Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-12 hingga Ke-15

Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-12 hingga Ke-15

1663
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiyah

Tafsir Ayat ke-12

Allah ﷻ menyambung dengan menceritakan lagi tanda-tanda-Nya. Jadi, ini adalah Dalil Aqli.

۞ اللهُ الَّذي سَخَّرَ لَكُمُ البَحرَ لِتَجرِيَ الفُلكُ فيهِ بِأَمرِهِ وَلِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan juga supaya kamu bersyukur.

اللهُ الَّذِي سَخَّرَ لَكُمُ الْبَحْرَ

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu,

Kalimah سَخَّرَ bermaksud menguasai sesuatu. Allah ﷻ telah benarkan kita menguasai laut. Tidaklah ini bermaksud kita boleh kawal lautan pula, seperti boleh gerakkan laut itu supaya tenang atau berombak pula, tidak. Itu tentu tidak boleh.

Ini hanya bermaksud yang kita boleh mengambil faedah dari laut iaitu dengan Allah ﷻ memberi kepada kita ‘ilmu’ tentang laut. Kita diberi dengan ilmu tentang arusnya, cuacanya, cara membuat kapal, berlayar dan sebagainya. Maka dengan ilmu ini, kita boleh mengembara menggunakan laut itu.

Segala perkara dan ilmu itu, Allah ﷻ juga yang ilhamkan kepada kita. Ini kerana kalau Allah ﷻ tidak memberi ilham, kita juga tidak berani hendak masuk ke dalam laut itu.

لِتَجْرِيَ الْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِ

supaya belayar kapal-kapal padanya dengan perintah-Nya,

Dengan ilmu laut itu, kita boleh berlayar dengan mengikut undang-undang Allah ﷻ yang telah ditetapkan iaitu ‘atas kebenaran’ dan izin yang Allah ﷻ berikan. Ia kena mengikut angin, arus dan sebagainya.

Ingatlah bahawa ilmu itu daripada Allah ﷻ sebenarnya. Kita tidak akan pandai mengembara di lautan kalau Allah ﷻ tidak tanamkan ilmu itu dalam akal manusia. Kita boleh buat apa-apa sahaja di laut adalah dengan kebenaran-Nya. Kalau Allah ﷻ tidak benarkan, maka tiada apa yang akan terjadi.

وَلِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ

dan supaya kamu mencari dari limpah kurnia-Nya,

Dengan kita mengembara di lautan itu, kita boleh dapat hasil dari laut. Kita boleh menangkap ikan, mencari harta karun, mutiara, perhiasan dan sebagainya.

Itu menjadi sumber pendapatan yang amat besar bagi sesetengah orang. Selain dari itu, boleh jadikan laut sebagai laluan perniagaan. Barang perniagaan yang berat dan banyak boleh diangkut dengan mudah dan cepat kalau dibandingkan dengan laluan darat.

Oleh kerana itu, walaupun dunia semakin maju dan ada cara pengangkutan yang lebih cepat seperti kapal terbang, penggunaan jalan lautan masih lagi digunakan dengan lebih banyak kerana ia lebih jimat.

وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

supaya kamu bersyukur.

Yang paling penting, kita kena bersyukur. Bersyukur kepada Allah ﷻ kerana telah memberi ilmu itu kepada kita dan telah menenangkan laut itu supaya kita boleh mengambil manfaat darinya. Selain itu perlu bersyukur kepada Allah ﷻ kerana menyelamatkan kita dalam pengembaraan di lautan yang luas dan bergelora itu.

Lihatlah bagaimana tujuan laut itu dimudahkan untuk kita adalah supaya kita mengucapkan syukur kepada Allah ﷻ. Sifat suka bersyukur ini, Allah ﷻ suka kerana ada manusia yang bersyukurlah, Allah ﷻ tidak musnahkan lagi alam ini.

Sebab itu waktu Kiamat nanti, oleh kerana tidak ada lagi manusia yang bersyukur kepada Allah ﷻ , maka Allah ﷻ akan musnahkan alam ini. Apabila manusia tidak lagi bersyukur kepada Allah ﷻ , maka laut tidak perlu lagi tenang, laut akan bergelora dan akan menghancurkan bumi pula nanti. Subhanallah.

📍Namun bagaimana hendak menunjukkan kesyukuran kepada Allah ﷻ? Kesyukuran ditunjukkan dengan mentaati Allah ﷻ dan bukannya mengucap-ngucap alhamdulillah berulang-ulang sahaja.

Tafsir Ayat ke-13:

Sambungan Dalil Aqli

وَسَخَّرَ لَكُم مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ جَميعًا مِّنهُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمٰوٰتِ

Dan Dia memudahkan untuk kamu, apa yang ada di langit

Allah ﷻ juga telah memberi ilmu tentang langit, bulan, bintang, awan dan sebagainya kepada manusia. Semua ilmu itu diberi agar kita dapat gunakan untuk hidup.

Sebagai contoh, kita gunakan ilmu tentang bintang untuk mencari perjalanan di malam hari. Apabila mengkaji tentang awan, kita dapat tahu tentang tempat-tempat yang hujan akan turun. Malah banyak lagi.

Kalimah سَخَّرَ bermaksud ‘menundukkan’. Adakah ini bermaksud Allah ﷻ akan memberi kita kebolehan untuk menundukkan langit? Mungkin lebih dari apa yang Allah ﷻ telah berikan sekarang? Bayangkan, manusia sudah boleh sampai ke bulan dan mungkin tidak lama lagi boleh sampai ke planet lain.

Allahu a’lam. Allah ﷻ boleh beri apa sahaja kepada kita dan ada isyaratnya dalam ayat ini.

وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

dan apa yang ada di bumi, daripada-Nya;

Semua pemberian itu daripada Allah ﷻ antaranya Allah ﷻ telah menundukkan bumi untuk kita. Allah ﷻ telah memberi kita ilmu tentang cara mengurus bumi ini dan ajar bagaimana hendak gunakan segala sumber yang ada dalam dunia.

Banyak sekali kegunaan segala tumbuhan, binatang, mineral dan macam-macam lagi yang kita telah manfaatkan untuk kehidupan. Kita masih mengkaji lagi bagaimana menggunakan sumber yang Allah ﷻ telah jadikan itu.

Ingatlah bahawa Allah ﷻ telah jadikan dunia ini untuk kita. Maka tidak salah kalau mengambil manfaat dari bumi untuk kegunaan kita.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda bagi kaum yang mahu berfikir.

Itu semua adalah dalil bagi kekuasaan Allah ﷻ. Dalil itu diberikan kepada semua orang tetapi yang boleh mengambil pengajaran hanyalah mereka yang menggunakan akal untuk berfikir.

Ini bagi mereka yang apabila melihat kepada alam ini, sentiasa mengingatkan diri mereka kepada Allah ﷻ. Bahawa hanya Allah ﷻ lah yang telah menjadikan semua itu dan telah memberikannya kepada kita.

Memang ramai saintis yang mengkaji tentang alam, tetapi mereka tidak mengaitkannya dengan Allah ﷻ . Mereka hanya menggunakan sumber yang ada, tetapi tidak bersyukur.

Mereka juga tidak langsung berfikir bagaimana alam yang begini hebat itu, boleh terjadi. Tidak mungkin ia terjadi dengan sendiri seperti yang disangkakan oleh golongan Atheis yang tidak percaya kepada Tuhan itu?

Mereka sangka sudah pandai tetapi sebenarnya mereka tidak menggunakan fikiran pada tempat yang sepatutnya.

Tafsir Ayat ke-14

Takhwif duniawi.

قُل لِّلَّذينَ ءآمَنوا يَغفِروا لِلَّذينَ لا يَرجونَ أَيّامَ اللهِ لِيَجزِيَ قَومًا بِما كانوا يَكسِبونَ

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: hendaklah mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari-hari (pembalasan yang telah ditentukan) Allah; (disuruh berbuat demikian), kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak: balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan.

قُل لِّلَّذِينَ ءآمَنُوا

Katakanlah kepada orang-orang yang beriman:

Nabi Muhammad ﷺ diperintah oleh Allah ﷻ untuk memberikan peringatan ini kepada orang-orang yang beriman. Maka, kalau kita rasa kita orang yang beriman, maka kena ambil tahu tentang ayat ini:

يَغْفِرُوا لِلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ أَيَّامَ اللهِ

hendaklah mereka memaafkan orang-orang yang tidak berharap kepada hari-hari Allah;

Ini adalah perintah supaya jangan hiraukan mereka. Bukanlah maksud maafkan itu bermaksud mereka tidak salah. Maksud ayat ini adalah jangan hiraukan mereka. Mereka yang kufur itu tidak percaya kepada ‘Hari-Hari Allah ﷻ’.

