Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Tahaluf Siyasi – Kerjasama dengan Non-Muslim

Tahaluf Siyasi – Kerjasama dengan Non-Muslim

1053
0
Iklan

Tahaluf Siyasi adalah satu kaedah syarak mengharuskan kerjasama dengan Organisasi atau Parti bukan Islam

ISLAM adalah agama yang lengkap dan sempurna. Islam mempunyai berbagai kaedah dan cara untuk mengatasi berbagai masalah kehidupan yang dihadapi oleh manusia.

Ketika Organisasi Islam atau parti umat Islam lemah dan untuk mencari kekuatan maka Islam mengharuskan bekerjasama dengan organisasi bukan Islam dengan syarat tidak mengadaikan prinsip Islam atau mengeluarkan kita daripada ketaatan kepada Allah SWT.

Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama organisasi atau parti umat Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya.

Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama.

Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi Organisasi Islam. Dalam suasana hari ini, Tahaluf Siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama. Termasuk di dalam kerjasama parti politik.

Para ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan organisasi yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam.

Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram. Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah .

Manakala di antara ulama yang mengharuskan Tahaluf Siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi, Dr Mustoffa al-Tohhan, al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid, Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban .

Golongan ulama haraki yang mengatakan Tahaluf SIyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :

1. Half al-Fudhul :

Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadith baginda yang menyatakan :

وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً

Mana-mana perjanjian yang dilaksanakan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan.

Bermaksud mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.

Hujah:

Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekali pun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.

2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :

2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu kehendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya”

Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan Bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.

2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.

Hujah :

Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan organisasi umat Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.

3. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar,

“Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”

Hujah :

Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal .

Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.

4. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua pihak.

Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah,

“Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”

Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan kerajaan yang adil untuk kemaslahatan rakyat. Tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan orang bukan Islam daripada realiti kehidupan.

5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari Bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan baik dengan Bani Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah.

Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.

6. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.

Oleh itu untuk
mendepani arus politik dunia pada hari ini, organisasi Islam atau parti umat Islam perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada.

Tahaluf Siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan organisasi Islam atau parti umat Islam mendapat keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.

Penyertaan organisasi Islam atau parti umat Islam dalam mana-mana kerajaan seharusnya dilakukan dengen penelitian yang teliti terhadap senario politik setempat.

Oleh yang demikian, pimpinan umat Islam perlulah sentiasa prihatin dan sensitif dengan perkembangan semasa serta kehendak masyarakat agar langkah yang diambil tidak menyebabkan kerugian pada mereka nanti.

Kesimpulannya berdasarkan sirah Rasulullah SAW diharuskan menggunakan kaedah Tahaluf Siyasi seperti huraian di atas diharuskan.

Dengan kaedah ini satu kejayaan dapat membentuk Kerajaan Demokrasi Berparlimen yang adil , stabil , berdedikasi dan inklusif untuk rakyat berbilang bangsa dan agama.

Dengan huraian ini menolak tomahan pihak tertentu yang melarang kerjasama dengan bukan Islam untuk membina kerajaan kuat dan setabil
sedangkan mereka (bukan Islam) telah setuju dan menandatangani dengan jelas kontrak sosial yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

🍐 Wassalam 🍐

Makmum Sundari
21.3.2019

#MS#AB
#SuaraPrihatin

Komen dan Soalan