Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-63 hingga Ke-66

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-63 hingga Ke-66

381
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat ke-63

Dalil Naqli Tafsili (kerana ada disebut nama Nabi). Kisah Nabi Isa a.s.

وَلَمّا جاءَ عيسىٰ بِالبَيِّنٰتِ قالَ قَد جِئتُكُم بِالحِكمَةِ وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعضَ الَّذي تَختَلِفونَ فيهِ ۖ فَاتَّقُوا اللهَ وَأَطيعونِ

Dan ketika Nabi Isa a.s datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah dia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat (ajaran Tuhan), dan untuk menerangkan kepada kamu: sebahagian dari (perkara-perkara ugama) yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

وَلَمَّا جَاءَ عِيسَىٰ بِالْبَيِّنٰتِ

Dan ketika Nabi Isa datang dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata,

Ini ketika Nabi Isa datang kepada kaumnya: Bani Israil. Nabi Isa a.s datang dengan membawa berbagai-bagai keterangan yang diberikan oleh Allah SWT bagi membuktikan kenabian baginda.

قَالَ قَدْ جِئْتُكُم بِالْحِكْمَةِ

berkatalah dia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat,

Hikmah itu boleh diterjemahkan dalam banyak maksud:

▪️Hikmah kebijaksanaan.

▪️Hukum dalam Injil yang mengandungi ajaran akidah dan syariat.

Terdapat hukum yang tidak sama dengan Kitab Taurat. Maknanya dari dulu lagi sudah ada pembatalan hukum dan ini biasa sahaja.

Jadi jangan hairanlah kalau ada pembatalan hukum dengan datangnya al-Quran. Oleh itu, bila datang al-Quran, Bani Israil kena terimalah pembatalan hukum yang ada dalam Taurat dan Injil itu.

📍Pati agama. Mengingatkan kaumnya kembali kepada agama. Ini kerana Bani Israil sudah ada Taurat tetapi mereka sudah lupa. Maka mereka kena diingatkan.

وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعْضَ الَّذِي تَخْتَلِفُونَ فِيهِ

dan untuk menerangkan kepada kamu sebahagian dari (perkara-perkara ugama) yang kamu berselisihan padanya.

Nabi Isa a.s. telah diturunkan di waktu Bani Israil berpecah belah antara mereka kerana berbagai-bagai pendapat yang berbeza. Perbezaan mereka itu termasuklah dalam perkara aqidah.

Maka Nabi Isa a.s diturunkan untuk memperjelaskan manakah akidah dan amalan mereka yang salah itu. Walaupun mereka ada Kitab Taurat tetapi mereka bertelagah tentangnya kerana telah ada penukaran dan penyembunyian dalam kitab itu oleh pendita-pendita mereka.

فَاتَّقُوا اللهَ وَأَطِيعُونِ

Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Maka, hendaklah bertaqwa iaitu menjaga hukum dalam setiap amalan dalam kehidupan. Maka dalam setiap perkara, kena perhatikan apakah yang Allah SWT kehendaki.

Hendaklah mereka taat kepada Nabi Isa a.s. Macam kita juga, kena taat dengan ajaran Nabi Muhammad SAW. Tidak ada makna kalau hendak ikut kepada Kitab Wahyu, tetapi tidak ikut kepada Rasul yang menyampaikan.

Tafsir Ayat ke-64

Nabi Isa tidak pernah suruh manusia sembah dia. Maka orang Kristian sembah baginda, siapa yang suruh?

إِنَّ اللهَ هُوَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus”.

إِنَّ اللَّهَ هُوَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu,

Allah SWT menekankan lagi kedudukan Nabi Isa a.s di dalam ayat ini di mana Nabi Isa a.s sendiri mengaku yang Allah SWT itu adalah Rabbnya. Lalu bagaimana ada manusia yang kata yang baginda itu adalah Tuhan, Anak Tuhan, atau sebahagian dari Tuhan?

Itu semua adalah pembohongan sahaja. Malah, kalau dilihat dalam Bible, tidak ada di mana-mana ayat yang mengatakan dengan jelas bahawa Nabi Isa a.s itu adalah Tuhan atau anak Tuhan.

Perkara yang difahami oleh penganut Kristian sekarang adalah hanya kata-kata pendita dan ketua mereka yang telah menipu mereka.

فَاعْبُدُوهُ هَٰذَا صِرٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ

maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus”.

Nabi Isa a.s suruh umatnya menyembah Allah SWT, bukan menyembah dirinya. Itulah jalan yang lurus. Jalan yang lurus adalah ‘menyembah Allah SWT’ dan hanya menyembah Allah SWT sahaja tanpa ada disembah entiti yang lain.

Kita selalu memohon supaya ‘diberikan kita jalan yang lurus’ dalam bacaan Fatihah kita, sekurang-kurangnya dalam solat kita. Ayat ini memberitahu kepada kita, ‘Jalan yang Lurus’ adalah ‘Menyembah Allah SWT’ sahaja.

Kalau beginilah kata-kata Nabi Isa a.s, maka penganut Kristian yang sekarang mengaku mengikut Nabi Isa a.s kenalah ikut juga sebegini. Penjelasan dari Nabi Isa a.s itu sudah jelas.