Hari itu boleh diterjemahkan sebagai Hari Akhirat di mana akan diberikan balasan baik dan balasan buruk kepada sesiapa yang berhak mendapatnya. Allah ﷻ yang akan memberi pembalasan kepada mereka, maka kita jangan hiraukan mereka yang tidak takut kepada akhirat itu. Kita sudah memberi peringatan kepada mereka, tetapi jika tetap tidak mahu mendengar, biarkan sahaja.

‘Hari-hari Allah ﷻ’ juga boleh merujuk kepada kejadian-kejadian azab yang dikenakan kepada umat-umat terdahulu yang engkar. Ia adalah azab-azab yang boleh Allah ﷻ kenakan semasa di dunia – sama ada dalam bentuk bencana alam atau azab yang Allah ﷻ turunkan dari langit untuk mereka.

Ada golongan yang tidak langsung mahu mengambil pengajaran dari kejadian-kejadian itu walaupun mereka tahu tentang kejadian-kejadian itu. Mereka sangka tidak akan kena dengan azab-azab sebegitu kerana jahil dan tidak tahu. Maka maafkanlah (biarkanlah) mereka.

Kenapa kita hendak kena diingatkan supaya maafkan atau jangan hiraukan mereka? Ini kerana mereka tentu akan buat salah dengan kita iaitu tidak hiraukan dakwah apabila kita sampaikan.

Kadang-kadang ada yang menggunakan kata-kata kesat dan menyakitkan kita. Tidak kurang juga ada yang menentang kita dengan teruk sekali. Mereka katakan kita macam-macam seperti sesat, Wahabi dan sebagainya.

Allah ﷻ menyuruh kita memaafkan sahaja mereka yang sebegitu dan jangan hiraukan apa yang telah dikatakan. Ia hanya membuatkan kita sesak kepala sahaja fikirkan dan sakit hati sahaja. Nanti susah pula kita hendak berdakwah, bukan? Biarkanlah apa yang mereka hendak kata, kita tidak perlu hendak balas kerana Allah ﷻ sendiri akan balas.

Namun ayat ini bukanlah bermaksud buat tidak tahu sahaja. Ia bermaksud kita tetap kena teruskan sahaja dakwah dan mengajak mereka kepada Allah ﷻ.

Cuma kalau dibalas dengan keji, maka jangan hiraukan sangat dan hanya buat pekak sahaja kata-kata mereka. Seandainya mereka berkeras sangat, kita tinggalkan sekejap dan kemudian nanti boleh datang balik semula.

لِيَجْزِيَ قَوْمًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan.

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini: Kita tidak perlu balas perbuatan jahat mereka itu kepada kita kerana Allah ﷻ sendiri yang akan membalas. Ia pasti akan berlaku, tidak payah kita sibuk fikirkan macam mana hendak balas kejahatan dan kedegilan mereka itu. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ . Lagipun kalau kita hendak balas, tentu kita tidak mampu.

Maksud قَوْمًا pertamanya adalah merujuk kepada kaum yang mengejek-ngejek ayat-ayat Allah ﷻ. Mereka tidak mengendahkan ‘Hari-hari Allah ﷻ ‘. Kita tidak perlu balas dendam dengan mereka dan serahkan kepada Allah ﷻ untuk balas bagi pihak kita. Ia pasti akan berlaku.

Apa-apa kesalahan dan kata-kata engkar mereka akan bertambah-tambah banyak dan kesemuanya akan dibalas dengan azab kepada mereka. Allah ﷻ membiarkan mereka buat banyak-banyak dosa lagi supaya balasan seksa kepada mereka akan menjadi bertambah banyak lagi.

Kenapa serahkan kepada Allah ﷻ? Ini kerana kalau kita sendiri hendak membalas kepada mereka tentu tidak mampu sebenarnya kerana kita lemah sangat seperti Muslim di Mekah dahulu. Mereka langsung tidak ada kekuatan untuk membalas segala salahlaku yang dikenakan ke atas mereka.

Begitu juga kita yang lemah ini yang hanya boleh menyampaikan sahaja dakwah kepada mereka, tetapi tidak boleh paksa. Kalau mereka lawan dan buat tidak patut dengan kita, bukan kita boleh buat apa pun. Namun, kalau Allah ﷻ yang balas, tentunya Allah ﷻ akan memberi balasan yang setimpal. Ini akan memuaskan hati kita di akhirat kelak.

Kenapa kita disuruh ‘maafkan’ mereka? Ini kerana kalau kita memaafkan, kita sudah tidak perlu memikirkan hal mereka, menyimpan perasaan marah dan dendam itu dalam diri kita. Jika simpan dalam diri kita, ia akan menyakitkan kita sahaja. Akibatnya nanti tidak boleh tidur malam dan tidak lalu hendak makan pula.

Bukanlah ini bermaksud kita tidak marah. Memang kita kena marah dan benci apa yang mereka lakukan kerana mereka menentang agama (bukan kerana mereka menentang kita). Namun, kita tidak perlu angkat tangan dan mulut untuk mengenakan balasan kepada mereka.

Maksud kedua kalimah قَوْمًا dalam ayat ini adalah merujuk kepada ‘orang-orang yang beriman’. Apabila orang yang beriman itu sabar dengan apa yang dikenakan kepada mereka dalam bentuk sendaan, ejekan, kutukan atau apa-apa sahaja kesakitan yang dikenakan kepada kita, Allah ﷻ akan balas dengan pahala yang setimpal malah lebih lagi.

Itulah yang lebih baik lagi – apabila kita tahu yang kita akan dibalas dengan segala kesusahan yang kita terima kerana menyampaikan agama ini, maka kita akan rasa lega sikit. Barulah kita rasa berbaloi apa yang kita lakukan dan penentangan mereka kepada kita itu akan rasa berkurangan sedikit.

Kita berasa senang sahaja hendak memaafkan dan biarkan sahaja apa yang dikatakan oleh orang terhadap kita. Kalau ada orang yang kutuk kita dan tuduh kita ‘Wahabi’, kita senyum sahaja.

Tafsir Ayat ke-15

Ayat Idkhal Ilahi – pencelahan dari Allah ﷻ. Ia hendak menjawab pertanyaan dalam hati manusia. Ada sesuatu yang penting yang Allah ﷻ hendak beritahu dan kerana itu Allah ﷻ ‘mencelah’ dalam rentetan ayat-ayat ini.

Allah ﷻ hendak menjawab persoalan yang mungkin timbul: adakah Allah ﷻ zalim kerana ada ramai yang mati teruk kerana dikenakan dengan azab semasa di dunia dan di akhirat kelak? Ini kerana apabila Allah ﷻ memberi azab, kadangkala ada yang tidak bersalah juga dikenakan azab habis semua sekali. Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia tidak pernah zalim.

Ada yang beberapa tahun sahaja membuat syirik, tetapi nanti kekal di neraka selama-lamanya. Tidakkah itu tidak sama dengan kesalahan yang dilakukan?

Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia akan membalas mengikut amalan manusia semasa di dunia. Allah ﷻ tahu bagaimana hendak memberi azab kepada pelaku kezaliman. Kalau yang tidak zalim juga kena azab, maka azab yang mereka terkena semasa di dunia itu sebagai ujian sahaja dan akan mendapat pahala di atas kesabaran.

مَن عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۖ ثُمَّ إِلىٰ رَبِّكُم تُرجَعونَ

(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.

مَنْ عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفْسِهِ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri;

Kalau kita hendak kebaikan dan pahala, maka kita kena buat sendiri amal kebaikan. Oleh itu, janganlah berharap kepada orang lain untuk ‘sedekah’ pahala kepada kita dalam bentuk Majlis Tahlil dan sebagainya. Ayat ini jelas mengatakan bahawa tiada ‘pahala sedekah’.

📍Tiada konsep ‘hadiah pahala’ seperti yang difahami oleh kebanyakkan masyarakat kita sekarang.

Lalu, bacaan pada Majlis Tahlil dan sedekah Fatihah kepada orang lain itu adalah satu amalan yang salah dan sia-sia sahaja. Ia tidak pernah diajar dan berlawanan dengan ayat-ayat Qur’an. Itu semua adalah adalah amalan bidaah. Banyak lagi ayat-ayat Qur’an yang membawa maksud yang sama.

Malangnya, amat ramai dalam kalangan masyarakat Islam kita yang tidak faham tentang perkara ini. Maka, berbagai amalan dilakukan untuk menghadiahkan pahala kepada si mati dari kalangan keluarga mereka.

Niat mereka baik dan mungkin ikhlas, tetapi kalau bukan dari ajaran Islam, ia tetap juga salah. Ingat kembali maksud surah ini adalah tentang ‘syariat’. Kalau tidak ada dalam syariat, ia bukanlah perkara yang baik dalam agama. Bagi yang mengatakan ‘baik’ itu, itu hanyalah sangkaan mereka sahaja.

وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا

dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri;

Maksudnya kita jangan risau dengan perbuatan mereka yang engkar itu. Mereka telah melakukan dosa dan akan tetap dikenakan dengan balasan. Maka biarkanlah perbuatan orang yang telah berlaku kejahatan terhadap kita. Mereka tidak akan terlepas dari kesalahan yang telah lakukan itu.

Ayat ini juga memberitahu bahawa kita sendiri yang kena tanggung dosa yang telah dilakukan. Kita tidak boleh hendak memberikan dosa atau pahala kita kepada orang lain. Jika ada anak perempuan kita tidak memakai tudung, maka tidaklah kita berdosa kerana kesalahan itu adalah kesalahan mereka.

📍Ia juga mengingatkan bahawa segala perbuatan buruk dan dosa kita, akan ada kesannya kepada kita, sama ada di dunia ini lagi atau di akhirat kelak.

Dosa yang dilakukan jika tidak dibersihkan, akan menyebabkan kita senang untuk melakukan dosa-dosa yang lain. Maka, tinggalkanlah amalan yang buruk dan dosa itu.

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.

Ingatlah bahawa kita semua akan mati dan akan bertemu Allah ﷻ. Waktu itu kita akan dihisab dan akan dibalas dengan perbuatan kita semasa di dunia. Kalau baik, dibalas baik. Kalau buat amalan bidaah seperti yang disebut sebelum ini, kita akan bertemu dengan dosa kita. Malah kita akan bertemu dengan Allah ﷻ membawa dosa amalan salah itu.

📍Waktu bertemu dengan Allah ﷻ, agaknya bagaimana kita hendak jawab kepada Allah ﷻ tentang amalan-amalan bidaah yang kita lakukan tanpa ada dalil yang jelas?

Kalau Allah ﷻ tanya kepada kita: “Kenapa buat Majlis Tahlil, kenapa buat Solat Hajat berjemaah, kenapa buat Doa Selamat” dan sebagainya, apa yang kita hendak jawab?

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Al-Jathiyah (Ayat 12- ayat 15)

📍Adakah benar pemahaman begini? Mereka berasa hari-hari itu lambat lagi dan sempat bertaubat tetapi lupa nyawa juga diambil bila-bila masa. Ini betul- betul kerugian dan penyesalan?

🔵Ya, benar sekali.

📍Adakah dosa bid’ah yang pernah dilakukan kemudian ditinggalkan setelah tahu, masih dihisab juga?

🔵 Taubat dan minta ampun. Kalau Allah ﷻ menerima taubat maka tidak dihisab lagi.

📍Anggapan sebahagian orang bahawa seorang anak perempuan yang keluar tanpa hijab maka bapanya yang tanggung dosa setiap langkahnya, adalah tidak benarkan?

🔵 Ya, ini salah faham. Kita tidak tanggung dosa orang lain.

📍Setiap kamu adalah pengembala dan kamu akan dipertanggungjawabkan ke atas gembalaan kamu. Apakah maksud hadith ini?

🔵 Semua ada tanggungjawab kepada orang bawahan. Kalau ayah, dia kena sampaikan ajaran dan tegur anak isteri dari buat dosa. Jika dia tidak buat, maka dia akan disoal kenapa dia tidak buat tetapi bukanlah setiap kali anak dia tidak pakai tudung, dia kena dosa. Kalau dia sudah tegur dan mereka tidak ikut, lagilah dia tidak berdosa.

Hadis ini bukan dalil yang boleh diberikan dosa kepada ayah. Ini kerana ada dalil lain yang lebih kuat dari Qur’an di antaranya ayat [ Zumar: 7 ] dan lain-lain ayat yang lebih kurang sama.

📍Maksud disini ialah menyampaikan dan teguran?

🔵Menjalankan tanggungjawab dan kesemua kita ada orang bawahan. Bos, bapa, ibu, kakak, abang, pemimpin, supervisor etc. Hadis itu amat luas dan asal ada tanggungjawab sahaja, kena penuhi.

 Allahu a’lam.

Komen dan Soalan