Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula SnJ mengenai wudhu’ – Bhg 3

SnJ mengenai wudhu’ – Bhg 3

235
0
Iklan

🍀SESI SOAL JAWAB☘️
=======================

1. Selain berwudhu’, adakah perlu membaca Ayat Kursi dan Surah Al-Mu’awwidzat sebelum tidur?

🔵 Ya, membaca Ayat Kursi dan Surah Al-Mu’awwidzat sebelum tidur juga adalah sunnah tetapi tidaklah diwajibkan.

2. Berkenaan hadith bahawa malaikat tidak memasuki rumah orang yang berjunub, apakah yang perlu dilakukan jika tidak sempat mandi dan terus tidur di dalam keadaan junub?

🔵 Boleh berwudhu’ dahulu sebelum tidur bagi meringankan junub.

3. Adakah masih memperolehi kelebihan berwudhu’ sebelum tidur apabila melakukan perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ ketika tidur?

🔵 Perkara yang berlaku selepas tidur adalah dimaafkan.

4. Adakah wanita haidh dibolehkan menyentuh mushaf Al-Quran?

🔵 Wanita haidh dibolehkan menyentuh mushaf Al-Quran. Imam Al-Bukhari membawakan dalil bahawa Nabi Muhammad menyandarkan kepalanya ke pangkuan Aisyah yang sedang dalam haidh. Hujah Imam Al-Bukhari adalah Rasulullah itu Al-Quran bergerak dan tetap baginda menyentuh isterinya yang sedang dalam haidh.

5. Jika tidak mahu menyentuh mushaf Al-Quran semasa haidh, adakah perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai adab atau ghuluw?

🔵 Perbuatan tersebut tidak dianggap ghuluw kerana itu juga sebahagian pendapat ulama’ juga.

6. Adakah mengambil wudhu’ sebelum memegang Al-Quran itu digalakkan?

🔵 Digalakkan berwudhu’ sebelum memegang Al-Quran kerana ia sebahagian adab menghormati Al-Quran.

7. Adakah tidur di dalam posisi duduk tidak membatalkan wudhu’?

🔵 Akan dibahas di dalam kelas seterusnya. Jawapan ringkasnya adalah tidur lena membatalkan wudhu’

8. Adakah orang gila juga termasuk di dalam kategori orang hilang akal?

🔵 Tidak, maksud orang hilang akal lebih menghampiri kepada pengsan. Walaupun begitu, orang gila gugur kewajipan untuk berwudhu’ dan menunaikan solat.

9. Adakah orang nyanyuk gugur kewajipan solat ke atasnya?

🔵 Apabila datang kewarasan ke atasnya, maka wajib baginya untuk solat.

10. Adakah perlu mengambil wudhu’ sekali lagi apabila terkentut ketika ingin tidur?

🔵 Sebaiknya adalah memperbaharui wudhu’ tersebut.

11. Apakah pencerahan bagi pernyataan bahawa selagi tidak mendengar bunyi mahupun bau kentut maka boleh meneruskan solat?

🔵 Itu adalah panduan bagi mereka yang was-was berkenaan terkentut ketika solat. Bagi orang biasa, mereka akan mengetahui adakah mereka telah terkentut atau pun tidak. Dalilnya adalah hadith dari Abu Hurairah ‎رضي الله عنه berkata bahawa Rasulullah ‎ﷺ bersabda:

إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا, فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ: أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ, أَمْ لَا? فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنْ اَلْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا, أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Jika salah seorang di antara kamu mendapati ada terasa sesuatu di perutnya, lalu ia ragu-ragu apakah keluar sesuatu ataukah tidak, maka janganlah ia keluar dari masjid hingga ia mendengar bunyi atau mendapati bau. (Hadith Riwayat Muslim).

12. Jika segala yang keluar dari qubul dan dubur itu boleh membatalkan wudhu’, adakah angin faraj, wadi, lendiran keputihan, buasir, alat percegah kehamilan, bekas mani suami tertinggal, ubatan atau lain-lain juga membatalkan wudhu’?

🔵 Perkara yang keluar dari qubul dan dubur itu boleh membatalkan wudhu’ adalah perkara yang kebiasaannya keluar secara normal dan bukanlah yang seperti yang dinyatakan tersebut.

13. Berhubung dengan masalah was-was adakah ia satu penyakit atau gangguan syaitan? Adakah berdosa kerana was-was dengan kewujudan Allah?

🔵 Ya, was-was adalah satu penyakit mental dan juga ada gangguan syaitan. Syaitan mengambil kesempatan daripada kejahilan manusia.

Syaitan membisikkan pelbagai hasutan supaya manusia itu menjadi kelam kabut. Kehidupan menjadi bercelaru. Membuang masa dan berlebihan di dalam membersih, solat dan macam-macam lagi.

Mempersoalkan kewujudan Allah menandakan imannya tidak lengkap. Rukun iman yang pertama adalah mempercayai Allah. Orang syirik juga mempercayai Allah tetapi di dalam masa yang sama, mereka juga mempercayai ada kuasa pada makhluk.

Bila ada perasaan sebegitu maka perlu meneruskan belajar dan dapatkan maklumat yang dapat memberi ketenangan kepada hati. Lawan hasutan syaitan adalah dengan ilmu.

14. Adakah darah buasir itu najis?

🔵 Darah selain haidh bukan najis. Darah tersebut perlu dibersihkan sebelum solat dan boleh memulakan solat. Jika darah itu keluar ketika di dalam solat, maka ia dimaafkan.

Komen dan Soalan