Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Apakah Ciri-ciri Perjuangan Asabiyah?

Apakah Ciri-ciri Perjuangan Asabiyah?

473
0
Iklan

Apakah Ciri- ciri Perjuangan Asabiyah?

Asabiyah adalah fanatik buta. Bersikap membela seseorang, kaum, bangsa, parti atau organisasi yang salah secara membuta tuli.

Asabiyah boleh berlaku dalam berbagai keadaan, seperti Asabiyah terhadap suku, negara, mazhab, atau apa saja.

Asabiyah dilarang kerana seharusnya seseorang membela kebenaran. Kebenaran adalah yang berdasarkan al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

Tidak boleh membela pihak yang salah dan menyimpang, meskipun orang tersebut satu suku, satu bangsa, atau orang dekat dengannya.

Berperang membela suku atau kelompoknya kerana fanatik (taksub) kesukuan.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ

🍃 Barangsiapa yang terbunuh di bawah bendera (fanatik) buta, mengajak pada asabiyah atau menolong kerana asabiyah (fanatik), maka matinya seperti mati Jahiliyyah [H.R Muslim dari Jundab bin Abdillah al-Bajaliy].

Pandangan al-Minawi ketika menjelaskan maksud hadis:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّة وليس منا من قاتل علي عصبية وليس منا من مات علي عصبية

Maksudnya,”Bukan termasuk umatku siapa saja yang menyeru orang pada ‘asabiyah, bukan dari golongan kami orang yang berperang kerana asabiyah, dan bukan dari golongan kami orang yang mati kerana asabiyah [HR Abu Dawud].

Beliau menyatakan, “Maksudnya, siapa yang mengajak orang untuk berkumpul atas dasar ‘asabiyah, iaitu bahu-membahu untuk menolong orang yang zalim.”

Sementara al-Qari menyatakan,“Bahu-membahu untuk menolong orang kerana hawa nafsu.”

[ Muhammad Syamsu al-Haq, ‘Aun al-Ma’bud, XIV/17 ]

Tahukah kalian bahawa semua bangsa di dunia ini seperti bangsa Cina, India, Arab, Negro, Inggeris jika mereka beriman kepada Allah dan mengucap dua kalimah syahadah mereka adalah saudara seagama kita. Wajib kita bantu mereka jika mereka miskin dan mengharapkan bantuan.

Jika kalian bantu, sokong, bangsa sendiri sedangkan dia seorang perompak, penyamun, perasuah, zalim maka kalian termasuk asabiyah . Kalian tidak boleh bersyubhat dengan penjenayah. Sebaliknya jika kalian fitnah dan kutuk habis-habisan bangsa lain sedangkan mereka tidak melakukan jenayah semata- mata kerana mereka bukan sebangsa dengan kalian maka ini juga termasuk asabiyah.

Nabi SAW tidak mengaku umatnya jika perjuangan kalian asabiyah .

Tidak salah mencintai watan, tanah air dan bangsa sendiri, dengan syarat tidak lari daripada adab dan syariat Islam.

Rasulullah SAW ketika ditanya tentang asabiyah (semangat bangsa / kaum),

يا رسول الله , أ من العصبية أن يحب الرجل قومه ؟

Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiyah?

لا ، ولكن من العصبية أن يعين الرجل قومه على الظلم

Sabda Baginda : “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman”.[HR Imam Ibnu Majah]

Jika seseorang itu meletakkan bangsanya sendiri sebagai asas perjuangan melebihi kepentingan agamanya sendiri, lebih mengutamakan bangsanya sendiri melebihi persaudaraan Islam dan meletakkan bangsanya di tempat yang paling tinggi walaupun bangsanya melakukan kezaliman dan ketidak adilan kepada bangsa-bangsa lain, maka seseorang itu sudah menganuti asabiyah yang tercela oleh syara’.

Asabiyah ini (asabiyah jahiliah) yang ditentang oleh Baginda yakni semangat bangsa atau perkauman yang berlaku penindasan dan perbuatan zalim, membuta tuli membela bangsa atau kaumnya yang terang berlalu zalim dan menafikan hak bangsa lain.

ليس منا من دعا إلى عصبية

“Bukan termasuk ummatku bagi sesiapa menyeru kepada asabiyah”. [HR Abu Daud].

Oleh itu berhati- hatilah saudaraku dalam perjuangan kalian.

Jagalah batas- batas Islam, akhlak dan adab- adab supaya perjuangan kalian di redhai oleh Allah SWT dengan diganjari pahala yang besar dan dirahmatiNya di dunia dan akhirat.

Allahu a’lam.

#AbuBasyer
#SuaraPrihatin

Komen dan Soalan