenis Ahad pun boleh diterima, asalkan ia sahih, boleh diterima dan jangan disanggah. Ini kerana ada juga fahaman sesetengah golongan yang tidak menerima hadith jenis Ahad dalam bab Akidah. Ini adalah fahaman yang tersilap.]

Komen dan Soalan