Namun masih ada yang tidak mahu ikut. Jadi kalau sekarang sudah jelas tetapi masih ada yang tidak ikut juga, itu adalah perkara biasa.

Tafsir Ayat ke-65

Takhwif Duniawi

فَاختَلَفَ الأَحزابُ مِن بَينِهِم ۖ فَوَيلٌ لِّلَّذينَ ظَلَموا مِن عَذابِ يَومٍ أَليمٍ

Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu, dari (paluan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.

فَاخْتَلَفَ الْأَحْزَابُ مِن بَيْنِهِمْ

Kemudian, golongan-golongan berselisihan sesama sendiri.

Kumpulan yang timbul selepas Nabi Isa a.s diangkat ke langit telah berselisih tentang Nabi Isa a.s. Ada yang kata baginda itu seorang Rasul dan manusia sahaja, ada yang kata dia sebahagian daripada Tuhan, ada yang kata dia Tuhan, ada yang kata dia ahli sihir, ada yang kata dia adalah seorang Nabi dan macam-macam lagi.

Sampai sekarang masih lagi terdapat perbezaan pendapat yang berbagai-bagai itu dalam kalangan manusia. Maka kitalah sebagai umat Islam yang kena sampaikan kebenaran kepada mereka kerana kasihan mereka dalam keraguan.

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu,

‘Kezaliman’ yang dimaksudkan adalah pendapat mengatakan yang Nabi Isa a.s bukan seorang Rasul tetapi anak Tuhan atau sebahagian daripada Tuhan, atau Tuhan sendiri.

Itu semua adalah satu kesyirikan yang dilakukan terhadap Allah SWT.

مِنْ عَذَابِ يَوْمٍ أَلِيمٍ

dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.

Ini bermaksud pada hari Kiamat. Mereka akan dikenakan dengan azab yang pedih.

Padahal orang Nasrani ini ramai yang baik-baik, suka menolong orang tetapi kerana salah faham dalam bab agama ini, mereka dikenakan dengan azab yang pedih, amat pedih. Tidak kasihan kah kepada mereka?

Lihatlah yang kena azab seksa itu adalah mereka yang berbuat kezaliman iaitu kerana kufur dan syirik. Mereka yang disembah seperti Nabi Isa a.s tidak bersalah dan mereka tidak akan dikenakan dengan azab.

📍Oleh itu jikalau manusia yang mengaku beragama Islam juga menyembah Nabi, wali dan malaikat, mereka turut akan dikenakan dengan azab neraka. Tidaklah Nabi, wali dan malaikat itu bersalah kerana mereka tidak pernah suruh mereka dipuja.

Tafsir Ayat ke-66

Takhwif Ukhrawi.

هَل يَنظُرونَ إِلَّا السّاعَةَ أَن تَأتِيَهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

(Mereka yang menentang Nabi Muhammad) tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, dan dalam keadaan mereka lalai leka dengan perkara-perkara keduniaan.

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا السَّاعَةَ

tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat

Mereka yang tidak mahu beriman itu tidaklah ada yang mereka tunggu melainkan kematian sahaja. Walaupun banyak kali Nabi Muhammad SAW telah berdakwah dan berhujah dengan mereka tetapi mereka masih tidak mahu menerima iman, hanya mahu berdebat sahaja.

Ini kerana kehidupan mereka mungkin senang sahaja tidak ada masalah, jadi mereka tidak mahu beringat-ingat. Namun kena ingat, di akhirat nanti mereka tidak akan lepas.

Begitu juga dengan ramai orang. Mereka tidak mahu menerima Islam. Sampailah mereka mati tidak beriman. Kalau dalil dari al-Quran turut mereka tidak terima, maka tidak ada dalil lain lagi. Mereka hanya menunggu mati sahaja untuk dikenakan dengan azab.

📍Bagaimana dalam kalangan kita yang sudah Islam? Ada ramai dari kalangan mereka yang hanya Islam pada nama sahaja. Tidak ambil kisah tentang agama, tentang amalan dan ilmu tentang agama. Mereka juga tidak kisah tentang al-Quran.

Kalau diajak untuk belajar agama, belajar tafsir, mereka akan ada sahaja alasan – sibuk, anak sakit, anak kena hantar ke tuisyen. Mereka kata bila mereka senang, mereka akan datang. Sampai bila? Sampai mereka mati tidak belajar.

أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةً

yang akan datang kepada mereka secara mengejut,

Sampai mereka mati, mereka masih tidak beriman dan tidak belajar. Ini kerana mati itu adalah ‘Kiamat Kecil’. Setiap manusia akan mati dan mati itu akan datang mengejut.

Mati datang tanpa memberitahu kepada kita bilakah ia akan datang. Mengejut kerana tidak sempat hendak perbaiki akidah dan amalan. Sedar-sedar sudah dalam kubur.

وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

dan mereka tidak menyedarinya.

Mereka tidak sedar bilakah kematian mereka akan datang. Kita juga tidak tahu. Tidak ada sesiapa yang tahu. Keluar dari rumah, entah-entah dilanggar motor atau kereta, terus mati. Sedar-sedar sahaja Malaikat Maut sudah hadir dan kita sudah berada di alam barzakh.

Maka kenalah kita beringat-ingat tentang kematian. Apabila kita lihat orang lain setiap hari ada sahaja yang mati, ingatlah bahawa kita juga akan sampai masa kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan