Utama Bilik (06) Ulat Buku Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran – Tip 2 – Cemerlang dengan Iman dan...

Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran – Tip 2 – Cemerlang dengan Iman dan Takwa

270
0
Iklan

Tip 2

Cemerlang dengan Iman dan Takwa

Kecemerlangan bermula dari dalam. Ledakan iman dan takwa mampu mengubah dunia dan seisinya.

“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka kepadanya.” [ al-Talaq: 2-3 ]

Imam Ahmad melaporkan daripada Abu Zar, “Nabi SAW telah membaca ayat ini kepada ku (Abu Zar) kemudian beliau berkata, “Wahai Abu Zar apabila manusia berpegang teguh dengan ayat ini ia sudah mencukupi bagi mereka.”

Kekuatan Takwa

Sahabat Abdullah bin Mas’ud menganggap ayat ini sebagai formula menyelesaikan masalah teragung di dalam al-Quran. Mereka yang bertakwa akan diilhamkan Allah SWT dengan petunjuk:

  • mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi
  • kemenangan dan pertolongan daripada Allah SWT [ al-Anfal: 29]
  • memurahkan rezeki di dunia

Sesiapa yang bertakwa kepada Allah dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang, dia akan diberikan petunjuk sehingga dia mengenali hak dan batil. Ini akan menjadi sebab musabab kepada kejayaan serta pelepasan dirinya dari masalah dunia, serta sebab musabab kepada kebahagiaannya di akhirat…” [Imam Ibn Kathir].

Apa itu Takwa

  • Berhati-hati dalam hidup supaya tidak terjebak dengan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh semasa beramal berlandaskan al-Quran dan sunnah.
  • “Wahai mereka yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” [ Ali Imran: 102-103 ].
  • Melaksanakan taat dan jangan bermaksiat, sentiasa mengingati-Nya, jangan alpa, sentiasa bersyukur dan jangan kufur [ Abdullah bin Mas’ud ].
  • “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa antara kamu.” [ al-Hujurat: 13 ].

 

Iman Sejahtera sebagai Asas

  • Kepercayaan Ahlu Sunnah Wal Jemaah (sahabat-sahabat nabi serta mereka yang mengikut minhaj serta landasan sahabat-sahabat nabi dari kalangan tabiin, ahli hadis serta ulama fikah, dari generasi ke generasi hinggalah ke hari ini).
  • Beriman kepada Allah tanpa melakukan syirik (menyekutukan sesuatu dengan Allah) sama ada syirik kecil atau syirik besar [ an-Nisa’: 116 ]
  • “Janganlah kamu mengadakan andada (perbuatan syirik yang tersembunyi yang lebih halus daripada seekor semut hitam yang melata di atas sebuah batu hitam di malam yang kelam) bagi Allah sedangkan kamu mengetahui” [al-Baqarah: 22 ].
  • Contoh syirik kecil apabila seseorang mengatakan: “ Demi Allah dan demi nyawaku”  “Jika tidaklah kerana anjing ini, pencuri itu pasti telah memasuki rumah kita semalam..”
  • Iman di hati perlu disempurnakan dengan amal. Mengikut Ahli Sunah Wal Jemaah, “Amal ibadah adalah syarat kepada kesempurnaan iman, bukan syarat sahnya iman. Apabila amal kebajikan mukmin itu bertambah, akan bertambahlah imannya. Sebaliknya, apabila amal ibadahnya berkurangan, akan menurunlah imannya.”

Kejayaan kesan daripada Takwa

  • Kesenangan kepada individu bukan hanya di akhirat malah di dunia juga (Pemerintahan Khalifah Omar bin Abdul Aziz yang bertakwa lagi adil memerintah selama 30 bulan berjaya membanteras kemiskinan dan rakyat hidup dalam kemewahan).

Ledakan Kecemerlangan

  • Takwa kekuatan dalaman yang hebat lagi unik
  • Mampu mengukir sejarah baru di dunia
  • Bersihkan iman daripada syirik dengan menjauhi tangkal, khurafat, tahayul dan bomoh-bomoh sesat.
  • Lakukan ibadah wajib setiap hari
  • Jauhi maksiat
  • Berkawan dengan rakan-rakan yang soleh supaya tidak terbabas
  • Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sedaya upaya [ at-Taghabun: 16 ].

Komen dan Soalan